Anda di halaman 1dari 6

Tiga waktu terbaik untuk memancing

Oleh Nuri Angkasa

BERTANYAKAN waktu paling baik untuk menjalankan aktiviti memancing di laut


selain kena lubuknya, umpan dan air pasang surut maka beberapa pakar veteran
nelayan yang sempat ditemui sependapat bahawa masa paling sesuai untuk
memancing ialah pada waktu senja sebelum matahari terbenam di kaki langit,
tengah malam dan waktu awal pagi sebelum terbit fajar.

Tiga waktu pilihan yang disebutkan di atas berdasarkan pengalaman nelayan yang
hidup mereka sebati dengan laut atau paling tepat diterjemahkan bahawa laut
adalah pintu rezeki mereka. Kerana itu pelbagai usaha dilakukan bagi mengenal
pasti untuk meraih rezeki seharian pada tahap maksimum.

Justeru, Petua Pak Nuri kali ini cuba mengaitkan tiga faktor masa yang disebutkan di
atas untuk kita berkongsi sambil menentukan arah tuju petua lama dan baru yang
boleh diguna pakai pada zaman moden ini.

Walaupun perubahan sentiasa berlaku, petua tetap petua. Cuma soal mengamalkan
petua itu saja yang mula dilupakan oleh generasi muda hari ini, termasuklah tekong
dan pemancing muda (tidak semua). Ini kerana peralatan moden seperti pengesan
GPS dan sonar dalam banyak kelebihan berjaya mematahkan keupayaan petua.
Namun bukan semua petua dapat dipatahkan kerana petua adalah amalan yang
dihasilkan daripada gerak rasa serta suasana sekeliling dan alam semula jadi.

Petua kembali semula pada tiga masa terbaik memancing sekali pun tidak pada
musim air mati. Waktu senja pilihan pertama, kerana pada waktu ini ikan akan keluar
mencari makan dan akan berada dalam kawasan karang, lubuk atau tukun.

Pilihan kedua pada waktu tengah malam. Ini kemungkinan ada spesies ikan besar
keluar mencari makanan seperti anak ikan sama ada di dasar laut mahu pun di
permukaan air yang dihuni oleh banyak spesies ikan kecil bermain. Tetapi ada
risikonya mengenai arus air yang deras yang bakal kita hadapi.

Terbaik ialah pada waktu awal pagi yang bermula 4 hingga 6 pagi. Ini kerana pada
waktu itu ikan akan keluar semula mencari makan dalam keadaan lebih ganas.
Begitulah pengakuan orang lama yang sudah sebati hidupnya dengan laut.

Ada juga yang memilih air mati yang ada kalanya berbeza dari satu kawasan
dengan kawasan lain. Tetapi petua tetap petua dan baik untuk diamalkan.

Carilah tiga waktu ini untuk memancing di lubuk, karang atau tukun yang sudah
dikenal pasti selain faktor umpan terbaik dan teknik memancing juga perlu dilakukan
selaras dengan cita rasa alam sekitarnya bagi menjamin tangkapan lumayan.
Bawa tasbih setiap kali memancing
Oleh Nuri Angkasa

RASANYA sangat baik jika pemancing yang beragama Islam sentiasa membawa
tasbih semasa turun memancing terutama ketika di laut, tasik atau tebing sungai.
Apatah lagi kepada mereka yang terpaksa bermalam untuk beberapa hari serta
berkhemah.

Kekuatan semangat melalui zikir dapat disempurnakan semasa ruang tidak


diganggu ikan yang memburu umpan. Namun beberapa terjemahan lain yang
banyak tercatat dalam hadis nabi besar Muhammad (SAW), zikir adalah azimat
ketenangan jiwa dan menghalau hantu syaitan serta mendapat pahala dari Allah.

Justeru adalah baik jika semua pemancing beragama Islam dapat melakukan
kebaikan ini setiap kali turun memancing. Membawa bersama seutas tasbih semasa
turun memancing tidak bermakna mengangkat diri sebagai seorang ustaz atau jaguh
agama, tapi tasbih memberi erti yang lebih besar bagi orang yang mahu mengerti
tentang kelebihannya.

Pernah berlaku kepada seorang pemancing laut yang dirinya rasa kurang sihat,
bagaikan ada sesuatu yang mengganggu, dengan melakukan zikir perubahan dapat
dirasakan malah dirinya merasa sihat.

Kelebihan zikir yang mendapat keberkatan Allah tidak hanya di masjid, surau atau
pada setiap waktu selepas solat di rumah, tapi ia boleh dilakukan di mana saja di
bumi Allah yang luas ini, cuma jujur dan ikhlas di hati yang menjadi faktor utama.

Bertitik tolak dari sini, Petua Pak Nuri mengajak semua pemancing dapat
mengamalkan zikir semasa memancing jika keadaan mengizinkan.

Selain itu kurangkan waktu tidur semasa memancing dan lebihkan aktiviti
memancing kerana itu tujuan utama kita turun untuk memancing, semasa umpan
belum disentuh ikan, zikir sangat bermakna untuk mengelak daripada keadaan
kurang selesa.

Mengambil kira semua aspek keselamatan menjadi satu tanggungjawab bagi setiap
pemancing tidak kira di mana lokasinya dan sentiasa mengamalkan semangat
berpasukan.

Tasbih dan zikir jangan di pisahkan, bawalah ke mana anda pergi kerana kedua-
duanya adalah amalan paling baik jika dapat dilagukan serentak dengan kesabaran,
mohon perlindungan Allah dari sebarang kejahatan.
Berteman bukan orang ketiga
Oleh Nuri Angkasa

APAKAH yang paling baik bagi persediaan menjaga keselamatan diri ketika berada
di laut selain daripada sentiasa memakai jaket keselamatan? Soalan begini harus
ada pada setiap kaki pancing ketika mereka memancing di laut terutama keadaan
cuaca yang tidak menentu. Langkah paling baik ialah menyediakan pelampung dan
tali berdekatan dengan kita pada setiap masa. Juga pastikan ada dua pemancing
yang tidak tidur pada siang atau pun malam hari kerana mereka inilah yang bakal
menjaga keselamatan anda semua selain diri sendiri.

Kadang kala tekong sendiri yang lebih awal menarik bantal untuk berehat kerana
terlalu letih atau badan kurang sihat. Ataupun dia tekanan masalah. Justeru, anda
yang ada pengalaman harus bertanggungjawab sebagai orang paling kanan untuk
bertindak serta melindungi keselamatan rakan lain.

Sebagai orang yang tidak tidur pada waktu malam, anda boleh mengisi masa
bersama seorang lagi rakan untuk memancing. Anda dan seorang dua rakan mesti
sentiasa ada bersama untuk memastikan bot tidak hanyut (sauh tidak lekat di dasar
atau tali tersangkut). Anda juga bertanggungjawab memastikan tidak ada kapal
dagang yang lalu berdekatan atau bot nelayan lain yang mungkin tersalah sasar
laluan.

Anda turut bertanggungjawab untuk mengawasi rakan pancing lain yang mungkin
tersalah langkah lalu jatuh ke laut. Maka pertolongan pantas dari anda sangat
diperlukan. Kerana itu biasanya tekong yang bakal menjaga kita semua dan
melayan kita supaya tidak tidur dengan melakukan pelbagai usaha seperti
menyajikan air kopi panas dan menghidangkan makanan ringan seperti biskut,
keropok atau kerepek supaya anda terus memancing sambil bersembang atau
sambil bertasbih.

Pernah berlaku beberapa insiden buruk, bot dilanggar kapal atau bot hanyut
kemudian terhempas pada batu karang. Ini semua gara-gara semua pemancing
termasuk tekong; tertidur dengan nyenyak. Maklumlah, tidur dengan badan penat
dan dibuai angin laut memang mengasyikkan.

Kadang kala soal keselamatan termasuk langkah berjaga waktu malam dianggap
tidak begitu penting sama ada untuk difikir atau diambil tindakan. Tetapi setelah
berlaku tragedi yang meragut nyawa baru hendak kita kesalkan. Ketika itu kesal
sudah tidak berguna lagi.

Justeru, langkah terbaik perlu diambil kira lebih awal supaya perkara buruk dapat
kita atasi dan kesal kemudian yang tidak berguna itu tidak berlaku.

Bagaimana pun, berjaga malam seorang diri pula tidak digalakkan. Kita mesti
berteman dengan rakan pancing lain supaya anda tidak ditemani orang ketiga atau
empat lain yang meragukan.

Anggap tidak dapat ikan sebagai ujian


Oleh Nuri Angkasa

RAMAI yang bertanya Pak Nuri, apakah petua yang membolehkan kita mendapat
ikan setiap kali turun memancing. Pada masa sama, petua itu boleh mengatasi
rakan pancing yang lain.

Ada beberapa petua yang perlu diamalkan. Ini tidak ada kaitan dengan
mengamalkan serapah jampi atau kepercayaan yang boleh memisahkan akidah
sebenar yang dituntut oleh agama Islam. Kita kena berpegang pada kalam Allah -
rezeki, jodoh pertemuan dan kematian di tangan Allah - dan berusaha itu satu
kewajipan.

Justeru, petua memancing untuk mendapat ikan, kita kena tahu jenis umpan yang
digemari oleh spesies ikan di sesuatu kawasan memancing, waktu ikan lapar dan
memburu umpan. Arus air laut dan perambut panjang atau pendek turut memainkan
peranan bagi menarik perhatian spesies ikan.

Lokasi tukun, lubuk atau karang yang sudah dikenal pasti ada dihuni ikan dan
umpan yang terbaik seperti ikan atau udang hidup tentu berjaya menjinakkan ikan
dengan teknik pancing dasar atau jigging.

Dalam soal ini, tidak ada amalan serapah jampi diguna pakai bagi menarik perhatian
ikan. Namun apa yang berlaku di dasar laut ialah umpan terbaik saja yang akan
diburu ikan. Anda perlu selalu menukar umpan sambil bermain tali supaya umpan
yang terapung itu dapat menarik perhatian ikan yang berlegar-legar di dasar.

Usaha ini perlu dilakukan dengan sabar dan yakin walaupun kadang kala ada
umpan pemancing yang tidak disentuh langsung oleh sebarang ikan dalam masa
yang begitu panjang sedangkan rakan pancing di kiri kanannya sudah berjaya
mendaratkan pelbagai spesies ikan.

Kerana terlalu kecewa, ada pemancing akan sering bertukar-tukar joran dengan
rakan sebelah. Namun beliau tetap menerima nasib yang sama. Sedangkan rakan
yang menggunakan joran yang berpindah tangan itu terus mendaratkan ikan seperti
biasa.

Justeru, ini bukan salah joran atau umpan yang tidak kena. Umpan yang digunakan
adalah sama dan kadang kala tekong sendiri yang memasangnya. Berakhir
ekspedisi 24 jam atau 36 jam, pemancing itu menerima nasib kurang baik kerana
tiada seekor ikan yang dapat dipancing.

Siapa yang salah dalam perkara ini? Kenapa ikan tidak mahu menyentuh umpan
pemancing ini? Sedangkan ikan mungkin banyak di dasar dan meragut umpan yang
sama digunakan oleh rakannya?

Dalam situasi begini, kita harus menerima hakikat bahawa mungkin ini satu dugaan
Allah dan tentu ada hikmah di sebaliknya. Anda jangan sekali-kali menyalahkan diri
sendiri atau lebih teruk anda menganggap diri anda seorang yang malang.

Ingatlah, Allah yang menentukan nasib anda dan rezeki yang bakal diperoleh kelak.
Syaratnya anda kena bersabar dan sentiasa bersyukur.

Suami gantung joran apabila isteri hamil


Oleh Nuri Angkasa

KEPERCAYAAN melarang suami memancing apabila si isteri mengandung sudah


menjadi satu daripada budaya masyarakat Melayu sejak berzaman dulu lagi.
Justeru, Pak Nuri terpanggil untuk mengisi ruangan kali ini dengan pendapat
beberapa orang nelayan veteran dan pakar agama yang boleh memberi pandangan
serta fatwa terbaik bagi menyelesaikan keraguan di kalangan orang ramai.

Menurut pandangan Tok Daing Mahadi, nelayan berusia 89 tahun dari Sungai Besar,
Sabak Bernam, Selangor ketika ditemui penulis beberapa bulan lalu, bahawa
kepercayaan itu diada-adakan oleh isteri serta keluarga kedua-dua pihak. Larangan
supaya suami tidak turun memancing ketika isteri hamil adalah kerana bimbang bayi
yang bakal lahir akan mendapat kecacatan seperti mulut sumbing, badan bersisik
ataupun ada tabiat menyukai air dan pelbagai lagi gambaran atau andaian buruk
yang semata-mata untuk menakutkan suami.

Larangan ini terus dipercayai oleh mereka yang benar-benar bimbang kelahiran
anak pertama mendapat cacat. Tetapi bagaimana dengan nelayan yang bergantung
hidup sepenuhnya pada pada hasil tangkapan atau hasil pancingan ikan di laut,
sungai atau tasik? Apakah mereka turut tidak turun ke laut sepanjang tempoh isteri
hamil?

Tok Daing Mahadi mempunyai kepercayaan sendiri lalu menyerahkan takdir ini
kepada Allah. Nelayan terus turun ke laut untuk mencari rezeki walaupun isteri
berbadan dua atau hamil dan Alhamdulillah bayi yang lahir berada dalam keadaan
cukup sifat (tidak ada sebarang kecacatan).

Begitu juga dengan pandangan seorang tokoh agama dari Besut, Terengganu Tuan
Haji Embong yang tidak menolak kepercayaan ini adalah satu ikhtiar untuk
menyekat suami dari turun memancing ketika isteri hamil. Ini bukan pandangan
ulama atau ajaran agama Islam. Justeru hakikat ini tidak harus dijadikan amalan
untuk menghalang suami turun ke laut mencari rezeki.

Namun ada kepercayaan berikutan berlaku kelahiran bayi cacat seperti sumbing
bibir kerana suami dikatakan mengoyak mulut ikan ketika mengeluarkan mata kail
yang menelan umpan lalu cerita itu dikaitkan dengan cacat anak yang lahir itu
sebagai bukti yang terus dipercayai hingga hari ini.
Untuk itu, sebagai umat Islam kita harus menyedari bahawa Allah tidak menghalang
hamba-Nya keluar mencari rezeki yang halal walau dalam keadaan isteri hamil.
Cuma atas rasa simpati jika mahu diterjemahkan sebagai kasih sayang pasangan
suami isteri, maka suami akan terus berada di samping isteri pada saat-saat
diperlukan. Perasaan kasih sayang begini juga dituntut oleh agama dan mendapat
pahala dari Allah. Namun itu juga bukan satu petua yang terus menghalang turun ke
laut ketika isteri hamil. Sesungguhnya Allah maha berkuasa lagi maha bijaksana.

Anda mungkin juga menyukai