Anda di halaman 1dari 9

Batu Karang Hempedu

Oleh: Shafinaz Sheikh Maznan, Utusan Malaysia Dr. Abd. Hamid Mat Sain Pakar Runding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan

Hati menghasilkan hempedu - sejenis cecair berwarna coklat kehijauan yang mengandungi garam hempedu, cecair lemak, kolestrol dan bahanbahan kimia lain. Cecair pekat ini disimpan di dalam pundi hempedu sehingga ia diperlukan untuk mencerna lemak di dalam usus kecil anda. Apabila makan, pundi hempedu anda akan mengecut dan membebaskan hempedu melalui duktus sistik dan memasuki duktus hempedu biasa. Kemudian, duktus hempedu ini akan membawa hempedu ke bahagian atas usus kecil (duodenum) di mana ia akan mula memecahkan lemak dalam makanan anda. Bagaimanapun, menurut Dr. Abd. Hamid Mat Sain, jika hempedu anda tidak mempunyai bahan kimia yang seimbang, ia akan membentuk menjadi partikel keras dan seterusnya menjadi batu karang. "Proses ini akan mengambil masa selama beberapa tahun. Saiz batu karang hempedu ini adalah sekecil sebutir pasir atau sebesar bola golf yang licin serta bulat atau tidak tentu bentuknya dengan permukaan yang kasar. "Anda mungkin mempunyai seketul atau beratus-ratus ketul batu karang hempedu di dalam tubuh anda," kata Pakar Runding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan itu. Seperti kebanyakan orang yang pernah menghidap penyakit batu karang hempedu, anda juga boleh mengalaminya tanpa sedar kerana ia boleh hadir tanpa sebarang simptom atau memerlukan rawatan perubatan. Jika anda seorang wanita yang berusia dan mempunyai tubuh yang agak berisi, risiko untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu ini agak tinggi.

Simptom-simptom

Rasa senak yang kronik yang ditandai dengan rasa mual, angin, kembung perut dan kadangkala sakit di bahagian abdomen. Kesakitan yang datang secara tiba-tiba, konsisten dan sederhana bertukar menjadi kesakitan yang teramat sangat di bahagian tengah dan kanan atas abdomen, kata Dr. Abd. Hamid. "Ini mungkin menandakan serangan penyakit batu karang hempedu akan berlaku. Rasa sakit itu mungkin berlaku selama satu hingga dua jam selepas makan tetapi ia juga boleh terjadi pada waktu malam. Selalunya, rasa sakit itu memakan masa dari 15 hingga 30 minit ke beberapa jam. Sakit batu karang hempedu bermula di bahagian tengah dan kanan atas abdomen dan pada waktu-waktu tertentu, akan menular ke belakang atau bahu kanan," jelasnya. Selepas rasa sakit berkurangan, seseorang mungkin mengalami rasa sakit yang sederhana atau kesakitan di bahagian atas abdomen selama satu hari atau lebih. Serangan batu karang hempedu tidak menentu. Ia boleh mengambil masa selama berminggu-minggu, berbulan bulan atau bertahun-tahun lamanya.

Loya dan muntah. Kadangkala, batu karang hempedu terperangkap di pangkal pundi hempedu dan mengakibatkan rasa sakit yang berterusan atau mengalami demam panas. Apabila ini berlaku, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera. Tambah Dr. Abd. Hamid, ada ketikanya, batu karang hempedu terlepas dari pundi hempedu dan masuk melalui duktus dari hati dan pundi hempedu ke usus kecil (duktus hempedu biasa). Ia juga boleh masuk melalui duktus yang menghala ke pankreas. "Terdapat beberapa kes di mana ketulan batu karang mungkin tersumbat dan menyekat duktus, mengakibatkan komplikasi yang dikenali sebagai pankreatitis. Besar kemungkinan anda akan mengalami kesakitan dan demam disebabkan pembengkakan di kawasan tersebut. Jika tidak dirawat segera, ia boleh mengancam nyawa," katanya.

Beberapa tanda dan simptom duktus hempedu yang tersumbat termasuklah kulit yang kekuningan dan kawasan mata menjadi putih (jaundis), air kencing berwarna gelap, demam panas dan sejuk. "Jika anda mengalami satu atau lebih simptom halangan duktus hempedu - sakit di bahagian abdomen, warna kekuningan di kulit dan warna putih di mata (jaundis), air kencing yang gelap, dan demam panas dan sejuk - sila dapatkan penjagaan kecemasan. "Perlu juga diingatkan bahawa ada waktunya, anda akan mengalami jaundis dan perubahan pada warna air kencing dan najis tanpa kesakitan atau senak yang teruk. Ia mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum anda perasan perubahan warna itu," terang Dr. Abd. Hamid. Faktor-faktor Risiko Batu karang hempedu merupakan suatu penyakit yang diwarisi secara turun-temurun dan tidak dapat dihalang pembentukannya. Faktor-faktor lain mungkin meningkatkan risiko penyakit ini seperti:

Wanita di antara umur 20 dan 60 tahun lebih berisiko untuk menghadapinya dua kali ganda lebih daripada lelaki. Sewaktu indeks jisim tubuh (BMI) meningkat, risiko anda untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu juga meningkat. Diet yang berkalori rendah dan menghilangkan berat badan dengan cepat akan mengganggu sistem kimia, menyebabkan pundi hempedu anda kurang mengecut sekali gus meningkatkan risiko anda menghidapi penyakit batu karang hempedu. Kebarangkalian anda menghidapi penyakit batu karang hempedu turut meningkat seiring usia anda.

Jenis-jenis batu karang hempedu

Batu karang hempedu berkolesterol. Batu-batu karang hempedu yang berwarna kuning mengandungi kolesterol yang tidak terlarut, walaupun ia mungkin mengandungi komponen-komponen lain seperti kalsium dan bilirubin (sisa-sisa sel darah merah yang lemah). Sebanyak 80 peratus batu karang hempedu adalah batu kolesterol. Batu karang hempedu berpigmen. Batu-batu kecil berwarna coklat gelap atau hitam terbentuk apabila terdapat terlalu banyak bilirubin. Ia boleh dihidapi oleh mereka yang mengalami sirosis, jangkitan trek biliari dan anaemia sel sikel yang menghasilkan bilirubin secara berlebihan.

Batu karang hempedu duktus primer. Batu-batu ini akan terlepas ke dalam duktus nanah anda dan membentuk duktus itu sendiri. Walau bagaimanapun, batu karang jenis ini agak jarang berlaku.

Diagnosis Dr. Abd. Hamid memberitahu, kebanyakan batu karang hempedu lebih-lebih lagi yang tidak menunjukkan tanda-tanda atau simptom-simptom, dikesan sewaktu ujian dijalankan - termasuk ujian ultrasound atau imbasan tomografi berkomputer - yang dilakukan atas sebab-sebab lain. "Jika anda mempunyai tanda-tanda atau simptom-simptom penyakit batu karang hempedu, doktor anda akan mengesyaki anda mempunyai penyakit tersebut berdasarkan latar belakang perubatan keluarga anda dan pemeriksaan fizikal. "Sewaktu pemeriksaan tersebut, doktor anda akan memeriksa jaundis di kulit atau keputihan di mata anda dan abdomen anda akan diperiksa secara palpasi untuk melihat sama ada ia akan terasa sakit apabila disentuh." Jika doktor anda mengesyaki anda menghidapi penyakit batu karang hempedu, anda mungkin terpaksa melakukan ujian darah untuk memeriksa tanda-tanda jangkitan, tahap enzim pankreatik atau hati yang tidak normal, atau bilirubin yang berlebihan. Rawatan Doktor-doktor sering kali menemui 'batu-batu senyap' ini sewaktu pemeriksaan kesihatan yang rutin untuk mengesan penyakit lain dan selalunya, pesakit disarankan untuk 'tunggu dan lihat' daripada merawat. Walau bagaimanapun, jika batu karang hempedu anda menunjukkan simptom-simptom, terdapat rawatan pembedahan dan bukan pembedahan yang boleh dilakukan. Pembedahan

Pembedahan laparoskopik kolesistektomi. Kebanyakan surgeri pundi hempedu dijalankan menggunakan laparoskop sejenis tiub senipis pensel dengan sistem lampu dan kamera video yang kecil. Hanya beberapa insisi kecil akan dilakukan. Anda kurang berasa sakit selepas pembedahan, kurang parut dan boleh kembali melakukan aktiviti seharian hanya dalam beberapa hari.

Pembedahan terbuka. Pundi hempedu akan dikeluarkan melalui insisi besar di abdomen. Selepas surgeri dilakukan, hati anda akan terus menghasilkan hempedu yang secukupnya untuk mencernakan diet yang normal.

Bukan pembedahan Batu-batu karang akan terbentuk berulang kali apabila rawatan bukan surgikal dilakukan. Walau bagaimanapun, apabila surgeri bukanlah pilihan utama si pesakit, doktor anda akan mencadangkan salah satu daripada pilihan berikut:

Pil garam hempedu. Doktor akan menyarankan pengambilan ubat ursodial (Actigall), yang akan melarutkan batu-batu kolestrol dalam beberapa waktu yang ditetapkan. Rawatan ini sesuai dilakukan untuk batu-batu karang yang kecil. Terapi gelombang bunyi (litotripsi gelombang kejutan extracorporeal). Rawatan ini menggunakan gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi untuk memecahkan batu-batu karang. Batu-batu karang akan terbentuk kembali melainkan jika anda mengambil ursodial secara berterusan.

Laparaskopik buang hempedu


Oleh NORAINI ABD. RAZAK noraini.razak@utusan.com.my Foto ZAKARIA IDRIS Siti Nur Aisyah Razali, 17, pelajar SMK Perimbun, Batu 10, Cheras, Kuala Lumpur. Kira-kira tiga bulan lalu dia diserang kesakitan yang amat sangat di bahagian perut. Ketika itu dia sedang menikmati nasi lemak. Kesakitan Aisyah menyebabkan dia tidak mampu berjalan. Gadis itu dibawa ke klinik dan di peringkat awal diberi ubat tahan sakit. Namun kesakitan yang dialami Aisyah tidak juga reda. Hasil ujian ultrasound yang dijalankan ke atasnya mendapati dia mengidap penyakit batu di dalam hempedu. Oleh kerana keadaannya serius, pakar perubatan mencadangkan dia menjalani pembedahan membuang hempedu. Aisyah yang dimasukkan ke hospital dua hari sebelum pembedahan turut mengidap sickle cell atau penyakit berkaitan darah. Dia yang ditemui Mingguan Malaysia sejam sebelum pembedahan memberitahu, penyakit tersebut dihidapinya sejak sekolah rendah. Sejak disahkan mengidap sickle cell dia juga tidak boleh bergiat aktif. Biar pun meminati bidang sukan namun Aisyah tidak mempunyai pilihan dan hanya menjadi penonton. Aisyah ditemani ibunya Saoyah akur terhadap cadangan pakar perubatan supaya dia menjalani pembedahan lantaran tidak sanggup lagi menanggung kesakitan. Pakar Runding Pembedahan, Pusat Perubatan UKM, Dr. Hairol Azrin Othman ditanya kes Aisyah memberitahu, gadis itu mengidap penyakit batu di dalam hempedu

disebabkan sickle cell yang dideritainya sejak lama dulu. Beliau memberitahu, individu yang mempunyai penyakit berkaitan darah berpotensi untuk mendapat masalah batu di dalam hempedu. Peluang masuk ke dewan bedah bersama jurugambar menyaksikan prosedur membuang hempedu Aisyah sememangnya mengujakan. Walaupun kaedah laparaskopik semakin biasa digunakan dalam banyak kes (bukan batu hempedu saja), namun menyaksikan sendiri Dr. Hairol bersama pasukannya menjalankan prosedur tersebut memberi gambaran yang sangat jelas. Pakar Runding Pembedahan itu dibantu Dr. Tan Guan Hee dan Mejar Dr. Ngoo Kay Seong untuk memastikan pembedahan ke atas Aisyah berjalan lancar. Prosedur membuang hempedu tersebut menggunakan teknik lubang kekunci (Key-hole surgery) di mana pundi hempedu dan batu berkenaan dibedah menggunakan kamera dan peralatan laparoskopik tanpa perlu membuat luka yang besar pada badan. Kaedah itu, menurut Dr. Hairol lebih baik kerana ia tidak melibatkan parut yang besar, lebih kosmetik dan cepat sembuh. Fungsi hempedu Ditanya mengenai fungsi hempedu, Dr. Hairol memberitahu, hempedu bertindak sebagai agen pembaur lemak yang dimakan. Cecair hempedu dihasilkan oleh hati dan disimpan sementara waktu di dalam pundi hempedu. Hempedu penting dalam proses penghadaman lemak makanan. Pundi hempedu pula bertindak sebagai tempat simpanan hempedu. Beliau berkata, biasanya seseorang yang mengalami masalah batu hempedu mempunyai pundi hempedu yang kurang berfungsi. ''Pundi berkenaan tidak dapat mengecut dan mengeluarkan jus hempedu di dalamnya, mengakibatkan stasis atau jus hempedu bertakung di dalam pundi berkenaan. Hempedu yang bertakung tersebut akan menjadi lebih likat dan akhirnya boleh membentuk kristal,'' katanya. Menurut Dr. Hairol, keadaan itu memerlukan pundi hempedu berkenaan dibuang bersama-sama dengan batu di dalamnya untuk mengelak simptom tersebut berulang. Simptom batu dalam hempedu Ditanya sama ada terdapat simptom spesifik penyakit pundi hempedu, Dr. Hairol menjelaskan, ia lazimnya adalah radang pundi hempedu yang penyebab utamanya adalah batu hempedu. Di antara tanda-tanda penyakit radang pundi hempedu adalah sakit perut atau senak pada bahagian sebelah kanan badan, di bawah tulang rusuk. Ia boleh merebak hingga ke belikat sebelah kanan. Kesakitan tersebut biasanya berlaku selepas pengambilan makanan berlemak yang berlebihan.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua individu yang mempunyai batu hempedu mengalami simptom-simptom tersebut malah hanya hanya segelintir sahaja yang melaluinya. Ditanya punca kesakitan tersebut dirasai, Dr. Hairol memberitahu, ada dua jenis kesakitan disebabkan oleh batu hempedu. i. Kesakitan biliari kolik (biliary colic) yang dirasai selepas mengambil makanan berlemak disebabkan oleh pergeseran batu berkenaan dengan dinding pundi hempedu, kerana pundi hempedu akan mengecut untuk mengeluarkan jus hempedu ke dalam usus untuk menghadamkan lemak. ii. Untuk simptom radang pundi hempedu pula, kesakitan yang dialami disebabkan bengkak pada pundi hempedu akibat pangkal pundi hempedu yang tersumbat oleh batu di dalam pundi tersebut. Kesakitan yang dialami adalah lebih teruk berbanding dengan biliari kolik. Dr. Hairol ketika ditanya mengapa ada individu tidak mengalami simptom biarpun mempunyai batu dalam hempedu berkata: ''Ini soalan yang susah hendak dijawab kerana sakit itu sendiri sesuatu yang relatif. ''Mungkin sesekali seseorang itu mengalami senak perut selepas makan tetapi tidak berapa serius dan menjangka hanya mengalami gastrik.'' Dilihat dari sudut faktor pemakanan, katanya, mungkin jika seseorang itu berpantang makanan yang berlemak atau berminyak boleh mengawal daripada mengalami sakit biliari kolik. TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Batu Hempedu
Kristal yang menyakitkan Oleh SHANIKA ABDULLATIB PUNDI hempedu merupakan organ badan yang terdiri daripada karung kecil berbentuk buah pear yang terletak di bawah bahagian kanan hati. Jus hempedu yang dirembeskan oleh hati disimpan sehingga diperlukan oleh tubuh bagi penghadaman lemak. Meskipun bahagian ini jarang diberi perhatian, namun kegagalan pundi hempedu berfungsi sebaiknya akan menyebabkan kemudaratan yang cukup berbahaya.

Menurut Pakar Pembedahan Hepatobiliari Klinikal Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Hairol Othman, kesakitan yang dialami bukan sahaja melibatkan bahagian abdomen malah terasa sehingga ke tulang belikat. INILAH fizikal batu hempedu yang dikeluarkan dari pundi hempedu yang gagal berfungsi dengan baik. Gejala yang sering dihadapi adalah radang pada pundi hempedu berkenaan. Ini berlaku apabila batu terbentuk di dalam pundi hempedu pesakit. Keadaan menjadi kritikal sekiranya batu tersebut tersekat dan menghalang jus hempedu daripada dirembes keluar. Beliau menjelaskan, terdapat dua faktor utama terjadinya batu dalam pundi hempedu iaitu kolesterol dan kalsium bilirubinate yang tinggi dalam badan. Batu hempedu terbentuk apabila kolesterol dan garam hempedu menjadi tepu. Ia akan membentuk kristal dan lama-kelamaan akan membesar lalu menjadi batu, ujarnya. Kesakitan yang dialami oleh pesakit biasanya disebabkan batu tersebut bergesel pada dinding pundi hempedu. Seringkali terjadi apabila seseorang itu mengambil makanan berlemak, pundi hempedu akan mengecut untuk merembeskan jus hempedu ke dalam usus untuk meleburkan lemak tersebut. BATU hempedu ditarik keluar dengan menggunakan endoskopi. Jika batu hempedu tersekat di pangkal pundi hempedu, ini membolehkan berlakunya radang pundi hempedu. Lebih parah jika serpihan batu hempedu tersumbat pada saluran hempedu yang menyambungkan pundi tersebut pada usus. Ia seterusnya akan menyebabkan jaundis. Kerana itu, ramai antara pesakit yang mengalami penyakit kuning (jaundis) jika lambat menerima rawatan, katanya. Tambah Hairol, batu hempedu terdiri daripada tiga jenis iaitu batu hempedu kolesterol, pigmen dan campuran kedua-duanya yang dapat diketahui melalui warna. Batu kolesterol biasanya berlaku di kalangan masyarakat Barat, lembut serta berwarna kuning seolah-olah tanah liat, Batu pigmen pula terdapat pada mereka yang menghidap penyakit berkaitan darah seperti anaemia hemolitik dan berwarna hitam serta agak keras, jelasnya. Bagi batu bercampur pula, kriterianya mirip kedua-dua batu tadi. Jenis ini selalunya terdapat di kalangan masyarakat Asia yang disebabkan oleh jangkitan atau pemakanan yang mengandungi kolesterol dan kalsium tinggi.

Justeru, tidak kira besar atau kecil saiz batu hempedu, ia perlu dibuang dengan teliti bagi mengelakkannya tersumbat atau beralih dan terlekat pada salur hempedu. Rawatan Proses bagi membuang pundi hempedu beserta batu-batu hempedu di dalamnya boleh dilakukan menerusi kaedah kolesistektomi laparoskopik . Di PPUKM, kami menggunakan kolesistektomi laparoskopik iaitu dengan memasukkan kamera melalui luka di bahagian pusat dan tiga lagi luka kecil di bahagian atas abdomen untuk mengeluarkan pundi hempedu berkenaan, jelas Hairol. Tambahnya, kaedah pembedahan lubang kekunci tersebut memiliki beberapa kelebihan iaitu ia lebih selamat, kurang meninggalkan kesan parut dan tempoh pemulihan yang lebih pantas. Pencegahan Corak dan gaya hidup adalah faktor utama dalam mencegah masalah pembentukan batu hempedu. Ia melibatkan cara hidup kita, terutama melibatkan aspek pemakanan. Hanya itu caranya untuk mencegah kewujudan batu hempedu tepu kolesterol dalam pundi, tegas Hairol. Menurutnya lagi, makanan yang mengandungi kolesterol seperti makanan segera, berminyak dan berlemak adalah penyumbang utama dalam masalah pundi hempedu ini Disebabkan faktor tersebut, mengikut statistik, 15 hingga 20 peratus daripada populasi masyarakat akan mendapat masalah batu hempedu terutama di negara Barat. Dalam pada itu, jus hempedu dihasilkan oleh hati dan jus hempedu yang dikeluarkan setiap hari boleh menampung keperluan badan. Walaupun hempedu dibuang, Hairol menjelaskan tiada kesan sampingan pada sistem tubuh manusia biarpun dengan ketiadaan organ tersebut.

Anda mungkin juga menyukai