Anda di halaman 1dari 11

Keburukan 

Friendster
31 Mac 08 pada 3:44 am (Ilmiah)

Sebab utama saya meninggalkan Friendster adalah


demi menjamin kualiti sebuah ikatan persahabatan. Bagi saya, Friendster membuatkan saya
kurang menghargai rakan-rakan, sama ada yang dekat atau jauh, yang mengelilingi diri saya.
Sejak zaman turunnya Nabi Adam dari syurga, dan sejak manusia buat kali pertama tinggal di
atas muka bumi, ikatan persahabatan tidak berfungsi seperti hari ini.

Di zaman mereka, persahabatan bermakna pertemuan dan perpisahan. Kadang-kala perpisahan


itu ada pertemuannya sekali-sekala, dan kadang-kala terus lesap macam asap. Persahabatan hari
ini, yang dibantu dengan teknologi Friendster menjadikan erti persahabatan itu sebagai sebuah
pertemuan (dan sebuah pertemuan), dan tiada perpisahan. Akibatnya, persahabatan menjadi
online 24 jam, 7 hari seminggu, walaupun seorang di benua Amerika, dan rakannya itu pula di
benua Asia.

Bagi saya perpisahan (atau lama tak jumpa dan tahu khabar) menjadikan saya menghargai rakan-
rakan yang ada. Saya dapat merasakan perbezaan ketara apabila bertemu dan berbual di dunia
nyata dengan rakan yang ada di dalam senarai Friendster saya berbanding rakan yang tiada
Friendster. Borak saya dengan rakan bukan Friendster, yang lama tidak berjumpa, adalah lebih
bermutu dan menyeronokkan. Ini memandangkan saya tidak tahu langsung apa-apa tentang
perkembangan dirinya. Jadi perbualan akan lebih menarik. Dan inilah dia persahabatan! Kamu
bertemu, kamu berpisah, dan kemudian kamu bertemu lagi untuk bersembang hal-hal menarik
sepanjang kamu berpisah.

Kalau kamu sudah tahu bahawa rakan kamu sudah berkahwin dan sudah ada anak, dan anda tahu
berita gembira ini hanya dengan melihat profil Friendsternya, apakah tidak pelik dan janggal
untuk bertanya kepadanya apabila bersua muka di alam nyata, “Eh, engkau dah kahwin ke?”
Saya rasa tidak seronok mengetahui berita tentang rakan saya hanya dengan melihat profil dan
gambar-gambar yang diletakkan di profil mereka. Memang faedahnya kita akan dapat
mengetahui perkembangan terkini sahabat handai, tetapi adakah PERLU bagi kita untuk
mengetahui perkembangan mereka pada setiap bulan, atau pada setiap minggu, atau pada setiap
hari, atau pada setiap jam? Adakah perlu? Dan adakah ini menjamin kualiti dalam persahabatan?

KUALITI
Saya berpendapat persahabatan begini kurang kualitinya. Saya lebih rela lama tidak berjumpa
kawan yang saya ada dan kemudian tiba-tiba berjumpa mereka 10 tahun di akan datang. Ini lebih
menarik dan mengujakan. Berjumpa kawan, sama ada yang jauh atau dekat, tiap-tiap hari di
Friendster adalah sesuatu yang sangat membosankan. Ada orang berhujah bahawa sebab utama
dia menyertai Friendster adalah untuk mencari semula kawan-kawan lama.

Memang betul. Friendster meningkatkan kebarangkalian untuk bertemu semula dengan teman-
teman lama. Selalunya, apabila mereka bertemu kembali dengan kawan lama di Friendster,
mereka akan berasa sangat-sangat terkejut, terkesima, dan teruja. Ada juga rasa riang di
dalamnya. Kemudian mereka saling bertukar-tukar testimonial dan mesej dengan sangat kerap.

Namun, kekerapan ini semakin berkurangan apabila masa semakin menuju ke depan.
Testimonial yang pada awalnya saling bertukaran 2 kali sehari, akhirnya bertukar kepada sebulan
sekali, dan akhirnya 3 bulan sekali. Dan apabila masa semakin lagi bergerak, testimonial yang
pada dulunya memiliki aroma seperti “Eh, bestnya jumpa kau. Apa cerita kau
sekarang..bla..bla..bla.. (panjang sangat nak tulis)”, akhirnya berubah menjadi “Eh, kau ni
memang la. Takkan setakat lalu aje kat profile aku. Alang-alang dah lalu tu, bagi la
testimonial”.

Di samping itu, perkembangan sahabat lama kita akhirnya tidak lagi diberitahu in-person.
Sebaliknya kitalah yang perlu membuka profil mereka untuk mengetahui apa cerita mereka
sekarang. Sounds familiar? Percayalah, dengan tidak memiliki Friendster, anda pasti akan
menemui sesuatu yang lebih menarik dan mengujakan dalam setiap ikatan persahabatan yang
terjalin.

Ketika ibu saya kecil, dia memiliki seorang rakan baik. Namun demikian, mereka berdua telah
berpisah. Pada satu hari, kira-kira 40 tahun kemudian, ibu saya mendapat panggilan telefon dari
seorang wanita. Wah, rupa-rupanya si pemanggil itu adalah rakan ibu saya sewaktu kecil! Dari
mana dia dapat nombor telefon rumah saya, saya sendiri pun tidak tahu. Tetapi, ada udang di
sebalik batu rupanya.

Dia menelefon ibu saya untuk menjemput menghadiri kenduri kahwin anak lelakinya. Anak
lelakinya adalah salah seorang anggota kumpulan rap yang sangat terkenal kira-kira 10 tahun
dahulu (maaf saya rahsiakan nama kumpulan itu). Sebelum berlakunya kenduri kahwin itu, agak
kerap juga ibu saya dan dia berbual di telefon. Selalunya dia yang akan menelefon ibu saya.
Tetapi setelah perginya majlis itu, tidak pernah rasanya dia menelefon ibu saya. Apabila kakak
saya kahwin pula, ibu saya menjemputnya datang, dan Alhamdulillah, jemputan itu berjaya
ditunaikan olehnya.

Dan kemudian mereka berdua berpisah lagi. Sudah jarang menghubungi. Inilah persahabatan.
Bertemu dan berpisah. Datang dan pergi.
Namun, ada sesuatu yang perlu kita sedar. Perpisahan bukan bermaksud terus melupakan. Sebab
itu pepatah Melayu berpesan kepada para suami, “Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”. Orang
tua-tua kita bukan menyuruh suami meninggalkan isteri di rumah untuk menggatal dengan
perempuan lain. Sebaliknya, mereka menasihati suami supaya pergi jauh sekali-sekala dari
rumah, dan apabila pulang, pasti akan terbit lebih rasa kasih sayang di antara suami dan isteri. Ini
kerana jarak dan perpisahan akan melahirkan lebih rasa sayang di hati manusia. Maka,
perpisahan juga akan menjadikan sebuah persahabatan itu lebih berkualiti.

KESAN PSIKOLOGI

Kesan psikologi komuniti sosial maya mungkin masih belum kita rasakannya. Setakat
pengetahuan saya, masih tiada lagi sebarang kajian ilmiah untuk mengkaji kesan Friendster,
MySpace dan sebagainya kepada psikologi manusia. Saya cuma berteori, kesannya hanya dapat
kita lihat kira-kira 20 tahun dari sekarang. Friendster adalah sesuatu yang baru dan ia masih lagi
dalam proses bertatih. Belum pun lagi mencecah separuh dekad usianya. Friendster semakin
mendapat tempat di hati ramai orang. Semakin ramai orang yang lebih suka bersosial di
Friendster dan Yahoo Messenger berbanding di alam nyata. Tidakkah ini berlawanan dengan
fitrah manusia?

Kadang-kadang saya berasa aneh apabila melihat gelagat manusia yang begitu asyik melayan
rakannya di komputer, sehingga rakan yang ada di sebelahnya dilayan acuh tak acuh (saya juga
kadang-kala terjebak dengan perbuatan tak bagus ini). Pernah sekali saya memasuki bilik rakan
saya. Di bilik itu ada 3 orang penghuni. Sebelum saya masuk, saya sangka tiada orang di bilik itu
kerana senyap sunyi sungguh. Tiada suara manusia. Jika ada semut bersin, mungkin saya akan
mendengar bersinan semut itu. Rupa-rupanya, masing-masing sibuk dengan internet, YM dan
Friendster.

Inikah persahabatan yang kita mahukan? Persahabatan yang kurang menghargai sahabat yang
ada di sebelah? Saya mahu sembang-sembang dengan mereka pun rasa teragak-agak
memandangkan masing-masing sudah hanyut di internet. Akhirnya, saya membuat keputusan
untuk keluar sahaja setelah bertanya satu dua patah soalan yang dijawab secara sambil lewa.

Dari kesan psikologi yang lain, apa akan terjadi kira-kira 20, 30, 40 tahun dari sekarang, apabila
banyak profil di Friendster yang menampilkan profil-profil orang yang sudah mati. Saya rasa,
sesuatu yang agak depressing apabila melihat satu demi satu rakan-rakan Friendster kita
meninggal dunia. Jika anda adalah rakan MySpace kepada mangsa pembunuhan bersenjata yang
dilakukan oleh Cho Seung Hui di Virginia Tech, apa yang mungkin anda rasa sekarang?1

MEMBUANG MASA

Masa juga menjadi sebab utama mengapa saya meninggalkan Friendster. Kebanyakkan orang
memiliki alasan ini untuk meninggalkan Friendster. Seorang rakan saya, memberitahu bahawa
semasa di zaman Friendsternya, secara purata dia menghabiskan 3 jam sehari melayari
Friendster. Ya, 3 jam. Oleh kerana sehari ada 24 jam, maka dia menghabiskan 1/8 waktu
hariannya di Friendster.
Saya pula dalam 1 jam sehari. Tapi apa yang saya dapat dalam 1 jam melihat profil sekian-sekian
orang, yang kadang-kala tiada kaitan langsung dengan diri saya? Saya mungkin tidak mendapat
dosa dengan melihatnya (belum tentu lagi), tapi saya yakin saya telah melakukan sesuatu yang
lagha dan tidak ada manfaat, baik bagi kehidupan dunia mahu pun akhirat. Kalau ada manfaat
dunia, masih okay lagi, tetapi apabila saya memikirkan tiada langsung manfaat dunia dan akhirat,
lebih bagus saya belajar buat roti canai.

Di dalam bab fiqh Islam, ada satu masalah furu’ yang bersifat khilaf tentang hukum bermain
catur. Para fuqaha berbahagi-bahagi pendapat tentang hukumnya. Pendapat majoriti fuqaha
mazhab Hanbali adalah haram bermain catur, dan hukum haram ini adalah hukum paling kuat
ataupun rajih di dalam mazhab Hanafi. Ada juga ulama yang mengelaskan hukum bermain catur
sebagai jatuh dalam grey area. Malah ada juga ulama-ulama besar yang mengatakan harus
hukum bermain catur. Dalam mazhab Shafi’i pula, hukum bermain catur tidaklah haram, cuma ia
tidak digalakkan.2

Namun demikian, secara umumnya hukum pelbagai jenis yang dikeluarkan oleh para fuqaha itu
ada melibatkan konsep masa. Ulama-ulama ini bimbang kalau-kalau umat Islam terlalu asyik dan
leka bermain catur. Para ulama adalah golongan manusia yang benar-benar memahami dan
menghargai nikmat masa yang Allah kurniakan ke atas kita. Bagi mereka, satu saat yang
digunakan secara sia-sia akan membuatkan manusia menangis dan benar-benar menyesal di hari
Akhirat nanti.

Bayangkan, bagaimana agaknya kalau para ulama yang mengeluarkan hukum bermain catur itu
masih lagi hidup pada hari ini, dan kemudiannya mereka melihat pemuda-pemudi Islam
menghabiskan banyak masa mereka di Friendster, MySpace, X-Box, PS3, anime, soap opera,
Yahoo Messenger, dan sebagainya? Ini realiti remaja Islam sekarang. Perjuangan Islam
memerlukan tenaga orang muda. Adakah orang muda Islam hari ini mampu melakukan sehebat
Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menawan kota Istanbul (Constantinople) dari
cengkaman Empayar Byzantine ketika usianya baru sahaja 21 tahun?

Saya sudah pun melepasi had umur 21 tahun, dan saya masih tidak melakukan sumbangan besar
kepada Islam. Adakah anda mampu memecahkan rekod Sultan Muhammad al-Fatih, seperti
dengan membebaskan kota Palestin dari rejim Zionis pada usia 20 tahun?

Mungkin itu terlalu besar bagi diri kita. Ibarat mahu mengumpul bintang-bintang di langit.
Taqwa kita dan taqwa Sultan Muhammad al-Fatih besar bezanya. Taqwa yang lemah tidak
mampu menggentarkan Zionis dan musuh-musuh Islam yang lain. Maka, kita beralih kepada
sesuatu yang lebih kecil. Bolehkah kita pada hari ini, sekurang-kurangnya membaca setengah
juzuk Al-Quran setiap hari? Angkat tangan siapa boleh!

Saya tahu, tak ramai yang mampu. Setengah juzuk Al-Quran hanya memerlukan kira-kira 30
minit untuk membacanya. 30 minit terasa seperti 30 jam apabila orang-orang yang berhati kotor
membaca Al-Quran. Tetapi kita dengan mudah mampu melayari Friendster sekurang-kurangnya
30 minit setiap hari. Aneh bukan? Mungkin ini ada kaitannya dengan teori relativiti yang
dikemukakan oleh Albert Einstein. Satu petikan kata-katanya untuk menjelaskan teori relativiti
yang kompleks ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang awam ialah:

“Put your hand on a hot stove for a minute, and it seems like an hour. Sit with a pretty girl for an
hour, and it seems like a minute. That’s relativity.”

Agaknya pada hari ini, tidak salah kalau saya


mengatakan bahawa umat Islam, tanpa
mereka sedari telah memiliki satu rumus
paradigma: hot stove = Al-Quran, dan
pretty girl = Friendster.

PERUBAHAN
Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan
pandangan saya tentang Friendster. Tidak
mengapa. Saya tidak paksa anda untuk
meninggalkannya secara serta-merta. Sebab
itu artikel ini bertajuk Kempen Menjauhi
Friendster, dan bukannya Kempen
Memboikot Friendster. Saya tidak syadid
atau keraskan perkara ini kepada anda. Saya
hanya syadid pada diri saya sendiri. Saya
bimbang kalau-kalau saya ketagih Friendster, maka saya gunakan kaedah cold turkey3 untuk
mengatasinya.

Bagaimana saya mampu untuk menghalang manusia dari menyertai komuniti sosial maya ini,
sedangkan ia semakin menjadi budaya kehidupan manusia zaman moden? Pada tahun 2006,
carian utama di Google adalah Bebo (tangga pertama) dan MySpace (tangga ke-2) 4. Bebo juga
merupakan satu lagi rangkaian sosial maya yang semakin meraih populariti masyarakat dunia.
MySpace, Bebo, Friendster, dan lain-lain, adalah realiti hari ini.

Tapi percayalah, hati manusia itu sifatnya sentiasa berubah. Mungkin hari ini anda memandang
Friendster itu sebagai sesuatu yang elok dan bermanfaat. Saya juga begitu satu ketika dahulu.
Tetapi, apabila alam ini semakin mendewasakan saya, pandangan dan paradigma saya telah
berubah. Sama ada kita sedari atau tidak, satu hari nanti kita pasti akan berubah dan menjadi
semakin dewasa (hanya semata-mata anda berumur 40 tahun, itu tidak bermakna anda telah
dewasa). Muhammad Ali, bekas jaguh tinju termasyhur di dunia pernah berkata:

A man who views the world the same at fifty as he did at twenty, has wasted thirty years of his
life.

Satu hari nanti, apabila datang detiknya anda tiba-tiba terfikir untuk meninggalkan alam
Friendster, maka janganlah ragu-ragu untuk melaksanakannya. Sedangkan pengasas Friendster
sendiri, iaitu Jonathan Abrams juga telah meninggalkan Friendster, mengapa anda juga tidak
boleh? Apa yang bezanya, selepas Jonathan Abrams meninggalkan Friendster, beliau telah
melabur di dalam sebuah kelab malam di San Francisco, iaitu Slide. Dan kemudian mengasaskan
satu lagi rangkaian sosial lain, dinamakan Socializr pada tahun 2006.

Jonathan Abrams mengasaskan Friendster dan Socializr dengan matlamat asalnya yang berbeza.
Beliau mendapat idea menubuhkan Friendster setelah dia gagal dalam percintaan. Jonathan
Abrams tidak boleh hidup tanpa kehadiran wanita di sisinya. Maka dengan kewujudan
Friendster, ia akan membantu Jonathan Abrams untuk mencari teman wanita yang baru yang
cantik5. Socializr pula diwujudkan dengan bisnes dan wang sebagai matlamat utama setelah
Friendster memasuki zaman suramnya (yang akhirnya membawa kepada penarikan dirinya dari
syarikat yang diasaskan olehnya ini).

Kita selaku umat Islam, janganlah setelah meninggalkan Friendster dan kemudian terlibat aktif
pula di dalam MySpace! Kita umat Islam mesti memiliki pandangan hidup yang berbeza dengan
mereka yang bukan Islam. Matlamat kita akhirat, bukan dunia. Dunia adalah alat, dan akhirat itu
matlamat. Maka gunakanlah alat-alat yang ada di dunia ini dengan sebaik-baiknya. Oleh itu,
setelah kita menarik diri dari Friendster, fokuskan usaha kita pada perkara-perkara yang lebih
membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Bak kata Sidi Ahmad al-Zarruq6 di dalam
wasiatnya:

“Berkerjalah di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup selamanya, tetapi beramallah untuk
akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.”

MENCARI SAHABAT

Gunakanlah Friendster secara ala kadar. Jangan terlebih-lebih kadar. Dan jangan fikir dengan ada
beratus-ratus orang kawan di dalam senarai sahabat Friendster anda, itu menandakan anda sangat
popular dan memiliki ramai kawan. Sahabat baik susah dicari. Sebab itu Rasulullah saw sendiri
pernah bersabda di hampir penghujung usia Baginda, yang maksudnya lebih kurang,

“Orang yang paling aku percayai adalah Abu Bakar. Jika aku mahu mengambil seorang sahabat
baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu.”7

Semua umat Islam kenal Abu Bakar as-Siddiq. Beliau merupakan lelaki pertama yang benar-
benar percaya kepada wahyu Allah yang dibawa oleh Rasulullah, di kala ramai orang
mengatakan Nabi sudah terkena penyakit gila dan schizo. Beliau adalah seorang lelaki yang
sanggup mengambil risiko menemankan Rasulullah dalam hijrah Baginda dari Mekah ke
Madinah walaupun dirinya sentiasa berada di dalam keadaan ketakutan sepanjang perjalanan
hijrah tersebut. Beliau adalah salah seorang dari 10 orang sahabat Nabi yang dijanjikan Syurga.
Beliau adalah seorang lelaki yang apabila dibentangkan Syurga dan Neraka di hadapannya, pasti
tidak akan bertambah lagi keyakinannya terhadap segala janji dan ancaman Allah kerana
keimanannya sudah berada di tahap paling maksimum. Beliau jugalah yang berkata, “Jika
sebelah kaki aku berada di dalam Syurga dan sebelah lagi di luar, maka aku masih lagi berasa
tidak selamat. Jika kedua-duanya sudah berada di dalam Syurga, barulah aku boleh berkata
Alhamdulillah.”
Abu Bakar begitu istimewa. Beliau adalah sebaik-baik calon sahabat idaman. Siapa yang tidak
mahu menjadikan manusia semulia Saidina Abu Bakar as-Siddiq ini sebagai seorang teman
sejati? Namun demikian, apabila menyentuh tentang konsep persahabatan, Nabi tetap
mengatakan “Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar
di tempat itu.” Padahal, Abu Bakarlah antara manusia yang paling rapat dengan Nabi di
sepanjang perjuangan Baginda menyebarkan dakwah Islam yang penuh dengan ranjau dan duri.
Apa yang boleh dikatakan di sini, sesungguhnya seorang sahabat sejati itu sangat sukar dicari.

Sidi Ahmad al-Zarruq sekali lagi di dalam wasiatnya menasihatkan supaya mencari seorang
teman baik bagi menolong kita di dalam urusan-urusan duniawi dan akhirat. Dan dalam masa
yang sama juga, beliau memberikan amaran bahawa sahabat baik yang benar-benar berada di sisi
kita dalam keadaan susah dan senang adalah amat sukar dicari (jangan lupa bahawa Sidi Ahmad
al-Zarruq hidup pada 846-899 Hijrah, iaitu lingkungan tahun 1400-an. Di zaman itu pun susah
untuk mencari sahabat baik, maka apatah lagi di zaman 2000-an yang semakin materalistik ini).

Ada orang yang suka bermegah-megah dengan ramainya kawan yang mereka ada. Tapi betulkah
kawan yang mereka ada itu benar-benar seorang kawan? Ketahuilah bahawa anda sebenarnya
tidak memiliki ramai kawan. Oleh itu jika anda memiliki seorang kawan baik, anda sebenarnya
terdiri dari golongan yang sangat bertuah di dunia. Dan jika anda ada dua orang kawan baik,
buatlah sujud syukur banyak-banyak kepada Allah. Ini kerana sahabat akan bersama-sama
dengan kita dalam susah atau senang. Dan jangan lupa juga bahawa seorang musuh yang kita ada
adalah jauh lebih banyak dari 1000 kawan di sekeliling pinggang.

Kawan yang hanya bersama kita di waktu senang, itu tidak dinamakan kawan. Itu dinamakan
parasit. Saya pernah sahaja mendengar beberapa kisah sahih tentang persahabatan dunia moden.
Dua orang ini siap pernah berbai’ah, atau pun taat setia. Tetapi apabila yang seorang lagi benar-
benar di dalam kesusahan, tiba-tiba rakannya itu tidak mahu menolongnya. Ini kes kawan yang
lari di waktu kita susah, belum lagi masuk
bab kawan makan kawan, atau kawan
tikam belakang.

SAHABAT DAN CINTA

Perhubungan sahabat adalah sama seperti


perhubungan cinta. Kita tidak
menganggap seseorang itu cintakan kita
apabila dia melarikan diri apabila kita
susah. Begitulah juga dalam
persahabatan. Fahami konsep cinta ini,
maka kita akan faham tentang konsep
persahabatan. Cinta itu lebih asyik
berbanding sebuah persahabatan. Dalam
cinta, kita akan selalu berjumpa ayat-ayat
cinta seperti “Aku akan tetap bersama mu selamanya…dalam susah atau pun senang.” Ini janji
sehidup semati dalam percintaan. Sedangkan orang yang bercinta (malah yang telah berkahwin)
pun boleh berpisah dan bercerai-berai, maka apatah lagi dalam hubungan persahabatan.
Sifat cinta adalah setia dan patuh kepada insan yang dicintainya. Seorang wanita pernah bertanya
kepada seorang penyair tentang bagaimana kita mahu tahu sama ada seseorang itu benar-benar
mencintai dirinya dengan sebenar-benar cinta. Dan penyair itu menjawab:

“Jika si dia berasa yang dia pasti mati jika tidak meminum air disebabkan kehausan, dan
kemudian engkau berkata kepadanya, “Jangan minum air itu“, maka dia tidak akan minum air
itu”.

Inilah yang dinamakan cinta. Dan inilah juga intisari ikatan persahabatan. Persahabatan dan
percintaan yang hakiki tidak akan berubah apabila situasi berubah. Pengajarannya, berhati-
hatilah dalam mencari cinta dan persahabatan di dalam dunia ini.

Ikatan persahabatan dan percintaan (yang palsu) berubah apabila situasi berubah kerana
kebanyakkan manusia melihat sesuatu perkara, masalah dan isu mengikut dari kaca mata dirinya
sahaja. Dengan kata lain, kebanyakkan manusia mementingkan diri sendiri, atau pun selfish.
Oleh itu, apabila memulakan sebuah persahabatan dan percintaan, jangan terus menganggap
bahawa mereka akan benar-benar memahami diri kita.

Lain tempat tegak, lain barang yang nampak. Dunia dia dan dunia anda mungkin berbeza. Tapi
tak mustahil anda dan dia mempunyai aspirasi yang sama. Lihat sahaja sejarah perkembangan
Islam oleh Rasullullah di Mekah selama 13 tahun, dan di Madinah selama 10 tahun. Bagaimana
caranya dalam tempoh 23 tahun itu, Rasulullah berjaya menyatukan penduduk tanah Arab yang
terdiri dari pelbagai puak yang saling bercakaran dan dibelit pula dengan fahaman fanatik
asobiyyah, menjadi satu ummah yang diikat kukuh dengan tali akidah kepada Allah yang satu?

Ini kerana mereka yang memeluk Islam itu memiliki aspirasi yang sama. Aspirasi mereka adalah
untuk mencari keredhaan Allah, dan seterusnya mudah-mudahan mendapat balasan syurga dan
terlepas dari azab api neraka. Dengan aspirasi inilah kaum Ansar sanggup mengorbankan apa
sahaja demi menolong orang-orang Muhajirin. Ya, apa-apa sahaja, sehingga ada kaum Ansar
yang mahu menceraikan isteri mereka untuk diberikan kepada orang-orang Muhajirin yang
masih bujang. Kaum Ansar ini tidak gila, tetapi mereka telah benar-benar memahami konsep
persaudaraan dan persahabatan yang hakiki.

Melalui aspirasi itu jugalah, umat Islam yang pada mulanya hanya ada seketul dua jumlahnya,
akhirnya meningkat menjadi beratus-ratus ribu orang yang berpayung di bawah akidah tauhid
yang sama. Seluruh tanah Arab berjaya di Islamkan. Ketika berlakunya Haji Wida’ tahun 10
Hijrah, iaitu haji terakhir yang dihadiri oleh Rasulullah sebelum kewafatannya pada tahun 11
Hijrah, sekurang-kurangnya 120,000 orang telah bersama-sama Nabi mengerjakan haji tersebut.
Kadang-kadang, amat aneh memikirkan bagaimana dalam tempoh 2 dekad sahaja, umat Islam di
tanah Arab mampu mencapai tahap yang sangat gemilang. Dan saya percaya, ia adalah
disebabkan aspirasi mereka yang sama. Dan aspirasi inilah yang mampu menjadi kunci untuk
mengembalikan zaman kegemilangan Islam di muka bumi ini.

SAHABAT YANG PATUT DICARI


Sahabat yang patut kita cari adalah sahabat yang berkawan dengan kita bukan kerana kekayaan,
kepopularan, kehenseman, dan kecomelan yang kita ada. Kekayaan boleh hilang serta-merta.
Begitu juga dengan populariti. Maka apabila kekayaan dan populariti ini hilang, kita juga akan
kehilangan sahabat. Dan jangan juga berkawan dengan seseorang itu hanya semata-mata dia
hensem, kacak, cantik dan comel. Semua benda ini akan pergi satu hari nanti. Orang yang
dilahirkan cantik, jangan bermegah dan suka menunjuk-nunjuk. Sila merendah diri dan jangan
gedik. Cantik sebenarnya adalah satu masalah besar bagi diri manusia.

Cantik itu ibarat dilahirkan dari perut ibu sebagai seorang yang kaya-raya, dan kemudian
kekayaan itu semakin surut apabila umur bertambah, dan tiada langsung cara untuk
menambahkan kekayaan yang semakin beransur-ansur hilang itu. Pepatah orang putih
mengatakan, “Beauty is only skin-deep”. Maksudnya, kacak dan cantik itu hanyalah setebal
kulit. Apabila kulit manusia yang setebal kira-kira 2mm ini disiat dari badan, maka apakah beza
di antara si Beauty dan si Beast? Maka berhati-hati dengan kecomelan yang anda miliki.

Sahabat yang baik patut menjadi cermin kepada diri kita. Di dalam Sahih Bukhari, terdapat satu
hadith yang sering dipetik oleh umat Islam, iaitu “Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin
yang lain.” Tanya diri anda, apa tujuan anda melihat cermin?

Kita melihat cermin bukan untuk melihat kecantikan diri kita. Kita melihat cermin untuk
membetulkan apa-apa yang tidak kena pada wajah dan badan kita, atau pada pakaian yang kita
kenakan. Ini fungsi hakiki cermin. Jika anda melihat cermin untuk melihat kecantikan diri anda,
dan kemudian rasa perasan yang anda ini cantik, comel atau kacak, maka apa beza di antara anda
dan Wicked Queen dalam kisah dongeng Snow White?8

Oleh sebab itu Nabi mengatakan bahawa seorang mukmin adalah cermin bagi orang mukmin
yang lain. Apabila berjumpa dengan seorang mukmin yang lain, jadikan mereka sebagai cermin.
Lihat perkara-perkara yang baik pada diri mereka, lalu pantulkan kebaikan itu pada diri anda.
Mudah-mudahan pantulan itu akan membuatkan anda menyedari perkara-perkara buruk dalam
hidup anda yang mesti anda perbaiki. Untuk anda menjadi cermin kepada mukmin yang lain,
maka anda juga mahu tidak mahu perlu juga berubah menjadi lebih baik dari semalam. Apabila
semua mukmin saling berfungsi seperti cermin, maka semakin indahlah akhlak masyarakat Islam
yang ditonjolkan kepada masyarakat bukan Islam. Indahnya akhlak akan membawa kepada
perkembangan ummah yang lebih sihat dan progresif.

Kesimpulannya, agak sukar bagi kita untuk melihat keburukan dan aib diri sendiri tanpa ada
cermin. Dan cermin itu adalah saudara mukmin kita. Dengan cermin, barulah kita boleh melihat
siapa kita. William Shakespeare ada menulis satu perkara berkaitan cermin di dalam salah satu
karyanya yang popular, iaitu Macbeth. Katanya lebih kurang, “Tuhan telah menetapkan bahawa
manusia hanya boleh melihat wajahnya melalui cermin”. Dengan kata lain, kita tidak akan sama
sekali boleh melihat wajah sendiri dengan mata kita. Kita hanya boleh melihat wajah sendiri
melalui refleksi yang dihasilkan melalui cermin.

Kita tidak boleh melihat wajah sendiri. Tetapi orang lain yang ada di sekeliling kita boleh
melihat wajah kita. ‘Orang lain’ ini berpotensi menjadi cermin bagi diri kita. Sebaik-baik cermin
adalah orang-orang mukmin. Maka pilihlah ‘cermin’ itu berhati-hati. Cermin yang baik akan
menyedarkan kita tentang keaiban yang ada pada diri. Kurangkan bergaul dan pergi ke tempat-
tempat yang mempunyai banyak ‘cermin-cermin rosak dan dusta’. Cermin-cermin sedemikian
saya sifatkan sebagai cermin yang digunakan oleh Perseus untuk membunuh Medusa. Siapakah
Medusa?

Medusa adalah satu makhluk jahat dalam mitos Greek. Medusa memiliki rambut ular dan
wajahnya begitu hodoh. Manusia yang memandang Medusa akan berubah serta-merta menjadi
batu. Oleh itu Perseus menggunakan pelindung cermin dalam usahanya membunuh Medusa.
Dengan melihat pantulan imej Medusa di dalam cermin (dan tidak memandang tepat ke arah
Medusa bagi mengelakkan disumpah menjadi batu), Perseus akhirnya berjaya memenggal leher
Medusa. Inilah cermin yang membawa kepada kemusnahan Medusa. Dan ‘cermin-cermin rosak
dan dusta’ yang saya sebutkan di perenggan sebelumnya juga boleh membawa kemusnahan
kepada diri kita jika tersilap langkah. Cermin rosak dan dusta ini dihasilkan oleh kaki-kaki
maksiat dan lagha. Maka, cari dan berkawanlah dengan orang-orang yang mukmin dan soleh.
Mudah-mudahan kita mendapat sebaik-baik cermin. Jangan biarkan diri anda terbunuh seperti
Medusa.

SAHABAT HAKIKI

Biar apa pun jenis sahabat yang anda miliki, tetapi ketahuilah bahawa sahabat baik yang sebenar
bagi seseorang manusia itu adalah amal solehnya. Inilah sebaik-baik teman, dan ia juga adalah
sebaik-baik bekal bagi kita untuk bertemu dengan Allah. Ini seperti mana kisah Hatim al-’Assam
yang terdapat di dalam kitab Ya Ayyuhal Walad al-Muahib tulisan Imam al-Ghazali. Hatim
al-’Assam adalah seorang sahabat baik kepada Syaqiq al-Balkhiy.

Pada satu hari, Syaqiq bertanya kepada Hatim, “Kamu telah bersahabat denganku selama 30
tahun. Apakah yang telah kamu perolehi dari persahabatan kita ini?” Jawab Hatim al-’Assam,
“Aku telah memperolehi lapan perkara, cukup sebagai bekalan bagi keselamatan aku di Akhirat
nanti.”

Dan ini perkara pertama dari 8 perkara itu. Untuk 7 perkara lagi, sila dapatkan kitab itu di kedai
buku berhampiran (tak tebal pun kitab tu).

Aku melihat semua manusia mempunyai kekasih. Sebahagian mereka sanggup menemani
kekasihnya sehingga waktu ajal mendatang. Ada pula yang akan terus menemaninya hingga ke
liang lahad. Selepas itu mereka akan pulang. Tinggallah manusia ini keseorangan di dalam
kuburnya. Lalu aku berfikir, “Sebaik-baik sahabat adalah mereka yang sanggup menemani aku
sehingga ke dalam lubang kubur. Aku tidak menemui sahabat sebegini melainkan amal
solehku.”

Lalu aku pun menjadikan amal soleh sebagai kekasih aku. Agar amalan aku itu boleh menjadi
pelita menerangi kegelapan di dalam kubur aku kelak, boleh menghiburkan aku dan tidak
meninggalkan aku keseorangan di dalamnya.

Sebagai satu kesimpulan, tulisan ini bukan bertujuan untuk mengajak para pengguna Friendster,
MySpace, Facebook, dan sebagainya, untuk terus memboikotnya jauh-jauh. Sebaliknya hanya
untuk memberikan satu kesedaran bahawa Friendster itu adalah satu alat, dan bukannya
matlamat. Maka, jika Friendster adalah satu alat, adakah wajar untuk kita menghabiskan masa
yang begitu lama, setiap hari di situ? Dan tulisan ini dibuat bagi menyedarkan diri saya, dan
mudah-mudahan mampu memberikan sesuatu yang berguna juga kepada orang lain.

Semoga kita semua semakin dewasa di dalam iman, amal dan taqwa kepada Allah. Dan moga-
moga kita bertemu dengan seorang sahabat sejati yang dapat membantu kita dalam perjuangan di
bumi Allah yang fana ini. Amin Ya Rabbal ‘Alamin!

Sumber : http://hembusan.blogspot.com/2007/04/kempen-menjauhi-friendster-2.html

..::◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊◊::..

Allah jadikan banyak perkara di dunia ini dalam keadaan berlawanan. Lelaki lawannya
perempuan, malam lawannya siang, hujan lawannya panas, begitu juga keburukan lawannya
adalah kebaikan. Pasti ada kebaikan disisi buruknya friendster. Cuma kematangan diri adalah
diperlukan bagi memberikan pertimbangan yang wajar dalam setiap tindakan. Apa-apa pun
bersederhana adalah lebih digalakkan bagi mengimbangi sikap keterlaluan.

Saya memuatkan artikel ini untuk tatapan anak-anak murid kesayangan yang ‘seronok sesangat’
berfriendster dan seronok pula bercerita tentangnya….bacalah sayang, mudah-mudahan Allah
memimpin kalian dan diriku jua.

Anda mungkin juga menyukai