Anda di halaman 1dari 13

Bagaimanakah interaksi berpasangan dapat menyokong dan memperkembangkan pembelajaran Ukuran di kalangan murid sekolah rendah?

Pendahuluan

Interaksi berpasangan merupakan salah satu strategi pembelajaran berpusatkan murid. Steedly et al. (2008), mendefinisikan interaksi berpasangan sebagai pendekatan yang melibatkan pelajar secara berpasangan bersama-sama untuk belajar atau melakukan tugasan akademik. Charles dan Marisa (2008) pula menjelaskan pelajar dipasangkan sebagai jurulatih dan pemain dan peranan mereka bertukar mengikut perubahan aktiviti dan pelajar dikehendaki untuk bekerja dalam pelbagai kemahiran. Daripada definisi ini, interaksi berpasangan perlu diketengahkan sebagai salah satu kaedah pembelajaran Matematik kerana pengajaran Matematik perlu memberi peluang kepada pelajar untuk mencari pengetahuan baru dan mengamalkan apa yang telah mereka pelajari bagi menghubungkaitkan Matematik dengan mata pelajaran lain dan juga dengan dunia di luar sekolah (Roj-Lindberg, n.d). Justeru, interaksi berpasangan penting dalam menggalakkan pembelajaran secara aktif, meningkatkan kefahaman murid terhadap konsep Matematik dan membina motivasi murid.

Menggalakkan pembelajaran secara aktif

Pembelajaran secara aktif didefinisikan sebagai kaedah pengajaran yang melibatkan murid dalam proses pembelajaran (Prince, 2004). Saya telah mencipta struktur interaksi berpasangan yang dikenali sebagai Upin & Ipin di mana murid akan bekerja bersama pasangan masing-masing yang dilabelkan sebagai Upin dan Ipin dan struktur ini digunakan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan kaedah ini beserta watak kartun yang dikenali murid dalam pengajaran dapat menarik minat murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran Matematik.

Menurut Liu et al. (2009), perbincangan dan interaksi berpasangan dilihat memudahkan pembelajaran kolaboratif. Daripada struktur saya, Upin dan Ipin perlu saling bergantung antara satu sama lain untuk menyelesaikan masalah yang diberi. Melalui pengalaman saya mengajar topik penambahan dan penolakan jisim, saya menggunakan soalan yang berbentuk penyelesaian masalah (word problem). Berdasarkan pemerhatian saya, murid kelihatan keliru untuk menggunakan operasi yang betul dan mereka saling berbincang serta membantu pasangan masing-masing bagi menyelesaikan masalah ini. Hasilnya, setiap pasangan dapat menjawab soalan dengan betul.

Selain itu, interaksi berpasangan ini membantu murid yang lemah mempelajari sesuatu kemahiran daripada pasangannya melalui perbincangan. Kaedah ini

membolehkan murid yang lemah turut terlibat secara aktif dan tidak terasa terpinggir. Semasa pelaksanaan aktiviti berpasangan, saya dapat melibat murid yang lemah berkolaborasi dengan pasangannya bagi mendapatkan cara penyelesaian soalan. Pasangan murid yang lemah ini akan mengajar cara mendapatkan jawapan dan melakukan pengiraan bersama-sama. Keadaan ini turut dinyatakan di dalam artikel daripada National Education Association (2002-2011), tutor rakan sebaya adalah satu cara yang bermanfaat kepada pelajar untuk belajar dari satu sama lain di dalam kelas.

Jika dibanding antara interaksi berpasangan dengan interaksi berkumpulan, penglibatan murid secara aktif dan menyeluruh dapat dilihat melalui interaksi berpasangan. Menurut Guillaume (2008) yang menyatakan bahawa kumpulan kecil memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi manakala secara berpasangan, pelajar dapat memaksimumkan interaksi mereka. Melalui pengalaman saya di institusi, sewaktu aktiviti perbincangan dalam kumpulan kecil saya memainkan peranan yang pasif dan lebih memberi peluang kepada rakan-rakan untuk bercakap. Peranan saya bertukar apabila aktiviti berpasangan dilakukan. Saya secara automatik melibatkan diri dalam tugasan yang diberikan sama ada perbincangan mahu pun tugasan akademik.

Walau bagaimanapun,

terdapat juga pasangan yang tidak melibatkan diri

mereka secara aktif dalam aktiviti berpasangan ini. Saya mengharapkan berlakunya interaksi dalam pasangan ketika aktiviti dijalankan tetapi hampa. Contohnya, saya meminta setiap pasangan menggunakan mini whiteboard untuk menyelesaikan

masalah. Upin dan Ipin perlu menyelesaikan masalah mengikut giliran dan saling membantu jika timbul masalah. Daripada pemerhatian saya, Upin menyelesaikan satu soalan, kemudian memadamkannya semula dan menyerahkan mini whiteboard kepada Ipin untuk menyelesaikan soalan yang seterusnya. Situasi ini menunjukkan tiada interaksi dan kolaborasi yang berlaku antara pasangan.

Secara kesimpulannya, interaksi berpasangan dapat menggalakkan murid melibatkan diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana murid saling berinteraksi melalui perbincangan, tunjuk ajar dan saling berkolaborasi untuk menyelesaikan masalah.

Meningkatkan kefahaman murid terhadap konsep matematik

Selain latihan pengukuhan, murid dapat meningkatkan kefahaman mereka terhadap konsep Matematik melalui interaksi berpasangan. Menurut Amin Senin (1993), murid lebih banyak memperoleh pengetahuannya bukan daripada

pengajaran tetapi pengalaman pertama mereka. Saya menyokong penyataan ini kerana melalui interaksi berpasangan, murid menimba pengalaman menyelesaikan masalah bersama rakan. Mereka lebih banyak belajar daripada pengalaman mereka bersama rakan berbanding guru. Melalui pemerhatian saya ketika aktiviti pengukuhan, saya tertarik untuk melihat hasil kerja salah seorang murid yang lemah. Daripada sepuluh soalan yang diberikan, hampir empat soalan yang betul. Apabila ditanya murid tersebut, dia menyatakan bahawa soalan yang betul ini hampir sama dengan soalan yang telah diajar oleh pasangannya ketika aktiviti berpasangan sebelum ini.

Di samping itu, struktur Upin & Ipin ini dapat meningkatkan kefahaman murid terhadap konsep Matematik yang diajar berbanding kerja individu. Ini kerana wujudnya proses berkolaborasi antara pasangan. Liu et al. (2009) menyatakan bahawa pembelajaran kolaboratif menggalakkan pelajar untuk berkongsi

pengalaman pembelajaran, menggunakan bahan pengajaran untuk membantu yang lain dan berkongsi kejayaan pembelajaran. Sebagai contoh, ketika Upin sedang melaksanakan tugasan, Ipin bertindak sebagai tutor di mana dia akan memerhati kerja Upin, membantu Upin menyelesaikan masalah jika Upin tidak dapat menyelesaikannya serta mengajar dan menjelaskan kepada Upin cara

penyelesaian masalah tersebut. Peranan ini akan bertukar pada pusingan kedua di mana Upin pula yang akan bertindak sebagai tutor. Melalui kaedah ini, Upin dan Ipin belajar bersama-sama dan konsep Matematik yang disampaikan dapat diterima dengan lebih mudah. Hasilnya, Upin dan Ipin berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap isi pengajaran guru.

Namun demikian, masalah timbul apabila murid yang lemah membentuk satu interaksi berpasangan. Daripada pengalaman saya melaksanakan struktur Upin & Ipin, saya memberi kebebasan kepada murid untuk memilih pasangan masingmasing dan mereka lebih gemar bekerja bersama rakan baik. Kesannya, terdapat pasangan yang terdiri daripada dua orang murid yang lemah. Kejayaan interaksi berpasangan ini tidak dapat dilihat pada pasangan ini kerana pemindahan pengetahuan dan konsep tidak berlaku antara mereka. Mereka tidak dapat menguasai konsep Matematik yang telah diajar oleh guru dengan baik. Daripada pemerhatian saya, pasangan ini tidak dapat menyelesaikan kesemua soalan dengan betul. Bagi mengelakkan keadaan ini berterusan, saya menukar salah seorang daripada mereka dengan pasangan yang terdiri daripada dua orang murid pandai. Tugas murid pandai ini ialah membimbing murid lemah yang baru ditukarkan. Hasilnya, murid lemah ini dapat menguasai konsep penambahan jisim dengan baik walaupun masih memerlukan bimbingan berterusan. Kunsch, Jitendra & Sood telah menyatakan bahawa tunjuk ajar rakan sebaya lebih berkesan apabila pelajar daripada tahap keupayaan yang berbeza bekerja bersama-sama (National Education Association, 2002-2011).

Secara kesimpulannya, interaksi berpasangan memberi peluang kepada murid membina pengetahuan mereka sendiri serta membantu mereka memahami konsep Matematik dengan lebih baik melalui bimbingan, perbincangan dan berkolaborasi dengan pasangan masing-masing.

Membina motivasi murid

Membina motivasi murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran Matematik amat penting supaya murid itu mempunyai minat yang mendalam untuk belajar. Menurut Rui (2004), suasana pembelajaran yang aktif dan menarik dapat meningkatkan motivasi pelajar serta pembelajaran mereka. Salah satu cara untuk mewujudkan pembelajaran secara aktif ialah melalui interaksi berpasangan.

Menurut Shirk dalam Sert (n.d), berkolaborasi meningkatkan motivasi dan pembelajaran kerana ia menyediakan pengalaman untuk menyelesaikan masalah. Berdasarkan struktur Upin & Ipin, tujuan utama penstrukturan sistem ini adalah bagi menggalakkan penglibatan murid dalam pembelajaran melalui perbincangan dan kolaborasi antara pasangan. Melalui pengalaman saya ketika melaksanakan struktur ini, walaupun murid menjawab soalan mengikut giliran tetapi mereka sentiasa berbincang dan saling menolong antara satu sama lain bagi mendapatkan jawapan yang tepat. Keadaan ini berlaku kerana setiap pasangan dilihat saling bersaing untuk mendapatkan jawapan dengan cepat dan betul. Melalui pemerhatian saya, murid yang lemah sentiasa dibantu oleh pasangannya yang lebih pandai dan mereka kelihatan seronok untuk menyelesaikan masalah bersama-sama. Galakan dan bimbingan daripada pasangan membuatkan murid yang lemah ini lebih berkeyakinan untuk menjawab soalan yang diberikan. Buktinya, ketika saya bertanya siapa yang ingin menunjukkan jawapan, salah seorang murid yang sangat lemah keluar ke depan dan menunjukkan pengiraan tanpa rasa malu. Justeru, jelaslah bahawa

interaksi berpasangan mampu membina motivasi murid terutamanya kepada murid yang lemah pencapaiannya.

Dalam masa yang sama, melalui interaksi berpasangan murid lebih berkeyakinan untuk meluahkan pendapat dan berkongsi kemahiran Matematik antara satu sama lain. Selain menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, murid akan lebih menghargai waktu pembelajaran mereka. Hasilnya, murid lebih bermotivasi untuk belajar dan berjaya. Hal ini disokong Noraini Idris (2005) bahawa jika murid yakin mereka berupaya meluahkan pandangan ketika proses pengajaran dan pembelajaran maka hal ini menyebabkan apa yang dipelajari lebih bermakna dan sudah tentu memantapkan pengetahuan seterusnya meningkatkan pencapaian mereka.

Imbas kembali kepada sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan, murid bersama pasangan masing-masing perlu mengenal pasti operasi yang tepat yang perlu digunakan untuk menjawab soalan yang telah diberikan. Saya akan memilih secara rawak beberapa pasangan untuk menjelaskan kenapa operasi tersebut digunakan. Pasangan yang dipilih akan memainkan peranan sebagai guru dan mereka akan menunjukkan serta menjelaskan cara penyelesaian yang dibuat. Jika kesemua murid yang lain berpuas hati dengan jawapan yang dibentangkan oleh pasangan ini tadi, mereka akan menyebut Betul, betul,betul dengan nada seperti animasi Upin dan Ipin. Melalui aktiviti ini, murid bukan sekadar dapat membina keyakinan diri mereka, malah mereka akan berasa lebih seronok dengan peneguhan yang telah diberikan oleh rakan-rakan yang lain.

Oleh itu, motivasi memainkan peranan yang penting dalam proses memperkembangkan pembelajaran murid dalam bilik darjah. Selain membantu murid meningkatkan keyakinan diri, motivasi murid yang tinggi untuk belajar membantu guru mencapai objektif pembelajaran.

10

Kesimpulan

Menurut Pound (2008), Matematik bukan tentang nombor tetapi berkaitan dengan kehidupan. Saya sokong dengan Pound kerana pembelajaran Matematik di dalam kelas merupakan latihan yang akan diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kegagalan murid menguasai sesuatu konsep Matematik menyebabkan murid tidak dapat mengaplikasi apa yang telah dipelajari dalam kehidupan seharian.

Justeru, dalam usaha meningkatkan pencapaian Matematik dalam kalangan murid, guru bertanggungjawab membina satu suasana pembelajaran yang menarik dan bermakna kepada murid seperti interaksi berpasangan ini supaya murid akan lebih menghargai sesi pembelajaran mereka dan dapat menguasai segala konsep dan kemahiran Matematik yang telah diajar. Hasilnya, murid dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian mereka.

(1554 Patah perkataan)

11

Rujukan

Amin Senin. (1993). Memahami Matematik prasekolah dan sekolah rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Charles, A.H. & Marisa, A.M. (2008, January). Research based strategies for special needs students: Peer assisted learning strategies. Diakses pada September 10, 2011 daripada Ed Peer

http://www.psea.org/uploadedFiles/TeachingandLearning/Special Learning Strategies.pdf

Guillaume, A.M. (2008). K-12 Classroom teaching: A primer for new professionals Third Edition. New Jersey: Pearson Education, Inc. Liu, C.C., Chung, C.W., Chen, N.S., & Liu, B.J. (2009). Analysis of peer interaction in learning activities with personal handhelds and shared displays. Diakses pada September 11, 2011 daripada http://www.ifets.info/journals/12_3/12.pdf National Education Association (2002-2011). Research spotlight on peer tutoring. Diakses pada September 10, 2011 daripada

http://www.nea.org/tools/35542.htm Noraini Idris. (2005). Pedagogi dalam pendidikan matematik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd. Pound, L. (2008). Thinking and learning about Mathematics in the early years. Newyork: Raoutledge.

12

Prince, M. (2004). Does active learning work? A review of the research. Diakses pada September 9, 2011 daripada

http://citeseerx.ist.psu.edu/viewdoc/download?doi=10.1.1.167.6544&rep=rep1 &type=pdf Roj-Lindberg, A.S. (n.d). Active learning of Mathematics. Diakses pada September 10, 2011 daripada http://www.vasa.abo.fi/users/aroj/Active learning of

mathematics.pdf Rui, Tao. (2004). How can I improve my students motivation so they can improve their learning?. Diakses pada September 13, 2011 daripada

http://www.actionresearch.net/living/moira/taoruiardr.htm Sert, O. (n.d). Comparative analysis of pairwork and individual assignments in two ELT classes. Diakses pada September 13, 2011 daripada

http://www.jllonline.co.uk/journal/jllearn/3_2/sert.pdf Steedly, K., et.al (2008). Effective Mathematics Instruction. Diakses pada September 10, 2011 daripada http://nichcy.org/research/ee/math

13

Anda mungkin juga menyukai