Anda di halaman 1dari 5

JUSTIFIKASI

Sebelum memulakan pengajaran guru akan menggunakan kiu masa untuk menunjukkan
bahawa pengajaran akan bermula. Hal ini adalah bagi memastikan murid Autisme khususnya
memberikan perhatian sebelum sebarang aktiviti dimulakan. Seterusnya bagi melancarkan
proses transisi aktiviti kiu masa juga akan digunakan. Hal ini bertujuan memberikan kesediaan
kepada murid Autisme apabila wujud transisi aktiviti.

Set Induksi

– Demonstrasi Oleh Murid Dengan Bimbingan Guru.

Kaedah tunjuk cara atau demostrasi adalah satu kaedah. Kaedah ini memerlukan penglibatan
kedua – dua pihak iaitu guru dan pelajar melalui pengajaran yang disampaikan secara
praktikal. Pemilihan kaedah demostrasi adalah disebabkan kaedah ini melihat kepada
keupayaan murid untuk mengingat adalah lebih baik jika mereka membuat sesuatu sendiri
berbanding dengan apa yang mereka dengar atau lihat (Farah Husna, 2016). Jika difokuskan
kepada murid MBK sendiri iaitu Autisme, mereka memerlukan kemahiran sensori, oleh itu
aktiviti yang mengunakan deria pedengaran, penglihatan dan kemahiran motor halus dan
kasar amat membantu. Tambahan lagi, murid MBK sukar untuk menumpukan perhatian
dalam satu jangka masa yang agak panjang, maka aktiviti yang melibatkan murid untuk
bercakap dan bergerak melakukan aktiviti sudah semestinya dapat menghasilkan
pembelajaran yang bermakna. Tambahan lagi, aktiviti ini akan dijalankan dengan bimbingan
oleh guru, hal ini adalah bagi memastikan murid mempunyai haluan yang betul dalam topik
yang akan diajar pada hari tersebut. Seterusnya, ia juga dapat menarik minat murid kerana
mereka berpeluang untuk mencuba sendiri aktiviti yang dijalankan. Hal ini secara tidak
langsung menggalakkan penglibatan aktif Murid MBK khususnya. Disini juga, guru
memainkan peranan penting dala menerangkan dan mengingatkan murid tentang aspek
penting yang perlu diberikan perhatian. Sebagai contoh, apabila aktiviti selesai dijalankan,
guru meminta murid melihat apa perubahan yang berlaku, adakah jumlah penutup botol
meningkat atau tidak, apakah simbol matematik yang terlibat apakah yang dapat kamu
rumuskan. Guru juga menerangkan konsep di akhir kaedah demostrasi oleh murid. Hal ini
adalah bagi mengelakkan miskonsepsi berlaku dalam kalangan muirid. Tambahan lagi, aktiviti
ini tidak hanya tertumpu kepada alatan yang digunakan bahkan wujud soalan jawab antara
guru dan murid mengenai proses penambahan yang berlaku.
Imaginasi

Penggunaan kaedah manipulatif

Bahan manipulatif adalah kunci penting kepada pengajaran dan pembelajaran kepada kanak
– kanak. Menurut Heddens (2005), bahan manipulatif ialah model konkrit yang melibatkan
konsep matematik dan mampu menarik minat kanak – kanak. Tambahan lagi, kegunaan
bahan manipulatif mampu memberikan pengalaman yang sebenar dan menghasilkan
pembelajaran yang kekal (Van de Walle Karp dan Bay Williams, 2015). Oleh itu, penggunaan
blok kayu berwarna telah digunakan bagi membantu murid untuk membuat penambahan.
Aktiviti ini dimulakan dengan guru menunjukkan gambar rajah, hal ini kerana penggunaan
gambar rajah adalah lebih baik daripada menggunakan soalan dalam bentuk lazim.
Penggunaan gambar rajah yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan warna dapat menarik
perhatian murid untuk kekal dalam proses pembelajaran. Jika dilihat kepada ciri – ciri murid
MBK yang dipilih dapat dikenal pasti bahawa murid ini sukakan bahan – bahan yang
berbentuk visual, maka penggunaan kad gambar boleh menarik minat mereka untuk
melibatkan diri dalam proses pembelajaran. Seterusnya, cara untuk mendapatkan jawapan
adalah melalui penggunaan bahan konkrit yang dinamakan Blok Kayu Berwarna. Pemilihan
blok kayu dalam pembelajaran murid Autisme adalah bagi membolehkan murid ini untuk
menggunakan kemahiran motor kasar dan halusnya bagi mencari nilai kepada jumlah antara
dua nombor. Aktiviti ini membolehkan murid untuk melihat jarak sebenar atau jumlah sebenar
sesuatu nilai. Hal ini kerana panjang blok adalah berbeza- berbeza mengikut nilai. Nilai setiap
blok 1 adalah 1 inci manakala blok 2 adalah 2 inci dan seterusnya. Jumlah perbezaan antara
blok adalah konsisten hal ini membolehkan murid melihat dengan lebih jelas. Berbeza dengan
murid perdana yang menggunakan gambar rajah dalam menyelesaikan tugasan Aktiviti
menggunakan gambar rajah semata – mata tidak mencukupi buat murid Autism kerana
pembelajaran mereka perlu melibatkan kemahiran sensori yang pelbagai (Murnie Hassan,
2013).

Objektif

Pemilihan objektif yang perlu dicapai bagi setiap kumpulan juga adalah berbeza, hal ini kerana
tahap kognitif murid autism yang dikaji adalah kurang sedikit berbanding murid tipikal di kelas,
namun ini tidak menghalangnya untuk turut berada di kelas, guru memainkan peranan penting
dalam mengubahsuai kurikulum mengikut keperluan murid itu sendiri. Oleh itu, objektif murid
inklusif adalah lebih kepada untuk mengatasi kelemahan murid tersebut iaitu penambahan 2
nombor dalam lingkungan 1-10. Rakan – rakan yang lain akan meneruskan pembelajaran
penambahan nombor dalam lingkungan 1-20. Namun begitu, kedua – dua objektif ini masih
merujuk kepada standard pembelajaran yang sama.
Perkembangan

Aktiviti berkumpulan

Beberapa kaedah daripada Model Sosial seperti pembelajaran koperatif turut dimasukkan di
fasa perkembangan melalui aktiviti berkumpulan. Pada fasa perkembangan, strategi koperatif
diwujudkan di antara murid inklusif dan murid aliran perdana. 5 asas kepada pembelajaran
kooperatif termasuklah saling bergantung antara satu sama lain, saling berinteraksi secara
bersemuka, akautabiliti individu atas pembelajaran kendiri, kemahiran koperatif dan
pemprosesan kumpulan. Dalam aktiviti yang dirancang semasa di fasa perkembangan iaitu
murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan dimana murid inklusif bercampur dengan
murid – murid lain. Hal ini adalah bagi memastikan berlaku interaksi antara murid inklusif dan
murid perdana. Jika murid inklusif terus dibiarkan membuat aktiviti bersendirian, nescaya dia
mungkin akan berasa tidak seronok untuk belajar yang akhirnya akan menganggu proses
pembelajarannya. Tambahan lagi, intervensi untuk murid autism ini salah satunya adalah
mewujudkan buddy system. Sistem ini merupakan satu proses dimana guru melantik murid
tipikal menjadi pasangan belajar atau pembimbing rakan sebaya semasa aktiviti berkumpulan
ataupun individu (Lee Keok Cheong dan Sailajah Nair Sukumaran, 2018). Berdasarkan
analisis yang dijalankan ke atas murid ini, dia adalah seorang murid yang kurang bercakap
dan hanya akan bercakap apabila ditanya soalan di samping dia tidak mempunyai teman baik
dan sentiasa berseorangan. Oleh itu, dengan adanya sistem buddy semasa menjalankan
aktiviti kumpulan ia dapat menggalakkan interaksi dan penglibatan murid di dalam
perbincangan atau tugasan. Intervensi seterusnya yang dapat kita laksanakan termasuklah
menjalankan pembentangan dimana murid Autisme ini akan mempunyai peranannya yang
tersendiri. Sebagai contoh, murid autism boleh membilang jumlah bahan yang diletakkan di
hadapan kelas, manakala murid aliran perdana boleh menulis ayat matematik berpandukan
jumlah yang dibilang oleh murid inklusid tersebut. Hal ini kerana, fokus utama fasa dan aktiviti
ini adalah bagi membolehkan murid melibatkan diri dan menyumbang kepada produktiviti ahli
kumpulan. Arahan bergambar juga turut diberikan bagi memudahkan murid untuk
melaksanakan aktiviti. Hal ini kerana, murid ini mungkin mengalami masalah dalam
memahami arahan, oleh itu dengan adanya kiu visual atau kiu arahan membolehkan murid
memahami arahan aktiviti yang dirancang oleh guru dengan baik.

Fasa tindakan

Kuiz pengukuhan dan penilaian


Pada fasa tindakan guru akan menjalankan kuiz ringkas berkenaan dengan topik
penambahan yang telah dipelajari. Kuiz ini akan dijalankan secara individu bagi membuat
penilaian ke atas murid. Penilaian ini dijalankan adalah bertujuan bagi melihat sama ada
pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru pada hari tersebut berkesan atau tidak, mencapai
objektif ataupun tidak. Hal ini sangat penting bagi membolehkan penambahbaikan
dilaksanakan oleh guru dari segi pengajaran, alat bantu mengajar, pemberian peneguhan dan
sebagainya. Kuiz ini dijalankan atas talian menggunakan aplikasi Scratch. Kuiz ini
membolehkan murid mengetahui jawapan yang diberikan adalah betul atau salah. Hal ini
dapat menggalakkan pembelajaran kendiri dimana guru hanya akan bertindak sebagai
penyokong kepada proses pembelajaran. Kuiz yang dijalankan juga mempunyai animasi,
visual dan audio yang menarik, hal ini selari dengan minat murid autism ke atas bahan –
bahan pengajaran visual yang berfokuskan penggunaan kartun. Bagi intervensi untuk murid
autism ini pada fasa ini adalah berkaitan dengan motivasi dan peneguhan. Oleh itu, bagi
setiap hasil yang diperolehi oleh murid demikian, peranan guru dalam memberikan sokongan
dan pujian murid ke atas usaha mereka sewajarnya dilaksanakan. Hal ini adalah bagi
memastikan timbul rasa disayangi di dalam diri murid itu sendiri.

Kesimpulannya, perancangan pembelajaran yang dibuat adalah berdasarkan pendekatan


pengajaran langsung. Menurut Noriati A.Rashid, Boon Poon Ying dan Sharifah Fakhriah Syed
Ahmad pembelajaran langsung merupakan satu strategi pengajaran yang digunakan oleh
guru untuk memudahkan cara pembelajaran. Oleh itu, pengajaran yang dirancang seperti
mengikut fasa dari set induksi hinggalah rumusan telah menunjukkan berlaku pengajaran
yang berarah. Pengajaran ini adalah bagi memastikan proses pembelajaran menjadi
lebihsistematik dan membolehkan penyampaian maklumat pada masa tertentu.
RUJUKAN

Bahagian Pendidikan Khas. (2013). Belajar Bermain dan Membesar Bersama- sama. Putrajaya:
Kementerian Pendidikan Malaysia.

Farah Husna. (2016). Kaedah dan Teknik Demostrasi. Retrieved from SlideShare:
https://www.slideshare.net/FarahHusna5/543-demonstrasi

Lee Keok Cheong, & Sailajah Nair Sukumaran. (2018). Pendidikan Inklusif. Selangor: Oxford Sdn Bhd.

Murnie Hassan. (2013). Pelaksanaan Program Inklusif Bagi Pelajar Bermasalah Pelajaran di Program
Integrasi. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara.

Noriati A. Rashid, Ying. B. P, & Sharifah Fakhiriah Syed Ahmad. (2017). Murid dan Alam
Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar Sdn Bhd.

Van de Walle, Karp. K.S, & Williams, J.M.B. (2015). Elementary and Middle School Mathematics.
England: Pearson Education Limited.

Anda mungkin juga menyukai