Anda di halaman 1dari 13

SENI PERSEMBAHAN TRADISIONAL SERANTAU DARI PERSPEKTIF ISLAM

Mohd Ramli Raman Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya

Nostalgia
Ketika saya masih dibangku sekolah sekitar tahun-tahun 1970an-1980an, daerah saya iaitu Kampung Selising, Pasir Puteh Kelantan, salah sebuah daerah negeri Serambi Mekah cukup terkenal dengan pondok-pondok pengajian agama. Pondok Tok Guru Hj.Mat Tok Dor tersohor dengan ilmu fiqh di samping ko-kurikulum berzanji,selawat, marhaban dan latihan memukul beduk besar bagi menandakan masuknya waktu solat, tanda ada kematian yang berbeza gaya paluannya untuk seorang kanak-kanak, orang tua pula berbeza antara lelaki dan perempuan, Pondok Tok Guru Hj Ya Padang Pak Omar selain mengajar ilmu fiqh,tersohor dengan ilmu tafsir hadis dan Al Quran. Pondok Tok Guru Hj Daud Bukit Abal berkembang pesat dalam ilmu tasawuf dan tarekat Ahmadiyah, Pondok Tok Guru Hj. Awang Padang Kedai Menanti, Pondok Permatang Gading, Pondok Hj. Nik Lie Berangan dan beberapa pondok lagi di sekitarnya. Tiap-tiap pondok pada dasarnya menggunakan sistem pengajaran tadah kitab kuning. Manakala muridnya pula bukan hanya terdiri dari penduduk tempatan. Malah dari seluruh pelusuk Asia Tenggara. Ada yang datang dari Champa, Orang Barat (istilah tradisional untuk masyarakat Melayu Selatan Thai), Brunei, Singapura, Indonesia dan sebagainya. Pada waktu yang sama juga tokoh-tokoh seperti Daud Bukit Abal dengan kumpulan dikir barat, Cik Som Kenangan seorang tokoh dan primadona Mak Yong (juga pelakon bangsawan),Kumpulan Mak Yong Sepiah Mat Dali, Rosnah Mat Noor dramatis asal Bukit Abal),Pak Chu Adam,Pak Su Derani,kedua-duanya adalah pengamal perubatan tradisional yang sering kali berbagih,main puteri dan macammacam prosesi perubatan mengikut penyakit berdasarkan amalan dan

*Dibentang di seminar Seni Persembahan Serantau Dari Perspektif Islam-Cabaran dan Harapan Anjuran Persatuan Penulis Pulau Pinang, dengan Kerjasama Kerajaan Pulau Pinang,DBP

keperluan pesakit. Ada bangsal buat gendang di Tualang Tinggi, buat gasing di Kampung Tualang Rendah dan bong tempa besi buat pisau parang di Kampung Bukit Tanah dan macam-macam lagi termasuk bangsal batik di Padang Pak Omar. Semua kampong yang disebut adalah di bawah penggawa Selising yang meliputi sekitar Sembilan belas kampong besar. Di Selising juga ada panggung wayang gambar milik orang Cina (Panggong Kiew) yang kebanyakan cerita yang ditayangkan adalah cerita-cerita Hindustan dan sekali sekala cerita-cerita Melayu. Ada semacam persetujuan antara ulamak dan para seniman. Setiap kegiatan seni harus bermula selepas solat isyak dan tidak ada kegiatan seni pada malam Jumaat serta pada hari-hari kebesaran Islam. Untuk menghormati masjid empat penjuru padang bola sepak yang menghadap masjid Selising dipasang tabir atau penghadang sementara yang tingginya sekitar sepuloh kaki tinggi dari guni gula. Di samping itu, penghadang ini penting bagi tujuan pungutan tiket persembahan. Di padang yang sama ada tayangan wayang gambar berkala dari Jabatan Pertanian, Jabatan Penerangan dan jabatan-jabatan lain bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Di Selising, persembahan kesenian juga dilakukan di padang sekolah,iaitu Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa yang bersebelahan dengan Pondok Tok Guru Hj.Mat Tok Dor dan di Padang Sekolah Menengah Bukit Jawa yang bersebelahan dengan Pondok Tok Guru Hj Ya Padang Pak Omar.Malah,toktok guru ini juga adalah ahli jawatankuasa PIBG di sekolah tersebut. Lebih jauh lagi, hampir seluruh rakyat negeri Serambi Mekah (Kelantan) ini tertunggu festival puja umor atau juga puja wori. Puja umor dan puja wori adalah sebutan masyarakat desa berhubung dengan hari ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan yang ketika itu jatuh pada bulan januari. Istilah ini kekal sehingga kini walaupun sultan kini hari ulang tahun keputeraannya jatuh pada bulan Mac. Pada waktu inilah segala seni persembahan dipersembahkan kepada rakyat jelata. Tradisi ini pernah tercatat dalan naskah Hikayat Seri Kelantan yang ditulis atau disalin sekitar tahun 1930an, diceritakan sewaktu pertabalan sultan, perkahwinan dan lain-lain lagi, istana Kelantan menyediakan hiburan untuk rakyat jelata dengan persembahan wayang kulit, menora, mak yong dan seumpamanya. Pada tahun 1936,Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan telah meluluskan Enakmen Hiburan 1936. Garis panduan telah menggariskan jenis, bentuk dan ciriciri hiburan yang dilarang dan dikawal di negeri tersebut.Persoalannya kenapa kompromi budaya ini boleh diwujudkan? Sebelum persoalan ini terjawab, perlu kita fahami konsep seni, budaya dan masyarakat, dan jenis seni persembahan tradisional samada di peringkat daerah (tempatan) mahupun di peringkat serantau, konsep seni dalam Islam dan seterusnya peranan ulamak dalam proses Islamisasi seni-seni persembahan Melayu.

Kesenian, Kebudayaan dan Masyarakat


Seperti bangsa-bangsa lain di dunia, masyarakat Melayu mempunyai bentuk keseniannya. Secara kasarnya kesenian terbahagi dua, iaitu seni rupa atau seni persembahan. Kedua-duanya melibatkan artifak dan mentifak yang lahir dari persekitaran hidup mereka seperti yang dikemukakan oleh Muhammad Hj. Salleh dalam Puitika Sastera Melayu (2000) mengatakan orang Melayu memanifestasikan alam dengan estetika dan puitika mereka yang bagaimana pengarang dari perspektif yang lebih luas yakni seorang tukang cerita, seorang bomoh, seorang dalang, penyanyi dan sebagainya adalah seorang pengarang. Sebagai pengarang dia menyusun,mengalih dan menurunkan alam persekitaran hidup serta pengalaman kepada karya seninya dengan perantaraan dirinya selayak kemampuan pentakrifan pengalaman,nilai-nilai intelektual, pandang dunia kolektif masyarakat dan agama yang dianutinya. Di sinilah terjadi titian di antara realiti yang zahir dengan yang batin (Syed Ahmad Jamal,1979). Bukanlah senang untuk memahami kesenian dan budaya Melayu. Ianya penuh dengan lambang-lambang dan sarat dengan makna pula. Setiap simbol atau lambang walaupun diambil dan diangkat dari flora,fauna dan anggota tubuh badan manusia itu sendiri memerlukan penelitian secara mendalam tentang makna yang tersurat dalam hasil seni yang terhasil atau pola-pola perlakuan dalam kehidupan mereka. Apatah lagi, masyarakat Melayu itu terus menerus terdedah dari sirkulasi dan difusi budaya sepanjang zaman. Dari zaman anamisme yang memuja semangat roh nenek moyang Sang Mak Hyang Tunggal, Sang Hyiang Widi, Mahataka, Muda Satene, Uis Afu dan lain-lain (Jakob Sumarjo:2002), berubah kepada dewa-dewa berdasarkan Mahabharata dan Ramayana di zaman Hindu-Budha lebih seribu tahun lamanya terutamanya di Jawa , telah sebati dan menjadi sebahagian pola hidup mereka terutamanya,pengalaman dan pengetahuan mereka lebih sempurna apabila Islam bertapak di Alam Melayu sekitar abad ke 11 atau lebih awal lagi, yang kemudiaanya apabila agama tersebut menjadi agama rasmi Melaka pada tahun 1414,Pasai lebih awal lagi iaitu 1295, Acheh 1400, Midanao tahun 1500 (Filipina), Thailand dan daerah-daerah lain di Indonesia. Walaupun Hindu-Budha membawa masuk sistem tulisan ke dalam budaya Melayu, namun sistem hiraki yang mutlak tidak memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat Melayu. Konsep aksara kawi atau sistem tulisan hanya terbatas di kalangan bangsawan istana sahaja. Warisan budaya dan kesenian di kalangan orang Melayu disampaikan secara lisan, dari mulut ke mulut dan dari satu generasi ke generasi berikutnya. Maka terjadi variasi-variasi tertentu dan berbagai pula dari satu kelompok dengan kelompok yang lain mengikut selera bangsanya. Namun demikian, secara dasarnya tidak terdapat perbezaan yang mencolok di antara satu kelompok yang lain, kerana seni dan kesenian yang lahir itu bertujuan untuk hiburan, sosialisasi, pendidikan dan pengajaran. Demi kelangsungannya ada aturan perlaksanaan iaitu pantang larang, petua-petua, ritual-ritual tertentu dengan

seperangkat barangan seperti benang mentah,pulut kuning,tembakau,sirih pinang, di samping mentera yang bervariasi sifatnya dengan seorang perantara yang disebut dukun, bomoh atau pawang. Ini semua bertujuan menenangkan alam yang bagi mereka tidak dapat dijelaskan secara akliah dalam menyatakan manifestasi kosmologi itu. Dari upacara inilah juga terhasilnya gerakan mimetik (peniruan) dari gerakan faunaflora seperi gerakan sulur kacang,lambaian daun kelapa,gerakan harimau dan sebagainya bagi menghubungkan dunia zahir dan dunia ghaib. Maka lahirlah kreativiti yang berterusan dari kasar kepada semakin halus dan gemalai. Kreativiti orang Melayu kini boleh digolongkan kepada dua kelompok, yakni seni tampak atau seni rupa dan seni persembahan yang melibatkan panggung dan kepanggungan. Berbicara tentang seni panggung atau seni persembahan adalah pembicaraan yang cukup rumit dan kompleks kerana di dalamnya terkandung segala macam seni termasuklah seni rupa, suara, seni muzik, seni suara dan nyanyian,lakonan dan pentas, solekan, kostum dan aksesori. Merungkai persoalan halal haram mengikut Islam memerlukan pengetahuan mendalam tentang sosiologi dan antropologi berhubung dengan masyarakat Melayu yang melibatkan pandang dunia, subjek kolektif,genre,adaptasi dan transformasi budaya,geopolitik dan geografisnya. Apatah lagi kefahaman Islam yang mendalam harus ada pada seseorang dalam menentukan kewujudan dan keberadaannya (eksistensialisme) tanpa memusnahkan apa yang dinamakannya Melayu. Selain dari itu, kita berdepan dengan penggiatnya yang terdiri dari rakyat biasa yang rendah taraf pendidikan dan rata-ratanya buta aksara dan rendah pengetahuan agamanya seperti yang pernah diungkap oleh Ninuk Kleden-Purbonegoro (2005)

Seni Rupa Tradisi Melayu 1. Seni ukiran dan tempaan Ukiran kayu: bahagian-bahagian bangunan seperti rumah,masjid dan panggung/pentas,peralatan rumah tangga seperti kukur kelapa,rehal,alatan pertanian iaitu tenggala, hulu dan sarung senjata seperti keris,perabut: almari,katil dan sebagainya, ukiran khat dan kawi. Tempaan dan ukiran logam: senjata seperti keris,tombak dan pedang,alat pertanian seperti cangkul,sabit dan parang,kapak beliung dan lain-lain lagi. Ukiran dan seni perhiasan emas, perak dan tembaga seperti gelang,pending,dokoh,subang dan juga peralatan dapur seperti dulang,cangkir,batil,periuk,kendi dan senduk. Ukiran dan pahatan batu: Batu bersurat, batu nisan,lesung dan batu giling, kelendan kubur, batu permata dll, khat,relif dan kawi

2. Seni tenun tekap Songket: Songket bunga penuh, songket bunga tabor Batik : batik cap dan batik lukis Limar: kain pua Serawak,batik limar, limar songet 3. Seni tembikar Labu sayung,pasu,seramik,tempayan,guri periuk dan batil. 4. Seni Aksara Tulisan khat/jawi Tulisan kawi/Jawa Kuno/palava 5. Seni lukis: Lukisan batik Lukisan motif pada bahagian bangunan Lukisan kaca pada bahagian bangunan seperti cermin tingkap dan pintu Lukisan pada kulit Lukisan pada kelir dan manuskrip

6. Seni kaca Susun atur kaca pada bangunan seperti rumah dan masjid 7. Seni anyaman Anyaman mengkuang/pandan: tikar,bakul,raga Anyaman rotan: bakul,tikar,dinding rumah Anyaman buluh: sasak,dinding,bakul,bidai,kelarai dan sebing Anyaman daun: ketupat,atap,bahagian bangunan dan pentas

Kepanggungan atau Seni Persembahan 1.Seni suara Cerita: penglipur lara,kaba,selampit,awang batil dll. Bersajak: nazam,syair,gurindam,pantun dan sesomba Berlagu: beduan/peduan,dondang,berendoi, mengaji Al Quran,nasyid,berzanji dan marhaban Bernyanyi: lagu-lagu ghazal,dikir barat,lagu asli, sinden dan indong serta lagu kanak-kanak.

2. Muzik Bergendang: gendang Pahang,beduk,kertuk,rebana ubi,kompang,gendang keling,rebana kercing dan gendang Serawak antara lainnya. Gamelan Cak lempung Lesung galang Palu buluh Ghazal Tetuang dan seruling

3. Tarian Asyik,joget,labi-labi, ulek mayang, wau bulan, kuda kepang, inai, zapin, barongan, jaipong dan sewang sekadar beberapa contoh.

Permainan Rakyat/Bela Diri 1. Silat Bela diri: Silat Gayung,Cekak Hanafi dll Hiburan: Silat tari, silat pulut 2. Main wau: wau bulan, wau ketuka (pari),wau barat 3. Congkak 4. Selambut 5. Gelek para 6. Galah panjang 7. Kundang kundi Seni Lakon atau Teater 1. Taridra/Drama tari Menora Mak Yong Mek Mulong Randai Gamelan 2. Patung Wayang kulit Wayang Gedek

3. Opera

Bangsawan Mendu Memanda, teater orang Banjar Kemidi Rudat teater Sasak/Lombok Lenong teater orang Betawi

orang

4. sketsa Hamdolok dan boria

Seni dan Islam


Sebelum memperkatakan seni persembahan tradisional Melayu serantau dari perspektif Islam, eloklah dilihat konsep seni dalam Islam. Menurut kisah dalam Al Quran (34:10-14) dikatakan Nabi Allah Daud merupakan insan yang pertama sekali menggunakan keindahan suara dengan iringan alat kecapi buat merasa dan meresapi keindahan alam sekeliling, iaitu yang disebut dalam bahasa filsafat, estetika. Estetika Nabi Daud merangkumi tiga perkara yang berkaitan dengan Allah. Pertama, jamal, iaitu keindahan, kedua,kamal, kesempurnaan dan ketiga,jalal,kemuliaan ( Engku Ibrahim Ismail & A. Ghani Shamsuddin 1992:5-6). Pengertian seni berdasarkan kisah-kisah Nabi Daud dalam Al Quran seharusnya seni yang berkaitan puji-pujian terhadap Allah yang jamal (keindahan), kamal (kesempurnaan) dan jalal (kemuliaan). Ianya juga bertitik tolak pada wahyu dan berasaskan prinsip ontologikal dan kosmologikal yang amat penting iaitu tawhid yang kebenarannya telah direalisasikan di dalam sejarah perkembangan Islam sendiri (Al-Attas 1978, S.H Nasr 1981). Di samping itu juga seni Islam yang meliputi pandangan yang menyeluruh dan jitu tentang Tuhan, alam atau kosmos, dan manusia dalam segala tingkah laku, pengucapan dan kreativiti seni. Enakmen 1936 yang diperbaharui menjadi Enakmen 1998 seni atau hiburan tertakluk kepada 13 perkara antara lainnya tidak melibatkan perempuan (cukup umur (akil balighmiring dari pengarang), lelaki yang menyerupai perempuan atau sebaliknya. Tidak mengandungi kepercayaan,ucapan, bacaan dan perbuatan yang berunsur syirik, kufur, keji, lucah, mencela, memaki, fitnah, maksiat dan yang bercanggah dengan akidah syariah dan tatasusila, tidak meleka daripada melaksana tanggungjawab terhadap Allah, diri sendiri, keluarga, masyarakat dan umum. Tidak mengandungi unsur-unsur penyiksaan kepada binatang-binatang atau memusnahkan tumbuhtumbuhan kecuali yang dihalalkan oleh Syariah Islam dan yang terakhirnya tidak mengandungi unsur sihir dan penipuan. Manakala Pendekatan Islam Hadhari melalui Penjelasan 10 Prinsip iaitu Perinsip Kelapan,iaitu Keutuhan Budaya Dan Moral,perkara 4.10 Kesenian yang

mengekalkan keaslian yang murni sambil sambil mencari manifestasi-manifestasi baru dan kreatif tanpa mengorbankan nilai-nilai atau bentuk-bentuk asli yang indah dan bermakna;tidak wujudnya penggiat seni yang hidup di luar batas-batas kesusilaan atau budaya yang beretika dan perkara 4.16 tidak bercanggah dengan dasar iman dan akhlak mulia serta menyerlah identiti positif sesuatu kaum. Hal yang cukup penting, di dalam dunia Islam tradisonal para sasterawan dan seniman mengamalkan displin-displin kerohanian seperti solat, puasa dan zikir dalam kehidupan sehari-harian dan dalam persiapan bagi kegiatan artistik mereka (Md. Salleh Yaapar 1992) seperti yang pernah dilakukan oleh Raji Haji sebelum beliau memulakan penulisannya Ya Tuhanku, berikan aku ayat-ayat yang mencerdikan bangsaku.(Mohd. Ramli Raman 1995). Secara dasarnya seni mengikut pengertian Islam harus bertolak dari konsep tawhid, berlandaskan wahyu, mendidik manusia menuju kebenaran, menolak kesesatan yang tidak menyekutukan Allah dengan makhluk yang lainnya, yang tidak bercanggah dengan akidah syariah dan terpentingnya ianya terhasil dari seorang seniman yang kuat imannya.

Permasalahan Seni Persembahan Tradisional dari Perspektif Islam


Permasalahan pertama: Mak Yung Mak Yung adalah teater tradisional yang telah wujud di Alam Melayu sekitar 500 tahun yang lalu. Dengan cerita-cerita seperti Dewa Muda, Dewa Pecil, Dewa Kesuma Daru/Sokmodaru, Dewa Lakling, Anak Raja Tangkai Hati, Anak Raja Gondang dan berpuluh lagi cerita yang lainnya. Pada dasarnya teater atau seni persembahan yang berhubung dengan kosmologi Melayu. Terdiri dari tiga unsur cerita: 1. Cerita-cerita Mak Yung 2. Cerita-cerita Wayang Kulit Melayu 3. Cerita-cerita dari Ramayana dan Mahabrata Cerita-cerita asli Mak Yung adalah cerita-cerita Dewa Muda, dewa Muda Lakling, Dewa Pecil dan Dewa Kesumadaru. Watak-watak ini adalah simbolisme asal usul kejadian manusia yang terjadi dari tiga lapisan kegelapan iaitu perut, uri, air dan di tengah-tengahnya adalah janin yang kemudian dilahirkan sebagai manusia. Janin yang dilahirkan sebagai anak akan disempurnakan dengan selayaknya, dimandikan (dibersihkan), dibuang tali pusat pemutus hubungan dengan uri,dibesarkan dengan penuh kasih sayang, disediakan segala keperluan secukupnya, maka ianya membesar sebagai Dewa Muda penuh dengan nafsu Ain Mujabah, rasa kagum terhadap

kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah. Kagum pada diri sendiri, terhadap kekayaan, kekacakan, kekuatan, kecerdikan dan segala-galanya sehingga hilang rasa syukurnya. Namun demikian dia di dampingi oleh dua Tok Wak Peran, yang tuanya Tok Wak Peran Tua Awang Sejambul Lebat dan Tok Peran Muda, adalah transformasi Semar-Turas dari dunia kayangan. Tok Wak Peran Tua Awang Sejambul Lebat adalah simbol atau lambang seorang tua yang sabar dalam segala perkara, ada perkiraan dosa pahala dalam tindakan, sejuk kepala dan cerdik orangnya. Bagi masyarakat Melayu orang yang berjambul (rambut ) lebat adalah orang yang berkepala dingin dan sesuailah dia menjadi pengasuh kepada Dewa Muda. Dia berjaya memujuk Dewa Muda naik ke negeri kayangan menggunakan wau Beremas berteraju 17, dua diikat di kepala, empat di dada,empat di pinggang, tiga di punggung, empat di kaki. Teraju 17 memberikan pengertian tentang rakaat dalam solat, dua rakat sembahyang subuh,yang menjadi kepala solat,empat di dada bererti empat rakaat sembahyang zohor dan seterusnya berakhir dengat empat rakaat sembahyang isyak. Kalau tali teraju yang dua itu putus maka tidak stabillah wau beremas yang dinaiki oleh Dewa Muda untuk menuju dunia kayangan, begitu jugalah dengan tali teraju yang lainnya. Ini merupakan manifestasi Islam bahawa solat adalah tiang agama. Hal ini merupakan proses islamisasi kesenian yang paling berjaya yang pernah dilakukan oleh ulamak terutama ulamak tempatan (sebagai local genius) (Mohd. Ramli raman 1995). Wau berteraju tiga yang dianggap transformasi dan adaptasi dari trisula Hindu diganti dengan filsafat dan kepercayaan terhadap Tuhan yang Maha Esa. Cerita Dewa Pecil pula adalah simbolisme kewujudan manusia yang diabstrakkan dari air ketuban yang tidak diperlaku sesuai dengan hakikat sebagai pengawal kepada janin. Sewaktu kelahiran bayi, air tersebut hanya tumpah ke tanah, secara tradisinya hanya ditabur dengan abu sahaja. Air inilah nanti menjadi watak Dewa Pecil (terasing/terbuang mengikut pengertian orang Kelantan). Dia membesar dalam keadaan daif, hina miskin-diusir keluar dari istana, ada tunangan dirampas orang,hidup terbuangdiusir dari istana, belan jalan belan nangis, belan jerik,dikejar ular katan tebu,jatuh guling batink dalam gaung,bikas bangun dihambak rimau bunting sulong.weweawe..ayah eeeeee,bonda eeeeee ( sambil berjalan sambil menangis,sambil meraung, dikejar ular ruas tebu,jatuh terguling banting dalam gaung, bingkas bangun dikejar harimau bunting sulong) (Pak Leh Selampit 1995)Akhirnya watak Dewa Pecil ini redha dan pasrah kepada Allah sang Pencipta alam. Cerita-cerita ini juga digunakan juga dalam persembahan Main Puteri, iaitu ethnotheraphy/psycotherapy masyarakat Melayu, suatu prosesi perubatan tradisi. Penolakan sesetengah ulamak terhadap persembahan Mak Yung dan Main Puteri dimungkin oleh beberapa perkara. Pertama para ulamak yang rata-ratanya tidak memahami simbol-simbol atau lambang-lambang yang terkandung di dalam persembahan tersebut dari segi tafsirnya,taksir,tamsil dan taakulan memberikan pandangan negatif tanpa masuk dan memahaminya. Faham agama tak semestinya faham budaya. Ini berbeza dengan Wali Sembilan (Wali Songo) dalam mengislamkan

tanah Jawa, menggunakan Wayang Kulit sebagai medium dakwahnya. Dalam soal ini Wali Songo telah mengubah dan menambah serta menukar watak-watak wayang yang sekitar empat ratus kepada melebihi sembilan ratus watak, dimasukan tokohtokoh Islam dan para wali. Meraka faham tentang fakta kemanusiaan, subjek kolektif, pandang dunia, pandangan dan penjelasan serta strukturasi seperti yang pernah dikemukakan Lucien Goldman (1987). Permasalahan Mentera Melayu Proses Islamisasi kesenian juga amat berjaya dalam mentera Melayu. Kepala mentera pada zaman awalnya lebih berupa pujaan terhadap kuasa ghaib seperti dewata mulia raya bertukar kepada pembacaan Bismillahirahmanirahim, diikut bacaan surah Al Fatihah dan diikuti Qulhuallahuahad dan diakhiri dengan selawat ke atas nabi Muhammad S.A.W dan lafaz dua khalimah sahadat. Bertolak dari rukun 13 solat, kewujudan manusia dibahagikan kepada empat bahagian. Pertama dari ibu empat perkara( urat,daging, tulang dan darah), dari bapa empat perkara (otak, benak, hati dan jantung) dari malaikat empat perkara(gerak, geri, rasa dan perisa) dan dari Tuhan satu perkara( Roh atau nyawa). Dalam mentera Melayu, perkara bapa amat ditekankan kerana di situ terletaknya pusat hati..asal usul kejadian manusia.empat puloh hari di rahim bapayang dikaitkan pula dengan konsep hati Al Quran Surah 15 Al Kaffi ayat 19 Wal yatalattaf ditandai dengan tulisan berwarna merah bold sifatnya yang membawa maksud: (dan) hendaklah ia berlaku dengan lemah lembut(UU Hamidy 1999). Walaupun pengislaman Mak Yung dan mentera Melayu ini dilakukan oleh Syiah dan ditolak oleh kelompok Ahli Sunah Waljamaah, bagi saya ianya suatu proses yang amat bermakna dan berkesan. Soal sunah-syiah cumalah politik dalam agama. Permasalahan Mendu Mendu adalah seni persembahan masyarakat Riau khususnya Riau kelautan iaitu berkembang di pulau tujuh Natuna Anambas di tengah laut China Selatan. Struktur lakonanan bermula dengan peranta iaitu muzik bertabuh berfungsi sebagai undangan kepada umum, diikuti dengan ladun, lagu tari pembukaan persembahan yang mana tariannya dalam bentuk bulatan,seterusnya hilang hikayat atau wayat pembukaan hikayat atau cerita Dewa Mendu dan diteruskan dengan lakonan serta diakhiri dengan beremas. Watak-wataknya terdiri dari Dewa Mendu, Raja Langkadura, Siti Mahdewi, Raja Laksamalik, selamat, Selabe dan Munggok, Nenek Kebayan dan Pendekar Bandan. Teater ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh teater takziyahwarisan peristiwa Karbala, pembunuhan cucunda Nabi Muhammad oleh tentera Yazid Ibnu Muawiyah. Gagasannya, apabila melihat tokoh atau watak atau tokoh-tokoh dalam persembahan Mendu, penonton disarankan untuk mengingati asal-usul agama dan kitabullah. Peperangan melawan orang kafir disajikan sebagai pertarungan di antara dua penganut, iaitu tokoh Islam (Raja Langkadura) dan orang kafir (Raja Laksemalik)

yang cuba menentang ketentuan Ilahi. Tema yang demikian dapat menanam pandangan hidup masyarakat dengan mitologi bahawa tokoh-tokoh jahat atau penguasa yang zalim akan dikalahkan oleh kebaikan dan akan mengalami kemusnahan. Manifestasi Dewa Mendu sebagai Imam Mahadi tokoh penyelamat amat berkesan dalam menyampaikan dakwah, telah ditukar dengan Isa Almasih oleh mubaligh Kristian. Adanya mitologi keagamaan ini akan mewarnai motif cerita sehingga menimbulkan unsur sakral, historis,feudal dan seumpamanya. Ini amat membimbangkan umat Islam di sana yang rata-ratanya miskin dan daif. Walaupun nama Mendu kedengaran akrab tetapi daya gunanya jelas sama sekali tidak wujud kepada kita. Apa lagi ditolak oleh ulamak kerana membawa ajaran sesat (syiah), warisan filosofi, peringkat artifak dan mentifak ini kita perlu menggali, menghidup, merekayasa (kreasi baru sesuai dengan dogmatic Islam) sesuai dengan hakikat zaman sesuai dengan lagu ladunnya:
Dengan Bismillah menanak nasi Kalau termentah dikepal jangan Dengan bismillah memulai lakon dan nyanyi Kalau tersalah dikesal jangan Ladunkah ladun bukan sebarang ladun Ladun dating dari barat Bukan lakon sebarang lakon Lakon tertuang di dalam surat Pohon cempedak tiga sejajar Ambil galah tolong jolokkan Kami budak baru belajar Jika tersalah tolong tunjukkan

Kesimpulan
Seni persembahan itu dinamik dan on going sifatnya dan sangat terbuka untuk dilakukan perubahan, penyesuaian dan kreasi baru. Dalam apa keadaan sekali para ulamak kini harus peka bahawa proses islamisasi seni persembahan tradisional Melayu perlu diteruskan kerana di situlah letak duduknya identity Melayu dan Kemelayuan, di situ juga adanya citra Keilahian, keperihatinan umat bangsa agar Melayu tetap Melayu, bukan Arab, Bukan Barat. Ianya menjadi garis rindu antara makhluk dengan penciptanya yakni Allah Subhanahuwataala. Wallahualambissawab. Rujukan Al-Attas, Syed Muhammad Al-Naquib 1970. The Mysticium of Hamzah Fansuri, Kuala Lumpur: Universiti Malaya Press

-------------------------------------------------- 1972.Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. El-Muhamaddy, Muhammad Uthman 1977.Memahami Islam:Insan,Ilmu dan Kebudayaan.Kota Bharu: Pustaka Aman Press. Emha Ainun Najib.1995.Budaya Tandang.Yogyakarta: Pustaka Pelajar Enakmen Hiburan 1998, Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan, Pejabat SU Kerajaan Negeri Kelantan: 19 Mac 2003. Engku Ibrahim Ismail dkk 1992.Konsep Seni Dalam Islam Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya Jakob Sumarjo 2002.Arkeologi Budaya Indonesia.Yogyakarta: Penerbit Qalam Mohd Ramli Raman 1995 Sejarah Perkembangan Mendu Di Alam Melayu dlm Sejarah Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya no.3/1994-1995 Md Salleh Yaapar 1992. Kosmologi Dan Seni Sastera Islam,Kosmologi Melayu Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. --------------------------- 2006-Raksi Keris Prosiding Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 8-9 November 2006, Akademi Pengajian Melayu U. Malaya. Rahmat Subagya 1995. KepercayaanDan Agama. Yogyakarta: Penerbit Kanisius.

Anda mungkin juga menyukai