Anda di halaman 1dari 72

1

ORCHIDS PENDAHULUAN

febermula, ia telah pun lama dikenali oleh manusia. Dari bukti


yang terdapat, ia telah menemani manusia semenjak ribuan tahun yang lampau, semasa era Confusious di China, hinggalah ke zaman Greek purba, bahkan lebih awal dari itu lagi. Telah disebutkan betapa pada ketika itu ia telah pun dipuja, dihayati dan dijulang sebagai mitos yang berunsurkan fantasi manusia, jauh lebih awal dari bagaimana kita mengenalinya seperti hari ini. Ia tidak berubah biarpun telah berlalu ribuan tahun, dengan segala sifat keunikan serta keindahan padanya yang tetap kekal memukau pancaindera. Di sepanjang tempoh masanya yang mengiringi ketamadunan manusia, ia telah merentasi pemikiran ramai tokoh-tokoh terkenal, dari ahli-ahli falsafah dan bijak pandai hinggalah kepada khalayak marhain yang telah melihat lalu mengaitkannya dari pelbagai sudut pemikiran serta idealogi masing-masing. Namun begitu, walau dari apa segi pun ia diibaratkan, dari satu aspek yang menyatakan kekaguman manusia padanya, ia laksana sebuah kunci yang merongkai sesuatu, yang mampu menyelinap jauh ke lubuk rasa, meruntuhkan ego dan membebaskan sesuatu perasaan yang begitu asyik dari dalam hati, seperti sebuah perasaan cinta yang lain bentuknya daripada yang sering dialami oleh ramai di kalangan manusia. Memandang padanya akan membuatkan jiwa berbunga dengan rasa kagum, yang merontakan keinginan untuk merisik rahsia di sebalik kehidupannya, menyelongkar misterinya dan sudah tentu ingin memilikinya. Ia adalah orkid, seperti yang kita semua telah mengenalinya. Sebahagian dari peminatnya mengumpamakan ia sebagai permata di dalam rimba; suatu gelaran yang menepati orkid dengan ciri-ciri kelebihan serta keindahannya yang tidak begitu ramai yang memahami. Di laman semulajadi, tidak kira di pergunungan yang berkabus atau di lembah berpaya, sering terdapat orkid menghuni di antara tabir latarannya, yang menghiasi panorama dan mencorakkan identiti persekitaran tersebut. Samada yang bermukim di atas dahan-dahan kayu atau yang hidup subur di atas tanah, dengan dilapisi aneka flora hutan yang lain, orkid sesekali akan mencuri pandangan mata dengan keunikan pokok serta pesona yang memukau daripada keindahan bunganya. Orkid, walau di mana sekalipun ia berada, pohonnya tidaklah menjulang tinggi memayungi rimba, jauh sekali ia mempunyai akar yang teguh memasak bumi, malah keberadaannya di persekitaran cukup sederhana sekali. Namun di sebalik penampilannya yang sederhana ini, orkid terus-menerus menggoda manusia dengan

keindahan bunga serta kepelbagaian spesisnya yang sungguh unik. Orkid diketahui sebagai spesis tumbuhan yang cukup mahir mengenalpasti keperluannya yang bergantung hidup pada unsure-unsur persekitaran, sehingga di mana-mana jua benihnya ditakdirkan bercambah, ia akan menyesuaikan dirinya dengan habitat tersebut, agar ia dapat hidup dan terus hidup; bagaikan sebuah kebetulan yang boleh dikaitkan dengan kehidupan manusia juga. Kebolehan orkid yang istimewa ini berbanding tumbuhan lain, sudah cukup untuk melayakkannya mendapat tempat di hati manusia yang tidak hanya terbatas pada memuja keunggulan bunganya sahaja. Orkid sememangnya dikenali ramai kerana bunganya, namun dari yang diketahui, telah membuktikan terdapat berbagai lagi pengaruh yang lain daripada orkid secara keseluruhannya dengan kehidupan manusia. Seawal dari orkid mula-mula dikenali, ia telah pun diambil sebagai suatu unsur dalam amalan kehidupan manusia. Sebahagian dari kaum asli Amerika Latin contohnya, telah menyekutukan orkid dalam amalan kepercayaan nenek moyang sebagai salah satu unsur dalam simbol ketuhanan mereka, manakala bagi masyarakat Barat yang lebih maju, orkid pernah di suatu masa menjadi simbol terhadap status sosial mereka yang tinggi di kalangan masyarakat. Ini berlainan pada masyarakat dari benua Timur yang lebih gemar melihat orkid dari aspek seni dan falsafah yang mereka cipta, yang lebih halus lagi mendalam maksudnya. Walau apa pun jenis minat manusia padanya, namun bagi para pencinta orkid yang sejati, keindahan tertentu yang mereka tafsirkan daripada orkid, cukuplah ia sekadar menjadi santapan rohani mereka, yang mereka menikmatinya dengan bersendirian tanpa sebarang kata-kata pujian dan reaksi. Namun begitu, tidaklah semua manusia yang dapat menghargai keadaan orkid sebagaimana yang sepertinya. Batas hubungannya dengan manusia berbeza-beza atas berbagai faktor, dari yang hanya mengenali namanya hinggalah kepada yang menggilainya separuh mati. Bagi kalangan yang tidak mengenali orkid sebenarbenarnya, ia mungkin berlalu sebagai tumbuhan yang biasa atau sebagai pokok hutan yang tidak pernah diketahui usul, apa lagi keistimewaannya. Namun pada yang mengenali dan menghargainya, ia tidak berakhir hanya setakat itu. Orkid dengan apa yang ada padanya, mampu menggetarkan perasaan sesiapa saja tanpa mengira sesiapa atau apakah status mereka. Zaman yang berlalu, telah menyaksikan potensi orkid semakin pesat berkembang sejajar dengan perkembangan seni dan budaya manusia. Sehinggalah di era sains moden kini, orkid sama sekali tidak terlepas dari menjadi pokok kajian dan semakin didalami oleh mereka yang teruja untuk terus memahami rahsianya di sebalik fitrah kehidupan orkid. Menyusur pada arus kemodenan semasa, semakin menyerlahkan lagi keistimewaan orkid di mata manusia. Dari asalnya di rimba pergunungan yang sentiasa segar didakap alam, orkid kini telah turut dilahirkan di kota-kota komersil dalam

bentuk yang lebih beragam dengan ribuan aneka spesis serta bunganya. Ia akan terus dan sentiasa bertakhta di hati manusia, sebagai suatu simbol terhadap keindahan, keunikan dari anugerah alam dan sebagai mewarisi antara sumber kecintaan manusia yang terawal didunia.

August 2011

ORCHIDS oleh Mark Griffiths KHAZANAH DARI RIMBA Marcel Proust, Ian Flemming, Raymond Chandler dan Capt.W.E John hanyalah contoh segelintir nama-nama terkenal masa kini yang telah terbias oleh kecintaan mereka yang tinggi terhadap orkid. Sebahagian dari mereka seperti John Clare dan Henry David Thoreau pula, hanya mencari orkid-orkid liar di dalam rimba yang mereka jelajahi dan menjadikan orkid-orkid tersebut suatu khazanah yang cukup bernilai yang pada hemat mereka hanya boleh didapati jauh dari jangkauan khalayak umum. Seperti diakui para pencinta orkid ternama ini, orkid mempunyai makna yang cukup tersirat, sebagaimana yang turut dikongsi oleh pencinta orkid di serata dunia yang lain. Di dalam makna yang berselindung disebalik perkataan bunga itu sendiri; orkid adalah menifestasi tentang keindahan, yang begitu dekat dengan naluri manusia yang menyukai segala yang indah dan unik, serta perasaannya yang sentiasa mendambakan pengetahuan tentang apa jua rahsia di sekeliling mereka. Bagi mereka, maksud perkataan orkid bukanlah hanya bererti kelembutan atau pun seperti jelmaan wanita yang jelita lagi menawan tetapi kepada sesuatu yang lebih jauh seperti-eksotik, merbahaya, kemewahan, kepayahan, sesuatu yang bukan terdapat didunia ini dan yang paling utama sekali, orkid sungguh seksi di mata mereka. Apabila John Bernard Shaw mahu menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai The Improper Person of Babylon, beliau telah meminjam perkataan Orchidaceaous daripada lapangan pertanian dan botani. Arnold Bennett begitu juga apabila berfantasi terhadap para wanita, dia mengatakan jika mereka (wanita) dijaga dengan cara yang betul maka mereka akan berubah menjadi sesuatu yang lain yang tetap sama, namun memiliki sifat keunikkan dan keindahan seperti yang terdapat pada bunga orkid. John Ruskin, yang pada suatu masa telah mengangkat dirinya sendiri sebagai seorang penyanjung dan amat mencintai sejarah seni dan semulajadi, telah pun awal menemukan pertalian di antara orkid dan ilmu jantina manusia. Pertalian ini sebenarnya telah pun wujud di Eropah seawal abad 4 S.M. Ianya bertititik-tolak dari kesamaan di antara suatu bahagian orkid yang dipanggil tuber dari orkid-orkid yang banyak terdapat di Eropah pada masa itu, dengan alat jantina lelaki ; sehingga menjadikan wujudnya ubat perangsang daripada orkid di kala itu. Namun yang terlebih mengejutkan lagi adalah perkataan Orchis atau orkid itu sendiri adalah bermaksud testicles. Ruskin sungguh tidak berpuas hati dengan idea ini. Beliau telah menolaknya

dan mengatakan perkataan orkid telah dicipta daripada maksud yang kotor dan tidak berasas sama sekali. Ruskin lalu mencadangkan supaya perkataan Orchid itu disebut Ophryds yang diubahnya dari asal perkataan Ophrys. Ini sebenarnya ialah nama saintifik yang diguna pakai untuk kebanyakkan lebah, lalat dan orkid spider, suatu nama yang menurut Ruskin bebas dari maksud yang berbaur kelucahan dan lebih sesuai digunakan oleh para wanita yang sentiasa mengambil kira tentang adab susila serta pertimbangan moral yang tinggi.

Figure 1
Namun, perkataan Orchid atau Orchis semasa itu, telah pun begitu meluas digunakan dan amat sukar untuk diganti, baik di dalam sains atau di dalam kepercayaan masyarakat ( orkid dipercayai sekian lama sebagai pokok yang melambangkan kelakian dan pada masa yang sama mempunyai kuasa ke atas mereka). Lebih daripada itu, semasa Ruskin mencadangkan hal ini, orkid telah pun mendapat perhatian lebih ramai peminatnya disebabkan keunikkan misteri serta rahsia yang terdapat padanya. Hasilnya, tidak seorang pun yang mengendahkan cadangan oleh Ruskin itu. Untuk lebih memahami tentang mistiknya orkid ini, marilah kita mengimbau pada tahun 1833 di mana pada sebuah pameran orkid oleh Horticultural Society of London, yang merupakan suatu persatuan lebih awal daripada Royal Horticultural Society yang wujud kini telah diadakan. Di sinilah William Spencer Carvendish, pewaris ke-6 Duke of Devonshire mula-mula melihat dan memegang Psychopsis papilio (syn. Oncidium papilio) suatu spesis yang berasal dari Amerika Tengah dan Selatan. Beliau telah melihat

tumbuhan ini dengan daunnya yang sihat berwarna hijau kemerahan serta mempunyai bunga seperti belang harimau yang sungguh menarik perhatiannya. Serta-merta beliau pun terpanah oleh kekaguman pada sang orkid, hingga menjadkan beliau sungguh terpesona menatapnya. Begitu besar minatnya, sehingga pada ketika itu juga beliau telah berazam untuk menumpukan sepenuh tenaga dan kekayaannya bagi mewujudkan suatu koleksi orkid yang terbesar sekali di dunia. Bagi memulakan hasratnya itu, beliau pun segera mencari dan bermula dengan mengumpulkan orkidorkid yang telah sedia ada untuk diperolehi pada masa itu. Pada ketika, di mana kebanyakkan orkid-orkid daripada luar Eropah bukan sahaja amat berharga bahkan turut juga dikaitkan dengan episod-episod yang amat mencabar dan kesukaran mendapatinya, orkid telah mencapai suatu status populariti yang amat tinggi sekali termasuklah pada harganya. Untuk hanya satu spesimen Phalaenopsis yang diambil dari Filipina sahaja, Devonshire telah sanggup membayar seorang pemburu orkid, Hugh Cunning sebanyak 100 guineas. Untuk itu adalah tidak menghairankan bila tidak lama kemudian, beliau mengambil keputusan untuk mengupah sendiri seorang pencari orkid bekerja dengannya. Devonshire sebenarnya telah menunjukkan yang beliau bukan sahaja mempunyai kepakaran yang tinggi dalam menilai orkid tetapi juga sangat fanatik, sesuatu yang jelas menggambarkan sifat seorang pencinta orkid yang sejati. Beliau kemudiannya melantik dua orang pembantu yang mahir dan cekap bagi menjaga hobi barunya suatu kenyataan; Joseph Paxton yang beliau ambil dari taman pertanian Horticultural Societys Chiswick lalu menjadikannya ketua pertanian di Chartsworth; serta John Gibson yang merupakan anak didik Paxton sewaktu bekerja di ladang di Derbyshire. Paxton yang mengetuai operasi dan perjalanan semua ladang-ladang milik Devonshire sememangnya seorang yang cukup mempunyai karisma. Selain bekerja dengan Duke of Devonshire, beliau turut menerbitkan jurnal pertanian, serta melakukan kerja-kerja awam termasuklah yang terkenal sekali merekacipta Crystal Palace khusus untuk The Great Exhibition pada tahun 1851. Di samping itu beliau juga adalah ahli Parlimen bagi negeri Coventry . Riwayat hidup Paxton bertambah gemilang lagi apabila beliau turut dianugerahi dengan pingat kesatria knighthood serta turut digelar Prince of Gardeners. Namun, di awal tahun 1830an, tugas Paxton adalah mencari penyelesaian kepada segala masalah daripada hobi baru majikannya Duke of Devonshire. Pada peringkat permulaan, Paxton telah memulakannya dengan 3 buah rumah pemanasan (stove) dan kesemua orkid-orkidnya dilekatkan terus pada batang-batang kayu oak lalu dipelihara pada suhu yang panas. Ini adalah satu-satunya cara pada masa itu di England untuk

menanam orkid-orkid tropika, biarpun diketahui terdapat juga orkid-orkid yang diambil dari bahagian bersuhu sederhana termasuk dari daerah yang bersuhu sejuk. Sebagaimana yang dapat dijangka, bilangan orkid-orkid yang mati adalah cukup tinggi dengan cara ini. Tidak berpuas hati, Paxton lalu memikirkan suatu cara yang lebih baik menanam orkid. Beliau mula melakukan percubaan demi percubaan bedasarkan pengetahuannya dan juga dengan bantuan pengalaman sahabatnya, John Lindley tentang tabiat pertumbuhan orkid sepertimana yang terdapat di habitat asalnya. John Lindley ialah Setiausaha kepada Horticultural Society yang juga turut digelar Father of Orchidology atau Pengasas Orkid. Revolusi penanaman orkid cara baru oleh Paxton ini turut dipengaruhi oleh seorang lagi pembantu Duke of Devonshire yang terkenal iaitu John Gibson yang telah dihantar ke India pada tahun 1835 bagi mencari orkid-orkid baru dan penemuanpenemuan terkini khusus untuk koleksi yang akan disimpan di Chartsworth. Di antara tahun 1835 sehingga 1837, Gibson telah menemukan berpuluh-puluh spesis orkid terbaru yang masih belum diketahui di waktu itu termasuklah seperti Anoectochilus setaceus, Dendrobium densiflorum, Phaius albus dan Vanda teres. Terdapat tiga spesis Dendrobium yang ditemuinya yang kemudiannya telah dinamakan D.paxtonii, D.gibsonii dan D.devonianum sempena nama mereka bertiga Paxton, Gibson dan Duke of Devonshire. Nama-nama spesis seperti devonianus, devoniana, devonianum termasuklah carvendish adalah cukup sering dijumpai di dalam pelbagai spesis orkid. Ini sebenarnya adalah khusus untuk memperingati Duke of Devonshire yang diakui menjadi pengasas kepada industri orkid secara moden dan besar-besaran . Berbalik di Chartsworth, kesemua koleksi orkid yang baru dijumpai itu perlu ditanam segera dengan segala pertimbangan mengenai hawa dan kelembapan yang sesuai sepertimana yang terdapat di habitat asal orkid-orkid tersebut di Assam, India. Paxton telah menurunkan suhu di dalam rumah pemanasannya dan menambahbaik pengaliran udara di situ. Paxton telah merintis cara baru penanaman orkid dengan membahagikan orkid-orkidnya kepada 3 bahagian penanaman di dalam rumah pemanasannya -sejuk, sederhana dan panas berdasarkan kepada habitat asal orkid-orkid tersebut. Dia juga telah mula-mula sekali memperkenalkan media tanah yang lebih longgar serta penggunaan raga-raga kayu yang lebih sesuai untuk penanaman orkid yang kebanyakannya adalah dari jenis epyphytic (menumpang di atas pokok) dan lytophytic (menumpang di atas batu) yang kemudiannya terbukti berkesan menggalakkan pertumbuhan akar-akar baru orkid ini. Segala yang dilakukan oleh Paxton ini adalah revolusi terbaru penanaman orkid semasa itu, di suatu tempat yang khusus yang dibinanya dan diberi jolokan The Great Stove. Sesiapa yang mengunjungi The Great Stove sering merasai sesuatu keanehan di sebalik namanya itu kerana di sini udaranya begitu nyaman sekali dan sesekali terasa pula

seperti angin sedang bertiup dengan lembut. Masa pun berlalu dan adalah tidak lama apabila Chartsworth kemudiannya telah menjadi pusat penanaman dan pengumpulan orkid yang terbesar sekali di dunia, manakala Duke, selaku pelopor dan penaja kepada ramai pencari serta pemburu orkid telah diangkat sebagai pengasas kepada seluruh usaha ini. Bermula daripada beliaulah apa yang kemudiannya menjadi The Royal Horticultural Society telah berkembang dengan pesat sehingga munculnya ramai tokoh-tokoh yang terkenal di dalam lapangan ini yang seterusnya mengembeling usaha mereka di dalam abad ke 19 sehingga menjadikan dunia orkid berubah daripada minat secara kecil-kecilan menjadi suatu industri yang besar dan seterusnya suatu fenomena baru yang mencetuskan kegilaan ramai. Walaupun bibit permulaan pengembangan orkid di Eropah hanya bermula pada tahun 1833 (khususnya orkid-orkid tropika), orkid sebenarnya telah pun ditanam di Eropah Barat selama lebih 200 tahun sebelum itu lagi. Sebagai contoh, di dalam suatu jurnal yang ditulis dalam tahun 1640, bertajuk Theatrum Botanicum, John Parkinson seorang tokoh herba dan pertanian yang dilantik oleh Charles 1, telah pun membicarakan mengenai sejenis orkid yang disebut Calceoulus Mariae Americanus suatu spesis orkid slipper daripada Amerika Utara yang kini spesis tersebut dikenali sebagai Cyprepedium reginae. Menurut Parkinson, spesis ini didapatinya berbeza dengan Cypredium calceolus yang terdapat di Eropah berdasarkan kepada tangkai dan daunnya yang lebih besar serta lebar manakala bunganya juga lebih besar serta terdapat pula garisan-garisan halus berwarna kemerahan di bahagian bawah perutnya. Semasa kurun ke-16, orang-orang Belanda-lah yang mula-mula sekali memperkenalkan spesis orkid-orkid liar daripada luar benua Eropah dalam ertikata yang sebenarnya. Orkid-orkid yang mereka bawa, seringkali berada dalam kelasnya yang tersendiri berbanding dengan mana-mana orkid yang terdapat di Eropah ketika itu. Ia bukan sahaja lain dari orkid-orkid yang biasa mereka lihat, malah turut memiliki haruman yang tertentu, yang benar-benar menjelaskan asalnya orkid-orkid tersebut adalah diambil dari benua lain, yang di luar dari lingkungan Eropah. Gasper Fagel merupakan ketua kepada pengumpul-pengumpul orkid dari Belanda ini. Sebahagian daripada koleksinya telah diambil oleh William The Orange dan kemudiannya ditanam di Hampton Court Palace apabila William menaiki takta England bersama-sama dengan isterinya Mary. Satu daripada penemuan unik daripada Fagel adalah sejenis spesis dari Curacau yang berbunga putih dan berkelopak tebal serta tumbuh seperti pohon menumpang yang besar di atas dahan pokok. Orkid tersebut, sebagaimana suatu amalan yang biasa dimasa itu telah diberikan satu nama yang cukup panjang sekali Epidendrum curassavicum folio crasso sulcato yang bermaksud tumbuhan menumpang di atas pokok berdaun tebal dari Curacau. Orkid ini telah muncul di dalam suatu jurnal oleh Paul Hermann yang bertajuk Paradisus Batavus (1698). Pada

10

tahun 1831, John Lindley bagaimana pun telah menamakan orkid ini Brassalova nodosa dan ia masih kekal dikenali hingga ke hari ini.

Figure 2 Brassalova nodosa


Kira-kira seratus tahun sebelum dari Lindley menamakan orkid oleh Fagel ini, telah muncul dari apa yang disebut sebagai pengenalan terawal orkid di bahagian Eropah Utara, yang mana peristiwa mengenainya mempunyai rekod sejarah dan tulisan yang cukup jelas. Pada tahun 1731, suatu contoh daripada spesis Bletia purpera telah dihantar kepada seorang pedagang dan penanam tumbuhan bernama Peter Collinson dari Pulau Providence di Bahamas. Orkid ini telah tiba di Eropah dalam keadaan yang cukup menyedihkan. Orkid ini bagaimanapun masih mempunyai ubi (pseudobulbs) dan ia didapati hidup setelah ditanam di atas batang kayu reput yang lembab. Sehinggalah setahun selepas ditanam, ia tiba-tiba berbunga dengan bunga amat cantik sekali berwarna merah hati. Selepas dari peristiwa itu bilangan orkid yang dihantar ke Eropah pun kian bertambah. Orkid-orkid yang dihantar ke Kew dalam tahun tahun 1760an daripada Kepulauan Barat Benua Amerika termasuklah dari spesis Epidendrum rigidum dan Vanilla. Pada tahun 1778, John Forthergill telah kembali dari China dengan orkid dari Asia yang pertama sekali tiba di England dari spesis Cymbidium ensifolium dan Phaius tankerville. Orkid ini telah mengejutkan mereka apabila spesis yang kedua, Phaius tankerville telah tiba-tiba berbunga dengan batang bunganya yang besar dan tumbuh meninggi dari dalam tanah. Ia lalu berpecah dihujungnya kepada beberapa kuntum bunga yang kemudiannya kembang serta mekar di dalam warna merah seperti wain sewaktu di dalam jagaan seorang anak saudara Fothergill di Yolkshire.

11

10 tahun kemudian, Taman Botani Kew telah mempunyai dan menanam sebanyak 15 spesis orkid dari luar Eropah dan telah berjaya mengaruhkan orkid dari jenis epiphyte berbunga buat kali yang pertama. Ia adalah dari spesis Encyclia cochleata yang apabila mulai berbunga jarang sekali berhenti dan dari spesis Encyclia fragrans yang berbunga dengan campuran warna krim dan ungu serta sungguh harum baunya. Namun, tidaklah seberapanya oleh kedua-dua orkid ini berbanding dengan suatu orkid dari Dunia Baru yang sungguh memberi kesan dan pengaruh yang begitu besar sekali apabila ia mula berbunga di Liverpool Batanic Garden pada awal tahun 1810an. Bunganya sungguh cantik sekali dengan susunan serta warnanya yang tampak begitu mewah- ia adalah Cattleya yang sesungguhnya bagi kebanyakkan penggemar orkid adalah simbol sejati bagi orkid yang sebenar. Orkid di Liverpool ini yang merupakan suatu spesis unik daripada Sao Paolo, Brazil, masih lagi belum diberi nama ketika itu dan ia merupakan spesis Cattleya yang pertama sekali berbunga di Eropah. Dalam tahun 1812, satu usahasama oleh saudagar bunga dari London bernama Conrad Loddiges dan Sons of Heckney telah memulakan perniagaan orkid secara komersil yang pertama sekali di Eropah. Loddiges kemudiannya telah memasukkan orkid yang menakjubkan dari Liverpool ini di dalam jurnal bertajuk Botanical Cabinet (1819), dan menamakannya sebagai Epidendrum violaceum. Adalah menjadi kebiasaan ketika itu di akhir kurun ke17 untuk kebanyakkan ahli-ahli pertanian menamakan orkid sebagai Epidendrum yang bermaksud tumbuhan di atas pokok tanpa mengambil kira samada orkid tersebut dari kelompok epiphytic atau litophytic. Sehinggalah di awal kurun ke19 apabila pengkelasan orkid menjadi lebih khusus dari sebelumnya. Ini dibantu oleh bertambahnya koleksi orkid yang ditanam (sebagai contoh dalam tahun 1813, Kew telah mempunyai lebih 46 spesis yang berasal dari Tropika dan 12 spesis dari sub-Tropika termasuk dari Hemisfera Selatan) dan juga di atas ketelitian serta pengamatan seorang ahli orkid yang terkemuka, John Lindley. Salah seorang daripada majikan Lindley yang terawal adalah William Cattley seorang pedagang dan juga pengumpul tumbuh-tumbuhan berharga dari luar negeri. William Cattley telah mengupah Lindley untuk melukis serta memberikan gambaran perincian terhadap koleksi-koleksinya yang terbaik. Antara yang awal dimulakan oleh Lindley, adalah kepada suatu spesis yang apabila berbunga, bunganya sungguh besar sekali, kelopaknya pula seakan-akan berketak-ketak serta berwarna kebiruan, bahagian bibirnya tertonjol keluar seperti serombong asap dan berliku-liku dipinggirannya serta berwarna seakan-akan campuran merah dan keemasan. Apabila spesis ini mula berbunga dalam tahun 1818, Cattley telah mengukirkan komen berikut, kemungkinannya, inilah orkid yang terindah sekali dalam semua orkid-orkid yang ada

12

-suatu pernyataan yang mungkin ramai lagi masih menyetujuinya sehingga kini. Ironinya, spesis ini besar kemungkinannya tidaklah dapat dipuji oleh Cattley sehingga sebegitu. Apabila William Swainson, orang yang mula-mula sekali menemui spesis ini di Pergunungan Organ di Rio de Jeneiro dalam tahun 1818, beliau telah tidak melihatnya dalam keadaan berbunga, lalu merasa tidak sedikit pun tertarik. Namun di persekitarannya, terdapat banyak lagi pokok-pokok Brazil yang lain yang lebih menarik perhatiannya. Swainson kemudiannya telah mengumpul pokok-pokok ini dan menghantarnya pulang. Beliau telah sebaliknya menggunakan daun serta ubi yang tebal dan keras dari spesis tadi sebagai bahan pengekap kepada pokok-pokok lain yang dikirimnya kepada Cattley. Apabila tiba, Cattley bagaimanapun terfikir kemudiannya untuk turut menanam spesis tersebut yang mulanya hendak dibuang sahaja. Begitulah yang berlaku, Cattley kemudiannya mendapat ganjaran yang lumayan apabila beberapa lama kemudian spesis tadi telah hidup dengan subur dan mulai berbunga. Pada tahun 1821, Lindley telah mengambil spesis ini sebagai suatu genus yang baru dan menamakannya Cattleya sebagai penghargaan kepada William Cattley. Dinamakan pula spesis ini labiata sempena keunikkan warna bibir bunganya. Beliau telah mewartakannya bersama-sama dengan satu lagi spesis Cattleya yang berbunga setahun kemudian yang dinamakannya Cattleya loddigesii sempena nama seorang saudagar bunga Conrad Loddiges.

13

Figure 3 Cattleya labiata Kehebatan bunga Cattleya labiata seterusnya menjadikannya seperti lagenda. Tidak begitu lama setelah berita penemuannya tersebar, habitat asalnya pun musnah oleh aktiviti penebangan hutan dan pembukaan ladang-ladang kopi yang baru di Brazilsuatu kisah yang kini, kita semua sudah biasa mendengarnya. Tidak lama setelah itu ada lagi habitat baru ditemui, namun nasib yang sama juga menimpanya. Terdapat juga beberapa spesis Cattleya yang lain yang bunganya sama menawan dan hebat seperti Cattleya labiata. Antaranya adalah Cattleya mossiae dan Cattleya trianaei yang kadangkala dijual sebagai Cattleya labiata yang asli, namun kebanyakkan pembeli kemudiannya telah tertipu. Cattleya labiata yang asli telah akhir dilihat pada lewat tahun 1830an, kemudian hilang dan timbul semula pada tahun 1891 melalui syarikat yang diketuai oleh Frederick Sander dan melalui jurulelong Protheroe serta Morris. Kali ini ia muncul sebanyak beribu-ribu pokok dengan tidak ada siapa yang tahu apakah yang masih tinggal di habitat asalnya ditemui.

14

Orchidmania sebenarnya telah menular dengan pesatnya di dalam dekad 1820an. Banyak dari hal ini telah disebabkan oleh kemunculan Cattleya labiata ke dalam pasaran orkid. Usaha yang dilakukan oleh Loddiges melalui syarikat bunganya kemudian telah turut diikuti oleh banyak syarikat-syarikat lain yang mengkhusus di dalam jual-beli orkid; Horticultural Society pula telah membuka sebuah rumah orkid di Chartsworth dan menganjurkan pelbagai pameran orkid khususnya dalam memperkenalkan Cattleya labiata yang sungguh sensasi dimasa itu. Namun kegilaan tentang orkid ini sentiasa pula dibayangi oleh suatu batasan di mana hampir setiap usaha untuk membiak dan menanam orkid-orkid liar ini selalunya berakhir dengan kegagalan dan kekecewaan. Masih ramai lagi yang belum mengetahui tentang revolusi baru penanaman orkid seperti yang telah di buat oleh Joseph Paxton hanya kira-kira 20 tahun sesudah itu. Ramai yang masih beranggapan yang setiap orkid yang diambil dari luar Eropah perlu ditanam dibatang-batang kayu reput dan dipelihara pada suhu yang panas. Di awal tahun-tahun di mana pengembangan ilmu, khusus untuk penanaman orkid dengan cara yang betul, masih belum berkembang, ramai cenderung untuk membuat pelbagai tanggapan yang kebanyakkannya adalah tidak betul. John Lindley sendiri sebagaimana yang ditulisnya, telah memberitahu orang ramai supaya menanam spesis Calanthe yang diambil dari Timur Jauh di dalam rumah pemanasan dan di atas batangbatang kayu seolah-olah Calanthe ialah dari spesis yang hidup di atas pokok. Ironinya beliau sendiri pun tahu yang spesis Calanthe sebenarnya hidupnya di atas tanah pergunungan yang sejuk hawanya. Namun, demikianlah di antara mistik dan kegilaan orkid semasa itu telah membuatkan Lindley sendiri telah membuat keputusan yang silap. Begitu juga, Horticultural Society apabila mengumumkan mengenai kajian mereka untuk teknik penanaman orkid ( yang di buat di atas arahan Lindley sendiri) telah gagal memberitahu orang ramai tentang elemen utama yang turut diperlukan oleh setiap orkid aliran pengudaraan yang baik. Hasil dari arahan Lindley itu, yang sentiasa dianggap betul dan tepat, begitu banyak wang dan bilangan pokok yang mati menjadi sia-sia. Setelah kira-kira 20 tahun kemudian pada tahun 1833, barulah tiba kepada era Duke of Devonshire yang membawa perubahan yang cukup besar di dalam perkembangan minat serta usaha mengkomersilkan orkid di Eropah khususnya di England. Hanya beberapa tahun sahaja setelah Duke menceburkan dirinya di dalam usaha mengumpul serta menanam orkid di Chartsworth, pembantu kanannya Joseph Paxton mulai menerbitkan hasil kajian serta percubaannnya mengenai teknik-teknik penanaman orkid di dalam salah satu daripada beberapa majalah yang diasaskannya- The Magazine of Botany. Setelah hampir 30 tahun berputus asa untuk melihat spesis yang amat digilai ini hidup subur di halaman rumah atau di nurseri mereka, akhirnya mereka telah berjaya menemukan suatu teknik yang paling sesuai untuk memeliharanya. Bertitiktolak dari situlah, tidak lama kemudian, suatu bentuk industri orkid komersil yang baru

15

pun muncul. Pokok-pokok orkid mulai disemai dan ditanam sehingga mencapai ribuan pokok banyaknya bagi menyediakan bekalan yang cukup kepada para pembeli, di samping untuk mengisi tahap permintaan yang semakin meningkat di masa itu. Demi kerana itulah, syarikat-syarikat seperti Loddiges, Backhouse dan Veitch telah berlumba-lumba untuk tidak mahu ketinggalan. Mereka tidak mahu hanya menjadi pemerhati tetapi menjadi pembekal utama kepada industri yang baru ini. Ratusan spesis dari Dunia Baru kini siap-sedia untuk dipasarkan pada para pembeli yang berminat asal saja mereka mampu berbuat demikian. Untuk menjadi berjaya, syarikatsyarikat ini telah mencontohi Duke dan beberapa orang pemain utama yang lain seperti James Bateman dari Knypersly Hall dengan mengupah dan menaja sendiri para pencari orkid. Maka muncullah suatu bentuk kerjaya yang baru. Kerjaya yang mungkin paling menjanjikan ganjaran lumayan pada waktu itu, tidak termasuk elemen-elemen penuh cabaran yang bakal mereka tempuhi kelak. Hanya bagi mereka yang sanggup sahaja, terdapat beratus malah ribuan spesis yang unik sedang menanti kedatangan mereka di hutan-hutan belantara Amerika Latin, India serta Timur Jauh dengan pelbagai ragam bentuk serta warna bunganya. Namun ditengah-tengah keghairahan Orchidmania yang semakin menular ini, pengetahuan mengenai percambahan orkid masih lagi belum menunjukkan perkembangan. Apabila orkid yang ditanam mulai hidup serta matang, satu-satunya cara pembiakkan yang diketahui, hanyalah dengan cara membelah atau pun melalui biji benih. Itu pun sudah cukup rumit dan amat mengambil masa sekali terutama bagi membiakkan pokok pada kadar yang banyak di satu-satu masa. Akibatnya, hanyalah orkid-orkid yang telah sedia matang atau pun yang baru tiba sahaja yang dijual beli sewaktu memuncaknya Orchidmania di England. Persaingan pun menjadi kian sengit di antara nurseri-nurseri orkid sekaligus membabitkan para pencari orkid yang mereka upah. Mereka sedar, jika mereka berjaya menjumpai suatu spesis baru yang berpotensi menjadi sensasi sepertimana Cattleya labiata, nasib mereka serta nurseri yang menaja mereka pasti akan berubah. Sebarang berita yang diterima mengenai penemuan suatu spesis yang baru, sudah pasti akan menjadikan permintaannya berlipat kali ganda dari jumlah orkid yang ada, menjadikan persaingan di antara para pencari orkid itu sendiri begitu hebat sekali. Kerap-kali mereka seolah-olah berlumba sesama sendiri dan sering pula terpaksa menempuh pelbagai bahaya serta menjelajah jauh kedalam hutan yang mereka sendiri tidak pasti. Salah satu nukilan tentang sengitnya persaingan ini dapat diambil daripada satu contoh mesej yang dihantar kepada seorang pencari orkid bernama Arnold daripada majikannya Henry Frederick Conrad Sander atau Raja Orkid memberitahunya,

16

Disebabkan beliau telah bertindak demikian, kita mestilah berusaha menyaingi mereka. Saya harap sebelum anda menerima mesej ini anda telah pun menuju ke Merida dan pastikan anda mendahului mereka. Lakukan apa saja asalkan mereka tidak berjaya Mesej ini adalah merujuk kepada saingan kepada pencari orkidnya bernama White yang ditaja oleh Sir Hugh Low. Di dalam usaha mencari orkid-orkid yang terbaru, salah satu aspek negatif yang wujud dikalangan mereka adalah memusnahkan apa saja orkid yang ditemui tetapi tidak dapat diambil atau dihantar pulang. Hal ini bukan sahaja menyebabkan peluang pesaing mereka terjejas malah turut sama memusnahkan habitat semulajadi orkid tersebut yang begitu bernilai dan tidak dapat diolah-ganti lagi. Sepatutnya mereka tidak perlu berbuat begitu. Hanya apabila masa berlalu dan pencarian mereka menjadi lebih terancang, barulah mereka mulai membawa lebih ramai orang-orang suruhan yang sedia mengangkut orkid-orkid ini sehingga ke pelabuhan di mana telah sedia menunggu disitu, kapal-kapal untuk membawa orkidorkid pulang dengan selamat seterusnya dijual kepada peminat-peminat fanatik orkid yang sentiasa memenuhi daftar-daftar permintaan di England sana. Sebagai contoh, di dalam satu ekspedisi penjelajahan yang di buat di Columbia ke atas salah satu dari spesis yang mendapat permintaan yang tinggi di waktu itu, Odontoglossum crispum, hampir 4000 batang pokok telah ditebang dengan perolehan sebanyak 10000 orkid dapat dikutip daripada dahan-dahan pokok tersebut.

17

Figure 4 Odontoglosum crispum Pada tahun 1895, seorang pengumpul orkid bernama Carl Johannsen telah melaporkan dari MadelinSemua orkid-orkid telah habis dikawasan ini dan sudah tentu ini adalah yang terakhir. Saya telah habis menjelajah disepanjang Rio Dagua dan tiada apa yang tinggal lagi. Pada hari terakhir saya disana para pencari hanya membawa setiap seorang hanya 2 atau 3 pokok sahaja, ada juga yang kembali tanpa membawa apa-apa. Terdapat juga antara ekspedisi yang banyak di buat dalam mencari orkid ini, lebih kepada membawa kemusnahan besar terhadap kepelbagaian flora di satu-satu kawasan itu. Contohnya sewaktu Robbelin mengambil kira-kira 21000 pokok orkid dari spesis Phalaenopsis dari Filipina, kesemuanya telah musnah di dalam ribut taufan sebelum ianya selamat tiba di Eropah. Dalam satu peristiwa yang lain, sebuah kapal yang sarat dengan spesis Dendrobium yang dikumpul oleh Wilhelm Micholitz telah musnah samasekali terbakar ketika di pelabuhan di Celebes.

18

Mana-mana orkid yang selamat tiba, akan menjadi kepunyaan nurseri-nurseri yang telah menaja para pencari orkid tadi. Namun sebelum orkid-orkid bertukar tangan kepada pembeli ia selalunya akan terlebih dahulu dihantar kepusat lelongan di mana para pembeli perlu membida dengan harga yang tertinggi sekali untuk mendapatkan mereka. Ini adalah kerana terdapat spesis-spesis tertentu yang amat sukar didapati namun sentiasa mendapat permintaan yang amat tinggi. Salah satu spesis tersebut adalah Paphiopedilum spicerianum daripada Assam, India sejenis orkid sliprer yang sungguh cantik apabila berbunga. Orkid ini hanya pernah ditemui sekali sahaja di habitat asalnya hingga kemudian tidak lagi dijumpai di mana-mana. Beberapa lama kemudian tanpa apa-apa tanda, satu daripada beberapa spesis ini dari ekspedisi pencarian yang awal, telah berbunga di dalam simpanan seorang wanita di Wimbledon. Peristiwa ini telah mencetuskan kembali fenomena terbaru dikalangan para penggemar orkid hingga mereka kembali teruja untuk mendapatkan lagi spesis ini. Frederick Sander tidak menunggu lama, terus menghantar orangnya yang bernama Fosterman ke India untuk mencari lagi spesis ini. Kerja-kerja mencari orkid ini bukanlah sesuatu yang mudah. Di India, Fosterman dalam usaha pencariannya, telah tiba disuatu cerun bukit yang tinggi dan berhutan amat tebal di mana beliau mengesyaki terdapat spesis ini dikawasan itu. Untuk mencarinya, beliau terpaksa memanjat cerun yang tinggi itu dengan melalui satu aliran air terjun yang amat sejuk airnya. Sehinggalah akhirnya beliau berjaya juga tiba dan menemui spesis yang amat sukar dijumpai itu yang didapatinya terletak betul-betul di atas puncak sebuah cerun batu. Para pembantunya bagaimana pun enggan menolongnya mendapatkan orkid tersebut. Mereka sebaliknya telah meminta beliau berjanji dahulu untuk kembali ke kawasan kampung mereka bagi menembak seekor harimau yang telah membunuh ramai penduduk disitu. Fosterman pun berjanji dan akhirnya beserta dengan orkid, harimau yang ditembak itu pun turut dihantar pulang ke England.

19

Figure 5 Paphiopedilum spicerianum Di England, Frederick Sander telah menjual Paphiopedilum spicerianum sebanyak 40000 pokok dalam sehari. Ditempat asalnya pula di India spesis ini benar-benar telah terjejas teruk dan perlukan masa yang lama untuk memulihkan populasinya kembali. Segalanya ini hanyalah berpunca dari peristiwa di Wimbledon, Selatan London tidak lama dahulu apabila satu contoh dari spesis ini telah berbunga dihadapan mereka sehingga mencetuskan kembali fenomena kegilaan ini. Kebanyakkan daripada orkid-orkid eksotik yang dijual di England ialah melalui pusatpusat lelongan awam. Di antara yang pusat lelongan yang termasyur melakukan lelongan orkid di waktu itu adalah Protheroe dan Morris. Dibawah kendalian dan usaha dari merekalah, Cattleya labiata yang amat digilai ramai itu kembali di atas meja lelongan hasil dari pengenalan semula spesis itu oleh Sander. Mereka akan melakukan lelongan kepada para pembeli sambil melaungkan Inilah dia pokok Swainson yang asli tuan-tuan, Pokok asli yang asal sekali. Sebanyak 2000 pokok dijual sekaligus sahaja . Pada masa itu, Sander biasanya akan menerima kira-kira 300 kotak Cattleya dalam sehari dipusat orkidnya di St. Alban. Ini adalah pusatnya di England sahaja. Selain dari itu, Sander juga turut mempunyai 2 lagi pusat pungumpulan orkid yang lain iaitu di Bruges dan di New Jersey. Bagi membolehkan penghantaran secara saksama, Catteya yang dihantar akan diikat dan dimasukkan sehingga ketat ke dalam setiap kotak. Di antara beratus-ratus genus yang dijualnya, Cattleya hanyalah salah satu darpadanya sahaja, yang dikendalikan oleh Sander. Terpulanglah pada kita untuk membayangkan bagaimana banyaknya orkid pada masa itu yang sebahagiannya amat sukar lagi dijejaki

20

kini, yang terdapat hanya di dalam kawalan Sander seorang sahaja, tidak termasuk para pemain utama yang lain.

Figure 6 Frederick Sanders


Orchidmania sesungguhnya adalah satu fenomena, di mana menjelajah keserata dunia dalam mencari orkid-orkid liar yang langka dan berbunga menakjubkan, kini telah menjadi suatu usaha yang besar. Pasaran terhadap orkid, semakin bertambah luas menjelangnya dekad 1850an apabila berbagai lagi teknik-teknik inovatif telah dicipta untuk kemajuan penanaman orkid. Ini ditambah lagi dengan pengenalan baru orkidorkid yang berasal dari kawasan beriklim sederhana dan sejuk menjadikan orkid lebih mampu dimiliki oleh golongan pertengahan. Donald Beaton ketika menulis di dalam Magazine of Botany terbitan Joseph Paxton, telah menggesa golongan ini supaya menanam sebahagian daripada spesis-spesis orkid yang ada, yang sebelum ini hanyalah mampu ditanam oleh mereka yang berada sahaja. Ditahun 1851 pula, Benjamin S. Williams telah menyumbangkan beberapa siri tulisan bertajuk Orchids for the Millions (Orkid Untuk Semua) di dalam Gardeners Chronicle dan diikuti pula oleh Orchids Growers Manual yang telah diterbitkan sebanyak 7 edisi dari tahun 1852 hingga 1894.

21

Walaupun hanya ribuan sahaja (bukannya berjuta orang seperti diharapkan) golongan pertengahan yang menyahut seruan menanam orkid, minat serta kegilaannya tidak pernah terkubur. Ratusan guineas tetap sahaja biasa bertukar tangan untuk satu-satu spesis yang berharga manakala di antara para peminat orkid masih lagi terdapat mereka-mereka yang berstatus bangsawan dan yang ternama. Di antara merekamereka yang ternama ini adalah Joseph Chamberlain. Beliau mempunyai berbagai koleksi orkid berharga di Highbury berdekatan dengan Birmingham dan sentiasa dibekalkan dengan pelbagai spesis orkid bernilai tinggi (sebagai contoh Odontoglossum crispum) yang biasa dipakainya lipatan kolar baju sebagai lambang status yang tinggi di kalangan masyarakat di waktu itu sebagaimana beliau turut menggunakan monocle (sejenis cermin mata dengan satu cermin) yang turut menjadi lambang status seseorang. Dalam satu peristiwa, pada tahun 1903, Gaiety Theatre di London menerima tamparan apabila mementaskan satu lakonan komedi yang memperolokkan hobi Joseph Chamberlain ini. Lakonan itu telah mementaskan gerak-geri komedi tentang usaha seorang pencari orkid bagi menghantar satu spesis orkid yang berharga untuk Menteri Perdagangan di waktu itu, Aubrey Chesterton. Sememangnya adalah tidak wajar untuk melakukan senda sedemikian, yang khusus mengenai hobi seseorang apatah lagi jika mereka adalah dari kalangan yang mempunyai nama dan kedudukkan. Pada tahun 1900, H.A Burberry seorang pekerja di nurseri Chamberlain sendiri telah memberkan komen: Apakah sebabnya orkid sentiasa saja dikatakan suatu perkara yang mewah dan hanya mampu dimiliki oleh mereka yang kaya sahaja? Saya rasa ini adalah kerana setiap kali berita ditulis mengenainya samada di majalah atau suratkhabar, nama orkid sering dikaitkan dengan mereka yang berada dan terkenal sahaja 13 tahun setelah itu, Suffragattes telah menyerbu masuk kedalam taman Kew dan memecahkan segala kaca dan pasu termasuklah orkid-orkid yang ada disitu. Seperti mengesahkan apa yang telah dikatakan oleh Burberry sebelum itu, media semuanya menulis dan menyalahkan industri orkid serta dominasinya yang hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya sahaja. Daily Express menulis- Mad Women Raid Kew (Wanitawanita Gila telah Memusnahkan Kew), manakala Evening Standard menulis- Orchids At Kew Ruined (Orkid di Kew Telah Dimusnahkan). Suatu kesan yang positif bagaimanapun muncul, natijah daripada tindakan berani para wanita ini. Hasil dari tindakan merekalah, ada di kalangan yang mula sedar orkid seharusnya lebih wajar dinikmati oleh semua orang dan bukannya untuk dikawal oleh sesiapa. Aktiviti penjelajahan dan pencarian orkid di hutan mulai surut menjelang tahun 1910an apabila seni (belum lagi mencapai tahap sains) membiakkan orkid menjadi

22

lebih maju dan orkid-orkid hybrid mulai diperkenalkan dan setanding populariti dengan orkid-orkid spesis. Ini adalah petanda yang amat baik sekali kerana kedua-dua hal ini telah memungkinkan habitat asal orkid-orkid spesis di hutan menjadi lebih terpelihara. Kesinambungan inilah yang dapat dilihat berterusan sehinggalah keabad ke21 dengan ratusan ribu hybrid-hybrid orkid yang cantik dan menarik kemudiannya telah berjaya dihasilkan. Satu lagi sebab yang menyumbang kepada berakhirnya kerjaya pencari-pencari orkid ini adalah, fenomena Orchidmania itu sendiri yang telah hilang seri dan keghairahannya. Sifat manusia yang selalunya tamak-haloba serta gelojoh telah menyebabkan begitu banyak habitat-habitat orkid yang baru sahaja beberapa dekad lalu diterokai, kini telah habis gondol dengan tiada lagi orkid yang tinggal. Baik di hutan belantara atau di puncak-puncak gunung, di hutan-hutan berpaya atau di padang padang rumput yang luas semua orkid telah kosong diambil. Namun, jika sekalipun masih ada orkid yang tinggal, Orchidmania tetap saja akan berkubur disebabkan meletusnya Perang Dunia Pertama. Rumah-rumah orkid yang ada, terpaksa ditutup apabila harga minyak melambung disebabkan perang, manakala mereka-mereka yang selama ini bekerja dengan pusat-pusat orkid terpaksa berduyun-duyun menyertai tentera di medan perang. Sesuatu yang cukup tragis pada Orchidmania dan industri orkid yang baru saja mencapai tahap kemuncaknya. Walau apa pun yang berlaku, pukulan maut yang terakhir pada Orchidmania , tiba pada tahun 1920 apabila seorang lagi pewaris Duke of Devonshire yang ketika itu melihat keadaan di Chartsworth telah begitu nazak, telah mengarahkan supaya The Great Stove dari usaha Joseph Paxton yang terkenal itu dimusnahkan sama sekali. Dekad-dekad yang muncul seterusnya telah menyaksikan industri orkid ini bangkit kembali dari puing-puing kemusnahan The Great Stove di Chartsworth . Manusia kini telah menguasai ilmu-ilmu kemahiran menanam orkid, membiakkannya dan penciptaan hybrid-hybrid orkid yang baru. Ratusan ribu malah berjuta sekalipun mampu dihasilkan dengan teknologi yang ada. Banyak lagi spesis-spesis terbaru yang telah muncul di samping terdapat pula spesis-spesis yang disangkakan telah hilang selama ini ditemui semula. Ini sebenarnya banyak disumbangkan oleh hasil dari kesedaran kita juga. Kesedaran dan usaha untuk memelihara habitat semulajadi orkidorkid liar yang masih tinggal. Usaha dan kesedaran ini amatlah penting untuk ditekankan pada generasi terkini agar mereka tidak mengulangi seperti apa yang telah dilakukan oleh para pendukung silam sewaktu berlangsungnya Orchidmania di Eropah hampir sekurun yang lalu. Biarpun orkid kini mudah sahaja didapati dan telah bebas dari kerakusan manusia (seperti yang berlaku pada zaman Orchidmania), orkid sama-sekali tidak hilang segala

23

seri, rahsia serta mistiknya kepada kita semua. Jika di England dulu, orkid terkenal dengan segala perihal kesukaran mendapatinya, simbol status kekayaan seseorang mahu pun harganya yang tinggi, kini, meskipun semua itu tidak berlaku lagi, orkid masih tetap menjadi pujaan mereka yang meminatinya. Misteri serta keunikkan orkid sebenarnya, telah dikaitkan dengan manusia sejak berpuluh abad dahulu lagi. Sayugia diketahui, sejarah awal orkid telah bermula sejak ribuan tahun yang silam dengan tiada kena mengena sama sekali dengan Eropah ataupun Amerika. Tidak seperti zaman kerakusan dan penuh dengan haloba manusia di era Orchidmania, orkid pada awalnya adalah suatu simbol ketenangan fikiran, dikaitkan dengan seni dan falsafah. Bukti terawal tentang peradaban orkid telah ditemui berlaku di China pada kira-kira 800 S.M. Ianya berkisar tentang suatu siri, gambaran puitis mengenai sejenis spesis yang indah dan berbau harum (kemungkinan Spiranthes sinensis atau spesis Cymbidium) di dalam sebuah buku mengenai puisi bertajuk Shih Ting. 300 tahun kemudian, Confucius-lah yang menjadi pengasas terhadap usaha mengangkat martabat orkid di dalam sejarah China dan seterusnya kekal dalam statusnya yang tinggi sehingga kini. Bagi Confucius, orkid atau lan yang merujuk terutamanya kepada spesis Cymbidium goeringii adalah simbol kepada suatu nilai yang berupa keindahan namun berunsurkan santai dan bersederhana. Bagi kehidupan manusia pula, menurut Confisius lan menggambarkan bukti yang jelas pada kepada suatu kehidupan yang ideal, yang bersederhana pada setiap aspek sebagaimana yang harus dapat diikuti oleh setiap orang . Orkid di negeri China seperti yang diajar oleh falsafah Confusius itu pun, menjadi suatu pokok yang memiliki simbol yang tinggi, dan ditanam oleh orang ramai. Sebagaimana yang disebut di dalam falsafahnya juga, orang ramai di waktu itu tidak memuja orkid kerana keunikkan atau pun kemewahan warnanya malah jauh dari apa yang telah berlaku di Eropah lebih 2000 tahun kemudian. Orkid, dalam ruang lingkup falsafah oleh Confusius adalah suatu lambang keindahan yang hanya dapat tafsirkan oleh fikiran seseorang dan bukannya mengharuskan perbuatan apalagi yang berunsurkan tamak dan kegelojohan. Orkid dengan segala keindahan dan misteri yang ada padanya adalah paling baik dinikmati oleh fikiran manusia sahaja dan pengetahuan ini hanyalah khusus bagi mereka yang benar-benar ikhlas menghargai orkid. Lihatlah pada orkid atau lan, pada daunnya yang lembut dan melentur damai, pada bunganya yang menunduk namun berseri cantik seolah melambangkan perikalu pehuh sopan dalam hidup seseorang, biarpun dia mempunyai darjat yang sangat mulia. Harumannya pula menambahkan lagi sifat-sifat kebaikan yang lebih wajar ada pada diri seseorang itu.

24

Malah, haruman orkid diketahui mempunyai tingkatan yang berbeza-beza dan amat unik pula seperti amat kurang sewaktu pagi tetapi berubah menjadi kuat dan tajam sewaktu tengahari lalu bertukar menjadi lembut memikat menjelangnya malam. Bergantung kepada sesuatu spesis, aroma orkid terdiri dari pelbagai campuran seperti keharuman bunga-bunga jasmin sehinggalah kepada wangian seakan-akan rempahratus dan dari keharuman yang wangi bak sabun mandi sehinggalah seperti harumnya buah-buah lemon. Justeru itulah, perlambangan wangian orkid seringkali dikaitkan dengan pelbagai; seperti raja segala haruman, yang mana hanya layak dipakai oleh raja-raja atau seperti azimat yang mengeratkan lagi perhubungan kasih antara suamiisteri. Ini sebenarnya turut dinyatakan di dalam I-Ching, di dalam menyatakan sesebuah ikatan persahabatan, Perkataan yang manis di antara sahabat, ( Words spoken between true friends, Adalah seharum wangian orkid, are as sweet as the purfume of orchids) Pengaruh serta kuasa orkid di dalam falsafah-falsafah China lebih jelas lagi apabila perkataan orkid atau lan itu sendiri dikaitkan dengan pelbagai perlambangan dan maksud. Contohnya, lan-yu bermaksud sahabat karib, lan-chang hasil tuaian yang banyak dan lan-shin- wanita yang menawan.

Figure 7 Spesis Cymbidium dalam lukisan China


Secara khusus, terdapat dua spesis orkid yang paling awal dan disebut di dalam sejarah China iaitu Cymbidium ensiflorum dan Dendrobium moniliforme. Kedua-duanya ditemui di dalam sebuah karya awal China yang khusus mengenai tumbuh-tumbuhan Nan-fang Tsao-mu Chuang,yang telah ditulis pada kira-kira 300 S.M oleh Ki Han seorang menteri kerajaan ketika itu. Pada waktu itu, lan (merujuk kepada spesis Cymbidium) telah pun

25

kukuh menjadi suatu simbol dibawah pengaruh Confucius dan sering menjadi perlambangan di dalam karya-karya puisi, tulisan-tulisan yang berunsurkan nasihat, lukisan dan seni kaligrafi China purba. Di dalam abad ke-4 Masihi, apabila Wang Xizhi, salah seorang ahli kaligrafi China yang terkenal mahu menilai kemahiran ahli-ahli kaligrafi dan ahli-ahli puisi yang lain pada masa itu, beliau telah melakukannya disebuah tempat yang dikenali sebagai Rumah Orkid. Hasil kaligrafi Wang Xizhi yang mencatatkan peristiwa tersebut masih lagi kekal dan menjadi model kepada seni kaligrafi sehingga ke hari ini. Orkid sesungguhnya, walaupun jika tidak dikaitkan dengan apa-apa jua unsur budaya dan falsafah, akan tetap juga menjadi suatu subjek yang penting di dalam bidang penanaman bunga. Orkid-orkid tertentu yang istimewa bunganya, yang langka, yang berdaun unik atau mempunyai haruman tertentu sering menjadi pilihan untuk ditanam dan dijaga dengan baik. Ada pula jenis yang sejak beberapa lama telah menjadi tanaman warisan sesebuah keluarga dan ianya dianggap sebagai sesuatu yang amat bernilai yang dimiliki oleh keluarga mereka. Sejarah orkid yang paling awal dan khusus membicarakan mengenai orkid serta penanamannya, telah ditemui pada zaman Dinasti Sung (960 1279)M. Di kala itu orkid telah menjadi suatu subjek tanaman yang popular di China. Perkembangannya begitu pesat sekali sehingga banyak spesis-spesis baru telah direkodkan. Mereka juga telah mempelajari dan mengembangkan lagi kemahiran memilih benih-benih orkid yang baik untuk ditanam dan menguasai teknik-teknik penanaman orkid. Hasil dari perkembangan itu, muncullah karya-karya serta tulisan yang banyak sekali membicarakan tentang orkid dan pertanian amnya. Salah satu dari karya-karya tersebut ialah Lan Pu. Ianya adalah suatu tulisan penting mengenai orkid yang telah dikarang oleh Wang Kuei-hsueh dan mengandungi tidak kurang dari 37 jenis-jenis orkid, beserta dengan benih-benih orkid terpilih. Ia juga turut mengandung suatu nukilan menarik mengenai keutamaan orkid berbanding dengan lain-lain tanaman hiasan, Pokok buluh mempunyai batang yang cantik namun tidak berbunga, plum pula berbunga cantik tetapi daunnya pula tidak menarik namun orkid bukan sahaja berdaun dan berbunga cantik malah memiliki bau yang sungguh harum... Selepas dari era Dinasti Sung, orkid terus berkembang malah dengan lebih pesat lagi. Semakin banyak karya-karya dihasilkan dengan mengambil orkid sebagai ilham, dan diperkatakan melalui simbol-simbol yang kebanyakkannya dicipta berasaskan orkid. Suatu contoh yang jelas dapat dilihat pada sebuah lukisan Cymbidium goeringii bertarikh 1306 M. Lukisan tersebut melakarkan layangan-layangan tangan dari berus China bagi menggambarkan beberapa helai daun berwarna hijau dan ditengah-tengahnya terdapat sekuntum bunga orkid. Lidah orkid tersebut sengaja diwarnakan hitam dan tercatat

26

padanya suatu nukilan klasik yang menerangkan bahawa tumbuhan ini adalah suatu simbol bagi nilai klasik masyarakat China- nilai yang dimaksudkan itu dikatakan akan kekal hidup walau pun harus menempuh kepayahan (kepayahan dan kesukaran bangsa China ketika itu akibat perlanggaran oleh tentera Monggol). Lukisan orkid tersebut bagaimanapun tanpa akar dan tanpa pemegang bagi akarnya. Walaupun lukisan dan karya karya China tidak memperkata atau menghalusi aspek akar pada orkid, lan bagaimanapun terus mempengaruhi sebahagian besar di dalam budaya tradisi penanaman orkid masyarakat China. Dalam kurun ke-16, ketika Barat baru hendak memulakan usaha penulisan mengenai seni pertanian, orang-orang China telah pun, sejak 500 tahun dahulu mengeluarkan pelbagai tulisan mengenainya dan antara yang popular adalah seperti A Monthly Cultivation Guides for Orchids dan Orchid Talks. Kedua-duanya mengandungi maklumat yang sehingga kini masih boleh digunakan. Biarpun jerih dilanda peperangan, penjajahan oleh kuasa-kuasa asing serta perkembangan pesat budayanya, lan terus menjadi suatu tanaman yang berstatus tinggi oleh masyarakat China sejak dari awal. Tidak ada yang berubah baik orkid atau pun seni penanamannya sendiri di China sejak lebih dari 3000 tahun yang silam. Pada tahun 1999, pengkritik orkid Jepun yang terkenal Takaki Kamiya telah menubuhkan Ojako-no ko-rankai, sebuah pertubuhan yang khusus menghargai spesis Cymbidium yang berasal dari negeri China yang telah ditanam sejak berabad yang lalu. Pertubuhan ini mengambil nama Ojako sempena dari tulisan dan keterangan awal oleh Confusius mengenai Cymbidium goeringii yang bermaksud raja segala haruman. Pertubuhan ini sekaligus menandakan satu lagi bentuk penghargaan oleh bangsa Jepun terhadap orkid-orkid dari China yang telah sekian lama mereka kagumi. Sebermula di negeri Jepun pula, mereka terawal sekali mengenali orkid sebagai suatu tanaman dan simbol falsafah dari bangsa China juga. Sebahagian spesis semestinya Cymbidium terutamanya, mempunyai tempat yang istimewa di kalangan masyarakat Jepun dan turut mempengaruhi ilham-ilham di dalam penghasilan karya sebagaimana yang berlaku di negeri China. Namun demikian, adalah silap jika kita mengandaikan Jepun (negeri kedua tertua didunia yang menanam orkid), mengikuti tradisi tanaman masyarakat China keseluruhannya. Ran pada masyarakat Jepun tidak sama dengan lan di negeri China. Sekalipun orkid-orkid China begitu diminati di Jepun, sebahagiannya yang paling popular (termasuklah Cymbidium goeringii, Dendrobium moniliforme dan Bletia strata), terdapat juga tumbuh secara meliar di Jepun. Ini menyebabkan berlakunya sedikit pertindihan di dalam perkembangan orkid di antara kedua-dua budaya di Jepun dan China walaupun dari segi praktik penanaman, mereka tidaklah jauh berbeza.

27

Namun harus diingat, Jepun juga kaya dengan kepelbagaian orkidnya yang tersendiri yang telah mengilhamkan berbagai kisah penglipurlara mengenainya, aspek-aspek sosial masyarakat yang disandarkan padanya termasuk juga darihal seni tradisi penanaman bunga dan teknik hiasan yang tidak kurang nilai estetikanya dari masyarakat China. Bagi orang-orang Jepun sendiri, setelah berlalu ratusan tahun, mereka juga telah membangunkan suatu budaya tersendiri darihal orkid, melalui pengamatan pada orkid-orkid asli mereka. Selain dari teknik-teknik penjagaan diperhalusi, kemahiran yang tinggi mereka gunakan dalam menilai orkid-orkid yang baik untuk ditanam termasuk juga di dalam membiakkan hybrid orkid buatan manusia yang pertama sekali didunia (suatu pencapaian yang seringkali menurut orang-orang British merekalah yang pertama melakukannya). Apabila orkid dari luar mulai diperkenalkan di Jepun pada kurun ke-19, (yoran atau bererti gaijin dari luar negeri) penanaman orkid-orkid tradisi menggunakan cara-cara lama masih lagi tetap dilakukan. Sehingga ke hari ini cara-cara tradisi penanaman orkid oleh masyarakat Jepun masih tetap kekal dipelihara dan menjadi kebanggaan masyarakatnya. Tidak seperti di China, kesenian orkid di Jepun tidaklah begitu ditulis mengenainya dengan jelas dan terperinci sehinggalah keabad ke-18. Lagenda ada menyebutkan tentang Jusan taiho suatu nama tempatan yang diberikan kepada spesis Cymbidium ensifolium yang bermaksud tigabelas warisan berharga. Ceritanya, seorang pemaisuri yang selama ini disangkakan mandul telah tiba-tiba mengandungkan anak pertama dari tigabelas orang anak kesemuanya setelah baginda mencium bau yang amat harum daripada orkid ini. Orkid seterusnya hidup subur di dalam masyarakat Jepun melalui cerita-cerita rakyat sebegini dan telah muncul dari masa ke semasa sebagai ilham di dalam banyak genre puisi serta lukisan. Di kalangan masyarakat tradisi China dan Jepun serta kebanyakkan di blok Asia Timur, terdapat juga segelintir kepercayaan klasik di mana orkid dianggap lebih bernilai perubatan daripada aspek sebagai tanaman hiasan. Maka tidak hairanlah jika orkid juga pernah disebut di dalam De Materia Medica. Walaupun tiada bukti bertulis bagi menunjukkan minat terhadap orkid telah bertapak di Jepun lebih ribuan tahun seperti di China, namun pada cerita-cerita rakyat dan sebahagian dari tinggalan tradisi masyarakatnya, jelas menunjukkan yang ianya telah wujud. Orkid di Jepun bukan sahaja ditanam malah diberi nama jolokan masingmasing, difahami berdasarkan penelitian, dicambah melalui benih-benih terpilih malah ditanam pada pasu yang di buat khas- ran pots. Di antara para penggemar tanaman hiasan di Jepun, sesungguhnya orkid telah pun lama mereka kenali dan sentiasa mendapat status yang istimewa daripada mereka. Seorang pakar herba Jepun, Gentatsu (Joan) Matsuoka (1668 1746) telah memberikan catatan yang pertama mengenai orkid di negaranya. Igansai-ranbin telah

28

diterbitkan pada tahun 1728. Teks yang ditulisnya mengandungi penuh dengan nasihat cara-cara penanaman orkid. Sebagai contohnya, beliau telah menulis mengenai caracara penanaman Cymbidium, Teduhkannya di musim bunga, Berikan sungkupan pada musim panas, Jadikan ia sentiasa lembab di musim luruh, Letakkan ditempat yang kering pada musim dingin, Teksnya telah memperincikan setiap satu dari beberapa spesis orkid yang popular ran ebine(orkid berakar merah) atau Calanthe, kan-ran(orkid musim dingin) atau Cymbidium kanran, shun-ran(orkid musim bunga) atau Cymbidium goeringii, nago-ran(orkid dari Gunung Nago) atau Sedirea japonica, fu-ran(orkid angin) atau Neofenitia calcata atau iwagusuri dan sekoku ( dari nama Chinanya, bermaksud ubat daripada batu- merujuk kepada habitat orkid ini dari jenis lytophyitic dan khasiatnya memanjangkan umur) atau pun nama spesisnya Dendrbium moniliforme serta seterusnya. Di zaman pemerintahan Edo (1603 -1867), menanam orkid sering menunjukkan taraf sosial seseorang di dalam masyarakat. Cymbidium contohnya ditanam oleh para pelukis dan bijak pandai. Dendrobium moniliforme pula disimpan sebagai lambang seseorang itu berdarah raja Samurai dan hulubalang walau tampak bengis dimedan perang begitu asyik menanam Neofinetia yang berbunga kecil, putih bersih tetapi berbau harum. Di sepanjang jalan menuju ke Edo (Tokyo) para Samurai akan menjaga orkid mereka sambil menunggu arahan bagi mengadap Shogun.

Figure 8 Dendrobium moniloforme

29

Bagi orkid-orkid sliper Jepun pula, para pahlawan ini telah pun lama mengenali dan memberikan nama yang khas untuknya. Spesis Cyprepedium japonicum yang berbunga besar lagi cantik itu dikenali sebagai Kumagaiso sempena nama Kumagai Naozane seorang pahlawan yang gagah berani dari puak Minamoto. Manakala spesis yang bunganya lebih kecil tetapi lebih terang warnanya Cyprepedium macranthos var. speciosum pula dikenali sebagai Atsumoriso sempena nama Taira Atsumori seorang perajurit muda dari puak Heike yang bertentangan, yang telah dibunuh oleh Kumagai sewaktu berlangsungnya peperangan Ichinotani dalam tahun 1184M. Igansai-ranbin telah diterbitkan dalam beberapa jilid, tiap satunya lebih baik dan terperinci dari jilid yang sebelumnya. Ia adalah salah satu contoh daripada beberapa penulisan mengenai tumbuh-tumbuhan berbunga yang telah dihasilkan sejak dari zaman pertengahan Edo, khususnya yang berasal-usul dari negeri Jepun. Lukisanlukisan yang disertakan bersama-sama dengan penulisan ini pula telah dihasilkan dari cetakan blok-blok kayu yang berukir cantik. Subjek orkid pula akan diletakkan dalam bab yang khusus mengenai orkid sahaja di dalamnya. Secara umumnya negeri Jepun sejak sebelum dari era Edo lagi adalah sebuah negeri yang tertutup dengan tidak banyak perkara diketahui mengenai negeri itu oleh pihak Barat. Namun begitu, kira-kira 40 tahun sebelum dari Matsuoka menulis Igansairanbinnya, dunia orkid Jepun yang selama ini tertutup telah berjaya ditembusi. Engelbert Kaempfer ialah seorang doktor berbangsa German dan juga seorang peminat sejarah yang bekerja untuk Syarikat Hindia Timur Belanda (Dutch East India Company). Pada tahun 1689 beliau telah tiba di Nagasaki. Sepanjang tempoh 2 tahun beliau menetap disana, Kaempfer telah menemui spesis Neofinetia, Calanthe dan Dendrobium. Catatan mengenai orkid-orkid yang ditemuinya itu kemudiannya telah diterbitkan di dalam Amoenitatum Exoticarum (Foreign Delights) pada tahun 1712. Catatan serta lukisan-lukisan Kaempfer mengenainya merupakan pendedahan terawal orang-orang Barat terhadap suatu budaya dan tradisi di antara yang tertua didunia dan selama ini tidak pernah diketahui oleh sesiapa pun masyarakat luar. Sebagai perbandingannya, di dalam sejarah Barat sendiri, dalam fasa-fasa awal pengetahuan mereka mengenai sains orkid, bukanlah sesuatu yang benar-benar berasaskan suatu pemikiran yang tinggi, walaupun mereka sering mendakwa mempunyai rahsia tertentu dalam seni pengkacukkan orkid, bukan saja pada orkid tapi manusia juga. Lihatlah pada buku ke-sembilan, bab ke-lapan belas, para tiga, di dalam Enquiry into Plants oleh Theophrastus seperti yang diterjemahkan oleh Sir Arthur Hort di Loeb Classical Library, anda akan menemui,

30

And in relation to our own persons, apart from their effects in regard to health, disease and death,it is said that herbs have also other properties affecting not only the bodily but also mental powers (Berhubung dengan kita manusia pula, selain mempunyai pengaruh terhadap kesihatan, penyakit dan kematian, herba turut mempunyai pengaruh yang lain, yang memberi kesan bukan saja pada tubuh badan, tetapi fikiran manusia) Tiga titik yang terakhir itu adalah dari naskah asal oleh Sir Arthur Hort yang jelas merujuk kepada orkid-orkid dari Greek dengan kuasa perubatannya terhadap seksualiti lelaki seperti yang didakwa mereka. Ayat-ayat yang seterusnya itu sengaja dibuang oleh di dalam terjemahannya, kerana Hort merasakan ianya tidak patut sama sekali orkid dianggap sedemikian. Kita bagaimanapun merasakan ianya cukup penting sekali, kerana di sinilah letaknya permulaan di mana anggapan terhadap orkid yang selama ini dianggap lucah itu dikenali keadaannya yang sebenar secara rasmi sehingga ke hari ini. Theophrastus telah dilahirkan sekitar tahun 370 S.M kira-kira 100 tahun setelah kematian Confusius. Beliau adalah anak murid kepada Aristotle yang seterusnya menjadi pengetua di Lyceum, Athens menggantikan Aristotle. Selama 35 tahun beliau memangku jawatan tersebut dengan cemerlang sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 287 S.M. Semasa hayatnya beliau telah banyak mengkaji dan menulis perihal batu-batuan, api, angin serta darihal bau-bauan termasuk juga karya-karya yang berbentuk galeri satira di Characters. Beliau bagaimanapun lebih dikenali sebagai Bapa Botani apabila menerbitkan dua buah kajian terpenting sains botani Barat di dalam Enquiry into Plants dan On the Cause of Plants. Kedua-dua buah hasil tulisan ini dianggap antara yang terbaik dihasilkan dan isi kandungannya masih menjadi sumber rujukan di dalam sains botani sehinggalah ke hari ini. Di taman botani yang diselianya di Lyceum, Athens (kemungkinan juga taman botani yang pertama didunia) Theophrastus menerima pelbagai maklumat serta contoh tumbuh-tumbuhan dari sekitar jajahan Greek Purba dan hasil dari koleksi yang dikutip oleh tentera Iskandar Zulkarnain sewaktu aktiviti perluasan wilayah penaklukannya ke Timur Jauh dilaksanakan. Namun untuk orkid, koleksi beliau hanyalah terdiri dari orkid-orkid tempatan yang lebih dikenali sebagai Ophyr atau Orchis sahaja, suatu contoh genera yang banyak terdapat di wilayah Mediterranean dan Aegian. Jika dilihat, ada dua aspek kajian oleh Theophrastus yang masih lagi berkait rapat dengan sains masa kini iaitu; beliau telah cuba menerangkan secara terperinci tumbuhan tersebut, cara pertumbuhan dan perkembangannya seterusnya memberikan nama pada tumbuhan tersebut. Theophrastus mahukan nama-nama yang diberi itu menjadi nama yang tetap pada tumbuh-tumbuhannya yang sekaligus menjadi permulaan kepada regim pengkelasan nama tumbuh-tumbuhan seperti yang kita ikuti hingga ke hari ini. Namun demikian nama-nama yang dipilihnya itu kebanyakkannya

31

nama-nama tempatan yang diperolehi dari orang-orang yang biasa mengenali tumbuhan tersebut (dari para pekebun atau ketua-ketua suku dan daerah ). Di antara nama-nama tersebut ialah Orkis. Dalam tulisannya Enquiry into Plants, yang beliau pilih untuk tidak menterjemahkannya, beliau ada mengenalpasti dua spesis orkis orkis megas, kemungkinan adalah dari spesis Orchis papilionacea dan orkis mikros, yang tidak syak lagi adalah Orchis italica. Masalah yang dihadapi oleh Hort, sewaktu menterjemahkan hasil tulisan Theophrastus ini adalah, nama Orkis itu jika dialih bahasakan akan membawa maksud testicles. Rujukan nama ini biarpun maksudnya seperti berbaur kelucahan adalah pengenalan yang sungguh tepat bagi kebanyakkan orkid-orkid terrestial Eropah. Ia merujuk kepada bahagian pangkal batangnya atau tubers yang secara fizikalnya mirip sekali kepada alat seksual lelaki itu. Terbentuk dari dua bahagian berbentuk bulat membujur; salah satu daripadanya lebih besar dari pasangannya serta tergantung sedikit kebawah. Sebenarnya ini adalah sebahagian daripada doktrin tinggalan zaman silam yang masih terus dipakai sehingga ke zaman moden hari ini. Doktrin yang seperti ini seringkali membuat kesimpulan mudah, yakni apa juga kegunaan atau khasiat sesuatu tumbuhan itu kepada manusia adalah berdasarkan kepada rupa bentuk fizikal tumbuhan tersebut (doctrine of signature). Hepatica yang berdaun seperti hati katakan baik untuk mengubati penyakit berkaitan hati manakala Aristolochia yang bunganya seperti saluran rahim wanita pula banyak digunakan oleh para bidan dan mereka yang ingin menggugurkan kandungan. Ilmu sains purba sebegini sering digunakan oleh para tabib dizaman dahulu untuk merawat pesakit dan diperakui serta diletakkan secara lebih sistematik lagi oleh orang-orang seperti Theophrastus. Bagaimanapun kini, adalah jelas pada kita yang asasnya cerita-cerita begini hanyalah dari kisah-kisah dongeng masyarakat setempat serta khayalan manusia sahaja yang tidak berpandukan sains sama-sekali. Maka berdasarkan keadaan tubersnya yang mirip kepada bahagian seksual lelaki itu, tidak hairanlah jika orkis dengan mudah diertikan sebagai ubat perangsang seksual yang sangat mujarab atau setidak-tidaknya sebagai ubat kesuburan lelaki. Setelah berlalu beberapa abad, orang-orang China, seperti yang telah pun dijelaskan, memilih untuk melihat orkid dari sudut keindahan, keharuman dan falsafah, orang-orang Greek telah memilih orkid atas suatu dasar yang lebih pragmatik istilahnya; tidak lebih dari sumber keseronokkan seksual semata-mata, seperti ubat Viagra di zaman ini. Walau apa pun kisahnya, orkid atau orchis atau Orchidacaea biarpun usul istilahnya diketahui cenderung membawa maksud yang amat tidak wajar ia telah pun bersamasama kita sejak ribuan tahun yang silam lagi. Bagi segelintir kecil yang menghargai pula, orkid adalah bermaksud suatu tumbuhan yang sungguh istimewa sifat serta

32

fizikalnya dan akan sentiasa menarik naluri mereka untuk menyingkap lagi segala rahsia yang ada padanya. Theophrastus mengenengahkan lagi di dalam tulisannya, sesiapa yang menggunakan khasiat orkid ini akan mendapat kekuatan seksual yang tersangat luar biasa. Kepercayaan ini seterusnya berlarutan dalam bangsa Greek sehinggalah ke era pemerintahan Roman. Petronius contohnya mempunyai beberapa orang gundik yang sentiasa menggunakan khasiat orkid ini bagi tujuan-tujuan mereka di dalam Satyricon. Dalam Natural History pula, Plini the Elder (2379M), telah membincangkan keberkesanan orchis herba di dalam menambahkan kesihatan seksual serta kesuburan bagi lelaki. Beliau juga ada menyebutkan tentang satu lagi nama lama bagi orkid serapias, sempena nama dewa lembu masyarakat Mesir purba. Tidak lama setelah kematian Plini, muncul pula Dioscorides, seorang doktor dan ahli herba berbangsa Greek yang bekerja dengan tentera Rom. Beliau juga telah membincangkan topik ini di dalam tulisannya De Materia Medica apabila mengambil 4 jenis orkid dan turut memberkan nama yang lain, selain dari orkis yang telah sedia wujud, seperti priapiskos dan saturion. Perbincangan oleh Dioscordes juga tidak lari dari membicarakan aspek yang sama seperti Plini. Seperti yang telah diterjemahkan oleh John Goodyer pada tahun 1655, Dioscordes telah mencatatkan, adalah dikatakan jika bahagian akar yang lebih besar dimakan oleh seseorang lelaki maka dia akan memberikan benih seorang anak lelaki, manakala jika akar yang kecil dimakan oleh seorang wanita akan menjadikannya mengandungkan seorang bayi perempuan. Disebutkan lagi bahawa para wanita di Thesalia biasa meminum susu kambing yang dicampurkan dengan akar orkid yang masih muda bagi menambahkan nikmat seksual mereka dan akan menggunakan akar yang telah kering bagi menghentikannya Semua kepercayaan klasik ini, yang melihat orkid mempunyai khasiat tertentu yang jauh lebih hebat daripada nilai dari segi keindahan bunganya atau sebagai tanaman hiasan, terus menguasai Eropah sehinggalah abad ke-16. Sama seperti orkid di bahagian Mediterranean, orkid-orkid yang terdapat di Eropah Utara dan Barat juga mempamerkan bentuk yang serupa; mempunyai tubers yang menyerupai kemaluan lelaki. Tidak hairanlah jika amalan masyarakat tempatan di sini juga, turut terpengaruh memberikan orkid, nama-nama yang sesuai dengan peri-bentuknya itu, sepertimana juga masyarakat Greek. Hakikat sebenar orkid, bukanlah seperti nama-nama dan reputasi seksual seperti yang mereka telah anggapkan itu, malah jauh menyimpang dari potensinya yang sebenar terhadap ekonomi, pelancongan atau di bidang pertanian. Cukup difahami lagi, apabila perkara ini turut menarik perhatian seorang lagi ilmuan di bidang botani bernama William Turner. Beliau telah cuba mengaitkan pendapat yang diutarakan oleh Dioscordes itu dengan orkid-orkid tempatan British yang nama-

33

namanya biasa dikenali oleh penduduk tempatan dari seluruh British. Pada tahun 1561, melalui bukunya bertajuk New Herbal, beliau talah mencatatkan, Terdapat berbagai jenis orkid yang dipanggil di dalam bahasa Latin testiculus (menyerupai testikel), seperti stone-(bermaksud testikel di dalam bahasa Inggeris lama). Salah satunya mempunyai daun yang berbintik disebut adder grasse di Northumberland; ada pula sejenis yang dipanggil dinegara lain fox stone atau hare stone dan ada sejenis yang mungkin juga berasal dari Greek yang dipanggil dog stoneSatyriondalam bahasa Inggeris dapat disebut white Satyri,n atau white hares coddes, atau seperti digelar dalam bahasa yang lebih tidak senonoh lagi, hares ballockgunanya adalah untuk merangsang nafsu lelaki. Nama-nama lain, yang bolehlah dianggap sama saja karutnya termasuklah standergrass, doggis cods, sweet cullions serta seperti yang selalu dimomokkan pada orang yang tidak berkahwin atau tidak mempunyai nafsu, preestes pyntel. Namun begitu, tidaklah semua kaitan atau gelaran pada orkid menjurus kepada situasi seksual sahaja. Selewat-lewatnya sehingga tahun 1588, Giovanni Battista della Porta telah giat melakukan kajian tentang persamaan fizikal bahagian-bahagian tumbuhan dengan tubuh manusia (doktrin of signatures). Di dalam Phytognomonica, della Porta telah merangkumkan beberapa lakaran menarik tentang persamaan-persamaan yang wujud, bukan saja pada tubers yang diketahui menyerupai bahagian testicles lelaki, tetapi juga sejenis spesis orkid Dactylorhiza yang mirip tangan manusia. Ini juga telah turut menjadi sebahagian dari asas pengkayaan nama-nama orkid serta cerita-cerita khayalan di Eropah. Tubers dari Dactylorhiza yang menyerupai tangan itu, telah dikaitkan dengan pelbagai lagenda dari perawan desa yang merindu sehinggalah pada tangan penjenayah yang dihukum bunuh, kepada tangan Nabi Isa yang kononnya disalib. Kedua-dua jenis persamaan ini (testicles dan tangan) turut dinukilkan di dalam karya Hamlet apabila Queen Gertrude menuturkan nama-nama bunga yang dipetik oleh Ophelia, There with fantastic garlands did she come, Of crowflowers, nettles, daisies and long purples, That liberal shephards give a grosser name, But our maids do dead mens fingers call them Di sini terdapat tandatanya samada orkid yang dimadahkan dalam kesusasteraan Inggeris yang termasyur ini mempunyai tubers atau pun tidak, maka ia disebut menjadi grosser name atau yang menyerupai tangan? Adakah yang dimaksudkan oleh Shakespear itu , orkis atau pun Dactylorhiza? Ia sesungguhnya suatu soalan yang tidak dapat dijawab. Tetapi dalam bab-bab yang berikut mengenai kisah orkid seterusnya, kita akan melihat bagaimana perkara ini di atasi. Melalui kaedah sains dan penyelidikan, lebih banyak genus dapat dikenalpasti dan spesis-spesis orkid dapat

34

dikembangkan. Di dalam era Shakespear, dunia hanya mengetahui kira-kira 50 spesis sahaja, namun kini dunia orkid telah berkembang dengan begitu pesat hingga orkid diakui menjadi salah satu spesis flora yang terbesar sekali di dunia. Salah satu sumber di mana Shakeapear memperolehi maklumatnya mengenai orkid, berkemungkinan dari Herball or Generall Historie of Plantes yang diterbitkan pada tahun 1597 oleh John Gerard (1545 1612), seorang ahli herba dan pertanian. Menjelang tahun 1633 pula, apabila Thomas Johnson menerbitkan edisi kedua buku ini yang diperkemaskan lagi, lebih 50 spesis telah direkodkan oleh pelbagai penulis serta ahliahli botani pada masa itu. Mereka yang mewakili pelbagai pelusuk benua Eropah ketika itu sebenarnya, sedang memulakan suatu asas kepada disiplin sains botani secara moden seperti yang kita ada sekarang ini. Otto Brunfels melalui hasil kerjanya Contrafayt Kreutebuch (1537), Fuchs melalui De Historia Stirpium (1542), Mattioli di dalam Commentarii de Materia Medica (1554) dan Dodens, Florum (1569), semuanya telah menyentuh dan menghalusi orkid-orkid Eropah di masa itu dengan begitu terperinci sekali. Kecuali mereka, sumber yang dikatakan menjadi rujukan Shakespear pula iaitu Herballoleh Gerard didapati tidaklah begitu baik isi kandungannya. Ia didapati penuh mengandungi nama-nama Latin samada dari yang rasmi kepada nama-nama tempatan sehinggalah kepada yang bermaksud separa lucah. Manakala teksnya pula didapati mengandungi campur-aduk di antara pendapat para pengkaji tumbuhan silam yang telah lapuk, penyelidikkan peribadi serta cerita basa-basi yang tidaklah begitu berfaedah. Satu contoh catatannya mengenai spesis Cynosorchis major berbunyi seperti berikut, Bunganya yang kecil itu seperti penutup kepala atau helmet, setiap satunya bergantungan seolaholah tubuh kecil tanpa kepala dengan tangan yang menghulur keluar dan kaki terbuka luas sama seperti kita bayangkan budak-budak yang bergantung dari mulut hantu. Di zaman-zaman itu, dunia herba bolehlah dikatakan masih belum cukup berkembang maju. Seni penanaman bunga juga masih belum mendapat pengiktirafan sebagai salah satu daripada cabang-cabang pertanian. Begitu jugalah halnya dengan orkid yang tidak dapat dibezakan dengan jelas oleh masyarakat Eropah semasa itu kecuali sebilangan spesis sahaja yang mempunyai tubers dan bunganya yang tersendiri. Ini dapatlah dikatakan kerana ketika itu peluang untuk melihat orkid-orkid dari benua lain begitu terbatas (disebabkan aktiviti penjelajahan yang baru diperingkat permulaan) dan kemungkinan juga kerana kurangnya istilah-istilah tumbuhan yang tertentu (taxonomical nouns). Umum di Eropah hanya mengenali dan menghubung-kait orkidorkid yang mereka ada dengan tempat-tempat lain di benua itu, hanya melalui gambaran dan lakaran sahaja yang sebenarnya diperturunkan kepada mereka dari tinggalan zaman Greek Purba. Namun orkid, yang dikenalpasti mempunyai seribu satu bentuk, saiz serta rupa mungkin telah wujud di merata-rata tempat di Eropah ketika

35

itu. Besar kemungkinan pada anggapan mereka ia bukanlah sejenis orkid seperti apa yang mereka kenali. Sains anatomi bunga juga masih belum diwujudkan lagi, yang mana ia merupakan kunci utama pembezaan antara spesis di alam tumbuh-tumbuhan. Di sebabkan itulah, semasa Gerard menulis di dalam Herballbeberapa orkid dari luar Eropah telah pun lama diketahui sekurang-kurangnya sejak lebih 50 tahun dahulu; hanyasanya ia belum lagi dikenali sebagai orkid. Sebaliknya ia dikatakan tumbuhan yang dijumpai sewaktu berlaku penaklukan oleh bangsa Sepanyol ke atas Mexico dalam tahun 1519. Antara yang paling mencuri perhatian mereka dan sehingga kini termasuklah dari spesis Vanilla. Sebenarnya agak sukar juga membayangkan spesis Vanilla adalah sejenis orkid lebih-lebih lagi Vanilla planifolia yang resminya adalah tumbuhan memanjat dan langsung tidak mempunyai ciri-ciri orkid yang biasa dikenali di Eropah ketika itu yang mempunyai tubers dan sebagainya. Daunnya pula tebal berbentuk tombak manakala bunganya seperti trompet mempunyai warna dari putih krim sehinggalah seakan-akan kuning keemasan. Daripada bunga yang berkilat kekuningan itulah orkid ini menjadi begitu terkenal sekali dengan citra keharumannya yang amat berkuasa. Cortes sendiri mengesahkan orang-orang Aztec telah pun menggunakan tliloxochitl atau vanilla sebagai wangian dan perasa pada coklat. Orkid ini juga telah muncul di dalam Badianus Herbal dalam tahun 1552. Ia adalah hasil dari usaha dua orang berbangsa Aztec, Martin de la Cruz yang merupakan seorang doktor juga pakar dalam tumbuh-tumbuhan tempatan serta khasiat perubatannya dan Juan Badianus seorang pakar mengenai Latin. Kedua-duanya adalah pensyarah di Colegio de Santa Cruz di Tlatilulco dan mereka dikatakan mempunyai rekod-rekod yang amat penting tentang sejarah tradisi bangsa Aztec. Malangnya daripada penaklukan oleh Sepanyol ke atas Mexico segala-galanya telah dimusnahkan sama-sekali. Dalam Badianus Herbal, orkid Vanilla telah diunjurkan bagi melindungi para pengembara, mewangikan coklat, menghilangkan perasaan takut, menstabilkan degupan jantung dan menghilangkan rasa lesu yang biasa dialami para pekerja di pejabat-pejabat kerajaan. Sejenis orkid lagi, tsacouhxochitl (dari tsacouh ,perekat dan xochitl, bunga dan mungkin dari spesis Bletia campanulata atau Catasetum maculatum) digunakan sebagai campuran dan dilabelkan sebagai timores microspsychiae remedium ubat bagi menghilangkan perasaan malu. Segala cerita mengenai kehebatan sejenis pokok dari Mexico ini akhirnya sampai ke pengetahuan Raja Sepanyol ketika itu. Merasa tertarik, Raja Philip II pun melantik doktor peribadinya, Francisco Hernandez Protomedico (First Medical Officer) dari Kepulauan Indie ke Mexico dengan tujuan membukukan materia medicanya. Dalam jangkamasa 6 tahun dari 1571 1577, Hernandez telah berjaya membukukan hasil usahanya itu yang diberi judul Rerum Madiacarum Novae Hispanie Thesaurus, atau The

36

Mexican Treasure, yang merupakan satu rangkuman besar pelbagai koleksi tulisan serta lukisan. Raja Phillip sungguh gembira dengan pencapaian oleh Hernandez lalu mengarahkan ia segera dikirimkan padanya. Apabila tiba di Sepanyol, buku itu bagaimanapun hanya tetap disitu dan tidak ada apa-apa tindakan lanjut daripada baginda sehinggalah Hernandez meninggal dunia dalam tahun 1587. Ketika itu barulah baginda mengarahkan kembali supaya buku itu dikaji dan diberi penilaian semula bagi menerbitkan semula rangkuman isi-isinya yang penting di Mexico dan Rome. Edisi terbaru yang lebih kemas serta mengandungi teks dan lukisan yang telah diringkaskan bentuknya itu bagaimanapun, hanya dapat diterbitkan dalam tahun 1651 lama setelah kedua-dua Raja Philip II serta Hernandez meninggal dunia. Padat dengan lukisan-lukisan penting, buku ini turut memasukkan Vanilla dengan namanya dalam bahasa Aztec serta nama yang pertama yang diberi oleh orang Eropah kepadanya, Arico aromatico (aromatic beans, kacang yang berbau harum).

Figure 9 Vanilla planifolia


Hanya selang beberapa tahun kemudian, nama vanilla atau vayna terus menjadi popular. Dikenali juga sebagai vaina (small pod), buahnya yang berupa kacang yang kecil ini, vanilla seterusnya menjadi orkid yang pertama di dunia Barat yang mempunyai nilai ekonomi tersendiri. Selang tidak lama lagi setelah itu, vanilla pun mulai ditanam dan diusahakan secara besar-besaran terutama bagi sektor perdagangan rempah. Tidak seperti Vanilla, dua lagi orkid yang turut dimuatkan dalam The Mexican Treasure , tidak mendapat sambutan dari segi nilai ekonomi. Namun sebagai tanaman hiasan, Coatzonte coxochitl dan Chiciltic tepetlauhxocchitl, dianggap mempunyai

37

kekuatan yang tersendiri dengan kecantikan bunga yang tiada tolok bandingannya . Sebagai bukti, semasa meletusnya Orchidmania di Eropah lebih 200 tahun kemudian, orkid ini telah muncul dengan nama Stanhopea tigrina dan Laelia speciosa dan sambutan terhadapnya adalah di luar dugaan.

Figure 10 Stanhopea tigrina


Bagi orkid-orkid di sekitar Tropika pula, ia mula-mula sekali diperkenalkan oleh orang Belanda di Eropah. Antara pertengahan hingga akhir kurun ke-17, H.A Van Rheed tot Drakestein, seorang Gabenor dalam wilayah Malabar di India telah bergiat aktif mengumpul dan membuat catatan tentang pelbagai jenis bunga-bungaan yang kaya terdapat di wilayah itu. Hasilnya beliau telah berjaya membukukan hampir 800 spesis dalam Hortus Indicus Malabaricus (1678 1703) yang diterbitkan sebanyak 12 jilid kesemuanya. Ia adalah himpunan catatan flora yang sungguh mengkagumkan dengan masing-masing dinyatakan dalam lukisan yang begitu tepat dan terperinci. Antaranya terdapat 6 spesis orkid yang kini dikenali sebagai Vanda spathulata, Rynchostylis retusa, dan Cymbidium aloifolium yang mana kesemuanya telah menembusi pasaran penanaman orkid Eropah kira-kira 200 tahun kemudiannya. Seperti lain-lain tumbuhan yang dipaparkan dalam Hortus Indicus Malabarius, orkid-orkid ini juga telah dinyatakan dalam nama-nama tempatan. Rynchostylis misalnya, dikenali sebagai Biti-Maram-Maravara, manakala spesis Vanda pula disebut sebagai Ponnampou-Maravara. Rheed turut menjelaskan yang perkataan Maravara itu sebenarnya bermaksud tumbuhan yang

38

ditemui di atas pokok- suatu penjelasan yang mungkin kuno, namun cukup tepat bagi membuat pengkelasan tumbuhan dari jenis epyphyte. Di dalam Kepulauan Indonesia, sebelum kita melihat orkid-orkidnya, wajar terlebih dahulu untuk mengenali pelopornya yang bernama Georg Eberhard Rumphius. Beliau pernah menjadi soldadu Portugis, belayar bersama Syarikat Hindia Barat Belanda (Dutch West India Company) seterusnya sebagai mubaligh Kristian untuk negara Vatican sebelum menetap di Ambon pada tahun 1653 semasa pulau tersebut berada di dalam jajahan Belanda disana. Semasa hayatnya, beliau sungguh meminati kepelbagaian flora di wilayah ini yang mana pelbagai jenis telah dikaji serta diambil untuk dipelihara. Kehidupan beliau bagaimanapun tidaklah seceria minat dan meriah seperti warna-warna bunga yang menghiasi koleksi dalam nurserinya. Bencana telah datang bertimpa padanya mulai dengan kematian isteri serta anak perempuannya dalam satu kejadian gempa bumi, diikuti dengan dia sendiri menjadi buta. Bencana terakhir tiba dalam tahun 1687, apabila semua koleksinya di nurseri, bibit-bibit specimen serta kertas-kertas kajiannya telah habis musnah dalam satu kebakaran.

Figure 11 Herbarium amboinensis


Di sebalik semuanya itu, dia berjaya juga menghasilkan Herbarium Amboinensis yang ditinggalkannya hampir-hampir lengkap sebelum meninggal dunia dalam tahun 1702. Diterbitkan setelah kematiannya antara tahun 1741 - 1745, buku ini memaparkan 1200 spesis tumbuhan dari pelbagai jenis dengan dua jilid daripadanya dikhususkan tentang orkid sahaja. Satu daripada penemuannya yang masyhur ialah Angraecum album majus, satu spesis yang kini kita kenali sebagai Phalaenopsis amabilis. Nama baru bagi spesis ini

39

hanya dapat diberikan setelah ia dijumpai semula dalam tahun 1825 oleh Karl Ludwig Blume.

Figure 12 Phalaenopsis amabilis


Sejak ia ditemui semula, orkid ini terus mendapat sambutan hangat dari para peminat orkid. Bukan mereka sahaja, bahkan kepopularannya telah turut menarik minat para pembuat hybrid-hybrid orkid termasuklah yang terkini sekali para pengusaha kedai bunga serta arkitek hiasan dalaman. Apa yang mengkagumkan tentang Rumphius ini adalah, pengetahuannya yang disifatkan mendahului zaman apabila mampu untuk memahami biarpun secara asas anatomi bahagian pembiakkan orkid. Sumbangan besar dari kaji selidik serta pemerhatian oleh kedua-dua Rheede dan Rumphius ini, (melalui naskah agung mereka Hortus Malabaricus dan Herbarium Amboinensis) telah meletakkan pengetahuan sains botani manusia kesuatu tahap yang sungguh bermakna, yang hanya tinggal untuk untuk diikuti sahaja dan sebagai sumber

40

rujukan bernilai oleh para penyelidik sesudah itu. Salah seorang penyelidik yang dimaksudkan itu adalah dari bangsa Sweden, Linnaeus (Carl von Linne 1707 1778). Melalui Linnaeus, penyelidikkan tumbuhan tidak hanya berakhir setakat di dalam herbarium sahaja, bahkan ia mulai menganjur ke seluruh pelusuk alam tumbuhtumbuhan. Linnaeus telah mengemukakan suatu teori yang berkesan bagi kita menjejaki salasilah tumbuh-tumbuhan ini dengan memperkenalkan suatu kaedah pengkelasan unik yang mengambil kira secara asasnya, bilangan serta nisbah tertentu organ-organ pembiakan bagi mana-mana spesis di dalam kajian. Lebih menarik lagi, Linnaeus turut mempelopori kaedah menamakan tumbuhan secara sistematik seperti yang diamalkan hari ini (dengan sedikit pengubahsuaian) di mana dua istilah digunakan genus dan spesis (binomial method). Seperti contoh yang baru disebutkan tadi, Angraecium album majus adalah contoh lazim di mana nama tumbuhan biasa diberikan pada masa yang lampau, yang mana selalunya cukup panjang serta tidak mempunyai asas tertentu. Malalui kaedah yang beliau cipta, tumbuhan tadi dapat terus dikenali secara ringkas dan tepat sebagai Phalaenopsis amabilis sahaja. Linnaeus telah membukukan kaedah baru ini di dalam sebuah penerbitan bertajuk Species Plantarum (1753). Usaha serta pencapaian tinggi oleh Linnaeus ini telah membolehkan lebih banyak spesis orkid dapat dikenalpasti olehnya melebihi mana-mana yang ada sebelum itu- kira-kira 60 spesis dari seluruh dunia. Sedikit pun tidak terlintas pada fikiran Linnaeus yang jumlah sebegitu adalah sangat kecil sekali. Hanya kurang dari 100 tahun kemudian, John Lindley telah menerbitkan satu senarai panjang yang merangkumi semua genus serta spesis yang telah diketahui ketika itu. Sebanyak 1980 spesis telah dikumpulkan lalu disenaraikan di dalam Genera and Species of Orchidaceous Plant (1830 1840). Kini, walau Lindley sekali pun hampir pasti tidak akan menyangka jumlahnya sendiri masih begitu kecil dan jauh dari jumlah sebenar orkid-orkid yang ada di seluruh dunia dengan pertambahan sebanyak tigabelas kali ganda. Orkid, walau reputasinya kerap digambarkan sebagai amat sukar ditemui, namun secara populasinya, ia besar kemungkinan menjadi antara spesis yang terbesar serta paling pelbagai sekali didunia. Orchidaceae adalah nama sains bagi keluarga orkid yang keseluruhannya mengandungi lebih 1000 genus dengan lebih 25000 spesis dijangkakan wujud hampir-hampir menyamai satu persepuluh dari jumlah tumbuhan berbunga di seluruh dunia. Dari segi bilangan, orkid hanyalah disaingi oleh spesis daisy, Compositae atau Asteraceae yang sering dianggap sebagai kumpulan keluarga tumbuhan paling tinggi populasinya di dunia dengan hampir 1550 genus dan 25000 spesis dikatakan wujud. Kedua-dua orkid dan daisy ini termasuk dalam kelompok keluarga yang paling berjaya sekali dialam tumbuh-tumbuhan dengan kemampuan mereka berevolusi atau berubah mengikut keadaan di sesuatu tempat.

41

Sebahagian spesis dari kelompok Compositae seperti thistles, dandelions dan ragworth adalah yang paling luas taburannya di dunia berbanding tumbuhan lain dan merupakan yang paling sedikit melakukan pengubahsuaian bagi kelangsungan hidupnya. Bagi orkid pula, hidupnya lebih beunsurkan konsep saling beri dan menerima dan akhirnya ia membuat keuntungan sama seperti konsep seorang peniaga yang cukup mahir. Orkid sentiasa bersedia melakukan perubahan demi mengambil kesempatan di atas pelbagai situasi dan nuansa cabaran di habitat semulajadinya. Tidak hanya untuk meneruskan hidup, orkid juga melakukan pelbagai evolusi unik ke atas mekanisme pembiakannya, khusus untuk menarik perhatian serangga tertentu bagi menolong meneruskan kesinambungan spesisnya di muka bumi ini. Orkid sememangnya cukup pakar melakukannya. Orkid boleh kita temui di hampir segenap pelusuk habitat di atas muka bumi ini. Di dalam habitat yang sukar sekalipun bagi tumbuhan lain, spesis orkid tertentu terdapat juga tumbuh disitu. Arethusa, Calopogon dan Disa adalah termasuk spesis orkid yang tumbuh dengan kaki atau akarnya terendam tenang di dalam kolam berpaya atau lopak-lopak air; beberapa spesis dari genus Epipactis pula didapati menghuni di atas bukit-bukit pasir dan di dalam lubang-lubang seperti yang terdapat di kuala-kuala sungai yang masin airnya. Ada pula sebahagian genus tertentu yang tinggal jauh di dalam rimba sehinggakan hanya sedikit sahaja cahaya matahari menyentuhnya (tidaklah seperti yang bakal diceritakan yang orkid sebenarnya memang memerlukan cahaya matahari yang cukup). Dari tebing-tebing batu pergunungan yang tinggi sehinggalah ke hutan-hutan terdedah di antara populasi pokok-pokok Alpain yang menganjur dari Pergunungan Rocky hingga ke Himalaya, akan biasa terdapat orkidorkid tertentu yang tersendiri spesisnya di kawasan itu. Beberapa kawasan tertentu di Australia dan Selatan Afrika pula, telah biasa mengharungi musim kemarau yang amat panjang dan melampau yang berlangsung hampir-hampir sepanjang tahun. Di kawasan ini yang hujan biasanya akan turun dengan lebatnya hanya beberapa ketika sahaja, namun sudah cukup bagi membolehkan sebilangan spesis yang telah sedia menyesuaikan dirinya, tumbuh dengan mekar dalam waktu yang singkat sahaja. Dalam tempoh yang hanya sesingkat itu, berbagai spesis tumbuhan termasuk juga dari spesis orkid, akan tiba-tiba menjelma dari dalam tanah hingga mewujudkan suatu lanskap yang amat menakjubkan serta cantik sekali berupa padang rumput menghijau dan penuh mekar dengan bungabungaan yang begitu indah. Setelah sumber air menjadi kering, semua tumbuhan tadi, termasuk orkid akan sedikit demi sedikit menghilangkan diri kembali kedalam tanah sebagai benih yang tidak aktif dan menunggu peluang lagi untuk kemunculan seterusnya.

42

Di tengah-tengah kawasan yang amat kering di Mexico pula, koloni-koloni Encyclia dan Oncidium ada didapati menghuni di atas tunggul-tunggul kaktus di sana manakala Eulophia pula hidup di daerah yang separa gurun di Afrika. Dalam daerah tundra di lingkungan Bulatan Artik yang diketahui amat sejuk udaranya, terdapat pula spesis Calypso bulbosa tumbuh di sana, manakala Chiloglottis mencecah sehingga ke Tierra del Feugo, kepulauan yang menganjur paling selatan di Argentina. Selain dari beberapa habitat muka bumi yang amat ekstrim ini, 90 peratus daripada polpulasi orkid sebenarnya terdapat dalam lingkungan Tropika dan sub-Tropika sahaja. Dari kawasan inilah, spesis-spesis orkidnya paling banyak mendapat perhatian dari sekelian peminat orkid, pengumpul koleksi serta pengusaha bunga-bunga hybrid dari seluruh dunia.

Figure 13 Calypso bulbosa


Melihat kedalam cara pertumbuhan orkid, setiap spesis mempunyai mekanisme tertentu yang ia telah siap membuat penyesuaian terhadap keadaan semulajadi di habitat kehidupannya. Di antara bentuk penyesuaian utama di mana kebanyakkan orkid memilih untuk berada, terdapat 4 cara utama yang dapat dibahagikan; terestrial, epiphyte, litophyte dan saprophyte.

43

Orkid yang termasuk dalam bahagian terestrial atau lebih dikenali sebagai orkid tanah, mempunyai akarnya di dalam tanah sama seperti tumbuhan lain yang lebih maju evolusi mereka. Walaupun tampak sama, orkid tidaklah dapat dibandingkan sebegitu rupa dengan tumbuh-tumbuhan tanah yang lain; ia dapat hidup hampir di segenap habitat yang merangkumi dari tanah rendah berpaya hingga kekawasan bertanah tinggi dan dari kawasan berhutan sehingga ke kawasan tandus yang kering. Dari segi bentuknya pula, orkid-orkid tanah ini mempunyai pelbagai rupa seperti berumput, berdaun rimbun (seperti Paphiopedilum), berubi (pseudobulbs)-seperti Calanthe, berbatang (tubers)-seperti Orchis, perdu serta akar yang tebal di dalam tanah (seperti Cypripedium dan Cephalanthera), tumbuh menjalar di dalam tanah (seperti Goodyera), berkelompok dengan batang seperti tebu (seperti Sobralia dan Thunia) dan membelit serta menjalar di atas sokongan dengan perdu bawahnya tertanam di dalam tanah (seperti Vanilla). Orkid-orkid tanah ini umumnya terdapat dibahagian yang lebih tinggi garis lintangnya walaupun terdapat juga berbagai spesis orkid tanah di kawasan beriklim tropika dan sub-tropika. Di Kepulauan British sendiri, kesemua kira-kira 50 spesis orkid tempatannya, terdiri dari orkid-orkid tanah belaka. Kecuali suatu spesis, Hammarbya paludosa yang berbunga kecil berwarna hijau yang memilih untuk hidup bukannya di dalam, tetapi menumpang di atas sejenis lumut yang dipanggil sphagnum moss. Jika ia dikira sebagai jenis epyphyte di sebabkan tabiatnya yang menumpang, kebanyakkan epyphyte lain biasanya memilih batang-batang kayu yang lebih besar atau menumpang di atas pokok. Ia juga bukan sepenuhnya orkid tanah kerana disebabkan saiznya yang kecil ia hanya menumpang di atas permukaan lumut. Orkid epyphyte (dari Greek maksudnya epi-di atas dan phyton-pokok), adalah orkid yang tumbuh atau menumpang di atas pokok yang lain. Ia hidup tanpa mengambil apa-apa makanan daripada perumahnya malah ia bukannya sejenis parasit (sejenis tumbuhan lain yang mengambil makanan dari perumahnya); orkid epyphyte hanya ingin menumpang hidup dan memperoleh makanan dengan caranya yang tersendiri. Walaupun dengan reputasi yang tidak membahayakan pokok lain, beberapa spesis orkid ini tetap memperolehi nama yang buruk apabila seorang pengkaji tumbuhan, Sir Hans Sloane semasa akhir abad ke-18 telah meletakkan spesis Brassalova cordata, Broughtonia sanguinea serta Oncidium luridum dari Jamaica dalam kelompok Viscum (sejenis parasit besar seperti pokok langsuyar). Baru-baru ini setelah hampir 300 tahun berlalu seorang pencari orkid, Hugh Laird masih lagi teringatkan kisah bagaimana para penunjuk jalannya yang terdiri dari masyarakat tempatan disitu menjadi keliru kerana selama ini menganggap orkid-orkid yang terdapat banyak di atas pokok itu adalah pokok yang tidak berguna atau parasitos.

44

Orkid epyphyte, menumpang di atas dahan dahan pokok, kerana mereka perlu mendapatkan cahaya, air serta zat makanan yang tidak dapat mereka perolehi di bahagian bawah di sebabkan oleh ketumpatan hutan, keadaan yang terlindung atau mengelak dari berada dibawah sungkupan pokok-pokok yang lebih besar. Dengan jaringan akarnya yang melekat didahan-dahan pokok atau menggunakan batangnya sendiri yang besar serta perdu yang berakar kukuh untuk memeluk cabang-cabang pokok, mereka mendapatkan makanan dari cahaya matahari serta hujan. Hujan yang turun, bukan hanya membekalkan air tetapi turut membawa bersamanya makanan tambahan berupa galian yang terlarut dari pereputan daun serta kayu mati dan juga daripada najis binatang.

Figure 14 Epyphyte orchid


Epyphyte sebenarnya adalah fenomena tumbuhan yang biasa berlaku di kawasan tropika dan sub-tropika dan tidaklah terhad kepada orkid sahaja. Antara tumbuhan lain yang termasuk epyphyte juga adalah terdiri dari sebahagian pokok-pokok fern, aroids dan figs. Namun bagi dua kelompok, bromeliads (Bromeliaceae) dan orkid,

45

menjadi epyphyte adalah strategi atau penyesuaian penting bagi bersaing hidup di dalam hutan yang padat dengan tumbuhan lain. Ditengah-tengah hutan belantara di Amerika Latin, spesis-spesis tertentu dari kedua-dua kelompok ini boleh didapati menghuni di atas dahan-dahan pokok yang mereka tumpangi dengan padat sekali, sehingga tampak seperti kita melihat sebuah taman yang kecil di atas pokok. Walaupun yang amat diperlukan oleh orkid-orkid epyphyte ini adalah kelembapan udara di sekelilingnya, ia tidak pula terhad hanya di hutan-hutan hujan tropika atau di pergunungan yang sejuk berkabus sahaja. Ia boleh juga berada di atas bangunanbangunan kayu lama di tengah-tengah bandar, di atas pagar kayu atau tiang telefon, menumpuk di akar-akar bakau malah turut juga membentuk koloni yang menghijau di atas pohon-pohon kaktus atau di atas ranting mati di tengah-tengah gurun yang tandus. Ketika membuat penjelajahan di Gavea atau Topsail Mountain berdekatan dengan Rio de Jeneiro pada tahun 1836, pencari orkid bernama George Gardner telah menemui satu koloni orkid yang telah lama disangkakan pupus sejak 1818: Di atas cerun batu sebuah gunung setinggi beberapa ratus kaki, kami telah melihat satu kelompok orkid sedang berbunga dengan amat cantik sekali. Bunganya yang besar berwarna merah ros itu amat jelas dan memang sungguh pasti ia cukup dikenali di Brazil, namun kami tak dapat sampai kepadanya untuk diambil. Beberapa hari kemudian kami terjumpa lagi spesis yang sama di gunung berhampiran dan kali ini kami memang pasti ia adalah Cattleya labiata. Apa-apa yang berada di Gavea pula, kami tinggalkan untuk terus hidup dan tidak akan mampu diambil oleh sesiapa pun yang tamak mencari orkid. Gardner sebenarnya telah menjumpai suatu spesis dari jenis lithophyte. Seperti juga epyphyte, orkid lithophyte (dari Greek maksudnya-lythos-batu danphyton-pokok) telah membuat penyesuaian dengan berada di tempat yang tinggi untuk menghindari pelbagai situasi tidak menentu jika ia berada di bawah bersama-sama dengan tumbuhan lain. Apa yang membezakannya dari epyphyte adalah ia memilih batu sebagai perumahnya dan tidak pokok yang biasa. Bagi sebahagian spesis, pilihan ini mempunyai kelebihan yang tersendiri. Seperti sejenis orkid slipper dari Thailand, Paphiopedilum bellatulum yang tumbuh di atas cerun batu kapur, ia sememangnya mencari dan paling sesuai hidup di atas permukaan yang beralkali. Bagi kebanyakkan spesis orkid lain pula, soal di mana akarnya hendak berpaut bukanlah satu persoalan yang besar kerana mereka mampu memilih untuk menjadi samada epyphyte atau lithophyte. Selain itu, bukannya semua orkid lithophyte bertumpu hanya pada cerun atau di celah rekahan batu sahaja. Pada tahun 1870, seorang pengumpul orkid bernama Benedikt Roezl telah menemui satu lagi spesis Cattleya yang amat popular- Cattleya skinneri var.

46

alba di atas sebuah bumbung gereja di Totonicapan, Guatemala. Ia mungkin sengaja diletakkan di situ oleh puak Indian bagi melindungi mereka dari ditimpa bencana setelah mendapati wujudnya sebuah rumah tuhan yang lain (Kristian) di situ. Apa yang menariknya, bukanlah apa yang sebenarnya mereka percaya, tapi sanjungan yang mereka berikan terhadap spesis ini yang mungkin dianggap satu simbol yang suci pada tuhan mereka.Orkid litophyte juga pernah dilihat tumbuh di atas puing-puing batu tinggalan kaum asli Amerika Latin, kaum Inca di Machu Pichu yang mana tumbuh disitu adalah dari spesis Masdevallia veitchiana berbunga merah terang. Satu lagi spesis tempatan Peru, adalah sejenis orkid slipper Phragmipedium pearcei yang memilih untuk hidup di atas batuan besar dikawasan jeram yang mempunyai arus.

Figure 15 Lythophite orchid


Dengan mengambil contoh 2 orkid litophyte di atas; Masdevallia yang hidup di persekitaran dingin berkabus, manakala Phragmipedium yang sentiasa basah dengan percikan halus pusaran air, mereka mungkin menghadapi masalah sekurang-kurangnya beberapa bulan dalam setahun untuk mendapatkan kelembapan air. Seperti juga lainlain orkid dari jenis epiphyte dan litophyte, keadaan akar mereka yang sentiasa terdedah di udara, jelas tidak memungkinkan mereka boleh mendapatkan air yang cukup setiap masa. Ketibaan musim-musim kering serta kemarau dalam setahun sudah pasti menghalang mereka dari mendapatkan keperluan air yang mencukupi dari hujan atau dari kelembapan udara. Di dalam bab yang berikut ini, kita akan melihat

47

bagaimana orkid mengatasi masalah ini dengan melakukan satu bentuk penyesuaian yang sungguh istimewa. Katagori terakhir yang keempat, dalam membicarakan tabiat pertumbuhan orkid, jelas tidak mahu bergantung hidup pada keperluan mendapatkan cahaya atau sebarang makanan dari mineral yang terlarut. Di dalam habitat semulajadi, semua orkid pada asasnya membuat perhubungan istimewa dengan sejenis kulat. Perhubungan ini jelasnya, adalah praktik kepada konsep saling beri dan menerima yang telah pun disebut di awal perkara ini (simbiotic relationship). Kulat membantu dalam percambahan anak benih orkid yang sewaktu ia mula-mula bercambah, di mana ketika ini ia begitu halus umpama debu, serta naif tanpa sebarang makanan dan bentuk perlindungan. Kulatlah yang akan membekalkan segala makanan yang diperlukan oleh anak benih ini bagi membantunya hidup. Apabila orkid ini telah membesar, kulat masih lagi membantunya dengan jaringan halus akarnya memecahkan struktur jirim organik bagi membekalkan makanan pada akar orkid (mycorrhizal relationship).

Figure 16 Saphrophyte orchid


Sebagai balasan, orkid akan melakukan proses fotosintesis (suatu proses aruhan cahaya matahari ke atas klorofil) yang akan menghasilkan gula dan disalur melalui bahagian akar kepada kulat tadi yang telah membantunya hidup. Bagi anak-anak orkid dari jenis terrestrial, peringkat awal kehidupannya adalah sebagai benih yang tertanam

48

di dalam tanah, pucat tanpa klorofil yang diperlukan untuk menjana makanannya sendiri. Ketika ini hidupnya amat bergantung kepada hubungan baik dengan kulat simbiotik bagi mendapatkan makanan. Setelah itu, barulah anak-anak orkid ini mulai menghulurkan pucuknya yang pertama yang mengandungi klorofil bagi membuat makanan sendiri, sekaligus membebaskan pergantungannya dengan kulat simbiotik. Namun bagi sesetengah orkid mereka tidak mampu melakukan semua ini dan satusatunya penyesuaian terbaik adalah berada terus di dalam tanah. Saprophyte (dari Greek, maksudnya-sapros-bahan reput, phyton-pokok ) ialah jenis orkid ini yang mendapatkan makanan secara khusus daripada bahan-bahan organik yang mereput. Orkid saprophyte tidak mempunyai klorofil, berubi-ubi bentuknya serta warna yang mungkin sedikit pucat dan ganjil, berkemungkinan sama seperti rupa kulat simbiotik yang mana ia telah membuat perhubungan di sepanjang hidupnya itu. Seperti kulat simbiotik, orkid saprophyte akan menghabiskan hidupnya di dalam kegelapan tanah tanpa cahaya dan hanya muncul di permukaan apabila mahu membiakkan benihnya. Jenis orkid ini yang paling diketahui adalah yang berasal dari Eropah dan Amerika Utara dan tinggal di dalam hutan di mana terdapat banyak timbunan daun-daun mati yang mereput di lantai hutannya. Akar karang (Corallorhiza) dan orkid sarang burung (Neottia), kedua-dua nama mereka yang popular ini mungkin diambil dari keadaan rupa orkid ini sangat pelik. Ia biasanya ditemui bergugus dengan akar-akarnya yang tebal dan pendek (sebenarnya adalah kumpulan tisu-tisu yang disebarkan oleh kulat simbiotik). Sejenis lagi orkid saprophyte, berasal dari bahagian hemisfera utara yang beriklim sederhana, dikenali sebagai orkid hantu (Epipogium) yang langsung tidak mempunyai sebarang bentuk akar. Ia mendapat nama dari bunganya yang berbentuk tudung, berwarna putih separa cahaya dan biasa menjelma jauh di dalam hutan di antara pokok-pokok beech. Berlainan pula dengan orkid saprophyte dari bahagian Australia Barat, Rhizanthella gardneri, yang memilih tempat yang lebih terbuka serta kering untuk hidup. Ia biasanya ditemui di antara jaringan akar pokok-pokok teh, Melaleuca uncinata namun terlindung dari cahaya matahari sepenuhnya. Keseluruhan hidupnya dari berbunga hingga berbuah hanyalah berada dibawah permukaan tanah sahaja. Sejenis lagi orkid saprophyte memaparkan keanehan dalam bentuk yang lain sedikit. Orkid saprophyte berikutnya merupakan suatu genus dari Asia Timur, Galeola. Orkid ini akan mengeluarkan batang yang berpintal-pintal berwarna kekuningan seperti pokok yang kehilangan daun terkena racun, lalu memanjat pokok yang ada disekitarnya sehingga mencapai ketinggian kira-kira 20 meter. Daripada bahagian batang tadi kemudiannya, akan muncul bunga-bunga orkid yang berkilat dan akan tahan sehingga beberapa hari lamanya. Orkid ini jika diperkirakan, boleh menjadi orkid yang paling besar serta

49

paling pantas pertumbuhannya di dunia (pokok orkid berperdu yang paling besar pula jatuh kepada Grammotophyllum speciosum orkid harimau atau orkid tebu dari Asia Tenggara).

Figure 16 Rhizanthella gardneri


Disebabkan oleh uniknya faktor ekologi, di mana menjadi habitat semulajadi orkidorkid saprophyte serta peri pentingnya hubungan antara kulat yang memastikan kelangsungan hidupnya itu, orkid saprophyte hampir-hampir mustahil dapat ditanam. Orkid yang diambil dari tanah di tempat asalnya mungkin dapat hidup seketika di dalam taman, tetapi sebarang percubaan untuk membiakkannya dengan kaedah tiruan tidak pernah berhasil. Baru-baru ini bagaimanapun, pembiak orkid dari Jepun telah berjaya membiakkan suatu genus saprophyte yang popular di sana, Gastrodia di dalam pasu. Faktor kejayaan mereka mungkin diperolehi dari kejayaan menggantikan jambatan simbiotik orkid ini daripada kulat, kepada sukrosa (sejenis bentuk gula) yang disalurkan kepada sel-sel benih dalam keadaan nyah-kuman (sterilized condition). Setiap dari spesis orkid juga tergabung di dalam satu antara dua tabiat pertumbuhan. Orkid simpodial (sympodial) mempunyai dua jenis batang berdaun samada merayap dan mempunyai akar (rhizom) atau menegak (stem) yang tumbuh secara berperingkat di sepanjang rhizom di mana daun serta bunga akan terbentuk. Rhizom boleh didapati menjalar sepenuhnya di dalam tanah dalam sesetengah spesis, contohnya Epipactis ; atau secara separa timbus seperti Ludisia yang bercabang-cabang dan bertindak sekaligus menjadi stem serta rhizom; atau terdedah sepenuhnya seperti di dalam Cattleya. Stem atau batang secara menegak ini pula, boleh menjadi sangat pendek hingga tidak kelihatan langsung, begitu juga dengan rhizom yang mana pada sesetengah spesis orkid simpodial, rhizomnya seolah-olah tiada sama-sekali. Contohnya di dalam genus Bollea, Huntleya dan Oberonia yang berperdu dan berdaun seperti kipas itu dan juga di dalam genus-genus orkid slipper Paphiopedilum dan Phragmipedium. Manakala pada contoh genus Masdevallia dan Dracula, batangnya sedikit panjang dan bergugus yang setiap satunya mengandungi sehelai daun tirus yang

50

memanjang namun tebal berisi. Tepat di antara sudut di mana daun dan batangnya bertemu, di situlah akan muncul tangkai bunganya. Di dalam genus yang lain, batang yang menegak ini begitu jelas tingginya dan mempunyai daun di sepanjang batang serta mengeluarkan bunga di hujungnya. Contoh bagi genus ini termasuklah Arundina (orkid buluh) dan Sobralia. Namun yang paling menarik sekali untuk dibincangkan dikalangan orkid simpodial ini adalah hasil dari mekanisme penyesuaiannya yang berupa struktur seperti ubi tempat menyimpan air atau pseudobulb. Walaupun ubi ini menyerupai benjolan pada penampilannya yang turut meliputi saiz dan bentuk yang pelbagai ragam, ia sebenarnya adalah satu bentuk penyesuaian batang orkid tadi atau stem, yang selain guna menyimpan air, mampu melakukan fotosintesis, mengeluarkan daun serta bunga daripadanya. Seperti yang telah dinyatakan, bentuknya ada yang bulat seperti telur, membujur, memanjang, seperti buah guli, tipis seperti piring, seperti botol air dan sebagainya. Spesis orkid Bulbophyllum odoardii, mempunyai ubi yang sekecil 1.5 mm menjadikan orkid dari Kepulauan Borneo ini sebagai yang terkecil sekali di dunia. Sementara itu, ubi yang hampir menyerupai batang tebu pada Grammatophyllum papauanum dari Papua New Guinea direkodkan hampir sepanjang 5 meter. Di dalam spesis Cymbidium serta Phaius, keseluruhannya ubinya dilitupi oleh gugusan pangkal daun yang tumbuh berlapis-lapis antara satu sama lain dari ubi tersebut. Disebabkan oleh pertumbuhan sebahagian spesis samada di atas pokok atau di atas batu, yang sentiasa memerlukan bekalan air secukupnya untuk hidup, mempunyai ubi sebagai tempat menyimpan air dapat memastikan mereka tidak akan mati kekeringan. Dimasa-masa tertentu yang tidak terhad sewaktu kekurangan air sahaja, orkid perlu membuang segala daunnya bagi mengurangkan keperluannya pada air atau untuk mengeluarkan bunga atau beberapa sebab lain yang masih belum diketahui sepenuhnya. Semasa ketiadaan daun bagi melakukan fotosintesis, ketika inilah ubi serta air yang tersimpan di dalamnya dapat digunakan bagi membuat makanan. Dibawah setiap ubi orkid-orkid simpodial atau yang jelas tegak seperti batang pokok, akan biasanya terdapat satu atau dua tunas yang baru. Di dalam kes di mana rhizom tumbuh secara searah, mana-mana satu ubi atau batang yang terakhir tumbuh (leading pseudobulb) akan bertanggungjawab mengeluarkan tunas pertumbuhan seterusnya. Pada mana-mana spesis tadi yang bunganya dikeluarkan dari bawah ubi atau disepanjang rhizomnya, ada kemungkinan ubi atau pertumbuhan yang seterusnya akan turut menghasilkan bunga juga. Lebih menarik lagi, bagi mana-mana ubi yang telah tua pula, satu tunas muda akan sentiasa bersedia dibawahnya sebagai satu perlindungan insurans di mana jika ubi yang telah tua ini mati, ia akan segera menjadi aktif dan membesar. Dikenali dengan backbulb, ia akan kekal tidak akan membesar selagi belum diaktifkan. Tunas ini boleh saja dipisahkan untuk menjadi aktif dan menghasilkan pertumbuhan baru sebagai satu teknik dalam pembiakkan.

51

Satu lagi penyesuaian oleh orkid simpodial bagi menyimpan air, adalah dari cara yang biasa dilakukan oleh orkid-orkid terrestrial iaitu dengan mempunyai tubers, yang seperti telah dibincangkan adalah struktur pada batang orkid yang menyerupai alat seksual lelaki. Contoh dari genus ini, Orchis telah pun dikenali sejak dari zaman purba lagi dan turut memberikan namanya pada seluruh keluarga orkid (Orchidaceae). Contoh simpanan air yang lain pada orkid simpodial dan terrestrial pula, adalah dengan cara mengeluarkan akarnya yang banyak serta tebal berisi air seperti di dalam genus Cypripedium. Genus yang seakan-akan sama seperti pokok-pokok dari keluarga Iris, iaitu Bletia dan Calanthe pula mempunyai simpanan air tersendiri berupa ubi yang tertanam di dalam tanah. Tabiat pertumbuhan orkid yang kedua, adalah dari jenis monopodial. Orkid dari jenis ini akan hanya mempunyai sejenis batang atau stem sahaja. Dari segi teori, orkid ini dapat dikatakan mampu tumbuh sepanjang-panjangnya dengan sentiasa membuat pucuk yang baru dibahagian hujungnya. Biasanya batang pada orkid monopodial lebih kecil tetapi padat dengan tisu-tisu yang lebih keras jalinannya. Pada bahagian pangkal batang orkid monopodial, akan kelihatan seperti berkayu yang menandakan ia telah cukup matang. Susunan daun pada orkid ini pula akan membentuk secara dua jalinan bersebelahan disepanjang batangnya. Pada genus Phalaenopsis, batas maksima pertumbuhannya amat pendek dan terkandung di antara jalinan pangkal daunnya. Pada genus tanpa daun, Chilochista pula ia hampir-hampir hilang dari pandangan mata dan hanya berada di atas pangkal susunan akarnya yang kehijauan itu (mengandungi klorofil dengan kemampuan untuk membuat fotosintesis). Pertumbuhan orkid secara monopodial cukup sinonim dengan orkid-orkid dari pecahan keluarga Vandeae yang mana ia termasuk dari genus Aerangis, Angraecium, Neofinetia, Phalaenopsis serta Vanda. Bagi orkid-orkid monopodial, mereka akan bercabang atau menghasilkan tunas baru samada di bahagian pangkal pokok atau dari celah daunnya. Akar-akarnya pula akan tumbuh dari serata arah di sepanjang batang pokok, bermula dari pangkal hinggalah ke hujungnya. Jika orkid-orkid simpodial mengeluarkan bunga dari pangkal batang, ubi atau daripada hujung ubi atau batangnya, orkid monopodial akan berbunga melalui celah tangkai daunnya atau di antara susunan daun, di sepanjang batangnya yang panjang itu. Satu lagi fenomena adalah pada struktur akar orkid, yang sama juga uniknya seperti bahagian pokok orkid lain yang tidak memakai tabiat pertumbuhan seperti pokokpokok lain yang biasa. Akar pada orkid menjadi unik kerana telah pun menjalani penyesuaian tertentu bagi menyokong tabiat pertumbuhan orkid. Contoh terbaik ialah seperti yang dapat dilihat akar orkid-orkid epyphyte dan lithophyte yang besar serta tebal bentuknya seperti yang terdapat pada genus Aerides dan Rhynchostylis. Akar yang

52

besar serta tebal ini sebenarnya ialah sejenis tisu bergabus berwarna keputihan yang dipanggil velamen yang akan melindungi dan melitupi sepenuhnya akar orkid. Dari keadaan bentuk serta strukturnya yang bergabus di bahagian dalam velamen ini, tidaklah sesuatu yang mengejutkan jika ramai orang termasuk ahli botani sendiri berpendapat, kegunaan akar sebegini adalah bagi menyerap air hujan serta kelembapan udara di persekitaran. Sebaliknya daripada penyelidikan terkini, kita mendapati fungsi yang sebenarnya bukanlah begitu. Di dalam apa yang kita sebut sebagai akar orkid ini, pada bahagian tengahnya terdapat satu struktur lain yang teguh namun halus seperti benang. Inilah sebenarnya akar orkid. Tugas utama bahagian bergabus pada velamen yang meliputinya itu, adalah sebagai pengedap haba di samping lapisan luarnya yang keputihan seperti mutiara itu melindungi akar orkid dari kehilangan air akibat suhu serta kepanasan yang tinggi di persekitaran. Kajian juga mendapati walau setebal mana pun akar orkid ini, hanya hujung akar orkid sahaja yang mampu menyerap air secukupnya bagi membolehkannya terus hidup. Apabila berkeadaan aktif, hujung akar orkid akan mempamerkan warna hijau yang jelas lagi terang menunjukkan yang ia juga mampu melakukan proses fotosintesis. Ia juga sedikit melekit dan akan sentiasa tumbuh menjalar mencari apa jua permukaan yang sesuai bagi orkid ini bermastautin. Jika bertemu ia akan melekatkan diri padanya dengan menggunakan elemen yang melekit tadi. Semakin jauh hujung akar ini tumbuh, bahagian yang tertinggal dibelakangnya akan berubah menjadi lebih kukuh, memadatkan dirinya pada permukaan sambil ia pun akan diselaputi oleh velamen. Velamen juga bertindak seakan-akan sejenis simen yang akan melekatkan akar orkid ini pada permukaan menjadi lebih kukuh lagi. Daun orkid pula biasanya mempunyai satu atau dua elemen yang besamaan antara satu spesis dengan yang lain. Kebanyakkannya mempunyai hujung yang tajam serta menirus. Jika kita perhatikan, pada kebanyakkan orkid dari spesis epyphyte dan lithophyte, daunnya seakan-akan diliputi oleh satu lapisan yang berkilat. Ini sebenarnya adalah sejenis lapisan sel pada daun orkid yang melindunginya daripada hilang kelembapan. Daun-daun orkid yang seperti ini biasanya kelihatan lebih tebal dan berisi seperti ada menyimpan air. Dalam satu aspek lain pula, daun orkid sama sahaja seperti mana-mana tumbuhan biasa yang lain, di mana mereka akan menutup saluran-saluran poros pada selnya sewaktu hari yang panas dan membukanya di waktu malam yang sejuk bagi tujuan membebaskan wap-wap udara. Di sebalik segala pemerhatian yang telah lakukan pada daun-daun orkid, kita sebenarnya masih belum dapat memahami sepenuhnya tabiat hakiki yang ada pada mereka. Ia tidaklah semudah kita memahami darihal bunga orkid yang sehingga kini

53

telah banyak yang kita fahami. Orkid boleh jadi mengekalkan daunnya sepanjang masa, menggugurkannya pada masa-masa tertentu atau tidak mempunyai daun samasekali. Bagi spesis yang mempunyai daun seperti yang kedapatan pada kebanyakkan orkid, saiz, bentuk, rupa serta teksturnya pula terbahagi kepada ribuan jenis. Dari yang senipis 1mm 2 mm, sehinggalah kepada yang tebal dan keras keadaannya. Dari segi saiz pula, ada yang kecil seperti lumut sehinggalah kepada yang besar menyerupai daun-daun dari pokok yang lain yang terdapat di sekitarnya. Ada pula yang lembut seperti kain, seperti baldu atau pun bertekstur licin seperti daun kelapa. Namun dari semua hal ini, minat manusia pada daun orkid tidaklah sebesar minat pada bunganya yang jauh lebih menawan dari apa segi sekalipun. Namun ini tidaklah juga bermakna kita harus memandang sepi pada tarikan daun orkid. Sebahagian spesis orkid mempunyai daun yang sungguh menarik dan berbaloi dipelihara hanya kerana tarikan daunnya sahaja. Daun slipper orkid Paphiopedilum venustum dan P. wardii misalnya, mempunyai warna hijau laut yang terang dengan tompokan pudar, seperti kita melihat kulit ular di atasnya. Spesis yang seangkatan dengannya dari Paphiopedilum bellatulum, P.niveum dan P.godefroyae pula, mempunyai daun yang bercorak hijau lumut yang sungguh cantik. Juga terdapat dari Asia Tenggara, beberapa spesis Phalaenopsis yang sungguh menyenangkan apabila dapat tumbuh segar di halaman hanya kerana daunnya yang hijau kebiruan dan terhias pula dengan corak yang berwarna seperti keperakan. Ini tidak termasuk satu lagi spesis Phalaenopsis yang hanya terdapat di Kepulauan Borneo iaitu Phalaenopsis gigantea yang saiz daunnya sahaja boleh meliputi sebuah meja kopi di dalam rumah. Sejenis spesis berikutnya, agak jarang ditemui sekali pun meredah ke dalam habitatnya di kawasan pergunungan sejuk yang berlumut, di Equador dan Columbia. Lipanthes calodictyon adalah suatu spesis kecil yang memilih ranting-ranting kayu yang berlumut di kawasan berkenaan untuk hidup. Jika diteliti, ia seakan-akan sedang mengimbangi di antara daunnya yang seperti piring kecil itu dengan bahagian tangkai yang sungguh lembut kelihatannya. Daunnya bagaimanapun lebih mencuri perhatian dengan corak lembut yang hijau-kebiruan seperti air laut dan dilapisi pula oleh rangkaian garis-garis halus berwarna coklat. Daun pada satu lagi orkid dari Malaysia, tidak kurang menariknya. Warna serta corak pada daun Nephelaphyllum pulchrum seolah-olah kita sedang melihat awan mendung di langit senja. Ini sesuailah dengan nama timangan yang diberikan padanya yang berbunyi pretty cloudleaf. Bagi Phaius tankerville, ia telah pun diketahui sebagai antara spesis luar yang pertama sekali tiba di Eropah. Namun sepupu kepada orkid ini yang juga dari Asia Timur, Phaius flavus tetap juga sama terkenal di kalangan penggemar orkid. Bukan hanya setakat bunganya yang kuning serta harum dari tangkai yang tumbuh tinggi itu sahaja menjadi tarikan; pokoknya juga didapati amat segak bila ditanam. Ini nyata disebabkan

54

oleh daunnya yang tidak hanya berpelit dan hijau seperti anak pokok kelapa, ia juga turut dihiasi oleh tompokan-tompokan yang bercorak kuning terang. Seangkatan juga dengan P.flavus, satu spesis dari negara Jepun, Tainia laxiflora juga mempamerkan daun yang berpelit, namun warna hijaunya lebih menarik lagi dengan gabungan dari percikan yang jingga keperakan. Daun-daun orkid Eropah dari genus Orchis dan Dactylorhiza pula seperti telah diletakkan beberapa tompokan berwarna merah yang terang di atasnya- ini menjadikannya terkenal dikaitkan dengan konon darah Nabi Isa yang dikatakan telah disalib itu dan telah tersimbah di atas palang salib.

Figure 17 Nephelaphyllum pulchrum


Beberapa spesis dari genus Malaxii yang berasal dari Timur Jauh juga mempunyai warna daun yang cukup menarik. Malaxis metallica sebagai contoh, berdaun jingga pudar yang seakan bertukar warna bila dipandang dari arah yang berlainan. Spesis terakhir dari negara Matahari Terbit ini sebenarnya, adalah dari warisan lama masyarakat tradisi Jepun yang gemarkan satu-satu orkid itu berdasarkan pada keunikan daunnya sahaja yang melebihi dari keindahan bunga orkid itu sendiri apabila ia berbunga. Inilah sebahagian dari tradisi setempat yang wujud pada suatu ketika dahulu, namun ia tidak lagi dapat dikaitkan kini, apatah lagi dengan kepesatan industri bunga-bungaan sekarang, yang berkali-ganda besar skalanya termasuklah yang berada di dalam negeri Jepun sendiri. Dewasa ini, jika sekalipun masih terdapat tradisi mencari keunikan pada orkid itu seperti itu lagi, ia telah pun sewenangnya disulami

55

oleh pelbagai tuntutan komersil yang lain, sama juga seperti yang telah terjadi pada banyak perkara yang lain di dunia ini. Di negeri Jepun, sememangnya terdapat beberapa spesis tertentu yang memang istimewa ditanam, baik di sebabkan oleh keunikan bunganya atau pun pada daunnya. Disini, spesis-spesis tertentu yang mempunyai perbezaan unik pada mana-mana bahagian daun atau bunganya sangat-sangat dicari bagi dijadikan klon yang kemudiannya akan disemai di nurseri dalam jumlah yang mencapai ribuan pokok banyaknya. Harganya pula, bergantung kepada spesis, keunikan dan beberapa faktor lain boleh mencapai sehingga Y100,000 (RM3160) ke atas untuk sepokok sahaja. Antara spesis unik yang ditanam serta dijual dengan cara ini termasuklah dari Cymbidium kanran, C.goeringii, Dendrobium moniliforme dan Spiranthes sinensis. Keunikan tertentu yang ada pada klon-klon orkid ini cukup istimewa dan ia tidak mudah didapati walau dari pokok yang sama spesisnya sekalipun. Ini termasuklah dari segi pertumbuhannya, corak daunnya, kelainan sifat bunganya atau mempunyai tekstur daun yang ganjil dari biasa. Namun daripada semua itu, ada lagi yang lebih hebat di Jepun yang disifatkan paling tinggi nilainya oleh masyarakat disana. Fukiran adalah sebutan umum yang diberikan pada satu lagi spesis dari Jepun yang telah mencapai suatu kualiti keunikkan yang diakui tersendiri sifatnya. Tidak dapat dipastikan jika ia telah mengalami perubahan genetik secara buatan atau semulajadi di dalam hutan, ia jelas berbeza dari pokok yang sama spesis dengannya. Variety orkid Neofinetia facata telah diletakkan pada harga Y10,000,000 atau RM315,000 sepokok. Dengan harga yang sebegitu tinggi, orkid ini tidak disangkal lagi adalah yang paling tinggi nilainya didunia. Dinamakan Higuma (Beruang Perang), ia hanyalah setinggi 8 cm. Daunnya berwarna kuning keperangan (seperti nama timangannya) dan bercorakan warna perak serta mempunyai hujung akar berwarna merah. Kebanyakan dari kita mungkin belum mempunyai peluang melihat sendiri akan keunikan serta kecantikan daun Fukiran itu, namun mungkin kita akan berpuashati jika berpeluang melihat satu lagi spesis yang dikatakan lebih unik serta cantik daunnya melebihi dari apa yang terdapat pada Fukiran. Ia bukanlah dari genus yang begitu besar pokoknya dan merupakan orkid yang hidup menjalar, serta mempunyai rhizom yang tebal. Tangkai bunganya kecil dan panjang, di mana bila berbunga, bunganya begitu kecil serta pudar pula warnanya. Kelebihan genus Goodyera terletak pada daunnya hinggakan apabila genus ini berbunga, dapat dilihat satu perbezaan yang ketara sekali di antara bunga berbanding daunnya itu. Daun dari genus ini berbentuk bujur (oval shape), tidak begitu tebal serta dilapisi oleh corak yang berwarna putih keperakan.

56

Figure 18 Goodyera pubescens


Di dalam genus Goodyera serta kerabatnya yang lain, daun mereka akan dilitupi oleh ribuan sel-sel unik yang tumbuh di atasnya sehingga menjadikan daun itu tampak seakan-akan bersinar di pandangan mata. Disebabkan fenomena ini, tidak hairanlah orkid ini dipanggil di dalam bahasa Jepun shusu-ran atau orkid sutera. Di dalam pasaran orkid, variety khusus seperti Fukiran dari genus ini ada juga dipasarkan, di samping varietynya yang telah sedia wujud secara semulajadi. Variety dari genus ini dikenali dalam bahasa Jepun sebagai nishiki-ran atau orkid sulaman. Lebih jelas lagi, ia adalah spesis dari genus Goodyera yang telah mengalami perubahan secara genetik, contohnya spesis Goodyera schlechtendaliana, di mana dalam kes ini daunnya akan membentuk jalinan warna yang berubah secara dramatik dari seputih salji hinggalah seperti keemasan lalu ditambah dengan sedikit jaluran hijau yang bercahaya. Selain dari itu, ia juga paling biasa ditemui di dalam corak perang muda yang dikatakan seperti kilatan lembut air Sg. Nil serta turut dilitupi oleh jajaran garisan halus yang bersinar dalam warna keperakan. Goodyera adalah genus dari hemisfera utara, yang turut melewati sebahagian genusgenus lain yang seumpamanya, di mana mereka semuanya tergabung untuk dikenali sebagai orkid jewel. Daun orkid-orkid jewel ini amat terkenal kecantikannya, sehinggakan bagi sesetengah penanam orkid, bunganya hanya menyusahkan pandangan mereka sahaja lalu ada yang sanggup menggunting keluar bahagian bunganya sebaik ia berbunga. Tambahan lagi, ia turut juga mengurangkan sedikit

57

tekanan pada orkid ini bagi menjaga bahagian bunganya Contoh-contoh lain bagi kerabat genus ini, paling banyak boleh didapati dari kawasan beriklim tropika dan subtropika sehinggalah dari Kepulauan India hingga ke Kepulauan di Pasifik, di mana mereka boleh ditemui hidup di habitat yang cukup redup serta mempunyai kelembapan yang tinggi. Selain dari Goodyera, daun-daun orkid dari genus orkid jewel yang lain seperti Anoectochilus, Ludisia serta Macodes juga berbentuk daripada membujur hingga seakan bentuk hati, tidak begitu tebal dan mempunyai permukaan yang bersinar laksana baldu atau sutera. Warna daunnya terkandung di antara warna hitam gelap hingga coklatperang, dari kuning tembaga sehingga putih keperakan, juga daripada hijau daun pisang ke hijau gelap serta merah. Corak yang terdapat pada daun mereka juga jika dilihat, turut dihiasi cantik dengan jaluran-jaluran dari warna kelabu, keemasan atau merah. Kecantikan corak yang digabungkan dengan warna asli pada daun orkid ini, adalah seperti hasil lukisan laksananya; ini ditambah lagi dengan tabiat semulajadinya yang suka hidup dikawasan yang redup serta lembab (ia juga turut hilang dari habitatnya dengan cepat juga), menjadikannya turut dikaitkan dengan kewujudan makhluk halus oleh sesetengah masyarakat tempatan. Di Selatan India dan Sri Lanka, pada suatu masa adalah dipercayai daun orkid ini adalah imbasan dari cebisan sari kepunyaan hantu hutan yang telah terkoyak semasa menangkap dan membawa lari lelaki yang menceroboh ke dalam kawasannya. Berbagai lagi olahan cerita lain dapat dikumpulkan, terutama didaerah yang terdapat habitat Anoechochilus di mana ia sering dikaitkan dengan kewujudan hantu atau semangat hutan. Cerita-cerita seperti ini seringkali ditambah-baikkan lagi dengan mendakwa ia akan hilang dalam sekelip mata sahaja jika terdapat pencerobohan manusia dikawasan itu. Terdapat sejenis lagi spesis dari orkid jewel, yang tidak kurang memukau kecantikan daunnya, selain ia turut dikaitkan secara positif pula dengan manusia. Orkid ini adalah Macodes petola yang berasal dari Kepulauan Indonesia. Corak pada daunnya cukup menarik dengan selain dari mempunyai jaringan-jaringan halus dari garisan yang bercahaya, ia turut disulami oleh jajaran yang seperti huruf-huruf lama pada manuskrip Jawa di zaman dahulu-kala. Disebabkan oleh keunikkannya ini, orkid ini turut disebut oleh masyarakat tempatan sebagai orkid buku tulisan atau orkid bacaan. Sewaktu pertama kali menemui spesis ini di Pulau Ambon, Indonesia (ketika itu masih dibawah taklukan Belanda), pengkaji tumbuhan terkemuka Georg Eberhard Rumphius (1628 1702) ada mencatatkan nama biasa yang dipanggil oleh penduduk tempatan kepadanya iaitu daun petola. Sebahagian dari nama panggilan ini akhirnya turut dikekalkan dalam nama saintifik bagi spesis ini. Seperti melanjutkan lagi kisah doctrine of signature, yang telah pun dibicarakan, para penduduk tempatan telah menggunakan

58

air dari daun ini untuk disapu pada mata murid-murid yang sedang belajar membaca. Lalu pada mereka yang ingin menulis buku atau mempelajari sastera pula, mungkin air yang lebih pekat terpaksa disyorkan. Wallahualam.. Demikianlah yang disebut mengenai sedikit-sebanyak orkid secara asas, cara pertumbuhannya, sejarah awal serta teknik-teknik tertentu penyesuaian hidupnya di habitat yang semulajadi. Segalanya jelas bagi menunjukan bahawa orkid adalah sebahagian dari timbunan rahsia alam tumbuhan, yang sentiasa mengocak naluri manusia untuk mengkaji serta mengetahuinya dengan lebih mendalam lagi. Bagi orkid dan apa yang telah diketahui daripadanya, ia merupakan tumbuhan yang cukup sensitif pada persekitaran dan dari pemerhatian yang di buat, jelas menunjukkan betapa ia telah melakukan pelbagai taktik dan teknik penyesuaian bagi memastikan kelangsungan hidup serta spesisnya di muka bumi ini. Sebahagian dari bentuk penyesuaian seperti, mempunyai ubi (psedobulb) atau tidak, samada epyphyte atau lytophyte telah menjadi sebahagian dari kunci utama pada kejayaan orkid bagi menghadapi pelbagai cabaran di sepanjang kehidupannya. Namun dari semua yang telah dibincangkan, ia masih belum cukup untuk memberikan jawapan, khususnya jika kita ingin bertanya kepada sesuatu yang lebih kompleks mengenai orkid, seperti- Apakah faktor utama yang menyebabkan sesuatu spesis itu diletakkan sebagai orkid? Kita telah pun mengetahui bagaimana besarnya bilangan spesis mereka di dalam dunia ini, mengetahui betapa ampuh dan bijaknya ia membuat berbagai penyesuaian bagi menyekutukan diri dengan habitatnya dan kita pun telah mengetahui yang wilayah kehidupan orkid menjangkau hampir di segenap pelusuk dunia. Tetapi yang nyata, soalan yang paling utama namun asas itu masih tetap tertinggal tanpa jawapan. Apakah yang membuatkan sesuatu pokok itu dipanggil orkid Bagi menjawab soalan ini serta meneruskan perbincangan, marilah kita memahami dahulu sedikit kenyataan mengenai salasilah awal tumbuhan orkid. Orkid sebenarnya tergolong secara umum di seluruh buana tumbuh-tumbuhan, sebagai herba di dalam suatu keluarga besar yang disebut Monocotyledonae atau monocots (kumpulan tumbuhan yang mempunyai satu cotyledon atau satu pucuk benih). Satu lagi kumpulan terbesar tumbuh-tumbuhan, dari hanya dua kumpulan ini, adalah Dwicotyledonae atau dicots atau ringkasnya yang mempunyai dua cotyledon. Tumbuhan dari kumpulan monocots tadi, yang termasuklah orkid, mempunyai ciriciri seperti urat daun yang selari, tidak mempunyai tisu cambium (sejenis tisu yang turut mengandungi sel-sel pengangkutan makanan serta perkumuhan), mempunyai sistem pemakanan samada dari jenis yang berselerak atau pun di dalam rantaian dua atau lebih, serta bahagian bunga yang berjumlah tiga. Di dalam kes-kes tertentu mungkin didapati empat atau lima bahagian bunga. Kumpulan ini turut mengandungi

59

keluarga herba lain seperti aroid, palma, rumput, amarilis serta lili. Di antara mereka, tiga keluarga terakhir itu digolongkan pula di dalam satu keluarga yang lebih besar lagi disebut Liliiflorae. Orkid berkemungkinan berada paling dekat dengan keluarga Liliiflorae ini, yang ia sendiri bagaimanapun, telah diletakkan dalam satu keluarga besar yang khas untuknya disebut Orchidales yang hanya dipecahkan pula kepada satu pecahan keluarga, Orchidaceae. Di antara kumpulan tumbuhan dalam keluarga lili, atau yang menyerupai lili, orkid muncul sebagai jenis yang paling cepat menerima perubahan dan membuat situasi penyesuaian sehingga penampilannya kerapkali memberikan imej tumbuhan yang lain pada sebahagian orang. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana orkid diketahui mempunyai kepelbagaian bentuk yang amat banyak yang sehingga kini masih lagi ditemui yang terbaru. Namun begitu, tidaklah dapat dikatakan semua orkid mengalami atau sentiasa melakukan penyesuaian. Dari fosil-fosil purba yang ditemui (selalunya cukup sukar untuk mendapatkan fosil pada organisme bertisu lembut seperti orkid), ada bukti menunjukkan orkid di zaman silam yang telah pun pupus seperti Protorchis dan Palaeorchis telah wujud di era Tertiari lagi, yang berakhir kira-kira 40 juta tahun dahulu. Kajian terhadap genera-genera orkid primitif yang taburannya menganjur dari seluruh kawasan tropika hingga merentasi lautan seperti Vanilla dan Corymborkis turut membuktikan yang orkid-orkid awal telah pun wujud sekurangkurangnya di awal era Tertiari lagi, sewaktu antara daratan di dunia masih belum terpisah jauh (teori hanyutan benua). Menurut John Lindley yang membuat komennya pada tahun 1858, Orkid akan muncul dalam pelbagai bentuk dan peubahan seperti seorang pelakon yang mahir. Walau apa pun perubahan serta penyesuaian yang di buat oleh orkid, ia tetap mengekalkan beberapa ciri tertentu yang dikongsinya secara menyeluruh dengan anggota lain di dalam keluarga besar Orchidaceae . Salah satu ciri utama yang mentafsirkan sesuatu pokok tersebut ialah orkid, adalah dari segi struktur bunganya. Disinilah, untuk seterusnya perbincangan ini, kita akan menemui jawapan kepada persoalan seperti di atas- Apakah yang membuatkan sesuatu pokok menjadi orkid Bunga orkid terbahagi kepada dua bahagian. Di bahagian luar terdiri dari tiga kelopak sepal dan di bahagian dalam terbentuk dari tiga kelopak petal. Di dalam genus tertentu seperti Paphiopedilum dan Dracula, orkid telah mengubahsuai susunan asas ini dengan memasukkan satu atau semua susunan sepalnya kepada satu kelopak sepal sahaja. Pada kebanyakkan orkid yang pula, ini tidak berlaku dan bahagian ini kekal terpisah. Lima dari keenam-enam kelopak orkid yang dipanggil sepal dan petal ini mempunyai bentuk serta warna yang serupa dan sekaligus mereka dikenali sebagai tepal. Bahagian keenam (sebenarnya adalah bahagian petal yang terbawah sekali), adalah berbeza dari

60

kelima-lima kelopak tadi, dari segi bentuk, saiz serta warnanya. Ia dikenali sebagai bibir atau labellum yang mana telah ia pun menjalani teknik pengubahsuaian tersendiri untuk menjadi landasan hinggap pada serangga-serangga pendebunga. Dari bahagian tengah bunga yang membawa hingga ke labellum, adalah satu saluran yang dikenali sebagai kolum atau coloumn. Di bahagian coloumn inilah letaknya stamen dan stigma orkid. Stamen terdiri dari gumpalan serbuk debunga yang terletak betulbetul dibawah tudung (anther cap) yang boleh dibuka oleh serangga pendebunga apabila ia menemuinya di atas saluran coloumn sebelum memasukinya. Berhadapan dengan pintu masuk saluran coloumn ini dan dibawah anther adalah satu bahagian lain di dinding coloumn berbentuk seperti paruh burung yang dipanggil rostellum. Ia berfungsi untuk menyikat keluar apa-apa debunga dari orkid lain yang dibawa masuk oleh serangga pendebunga dari belakang badan serta kepalanya. Debunga dari orkid lain yang tersikat keluar dari badan serangga pendebunga tadi akan jatuh dan melekat di dalam satu longkang kecil di bawah rostelatum oleh elemen melekit pada stigma. Jika ini telah berlaku dengan jayanya, maka satu proses mekanikal pendebungaan orkid pun, bolehlah dikatakan menjadi selesai.

Figure 19
Jika proses pendebungaan tersebut berhasil, kelopak sepal dan petal akan segera menjadi layu, mengering lalu akhirnya jatuh. Kecuali pada sebahagian spesis Lycaste, di mana pada satu pemerhatian yang di buat, telah menunjukkan bagaimana bahagian petalnya akan melipat ke dalam lalu menutup organ seksualnya seolah-olah mengisyaratkan Maaf, sudah cukup. Bahagian coloumn yang mengandungi debunga daripada hasil pendebungaan tadi, selanjutnya mulai membesar sementara debunga pula akan bergerak perlahan-lahan ke arah ovari yang terletak jauh di

61

bahagian bawah melalui laluan stigma yang melekit. Semasa debunga bergerak semakin ke bawah, setiap satunya juga akan mulai bertukar kepada bentuk yang bulat memanjang. Perjalanan turun kumpulan debunga ini adalah suatu perjalanan yang cukup jauh dan panjang. Misalan bagi hal yang sama, bolehlah disebut turut berlaku pada situasi persenyawaan sperma manusia yang mana ia perlu berenang pada satu jarak relatif yang cukup jauh bagi menuju ke rahim. Tangkai bunga orkid juga sebenarnya merupakan sebahagian dari organ pembiakan orkid, di mana di sinilah tersimpannya bahagian ovari. Disinilah satu lagi ciri utama yang telah dikenalpasti tidak berlaku pada tumbuhan lain, sekaligus telah membantu kita mengenalpasti samada sesuatu pokok itu adalah orkid atau tidak. Antara faktor yang menentukan kejayaan setiap proses pendebungaan orkid itu ialah, sejauh mana pengorbanan orkid menanti dirinya disunting oleh sang kumbang serta kreavitinya mempersembahkan bunga pada kumbang tersebut. Inilah satu hal yang menyebabkan bagaimana kita melihat orkid berubah, melakukan penyesuaian dan menghias penampilan bunganya khusus bagi menarik perhatian kumbang pendebunga. Biasanya bagi tujuan ini, orkid akan melakukannya antara lain dengan mengolah elemen pada warna bunganya, bau serta menjanjikan ganjaran madu pada mana-mana kumbang yang sudi menyentuhnya. Calon serangga atau pun kumbang yang telah tertarik pada orkid tadi, akan mendarat pada bibir atau labellum dan seterusnya akan bergerak menurut tanda arah yang telah disediakan oleh orkid padanya. Tanda arah ini biasanya akan terdiri daripada beberapa corak bergaris yang telah diadun dari paduan warna yang khas, rerambut halus, struktur sokongan atau mungkin dari binaan yang berliku-liku yang akhirnya akan mengarah terus ke bahagian tengah bunga. Sebaik tiba di situ, kumbang akan mendapati dirinya tersepit di antara bahagian coloumn dan bibir. Satu-satunya cara yang ada bagi melepaskan dirinya, hanyalah dengan bergerak mengundur atau merangkak keluar dari bunga tersebut. Pergerakkan kumbang samada ketika memasuki atau keluar dari bunga tadi, telah secara tidak langsung menyebabkannya membuka bahagian anther dan membawa keluar bersamanya debunga orkid yang akan terlekat di rerambut halus pada badannya kepada bunga yang lain. Banyak lagi variasi seumpamanya, yang telah di buat oleh orkid berasaskan kepada mekanisme ini sebagaimana banyaknya terdapat spesis orkid yang boleh ditemui di dunia ini. Seperkara yang tidak dapat dielak apabila kita membicarakan mengenai proses pendebungaan orkid, adalah faktor kesamaan yang ada padanya, yang turut juga terjadi ke atas manusia. Charles Darwin, yang namanya tidak perlu lagi diperkenalkan kepada semua, telah memanggil hal ini sebagai suatu kebijaksanaan oleh orkid. Apa yang telah berlaku dalam proses pendebungaan orkid daripada proses mengiklankan dirinya sehinggalah kepada mengubahsuai mekanisme pendaratan serangga, seterusnya mencipta helah tertentu sehingga debunganya dapat didebungakan, telah

62

disifatkan sebagai satu teknik yang sangat berkesan sekali. Satu daripada strategi utama yang digunapakai oleh orkid dalam hal ini, adalah dengan meniru sehabisnya seolaholah ia menjadi kumbang betina pada kumbang pendebunga jantan. Orkid akan menampilkan bunganya sebegitu rupa sehingga menjadikannya persis kumbang betina, dengan mengambil gaya, penampilan malah haruman tertentu kumbang betina. Genus yang berasal dari Eropah, Ophryssebagai contoh, mempunyai bunga yang kecil seakan baldu dan setiap satunya di buatkan khas bagi menarik serangga tertentu samada dari kalangan lebah, kumbang atau lalat pendebunga. Serangga pendebunga jantan yang lewat dikawasan bunga tersebut, akan merasakan yang mereka telah menemui sekumpulan pasangan betina yang sedang menanti kedatangan mereka untuk disunting. Tanpa berlengah si-jantan akan terus menerkam namun akhirnya mendapati ia tidak memperolehi satu apa pun. Hasil yang sebenarnya adalah, proses pendebungaan yang berjaya buat orkid namun sebaliknya, ia adalah satu pekerjaan yang sia-sia pada sang kumbang.

Figure 20 Ophrys insectifera


Di kawasan beriklim tropika dan sub-tropika, genus Bulbophyllum yang merupakan genus terbesar serta yang paling tinggi kepelbagaiannya dalam keluarga orkid, telah melakukan pendekatan yang lebih jauh, dengan tidak hanya setakat meniru imej serangga pendebunga betina. Terdapat sejumlah spesis dalam genus ini yang bukan

63

sahaja mempunyai bibir menyerupai serangga betina tetapi turut menambahbaikkan lagi struktur tersebut dengan menjadikannya bergoyang-goyang dengan lembut pada paksinya. Spesis dari Afrika pula, Bulbophyllum barbigerrum mempunyai bahagian bibir bunga yang dilitupi oleh bulu-bulu halus yang lembut berwarna kemerahan. Ini menjadikannya bergetar dalam tiupan angin sehingga seluruh kuntuman bunga pun akan ikut terbuai-buai. Pengaruhnya kemudian akan membuatkan kumbang jantan pendebunga merasa sungguh yakin bahawa kumbang betina ini memang sedang menungu-nunggu kedatangannya tanpa banyak soalan lagi. Benua Afrika juga turut menjadi tempat asal kepada satu lagi kumpulan orkid yang memastikan kelangsungan spesisnya dengan cara tipu-muslihat. Mereka telah lama melakukan satu bentuk penyesuaian yang tidak dalam bentuk menyerupai serangga betina, tetapi menyerupai spesis tumbuhan lain yang lebih diminati oleh serangga pendebunga. Selain menyerupai tumbuhan ini (biasanya dari kumpulan Irish ), orkid ini juga akan menyelinap masuk di antara kumpulan spesis ini lalu ikut tumbuh bersama mereka dan memperdayakan mana-mana kumbang yang kurang berhati-hati. Kumpulan orkid slipper ( Paphiopedilum, Phragmipedium, Cypripedium dan Selenipedium ) mempunyai cara yang lebih agresif dalam memastikan kejayaan pendebungaan spesisnya. Dalam kumpulan ini, bibir bunga mereka akan membentuk satu struktur seperti slipper atau kelonsong bekas yang terbalik di mana, pada pinggiran serta bahagian dalamnya mengandungi simpanan kimia tertentu yang membantu dalam menarik perhatian serangga pendebunga. Sebaik mendarat di bahagian bibir, serangga akan mendapati dirinya seperti ditarik ke dalam bibir yang seperti bekas berbentuk slipper itu, oleh kombinasi permukaan dalamnya yang licin serta bulu-bulu halus yang terdapat di situ. Apabila seterusnya ia terjatuh di bahagian dasar, satu-satunya cara yang ada bagi melepaskan diri, adalah dengan merangkak keluar melalui bahagian dalam bibir yang telah diubahsuai hingga menjadi berliku seperti lorong kecil atau seumpamanya. Sesudah ia merangkak dan tiba di pintu keluar, ia harus pula menolak gumpalan debunga yang telah tersedia di laluan tersebut. Ini akan menyebabkannya menjadi terperangkap seketika di situ sebelum berjaya terbang keluar dengan debunga orkid penuh melekat pada rererambut di badannya. Secara tidak langsung, kumbang tersebut dalam usahanya untuk melepaskan diri, akhirnya telah terpaksa melakukan pendebungaan bagi orkid tersebut Dalam genus yang dikenali sebagai orkid timba ( Coryanthes ) dari Amerika Selatan, bahagian bibir bunganya telah terbahagi kepada tiga bahagian. Pada bahagian dasar bibir tersebut, terdapat suatu struktur yang dipanggil hypochile yang berbentuk seperti bekas kecil tetapi terbalik. Dari sini, akan menganjur lalu membentuk pula struktur kedua yang dipanggil mesochile yang bentuknya menyerupai sebuah tiub

64

yang tidak begitu panjang. Di hujungnya yang terakhir adalah epichile yang memberikan orkid ini namanya iaitu struktur yang menyerupai sebuah timba. Serangga pendebunga akan mulanya merasa tertarik dengan sejenis haruman pada orkid ini lalu mendarat di atas bibirnya. Haruman tertentu orkid ini mengandungi pheromone, sejenis bahan kimia yang amat berguna pada serangga pendebunga untuk memikat pasangannya. Bagi mendapatkan bahan pheromone ini ia haruslah mengambilnya dengan memicit keluar pheromone yang tersimpan di hypochile dan mesochile. Serangga pendebunga akan melakukan hal ini dengan amat gelojoh sekali sehingga ia pun keletihan (atau mungkin kepeningan), lalu jatuh ke dalam struktur epichile yang seumpama timba tadi. Bagi melepaskan diri, ia perlulah merangkak keluar melalui pinggiran epichile yang strukturnya agak tebal, sekaligus menjadi jambatan padanya melepaskan diri. Laluan ini sebenarnya bersebelahan dan hampir selari dengan coloumn bunga, yang mana akan membuatkan serangga ini terpaksa melalui bahagian stigma yang melekit sifatnya itu. Di sinilah ia terpaksa meninggalkan apa-apa debunga yang dibawanya pada stigma, atau membawa keluar apa-apa debunga yang terdapat, untuk diserahkan pula kepada bunga yang seterusnya.

65

Figure 21 Coyanthes leucocorys


Terdapat pula sejenis orkid dari Tenggara Australia yang dinamakan Arthochilus irritabilis, bermaksud cepat marah dalam bahasa Melayu. Orkid ini didebungakan oleh sejenis lebah yang kerap-kali melihat dirinya tertipu pada bunga orkid yang bentuknya sangat mirip seperti pasangannya untuk mengawan. Apabila ia telah mendarat, barulah lebah ini menyedari yang ia telah memasuki sebuah perangkap yang disediakan khas untuknya. Bahagian bibir orkid ini, strukturnya seperti jerat yang cukup sensitif

66

pada sebarang sensasi gerakan. Ia berfungsi seperti papan jongkang-jongkit yang akan bergerak kebawah apabila terdapat lebah yang singgah di atasnya. Keadaan ini sertamerta menjadikan lebah bersama-sama dengan bibir terus memasuki ke dalam coloumn yang penuh dengan debunga orkid serta stigma. Akibatnya lebah tadi terpaksalah berhempas-pulas di dalamnya sebelum berjaya melepaskan dirinya lalu terbang keluar dengan badannya penuh bersalut debunga. Di Amerika Selatan, pada genus Catasetum, bahagian bibir bunganya terdapat seperti sebuah antena yang disambungkan terus ke coloumn oleh satu struktur yang amat sensitif pada gerakan, tetapi halus seperti rambut. Sebaik saja merasai getaran apabila serangga pendebunga mendarat di atas bibir, penyambung yang halus seperti rambut tadi akan terus membidas dan melepaskan sambungannya pada coloumn lantas membebaskannya. Hasil dari mekanisme refleksi yang sungguh ampuh ini, serta-merta menjadikan coloumn melepaskan segala gumpalan debunganya ke atas badan serangga yang akan terbang membawanya pergi kepada bunga yang lain. Contoh-contoh ini, adalah bagi menunjukkan bagaimana mustahaknya pergantungan orkid terhadap serangga pendebunga bagi membantunya melaksanakan setiap proses pendebungaan. Walaupun kerap-kali berhasil melalui teknik penyamaran dengan sedikit gabungan oleh kejuruteraan mekanikal, pergantungan atau perhubungan antara serangga pendebunga dan orkid tidaklah selalunya bersifat berat-sebelah.

67

Figure 22
Di dalam hutan di belantara Madagascar, terdapat sejenis spesis orkid yang menghasilkan bunga yang besar berwarna putih dengan kelopaknya tebal berkilat dan cukup harum di waktu malam. Nama jolokannya ialah orkid komet berdasarkan kepada bunganya yang mempunyai ekor yang panjang seperti komet. Nama saintifiknya adalah Angraecum sesquipedale yang dapat terus diterjemahkan ke bahasa Melayu bererti satu setengah. Dengan nama tersebut dapatlah diketahui dari mana ia mendapatkannya dan berapakah panjangnya ekor tersebut satu kaki setengah. Bahagian yang dikatakan ekor ini sebenarnya ialah berupa lebihan bunga berbentuk seperti sebuah tiub kecil yang yang panjang dengan simpanan manisan di bahagian hujungnya. Apabila Charles Darwin melihat orkid ini, beliau merumuskannya sebagai satu keajaiban evolusi.

68

Figure 23
Dengan saiz bunganya yang begitu besar, tidak syak lagi yang orkid ini memang khusus menggunakannya bagi menarik perhatian sejenis kumbang pendebunga yang besar. Namun dari keadaan ekornya yang mencapai sehingga satu setengah kaki panjang, saintis pun menjadi keliru kerana tidak ada kumbang yang sebegitu sifatnya yang dapat dikenalpasti mampu menyedut manisan yang disimpan jauh di penghujung ekornya yang panjang itu. Namun pada Charles Darwin, beliau sungguh yakin bahawa sejenis kumbang yang mampu berbuat demikian sudah pasti wujud. Sehinggalah berakhirnya kira-kira 40 tahun sesudah itu, barulah dijumpai sejenis kumbang yang mempunyai bahagian mulut yang cukup panjang dan mampu menghisap madu yang terletak 30 cm di hujung ekor orkid ini. Akhirnya setelah Darwin sendiri meninggal dunia, barulah teori beliau dapat disahkan benar lalu kumbang yang satu ini pun dinamakan Xanthopan morganii praedicta mengambil sempena satu ramalan yang akhirnya terbukti tepat oleh Darwin. Semuanya ini jelas bertitik-tolak dari satu inspirasi yang telah dicetuskan oleh orkid. Di dalam salah satu siri dokumentari oleh The National Geography Society, ada merakamkan dengan penuh dramatik detik ketibaan serangga ini yang tiba pada orkid tersebut dan melakukan sepertimana yang telah diramalkan oleh Darwin.

69

Bagi Charles Darwin sendiri, kajian beliau turut meliputi sejenis spesis, Dactylorhiza maculata, iaitu sejenis orkid yang mudah didapati behampiran dengan dengan kediamannya di Kent, England. Hasil dari pemerhatian yang di buatnya beliau mengirakan, jika terdapat dari setangkai bunga orkid yang setiap kuntumnya dapat menghasilkan 6200 biji benih dan jika semuanya dapat bercambah dan membesar, maka dalam jangkamasa 3 generasi sahaja, seluruh daratan dunia ini akan dipenuhi oleh anak-anak orkid dari spesis iti sahaja. Ini adalah telahan beliau berdasarkan kepada keunikan orkid yang dapat menghasilkan benih dengan jumlah yang amat besar sekali melebihi mana-mana tumbuhan yang lain. Dari sebiji kapsul benih sepanjang 12 cm, yang dihasilkan oleh orkid angsa (swan orkid), Cynoches chlorochilon, yang asalnya dari Venezuela sebagai contoh, boleh memberikan kira-kira 3.7 juta anak benih terkandung dalam kapsulnya. Henry Oakley menjelaskan kepada kita apa yang berlaku seterusnya apabila kapsul benih ini menjadi matang dan pecah ; Di dalam sebuah hutan kecil di Costa Rica, pada saat angin sedang bertiup lembut melenturkan dedaunan di atas pokok dan matahari pula sedang bersinar terang menembusi, kapsul benih Lycaste macrophylla pun mulai pecah. Di saat itu saya pun terpaku melihat berjuta-juta benih orkid berserakkan di ruang udara sehingga menukar cahaya matahari petang menjadi seperti sinar keemasan, lalu dengan penuh segala kelembutan ia pun jatuh kebawah seraya menutupi sekelian batu-batu, lumut, daun-daun kayu, di rambut dan pakaian yang saya pakai dengan debuan benihnya berwarna putih keperangan. Lalu apakah sebab yang menghalang telahan menakutkan oleh Darwin itu dari menjadi kenyataan? Bayangkan seisi dunia ini penuh diselimuti dari setiap penjuru oleh spesis-spesis orkid dari pelbagai bentuk dan rupa. Seperti yang kita telah maklum, orkid bukanlah tergolong dalam kumpulan tumbuhan yang sangat mudah bercambah sementara kemampuannya menghasilkan pertumbuhan pokok baru dari biji benihnya adalah cukup rendah sekali. Orkid dapatlah dikatakan amat jarang dijumpai dalam jumlah yang begitu banyak mendominasi di satu-satu kawasan. Ini seperti yang diketahui, kemampuan sebenar orkid bukan terletak dari segi jumlahnya, tetapi lebih tertumpu kepada tekniknya menyesuaikan diri dalam mengambil peluang yang wujud bagi mengatasi segala cabaran kehidupan di tempat tersebut. Orkid mulai bercambah apabila biji benihnya berjaya mendarat pada perumah yang memungkinkan kehidupannya di tempat itu. Ini bagaimanapun tidak pernah berlaku dengan sebegitu mudah bagi orkid. Tiap-tiap satu benih orkid sememangnya berkeupayaan khas untuk disebarkan pada keluasan yang amat besar bagi membantunya mencari perumah baru yang sesuai. Namun, daripada jutaan benih yang berupa debuan halus yang dikeluarkan dari induknya itu, hanyalah sebahagian kecil sahaja yang berjaya dicambahkan. Bagi mengambil risiko ini, setiap benih orkid itu mempunyai saiz yang amat kecil sekali- hanyalah kira-kira 5mm sahaja. Kebanyakkan

70

yang lain pula berada di lingkungan 0.3 0.5 mm sahaja. Inilah keupayaan khas orkid supaya benihnya dapat disebarkan sejauh yang mungkin oleh bantuan angin. Dengan saiz yang sebegitu kecil juga, orkid menambah peluangnya untuk mendarat pada satusatu perumah yang sesuai menjadi lebih tinggi. Namun biarpun ia telah selamat mendarat pada sesuatu perumah, terdapat satu lagi cabaran yang lebih besar menunggunya sebelum dapat bercambah menjadi orkid. Inilah satu cabaran yang paling sukar terpaksa ditempuhi setiap anak benih orkid kerana kejayaan mengatasinya hanyalah bergantung kepada nasib jika menyebelahinya. Secara semulajadi, sebahagian besar orkid tidak akan dapat mengatasinya sekaligus memberikan kekangan yang amat berkesan pada percambahan anak-anak orkid yang baru. Dalam hal ini secara tidak langsung ia membantu menyelamatkan seisi dunia ini dari menjadi penuh sesak oleh pokok-pokok orkid. Tidak seperti tumbuhan lain, benih orkid tidak mempunyai sebarang bekalan makanan untuk digunakan. Benih orkid hanyalah terdiri dari dari segumpal sel-sel embrio yang dikandung oleh satu lapisan tipis yang longgar serta rapuh sifatnya. Ia cukup naif dari segi persediaannya menempuh kehidupan ditambah lagi dengan ketiadaan sebarang sumber makanan untuknya. Sebahagian spesis bagaimanapun terkecuali, seperti orkidorkid primitif Vanilla dan Apostasia yang mempunyai lapisan luar yang lebih kuat dari yang lain, manakala bagi genus Chilochista pula, anak benihnya berupaya menumbuhkan sejenis cengkaman khusus yang memberikannya kemampuan untuk berpaut pada perumah. Bagi menjamin sumber makanan untuknya, orkid terpaksa menjalinkan suatu hubungan yang istimewa dengan sejenis kulat. Hubungan ini dikenali sebagai mycorrhizal symbiosis (daripada Greek, mykos-kulat, rhizon-akar), yang mana ia adalah sejenis perhubungan unik yang terjalin di antara kulat dengan akar pokok. Ini tidak hanya berlaku pada orkid sahaja tetapi turut juga dilakukan oleh sebahagian lagi spesis tumbuh-tumbuhan. Namun bagi orkid, hubungan ini cukup penting sekali dan adalah sesuatu yang paling mustahak dilakukan bagi memastikan kehidupannya. Hyphae atau sulur-sulur yang halus dari kulat mula-mula akan menembusi lapisan luar biji benih lalu memulakan percambahan orkid dengan memberi sel-sel embrio orkid makanan. Tidak seperti yang terjadi pada tumbuhan lain, embrio orkid tidak akan berubah bentuknya dan berpecah kepada bahagian pucuk, akar atau lain-lain bahagian. Ia hanyalah berbentuk segumpal sel yang awal (protocorm) yang hanya akan membesar dan menumbuhkan pucuk serta akar sendiri apabila cukup diberikan dengan makanan dari luar. Dengan proses percambahan yang terus berlaku, hyphae akan menjadi semakin merebak di dalam protocorm, seterusnya memecahkan jirim-jirim organik lalu membebaskan mineral-mineral tertentu yang bertindak sebagai makanan yang dapat diserap oleh sel protocorm. Apabila

71

protocorm semakin membesar dan seterusnya mampu melakukan fotosintesis sendiri, maka hubungan antaranya dan kulat pun berubah, kepada bentuk hubungan yang lebih kekal, yang mana ini akan terus berlangsung di sepanjang hayat orkid selama ia berada di situ. Orkid akan memberikan kepada kulat, gula yang dihasilkannya semasa proses fotosintesis, manakala kulat akan membalas dengan membekalkan mineral makanan kepada orkid, melebihi dari jumlah yang mampu diusahakan oleh akar orkid sendiri terutamanya di persekitaran yang tandus serta kekurangan makanan. Orkid, dalam caranya yang tersendiri mempunyai keazaman yang cukup tinggi untuk hidup dan menyebarkan spesisnya. Henry Oakley ketika berada di satu daerah yang berkabus di Sierra de la Minas, Guatemala telah mencatatkan sesuatu mengenainya dalam suatu peristiwa yang merujuk kepada benih Lycaste skinneri ; Sebaik digoyangkan kapsul benihnya di atas pokok, ia pun keluar berserakkan dan berterbangan di udara, ia tidak jatuh ke bawah namun hanya bergentayangan di dalam kabus., tidak saya melihat ia lebih berat atau lebih ringan dari kabus yang ada. Ia terus menari-nari di awangan yang senada dengan hembusan angin yang lembut ketika itu, sambil menunggu saat ketibaan angin yang seterusnya, yang akan membawanya pergi jauh dari situ, pada satu pertemuan yang intim dengan kulat simbiotik, bercambah dan memulakan satu lagi pusingan hidup orkid yang baru

____________________________ORCHIDS_____________________________

72

Anda mungkin juga menyukai