Anda di halaman 1dari 2

Warna Kehidupan: Pantang larang Melayu

Sesetengahnya ada bukti santifik, tetapi tidak disedari masyarakat

MASYARAKAT Melayu antara bangsa yang masih banyak terikat dengan pantang larang yang
diwarisi sejak turun-temurun meskipun mereka sedang menempuh kehidupan pada alaf ketiga
dan sedia menerima pembaharuan.

Sesetengah daripada pantang larang Melayu dikaitkan dengan melawan hukum alam, ada juga
yang diketengahkan sambil menampilkan akibat buruk bakal menimpa kepada pelaku dan demi
menjaga kesopanan sebagai manusia berakal, di samping tidak kurang mempunyai pertalian
rapat sains.

Kanak-kanak Melayu dulu dilarang makan jambu batu dan duku langsat bagi mengelakkan
kecacingan, manakala individu berpenyakit kulit seperti kurap dan gatal, dilarang memakan
makanan ‘sejuk’ seperti pisang, tembikai dan pucuk kayu bagi mengelakkan serangan saraf.

Sungguhpun demikian, masyarakat Melayu dulu juga bijak memanfaatkan tumbuh-tumbuhan


seperti akar, daun, ranting, buah dan bunga sebagai ‘penawar’ meskipun mereka dikelilingi
dengan kaedah perubatan menggunakan khidmat bomoh, pawang, dukun dan bidan.

Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Nafii Mat, berkata pemikiran
saintifik sudah hadir dalam minda Melayu lama berdasarkan asas penciptaan pantang larang dan
peribahasa Melayu yang memaparkan unsur jisim, alam, fizik dan ekonomi sebagai asasnya.

“Contoh terdekat dapat dilihat melalui peribahasa, meludah ke langit, muka juga yang basah,
berkait rapat dengan daya tarikan graviti, tetapi hakikat ini tidak disedari sebahagian besar
daripada kita,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di pejabatnya di Serdang, baru-baru ini.

Baginya, perkaitan di antara pantang larang dan petua orang Melayu lama dengan unsur saintifik
membuktikan kebijaksanaan masyarakat zaman dulu, apatah lagi kebanyakan petua perubatan
mereka tidak membabitkan bahan kimia yang boleh meninggalkan kesan sampingan.

“Masyarakat moden akan melihat larangan memakan ikan tongkol dan tenggiri terhadap wanita
lepas bersalin sebagai pemakanan tidak seimbang, tetapi bagi orang Melayu ia bertujuan
mengelakkan kegatalan di bahagian peranakan,” katanya yang juga penyair tersohor tanah air.

Naffi turut melihat kebijaksanaan masyarakat Melayu dulu bukan sekadar terhadap aspek
dalaman, bahkan penjagaan luaran yang antaranya dapat dilihat melalui penggunaan limau purut
yang dapat menghilangkan kegatalan kulit kepala dan mengharumkan bau rambut.

“Penggunaan kayu belur bagi mencantikkan rambut dalam masyarakat Melayu dulu, kini turut
dikomersilkan apabila ia digunakan sebagai sebahagian daripada ramuan penting dalam syampu
rambut,” katanya.
Exco Kanan Jaringan Siswazah Malaysia (Jasa), Sheikh Ahmad Afiq Sheikh Yahya, berkata
kebanyakan pantang larang Melayu berkaitan dengan amalan pemakanan kerana kesihatan setiap
individu berkait rapat dengan tabiat pemakanannya.

“Ada sesetengah pantang larang tidak membenarkan kita memakan lauk dalam kategori
berlainan kerana boleh menyebabkan penyakit kulit. Contohnya, ikan tidak boleh dimakan
bersama susu kerana dikhuatiri menyebabkan sopak.

“Selain itu, masyarakat dulu juga tidak menggalakkan sesiapa juga meminum air ketika makan
kerana amalan itu dikatakan boleh menyebabkan kegemukan kerana makanan yang diambil tidak
dapat hadam dengan sempurna.

“Larangan ini jelas selari dengan fakta saintifik yang menunjukkan tabiat makan sambil disulami
dengan minum air akan menyusahkan proses penghadaman berlangsung dalam diri seseorang,”
katanya yang sedang melanjutkan pelajaran di Pusat Pengajian Fizik Gunaan, Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM).

Baginya pantang larang mandi pada lewat malam dalam masyarakat Melayu dulu dengan alasan
akan dimasuki angin selari dengan fakta saintifik bahawa liang roma terbuka luas pada waktu
malam dan mereka yang suka berbuat demikian akan mudah diserang paru-paru berair.

Sheikh Ahmad Afiq yakin bahawa kebanyakan pantang larang atau cara perubatan masyarakat
Melayu lama masih boleh diterima pakai, walaupun ada sesetengahnya tiada bukti secara fakta
saintifik.

“Amalan yang baik seperti pendedahan terhadap khasiat tumbuhan yang diperturunkan oleh
masyarakat Melayu lama dalam bentuk petua adalah pilihan menjalani kehidupan sihat pada kos
paling minimum wajar dijadikan sebahagian daripada amalan,” ujarnya.

Anda mungkin juga menyukai