Anda di halaman 1dari 8

DALAM kamus Islam, jihad bermaksud berperang pada jalan Allah.

Dari segi istilah jihad bermaksud berjuang sedaya upaya pada jalan Allah seperti dijelaskan dalam al-Quran: "Dan Berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya." (al-Haj:78) Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda maksudnya: "Sesiapa mati padahal dia tidak berperang dan tidak pun pernah berniat hendak berperang, maka matilah dia seperti mati jahiliyah." Tetapi, sejauh mana ia difahami, khususnya oleh masyarakat antarabangsa? Salah faham itu menyebabkan orang Islam sering dikaitkan dengan 'keganasan' (terrorism) sedangkan jihad dan keganasan jauh berbeza. JTetapi di Barat, jihad kerap disalah erti sebagai perang suci yang dianggap sama dengan perang suci orang bukan Islam seperti Kristian dan Yahudi sedangkan dalam terminologi Islam pengertiannya lebih luas. Jihad berasal dari perkataan juhd yang bermaksud kuasa dan upaya (attaaqah) serta kesukaran (al-masyaqqah), membabitkan dua pengertian iaitu secara umum dan khusus. Pengertian umum jihad ialah segala daya usaha dan segenap kekuatan yang dicurahkan untuk menegakkan hukum dan perintah Allah di atas muka bumi ini dan membersihkan segala taghut yang menjadi penghalang kepada jalan dakwah. Jihad umum ini merangkumi jihad harta, pembelajaran, politik, penyampaian dakwah dan peperangan. Jihad dengan pengertian yang khusus merujuk kepada perang pada jalan Allah. Sayyid Abul 'Ala al-Maududi berkata: "Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam dengan menggunakan segala yang ada padanya daripada harta benda, jiwa raga, pena dan lidah, maka ia tanpa ragu lagi tergolong dalam orang yang berjihad di jalan Allah dengan pengertian jihad umum. "Tetapi kalimah jihad ini juga diungkapkan untuk pengertian jihad yang khusus iaitu peperangan dilakukan oleh kaum Muslimin untuk menentang musuh Islam kerana mengharapkan keredaan Allah, bukan duniawi." Menurut Syeikh Sayyid Sabiq, jihad ialah menggunakan sepenuhnya kekuatan, kuasa dan upaya yang ada dan menanggung kepayahan dan kesukaran untuk memerangi musuh dan menangkis serangannya. Di kalangan sarjana, ada yang memberikan pengertian lebih umum kepada jihad dengan turut memasukkan mujahadah iaitu jihad melawan hawa nafsu dan syaitan.

Ibnu Qayyim al-Jauzi meletakkan jihad dalam empat peringkat iaitu jihad terhadap hawa nafsu, syaitan, orang kafir dan munafik, orang zalim serta pelaku bidaah dan kemungkaran. Jihad adalah sesuatu tidak asing dari lembaran sirah perjuangan nabi. Menurut kiraan ahli sejarah, sepanjang 10 tahun nabi di Madinah, kira-kira 70 angkatan perang diutuskan untuk menghadapi peperangan dengan musuh Islam dan 28 angkatan itu dipimpin baginda sendiri. Dalam jihad ini baginda menggunakan beberapa jenis pedang seperti Ma'thur, pedang terawal dimiliki baginda sebagai harta pusaka dari bapanya, al-'Adhab dan Zulfiqar iaitu pedang yang tidak pernah berpisah dengan baginda yang dihiasi dengan perak. Justeru, orientalis melemparkan kritikan dan mengadakan dakwaan kononnya Islam berkembang dengan mata pedang. Sebenarnya matlamat peperangan dalam Islam ialah untuk meruntuhkan sistem kekufuran, menegakkan ubudiyah hanya untuk Allah serta menzahirkan keagungan, ketinggian dan kemuliaan Islam di atas muka bumi ini. "Dan, perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan agama itu hanya semata-mata untuk Allah." (al-Baqarah:193) Maksud fitnah dalam ayat itu ialah kufur dan syirik, sebagaimana pendapat Ibnu Abbas, Qatadah, Mujahid dan Rabi'. Islam tidak sekali-kali bermaksud untuk memaksa manusia menganut Islam melalui peperangan. Mustafa al-Syiba'iy ada menegaskan, peradaban Islam adalah untuk mengajak manusia supaya saling kenal mengenal dan tolong menolong dalam keadaan damai. Prinsip peradaban Islam, katanya, mengharamkan peperangan, tidak boleh menyerang, merampas harta benda dan menghina kehormatan sesuatu bangsa. "Dalam Islam perang yang sah hanyalah bertujuan membela akidah dan moral umat dan kebebasan, kemerdekaan dan keselamatan umat," katanya, dipetik daripada buku 10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh. Jihad perang disyariatkan untuk tujuan membalas serangan musuh, tetapi tidak secara melampaui batas seperti ditegaskan pada ayat 190 surah alBaqarah, bermaksud: "Dan perangilah di jalan Allah orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." Ia juga diharuskan untuk membantu orang Islam yang lemah dan dizalimi orang kafir seperti dijelaskan pada ayat 75 surah an-Nisa' serta menghukum perosak agama dan masyarakat Islam termasuk golongan murtad, pemberontak, perompak dan lanun. Jihad bukanlah suatu peperangan secara agresif, yang menghalalkan semua perkara bagi mencapai kepuasan dan kepentingan diri termasuk merosakkan rumah ibadat, kanak-kanak dan wanita, haiwan dan tumbuhan. Ia tertakluk kepada garis panduan yang sudah ditetapkan dan jika tidak ia tidaklah dikatakan jihad.

Wasiat Saidina Abu Bakar kepada tentera Usamah jelas menggambarkan mengenai jihad dan garis panduannya, iaitu: "Jangan menyeksa, jangan membunuh anak kecil, orang tua dan kaum wanita. Jangan menyembelih kambing, lembu atau unta kecuali untuk dimakan. Kamu akan melalui orang yang sedang bertapa di kuil, maka biarkan mereka dengan apa yang mereka lakukan." Dalam perang Uhud, yang mana Rasulullah cedera dan kalangan sahabat meminta baginda mengutuk kaum musyrikin lalu baginda menjawab: "Aku diutuskan bukan untuk membawa laknat, tetapi diutuskan untuk menyeru dan pembawa rahmat." Kemudian baginda berdoa: "Ya Allah, tunjuki kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui." Ungkapan Rasulullah itu jelas menunjukkan baginda berperang bukan kerana hausnya pada pertumpahan darah seperti pemimpin empayar besar lain, tetapi kerana ingin menunjukkan jalan kebenaran.

Bissmillahirrahmanirrahim Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Para guru dan pelajar yang dihormati sekalian, Tajuk tazkirah yang akan saya bawakan pada pagi yang mulia ini ialah : ___________________________________________________________

Jihad adalah perkataan Arab iaitu jahada yajhadu jahdu yang bererti kesulitan dan beban. Al-Jahdu pula bermakna kesungguhan dan keupayaan terakhir. Definisi al-Jihad pada bahasa bermaksud penyerahan segenap kemampuan manusia untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan atau menolak sesuatu yang dibenci. Manakala dari segi istilahnya para fukaha bersepakat iaitu peperangan dan membantu semua persiapan perang. Oleh itu dalam erti kata yang luas jihad boleh didefinisikan sebagai berjuang dalam peperangan, berjuang menentang hawa nafsu, berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran dan lain-lain perjuangan pada jalan Allah dan meninggikan kalimah Allah. Konsep Jihad dalam Islam menurut Md Zawawi Abu Bakar Jihad adalah suatu istilah yang begitu sinonim dikaitkan dengan masyarakat dan agama Islam. Amalan itu sering dikaitkan sebagai perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air. Justeru, perjuangan yang dilakukan di atas dasar jihad dengan nama Allah SWT dan agama Islam adalah syahid. Istilah jihad apabila didefinisikan dalam konteks yang sempit adalah jihad di medan perang iaitu mempertaruhkan seluruh jiwa dan raga demi agama dan negara. Sebaliknya apabila ditafsirkan secara lebih umum, maka jihad boleh membawa banyak pengertian. Antaranya:jihad melawan nafsu, menuntut ilmu, mempertahankan maruah diri dan sebagainya. Ia boleh dilakukan melalui pengorbanan harta benda, wang ringgit, kekuatan fizikal, tenaga bahkan buah fikiran juga termasuk dalamsumbanganjihad. Perjuangan dan pengorbanan pelajar-pelajar dalam menuntut ilmu pengetahuan dan amal makruf nahi mungkar juga adalah tergolong dalam kategori-kategori yang menunjukkan pengorbanan atau jihad fi sabilillah. Cumanya taraf atau darjat tinggi rendah pahala jihad bergantung sebesar mana pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam. Oleh itu, konsep jihad perlulah difahami agar masyarakat tidak terpengaruh dengan anasir-anasir yang mengambil kesempatan dia atas jihad palsu mereka. Hukum Berjihad Hukum terhadap amalan jihad adalah fardu kifayah. Menurut Ibnu Rusyd dalam kitab Bidayatul Mujtahid jihad adalah fardu kifayah dan bukan wajib. Namun demikian dalam keadaan tertentu hukum fardu kifayah bertukar menjadi wajib apabila diserang oleh pihak musuh. Dalil-dalil Berkaitan Jihad Terdapat banyak ayat yang menyentuh soal jihad. Antaranya, 1. surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, Kamu diwajibkan berperang untuk menentang pencerobohan sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kamu

benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu 2. surah at-Taubah ayat 88, Tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan dan mereka itulah juga berjaya. 3. surah Ali Imran ayat 195, Allah SWT berfirman bermaksud, Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka dengan firman-Nya: Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, kerana setengah kamu adalah keturunan dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah kerana menyelamatkan agamanya, dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya, yang disakiti dengan berbagaibagai gangguan kerana menjalankan agama-Ku, berperang mempertahankan Islam, dan yang terbunuh gugur Syahid dalam perang Salib- sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya bagi mereka yang beramal soleh. Dalam hal lain juga, Allah memerintahkan umat Islam mempertahankan diri daripada serangan pihak musuh. 4. Firman Allah SWT surah al-Anfal ayat 60 bermaksud, Dan sediakanlah untuk menentang mereka iaitu musuh yang menceroboh segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. Para guru dan pelajar yang dihormati sekalian, Sesuatu jihad yang hendak diperjuangkan hendaklah memiliki ciri-ciri yang jelas menurut syarak. Antara ciri-ciri jihad yang benar adalah: a. Hendaklah kerana Allah SWT dan Rasul semata-mata. b. Tidak bersalahan dengan nas-nas al-Quran dan sunah. c. Tidak menyalahi undang-undang dan pemerintahan yang adil. d. Bukan ekstremis terhadap individu tertentu.

Jihad jika dilihat di dalam konteks yang lebih luas mempunyai tujuan tertentu. Namun semuanya memfokuskan kepada perkembangan syiar Islam serta keberkatan Allah semata-mata. Antara tujuan jihad ialah untuk menyebarkan dakwah Islam, melindungi agama Islam dan negara serta menolong kaum-kaum yang tertindas. Ini menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang ganas. Istilah Islam sendiri membawa maksud sejahtera iaitu membawa kesejahteraan kepada semua makhluk. Oleh itu gambaran yang mengaitkan Islam sebagai agama yang suka berperang dan umat Islam sebagai pengganas adalah salah dan tidak dapat diterima sama sekali. Jihad atau pengorbanan boleh dilakukan melalui berbagai cara. Namun semua sumbangan tersebut mestilah diniatkan di dalam hati kerana Allah SWT sematamata. Jihad yang dilakukan kerana makhluk atau keduniaan juga akan mendapat balasan tetapi setakat dunia sahaja. Sebaliknya jika dilakukan kerana Allah SWT maka balasannya ialah kebaikan dunia dan akhirat. Justeru jihad yang dilakukan hendaklah ikhlas kepada Allah SWT semata. Antaranya jihad boleh dilakukan melalui: 1. Nyawa dan Tenaga Jihad yang paling tinggi dalam Islam adalah melalui pengorbanan jiwa dan raga untuk agama Islam. Lazimnya, jihad sebegini adalah jihad di medan perang dan orang yang terkorban adalah syahid. Terdapat banyak contoh para sahabat yang sanggup berkorban nyawa demi perjuangan Islam seperti saidina Hamzah yang gugur syahid di dalam peperangan Uhud. 2. Harta dan Wang Ringgit Selain itu pengorbanan wang ringgit dan harta juga termasuk di dalam jihad fi sabilillah. Justeru itu, jihad dalam erti kata yang luas dapat dilakukan oleh semua orang. Bagi golongan kaya harta mereka boleh menyumbang dalam bentuk kewangan bagi menyokong usaha jihad golongan di medan perang. Sebagai contohnya saidina Abu Bakar menyerahkan hartanya demi perjuangan menegakkan syiar Islam. 3. Akal Fikiran dan Ilmu Sumbangan buah fikiran dan idea juga tergolong dalam ciri-ciri berjihad di jalan Allah. Sebagai contohnya Salman al-Farisi selain berjihad di medan perang juga menyumbangkan idea pembinaan parit di dalam peperangan Khandak. Selain itu menuntut ilmu adalah suatu jenis jihad di dalam Islam. Begitu juga para mujtahid yang berijtihad mengenai sesuatu hukum juga tergolong sebagai suatu jihad melalui akal fikiran.

Terdapat beberapa kategori jihad yang sangat dianjurkan Islam bahkan diwajibkan kepada setiap umat Islam mempertahankan hak-hak tersebut iaitu: 1. Jihad melawan hawa nafsu Berjihad melawan nafsu adalah jihad yang paling tinggi sekali darjat di sisi Islam. Melaluinya seluruh tenaga disalurkan supaya menuruti jalan dan manhaj yang digariskan oleh Allah SWT. Perjuangan ini adalah perjuangan dalam diri setiap individu Muslim dan ianya adalah fardu ain. Dalil yang boleh dikaitkan dengan jihad melawan hawa nafsu seperti dalam surah as-Syams ayat 7-10 yang bermaksud, Dan demi jiwa serta penyempurnaannya penciptaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya. 2. Jihad menentang syaitan. Syaitan adalah seteru manusia yang sebenarbenarnya. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan permusuhan antara syaitan dan manusia. Bahkan di dalam kisah Nabi Adam as dan iblis juga banyak mengisahkan permusuhan dan dendam iblis kepada manusia. Antara dalil al-Quran dalam surah al-Fathir ayat 6 yang membuktikan syaitan adalah musuh manusia adalah, Sesungguhnya syaitan itu seteru bagimu maka jadikanlah dia atau layanilah sebagai seteru. 3.Jihad menentang orang-orang kafir. Jihad menentang kafir terdapat dalam dua cara iaitu: -Pertama melalui dakwah dengan mengajak orang-orang kafir memeluk Islam. Ini kerana berdakwah juga adalah salah satu daripada jihad bagi orang Islam. -Keduanya adalah jihad melalui senjata iaitu memerangi orang kafir yang menggugat agama dan umat Islam. Golongan kafir terbahagi dua iaitu kafir zimmi dan kafir harbi. Kafir zimmi tidak harus diperangi sebaliknya kafir harbi adalah orang kafir yang mengancam negara, agama dan umat Islam. Apabila umat Islam diserang pihak musuh umat wajib berjihad bagi mempertahankan agama Islam. Di sini hukum fardu kifayah pada asalnya bertukar menjadi fardu ain apabila pihak musuh menyerang. Sebenarnya peperangan bukanlah suatu jalan penyelesaian di dalam Islam. Islam bukanlah agama pengganas seperti yang diwar-warkan oleh media Barat. Islam lebih menjurus kepada perdamaian melalui syura. 3. Jihad menentang golongan munafik. Seterusnya umat Islam juga berjihad menentang golongan munafik. Mereka tergolong sebagai musuh yang berselindung di sebalik nama Islam. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang membicarakan berkenaan golongan munafik

ini. Antara dalil al-Quran surah at-Taubah ayat 96 yang menyeru kepada jihad ke atas orang kafir dan munafik ialah, Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, bersikap kasarlah terhadap mereka. 4. Jihad menentang kemungkaran dan kezaliman Selain daripada berperang menentang musuh, umat Islam juga digalakkan menentang kemungkaran dan kezaliman di dalam sesebuah pemerintahan. Dalil daripada al-Quran surah Ali Imran ayat 11 yang bermaksud, Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sehubungan itu setiap orang mestilah mengamalkan konsep amar makruf dan nahi mungkar. Ini kerana selain tentangan pihak musuh, Islam menjadi lemah ekoran sikap umatnya sendiri. Kesimpulan: Umumnya jihad membawa maksud yang sangat luas. Ianya tidak boleh disempitkan kepada jihad di medan perang semata-mata. Justeru jihad dalaman seperti melawan hawa nafsu dan godaan syaitan juga tergolong jihad fardu ain. Sebaliknya jihad menentang orang-orang kafir hanyalah jihad fardu kifayah dan ianya bertukar wajib apabila pihak musuh menyerang atau mengancam Islam dan umatnya. Akhir sekali saranan untuk mengaplikasikan jihad di dalam kehidupan seharian Muslim seperti berikut; jihad melawan hawa nafsu, godaan syaitan, kaum kafir harbi, golongan munafik dan amal makruf nahi mungkar. Oleh itu, sekiranya setiap Muslim mengamalkan serta menghayati semangat jihad nescaya kegemilangan Islam akan kembali menyinari dan membawa kesejahteraan kepada alam ini. Segala yang hak itu datang dari Allah Taala dan yang bathil itu atas kelemahan saya sendiri. Sekian , Wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Anda mungkin juga menyukai