Anda di halaman 1dari 13

BIOTEKNOLOGI

Bioteknologi merupakan satu bidang sains di mana benda hidup digunakan untuk penghasilan produk
atau untuk melakukan sesuatu tugasan untuk manusia. Tumbuh-tumbuhan, haiwan dan juga
microorganisma seperti bakteria telah digunakan untuk menghasilkan kebaikan kepada manusia.
Dalam bidang industri perubatan dan pertanian, bioteknologi bantu dalm penghasilan makanan, ujian
untuk mengesan penyakit dan untuk melupuskan sisa. Bioteknologi boleh digunakan untuk
menyelesaikan masalah dan untuk membantu dalam penyelidikan. Bioteknologi biasanya terbahagi
kepada 3 bahagian - bioteknologi merah, putih dan hijau. Bioteknologi merah adalah berkaitan dengan
mikroorganisma yang telah diubah bahan genetiknya yang digunakan untuk menghasilkan produk
seperti insulin dan vaksin untuk kegunaan perubatan. Bioteknologi putih melibatkan penciptaan bahan
kimia berguna untuk sektor perindustrian melalui organisma-organisma seperti kulat dan yis. Jenis
bioteknologi ini juga dikenali sebagai bioteknologi kelabu. Bioteknologi hijau, juga dikenali sebagai
bioteknologi pertanian, berurusan dengan aplikasi-aplikasi yang bertaut kepada pertanian. Ianya
melalui penyelidikan bioteknologi merah dapat menghasilkan antibiotik untuk jangkitan berbeza-beza
dan vaksin untuk menguatkan sistem keimunan dan mengesan dan mengubati sebarang kecacatan
genetik dan penyakit telah dihasilkan. Bioteknologi merah juga membantu dalam teknologi pembiakan
seperti persenyawaan in-vitro, penghasilan profil DNA, forensik dan teknologi permindahan. Hanya
dengan pertolongan bioteknologi putih yang membantu persekitaran untuk membolehkan pengawalan
haiwan dan tumbuhan perosak. Bioteknologi telah membantu dalam pembersihan tumpahan minyak,
melindungi spesis yang terancam dengan menyimpan DNA untuk penyelidikan pada masa akan
datang dan menolong mengasingkan sebarang nutrien yang berlebihan dalam tanah mahupun dalam
air. Penyelidikan dalam bioteknologi juga bertujuan untuk pengekstrakan logam dari tanah untuk
menyediakan perlombongan yang bersih, mengesan periuk api dan pembersihan logam arsenik dan
logam lain yang mencemar. Bioteknologi hijau melibatkan manipulasi tumbuhan dan haiwan untuk
menghasilkan spesis yang lebih mesra alam sekitar dan produktif. Pembangunan pelbagai jenis
gandum yang tahan penyakit dengan cara pembiakan silang jenis gandum yang berbeza adalah satu
contoh bioteknologi hijau.
Nota Bahagian B : BIODIVERSITI

DEFINISI
Kepelbagaian biologi atau “biodiversity” didefinisikan sebagai keanekaan antara organisma hidup dari
pelbagai sumber dari daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkau ekosistem akuatik dan
sebahagian daripada ekosistem yang kompleks termasuk didalam kelompok spesis dan antara sepsis
dan ekosistemnya.(sumber:estidotmy,February 2007)

KEPENTINGAN
A.KEPADA ALAM

1.PENGEKALAN KITAR HIDROLOGI


Hidupan semulajadi berfungsi sebagai penyerapan.Air dari tanah dan membebaskannya melalui
proses transpirasi.Hutan,padang rumput dan tanah lembab akan menyerap air apabila jumlahnya
banyak dan membebaskannya sedikit demi sedikitbila air bertakung. Ini sekaligus mengawal banjir.

2.MODIFIKASI IKLIM
Biodiversiti juga memberi khidmat ekosistem seperti mengatur perjalanan cuaca dan iklim.Ia juga
menyerap radiasi daripada cahaya matahari dan membebaskan wap. Ia akan mempengaruhi keadaan
iklim dan menyederhanakan suhu.Kestabilan iklim akan berlaku dengan adanya fungsi oleh
kepelbagaian biologi biodiversiti ini.

3.KAWAL HAKISAN TANAH


Daun dan sampah hutan boleh menyerap dan mengurangkan impak air hujan.Ini sekaligus
menghalang tanah menjadi pecah.Selain itu,akar berfungsi “mengikat tanah”dan membantu
menghalang berlakunya hakisan terutamanya di kawasan tanah tinggi.Manakala tumbuhan, haiwan
kecil dan mikroorganisma menyumbang kepada pembentukan tanah.Di kawasan yang berombak,paya
bakau berfungsi mengurangkan kesan puklan ketika rebut.Ini bukan sahaja menjaga kontur pantai
malah dapat menyelamatkan harta benda dan nyawa.

4.SELENGGARA KITAR OKSIGEN DAN NITROGEN


Tumbuhan menghasilkan oksigen untuk pernafasan.Manakala mikrob pula membantu menambah
kesuburan tanah serta penetapan kandungan nitrogen dalam tanah.Kepelbagaian biodiversity juga
boleh menghalang tompokan sebatian nitrogen seperti unsur-unsur Ammonium dan Nitrat yang boleh
mengganggu kesuburan tanah.

B.KEPADA MANUSIA
1.NILAI INSTRUMEN
Berguna kepada manusia-kini sebanyak 3000 spesis tumbuhan di dunia ini dikenalpasti berfungsi
sebagai anti-kanser.Dijangkakan sumbangan kekayaan kepelbagaian biodiversiti ini menyumbangkan
US$8 BILION setahun untuk menghasilkan ubat bagi syarikat yang mengendalikan bidang ini.Ini jelas
bahawa kekayaan kepelbagaian sepsis biodiversiti ini mampu memperbaiki tahap kesihatan
masyarakat dan meningkatkan jangka hayat manusia.
CONTOHNYA, ANTHROPOSENTRIK-digunakan dalam memajukan BANK GENETIK khasnya untuk
memajukan sector pertanian ,perhutanan,akuakultur dan penternakan.Ia juga boleh digunakan sebagai
sumber perubatan yang menyumgang jutaan ringgit setahun kepada ekonomi Negara.

2.NILAI INTRINSIK
Kepelbagaian biodiversiti ini juga mempunyai “NILAI TERSENDIRI” dan “HAK UNTUK HIDUP”.Setiap
benda hidup tidak kira haiwan,tumbuhan dan manusia mempunyai “hak asasi”masing-masing.Benda
hidup mempunyai ingatan,emosi dan kesakitan.

MASALAH
1.KEGIATAN MANUSIA YANG MENGUBAH DAN MENGHAPUSKAN TEMPAT KEDIAMAN MEREKA.
Banyak aktiviti yang boleh merosakkan yang berlaku menyebabkan terjejasnya biodiversiti.
Akibatnya,banyak spesis yang belum lagi dikenalpasti telah pupus. Ada di antara sepsis ini telah
disenaraikan dalam ketegori sepsis terancam.Jika tidak ditangani awal dari sekarang, biodiversiti yang
ada sekarang akan terjejas teruk dan mungkin hilang buat selamanya.

2.PENGEKSPLOITASIKAN HUTAN TROPIKA OLEH NEGARA MEMBANGUN YANG KAYA DENGAN


BIODIVERSITI BAGI TUJUAN UNTUK MENGAUT KEUNTUNGAN.
Contohnya kemunculan pelancong berasaskan alam semulajadi atau pelancongan eko adalah satu
aktiviti penting yang bolkeh mendatangkan hasil kepada negara membangun.Namun andainya
pelancongan eko tidak dilaksanakan dengan teratur boleh menyebabkan kerosakan
biodiversity.Kemusnahanhabitat akibat penukaran tanah untuk
pertanian,perlombongan,penempatan,pembinaan dan sebagainya untuk tujuan pembangunan juga
bakal memusnahkan kekayaan biodiversiti dunia.

3.PERUBAHAN IKLIM DAN BENCANA ALAM seperti tanah runtuh, banjir, kemarau, tsunami (2004)
dan sebagainya menyebabkan kemusnahan kepada kepelbagaian biologi daratan dan akuatik dunia.

4.PENGGUNAAN SUMBER BIOLOGI SECARA TIDAK LESTARI DAN BERLEBIHAN seperti aktiviti
pembalakan dan pemburuan yang tidak terkawal menjadi satu agenda kepada kepupusan
kepelbagaian biologi.

LANGKAH\USAHA UNTUK MENGATASI


1. MENGADAKAN BENGKEL MENGENAI PENGURUSAN BIODIVERSITI.ISU DASAR DAN
CABARAN KEPADA MALAYSIA TELAH DILANGSUNGKAN PADA 17 Ogos 1999 dianjurkan bersama
oleh Institut Kajian Pembangunan (SABAH),Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia(MIER) dan
Queen’s University, Kingston,Canada.Bengkel tersebut dibiayai oleh Agensi Pembangunan
Antarabangsa Kanada (CIDA), NGO’s dan badan-badan swasta.Antara isu yang disentuh adalah
mengenai biodiversity,bioprospek,pengurusan dan pengawasan pelancongan eko dan perlindungan
sepsis terancam.

2. Malaysia adalah salah satu antara 120 negara yang menandatangani KONVENSION
KEPELBAGAIAN BIOLOGIKAL ATAU NAMA SINGKATNYA CBD.Konvension tersebut yang
berkuatkuasa pada 29 disember 1993 memberikan mekanisma global untuk memastikan pemuliharaan
dan penggunaan mapan bioddiversiti bagi generasi sekarang dan akan datang.Dalam perjanjian
tersebut,Malaysia menjanjikan 50% litupan muka bumi dengan hutan dan pokok selama-lamanya.

3.MENGGALAKKAN DAN MEMPERBANYAKKAN PENUBUHAN PUSAT PENYELIDIKAN DAN


PEMBANGUNAN (R&D).Contohnya Taman Teknologi Malaysia(TPM) sedang giat menjalankan kajian
terhadap potensi-potensi yang boleh digunakan daripada hasil khazanah alam Negara. Pusat-Pusat
penyelidikan seperti Pusat Biodiversiti Raub menjalankan kerja-kerja mengutip, memelihara dan
menjalankan kerja-kerja kajian farmakologi sampel, pemprosesan dan penghasilan benih.

4.MENGETATKAN KAWALAN DAN MENJALANKAN PEMANTAUAN YANG LEBIH TELUS.Antara


teknologi konservasi biodiversiti yang paling praktikal dan digunakan secara meluas pada masa kini
adalah secara penentuan dan pemantauan menerusi satelit. Aktiviti pembalakan dan pemburuan
haram misalnya perlu dikawal lebih ketat. Begitu juga dengan biodiversiti akuatik Malaysia yang
mempunyai nilai yang tinggi,pengawalan terhadap hidupannya termasuk terumbu karang perlulah
dilakukan dengan lebih mantap supaya tidak merugikan Negara.

DISEDIAKAN OLEH :BALKIS AHMAD (6 ATAS 1)


SMK AGAMA SIBU, SARAWAK

PELANCONGAN REKREASI BERASASKAN CABARAN DAN


BIODIVERSITI: ISU DAN KONFLIK

Abstrak
Dalam proses pembangunan dan globalisasi, pelancongan rekreasi berasaskan cabaran
sememangnya merupakan suatu frasa penarik yang perlu dihadapi dan diuruskan
dengan bijak agar tidak menjejaskan sumber biodiversiti. Ini kerana banyak aktiviti
yang tidak diingini masa lalu telah menyebabkan terjejasnya biodiversiti dan
sekaligus meranapkan harapan generasi akan datang untuk menghargainya. Menurut
Newsome, Moore & Dowling (2004), impak alam sekitar disebabkan oleh
pelancongan dikawasan yang dilindungi mencakupi aktiviti rekreasi yang tidak
terancang, kesesakan pengunjung, pembangunan yang tidak seimbang, pencemaran,
gangguan hidupan liar dan penggunaan kenderaan. Kedua-dua elemen ini tidak dapat
dipisahkan kerana masing-masing mempunyai saling perkaitan antara satu dengan
yang lain dimana ia digembleng sebagai medium untuk menawarkan pelbagai peluang
untuk manusia menghargai khazanah dan warisan alam yang tidak ternilai harganya.
Namun kerakusan manusia meneroka dan memanipulasinya atas nama pelancongan
secara tidak langsung menggugat keharmonian dan ketenangan komuniti alam.
Berdasarkan kepada isu ini, penulis akan cuba mengupas dan membincangkan isu-isu
dan cabaran didalam hubungan aktiviti pelancongan rekreasi berasakan cabaran
terhadap biodiversiti.
PENGENALAN
Sejarah pelancongan sememangnya nyata menunjukkan persekitaran sesuatu tempat
memberikan sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan pelancongan rekreasi.
Persekitaran yang menarik dan bersih mempunyai daya tarikan yang lebih kepada
pengunjung untuk mendekatinya. Kesan kepada persekitaran seharusnya dapat dilihat
dalam semua tahap pelancongan rekeasi berasaskan cabaran. Keadaan persekitaran
yang mempunyai iklim, flora dan fauna yang baik selalunya mempengaruhi setiap
pembangunan yang akan dijalankan dikawasan tersebut. Namun, penciptaan
persekitaran untuk pelancongan rekreasi berasaskan cabaran seperti pembinaan
tempat peranginan sememangnya perlu dikawal.
Setiap persekitaran samada secara semulajadi atau diubahsuai oleh manusia
merupakan sumber asas untuk produk pelancongan. Jika tiada suasana alam yang
menarik maka tidak akan ada pelancongan. Ciri-ciri alam daripada tarikan asas oleh
sinaran matahari, laut dan pantai sehinggalah kepada tempat-tempat yang belum
pernah manusia lalui menjadikan alam sekitar sebagai tunjang utama kepada industri
pelancongan rekreasi berasaskan cabaran dan juga industri pelancongan rekreasi yang
lain. Namun demikian, secara sedar atau tidak pertumbuhan pelancongan rekreasi
berasaskan cabaran akan menyebabkan sesuatu persekitaran atau kawasan semulajadi
tersebut akan terubahsuai.
DEFINISI PELANCONGAN REKREASI BERASASKAN CABARAN
Pelancongan merupakan suatu kegiatan ekonomi yang mendatangkan pendapatan
lumayan kepada sesebuah negara. Hakikatnya banyak kawasan-kawasan pelancongan
baru dibuka untuk tatapan pengunjung dari masa ke semasa. Menurut Mathieson &
Wall (1982), pelancongan adalah gerakan sementara oleh manusia ke destinasi lain di
luar tempat kerja dan tempat tinggalnya yang biasa, kegiatan yang mereka lakukan
selama tinggal di destinasi tersebut dan kemudahan yang disediakan untuk memenuhi
keperluan mereka.
Manakala menurut Mason (2003), pelancongan adalah kajian tentang manusia
daripada habitat asalnya yang mana memberi reaksi kepada industri dan kehendaknya
serta memberi impak terhadap sosial, ekonomi dan persekitaran fizikal.
Rekreasi berasaskan cabaran dikelaskan sebagai pelancongan alternatif didalam
cabang pelancongan. Menurut Bucher & Bucher (1974), rekreasi adalah berkaitan
dengan aktiviti yang dijalankan oleh manusia ketika masa kesenggangan, aktiviti
yang menyeronokkan dan memberi kepuasan aktiviti secara sukarela dan tidak
melibatkan ganjaran. Menurut Newsome, Moore & Dowling (2004), rekreasi
berasaskan cabaran adalah berfokus kepada aktiviti didalam kawasan semulajadi
samada didarat, air atau udara.
Walau bagaimanapun setiap aktiviti dan kegiatan rekreasi berasaskan cabaran yang di
anjurkan atau diadakan perlulah mengambil kira impaknya terhadap biodiversiti.
Ianya juga harus mengambil kira yang mana jika impaknya tidak ditangani dengan
berhati-hati maka kehidupan biodiversiti diatas muka bumi ini akan terhapus buat
selama-lamanya dan secara tidak langsung juga memberi impak yang besar terhadap
manusia.
DEFINISI BIODIVERSITI
Biodiversiti mengandungi 3 komponen utama iaitu;
_ Merangkumi semua organisma hidup termasuklah mikroorganisma seperti
bakteria dan kulat serta flora dan fauna tanpa mengira keseragaman spesies
mahupun kegunaan organisma-organisma ini kepada kehidupan manusia.
_ Setiap peringkat bagi organisasi kehidupan. Biodiversiti termasuk
organisma dan kandungan genetiknya dan juga kumpulan bagi organisma
yang serupa seperti populasi dan spesies dan juga kumpulan spesies di
dalam komuniti dan ekosistem.
_ Kesemua interaksi di antara bentuk kehidupan dan tahap organisasinya;
biodiversiti bukan hanya sebahagian daripada sistem kehidupan seperti
gen, individu dan spesies. Biodiversiti juga merangkumi bagaimana
sistem kehidupan ini berinteraksi di antara satu sama lain seperti
persaingan, predasi, simbiosis dan komensalisme.
KEPENTINGAN BIODIVERSITI
Sejak berkurun lamanya manusia bergantung kepada kepelbagaian biodiversiti dan
sumber-sumber biologi untuk meneruskan kehidupan. Sumber-sumber biodiversiti
membekalkan manusia dengan keperluan makanan, perubatan, produk-produk
industri dan juga berperanan penting untuk mengimbangi alam sekitar. Selain itu,
kepelbagaian sumber flora dan fauna membekalkan manusia dengan pelbagai jenis
ilmu pengetahuan. Biodiversiti memberi ruang kepada manusia untuk melakukan
aktiviti-aktiviti riadah serta rekreasi di samping menghayati keindahan alam
semulajadi serta meluaskan pengetahuan tentang kepelbagaian dan kekayaan sumber
biodiversiti . Pelbagai aspek aktiviti riadah yang dapat dijalankan termasuklah aktiviti
sukan air, terjunan udara, meredah hutan, aktiviti berkhemah, penjelajahan hutan dan
berbagai lagi.
KEPENTINGAN BIODIVERSITI TERHADAP SOSIAL
Biodiversiti memberikan banyak peluang dan kepentingan terhadap perkembangan
sosial. Taman-taman negara, kawasan rizab hidupan liar, sungai dan lautan dan juga
kawasan-kawasan yang dilindungi memainkan peranan yang signifikan terhadap
penggalakkan perkembangan ekonomi dengan membekalkan pelbagai sumber kepada
kehidupan sosial manusia. Antaranya sumber perkhidmatan kesihatan (melalui
kepelbagaian etnobotani), sumber air minuman, sumber penjanaan kuasa elektrik dan
juga memberikan sumber pendapatan dan pekerjaan kepada masyarakat.
Perkembangan dan pembangunan pelancongan rekreasi secara langsung dapat
membantu masyarakat setempat dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan.
Menurut Zbignew (1995), pelancongan merupakan sektor ekonomi yang menawarkan
produk yang paling bernilai iaitu alam semulajadi. Selain itu juga, sumber biodiversiti
yang merupakan warisan negara merupakan khazanah ilmu yang tidak ternilai
harganya.
Oleh yang demikian, langkah konservasi dan pemuliharaan sumber biodiversiti yang
ada perlu digiatkan agar generasi akan datang masih berpeluang untuk mempelajari
dan memperoleh ilmu pengetahuan daripadanya. Saling kaitan di antara kehidupan
sosial dan kepelbagaian sumber biodiversiti tidak dapat dinafikan lagi. Manusia
masih bergantung kepada sumber biodiversiti dan ekologi yang ada. Begitu juga
sumber biodiversiti yang amat memerlukan perhatian dan perlindungan daripada
manusia untuk ia terus kekal di muka bumi ini.
ANCAMAN PELANCONGAN REKREASI BERASASKAN CABARAN
TERHADAP BIODIVERSITI
Terdapat banyak sebab yang boleh di ambil kira terhadap ancaman dan kesan yang di
tinggalkan oleh penggiat-penggiat rekreasi di kawasan persekitaran aktiviti mereka.
Kerosakan biodiversiti dikawasan terlibat disebabkan oleh penggiat-penggiat yang
lalai dan kurangnya kesedaran dikalangan mereka ketika menjalankan aktiviti dan
selepas meninggalkan kawasan tersebut. Menurut Newsome, Moore & Dowling
(2004), pelancongan rekreasi berasaskan cabaran sememangnya memberi impak
terhadap biodiversiti seperti aktiviti rekreasi air, kenderaan pacuan empat roda,
penjelajahan hutan, perkhemahan, basikal lasak, menunggang kuda dan penjelajahan
gua. Sememangnya aktiviti-aktiviti ini begiu diminati oleh penggemar-penggemar
rekreasi berasaskan cabaran.
Tumbuhan dan pokok-pokok merupakan salah satu tarikan utama yang dapat menarik
lebih ramai pengunjung ke sesuatu tempat. Melalui aktiviti menjelajah hutan, basikal
lasak, pandu arah dan juga penjelajahan kenderaan pacuan empat roda mereka dapat
melihat dengan lebih dekat sumber-sumber biodiversiti yang cantik dan unik dan
jarang-jarang dapat dilihat dikawasan-kawasan hutan biasa. Namun tidak banyak yang
diketahui umum tentang impak yang telah ditinggalkan oleh mereka terhadap
biodiversiti. Beberapa impak yang ditinggalkan oleh penggiat-penggiat ini antaranya
ialah menggunakan api secara tidak berhati-hati akan menyebabkan kebakaran hutan
secara tidak langsung.
Disamping itu juga, kegiatan penebangan pokok dengan sengaja untuk mendirikan
tiang-tiang khemah dan juga sebagai sumber kayu api secara tidak langsung akan
mengakibatkan banyak pokok-pokok muda terhapus dan struktur umum komuniti
pokok dikawasan tersebut akan berubah. Kesan daripada itu hanya sebilangan kecil
pokok sahaja yang akan matang dan kurang sesuai digunakan untuk tempat berteduh
pada masa-masa akan datang. Terdapat juga kegiatan pembuangan sampah secara
berlebihan yang bukan sahaja menjadikan pemandangan dikawasan persekitaran cacat
malah secara tidak langsung mengubah status nutrien tanah dan mengakibatkan
kerosakan hidupan biodiversiti dengan cara menyekat kemasukan udara dan cahaya di
persekitaran tersebut.
Selain daripada itu, aktiviti perkhemahan juga mempunyai kesan yang serupa dengan
injakan. Pembinaan tempat berkhemah melibatkan penebasan pokok dan juga
tumbuh-tumbuhan dikawasan sekitar tapak. Kerosakan dikawasan tersebut juga secara
tidak langsung akan juga berkembang ke kawasan sekitarnya berikutan keperluan
pembinaan lorong untuk berjalan dan tapak untuk keperluan asas yang lain seperti
dapur, tandas dan juga tempat penyimpanan peralatan.
Sehingga hari ini masih kurangnya penyelidikan terutamanya tentang mutu air
disebabkan oleh kegiatan rekreasi terutamanya rekreasi yang berasaskan air seperti jet
ski, motor bot, bot laju dan kenderaan rekreasi air yang lain. Menyedari kepada
keadaan yang serius ini amat menghairankan mengapa tidak banyak penyelidikan
yang dijalankan untuk mengetahui sebabnya.
Pembangunan pelancongan rekreasi berasaskan cabaran boleh memberi tekanan ke
atas sumber semula jadi bila berlakunya peningkatan penggunaan kawasan dan
kemasukan jumlah pelancong yang datang. Aktiviti perkhemahan, penjelajahan hutan
dan mendaki gunung lazimnya memerlukan kawasan yang berdekatan dengan punca
air bagi memudahkan aktiviti memasak dan mencuci. Namun jika penggunaan sumber
air tersebut digunakan dengan cara yang bertentangan akan mengakibatkan sumber
biodiversiti di kawasan tersebut menghadapi kesukaran untuk hidup. Contohnya
aktiviti mencuci samada peralatan memasak atau pinggan mangkuk dikawasan denaidenai,
sungai dan juga tasik jika tidak diuruskan dengan baik seperti tumpahan
minyak dan juga peningkatan bahan kimia di dalam air akibat daripada sabun pencuci
secara tidak langsung akan mengakibatkan habitat di dalamnya akan terjejas.
Ini amat juga membimbangkan jika jumlah patogen dibawa masuk ke dalam
persekitaran air melalui sisa kumbahan mentah atau kumbahan yang tidak diproses
dengan secukupnya. Hal ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada
pengguna rekreasi yang lain. Selain itu, menurut Mathieson & Wall (1982),
pertambahan nutrien ke dalam air juga akan mempercepatkan proses eutropikasi.
Keadaan ini berlaku di mana rumpai akan cepat tumbuh dan sekaligus boleh
mengurangkan paras dan kandungan oksigen yang terlarut dan umumnya boleh
mengundang kematian, menjejaskan ikan, komposisi dan kadar pertumbuhan serta
pembiakan spesis-spesis air yang lain.
Pencemaran air daripada aktiviti meredah hutan dengan menggunakan kenderaan
pacuan empat roda juga menyumbang kepada gangguan terhadap sumber biodiversiti
akibat daripada tumpahan minyak. Menurut Jaffry & Benderi (2006), aktiviti pacuan
empat roda juga boleh mengakibatkan pencemaran air yang serius akibat hakisan
denai-denai dan anak sungai yang juga terdedah kepada pencemaran minyak
kenderaan yang digunakan. Sekalipun kuantitinya dalam jumlah yang kecil namun
ianya tetap memberi impak yang besar kepada sumber biodiversiti.
Pengangkutan melalui udara, air dan darat adalah sumber utama penyumbang kepada
peningkatan bilangan jumlah pelancong yang datang. Menurur Weed & Bull (2004),
pelancongan sememangnya mempengaruhi pembangunan di dalam arena
pengangkutan. Walau bagaimanapun penggunaan pengangkutan ini jika secara
berlebihan akan menyebabkan kepada peningkatan pencemaran udara dan bunyi
disebabkan oleh asap-asap pengangkutan tersebut dan bunyi yang dihasilkan.
Penambahan dan peningkatan pengeluaran karbon monoksida akan menyebabkan
penipisin ozon dari masa ke semasa secara tidak langsung akan memberi impak yang
kuat kepada rumah hijau. Pencemaran bunyi daripada kapal terbang, kereta dan bas
serta pengangkutan rekreasi yang lain seperti jet ski dan juga bot merupakan masalah
yang semakin berkembang dalam kehidupan moden hari ini.
Kehidupan flora dan fauna mudah terjejas sekiranya vegetasi semulajadi mereka
diubahsuai ataupun dimusnahkan akibat daripada kegiatan pembangunan yang
tertumpu kepada aktiviti pelancongan dan rekreasi. Kawasan yang dibuka dan
dieksploitasi untuk tujuan pembinaan hotel, banglo-banglo penginapan, kemudahankemudahan
sukan dan sebagainya telah mengakibatkan kehidupan flora dan fauna ini
terjejas dan sekaligus membawa risiko kemusnahan mereka akibat pencerobohan ke
atas habitat semulajadi mereka. Aktiviti-aktiviti pembangunan ini akan menyebabkan
keadaan ekosistem bertambah teruk apabila tercetusnya keadaan seperti hakisan,
pencemaran sumber air, udara dan darat, ancaman terhadap populasi flora dan fauna
dan banyak lagi.
Kehidupan ekosistem marin dengan seriusnya terjejas akibat perkembangan pesat
industri percutian dan pelancongan tepi laut. Maka dengan itu, vegetasi pantai yang
pada hakikatnya memberikan kestabilan kepada persekitaran pantai, seringkali
diubah. Kawasan lagun diubahsuai untuk tujuan pelancongan, pembinaan hotel dan
pasir di kawasan pantai digunakan untuk tujuan pembinaan. Keadaan ini
menyebabkan kemusnahan kawasan persisiran pantai dan juga hutan paya bakau.
Hutan paya bakau mempuyai banyak kepentingan terhadap ekosistem. Antaranya
ialah, habitat semulajadi pelbagai spesies flora dan fauna, memberi perlindungan
kepada kawasan pantai, bertindak sebagai zon pertemuan di antara kawasan air masin
dan kawasan air tawar dan juga sebagai penggalak kepada sedimentasi semulajadi.
Kemusnahan akan turut berlaku daripada sisa buangan dan sisa minyak yang
dihasilkan oleh kapal-kapal persiaran dan juga kenderaan laut yang lain. Masalah
yang sama juga berlaku di sepanjang kawasan perairan pantai. Bukan sahaja akibat
pencemaran pantai, malahan kehidupan terumbu karang yang semakin terancam.
Penghasilan nitrogen daripada sisa organik dan kumbahan akan menggalakkan
pertumbuhan alga. Keadaan ini akan menyebabkan kesesakan terumbu karang di
dasar laut dan juga hidupan laut yang lain akibat kekurangan oksigen. Sementara
kontaminasi bakteria dan juga sisa kumbahan kimia dan logam menyebabkan
keracunan pada koloni terumbu karang dan juga ekosistem marin yang lain. Kematian
drastik terumbu karang akan mengakibatkan berlakunya perubahan pada corak pasang
surut air serta mengakibatkan hakisan pantai.
Keadaan akan bertambah teruk lagi akibat kerakusan penyelam-penyelam mengambil
cebisan terumbu karang untuk digunakan sebagai cenderahati dan dijadikan dekorasi
di dalam akuarium. Telah diketahui umum bahawa terumbu karang memainkan
peranan yang penting di dalam ekosistem laut. Aktiviti pengambilan terumbu karang
di dasar laut adalah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang. Kemusnahan
flora turut diakibatkan oleh aktiviti bebanan mekanikal yang dilakukan oleh manusia
seperti berjalan, penjelajahan hutan, pendakian bukit dan gunung, aktiviti pemanduan
lasak, aktiviti perkhemahan dan berbagai lagi.
Aktiviti rekreasi yang melibatkan sukan bermotor turut memberi kesan terhadap
kualiti udara, terutamanya yang melibatkan sukan bermotor seperti perlumbaan
kereta, bot laju dan juga pertunjukan pesawat udara. Pembinaan laluan dan trek serta
kurangnya penyelenggaran ke atas laluan-laluan yang di bina mengakibatkan
berlakunya pengerasan tanah dan juga hakisan tanah. Aktiviti-aktiviti sukan seperti
basikal lasak, perlumbaan kereta dan motosikal yang sering dilakukan di luar trek
turut mengakibatkan kesan yang sama.
Sukan bermotor seperti kenderaan pacuan empat roda dan motosikal lasak yang sering
dilakukan terutamanya di kawasan hutan memberikan impak negatif ke atas
kehidupan fauna. Ini termasuklah gangguan terhadap burung dan haiwan lain yang
berhabitat di atas tanah, pemusnahan habitat semulajadi fauna. Manakala latihan
sukan air yang intensif termasuk penggunaan kawasan sungai yang cetek, kawasan
laut dan tebing sungai juga dapat mengganggu proses kehidupan habitat di kawasan
sekitar terutamanya burung-burung. Gangguan yang berterusan terhadap habitat
hidupan ini juga bermakna corak penempatan dan sarang-sarang burung akan
terganggu dan menjadi kurang padat. Secara tidak langsung menyebabkan
kebanyakan burung-burung ini terpaksa berpindah mencari kawasan yang tidak
diganggu oleh aktiviti manusia. Burung-burung yang bermigrasi dari negara sejuk ke
negara kita juga terpaksa mengubah haluan dan mencari tempat penghijarahan yang
lain akibat pencerobohan ke atas habitat sementara mereka oleh aktiviti manusia.
Taman-taman Negara pula ditubuhkan sebagai langkah dan usaha kerajaan untuk
mengekalkan konservasi dan perlindungan terhadap ekosistem dan biodiversiti
negara. Namun demikian, masalah lain pula timbul apabila bilangan pelancong terlalu
ramai berkunjung ke taman negara. Ini akan memberi tekanan dan gangguan kepada
haiwan terutamanya singa, harimau bintang dan hidupan liar yang lain akibat safarisafari
yang dilakukan manusia dan juga aktiviti pengambilan foto yang berlebihan.
Habitat mereka yang sering dicerobohi kenderaan bermotor turut memberikan impak
negatif kepada hidupan-hidupan liar ini. Selain itu, keadaan ini turut menyebabkan
berlakunya pencemaran bunyi yang bukan sahaja mengganggu hidupan-hidupan ini,
malahan menjejaskan keseluruhan ekosistem dan biodiversiti. Dalam sesetengah
situasi, berlaku juga kemalangan yang melibatkan hidupan-hidupan liar ini akibat
dilanggar kenderaan yang dipandu pada had laju yang tinggi.
Selain itu, gangguan terhadap sifat dan pelakuan semulajadi fauna turut berlaku
apabila para pengunjung dan pelancong sering memberi makanan yang tidak
mengikut spesifikasi makanan yang dibenarkan kepada mereka.
Selain itu, aktiviti pelancongan dan rekreasi yang berlebihan terutamanya di kawasan
hutan juga menyebabkan gangguan terhadap waktu penyusuan hidupan liar. Selain
itu, penyebaran wabak penyakit kepada hidupan liar akan turut berlaku akibat
kerakusan manusia mengeksploitasi kawasan hutan tanpa memikirkan usaha
konservasi dan pemuliharaan hutan. Keadaan-keadaan ini jelas menunjukkan
ketidakseimbangan di antara kegiatan pelancongan rekreasi berasaskan cabaran dan
usaha-usaha pemuliharaan biodiversiti. Langkah-langkah drastik perlu dilakukan
untuk mengatasi masalah-masalah ini. Usaha-usaha ini amat penting bagi memastikan
sumber biodiversiti sentiasa terpelihara demi kepentingan semua pihak.
CABARAN PEMULIHARAAN BIODIVERSITI
Dalam proses pembangunan dan globalisasi, terdapat banyak cabaran yang dihadapi
dalam pemuliharaan sumber biodiversiti. Ini ternyata, khususnya di negara-negara
yang sedang membangun di mana negara maju yang kaya akan mengeksploitasi hutan
tropika negara membangun yang kaya dengan sumber biodiversiti bagi tujuan
mengaut keuntungan. Untuk berjaya dan lebih kekal lama, pelancongan rekreasi
berasaskan cabaran memerlukan langkah-langkah perlindungan terhadap khazanah
alam yang tidak ternilai harganya. Perlindungan tempat-tempat tarikan penggiat
rekreasi perlulah dianggap sebagai suatu pelaburan jangka panjang dan penting untuk
potensi ekonomi sesebuah negara.
Kaedah yang terbaik untuk memelihara sumber biodiversiti adalah dengan
melindunginya sebelum ia terancam. Pelbagai langkah perlu diambil ke arah
memulihara sumber biodiversiti yang sememangnya memainkan peranan yang amat
penting kepada kehidupan manusia. Pelbagai aktiviti manusia mendorong kepada
kemusnahan sumber biodiversiti secara langsung mahupun secara tidak langsung.
Antara aktiviti-aktiviti ini termasuklah pembinaan, penerokaan hutan, pencemaran
alam sekitar, pelancongan dan rekreasi serta banyak lagi. Menurut Mason (2003),
impak terhadap biodiversiti merangkumi kerosakan flora dan fauna, kemasukan
pengunjung yang tidak terkawal, pencemaran bahan buangan akan mengganggu
hidupan liar dan juga habitatnya serta penggunaan kenderaan yang mengakibatkan
bunyi bising dan kerosakan terhadap alam sekitar.
Pendidikan juga merupakan jalan terbaik untuk membentuk sikap manusia terhadap
sumber biodiversiti. Menurut Mason (2003), interpretasi merupakan salah satu kaedah
yang dapat membentuk sikap dan tingkahlaku manusia kerana ianya merupakan satu
proses untuk berkomunikasi dengan manusia melalui makna-maknanya yang
simbolik. Melalui interpretasi pengunjung sememangnya terlibat dalam proses
pendidikan secara formal ataupun tidak formal dan ianya boleh melalui pelbagai
bentuk seperti media dan juga secara pembentangan. Manakala menurut Jones (1995),
beberapa yang boleh digunakan untuk menjaga sumber biodiversiti ialah
penstrukturan semula polisi, penjagaan habitat dan spesis serta pengurusan kawasan
tanah yang lebih teratur.
Aktiviti pelancongan rekreasi berasaskan cabaran sememangnya dapat memberikan
pulangan ekonomi yang baik kepada negara. Selain itu, ia turut memberikan kesan
yang positif kepada individu di mana individu itu sendiri akan mendapat input
daripada aktiviti riadah yang dijalankan. Disebalik kelebihan-kelebihan ini, terdapat
juga kekurangannya. Sumber biodiversiti dan ekosistem terjejas akibat keghairahan
manusia untuk menjalankan aktiviti-aktiviti rekreasi. Oleh yang demikian, setiap
peringkat masyarakat perlu memainkan peranan dalam usaha memelihara dan
memulihara alam sekitar.
Pihak kerajaan dan penganjur program percutian dan rekreasi perlulah menyediakan
informasi yang secukupnya kepada para pelancong tentang bagaimana untuk
memelihara sikap dan perilaku terutamanya sewaktu menjalankan akiviti yang
melibatkan alam sekitar. Panduan tentang cara-cara untuk menjaga tingkah laku yang
lebih ’mesra alam sekitar’ juga perlu dikeluarkan dan dikuatkuasakan sekiranya
perlu. Selain itu, pihak berkuasa juga perlu memperkenalkan caj-caj tertentu bagi
penggunaan sumber ekosistem dan biodiversiti yang sensitif seperti di taman-taman
negara bagi menyediakan kemudahan kewangan untuk memudahkan kerja-kerja
penyelenggaraan dan pembaikan. Sistem pengurusan alam sekitar yang efektif perlu
dilaksanakan supaya usaha-usaha konservasi sumber biodiversiti akan dapat
dijalankan dengan lebih sistematik dan efisien.
Kesedaran individu dan masyarakat tentang betapa pentingnya memelihara sumber
biodiversiti merupakan perkara asas yang paling utama dalam usaha mengekalkan
alam sekitar yang mapan. Pengusaha-pengusaha tempat pelancongan dan penguruspengurus
projek perlulah mengambil inisiatif untuk mengumpulkan dan memisahkan
bahan-bahan buangan mengikut jenis untuk dikitar semula. Dalam pada masa yang
sama, pekerja-pekerja sektor pelancongan dan para pelancong perlu diingatkan
tentang kepentingan kitar semula. Langkah ini amat perlu bagi mengurangkan
pencemaran alam sekitar.
Bagi mengatasi masalah kesesakan di tempat-tempat pelancongan dan juga masalah
pencemaran serta gangguan terhadap ekosistem alam sekitar, langkah mengawal
jumlah pelancong pada sesuatu masa adalah satu langkah yang amat baik.
Selain itu, inventori juga perlu dibuat sebelum sesuatu projek pembinaan pusat-pusat
rekreasi dan pelancongan dilaksanakan. Langkah ini adalah bagi memastikan biotop
berada di dalam keadaan yang baik dan juga menyediakan ukuran bagi meneutralkan
serta mengatasi gangguan yang melibatkan biotop. Penilaian yang signifikan perlu
dibuat berdasarkan perlindungan terhadap spesies, biotop dan juga fungsi ekologi
yang lain.
Bagi mengelakkan berlakunya pencemaran terhadap alam sekitar, penggunaan produk
yang dapat dibiodegradasi dan mesra alam perlu dikuatkuasakan. Perhatian khusus
perlu diambil dan semua pihak perlu bertanggungjawab dan bekerjasama memainkan
peranan dalam usaha memastikan sumber biodiversiti negara terpelihara. Antaranya
ialah;
_ Pihak berkuasa perlulah menghadkan kemasukan para pelancong ke kawasankawasan
dilindungi yang mempunyai sumber semulajadi yang perlu
dipelihara. Jika perlu, sesetengah kawasan haruslah dijadikan kawasan
larangan. Usaha ini perlu, bagi mengekalkan sumber semulajadi dan
biodiversiti daripada dicerobohi dan musnah akibat aktiviti manusia.
_ Pihak berkuasa perlu mengharamkan pengambilan terumbu karang dari dasar
laut, flora dan juga fauna yang dilindungi.
_ Pihak berkuasa juga perlulah mewujudkan laluan-laluan kenderaan yang
khusus dan ditetapkan sahaja. Tindakan keras wajib diambil ke atas mereka
yang menggunakan laluan selain yang ditetapkan secara haram.
_ Jumlah para pelancong ke sesuatu tempat dan jumlah lawatan yang diadakan
pada setiap hari perlulah ditetapkan.
_ Kempen kesedaran dan pendidikan perlu diterapkan kepada para pelancong.
Sumber-sumber pengiklanan seperti media massa dan media elektronik perlu
digunakan dalam usaha memberi kesedaran kepada para pelancong khususnya
dan juga masyarakat setempat amnya. Masyarakat perlu ditanamkan dengan
semangat yang digambarkan oleh tema yang selalu digunakan oleh pencinta
alam sekitar iaitu ’berfikir secara global, bertindak secara setempat’.
_ Latihan dan kursus perlu diberikan kepada pengendali program-program
rekreasi agar setiap aktivii yang dijalankan mengikut spesifikasi dan panduan
yang telah ditetapkan.
KESIMPULAN
Pelancongan rekreasi berasaskan cabaran sememangnya menjadikan alam semulajadi
sebagai medium untuk menjalankan aktiviti berdasarkan minat masing-masing dan
tarikan pengunjung adalah interaksi dengan alam semulajadi. Namun ianya harus
diwujudkan interaksi yang lebih jelas di antara kedua-duanya untuk melindungi
sumber alam daripada musnah akibat daripada kegiatan yang tidak bertanggungjawab.
Pelancongan rekreasi berasaskan cabaran, sekiranya dirancang dan diuruskan dengan
sebaiknya-baiknya berupaya untuk menjana sumber ekonomi yang pesat kepada pihak
kerajaan, pengusaha-pengusaha swasta dan juga masyarakat setempat. Tambahan
pula, ia juga berperanan sebagai satu faktor yang penting kepada usaha-usaha
konservasi budaya dan alam sekitar. Namun demikian, akiviti-aktiviti pelancongan
rekreasi yang dipraktikkan juga sering mengundang kontroversi dan impak yang
serius terhadap ekosistem dan biodervisiti. Keadaan ni menimbulkan tanda tanya
terhadap keberkesanan dan ketahanan pembangunan pelancongan rekreasi berasaskan
cabaran di negara kita.
Pelbagai isu dan masalah timbul ekoran daripada aktiviti-aktiviti pelancongan rekreasi
yang dijalankan. Dalam konteks ini, perlu ditekankan bahawa permasalahan yang
timbul bukanlah diakibatkan oleh pelancong dari luar negara sahaja, malahan, ia juga
turut disebabkan oleh sikap pelancong tempatan sendiri. Oleh yang demikian, usahausaha
ke arah mempertahankan pertumbuhan ekonomi negara, sumber biodiversiti
dan juga kepentingan sosial perlu digerakkan, di samping meminimumkan impak
negatif daripada pelancongan rekreasi berasaskan cabaran agar manusia dan
biodiversiti sama-sama dan seiring dapat hidup di atas muka bumi ini.

Rujukan
Botkin and D. B (2005). Environmental sciences: Earth as a living planet. New York,
John Wiley
Bucher, C. A. and R. D. Bucher (1974). Recreation For Today's Society. United
States, Prentice Hall.
Hassan and R. M (2005). Ecosystem and human well being : Current state and trends
findings of the condition and trends working group of the millenium ecosystem
assesment. Washington DC, Island press.
Jones, G. (2004). People and Environment. England, Pearson education limited.
Mason, P. (2003). Tourism Impacts, Planning and Management. Great Britain,
Biddles Ltd.
Mathieson, A. and G. Wall (1982). Tourism : Economic, Physical and Social Impacts.
London, Longman Group UK Limited.
Newsome, D., S. A. Moore, et al. (2004). Natural Area Tourism : Ecology, Impacts
and Management. Canada, Cromwell Press.
Polasky and Stephen (2002). The economics of biodiversity conservation. Burlington,
Ashgate.
Weed, M. and C. Bull (2004). Sport Tourism Participant, Policy and Provider.
Burlington, Elsevier Butterworth Heinemann.
Yong Frank. S. K (1990). Impact of tourism on Taman Negara National Park
Malaysia. International conference on conservation of tropical biodiversity 'In
harmony with nature', Kuala Lumpur.
Zakaria, J. and B. Dasril (2006). Impak pelancongan sukan terhadap alam sekitar.
Persidangan Antarabangsa Teluk Danga Johor Bahru, Universiti Teknologi Malaysia.
Zbigniew, M. (1995). Environmental Issues of Tourism and Recreation. United
States, University Press of America.

Jaffry Zakaria
Fakulti Sains Sukan
Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak
Malaysia
jaffry@upsi.edu.my
Nor Azlina Hasbullah
Institut Sains Biologi
Universiti Malaya, 50603 Lembah Pantai, Kuala Lumpur
Malaysia
azahhas@um.edu.my

Anda mungkin juga menyukai