Anda di halaman 1dari 30

GEMA Online Journal of Language Studies 49 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 Budaya Penyelidikan Dan Penerbitan Bertamadun: Satu

Sinergi Nor Hashimah Jalaluddin shima@ukm.my Universiti Kebangsaan Malaysia Abstrak Linguistik ialah kajian bahasa secara saintifik. Ciri saintifik memberi ruang kepada ilmu linguistic itu untuk terus diselidiki. Penyelidikan akan menjadi lebih utuh jika diturutsertakan dengan teori yang berwibawa. Teori boleh dianggap sebagai rangka yang melengkapkan lagi kesempurnaan sesebuah penyelidikan. Penyelidikan linguistik tidak terbatas kepada mana-mana aspek bahasa. Penyelidikan tercetus kerana adanya ketidakserupaan pandangan terhadap bahan yang dikaji. Hasil kajian mungkin akan berbeza berdasarkan perspektif yang kita lihat. Data yang dikutip lebih besar, teori analisis lebih terkini dan metodologi kajian yang sesuai mampu menyumbang sesuatu yang menarik. Ketidakselarian antara dapatan kajian lama dan baharu seharusnya memberikan cabaran dan seterusnya mencetuskan keterbukaan minda pembaca. Dunia penyelidikan akan menjadi rancak apabila hasilnya dapat didebatkan. Perdebatan ini tidak terhad dalam seminar tetapi juga di dalam majalah. Majalah sebagai wadah penyebar ilmu akan mampu menarik perhatian dan seterusnya menyemaikan budaya membaca di kalangan pembaca. Kata kunci: penyelidikan, penerbitan, korpus, empirikal, teoretis, sinergi Pendahuluan

Ilmu linguistik ialah ilmu yang mengkaji bahasa secara saintifik. Kerancakan ilmu linguistik begitu dirasai selepas tahun 1980. Malaysia telah mula mengeluarkan lebih ramai lulusan linguistik kerana pada tahun 1984 tertubuhnya Jabatan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjadi pelengkap kepada lepasan ijazah bahasa Melayu dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Pada masa yang sama juga Universiti Sains Malaysia turut menghasilkan lepasan ijazahnya melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Namun begitu perbincangan ilmu linguistik melalui Jurnal Dewan Bahasa telah bermula lebih awal lagi iaitu seawal tahun 60-an lagi. Pada masa itu bahan tulisan dalam jurnal ini lebih mudah sifatnya, jauh dari istilah-istilah linguistik yang teknikal. Walau bagaimanapun, bahan ini mampu menjadi wadah kepada perbincangan kebahasaan. Namun, sesuatu yang jelas, hubungan antara ilmu linguistik dengan majalah dan jurnal bahasa ini telah bergerak seiringan. Ilmu tentang linguistik tersebar dengan baik dan teratur dengan adanya hubungan timbal balik antara kedua-duanya. Di sinilah sinergi itu muncul demi kepentingan bahasa itu sendiri. Namun begitu perkembangan rancak ilmu linguistik pada tahun 90-an hingga kini telah menyaksikan beberapa aliran linguistik yang berbeza dan seterusnya memberikan pendekatan yang berbeza dengan ilmu linguistik yang telah sedia ada. Kertas ini akan memperlihatkan contoh-contoh penyelidikanGEMA Online Journal of Language Studies 50 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021

khususnya linguistik dalam usaha memantapkan lagi ilmu itu dengan peranan yang mampu dimainkan oleh penerbitan bahasa. Linguistik, Penyelidikan dan Penerbitan Kemunculan ramai sarjana linguistik yang kebanyakannya mendapat latihan formal sama ada dari dalam dan luar negara telah memperlihatkan warna-warni dalam ilmu itu sendiri. Mereka yang beraliran Eropah selalunya mempunyai acuan linguistik yang agak berbeza dengan mereka yang dari aliran Amerika. Aliran Eropah selalunya mengambil kira konteks atau keperihalan keadaan dalam melihat bahasa. Tetapi mereka yang beraliran dari Amerika lebih melihat bahasa sebagai satu rumus yang formal, lebih bersifat matematik yang sarat dengan formula-formula yang dibina khas untuk melihat bahasa. Contohnya dalam ilmu semantik, ilmu pragmatik dimasukkan sekali dalam kajian ilmu semantik agar interpretasi makna yang sempurna dapat dilakukan. Kemunculan semula ilmu pragmatik adalah tindak balas daripada cara Chomsky (dari aliran Amerika) melihat bahasa. Levinson (1983) dalam bukunya Pragmatics telah menghuraikan mengapa pragmatik diperlukan dalam kajian makna: a) pragmatik lahir sebagai tindak balas terhadap Chomsky kerana Chomsky telah menjadikan bahasa sebagai satu alat yang abstrak, atau menyifatkan bahasa sebagai keupayaan mental semata-mata. Teori bahasa Chomsky telah memisahkan penggunaan bahasa, dan fungsi bahasa. Bagi melemahkan pengaruh Chomsky, golongan semantik generatif telah bekerjasama dengan golongan pemikiran falsafah dan mereka cuba menunjukkan peri pentingnya bahasa dengan memahami sifat semula jadi bahasa (Strawson, Austin, Grice

dan Searle dalam Levinson, 1983). Sebab itulah banyak istilah pragmatik dicedok dari falsafah bahasa. b) jurang yang besar wujud antara teori linguistik mutakhir dan penjelasan tentang komunikasi linguistik. Semantik hanya mampu memberikan sedikit sahaja makna dalam memahami bahasa. Jika semuanya diserahkan kepada semantik maka hampalah harapan orang yang berminat dalam komunikasi bahasa. c) penerangan secara fungsian boleh diberi keutamaan untuk menerangkan fakta linguistik. Didapati bahawa cara sarjana fungsian memberikan penerangan berasaskan prinsip-prinsip pragmatik amat berkesan dan meyakinkan. Apabila wujudnya pertelingkahan pendapat seperti ini maka penyelidikanlah yang akan dapat membantu menghuraikan masalah ini. Penyelidikan bukan sahaja dapat memperlihatkan satu fenomena bahasa dengan lebih jelas malah akan menjadikan ilmu itu lebih sahih kesaintifikannya. Linguistik sebagaimana yang telah dinyatakan di awal kertas ini adalah ilmu yang bersifat saintifik. Ciri saintifik ini harus mampu memenuhi kriteria pengamatan (observatory), penghuraian (descriptive) dan penjelasan (explanatory). Ketiga-tiga kepadaan (adequacy) ini menjadi piawai kepada peningkatan mutu (tinggi) ilmuGEMA Online Journal of Language Studies 51 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 linguistik itu sendiri. Ketiga-tiga ciri ini akan mudah dilaksanakan dengan bantuan penyelidikan, kerangka teori yang baik dan persembahan yang menarik. Nor Hashimah dan Maslida (2000) contohnya telah membuktikan penggunaan ganti nama kita bukan

sahaja merujuk kepada jamak tetapi boleh juga tunggal. Kajian ini dikukuhkan lagi oleh Nor Hashimah (2003). Daripada penyelidikan beliau yang dibuat terhadap perbualan jual beli perniagaan di Kelantan, ganti nama kita memang digunakan silih berganti. Data ini seterusnya boleh dianalisis dengan menggunakan teori semantik dan prgamatik bagi menjelaskan bilakah ganti nama kita tunggal digunakan dan bilakah pula ganti nama kita jamak dipakai. Peranan konteks perbualan memberi klu kepada tafsiran ini. Teori relevans mampu menjelaskannya. Akhirnya dapatan kajian ini diterbitkan dalam bentuk penulisan untuk disebarkan kepada peminat bahasa. Begitulah ciri saintifik itu dipenuhi. Dengan tatacara sedemikian rupa, semua fenomena bahasa dapat dihuraikan dengan lebih sistematik. Apa itu pula penyelidikan? Penyelidikan adalah satu usaha yang dilakukan untuk mencari formula bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul, melihat sesuatu fenomena dengan acuan baru atau menghuraikan aktiviti manusia yang ada di sekeliling kita demi membantu menyelesaikan persoalan itu dengan objektif. Dengan kata lain penyelidikan dilakukan untuk melihat dengan teliti satu persatu fenomena yang memerlukan penjelasan yang lebih terperinci. Linguistik tidak terkecuali daripada penyelidikan ini. Menurut David de Vaus (2002) dalam bukunya Research Design in Social Research, sseuatu penyelidikan itu boleh dilakukan untuk menjawab satu daripada persoalan di bawah: i) what is going on descriptive research

ii) why is it going on explanatory research Kedua-dua apa (what) dan mengapa (why) boleh dilakukan dalam ilmu linguistik. Penyelidikan apa hanya sekadar memaparkan dapatan kajian tanpa ada penjelasan terperinci mengenai mengapa sesuatu fenomena itu berlaku. Penyelidikan apa juga dikenali sebagai kajian deskriptif. Meskipun penyelidikan deskriptif kurang digemari tetapi huraian yang baik boleh membantu kita memahami penggunaan bahasa dalam masyarakat dengan lebih baik. Contohnya kajian bahasa yang digunakan di sektor awam dan swasta. Selalunya yang ada dalam penyelidikan deskriptif ini hanyalah paparan statistik mengenai perkara yang dikaji. Tidak ada huraian mendalam yang diberikan. Ini sesuai dengan taraf dan tujuan penyelidkan itu sendiri. Manakala penyelidikan mengapa pula adalah penyelidikan yang lebih mencabar sifatnya. Penyelidikan ini mesti menghuraikan dan menjelaskan sebab sesuatu fenomena itu wujud. Contohnya mengapa penutur Melayu tetap menggunakan kata jamak merekamereka meskipun sesetengah penahu mengatakan itu salah. Maka satu kajian harus dilakukan untuk menjelaskan mengapakah fenomena ini berlaku. Usaha itu menjawab persoalan ini memerlukan penelitian yang rapi dengan bersandarkan kepada data yang mencukupi dan rangka kerja yang boleh dipertanggungjawabkan kesahihannya.GEMA Online Journal of Language Studies 52 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 Penyelidikan yang telah dilakukan dengan penat lelah beserta kos seharusnya mampu menyumbang kepada perkembangan ilmu itu sendiri. Untuk menyemarakkan lagi semangat dan usaha penyelidik itu tadi, maka dapatan kajian itu seharusnya diuaruarkan

dengan inisiatif penyelidik berbantukan penerbitan yang sesuai. Tujuannya adalah untuk mengajak pengguna bahasa berkongsi maklumat baru natijah dari penyelidikan yang telah dijalankan. Jelasnya ilmu linguistik, penyelidikan dan penerbitan boleh mejanjikan satu sinergi yang menarik. Apa pula kesannya jika apa yang ditemui dalam penyelidikan itu bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh penahu sebelum ini? Misalnya ganti nama ia tidak boleh digunakan pada bukan manusia. Tetapi daripada kajian korpus yang dilakukan ia telah digunakan dengan cukup meluas dalam buku teks, majalah ilmiah, buku klasik dan majalah bukan ilmiah. Maka di sini wujudlah pertentangan pendapat antara maklumat yang terkandung dalam sesetengah buku nahu dengan dapatan kajian baru. Oleh yang demikian satu jalan keluar yang terbaik yang boleh dilakukan ialah semua dapatan kajian penyelidikan bahasa harus diterbitkan agar kajian itu tidak mati begitu sahaja. Keduanya, dengan terhasilnya dapatan baru, maka akan wujud ruang untuk memperbaiki pendapat terdahulu mengenai sesuatu isu kebahasaan itu sendiri. Jenis-Jenis Penyelidikan Linguistik Ada tiga jenis penyelidikan linguistik yang dilakukan di Malaysia. Pertama kajian yang berbentuk armed-chaired. Kajian seumpama ini tidak digalakkan kerana pengetahuan dan intuisi kita mungkin tidak selengkap malah tidak sama dengan penutur natif yang lain. Malah kajian seumpama ini tidak menepati konsep sains dalam ilmu linguistik itu sendiri. Ini diperkukuhkan lagi dengan pendapat Hudson (1987) yang sangat tidak menggalakkan penggunaan data dari intuisi sendiri. Kata Hudson:

We may be seriously wrong in the way in which we interpret our experience, since most of us are not consciously aware of the vast range of variations in speech which we hear, and react to, in our everyday lives. Personal experience is a very limited base from which to generalize about language in society, since it does not take into account of all the other societies, where things are arranged very di erently. Sungguhpun kajian armed-chaired tidak digalakkan namun kajian fonologi seringkali menggunakan kaedah ini. Tindakan atau usaha yang dilakukan oleh ahli fonologi ialah menggunakan data lama yang pernah digunakan sebelum ini dan melakukan penyemakan semula (revisited work) dengan menggunakan kerangka teori yang berlainan. Akhirnya terhasillah satu cara baru melihat ilmu fonologi itu sendiri. Manakala golongan kedua pula ialah golongan separuh konteks. Pengkaji jenis kelompok ini menggunakan data yang dipetik keluar sebahagiannya dari wacana penuh atau berasaskan data lapangan bagi menghuraikan sesuatu fenomena bahasa. Mengikut Azhar M. Simin (1993), penahu jenis ini menggunakan pendekatan bahasa dahulu dalamGEMA Online Journal of Language Studies 53 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 membuat pernyataan sintaksis. Apa yang kurang dengan kajian mereka ialah huraian teoretis tidak diterapkan. Contohnya ada penyelidik yang pergi ke lapangan dan mendapatkan data yang dicari. Tetapi data itu dihuraikan dengan sederhana tanpa memasukkan kerangka teori yang sepatutnya. Kadang-kadang data yang sebaik itu hanya tinggal paparan mudah tanpa analisis yang mendalam dan tidak juga menjawab persoalan

mengapa. Kumpulan ketiga ialah kumpulan penyelidik yang cuba menjawab persoalan mengapa atau penyelidikan explanatory. Kajian linguistik terperinci ialah kajian yang melibatkan pemerhatian/pengutipan data, mampu menghuraikan dan menggunakan teori yang sesuai serta dapat dijelaskan dengan analisis yang tuntas. Kumpulan pengkaji seperti ini semakin meningkat bilangannya di Malaysia. Dengan adanya penyelidikan seumpama ini, ilmu lingusitik akan lebih menarik dengan ciri kesaintifikannya dijadikan taruhan. Contohnya kajian IRPA 1 linguistik UKM (2003) yang menggunakan kaedah ketiga ini bagi menghuraikan masalah kebahasaan yang timbul, telah menghasilkan dapatan kajian kumpulan IRPA yang nampaknya bertentangan dengan apa-apa yang pernah ditulis mengenai bahasa Melayu. Mengikut amalan tulisan akademik, konflik yang timbul ini sebenarnya akan memberi ruang untuk perbincangan seterusnya. Mengapa Penyelelidikan explanatory Dipilih Kajian demi kajian dilakukan dalam ilmu ini, sama ada untuk menjawab persoalan yang tidak terjawab dalam kajian terawal, atau untuk menjelaskan kekeliruan yang muncul kerana kekuatan teori tidak terserlah semasa dapatan itu dicatatkan, mahupun untuk menjawab konflik yang muncul, hasil daripada data-data yang lebih sahih digunakan. Antara contoh-contoh dan bukti-bukti kepada kajian yang lebih saintifik adalah seperti kajian ganti nama Melayu, imbuhan memper-kan dengan kata adjektif, dan kata bilangan dan kata ganda bahasa Melayu. Jelas bahawa dapatan kajian ini bertentangan dengan

apa-apa yang pernah dipaparkan dalam buku tatabahasa tetapi dapatannya tidak harus dipinggirkan begitu sahaja. Contoh-contoh di bawah dapat menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan penyelidikan explanatory. Kajian Ganti nama ia 2 Nor Hashimah (2004) telah membuktikan pentingnya kajian yang bersifat explanatory ini. Nor Hashimah telah menggunakan contoh data KGN ia yang telah diambil dari empat sub-korpus iaitu buku teks, teks klasik, majalah ilmiah dan majalah bukan ilmiah. Daripada bahan itu, penyaringan dilakukan bagi memisahkan data KGN ia manusia dan bukan manusia. Kesemua bahan sub-korpus menunjukkan bahawa wujud penggunaan ia pada kedua-dua jenis manusia dan bukan manusia. Maklumat yang menarik ialah, penahu mengatakan yang ia hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada manusia dan merupakan KGN ketiga, sedangkan data korpus membuktikan sebaliknya. Malah jumlah penggunaan KGN ia untuk bukan manusia mengatasi jumlah penggunaan KGN ia untuk manusia. Rajah di bawah dapat membuktikannya: 1 Intensified Research Priority Area 2 Contoh diambil dari pangkalan data berkomputer, Dewan Bahasa dan Pustaka.GEMA Online Journal of Language Studies 54 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 Rajah 1 Daripada rajah di atas penggunaan KGN ia untuk bukan manusia mengatasi

penggunaan yang dikhaskan kepada manusia. 98% daripada bahan yang dikaji dari data klasik merujuk kepada bukan manusia. 84.7% daripada data majalah ilmiah, 81.7% dari majalah bukan ilmiah dan 84.4% daripada buku merujuk pada bukan manusia. Data ini menunjukkan yang ia sebagai KGN ketiga manusia harus diperbetulkan. Berikut diperturunkan contoh data korpus KGN ia yang merujuk kepada bukan manusia. 1. oleh yang demikian (tiadalah diharapkan fikiran ini) hendaklah dengan seberapa segeranya kita bersiap(lah) ***ia*** ditambah ubat (senjata ubat) peluru senjatanya dan kukuhkan sekalian kubu dan kota serta bermuafakat dengan sekalian hulubalang, orang besar-besar." 2. Maka dicampakkannya galahnya, katanya, "Lari kita, perahu ini (***ia*** tiada mahu mudik) dipegang (oleh) hantu air. 3. Walaupun pernah melawat semua tempat-tempat itu, pada saya, ***ia*** tidak sama dengan Rockland Lake, sebuah tasik kecil berhampiran New York City. 4. ***ia*** menerima deposit daripada pelanggan biasanya melalui tiga jenis akaun iaitu Akaun Semasa, Akaun Simpanan dan Akaun Pelaburan Umum. Daripada data korpus, kesemua data ini seterusnya dijelaskan dan dibuktikan kehadirannya dengan menggunakan teori semantik. Contohnya bagi (3) dan (4), alasan yang diberikan adalah seperti berikut. Data (3) di atas menunjukkan bahawa KGN ia merujuk kepada bukan manusia. Ia merupakan katafora. Dengan premis tambahan yang dibekalkan, ia mampu menyediakan konteks secukupnya bagi mentafsir (apakah) rujukan untuk ia. Rockland Lake, New 'ia' Mengikut Korpus (%) 2

15.3 18.3 15.6 98 84.7 81.7 84.4 0 20 40 60 80 100 120 Teks Klasik Maj. Ilmiah Maj. B. Ilmiah Buku Teks Bahan Korpus Peratus Manusia Bukan ManusiaGEMA Online Journal of Language Studies 55 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 York City adalah tempat yang dibincangkan. tempat-tempat dalam frasa awal mengukuhkan lagi bahawa rujukan yang tepat ialah bukan manusia. Begitu juga dengan data (4). Daripada konteks yang membentuk andaian manusia, hanya bank yang mempunyai pelbagai jenis akaun. Jadi sahlah ia merujuk kepada bukan manusia.

Sungguhpun anteseden tidak wujud di sini, tetapi premis tambahan daripada ungkapan yang digunakan mampu membantu pembaca mencari rujukan yang sesuai untuk KGN ia tersebut. Daripada dapatan kajian di atas maka satu kesimpulan mengenai kata ganti nama ini boleh dibuat, iaitu kajian bersifat korpus mampu membantu ahli linguistik mencanai nahunya dengan jauh lebih berkesan. Data-data yang disenaraikan daripada sejumlah juta yang telah dikumpul boleh menjadi representasi kepada penggunaan bahasa yang sebenar. Persoalannya bolehkah kita merombak balik apa yang pernah ditulis dalam buku tatabahasa kita? Jawapannya pasti boleh. Teknologi moden bergabung dengan teori linguistik yang ada dapat memberikan gambaran yang lebih jelas dan saintifik terhadap penggunaan bahasa yang sebenar. Sesungguhnya bahasa adalah benda yang hidup maka sudah tentu benda yang hidup itu akan mengalami perubahan. Perubahan positif sudah pasti akan memberikan kesan yang positif pada bahasa Melayu itu sendiri. Memper-kan dengan Kata Adjektif Satu lagi peranan korpus dan linguistik dapat dibuktikan adalah melalui kajian Zaharani dalam kertas kerjanya yang bertajuk, Pengimbuhan Memper-kan Dengan Kata Adjektif: Analisis Data Korpus Berkomputer (2004). Seringkali apabila berlaku kesalahan bahasa yang dilakukan oleh penutur Melayu maka alasan lewah dijadikan taruhan. Mengapa semua guru-guru dianggap salah oleh penahu adalah disebabkan oleh alasan lewah. Sebab itu jugalah demi untuk dianggap juga salah kerana lewah, yang paling cantik

sekali juga lewah. Akan tetapi dari kajian mengapa yang dijalankan, banyak sekali kes morfologi yang bertentangan dengan nahu Melayu yang bersifat preskriptif boleh diselesaikan dengan bukti korpus dan linguistik. Contoh yang jelas ialah penggabungan imbuhan memperkan dengan kata adjektif tidak dibenarkan sama sekali. Peraturan nahu ini bertepatan dengan pendeskripsian nahu yang dikemukakan dalam buku Tatabahasa Dewan (Nik Safiah 1989). Kehadiran kan tidak diperlukan kerana ini akan menjadikan bentuk terbitan itu bersifat lewah. Sehubungan itu, kata terbitan yang gramatis menurut nahu preskriptif ialah memperbesar dan bukannya *memperbesarkan, memperdalam dan bukannya *memperdalamkan. Walaupun kedua-dua bentuk terbitan berkenaan dianggap tidak gramatis, kajian Zaharani menunjukkan bahawa penggunaannya dalam masyarakat begitu meluas dan produktif sekali. Kajian tentang penggunaan imbuhan memper- dan memper-kan berdasarkan pangkalan data korpus telah dilakukan oleh Abdul Jalil (2000). Beliau telah meneliti data korpus yang terdapat dalam akhbar Berita Harian dan Berita Minggu bagi keluaran bulan April, Mei, dan Jun 2000. Hasil dapatan beliau menunjukkan bahawa penggunaan awalan memper- tidak begitu produktif berbanding imbuhan memper-kan. Kajian ini juga menunjukkan bahawa imbuhan memper-kan bergabung dengan semua kelas kataGEMA Online Journal of Language Studies 56 Volume 6(2) 2006

ISSN:1675-8021 bahasa Melayu termasuklah kata akar yang tergolong dalam kelas kata adjektif. Jadual di bawah menunjukkan kekerapan penggunaan imbuhan memper- dan memper-kan yang ditemui dalam kata terbitan yang dikaji. Jadual 1 Jadual di atas menunjukkan bahawa pengguna bahasa Melayu lebih cenderung dan gemar menggunakan imbuhan memper-kan berbanding dengan imbuhan memper-. Kecenderungan ini bukan didorong oleh cita rasa semata-mata, tetapi didasari oleh kecekapan penutur tentang bahasanya. Hal ini sebenarnya mencerminkan sistem nahu yang dipraktis oleh pengguna bahasa Melayu sebagai penutur natif. Data di atas menunjukkan dengan penyelidikan yang dilakukan berlandaskan data yang sahih dibantu dengan kerangka teoritis yang baik, satu dapatan baru yang menyamai nahu praktis iaitu nahu yang diguna pakai oleh masyarakat ramai, dapat dihasilkan. Inilah kelebihan penyelidikan explanatory. Malah ini bertepatan dengan pendapat McEnery (1996) yang mengusulkan penggunaan data korpus (data yang dianggap sahih) dalam memeri apa-apa sahaja aspek nahu sesuatu bahasa. Kata Bilangan Penyelidikan selalunya bermula dengan satu premis persoalan kajian. Untuk mengukuhkan lagi pewajaran kepada mengapa dapatan kajian diolah begitu rupa, maka bukti-bukti linguistik lainnya boleh digunakan untuk menyokong dapatan kajian. Contohnya penulis pernah membuat kenyataan bahawa wujud pemikiran khusus dan

tidak khusus dalam pemikiran Melayu. Untuk mengukuhkan lagi dapatan ini, maka kajian kata bilangan dilakukan. Daripada data yang dikaji jelas memang wujud unsur pemikiran khusus tak khusus dalam masyarakat Melayu. Maka selain daripada pembuktian korpus dan linguistik, ciri pemikiran kebahasaan Melayu boleh juga diambil kira. Yang dimaksudkan pemikiran khusus dan tidak khusus ialah wujudnya makna selain daripada jamak dalam sistem penggandaan bahasa Melayu. Khusus merujuk kepada perkara tetap Kekerapan Penggunaan imbuhan memper- dan memper-kan Kata akar Imbuhan memper- Imbuhan memper-kan besar - 9 cepat 3 41 kecil 2 12 kembang 2 15 kuat 1 11 kukuh 13 42 luas 8 33GEMA Online Journal of Language Studies 57 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 yang konkrit rujukannya manakala tidak khusus pula merujuk kepada perkara yang dinyatakan secara umum. Dalam kertas ini pemikiran khusus dan tidak khusus disokong oleh kajian terdahulu dan kini dilanjutkan pada perbincangan kata bilangan itu sendiri. Nor Hashimah (2002) dalam tulisannya mengenai Kata Ganda Bahasa Melayu: Analisis

Semantik dan Pragmatik telah membuktikan bahawa penggunaan kata ganda boleh bermaksud bukan sahaja jamak tetapi juga boleh memaparkan maksud khusus dan tidak khusus. Kata adjektif apabila digandakan boleh memperlihatkan ketidakkhususan maknanya. Contoh yang diberi adalah seperti berikut: Kata Nama (khusus) Kata Ganda (tidak khusus) Siapa siapa-siapa Apa apa-apa Mana mana-mana Untung untung-untung 3 Kata Kerja (khusus) Kata ganda (tidak khusus) Main main-main Duduk duduk-duduk Makan makan-makan Gila gila-gila Jalan jalan-jalan Minum minum-minum Rehat rehat-rehat Kata Adjektif (khusus) Kata Adjektif (tidak khusus) Gemuk gemuk-gemuk Kurus kurus-kurus Lampai lampai-lampai Tinggi tinggi-tinggi Sakit sakit-sakit 3

Kata adjektif berubah kepada kata nama setelah digandakan.GEMA Online Journal of Language Studies 58 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 Siapa-siapa tidak mempunyai rujukan yang khusus. Contohnya, Siapa-siapa yang terambil barang Siti diharap dapat memulangkannya. Dalam ayat ini tiada siapa yang difokuskan secara khusus. Begitu juga dengan makan-makan. Makan-makan boleh merujuk kepada apa-apa sahaja makanan yang ringan sifatnya dan boleh dimakan sama ada kacang, asam, kuaci berbanding dengan nasi atau mi yang lebih berat dan khusus. Seterusnya gemuk-gemuk, gambaran tidak khusus tergambar di sini. Contohnya, Budak Mat yang gemuk-gemuk itu yang menghantar surat ini. Selain kata ganda yang dipaparkan di atas, ada sejenis kata kerja yang selalu dikaitkan dengan aktiviti masyarakat Melayu boleh menerima imbuhan kata kerja meN-dengan mudah. Tetapi terdapat dalam kes tertentu kata kerja ini tidak dapat menerima imbuhan kata kerja meN-. Sekali lagi dapat dikaitkan yang kata kerja yang khusus peranannya dapat menerima imbuhan kata kerja dengan baik manakala kata kerja yang tidak khusus menghadapi kejanggalan. Contohnya memisau adalah aktiviti yang tidak khusus kerana dengan pisau ada berpuluh aktiviti pisau yang boleh dilakukan. Contohnya, menghiris, membelah, memotong dan seterusnya. Tetapi bagi memarang, peranan parang khusus kepada aktiviti menebang. Contoh-contoh di bawah dapat membuktikannya. Khusus Tidak khusus

Memarang memisau Merumput melalang Merokok memaip Menari menjoget menyusu/menetek membotol Ciri khusus dan tidak khusus di atas dapat dikaitkan dengan proses kognitif manusia semasa berkomunikasi. Sperber dan Wilson (405:1999) mengatakan: tiada alasan untuk memikirkan bahawa ekspresi interpretif bagi pemikiran yang relevan secara optimum selalu yang paling harfiah. Penutur diandaikan untuk mencapai relevans yang optimum, bukan pada kebenaran harfiah Apa yang dimaksudkan oleh Sperber dan Wilson ialah memang sifat semula jadi manusia dalam berkomunikasi memberikan tumpuan kepada yang relevan dengan dirinya sahaja. Meskipun apa yang disampaikan itu sesuatu yang tidak khusus, itu telah memadai asalkan makna yang hendak difahami dan interpretasi yang bakal diperolehi memadai dengan tumpuan yang diberikan. Kadang-kadang maklumat yang hendak disampaikan adalah sesuatu yang bersifat umum. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab pendengar untuk menyaring dan memproses ujaran itu dengan lanjut mengikut kerelevanan si penutur dan pendengar.GEMA Online Journal of Language Studies 59 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 Bertitik tolak daripada pemikiran khusus dan tidak khusus di atas, kajian mengenai kata

bilangan dilakukan. Huraiannya adalah seperti berikut: Penahu seperti Zainal Abidin Ahmad (1962), Asmah Hj. Omar (1986), Nik Safiah Karim, Abdul Hamid Mahmood, dan Farid Onn (1986) , Nik Safiah Karim, Farid Onn dan Hashim Musa (989), Abdullah Hassan dan Liaw Yock Fang (1993), ada menulis dan mengulas tentang kata bilangan dalam bahasa Melayu. Nik Safiah et. al dengan jelas mengatakan mana-mana kata kuantiti seperti semua, sebahagian, sesetengah dan sebagainya yang digunakan, tidak boleh diiringi dengan kata jamak selepasnya. Maka terhasillah contoh di bawah: Kata Bilangan Tentu/Kardinal Dan Tak Tentu/Kuantiti Yang Betul a. "Tengok nasib?" Dia bertanya. ***Dua*** orang pemuda yang beruniform b. Yang ada cuma ***dua*** buah almari besi, dua buah meja. c. Kepada pihak berkenaan cuba fikirkan ***segala*** baik buruknya kursus vokasional di SMT sekiranya dihentikan. d. "Oleh itu, kerajaan harus bertegas supaya ***semua*** urusan itu dibuat secara telus. e. Saranan kerajaan untuk menggalakkan rakyat menumpukan semula kepada sektor pertanian sebagai ***sebahagian*** usaha menangani era kegawatan ekonomi sekarang, f. kesan El Nino mula menurun dan ***kebanyakan*** iklim dan keadaan cuaca dunia mula kembali normal. Kata Bilangan Tentu dan Tak Tentu Yang Salah a. .Dia ingin menyatakan rasa kesalnya dengan sikap dan pemikiran ***sesetengah*** orang-orang kampung yang tidak berminat menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pelajaran b. Kita mungkin ada pengalaman melihat bagaimana ada ***sebilangan***

anak- anak muda yang menghabiskan malam-malam Ramadan dengan kerja sia-sia. c. ***Sebahagian*** kilang-kilang yang akan didirikan di Taman Industri Getah itu adalah berkonsepkan inkubetor (incubator) dan bimbingan. d. peranan kontraktor (pemborong) sebagai orang tengah yang masih dikekalkan di ***kebanyakan*** ladang-ladang KETENGAH . e. Anda tidak boleh membantu ***semua*** anak-anak Iraq," katanya. g. Bolehkah kita mempercayai seseorang doktor itu jika ***segala*** butirbutir yang sepatutnya di rahsiakan menjadi bahan bualan? Daripada contoh data yang dipaparkan di atas jelas menunjukkan seolah-olah wujudnya konflik antara pendapat penahu dengan maklumat yang ditemui daripada data korpus. Sebagaimana yang disebutkan terlebih awal lagi, kekerapan kemunculan data-data yangGEMA Online Journal of Language Studies 60 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 menggunakan kata bilangan tak tentu bersama kata nama yang digandakan sangat tinggi. Di sinilah bermulanya titik tolak kepada cara baru penghuraian nahu bahasa Melayu. Selaras dengan tugas dan tanggungjawab seorang linguis, mana-mana data yang dianggap tidak selari dengan kajian terdahulu, maka kajian baharu harus menyusul bagi mencari penyelesaiannya. Malah adalah juga menjadi tugas linguis untuk mencari sebabsebab muncul dengan banyaknya pola bahasa yang bertentangan dengan penahu. Linguis sekalikali tidak dibenarkan melenyapkan data demi kepentingan bahasa itu sendiri. Dari itu, menjadi tugas ahli penyelidik menyelidik sebab hukum tatabahasa yang terawal

diwujudkan. Dan adakah hukum tatabahasa yang membetulkan dan menyalahkan cara penggunaan bahasa bertepatan dengan apa yang dipakai sehari-hari penutur Melayu? Berdasarkan kepada data yang dipaparkan di atas dan beberapa data tambahan daripada korpus, masalah kewujudan kata ganda pada kata bilangan tak tentu dapat dihuraikan penggunaannya. Dalam bahagian ini kata bilangan tak tentu khusus dan tak khusus akan dibincangkan satu persatu. Kata bilangan yang terlibat ialah semua dan kebanyakan 4 . Semua 1a) ***semua*** penghulu mukim, ketua kampung, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dikehendaki memberi penerangan dan penjelasan 1b) tahap penglibatan yang tinggi oleh ***semua*** pegawai-pegawai dan keseluruhan proses telah dipermudahkan. 2a) ***semua*** pengurusan kilang perlu prihatin dan bersama membantu polis dengan menyediakan peralatan keselamatan yang berkesan serta memastikan jaga benar-benar bertugas. 2b) kerana Malaysia-Singapura perlu

mencari jalan penyelesaian terbaik bagi meleraikan ***semua*** isu-isu yang pernah merenggangkan hubungan dua hala kedua-dua negara. 3a) kerajaan bersetuju menggunakan angka Bank Negara yang memasukkan ***semua*** kategori jangka pendek, sederhana dan panjang. 3b) Tulislah surat atau hantarlah telegram kepada ***semua*** Raja-Raja Melayu Jika diperhatikan daripada data kata bilangan semua di atas, wujud pola makna khusus dan tidak khusus pada contoh ayat yang diberikan. Data 1a), 2a) dan 3a) merupakan contoh kata bilangan tak tentu yang diiktiraf sebagai gramatis. Sementara 1b), 2b) dan 3b) adalah kata tak tentu yang melanggar rumus tatabahasa Melayu. Pendapat ini boleh diperbetulkan dengan mengatakan bahawa wujud dua jenis kata bilangan tak tentu dalam bahasa Melayu. Satu kata bilangan tak tentu khusus. Di sini kata nama yang mengikuti kata bilangan tidak digandakan. Khusus di sini bermaksud kata nama yang digunakan 4 Ini hanya sebahagian daripada contoh kajian. Data lengkap boleh dirujuk pada artikel Gandingan Kata Bilangan dan Pengganda Bahasa Melayu: Sama Tak Serupa, Jurnal Bahasa Jilid 5 Bil.5, 2005.GEMA Online Journal of Language Studies 61 Volume 6(2) 2006

ISSN:1675-8021 mempunyai rujukan yang jelas dan boleh dibekalkan dari konteks ayat yang dibincangkan. Di sini rangka rujuk silang boleh diterapkan. Buktinya, semua penghulu mukim, ketua kampung, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), semua pengurusan kilang dan semua kategori jangka pendek, sederhana dan panjang memperlihatkan kekhususan maklumat yang disampaikan. Dengan itu penggandaan tidak diperlukan. Kata bilangan semua telah menjelaskan jamaknya. Berbanding dengan kata bilangan tak tentu jamak, kesemua contoh tidak memberikan rujukan yang khusus tetapi umum sifatnya. Kita masih boleh bertanyakan pegawai dari mana, isu yang mana dan raja Melayu yang mana satu. Wujud kenyataan yang jelasnya umum sifatnya. Dengan sebab itu kata nama digandakan di samping kata bilangan yang memang sedia jamak. Jadi pembahagian boleh dibuat dengan mengkategorikan manamana kata bilangan tak tentu yang khusus mengambil kata nama tunggal sementara kata bilangan tak tentu yang tidak khusus mengambil kata nama jamak. Kebanyakan 4a) ***kebanyakan*** pembiayaan seperti Bai Murabahah, Bai Muajjal dan Bai Istisna adalah berdasarkan kaedah kadar faedah tetap. 4b) Jarak berselangan di antara ***kebanyakan*** huruf-huruf adalah sama.

5a) ***kebanyakan*** iklim dan keadaan cuaca dunia mula kembali normal. 5b) ***Kebanyakan*** corak-corak hiasan pada hasil-hasil kraf tersebut disusun berdasarkan kepada struktur formal. 6a) tidak semua kes kemerosotan mutu kredit berkaitan kegawatan kewangan serantau dan ***kebanyakan*** penurunan taraf dilihat RAM sebagai sebahagian daripada perubahan profil risiko kredit korporat yang timbul 6b) ***Kebanyakan*** pokok-pokok balak ditebang dengan begitu hebat. Hal yang sama dapat diperhatikan pada contoh di atas. 4a) 5a) dan 6a) menceritakan predikat yang benar-benar khusus dan dapat diramal rujukannya berdasarkan daripada konteks ayat itu sendiri. 4a) adalah mengenai sistem pembiayaan bank, 5a) adalah mengenai iklim dan keadaan cuaca dan 6a) adalah berkenaan mutu kredit (sistem kewangan). Teori relevans ada menetapkan bahawa pemilihan rujukan adalah salah satu sub-konsep yang penting bagi memastikan ujaran itu dapat difahami oleh pendengar. Jadi memandangkan objeknya memang jelas rujukannya maka kata nama tunggal sudah mampu menerangkan tentang kekhususan perkara yang dibicarakan. Perlu diingat bahawa kedua jenis kata bilangan tak tentu ini membawa maksud jamak. Yang membezakannya ialah satu khusus dan satu lagi tidak khusus. Berbalik semula kepada

4b), 5b) dan 6b). Ketiga-tiga contoh data itu memang memaparkan objek yang umum seperti ungkapan huruf-huruf, corak-corak dan pokok-pokok. Pendengar terpaksa mencari maklumat tambahan bagi memastikan interpretasinya tepat. Mengikut teori RelevansGEMA Online Journal of Language Studies 62 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 mana-mana ungkapan yang umum sifatnya membawa maksud tidak perlu diberikan perhatian serius. Pendengar akan berhenti memproses satu-satu maklumat itu apabila telah cukup keoptimumannya. Di sini mungkin penutur mengandaikan tiada sesuatu yang serius yang perlu dibincangkan tetapi cukup sekadar menyatakan secara tidak khusus. Dari huraian di atas, jelas menunjukkan penyelidikan yang cuba menjawab persoalan mengapa adalah lebih kompleks sifatnya. Kewujudan satu fenomena yang menjadi masalah pada dunia kebahasaan boleh dipautkan dengan fenomena lain dan akhirnya membantu kita membentuk gagasan mengenai falsafah penggunaan satu-satu pola bahasa. Peranan Penerbitan Setelah dilakukan kajian yang memenuhi tiga kepadaan (adequacy) tadi, maka tugas menyebarkan hasil kajian ini akan dapat direalisasikan dengan bantuan penerbitan. Ada berbagai-bagai cara yang mampu dilakukan oleh mereka yang terlibat dengan dunia penerbitan. Pertamanya saringkan jenis kajian bertepatan dengan jenis bahan penerbitan. Contohnya jika bahan yang diselidik itu mudah dan hanya menjawab persoalan apa, hasil dapatan itu boleh dimuatkan dalam penerbitan popular dan ringan. Ini akan secara tidak langsung menyebarkan maklumat mengenai bahasa kepada pengguna bahasa.

Contohnya sureheboh dianggap bentuk yang salah kerana mencampurkan dua bahasa yang tidak sama. Begitu juga dengan infotainment. Perkataan itu bukan sahaja salah dari segi rumus percampuran akronimnya tetapi juga menyalahi sistem ejaan. Peranan majalah melalui penerbitan yang berwibawa akan mampu mengenengahkan isu ini. Secara tidak langsung kita dapat membantu mendidik pembaca umum dengan isu bahasa. Penyelidikan yang bersifat teoretis harus disebarkan melalui jurnal bahasa yang lebih berat bahan pembacaannya. Pengguna bahasa yang tidak biasa dengan laras bahasa linguistik dan perbincangan teoritis sudah tentu tidak akan dapat memanfaatkan ilmu itu sendiri. Sasaran pembaca jurnal seharusnya mereka yang mempunyai latar belakang ilmu linguistik. Atas alasan ini juga, mereka yang mengendalikan jurnal ini juga seharusnya mereka yang benar-benar memahami konsep dan bidang ilmu linguistik itu sendiri. Kepentingan ilmu itu seterusnya akan tergambar daripada pemilihan bahan yang sesuai dengan genre yang dimaksudkan. Hal ini dianggap penting kerana mereka yang ditugaskan mengawal penerbitan jurnal bahasa akan dapat menjiwai bahan yang dibincangkan dan seterusnya membantu mengawal mutu kandungan jurnal terbitannya. Memandangkan ilmu linguistik ini bersifat sains dan teknikal, mereka yang tidak mempunyai latar belakang linguistik akan merasa bosan dan letih dengan karya-karya yang teoritis sifatnya.GEMA Online Journal of Language Studies 63 Volume 6(2) 2006

ISSN:1675-8021 Kesimpulan Gabung jalin antara ilmu lingusitik, penyelidikan dan penerbitan akan membantu meningkatkan penerbitan bahan yang bermutu tinggi dan menepati ciri ketamadunan ilmu itu sendiri. Kemajuan sesuatu bangsa itu diukur dengan tahap ilmu masyarakatnya. Kajian-kajian yang bermutu tinggi seharusnya diterbitkan meskipun ada pertentangan idea antara fahaman-fahaman linguistik yang lain. Malah konflik yang timbul inilah sebenarnya mencirikan kemajuan ketamadunan fikiran sesuatu bangsa. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat sudah mampu berfikir dan berdebat demi kepentingan dan perkembangan ilmu itu sendiri. Rujukan Abdul Jalil Anuar (2000). Pangkalan data korpus dan penyelidikan bahasa: Kajian kes memper, Persidangan Linguistik ASEAN 1. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Abdullah Hassan dan Liaw Yock Fang (1993). Nahu Melayu moden, Kuala Lumpur: Fajar Bakti. Asmah Hj. Omar (1986). Nahu Melayu mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Azhar M. Simin (1993), Sintaksis wacana Yang dalam bahasa Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. D, de Vaus. (2002). Research design in social research, London: Sage Publication. Hudson, R. A. (1987). Sociolinguistics. Cambridge: Cambridge University Press. Levinson, C. S. (1983). Pragmatics. Cambridge: Cambridge University Press. Nor Hashimah Jalaluddin dan Maslida Yusof. (2000). Ganti nama Melayu : satu definisi

semula,. Persidangan Linguistik Asean 1. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, Nor Hashimah Jalaluddin. (2002). Kata ganda bahasa Melayu: Analisis semantik dan pragmatik, Majalah Bahasa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nor Hashimah Jalaluddin. (2003). Bahasa dalam perniagaan: Analisis semantik dan pragmatik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.GEMA Online Journal of Language Studies 64 Volume 6(2) 2006 ISSN:1675-8021 Nor Hashimah Jalaluddin. (2004). Nahu praktis gantinama ia dan ianya dalam data korpus: Analisis rangka rujuk silang, Prosiding Seminar Sehari Linguistik dan IRPA 07-02-02-0023 EA211, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Nik Safiah, Abdul Hamid Mahmood dan Farid M.Onn, (1986). Tatabahasa dewan Jilid 1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah, Farid M.Onn dan Hashim Musa (1989). Tatabahasa dewan Jilid 2, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. McEnery, T. dan Wilson, A. (1996). Corpus linguistics. Edinburgh: Edinburgh University Press. Sperber, D. dan Wilson, D. (1995). Relevance theory: Communication and cognition. Oxford: Basil Blakewell. Zainal Abidin Ahmad (1962). Ilmu mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Zaharani Ahmad (2004). Pengimbuhan memper-kan dengan kata adjektif: Analisis data korpus berkomputer, Prosiding Seminar Sehari Linguistik dan IRPA 07-02-020023 EA211. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Biodata

Dr. Nor Hashimah Jalaluddin adalah Profesor Madya di Program Linguistik, Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Beliau mengkhusus dalam bidang Semantik dan Pragmatik. Penyelidikan beliau banyak menumpukan pada ilmu semantik, pragmatik dan hubungannya dengan nahu dan pemikiran Melayu. Beliau juga telah menulis lapan buah buku dan puluhan artikel mengenai semantik dan pragmatik di samping bidang fonetik dan linguistik am.

Anda mungkin juga menyukai