Anda di halaman 1dari 16

Guru Sebagai Agen Pembentukan Akhlak Dan Moral Pelajar : Bagaimana

Melaksanakannya Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Di Bilik Darjah

Pendahuluan

Pemasalahan akhlak masa kini menjadi semakin ketara di kalangan pelajar sekolah. Sering terjadi pelajar
terlibat dengan dadah, peras ugut, lepak atau berkeliaran di tempat hiburan dan pasaraya. Sekolah
memainkan peranan yang penting selepas keluarga di dalam pembentukan akhlak dan ini jelas termaktub
di dalam Falsafah Pendidikan Negara dan melalui penerapan nilai dalam KBSM.

Sejak kebelakangan ini, apabila orang berbicara dan mengaitkan soal pendidikan, maka tidak terlepas isu
moral di kalangan pelajar atau remaja dibicarakan sebagai satu topik besar. Kalau pada suatu masa
dahulu, zaman sebelum perluasan pengaruh media komunikasi, terutama sebelum meluasnya pengaruh
media elektronik, sedikit sangat orang yang berbicara dan mempersoal tentang moral. Malah pada zaman
itu para pemimpin, cendiakawan atau orang biasa banyak yang berbicara tentang kepasifan pelajar-pelajar
dan remaja kita. Pelajar-pelajar kita dikatakan kaku dan tidak berani tampil ke hadapan berhujah untuk
membentangkan pendapat. Pelajar-pelajar kita gagal berkomunikasi dengan baik. Dengan kata lain,
pelajar kita tidak agresif dan berani seperti sekarang.

Tetapi keadaan masa kini sudah jauh berubah. Pelajar-pelajar dan remaja kita sudah menerjah keluar
daripada kepompong kepasifan yang membelenggukan. Era baru dalam pembentukan sahsiah golongan
ini terpapar di hadapan mata kita. Era baru sahsiah golongan pelajar dan remaja kita yang dulunya pasif,
malangnya bukan berubah atau bertukar menjadi manusia yang aktif malah memaparkan model
kerosakan dan keruntuhan moral yang semakin menjadi-jadi sehingga mengancam masa depan Negara.

Di manakah silapnya? Salahkah para guru mengasuh dan mendidik benih-benih muda ini? Atau apakah
Dasar Pendidikan Negara tidak berkesan? Mungkinkah unsur-unsur luaran amat berpengaruh dan
berkesan sehingga dapat mengubah halatuju dan pendirian serta sikap para pelajar atau remaja kita?
Segala-galanya berkemungkinan menjadi punca dan menjadi sebab akibat menularnya kepincangan moral
yang berleluasa dan akan berterusan jika tidak dibendung secepat mungkin.

Tetapi sebelum kita berbicara lebih lanjut tentang salah silap yang berada di mana-mana, yang
memungkinkan berlakunya kerosakan dan keruntuhan moral, elok kita menyelak sejenak dan menghayati
Falsafah Pendidikan Negara yang menjadi dasar yang kuat bagi para pendidik dalam menghadapi tugas
seharian mereka.

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah memperkembangkan potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini
adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan
Negara.

2.0 Moral dan Akhlak: Latarbelakang Isu

Sistem Pendidikan Negara sekarang boleh dikatakan terbaik dan mungkin ia diakui oleh dunia. Walupun
wujud sistem dualisme dalam pendidikan kita namun kelihatan semacam kesepaduan antara ilmu naqliah
dan aqliah. Sistem pendidikan masih menekankan pendidkan moral, nailai dan aqidah melalui Pendidikan
Agama Islam, Pendidikan Moral dan penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran. Untuk menjayakan
pendidikan moral dan nilai dalam sistem pendidikan negara kita, setiap orang harus berusaha ke arah
memperbaiki kerosakan dan keruntuhan akhlak yang menjadi-jadi, di samping terus menerapkan nilai-
nilai akhlak yang baik selaras dengan tuntutan agama.

Isu keruntuhan akhlak telah menjadi perbincanagn hangat di kalangan masyarakat sekaramg. Isu ini telah
dibincangkan di semua peringkat masyarakat, dari kedai kopi, kaki-kaki lima, sekolah, IPT hatta di
Dewan Negeri dan Parlimen. Ini menunjukkan betapa seriusnya masalah keruntuhan akhlak dalam
masyarakat serta betapa pentingnya masalah keruntuhan ini ditangani dengan sebaik-naiknya agar ia tidak
menjadi lebih parah.

Keruntuhan akhlak telah berlaku di kalangan pemimpin peringkat atasan dalam bentuk penyalahgunaan
kuasa, pecah amanah, rasuah, minum arak dan berpoya-poya. Gejala ini juga terdapat di kalangan remaja
seperti pergaulan bebas, bohsia, lari dari rumah, bersekedudukan dan lain-lain lagi. Selain itu, keruntuhan
moral di kalangan masyarakat dapat juga dilihat dalam bentuk putusnya hubungan kekeluargaan,
hilangnya rasa kasih sayang serta wujudnya sikap pulau memulau dan benci membenci terutama di
kalangan masyarakat Islam.

Gejala keruntuhan akhlak pada umumnya adalah disebabkan oleh kealpaan dan kelalaian masa lampau
tentang betapa pentingnya Pendidikan Akhlak Islam di ajar, disemai dan disuburkan dalam diri anak-anak
kita. Kesedaran terhadap pentingnya pengukuhan akhlak ummah dan moral masyarakat telah diberi
perhatian yang serius oleh kerajaan. Pada hari ini, beberapa program telah dilancarkan yang bertujuan
melahirkan rakyat berakhlak dan bermoral tinggi.

3.0 Konsep Moral dan Akhlak

Secara kasar dan pada laras bahasa yang biasa kedua-dua istilah di atas menampakkan maksud yang
sama. Kedua-dua membawa maksud perlakuan atau tingkah laku yang baik. Walau bagaimanapun kalau
dihalusi akan terserlah perbezaannya.

Menurut T.Iskandar (1970) dalam Kamus Dewan mengatakan moral adalah sesuatu yang berkaitan
dengan apa yang betul dan adil. Moral bermaksud perlakuan baik mengikut norma, peraturan dan
ketetapan yang dibuat dan dipersetujui oleh satu komuniti manusia. Pengertian ini betul untuk komuniti
tersebut, masa tersebut dan lingkungan yang tertentu sahaja. Dengan keadaan yang lain persetujuan
tersebut mungkin tidak berlaku. Dengan kata lain moral walaupun baik dan betul tetapi tidak universal.
Kebiasaannya moral lebih menekankan perhubungan yang harmoni di antara manusia sesama manusia
(disiplin-disiplin kemanusiaan) dan hubungan yang harmoni di antara manusia dengan alam sekitar
(disiplin-disiplin sains tabii). Moral menekankan kepentingan dan keselesaan individu serta masyarakat
tetapi bersifat peribadi. Moral tidak membenarkan berlakunya krisis atau pertentangan peribadi. Oleh
sebab itulah nilai moral biasanya tidak dikaitkan dengan Maha Pencipta atau dengan soal-soal metafizik.

Kolhbeg (1981) dalam menghuraikan perkembangan prinsip asas moral memberi penegasan seperti
berikut:

“…..the main factors which have been shown to correlate with the development of a principled,
predictable morality are intelligence, moral knowledge (that is, knowledge of the rules of a society) the
tendency to anticipate future events, the ability to maintain focused attention, thecapacity to control
unsocialised fantasies, and self-esteem.”

Goleman (1995) telah memberikan konsep baru tentang “emotional intelligence (EI)” atau kecerdasan
emosi yang boleh dikaitkan dengan amalan nilai dan moral individu yang boleh berjaya dalam kehidupan
sejagat atau ‘global village’.

Moral berbeza dangan akhlak dari segi sumber yang menentukan sesuatu perlakuan yang baik.
Sesungguhnya akhlak bersumberkan wahyu, iaitu hubungan dengan Maha Pencipta.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;


“Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berakhlak mulia”.

Dalam hal yang sama Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya “Sesungguhnya aku diutuskan
demi menyempurnakan akhlak”. Aishah pernah ditanya tentang akhlak Nabi SAW maka dia menjawab;
“Akhlaknya adalah Al-Quran”.

Menurut Abdul Raof Dalip (1986), akhlak dapat diertikan sebagai kelakuan tatatertib, maruah dan
merangkum seluruh perbuatan lahiriah yang dihasilkan daripada dorongan batiniah di dalam diri manusia.
Ini bermaksud akhlak berakar umbi daripada sifat kerohanian yang suci. Dengan ini jelaslah bahawa
akhlak bersumberkan wahyu daripada Maha Pencipta. Justeru, pendidikan akhlak akan membawa insan
semakin dekat dengan Penciptanya.

Persoalan akhlak dan moral ada kaitannya dengan iman. Orang yang beriman kepada Allah ialah orang
yang sentiasa takut untuk melakukan perbuatan yang terlarang di samping mengerjakan yang disuruh
Allah. Iman ini harus dimiliki dan menjadi benteng penghalang pengaruh-pengaruh negatif. Orang yang
beriman ialah orang yang berakhlak mulia ( bermoral dan memiliki nilai murni ), orang yang sentiasa
melakukan yang baik dan menjauhi dosa iaitu tidak melakukan perbuatan negatif yang bertentangan
dengan norma-norma masyarakat.

Sekiranya hal ini tidak diberi perhatian yang serius, maka pembentukan moral dan insan yang murni
akhlak tidak akan berhasil. Walaupun kita berjaya melahirkan manusia berilmu tinggi namun tanpa
disertai pendidikan moral dan akhlak, kita juga akan melahirkan insan yang akan menjadi perompak,
perogol, pembunuh dan penjenayah yang lain di kalangan orang yang berijazah atau berpendidikan tinggi.
4.0 Moral dan Akhlak Dalam Sistem Pendidikan di Malaysia.

Matlamat pendidikan di Malaysia yang asalnya adalah rujukan daripada barat telah diubahsuai kepada
konsep pendidikan bersepadu. Kurikulum pendidikan barat yang diasaskan daripada falsafah humanisme
menekankan keharmonian dan keseimbangan di antara manusia dengan manusia, dan di antara manusia
dengan alam sekitar. Kedua-dua hubungan ini adalah perlu dan baik tetapi ia masih berkisar dan
bertitiktolak pada ilmu akal. Mana mungkin ilmu akal semata-mata dapat memahami hukum alam yang
dicipta oleh Maha Pencipta. Justeru, untuk lebih memahami hukum-hukum alam yang dicipta oleh Tuhan,
maka satu lagi dimensi yang paling penting perlu dimasukkan iaitu hubungan manusia dan alam sekitar
dengan Maha Pencipta. Bagi hubungan dengan Maha Pencipta mestilah dirujuk kepada ilmu wahyu iaitu
Al-Quran dan As-Sunnah. Dengan wujudnya kurikulum tiga dimensi ini, maka ia bolehlah dikatakan
sebagai kurikulum bersepadu.

Pengubahsuaian kepada bidang-bidang matlamat pendidikan perlu dilakukan agar ia bersesuaian dengan
konsep bersepadu. Pengubahsuaian ini boleh dilihat dalam rajah 1 yang ditunjukkan di bawah.

Kognitif

Aqidah Akhlak Nilai Murni Afektif

Psikomor

Rajah 1 : Kesepaduan ilmu Akal dan +ilmu Wahyu

Matlamat Pendidikan mestilah dimulakan dengan kekuatan aqidah. Kemurnian aqidah akan menjelmakan
akhlak yang baik. Dari akhlak yang baik ini akan terpancarlah nilai murni yang akan dimanifestasikan
oleh tingkah laku yang baik. Dan seterusnya dihayati dalam bidang-bidang kognitif, afektif dan
psikomotor. Oleh yang demikian, matlamat pendidikan akan tercapai iaitu dapat melahirkan pelajar yang
berintelek, berakhlak dan bertaqwa.

Bagaimana mengaplikasikan konsep sepadu dalam pengajaran dan pembelajaran? Pengajaran menurut
tradisi barat adalah bersifat sekular. Terdapat beberapa model atau pendekatan pengajaran seperti
pendidikan kognitif, pendekatan aktiviti-aktiviti motivasi dan jaya diri, pendekatan pembinaan tingkah
laku, pendekatan interaksi sosial dan pendekataan penggunaan ilmu. Guru boleh memilih mana-mana
pendekatan yang sesuai dengan matlamat pendidikan yang telah ditentukan. Kelima-lima pendekatan ini
hanyalah mencakupi ilmu akal.. Ilmu akal mempunyai had dan batasan tertentu. Kekangan ini akan
menyebabkan kita gagal memahami ilmu dengan sebenarnya. Oleh yang demikian setiap pendekatan atau
model pengajaran yang disebutkan di atas mestilah disasarkan kepada konsep-konsep ilmu wahyu. Ini
dapat ditunjukkan oelh rajah 2 di bawah.

Kognitif Motivasi & Tingkah Interaksi Penggunaan


Jaya Diri Laku Sosial Ilmu

Al-Guran Konsep Konsep Konsep Konsep


As-Sunnah Insan Fitrah Keseimbangan Ibadah

MODEL (Nilai Murni)


Akhlak
Aqidah

Rajah 2 Menunjukkan Kesepaduan Dalam Pendidikan Pengajaran

Setiap pendekatan pengajaran mestilah dimulakan dengan aqidah. Seterusnya dikembangkan ke dalam
akhlak dan moral. Nilai-nilai moral ini dihayati ke dalam konsep-konsep daripada ilmu wahyu iaitu
konsep insan, konsep fitrah, konsep keseimbangan dalam hukum-hukum Allah swt dan konsep ibadah.
Konsep-konsep daripada ilmu wahyu ini seterusnya disepadukan dan dihayati ke dalam kelima-lima
pendekatan pengajaran yang akan digunakan iaitu kognitif, motivasi dan jaya diri, tingkahlaku, interaksi
sosial dan penggunaan ilmu.

Apakah tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan? Untuk memastikan matlamat pendidikan tercapai
seperti yang termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020, maka:
· Kepentingan manusia (insan) mestilah lebih utama dan istimewa daripada kepentingan ekonomi, sains,
teknologi dan industri. Nilai dan harga diri manusia mesti berada pada tempat yang tertinggi. Dengan cara
yang demikian, nilai dan moral dapat dilaksanakan dalam pendidikan negara.
· Untuk memastikan wujudnya acuan Malaysia yang berasaskan nilai, guru dan para pemikir hendaklah
bersedia untuk mengubah suai dan menilai semula seluruh komponen pendidikan supaya benar-benar
mengikut nilai, sejarah, budaya, agama dan tamadun bangsa kita.
· Kita perlu kembali kepada sumber wahyu yang hakiki dan benar untuk rujukan nilai kerana niali-nilai
ciptaan manusia adalah bersifat subjektif dan tidak universal. Dalam konteks ini konsep bersepadu adalah
yang paling sesuai diterapkan.
· Pembinaan acuan Malaysia yang berasaskan moral dan nilai perlulah dimulakan dengan anjakan
paradigma terhadap konsep dan falsafah ilmu. Kalau dulunya kita bertunjangkan barat dan kini sudah
sampai masanya kita kembali kepada ilmu yang bersifat sepadu di antara ilmu akal dan ilmu wahyu.
· Usaha untuk membina acuan Malaysia dengan fokus pembangunan manusia sebagai agenda istimewa
perlulah dilaksanakan serentak dengan konsep pembinaaan masyarakat madani. Ini bermaksud persoalan
moral, nilai dan manusia mestilah selari dengan konsep Ad-Din sebagai satu cara hidup. Ini bermakna
setiap aktiviti kemajuan negara sama ada pendidikan, ekonomi, pengurusan,, perundangan, politik,
kesenian dan sebagainya mestilah dilaksanakan secara bersepadu di antara ilmu akal dan ilmu wahyu.
Inilah asas atau teras pembinaan acuan Malaysia.
Penekanan kepada moral dan nilai direalisasikan dengan menjadikan Pendidikan Islam dan Pendidikan
Moral sebagai mata pelajaran wajib, dan selaras dengan wawasan 2020 di mana diharapkan masyarakat
Malaysia dalam abad ke-21 akan mempunyai warga yang bukan sahaja mampu berdaya saing dalam
Negara perindustrian, juga menekankan penerapan nilai-nilai murni melalui pendekatan pendidikan nilai
merentasi kurikulum, termasuk kurikulum tersirat, iaitu kegiatan kokurikulum dan amalan tingkah laku di
sekolah, yang diharapkan menghasilkan budaya sekolah yang beretika.

Sebenarnya jika dikaji dengan teliti, pendidikan nilai ini mendasari falsafah pendidikan Negara kita
kerana matlamat FPN adalah untuk menghasilkan insan yang seimbang dari semua aspek iaitu aspek
emosi, intelek, rohani dan jasmani. Tanpa memasukkan program pendidikan nilai dalam kurikulum, cita-
cita untuk melahirkan generasi cemerlang dari semua segi tidak akan berhasil. Hanya penerapan nilai dan
pendidikan moral sahaja yang mampu mendidik dan membentuk individu menjadi seorang yang benar-
benar rasional, amanah, bertimbang rasa, bertanggungjawab dan memiliki sifat-sifat mulia yang lain yang
dipersetujui masyarakat.

Di antaranya, Taylor (1961) mengemukakan pandangan bahawa nilai adalah darjah dan peraturan yang
secara tergabung membina cara hidup manusia. Nilai menggariskan iadea-idea dan matlamat-matlamat
hidup. Nilai adalah darjah normative dan peraturan kerana ia menjadi asas pegangan yang mempengaruhi
pemikiran manusia semasa ia menjadi asas pegangan yang mempengaruhi pemikiran mnusia semasa
membuat pertimbangan dalam menentukan cara dan gaya bertindak serta bertingkahlaku sebaik-baiknya
untuk mengekalkan kesejahteraan dirinya (dalam Sufean Hussin, 1989).

Mengikut seorang penulis lain dari India, Radharkaman Mukerjee (1965), beliau menyatakan bahawa
nilai terbit daripada keinginan dan motif yang dibentuk serta diperakukan oleh budaya dan masyarakat.
Nilai mengikat indidividu secara halus dan senyap. Bagi Allporrt (1961) pula, beliau menyebut bahawa
nilai ialah kepercayaan yang mengakibatkan manusia memilih sesuatu tingkah laku. Wiliams (1968),
mentafsirkan nilai sebagai apa saja yang dipegang oleh seseorang yang menjadi kriteria untuk membuat
keputusan bagi memilih tingkah laku dalam angka mencapai hasrat dan keinginan.

Model Pendidikan Nilai 3K

Model ini dikemukakan berasaskan kepada anggapan dan keyakinan bahawa ;

I(a) Manusia terbina dari tiga komponen iaitu akal, roh dan jasad (Al Ghazali (1967) Maslow,A.H.
(1954), Taylor,P.W.(1961), Fathi Yakan (1988).
(b) Penerapan nialai adalah satu proses yang berjalan secara tabie (Abdullah,N.U.(1988), Ismail Jusoh,
(1993).
(c) Manusia harus mengenali dirinya dan hubungannya dengan sistem alam dan Pencipta alam (Al
Ghazali (1967), A.A.Maududi (1984). Dengan andaian dan kesedaran di atas maka model penerapan nilai
digambarkan seperti berikut (Rajah 3) .
NILAI MURNI

INSAN SEIMBANG

TAAT DAN PATUH

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

PENERAPAN KEFAHAMAN,
KESEDARAN DAN KEYAKINAN (3K)

TOPIK PELAJARAN

Rajah 3
Model Penerapan Nilai 3K

Rajah 3 di atas menunjukkan fasa-fasa yang harus berlaku atau diwujudkan dalam proses penerapan nilai.
Individu yang menghayati niali-nilai murni akan terbina sekiranya pendidikan yang dijalani itu
melibatkan ketiga-tiga bidang iaitu akal, roh dan jasad. Dalam model 3K di atas, penerapan nilai secara
langsung boleh dilaksanakan melalui mata pelajaran yang diajar dalam kelas (Ismail Jusoh, 1993). Ia
boleh dilakukan semasa membuat rumusan atau penutup pengajaran.

Guru boleh mengaitkan isi pelajaran geografi, apabila belajar tentang tajuk kejadian hujan, kondensasi,
proses sejatan, tekanan rendah dan tekanan tinggi dan sebagainya. Proses-proses tersebut tidak berlaku
secara kebetulan. Semua kejadian ada Pencipta dan Penguasanya. Begitu juga dalam pelajaran Biologi,
pelajaran mengenai sel, menunjukkan kekuasaan Tuhan. Sel yang seni itu mustahil wujud dengan sendiri
tanpa ada sebab dan akibat disebaliknya. Tindak blas yang berlaku dalam sel tidak mungkin terjadi tanpa
ada kawalan. Siapakah yang mengawalnya? Hakikat inlah yang patut ditonjolkan dalam pengajaran dalam
rangka memberi kesedaran, kefahaman dan keyakinan (3K) kepada pelajar supaya mereka dapat
menginsafi kewujudan Tuhan.
Proses penerapan nilai melalui model ini boleh dilaksanakan secara langsung atau secara tidak langsung.
Secara langsung, guru boleh menghubungkan terus isi pelajaran dengan nilai kepercayaan kepada Tuhan
yang mana dengan nilai ini akan tersemai nilai-nilai murni yang dihajati seperti kerjasama, jujur, bersikap
positif dan lain-lain seperti yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Negara.. Proses penerapan ini bukan
terhad kepada jangka masa tertentu (semasa pelajar berada di alam persekolahan), bahkan ianya berjalan
sepanjang hayat dan di setiap tempat. Proses ini juga bergantung kepada persekitaran, iaitu yang terdiri
daripada keluarga, pendidik, masyarakat, media dan rakan sebaya. Jadi, penerapan nilai yang berkesan
hanya terhasil jika terdapat persekitaran yang positif.

Falsafah Moral dan Tingkah Laku

Falsaafh yang relevan kepada profesion keguruan dan perkembangan pendidikan di negara ini ialah
falsafah moral dan tingkah laku. Falsafah ini memerlukan peranan positif dan konstruktif profesion
keguruan ke arah membina moral dan tingkah laku pelajar. Guru yang baik perlu mempunyai komitmen
moral yang tinggi dan menjadikan diri mereka teladan yang baik kepada pelajar.Contohnya, guru tidak
seharusnya mendenda dan melarang pelajar merokok sedangkan pada masa yang sama guru merokok di
kawasan sekolah dan di mana-mana sahaja.

Falsafah moral dan tingkah laku juga mendasari perkembangan pendidikan, perkembangan profesion
keguruan dan perkembangan institusi sekolah. Bagaimanapun, pengaruh lain seprti agama, budaya, etika,
pemodenan, sekularisme, dasar dan peraturan sekolah seringkali menimbulkan konflik dan percanggahan
dari segi falsafah moral dan tingkah laku. Oleh sebab itu, pengajaran dan pembelajarn di sekolah sering
kali berhadapan dengan isu kontroversi dan menyulitkan peranan guru serta peranan sekolah menangani
krisis yang berlaku dalam masyarakat.

Ideologi buku teks yang digunakan di sekolah-sekolah di Malaysia begitu kuat dipengaruhi oelh aliran
falsafah moral dan tingkah laku bagi tujuan mengawal tindakan dan tingkah laku golongan muda. Pada
masa yang sama terdapat unsur-unsur pemodenan dan revolusi moral dan tingkah laku yang
menyebabkan berlakunya tingkah laku baharu iaitu agresif, konfrontasi, kecenderungan untuk mencabar
dan mengkritik dan sebagainya.

Falsafah moral dapat menolak fahaman kebendaan yang menguasai masyarakat dan memberikan kesan
tertentu kepada dunia pendidikan dan profesion keguruan. Bersifat kebendaan memanglah penting dalam
kehidupan, terutama isu kemiskinan dan kemunduran dalam masyarakat Malaysia yang masih begitu kuat
menghalang berlakunya perubahan dan menjejaskan kualiti pendidikan golongan miskin. Semangat
berusaha kuat untuk mencapai perubahan perlu ditanamkan kepada anak-anak golongan miskin supaya
kemajuan kebendaan dapat membantu dan membentuk mereka mencapai kehidupan yang lebih baik dan
menyediakan peluang pelajaran dan kemudahan belajar di rumah yang mendorong kemajuan mereka.
5.0 Guru: Agen Pembentukan Akhlak dan Moral.

Guru adalah satu golongan masyarakat yang khas. Atan Long (1980) mendefinisikan guru sebagai satu
golongan masyarakat untuk memberikan pendidikan secara formal dan bersistematik kepada generasi
muda dalam masyarakat itu. Memang dikatakan guru memainkan peranan penting dalam menjayakan
pendidikan moral dan nilai kerana ketika anak-anak berada di sekolah guru-gurulah yang memainkan
peranan sebagai ibu bapa. Oleh itu peranan guru dan ibu bapa sama penting dalam pendidikan.

Sebagaimana ibu bapa, guru-guru juga dipandang oleh anak-anak didiknya sebagai contoh atau ‘role
model’. Kalau tidak masakan ada pepatah berbunyi “ Guru kencing berdiri, murid kencing berlari”. Oleh
itu, setiap guru mesti memiliki akhlak yang mulia agar sifat-sifat mulia itu dapat diteladani dan diikuti.
Apa kata kalau guru sendiri tidak dapat menjadi sebagai ‘role model’ yang baik, bak kata pepatah tadi,
muridnya tentu tidak berguna. Tegasnya, anak-anak didik akan menjadi lebih biadap lagi.

Sebagai ‘role model’ bukan mudah. Segala gerak geri, tingkah laku dan perwatakan menjadi ikutan. Cara
guru bercakap, berjalan, berpakaian dan paling utama dari segi akhlaknya diperhatikan. Guru yang baik
disenangi anak-anak didiknya. Apatah lagi kalau guru ini jujur dan ikhlas, segala tunjuk ajar, ingatan atau
nasihat serta bimbingan yang diberikan mudah diterima.

Kejayaan dalam menerapkan nilai-nilai murni bergantung kepada kesabaran guru kerana guru merupakan
orang yang paling berpengaruh dalam pembentukan sahsiah dan ‘mind set’ seseorang individu pada
tahun-tahun formatif anak-anak didiknya. Anak-anak ini memerlukan asuhan dan belaian kasih saying
sebagaimana yang dicurahkan oleh ibu bapa mereka.

Guru merupakan orang paling penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang harmonis sehingga
anak-anak didiknya akan berasa sekolah seperti rumah keduanya. Sekaligus suasana yang harmonis itu
dapat pula membentuk apa yang dikatakan “Sekolah tanpa takut (No fear school)”. Kalau dapat
diwujudkan suasana seperti itu maka sudah tentu anak-anak didik dapat memperkembangkan potensi dan
mengawal emosi secara menyeluruh dan seimbang. Dan yang pastinya suasana pembelajaran yang
sedemikian dapat membantu guru-guru atau pihak sekolah mewujudkan sekolah penyayang.

Guru juga dapat memberi tunjuk ajar yang berkesan dan bertanggungjawab membentuk minda, sikap dan
kelakuan anak-anak didiknya yang bakal menjadi anggota masyarakat selepas tamat persekolahan, sama
ada menjadi pemimpin politik, pegawai kerajaan, ahli korporat, atau setidak-tidaknya menjadi isteri atau
suami yang berakhlak mulia.

Untuk mewujudakan sekolah penyayang atau sekolah tanpa takut, maka guru seharusnya berupaya
menjadi contoh dan teladan yang baik, pendorong yang berkesan, pembimbing yang bertimbang rasa,
pendengar yang penuh rasa simpati dan menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak didiknya. Selain itu,
guru juga seharusnya menunjukkan sikap dedikasi dalam menjalankan tugas sehariannya dan
mengamalkan apa yang disampaikan kepada anak-anak didiknya dengan penuh tanggungjawab dan
beretika.

Hubungan guru dengan masyarakat juga menjadi perhatian. Selain mewujudkan sekolah penyayang guru
juga berperanan dalam mewujudkan permuafakatan dengan masyarakat setempat. Ini kerana guru telah
sekian lama dikanali sebagai pemimpin kecil yang dapat menyatupadukan masyarakat melalui jalinan
mesra dalam pergaulan mereka dengan masyarakat.
Setiap guru harus komited terhadap kerjaya pendidikan, berperibadi tinggi an bersikap terbuka tanpa
memilih kaum atau keturunan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan terutamanya dalam menjayakan
pendidikan moral. Dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini, anak-anak didik terdiri daripada pelbagai
keturunan dan fahaman keagamaan. Jadi dalam menangani masalah moral atau menjayakan pendidikan
moral, guru mestilah menjauhi sikap prejudis. Keikhlasan dan kejujuran patut wujud dalam diri guru dan
menampilkan pengajaran mengikuti aspirasi Negara. Dalam hal ini guru-guru yang dedikasi dan komited
terhadap tugasnya ialah guru yang sejati, berinovatif dan kreatif.

Dengan kata lain, falsafah yang mengemudikan amalan pendidikan di sekolah ialah bahawa semua guru
merupakan guru dalam Pendidikan Moral dan Pendidikan Nilai. Lebih penting ialah guru diperlukan
menerap nilai-nilai murni, sepertimana yang dikenalpasti sebagai nilai inti (core values) dalam pengajaran
mereka masing-masing. Selain dari itu, guru juga ialah role model, kepada pelajar mereka dan
tingkahlaku guru melambangkan keprofesionalan profesion itu.

Dengan penekanan nilai di sekoah, dan guru diharapkan melambangkan diri sebagai agen pendidikan
moral di sekolah, maka kepentingan Pendidikan Moral dan Nilai dalam profesion perguruan tidak perlu
dipersoalkan.

Martabat profesion perguruan biasanya dibayangkan daripada perspektif bagaimana seseorang guru
menjalankan tugasnya iaitu membantu peajar-pelajar mereka belajar. Tugas guru ialah menyampaikan
pengetahuan kepada pelajarnya, berbentuk isi kandungan yang ditetapkan dalam mata-mata pelajaran
tertentu. Tetapi, lebih dari itu, tugas guru ialah mendidik, dan dengan ini bermakna membantu
perkembangan individu pelajar mereka, bukan sahaja dari segi penguasaan ilmu tetapi juga
perkembangan individu itu sendiri, pembangunan insan pelajar itu mengikut lunas-lunas nilai masyarakat
dalam konteks masyarakat Malaysia. Kejayaan pendidikan sukar diukur tetapi boleh dikatakan adalah
diharapkan lebih dari semata-mata pelajar mencapai dalam peperiksan awam. Yang penting ialah sama
ada guru berjaya memberi: pertama (i) pengetahuan kepada pelajarnya dengan menanamkan nilai
“mencari ilmu” di kalangan mereka, menanamkan semangat “pembelajaran sepanjang hayat” dan kedua
(ii) membentuk peribadi mulia, manusia berilmu dan berketrampilan serta mempunyai nilai-nilai
masyarakat Malaysia, khususnya mencapai matlamat yang dimaktubkan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.

Martabat profesion perguruan juga dibayangkan dari perspektif bagaimana seorang guru bertindak
sebagai seorang agen moral, dan contoh moral kepada murid-murid mereka. Personaliti guru dan nilai-
nilai tersendiri yang dipamerkan melalui tingkahlakunya, mempengaruhi peranannya sebagai agen moral
dan contoh kepada murid-murid. Dalam pengajarannya, seorang guru mungkin secara tidak langsung
menerapkan nilai tersendiri dalam situasi pengajaran dan pembalajaran melalui pemilihan isi kandungan,
prosedur dan bahan untuk pengajaran dan pembelajaran. Ini akan membawa kesan yang negatif jika nilai
tersendiri tidak selaras dengan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia, seperti yang digariskan dalam
panduan penerapan nilai murni merentasi kurikulum. Kegagalan guru untuk mempraktikkan nilai-nilai
yang seharusnya mereka terapkan kepada pelajar mereka akan merendahkan martabat profesion itu
sendiri.

Profesion keguruan pada abad ke-21 terdedah kepada berbagai-bagai cabaran baharu. Setengah cabaran
adalah berbentuk kebendaan, intelektual, pemikiran, kerohanian, kebudayaan, ideologi baru dan isu-isu
yang berkaitan degan masalah etika. Cabaran penting profesion keguruan ialah membina dan membentuk
masyarakat beretika yang mampu membangun dan membina kekuatan sendiri serta menentukam masa
depan yang bebas daripada berbagai-bagai krisis sosial dan moral.

Fenomena sosial seperti merokok, gangguan seksual, pesta seks di kalangan pelajar, lari dari rumah,
menagih dadah, bergaduh, gengterisme, mencuri, membuli adalah gejala juvana dan delinkuen yang
meluas di kalangan remaja di sekolah.

Masalah ini mencerminkan kelemahan sekolah dan profesion keguruan dalam membendung dan
menangani masalah sosial di sekolah. Oleh sebab itu, timbul berbagai-bagai penulisan yang
mencerminkan kelemahan sekolah yang dikaitkan dengan masalah sosial seperti sekolah melahirkan
jenayah, sekolah tanpa roh dan watak. Pengurusan tingkah laku yang tidak berkesan di sekolah
menunjukkan kelemahan peranan guru-guru di sekolah. Dengan bertambah ramainya guru perempuan,
peranan bapa di sekolah semakin lenyap. Kesan daripada masalah ini ialah meningkatnya masalah
disiplin dan sosial di kalangan pelajar. Wawasan pembangunan dan pendidikan di sekolah tidak berkesan
kerana asas kerangka tindakan pengurusan tingkah laku yang tidak berkesan.

Kualiti pendidikan yang diterima oleh pelajar-pelajar bergantung kepada kualiti pengajaran dan ini
bergantung kepada guru-guru mereka. Untuk mendapatkan kualiti pendidikan yang sewajarnya, maka
seseorang guru itu mestilah bersikap professional. Professional bukan bermakna mendapat gaji yang
lumayan tetapi ia termasuk penetapan standard yang tinggi untuk memasuki kerjaya perguruan, calon
guru yang terbaik, persediaan dan pendidikan guru yang berkualiti, pendidikan berterusan semasa bekerja,
suasana kerja yang selesa yang cukup dengan peralatan mengajar, peluang untuk berinteraksi dengan
rakan sekerja dan boleh membuat keputusan

Mohd Sani Ibrahim merumuskan bahawa guru yang professional ialah (Rujuk rajah 4):
· Guru yang berilmu (content knowledge)
o Ilmu yang berkaitan isi kandungan mata pelajaran, pengetahuan pedagogi, bahan, kaedah dan teknologi.
· Guru yang mempunyai kemahiran dan ketrampilan dalam proses pengajaran pembelajaran (Pedagogical
knowledge and pedagogical content knowledge)
o Meliputi merancang, mengurus, memilih starategi dan meransang pengajaran pembelajaran, kemahiran
teknologi, kemahiran generik, kemahiran kaunseling dan menilai p-p
· Guru yang mempunyai sahsiah yang boleh menjadi contoh teladan dan ikutan kepada golongan yang
dipimpin. Antara ciri-ciri sahsiah yang perlu dimiliki ialah peribadi dan tingkah laku yang mulia,
menggunakan bahasa yang standard dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk menjayakan usaha yang
dilakukan.
o Meliputi taqwa, akhlak, peribadi mulia, komitmen, sopan, positif dan budaya ilmu.

Rajah 4 : Model Guru Yang Profesional

6.0 Pembentukan Akhlak Dan Moral: Aplikasi Di Bilik Darjah


6.1 Pendekatan langsung melalui pengajaran Pendidikan Islam dan Moral

Pendekatan langsung membabitkan pengajaran dua mata pelajaran yang khusus di peringkat sekolah
rendah dan menengah, yang bertumpu secara langsung terhadap perkembangan moral, etika, akhlak, dan
pendidikan nilai, iaitu mata pelajaran Pendidikan Islam bagi pelajar Islam dan Pendidikan Moral bagi
pelajar bukan Islam.

6.2 Pendekatan tak langsung

Pendekatan tak langsung membabitkan penggunaan mata pelajaran-mata pelajaran dalam kurikulum
sekolah sebagai alat untuk merealisasikan pendidikan nilai dan moral. Sebagai contoh, pengajaran Bahasa
Melayu dan Sejarah membekalkan peluang atau sumber yang baik bagi pendidikan nilai dan moral. Para
pelajar boleh mengenalpasti dilema moral, penaakulan moral dan membuat keputusan moral dalam novel
dan penulisan sejarah. Pendekatan tak langsung adalah sebahagiannya berlandaskan andaian bahawa
pemahaman tentang manusia dan kemanusiaan memerlukan perkembangan daya imaginasi dan intuisi
yang membolehkan seseorang meningkatkan kepekaan moral dan kepekaan intelektual (Gambell 1988).

Penerapan nlai murni telah diwajibkan di dalam semua mata pelajaran. Persoalannya sejauhmanakah guru
berjaya mengimplimentasikan penerapan nilai tersebut dan adakah penilaian dibuat tentang proses dan
produknya. Satu kaedah yang dapat memupuk beberapa nilai murni ialah pengajaran secara kooperatif.
Pembelajaran ini bukan setakat pelajar duduk dalam kumpulan kecil tetapi kumpulan itu ada semangat
kekitaan yang mana murid dapat bantu membantu ahli kumpulan belajar dan meningkatkan prestasi
sendiri dan kumpulan.

6.3 Aktiviti Kokurikulum

Kita maklum bahawa di sekolah masa kini terdapat pelbagai aktiviti kokurikulum seperti unit beruniform,
persatuan dan kelab serta sukan permainan. Pada umumnya di sekolah satu hari pada hujung minggu
dikhususkan untuk kegiatan ini dan semua pelajar diwajibkan terlibat. Begitu juga untuk guru, mereka
perlu hadir sekolah pada hari Sabtu. Bila guru tidak datang maka pelajar pun begitu juga dan akhirnya
aktiviti tidak berjalan langsung. Pengetua / guru besar haruslah berhikmah dan memujuk guru-guru agar
memenuhi tanggungjawab mendidik anak bangsa melalui kokurikulum. Aktiviti ini perlu dijalankan
dengan menarik. Apabila semua pelajar sudah senang hati dan seronok, mereka tidak akan terfikir atau
berpeluang untuk keluar ke tempat-tempat awam. Dengan cara ini mereka terhindar dari gejala sosial
yang meruntuhkan akhlak.

6.4 Pendekatan Pendidikan Rasulullah SAW

Pendidikan Rasulullah SAW bergantung kepada beberapa faktor. Satu daripadanya ialah objektif
pengajaran itu sendiri sama ada untuk menanam keimanan, mengajar ibadah atau akhlak. Di dalam
mengajar akhlak yang terpenting ialah akhlak beliau sendiri. Perkataan dan perbuatan beliau adalah
contoh untuk diikuti. Beliau mempunyai sifat terpuji iaitu tabah, pemaaf, pemurah, sopan santun, belas
kasihan, rendah diri, adil, amanah, pendiam, takut dan taat kepada Allah serta banyak beribadat.

Rasulullah SAW mengajar ibadat ialah melalui demontrasi atau tauladan seperti cara beliau sembahyang,
berpuasa dan menunaikan haji. Baginda juga membetulkan kesalahan yang dibuat oleh pengikutnya
dengan cara yang betul. Begitu jugalah di sekolah, guru-guru hendaklah selalu menggunakan kaedah
demontrasi atau tunjukajar selain daripada kaedah soaljawab dan bertukar-tukar fikiran. Akhlak dan
kewibawaan Rasulullah telah menyebabkan umatnya sayang dan hormat kepadanya. Sahsiah beginda
inilah yang dapat menarik musuh menjadi kawan dan yang bukan Islam memeluk Islam. Guru-guru juga
dapat menukar akhlak murid dengan dirinya sendiri dahulu mengamalkan nilai murni yang bakal
diterapkan kepada murid. Murid berada di sekolah selama sebelas tahun dan dari 6-8 jam sehari. Ini
adalah masa yang lama untuk membentuk sahsiah dan guru adalah model yang sentiasa diperhatikan oleh
murid.

6.5 Sokongan daripada Pentadbir sekolah

Untuk membentuk akhlak para pelajar, pihak pentadbir sekolah khasnya pengetua dan guru besar harus
memainkan peranan ini dengan bersungguh-sungguh. Mereka boleh menekankannya dengan memberi
ucapan mingguan di samping pengumuman yang lain. Ucapan yang diberi hendaklah yang memberi
penekanan kepada moral dan akhlak pelajar. Dengan cara yang demikian pelajar akan merasa mereka
diberi perhatian. Selain itu program berbentuk pendidikan akhlak diadakan di sekolah atau di luar sekolah
contohnya kem motivasi. Aktiviti perlulah menarik minat remaja seperti sukan, nyanyian dan di samping
itu diberi pendidikan moral dan agama.

6.6 Kepimpinan “inspirational”

Guru sering dilihat sebagai pemimpin yang penting dalam memberikan dorongan dan membina watak
serta sahsiah pelajar. Kepimpinan “inspirational” berperanan memberi dan membina semangat,
mempunyai kekuatan bagi mengubah dan mendorong kejayaan pelajar, dapat memberi keinsafan dan
menanamkan kesedaran diri, memulihkan moral dan keyakinan diri pelajar, memberi inpirasi serta
mengilhamkan perubahan yang dinamik serta positif kepada pelajar. Golongan pendidik seharusnya
mempunyai inpirasi dan aspirasi yang tinggi untuk memimpin ke arah perubahan. Inpirasi boleh
dicetuskan melalui pemikiran dan idea-idea, sentuhan emosi atau perasaan serta stail dan gaya
kepimpinan yang berpotensi dan berwibawa mempengaruhi orang lain.

6.7 Kepimpinan Kerohanian

Guru harus mempunyai corak kepimpinan ini kerana ia penting untuk membina sahsiah pelajar.
Kepimpinan kerohanian ialah kepimpinan yang menekankan soal-soal moral, agama, ibadah, tingkahlaku
yang baik, adab dan hubungan yang bersopan santun. Guru perlu membina sikap toleransi antara kaum
dan budaya dalam kepimpinan pendidikan agar dapat membentuk budaya dinamik sekolah terutamanya
keadaan sekolah yang mempunyai pelajar dan guru berbilang kaum, agama dan kepercayaan. Peranan
kepimpinan kerohanian amat penting dalam pembentukan watak dan sahsiah seterusnya dapat membina
kekuatan moral di kalangan pelajar dan guru. Tanpa agama dan moral yang baik, pendidikan akan gagal
membentuk warganegara yang mempunyai asas-asas moral yang baik untuk dijadikan panduan dalam
kehidupan mereka.

6.8 Pembelajaran koperatif

Pembelajaran koperatif merupakan pembelajaran kumpulan kecil yang diperkenalkan dengan meluas
sebagai sesuatu strategi pengajaran yang dapat meningkatkan pembelajaran dan sosialisasi (Cohen 1994).
Pembelajaran koperatif adalah satu strategi pengajaran di mana pelajarnya bekerja secara koperatif dalam
sesuatu kumpulan kecil yang heterogenus.

Menurut Slavin (1995) pembelajaran koperatif membabitkan pelajar bekerja bersama untuk
menyelesaikan masalah secara berkongsi. Beliau menyatakan pembelajaran koperatif membantu pelajar
untuk mengembangkan perasaan “satu kumpulan” dalam memperkenalkan keperluan saling membantu
dan saling menyokong situasi pembelajaran. Pelajar akan bekerja bersama-sama, belajar untuk saling
memberi dan menerima, bantu-membantu, berkongsi idea dan mencari cara baru bagi menyelesaikan
masalah. Ahli-ahli kumpulan dalam pembelajaran koperatif terdiri daripada pelajar yang mempunyai
kebolehan dan sosioekonomi yang berbeza, berbeza etnik, jantina dan pencapaian akademik. Setiap
pelajar dalam kumpulan boleh meningkatkan pencapaian, meningkatkan harga diri pelajar, memiliki
kemahiran berkolaborasi sesama rakan dan pergaulan sekitarnya.

Kaedah pembelajaran ini memerlukan usaha guru melatih murid bekerja dalam kumpulan dengan betul,
iaitu bersikap mahu mendengar pendapat orang lain, memberi pengukuhan, menjadi pemimpin / ketua
yang demokratik, membantu rakan sekumpulan dan berusaha mendapat kejayaan. Guru harus bersedia
memupuk semangat kekitaan terlebih dahulu sebelum mengajar perkara akademik. Kajian Kooperatif di
Amerika (Nor Azizah 1992) dan di Malaysia (Jamilah Karim 1992), Ida Fadil (1995) menunjukkan
bahawa beberapa nilai murni dapat dipupuk seperi sayangkan sekolah dan rakan-rakan, bekerjasama,
berani bersuara dan berinteraksi antara kaum. Kajian Yee Cheng Teik (1995) menunjukkan di dalam
kaedah Matematik kaedah ini dapat empertingkatkan kebolehan murid dalam menyelesaikan masalah dan
meninggikan pencapaian.

7.0 Penutup

Pengajaran dan pemupukan nilai-nilai murni ke dalam diri pelajar merupakan tugas suci (mission)
sekolah sejak zaman berzaman. Namun dewasa ini, baik di negara barat ataupun di negara timur
persoalan ini jugalah yang menjadi isu hangat kerana ternyata sekolah begitu berjaya mencungkil dan
mengembangkan hamper seluruh potensi yang ada pada diri pelajar yang bersifat kognitif dan psikomotor
tetapi kurang mampu untuk turut sama mempertingkatkan nulai-nilai moral dan akhlak. Sejaka zaman
dahulu lagi iaitu para filosof Greek, golongan skolastik dan ahli-ahli fikir tradisional tanpa merasa jemu
membuat penegasan bahawa fungus utama pendidikan adalah ke arah membangun peribadi diri,
khususnya aspek–aspek yang berkaitan dengan perkembangan moral dan akhlak.
Di samping kepentingan peribadi, perwatakan dan sahsiah guru yang menjadi role model kepada murid-
murid yang memberi sumbangan yang besar dalam menerapkan budaya moral dan akhlak yang baik,
peranan Pendidikan Moral dan Agama Islam itu sendiri juga tidak boleh dipertikaikan. Secara teori,
kerangka konseptual, matlamat dan organisasi kandungan, kurikulum Pendidikan Moral di Malaysia
adalah sesuatu yang ideal, lengkap dan senpurna.

Pelaksanaan Pendidikan Moral menuntut sekolah menyempurnakan dua tanggungjawab yang besar dan
berat iaitu yang pertama:sekolah terpaksa mengajar nilai-nilai murni kepada peljar yang mana nilai-nilai
tersebut tidak di ajar di rumah dan kedua: demi untuk menjamin proses pengajaran dan pembelajaran
berlaku dengan berkesan, sekolah mesti berperanan sebagai “caring moral communities” yang boleh
membantu kanak-kanak yang terabai dan sugul dari rumah agar mereka dapat dimotivasi dan dipupuk
minat mereka kepada pelajaran, dapat mengawal perasaan marah dan kecewa, serta dapat merasai bahawa
diri mereka sebenarnya masih disayangi dan berpotensi menjadi insan yang bertanggungjawab.

Dalam menjayakan pendidikan moral dan akhlak sepenuhnya, semua pihak mesti melakukan reformasi
terhadap diri masing-masing serta memandang ke hadapan dengan fikiran yang terbuka dan positif,
mengamalkan cara hidup yang bermoral, berhemah tinggi serta sanggup menjadi ’model’ dalam
masyarakat. Guru terutamanya amatlah penting memahami bahawa penghayatan moral, nilai dan akhlak
merupakan asas kepada kehidupan manusia dan asas martabat sesuatu profesion khasnya profesion
keguruan yang bertanggungjawab untuk memanjangkan tradisi dan budaya masyarakat Malaysia. Di
samping itu, penghayatan amalan moral dan akhlak yang baik di harap dapat merealisasikan matlamat
pendidikan seperti yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta mencapai
Wawasan 2020.

Bibliografi

Abd.Rahim Abd Rashid (2005) Profesionalisme Keguruan : Prospek dan Cabaran.


Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka

Pendidikan Moral dan Nilai (1997). Prosiding Konvensyen Kebangsaan.


Fakulti Pendidikan, UKM. Bangi.

Shahrin Awaludin & Kamaruzaman Abd. Ghani (2003). Pendidikan Rohani Dalam
Sistem Pendidikan Negara : Satu Pemikiran Semula. Pemikiran Dalam Pendidikan
Fakulti Pendidikan, UKM. Bangi

Zainab Hanim et.al (2004) Penggunaan Kaedah Pembelajaran Koperatif (PK)


Dalam Pengajaran Matematik : Penyelidikan Di Sekolah Rendah.
Jurnal Pendidikan 29 m.s 105 – 124. Fakulti Pendidikan, UKM. Bangi

Zarin Ismail (1998) Pendidikan Moral di Sekolah : Apa Dualisme Dan Dikotominya?
Prosiding Seminar Isu-isu Pendidikan Negara.
Fakulti Pendidikan. UKM, Bangi.
Posted by ajis at 4:04 PM

Email This BlogThis! Share to Twitter Share to Facebook Share to Google Buzz

Reactions: 

2 comments:

ummuuthman said...

Satu artikel yang menarik. Penerapan dan penyerapan nilai murni dalam pengajaran merujuk kepada nilai
murni merentas kurikulum telah diperjelaskan kepentingan perlaksanaannya apabila KBSM mula
diaplikasikan sepenuhnya 1989. Namun begitu adakah semua guru mata pelajaran sedar dan
melaksanakan dengan penuh perancangan atau hanya mencatat sahaja di dalam buku rekod mengajar.
Sekiranya dilaksanakan adakah guru sedar tugas tersebut sebagai tanggungjawab ke arah pembentukan
generasi berakhlak mulia.

October 26, 2009 8:08 AM

Aziz Poniran said...

Apa yang penting dalam melaksanakan tanggungjawab dalam pengajaran dan pembelajaran adalah
memahami konsep sebenar tugas mendidik bukan hanya mengajar. Mendidik akan menjurus ke dalam
jiwa pelajar dan mengharapkan perubahan tingkahlaku positif. Mengajar pula memberikan panduan asas
dalam mengarah halatuju sebenar pendidikan.

March 13, 2010 7:58 AM

Anda mungkin juga menyukai