Anda di halaman 1dari 3

KISAH NABI SULAIMAN DENGAN RATU BALQIS

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-
rakan seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,

Bermain pasir bersama rakan,

Kisah Nabi Sulaiman pilihan cerita,

Mari bersama kita dengarkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tersebutlah kisah suatu cerita,

Nabi Sulaiman yang bijaksana,

Memerintah kerajaan adil dan saksama,

Bersama haiwan-haiwan boleh berbicara.


Rakan-rakan sekalian,

NABI Sulaiman dianugerahkan Allah kebijaksanaan sejak remaja lagi. Beliau juga memiliki pelbagai
keistimewaan, termasuk mampu bercakap, memahami dan memberi arahan terhadap jin dan haiwan
sehingga semua makhluk itu mengikuti kehendaknya.

Bertitik tolak daripada peristiwa itu, kewibawaan Sulaiman semakin terserlah. Melihat kecerdasan akal
yang ditonjolkannya itu, Nabi Daud menaruh kepercayaan dengan mempersiapkannya sebagai
pengganti dalam kerajaan Bani Israel. Setelah kewafatan Nabi Daud, maka Nabi Sulaiman pun diberikan
kuasa sebagai pemimpin. Beliau juga dapat menundukkan jin, angin dan burung, sehingga dapat disuruh
melakukan apa saja, termasuk mendapatkan tembaga dari perut bumi.

Rakan-rakan yang dikasihi,

Setelah membangunkan Baitulmuqaddis, Nabi Sulaiman menuju ke Yaman. Tiba di sana, disuruhnya
burung hud-hud mencari sumber air. Tetapi burung berkenaan tiada ketika dipanggil. Ketiadaan burung
hud-hud menimbulkan kemarahan Sulaiman. Selepas itu, burung hud-hud datang kepada Nabi Sulaiman
dan berkata: “Aku telah terbang untuk mengintip dan terjumpa suatu yang sangat penting untuk
diketahui oleh tuan di Negeri Saba’…”

“Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita bijaksana yang memerintah Saba’ dan mempunyai
singgahsana yang besar. Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah…”

Mendengar berita itu, Nabi Sulaiman mengutuskan surat mengandungi nasihat supaya menyembah
Allah kepada Ratu Balqis. Surat itu dibawa burung hud-hud dan diterima sendiri Ratu Balqis. Selepas
dibaca surat itu, Ratu Balqis menghantarkan utusan bersama hadiah kepada Sulaiman.

Rakan-rakan sekalian,

Nabi Sulaiman melayan utusan tersebut dengan baik dan menceritakan pengalaman yang dialami di
Yaman kepada Ratu Balqis. Ini membuatkan Ratu Balkis berhajat untuk berjumpa sendiri dengan Nabi
Sulaiman. Keinginan Ratu Balqis itu diketahui Nabi Sulaiman terlebih dahulu dan beliau memerintahkan
tenteranya yang terdiri daripada manusia, haiwan dan jin untuk membuat persiapan bagi menyambut
kedatangan Ratu Balqis.

Nabi Sulaiman juga memerintahkan Ifrit supaya membawa singgahsana Ratu Balqis ke istananya. Apabila
Ratu Balqis tiba Sulaiman bertanya : “Seperti inikah singgahsanamu?” Dijawab Ratu Balqis: “Ya, memang
sama seperti singgahsanaku”. Kemudian Ratu Balqis dipersilakan masuk ke istana Nabi Sulaiman.
Namun, ketika berjalan di istana itu, sekali lagi Ratu Balqis terpedaya, kerana menyangka air pada lantai
istana Nabi Sulaiman, sehingga menyelak kainnya.

Berkatalah Sulaiman; “Sesungguhnya ia istana licin yang diperbuat daripada kaca”. Berkatalah Balqis;
“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama
Sulaiman dan kepada Allah, Tuhan semesta alam.”

Peristiwa itu menyebabkan Ratu Balqis berasa sangat aib dan menyedari kelemahannya, sehingga dia
memohon ampun atas kesilapannya selama ini dan akhirnya dia diperisterikan oleh Nabi Sulaiman.

Rakan-rakan sekalian,

Pengajaran dari cerita ini ialah :

Pertama : Kita hendaklah beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Kita juga wajib percaya
bahawa Allah Maha Berkuasa untuk menjadikan sesuatu perkara. Tiada perkara yang mustahil dunia ini.

Kedua : Kita juga hendaklah berani untuk berdakwah dan menyampaikan keindahan Islam kepada
sesiapa saja.

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai