Anda di halaman 1dari 17

Pengenalan

Sememangnya, bangsa Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain daripada


terkenal dengan ciri-ciri ketimuran seperti lemah lembut, beradab dan berbudi bahasa.
Ciri-ciri ini menjadi lambang jati diri bangsa Melayu yang merangkumkan nilai
keintelektualan, kesopanan dan kelembutan budaya Timur sebagai satu cara hidup.
Realitinya, inilah sifat bangsa Melayu yang amat mengutamakan ketertiban yang
berasaskan agama dan budaya dalam setiap perlakuan atau tindakan yang diambil. Bagi
masyarakat Melayu tradisional, aspek nilai memainkan peranan yang penting dalam
membentuk peribadi anggotanya. Lazimnya, nilai masyarakat Melayu terbahagi kepada
dua bentuk. Pertamanya, penekanan terhadap nilai murni yang harus disematkan dalam
hati dan sanubari setiap individu. Manakala, yang keduanya pula mementingkan nilai
yang boleh menjaga dan menaikkan martabat masyarakat dan bangsa (Norazit Selat,
2004:4396). Salah satu daripada nilai-nilai yang menyerlahkan jati diri bangsa Melayu
ialah sifat malu. Hal ini dapat dikaitkan dengan keperibadian orang Melayu yang
dikatakan mempunyai perasaan malu yang menebal. Sifat malu merupakan sebahagian
daripada bentuk-bentuk emosi dan perasaan manusia yang cukup penting dalam
kehidupan seharian. Melalui sifat malu, seseorang itu akan sentiasa membataskan tingkah
lakunya supaya berada di dalam landasan yang sewajarnya.

Kamus Dewan (1994:793), memberikan tiga takrif malu. Pertama, malu yang
membawa maksud berasa aib (hina, rendah, dan lain-lain) kerana membuat sesuatu yang
salah atau yang tidak sopan atau merasa tidak senang. Kedua, perasaan aib kerana merasa

hina, rendah diri dan lain-lain. Ketiga, malu yang tercetus daripada perasaan hormat
terhadap seseorang atau berasa segan (agak takut) terhadap seseorang. Islam pula
memberikan pengertian yang lebih luas terhadap konsep malu. Malu atau haya di dalam
bahasa Arab berasal daripada perkataan hayat yang bermaksud kehidupan. Ia
mencakupi sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan
bersikap jujur dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah (2004:1). Ini
bermakna, dari sifat malu ini kita dapat membentuk satu konsep malu yang lebih luas,
dan tidak boleh dilihat sebagai suatu sifat atau sikap semata-mata. Sebaliknya, konsep
malu orang Melayu mesti diteliti dalam pelbagai konteks terutamanya konteks agama,
sistem nilai, adat dan budaya.

Konsep Malu dalam Konteks Agama

Menurut pandangan Islam, malu merupakan sebahagian daripada iman. Keimanan


kepada Allah S.W.T. adalah paksi ke arah mewujudkan sifat malu. Dengan adanya
keimanan, maka lahirlah individu unggul yang mempunyai rasa malu yang tinggi,
berbudi luhur, berdisiplin dan amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya. Malu juga
sering dikaitkan dengan tingkah laku dan akhlak seseorang. Rasa malu ialah suatu sifat
yang dialami dalam diri manusia dan sifat ini menjadikan individu itu tidak selesa ketika
melakukan perbuatan buruk dan haram. Dengan kata lain, sifat malu dapat mencegah diri
individu daripada melakukan perbuatan terlarang kerana adanya perasaan yang
semulajadi dan fitrah itu. Secara tidak langsung, konsep malu ini merupakan konsep
kesedaran berakhlak bagi masyarakat Islam. Konsep malu timbul daripada dua bentuk

kesedaran dalam diri seseorang individu, iaitu antara sifat takutnya sendiri dengan sikap
baik hatinya. Nabi Muhammad S.A.W. pernah menegaskan konsep malu itu dengan
sabda yang bermaksud, Malu itu suatu ciri akhlak yang mulia kerana ia menghindarkan
seseorang daripada melakukan sesuatu yang salah dan terkutuk. Justeru, Nabi
Muhammad S.A.W. sangat menekankan konsep malu dalam kemurnian tingkah laku dan
juga dalam segala tindak-tanduk individu muslim.
Malu merupakan sifat semulajadi bagi setiap insan yang beradab. Ini bererti,
malu adalah akhlak dan watak bagi setiap Muslim. Walau bagaimanapun, terdapat juga
sifat malu yang menimbulkan kesan buruk, iaitu mempunyai rasa malu yang lebih
terhadap manusia sehingga mengatasi rasa malu terhadap Allah. Misalnya, malu dalam
mencari ilmu dan mengajar ilmu. Ali bin Abi Talib (2004:64) pernah berkata, Orang
yang tidak tahu, tidak selayaknya malu bertanya sehingga ia tahu, dan orang yang ditanya
tidak perlu malu untuk mengatakan tidak tahu. Malangnya, masih ramai yang gagal
mengetepikan rasa malu terutamanya dalam hal-hal yang bersangkutan dengan ilmu.
Sebaliknya, golongan ini sanggup berpura-pura tahu kerana bimbang akan persepsi
masyarakat terhadap mereka. Islam menuntut umatnya supaya menggunakan akal fikiran
dengan betul kerana ia berkeupayaan untuk menerima ilmu, berfikir, membezakan yang
baik dan buruk, boleh diajar dan dididik serta boleh menyampaikannya kepada orang
lain. Manusia yang mempunyai rasa malu akan berjaya melaksanakan amanah dan
tanggungjawab dengan baik serta dapat memenuhi tuntutan-tuntutan rohani dan jasmani
dengan terkawal.
Manakala, manusia yang tidak mempunyai rasa malu akan membinasakan dirinya
dengan melakukan maksiat dan kemungkaran. Dalam konteks kepentingan sejagat pula,

pemimpin yang mempunyai rasa malu yang tinggi akan memikul tanggungjawabnya
dengan penuh amanah. Mereka percaya, setiap perbuatan yang dilakukan di atas dunia
akan mendapat pembalasan yang setimpal di akhirat kelak. Oleh itu, sifat malu
merupakan tunjang dan kekuatan untuk memelihara diri supaya berada di landasan yang
benar. Ia juga bertujuan untuk mencapai kemakmuran hidup dan keredhaan Allah S.W.T.
bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk kepentingan umat Islam sejagat. Dalam
hubungan ini, tahap keimanan seseorang individu itu boleh diukur dengan melihat kepada
sejauh mana keteguhannya dalam memegang etika malu. Semakin kuat rasa malu
seseorang itu untuk tidak melakukan perbuatan yang tidak baik, maka semakin kuat pula
tahap keimanannya. Sebaliknya, jika seseorang individu itu sudah tidak malu melakukan
kemaksiatan, maka tahap keimanannya sudah pasti semakin lemah. Oleh itu, sifat malu
perlu ada dalam diri setiap individu kerana kesan yang ditimbulkannya adalah ke arah
kebaikan sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W., malu itu tidak akan
mendatangkan sesuatu kecuali berupa kebaikan. Dengan kata lain, sifat malu dapat
membentuk diri orang Melayu supaya berfikir, bertindak dan bertingkah laku secara
positif dan rasional.

Konsep Malu dan Sistem Nilai Orang Melayu

Konsep malu bagi masyarakat Melayu merujuk kepada satu sistem nilai dan
kepercayaan yang perlu dikawal dan dijaga. Sememangnya, sistem nilai ini memainkan
peranan yang penting dalam mengatur tatacara hidup seseorang sebagai ahli dalam

masyarakatnya. Orang Melayu amat menekankan nilai-nilai sosial yang perlu dipupuk
dari peringkat kanak-kanak lagi bagi menjamin perlakuan-perlakuan yang bersesuaian
dengan kehendak masyarakat. Justeru, keseimbangan nilai antara kepentingan diri dengan
kepentingan sosial, kepentingan terhadap harta dengan kepentingan rohani dan
kepentingan dunia dan akhirat sentiasa diberikan perhatian. Matlamatnya, untuk
melahirkan individu yang bertanggungjawab dan menyedari peranan mereka terhadap
kepentingan sosial. Antara nilai-nilai yang menjadi tumpuan termasuklah saling hormat
menghormati, bertolak ansur, bekerjasama, mengeratkan ikatan kekeluargaan dan
semangat kejiranan yang tinggi. Dalam mempertahankan sistem nilai, masyarakat
Melayu juga mempunyai tekanan sosial yang berkesan bagi memberi kesedaran kepada
anggota masyarakat agar terus mempertahankan nilai-nilai sosial itu. Kaedahnya, mereka
mengamalkan konsep malu, harga diri, maruah dan air muka yang dipercayai
dapat memperkukuhkan lagi struktur dan organisasi sosial. Lebih menarik, konsepkonsep itu berlandaskan kepada nilai-nilai Islam yang menjadi teras kepada tradisi
budaya Melayu.
Mat Saat Baki (1993:352) menjelaskan, pandangan hidup masyarakat Melayu
mempunyai perseimbangan antara kepercayaan, amalan dan kelakuan. Berasaskan ini,
setiap individu hendaklah hidup berharmoni dengan diri dan alam sekitarnya.
Keharmonian dapat dicapai jika setiap individu menjaga perlakuan, memelihara adat
istiadat dan mematuhi pantang larang. Selain itu, nilai-nilai murni seperti bersopan
santun, bermurah hati,

beramah mesra dan bekerjasama mestilah diterapkan dalam

kehidupan seharian. Manakala, unsur-unsur yang bersifat negatif mestilah dihindari


dengan sepenuh hati. Dalam hal ini, masyarakat Melayu menolak perbuatan kasar dan

biadab. Seseorang yang bersikap demikian, dianggap tidak tahu adat dan ini sangat
memalukan. Tambahan pula, masyarakat Melayu bertingkah laku mengikut tradisi adat
yang selari dengan ajaran-ajaran Islam. Sememangnya, Islam dan adat merupakan dua
faktor penting yang membentuk sistem nilai masyarakat Melayu. Kedua-dua faktor ini
menganjurkan setiap individu agar sentiasa menjaga tatacara bertingkah laku supaya
tidak terpesong dari landasannya. Setiap tingkah laku mempunyai cara yang betul untuk
melakukannya. Ertinya, sesuatu yang bersifat formal atau menjadi kebiasaan akan
dianggap betul. Tetapi, jika individu itu terkeluar daripada formaliti, dia dianggap kurang
ajar dan biadab. Seterusnya, hal ini dikaitkan pula dengan tingkah laku normal dan tidak
normal. Seseorang yang berkelakuan normal, dapat menyesuaikan dirinya dengan
kehendak hidup dan persekitaran. Ini termasuklah cara dan gaya dia bertindak terhadap
orang lain, memikul tanggungjawab, mengendalikan tekanan dan ketegangan serta
memenuhi keperluan sendiri. Tingkah laku tidak normal pula dikaitkan dengan penyakit
jiwa.
Orang Melayu dikatakan mudah berasa terhina jika bangsanya tidak mempunyai
maruah atau memiliki perasaan malu. Ini kerana sistem nilai dan kepercayaan itu sendiri
merupakan pegangan dan amalan bangsa Melayu yang mana ia sebenarnya
memperlihatkan kehidupan dan mencerminkan keperibadian bangsa Melayu itu sendiri.
Wan Abdul Kadir Wan Yusof (1998), menyatakan bahawa setiap amalan dan kepercayaan
yang mendasari kehidupan orang Melayu mestilah berteraskan ajaran Islam. Walaupun,
sesuatu tradisi itu ada kalanya tidak bersesuaian tetapi mereka perlu membinanya
berlandaskan kepada kerangka fikiran yang bersesuaian dengan kehendak-kehendak
Islam. Hal ini turut melibatkan konsep malu yang meliputi semua tingkah laku, amalan,

kepercayaan dan cara hidup bangsa Melayu.

Budaya orang Melayu yang cukup

mementingkan rasa malu ini jelas tergambar melalui pelbagai ungkapan. Misalnya,
ungkapan, harga garam pada asinnya, harga manusia pada malunya, tanda perang
pada hulunya, tanda orang pada malunya. Ungkapan ini jelas menunjukkan bahawa
budaya malu sudah menjadi darah daging dan sebati dalam diri orang Melayu. Malah,
individu yang mempunyai perasaan malu akan lebih dihargai, bermaruah dan dipandang
mulia oleh masyarakat. Hal ini selari dengan pandangan Islam yang mengangkat sifat
malu sebagai sebahagian daripada iman. Oleh itu, sesiapa sahaja yang tidak mempunyai
rasa malu maka ia dianggap mati di dunia dan akan menderita di akhirat.

Konsep Malu dalam Konteks Adat dan Budaya

Secara prinsipnya, sistem adat dan peraturan bermasyarakat yang terdapat dalam
budaya Melayu adalah bersendikan agama. Orang Melayu mentakrifkan adat sebagai
hukum-hukum, norma-norma dan peraturan yang perlu diikuti oleh setiap anggota
masyarakat. Dengan kata lain, konsep malu merujuk kepada satu kepercayaan, nilai dan
pegangan hidup masyarakat, gambaran perlakuan, tingkah laku serta peraturan yang
dipatuhi oleh masyarakatnya. Adat merupakan kebiasaan dan kelaziman yang menjadi
amalan meluas dalam keseluruhan cara hidup orang Melayu. Melalui tradisi adat,
peraturan sosial (social order) orang Melayu dapat ditentukan bagi mencapai
keharmonian dan kestabilan sosial. Orang Melayu menyedari pentingnya tradisi adat
dipertahankan dan mereka sentiasa menyanjung tinggi tradisi adat itu. Dengan menjaga
dan mengekalkan adat bermakna orang Melayu telah mempertahankan identiti budaya

dan bangsa Melayu. Justeru, orang Melayu meletakkan sifat malu di tempat yang tinggi
iaitu mulia dan suci serta menjadi asas membentuk kepercayaan. Ia diterima sebagai
suatu nilai mutlak yang luhur dan merupakan maruah bangsanya.
Konsep malu bukan sahaja dizahirkan melalui tutur kata yang sopan malahan
terpancar menerusi tingkah laku dan perbuatan yang baik. Ini bertepatan dengan adat
dan tradisi masyarakat Melayu yang tidak gemar menyinggung perasaan apatah lagi
menjatuhkan air muka orang lain. Mereka percaya, perbuatan memberi malu atau aib
kepada sesiapa pun merupakan satu perbuatan yang tidak bermaruah. Ia bukan sahaja
menjejaskan harga diri dan maruah individu yang terbabit tetapi memalukan bangsa
Melayu secara keseluruhannya. Jika dikupas secara mendalam, sifat malu orang Melayu
ternyata mempunyai konsep yang luas, kompleks dan tersendiri.

Apatah lagi, di

dalamnya terkandung satu sistem nilai dan kepercayaan. Budaya Melayu melihat
keinginan untuk menghindari rasa malu sebagai satu kekuatan dalam perhubungan sosial.
Ini selari dengan dua konsep sosial yang saling berkaitan, iaitu persoalan tentang maruah
dan harga diri. Maknanya, kedua-dua konsep ini menegaskan mengenai perilaku orang
Melayu yang cukup menjaga maruah keluarga dan menghindari perbuatan menyinggung
harga diri orang lain. Orang Melayu percaya, maruah dan harga diri ibarat nyawa yang
tidak ternilai harganya.
Konsep Malu dalam Kiasan Melayu

Akal Melayu sudah teruji dengan tindakan yang bijaksana selagi mereka tidak
diselaputi oleh emosi dan sentimen. Orang Melayu terutamanya masyarakat Melayu
tradisional sangat berhati-hati apabila menyatakan maksud supaya tidak menyinggung

perasaan orang lain. Mereka lebih gemar menggunakan kias atau ibarat sebagai salah satu
cara untuk menyampaikan maksud yang tersirat. Hakikatnya, kiasan Melayu bukanlah
bentuk bahasa yang baru muncul dalam kehidupan masyarakat Melayu. Malah, ia telah
wujud sejak mereka belum mengenal huruf lagi. Menurut Jamaliah Mohd. Ali (1999:610611), penggunaan kias atau bahasa tak terus dapat memberikan gambaran tentang cara
orang Melayu berdiplomasi sekaligus mengelak daripada berlakunya konflik. Zaba
(1965) pula menyatakan, bahasa kiasan ialah bahasa yang ditujukan kepada seseorang
tetapi maksudnya tidak disebut dengan tepat. Sebaliknya, hanya disinggung dengan
membuat kiasan sahaja atau ditujukan kepada perkara lain semata-mata kerana tidak suka
menyebut perkara tersebut secara terang-terangan.
Konsep malu banyak terdapat dalam kiasan Melayu merangkumi kata-kata
perbilangan, peribahasa, bidalan dan pepatah. Hal ini jelas menggambarkan kehidupan
masyarakatnya yang begitu mementingkan maruah dan harga diri. Mereka percaya, jika
mereka melakukan sesuatu yang memalukan maka ia akan memberikan kesan buruk
kepada diri sendiri dan seluruh kaum kerabat. Selain itu, faktor air muka juga memainkan
peranan penting. Perbuatan menjatuhkan air muka seseorang itu dianggap sebagai
perbuatan yang tidak bermoral. Ia boleh menjatuhkan maruah individu, keluarga dan
anggota masyarakat secara keseluruhannya. Hal ini jelas digambarkan dalam kata
perbilangan seperti, seekor kerbau berkubang, semua kena lumpurnya dan sehina
semalu. Pada asasnya, air muka membawa pengertian mendalam. Ia meliputi didikan
kepada individu yang terlibat yang diperoleh daripada ibu bapa, guru dan kaum keluarga
(Asmah Haji Omar,1996:101-102). Justeru, perbuatan menjatuhkan harga diri kepada
orang lain terutamanya yang di luar lingkungan atau etnik mereka merupakan satu

perbuatan yang tidak dapat ditebus, tidak dapat dibayar dan tidak dapat dibahagibahagikan. Rasa malu yang ditanggung oleh kaum kerabat membayangkan mereka tidak
mampu mengawal dan melindungi anggota masyarakat mereka. Kegagalan ini dikaitkan
pula dengan kegagalan mematuhi sistem hidup yang mereka muliakan dan menjadi
pegangan seumur hidup, iaitu adat yang tinggi. Sesungguhnya, adat yang tinggi ini besar
maknanya dalam membentuk peribadi masyarakat adat. Misalnya, jika mereka
melakukan kesalahan yang mengaibkan seperti mencuri atau mengemis, maka mereka
akan menyembunyikan asal-usul kaumnya dengan tujuan memelihara nama baik asalusulnya.
Selain itu, anggota masyarakat juga diajar menyembunyikan keburukan daripada
pandangan orang lain. Misalnya, kata

perbilangan, memakan betul-betul habis,

bersembunyi betul-betul hilang. Kata perbilangan ini bertujuan mengawal keadaan


agar tidak ada anggota masyarakat yang kena lumpur. Ia juga membawa maksud
bahawa sesuatu yang memalukan harus disembunyikan. Jika didedahkan untuk tujuan
penyelesaian, kes itu hanya akan disampaikan kepada kerabat yang paling dekat atau
kerabat yang lebih luas, bukannya orang luar di luar lingkungan kekerabatan. Dalam
usaha menyelamatkan keadaan yang memalukan, anggota masyarakat harus bijak
menanganinya. Usaha itu boleh dalam bentuk harta benda ataupun tipu muslihat.
Perbuatan tipu muslihat di sini merujuk kepada kata perbilangan hidup berakal.
Habit menipu ini merupakan tabiat semula jadi manusia. Ianya juga dilakukan dalam
usaha mengatasi masalah dan sebagai satu alternatif hidup mereka yang tidak suka
mengharapkan belas kasihan orang yang di luar lingkungan kerabatnya. Masyarakat adat

tidak memberikan simpatinya kepada orang yang tertipu kerana golongan ini disifatkan
sebagai kurang berakal dan hanya akan memalukan kaum kerabatnya.
Dalam kiasan Melayu, terdapat ungkapan pukul anak sindir menantu yang
berfungsi untuk menggambarkan keutuhan institusi kekeluargaan. Ungkapan ini
memberikan peringatan kepada anggota masyarakat supaya berhati-hati apabila ingin
memberikan teguran atau kritikan apatah lagi jika orang yang ingin ditegur itu adalah
disegani. Dalam masyarakat yang berpegang kuat kepada adat, menantu biasanya
merupakan ahli keluarga yang disegani oleh ibu bapa serta seluruh ahli keluarganya. Oleh
yang demikian, teguran terhadap menantu tidak boleh dibuat secara terus terang
sebaliknya perlu disampaikan secara halus. Ianya bertujuan untuk menjaga air muka
menantu supaya tidak mendapat malu dan terasing berada dalam keluarga sendiri. Selain
itu, konsep derhaka juga digunakan untuk mengurangkan tingkah laku kurang ajar anak
terhadap orang tua. Secara amalan, ibu bapa Melayu tidak menganggap anaknya kurang
ajar jika anak menyuarakan pendapat yang bertentangan dengan ibu bapa. Apa yang
dipentingkan ialah cara yang digunakan untuk mengemukakan pendapat tersebut. Ini
termasuklah cara bertingkah laku, tutur kata dan bahasa yang digunakan supaya ianya
tidak memalukan orang tua. Melalui cara ini, hubungan kekeluargaan akan menjadi lebih
erat dan dapat dikekalkan.

S. Othman Kelantan (1992) menjelaskan bahawa masyarakat Melayu pada masa


dahulu sering mengingatkan diri mereka supaya tidak mengambil tindakan yang tergesagesa dan tindakan yang dikuasai oleh sentimen dan emosi. Ini kerana tindakan yang tidak
rasional akan memalukan seluruh keluarga, jabatan dan negara. Hal ini terungkap dalam

simpulan peribahasa, ayam terlepas tangan bau tahi yang membawa maksud sesuatu
matlamat yang dikehendaki tidak dapat dicapai malah kemudiannya mendapat celaan.
Begitu juga dengan ungkapan, seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan
putus, tepung jangan berserak. Kiasan Melayu ini mengingatkan masyarakat supaya
sesuatu pekerjaan yang rumit dan sulit itu mestilah dijalankan dengan penuh berhati-hati,
teliti, berpandangan jauh, sabar, ikhlas dan memikirkan keputusan yang positif demi
menjaga kepentingan semua pihak. Sebaliknya, jika rambut yang ditarik itu putus, tentu
sahaja tepung atau kuih tidak dapat dimakan; dan kalau ditarik tanpa bijaksana, kuih akan
berserak-serak dan tentu sahaja tidak elok untuk hidangan. Oleh itu, tariklah dengan hatihati dan fikirkan juga implikasi selepasnya. Jika tegang, lepaskan dahulu dan kemudian
tarik kembali sehingga akhirnya rambut dapat dikeluarkan dan kuih dapat dihidangkan
tanpa cacat celanya.
Perbicaraan tentang konsep malu turut mencetuskan kontroversi dan bias kepada
mereka yang tidak memahami cara berfikir masyarakat adat. Misalnya, perbilangan biar
mati anak, jangan mati adat pernah menjadi isu perdebatan dalam kalangan ahli
masyarakat dan para budayawan. Adat dalam kata perbilangan ini merujuk kepada adat
yang menjadi undang-undang masyarakat adat Pepatih. Makna lapis pertamanya ialah
pemimpin adat lebih rela mati anak daripada mati adat jika dengan kematian anak itu
boleh menghidupkan institusi adat. Ini menunjukkan bahawa pemimpin adat
mementingkan kesejahteraan masyarakat daripada kepentingan keluarga sendiri.
Rasionalnya ialah jika adat dihidupkan, adat boleh dimanfaatkan untuk seluruh sistem
masyarakat dan jika anak dihidupkan, manfaatnya hanya pada keluarganya sahaja.
Makna lapis keduanya pula menonjolkan konsep keadilan yang dijunjung dalam sistem

pentadbiran kemasyarakatan mereka. Mati di sini tidak bermaksud mati secara mutlak
tetapi merujuk kepada sebarang jenis hukuman yang dikenakan, tidak kira ringan atau
serius dan dijatuhkan kepada sesiapa sahaja yang bersalah. Kata anak di sini juga bukan
bermaksud anak secara mutlak tetapi mungkin juga bermaksud seseorang yang berada di
bawah jagaan atau kuasa si pemimpin. Jelasnya, hukuman tetap dijalankan walaupun
pesalah terdiri daripada anak atau kaum keluarga sendiri. Melalui konsep keadilan ini,
masyarakat adat Pepatih berhasrat untuk melihat adat pegangan mereka dilaksanakan dan
terus dipertahankan kerana adat ini seiring dengan kehendak agama, iaitu menuju
kebenaran.
Jika diimbas sejarah silam, jelas menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w
menggunakan komunikasi pemujukan untuk mengembang dan menyebarkan agama Islam.
Melalui kebijaksanaan berkomunikasi jugalah, Rasullulah telah memperhalusi komunikasinya
bagi menyampaikan intipati sesuatu idea mahupun kebenaran. Ini selari dengan kiasan Melayu
yang berbunyi, "terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik". Kiasan ini
membawa maksud kita hendaklah berfikir terlebih dahulu sebelum menuturkan kata-kata. Jika
sudah terlepas cakap, ianya tidak dapat ditarik balik. Walau bagaimanapun, ramai daripada kita
yang lebih mengikut rasa hati apabila berhadapan dengan situasi yang tegang. Akibatnya, katakata yang diucapkan tidak lagi melambangkan nilai dan peradaban budaya Timur. Sebaliknya,
timbullah kata-kata yang kasar dan kesat sehingga menjatuhkan maruah dan harga diri.
Akibatnya, hubungan yang baik akan terjejas sehingga boleh membentuk perasaan marah dan
dendam. Hal ini sangat merugikan, bukan sahaja kepada individu tersebut malah memberikan
kesan buruk ke atas hubungan sosial sesama manusia. Rasa penyesalan selalunya timbul di
kemudian hari yang mungkin pada ketika itu ia sudah terlambat. Ibarat kata pepatah, "menyesal
dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya". Sehubungan itu, konsep aib dan

malu mesti sentiasa berakar umbi dalam jiwa orang Melayu sebagai lambang kesopanan
dan kelembutan budaya Timur. Ini sekaligus dapat mengangkat martabat orang Melayu
sebagai bangsa yang berakhlak dan bermoral tinggi.

Penggunaan kiasan dapat mengelakkan konflik salah faham, mengekalkan


hubungan baik di antara pengucap dan pendengar serta melambangkan imej pengucap
yang bersih. Kiasan Melayu bukan sekadar indah bahasanya tetapi apa yang lebih penting
adalah maksud yang tersembunyi disebaliknya. Maknanya, dapatkah kita menghayati
maksud tersebut dan ia secara tidak langsung menguji sejauh manakah kekuatan yang ada
pada kita untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Justeru, ia menuntut
manusia supaya lebih bersabar, jujur, redha, hidup berkasih sayang, toleransi dan
sebagainya. Misalnya, pepatah "dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang
keruh", menguji ketahanan mental dan fizikal individu itu dalam usahanya membentuk
nilai-nilai peribadi mulia supaya tidak akan lahir budi yang kasar. Sememangnya, prinsip
komunikasi seperti ini dapat mengekalkan ketenteraman sosial dan keharmonian sejagat
yang merupakan sebahagian daripada tamadun manusia.

Kesimpulan

Orang Melayu menerima konsep malu sebagai suatu nilai mutlak yang luhur. Ia
merupakan maruah bangsanya. Berasaskan kepada konsep ini, amalan dan tingkah laku
orang Melayu banyak bersandarkan kepada nilai-nilai yang telah ditetapkan sekaligus
memperlihatkan cara hidup yang teratur. Walau bagaimanapun, sistem nilai dan
kepercayaan ini mesti dijaga dan dikawal dengan sebaik mungkin dan berterusan supaya
ia tidak menyimpang daripada landasan sebenar. Dalam hal ini, orang Melayu yang
beragama Islam mesti berpegang teguh kepada konsep aib dan malu seperti mana yang
digariskan oleh ajaran Islam. Malah, Al-Quran dan as-Sunnah ada menyatakan bahawa
manusia yang pemalu adalah mereka yang memenuhi ciri-ciri individu Islam yang
sebenarnya. Justeru, orang Melayu mesti mempunyai ilmu yang secukupnya supaya
mereka tidak menyalah tafsir konsep malu iaitu dengan hanya menumpukan kepada
perasaan atau emosi semata-mata. Tegasnya, orang Melayu mesti tahu membezakan di
antara sifat malu yang dituntut oleh Islam dan sifat malu yang tercetus daripada hukum
adat Melayu. Dalam Islam, sifat malu mempunyai hukum syarak yang wajib dipatuhi.
Hukum adat pula mestilah berlandaskan agama, iaitu perasaan takut kepada Tuhan dan
kesedaran tentang dosa dan pahala. Nilai inilah yang menjadi ukuran dan pegangan
dalam menentukan baik buruknya perilaku seseorang itu.

Bibliografi

Abd Rahman Abd Majeed (2004). Malu Perhiasan Diri. Kuala Lumpur: Darul Numan.

Jamaliah Mohd. Ali (1999). Ketakterusan Berbahasa Dalam Komunikasi: Satu Kajian
Dalam Urusan Perniagaan Dan Hubungan Di Kalangan Pekerja Melayu, dalam
Dewan Bahasa, Jilid 43 (7): 610-615.
Kamus Dewan (1994). Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pendidikan Malaysia.
Mat Saat Baki (1993). Tingkah Laku Tak Normal dalam Psikologi Melayu. Selenggara.
Abdul Halim Othman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamed Mansor Abdullah (1993). Konsep Malu dan Segan Orang Melayu
Berdasarkan Hikayat dan Cerita Melayu Lama dalam Psikologi Melayu.
Selenggara. Abdul Halim Othman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mulyadi (2001). Konsep Emosi dalam Bahasa Melayu, dalam Dewan Bahasa, Jilid 1
(2): 28-35.
Norazit Selat (2004). Pengajian Hukum Adat Melayu dalam Tamadun Melayu.
Selenggara. A. Aziz Deraman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
S. Othman Kelantan (1992). Menarik Rambut dalam Tepung, dalam Dewan Sastera
Bahasa, Mei Jilid 22 (5): 50-51.
Teo Kok Seong (2003). Linguistik Antropologi. Satu Pengenalan Teoritis dalam Dewan
Bahasa, Jilid 41 (3): 242-251.
Wan Abdul Kadir Wan Yusof (1988). Tradisi Budaya Melayu Berteraskan Islam ,
dalam Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 8.

Zaba (1965). Ilmu Mengarang Melayui. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai