Anda di halaman 1dari 9

Cara pulih mangsa mabuk laut

Oleh Nuri Angkasa

MASALAH mabuk laut masih terus diperkatakan. Ini kerana kelemahan yang sukar
dikawal dan dirungkai sebabnya itu menjadi satu masalah besar kepada pemancing. Di
mana saja kita pergi, orang akan bertanya bagaimana untuk mengatasi masalah
berkenaan terutama yang dialami pemancing baru.

Kali ini Pak Nuri ingin menurunkan beberapa lagi petua untuk diamalkan yang kadang-
kadang kita pandang remeh tetapi memberi kesan yang baik untuk mengatasi pening
atau muntah ketika di laut atau sekembalinya kita ke darat.

Pernah berlaku kepada beberapa rakan pancing yang baru berkenalan dengan laut
mengalami mabuk teruk hingga terpaksa dipapah naik ke darat. Ada juga antara mereka
juga rebah dan merangkak.

Jika ini berlaku, langkah pertama yang perlu diambil ialah mangsa perlu direhatkan
untuk beberapa ketika dalam bot sebelum di naik ke darat. Bantu mangsa berdiri
dengan cara memimpin (bantuan kawan). Jangan sekali-kali biarkan mereka turun dari
bot atau memanjat tangga jeti sendiri. Ini untuk mengelakkan mangsa jatuh dan
kepalanya terhentak pada benda keras atau terhumban ke laut di pangkalan.

Rehatkan mangsa di tempat redup dan kawasan lapang di darat. Lakukan rawatan
ringan seperti memicit tengkuk dengan menyapu minyak angin serta memberi minum air
masak. Jika boleh, sediakan makanan masam bagi membasahkan tekak yang sudah
kering itu.

Setelah rasa lega cuba bangunkan mangsa. Jika didapati keadaan berdirinya masih
belum dapat dikawal dengan baik, rehatkan mangsa buat kali kedua. Lakukan ini
beberapa kali. Insya-Allah mangsa akan dapat mengawal diri walaupun masih terasa
bumi yang dipijak bergoyang ketika berjalan dalam rumah atau berada dalam tandas.

Nasihat Pak Nuri, anda (mangsa yang mabuk di darat) akan mengalami rasa tidak
menentu ini untuk beberapa ketika. Namun, jangan bimbang. Anda perlu banyak berehat
dan tidak keluar berjalan dalam keadaan langkah yang belum terkawal. Berehat dalam
keadaan duduk atau separuh duduk dan tidak digalakkan berbaring kerana ini boleh
menyebabkan pening anda bertambah teruk.

Langkah akhir anda jangan serik turun ke laut. Amalkan untuk jadikan petua bagi segala
pengalaman pahit dan manis ketika berada di laut mahupun di darat. Kekalkan nilai
pepatah bahawa 'alah bisa tegah biasa'.

Perut ikan perlu segera dibuang


Oleh Nuri Angkasa

KALANGAN ahli keluarga kaki pancing tentunya mengharapkan rezeki lumayan yang
bakal dibawa oleh pemancing dari laut. Mereka pasti membayangkan ikan segar dan
masih terasa manis untuk dijadikan lauk. Justeru, cara terbaik bagi pemancing ialah
menyediakan tong air batu yang sempurna supaya rezeki tangkapan sentiasa segar
ketika berada di laut dan selama tempoh perjalanan balik ke rumah.

Perkara ini tentu tidak menjadi masalah besar kerana tong ikan yang dibawa oleh setiap
pemancing dapat menjamin kesegaran ikan melebihi tiga hari. Namun apa yang perlu
diingatkan ialah ikan yang dibawa pulang tidak dapat bertahan lama dalam ais yang
mudah bertukar menjadi air yang tidak dapat menjamin kesegaran ikan jika berada
terlalu lama di laut.

Oleh sebab itu, sebaik saja anda tiba di rumah ikan terpaksa disiang dengan bersih,
manakala ikan yang bersaiz besar anda boleh lakukan dua cara untuk menyiangnya.
Pertama, anda perlu buang perut dan basuh dengan bersih. Perut adalah tempat paling
sensitif bagi ikan yang dibawa dari laut atau sungai. Ia tidak dapat bertahan lama
walaupun disimpan lama dalam peti ais.

Tempoh melebihi 48 jam akan menyebabkan perut ikan busuk dan proses itu meresap
pada bahagian isi dan pastinya ikan berkenaan tidak segar lagi.

Langkah terbaik, anda mesti mengosongkan tong ais sebaik tiba di rumah. Kemudian
ikan mesti segera disiang dan basuh dengan bersih lalu dibungkus dengan surat khabar
dan simpan dalam peti ais bahagian pembeku.

Jangan amalkan menyimpan semula ikan yang sudah disiang dalam tong ais yang berisi
air ais yang mencair walau pun tahap sejuknya dapat menyegarkan ikan.

Jika terpaksa membuat pilihan kedua atas sebab peti sejuk sudah penuh dengan ikan,
anda perlu membeli ais ketul yang baru dan masukkan ais berkenaan dalam tong yang
sudah dibersihkan. Kemudian masukkan ikan yang sudah disiang dalam tong
berkenaan. Tutup dengan guni bersih di atas timbunan ikan sebelum menutup rapat
tong berkenaan dan jangan dibuka lagi selepas itu, kecuali ada sebab tertentu.

Ini adalah petua terbaik bagi mengekalkan tahap kesegaran ikan supaya dapat bertahan
lama melalui ketul ais yang padat dan bukan direndam dalam air yang sudah sejuk.

Hujan lebat pembunuh angin, hujan


Oleh Nuri Angkasa

BIASANYA, nelayan yang bergantung hidup di laut sepenuh masa sering mengamalkan
beberapa petua terutama sebelum melangkah turun dari rumah, atau sekurang-
kurangnya melangkah masuk dalam sampan atau bot. Ada juga yang melakukan petua
memanggil ikan dengan jampi serapah menggunakan ayat Al-Quran. Justeru Petua Pak
Nuri kali ini lebih kepada kepala angin yang lebih awal tiba sebelum berlaku ribut.

Menurut pengalaman nelayan terutama golongan veteran yang sering berdepan dengan
keganasan laut terpaksa mempelajari beberapa petunjuk mengenai ribut, gelombang
besar, hujan, guruh dan kilat yang datang secara tiba-tiba pastinya ada cerita sendiri
tersendiri untuk dijadikan pedoman bagi generasi muda hari ini.
Ada sesetengah tekong muda tidak mengambil berat mengenai amaran atau mengambil
kira keadaan semasa yang berlaku. Namun ada di antara kaki pancing yang
berpengalaman kadang-kadang memberikan kerjasama kepada tekong sebagai langkah
keselamatan.

Daripada pengalaman beberapa veteran nelayan yang dapat dipetik bahawa peringatan
yang perlu diambil kira seperti guruh kuat dentumnya beserta kilat membatang dan
angin mula sejuk bertiup di cuping telinga, anda segera mencari tempat perlindungan
walaupun ketika itu ikan galak memburu umpan.

Ketika dalam keadaan ribut dan gelombang besar melanda, hujan tiba datang dengan
lebatnya dan ini satu tanda baik buat kaki pancing kerana hujan dapat membunuh angin
dan gelombang.

Anda kena bersabar kerana sebaik saja ribut berhenti dan gelombang besar kian
menurun tentunya spesies ikan di dasar galak dan lapar, kesempatan ini jangan anda
abaikan.

Apa pun sesetengah tekong tidak mudah untuk meninggalkan kawasan perlindungan
kerana tidak mahu terperangkap ribut kedua yang masih degil namun harapan anda
untuk melakukan aktiviti memancing terbuka luas sebaik saja ribut reda.

Cuma anda dan tekong mesti bekerja sama dan tidak mudah melatah kerana laut
walaupun sudah berwajah baik tapi jaminan seratus peratus baiknya itu belum boleh di
percayai.

Perkara penting untuk diambil kira semasa berada di laut ialah amaran awal kedatangan
ribut serta tanda angin kencang akan berhenti perlu dijadikan petua yang terus kekal
dalam ingatan kaki pancing.

Tali penting ketika memancing


KALI ini Pak Nuri masih ingin membicarakan langkah berjaga-jaga semasa di laut.
Sebelum ini beberapa kali Pak Nuri menasihatkan pemancing supaya beringat-ingat
bahawa laut tidak boleh dibuat janji justeru kita perlu bersedia dengan langkah
keselamatan perlu.

Pak Nuri ingin memberitahu kembali mengenai peranan tali temali yang perlu dibawa
dalam sampan semasa turun ke laut. Peranan ini didedahkan oleh Pak Dali pelaut
veteran yang kini sudah berusia 90 tahun dan tidak lagi berjinak dengan laut, tapi di
rumahnya masih terdapat beberapa utas tali sauh yang sudah uzur namun tersimpan
dengan rapi.

Merenung tali yang bergantung di dinding rumahnya di Semerah Johor, ketika


menziarahi beliau beberapa bulan lalu Pak Dali menerangkan tali berkenaan
menyelamatkan nyawa seorang pemancing yang terhumban ke laut.

“Keadaan menjadi kelam kabut dalam sampan tapi dengan pantas Tok lemparkan tali
kepada mangsa yang sudah hampir tenggelam,” kata orang tua itu dan akhirnya berjaya
menyelamatkan mangsa yang sudah tidak berdaya itu.
“Tali itulah yang sudah berjasa,” kata Pak Dali sambil memandang segulung tali yang
tersangkut di dinding rumahnya.

Malah ada beberapa cerita tali yang banyak memainkan peranan suka duka ketika di
laut. Justeru apa yang menarik yang hendak dikongsi bersama pada kali ini ialah tali
yang tentunya sudah ada dalam bot selain daripada tali sauh atau tali pengikat pada
tiang jeti atau di mana saja bot hendak dilabuhkan jika tidak menggunakan sauh.

Namun apa yang lebih penting persediaan tali dengan pelampung bulat yang berbentuk
bulat seperti tayar kereta perlu ada dalam bot sebagai langkah bersedia jika berlaku dan
tali ini sangat berguna.

Daripada beberapa peristiwa dan pengalaman yang dilalui oleh beberapa tekong dan
pelaut atau pemancing yang sudah berdepan dengan peristiwa yang diselamatkan oleh
tali dan pelampung Pak Nuri terpanggil untuk menjadikan utas tali yang kukuh serta
dengan pelampung berwarna putih atau merah supaya dapat di lihat sama ada pada
waktu siang atau malam.

Langkah persediaan awal ini sangat baik dan jadikan ini sebagai petua semasa
memancing di laut.

Buah-buahan masam ubat mabuk laut


MASIH banyak petua atau amalan yang perlu dilakukan oleh pemancing terutama
kepada pemancing laut dalam yang sering menghadapi mabuk atau mual tekak ketika
ekspedisi.

Pandangan beberapa veteran nelayan boleh diberi perhatian mengenai masalah ini.
Mual atau mabuk laut berlaku sejak dulu lagi dan pelbagai usaha dilakukan untuk
mengatasinya. Hasilnya, pelbagai cara dan kaedah dilakukan bagi mengekang musibah
itu yang pasti akan membantutkan keseronokan dan pemburuan. Namun paling mudah
dan berkesan ialah dengan membawa makanan ringan seperti buah-buahan atau gula-
gula yang tidak keterlaluan masamnya.

Gula-gula yang ada rasa masam biarkan sentiasa berada dalam mulut untuk mengelak
tekak tidak kering. Cengkih juga dapat membantu sebagai langkah ikhtiar mencegah
daripada menghadapi mabuk atau mual serta tekak kering.

Pernah berlaku dalam beberapa aktiviti memancing laut dalam, keadaan cuaca panas
terik mengakibatkan beberapa kaki pancing diserang mabuk, mual-mual dan tekak
kering. Walaupun mereka sudah meneguk beberapa botol air tetapi keadaan masih
berada pada tahap yang sama. Namun setelah diberi cengkih untuk beberapa ketika,
keadaan mabuk dan kering tekak dapat dipulihkan.

Kemudian anda perlu mengelak daripada terus mendedahkan diri di bawah bahang
panas matahari dalam tempoh yang lama.

Faktor lain yang perlu diambil kira ialah memakan buah-buahan masam yang
mengandungi banyak air supaya badan sentiasa berada dalam keadaan lembap dan
berair selain daripada berpeluh.

Pada masa sama, anda perlu mengambil tindakan ketika berada di laut untuk mengelak
daripada terus mabuk dan muntah.

Antara petua terbaik demi menjaga keselamatan, anda dinasihatkan tidak membongkok
di bibir bot dengan menghulurkan kepala keluar ketika melepaskan muntah. Perbuatan
ini sangat berbahaya kerana risiko anda boleh terhumban ke laut sangat besar dalam
keadaan kawalan diri anda yang sudah tidak menentu atau tidak seimbang itu.

Namun dalam apa juga keadaan, kerjasama daripada semua pemancing dalam bot
mesti dilakukan bagi bertindak sebagai sebuah pasukan.

Memancing duduk ketika gelora lebih selamat


KALANGAN pemancing laut perlu mengutamakan keselamatan diri dalam apa juga
keadaan ketika memancing terutama bila berlaku ribut dan gelombang besar. Cara
terbaik ketika menghadapi situasi begini ialah pemancing harus berjaga-jaga dengan
tidak berdiri dalam bot jika tangan tidak dapat berpaut pada tiang yang kukuh. Juga,
jangan berada di tepi kiri dan kanan bot kerana tindakan ini tidak menjamin keselamatan
anda.

Pernah berlaku peristiwa pemancing tercampak ke laut ketika memancing dalam


keadaan berdiri, begitu cerita tekong dari Kuala Pahang yang sudah berusia 82 tahun
dan kini sudah menetap di darat.

Pak Ali menceritakan detik cemas ketika membawa pemancing dari Johor Bahru dalam
keadaan ribut dan gelombang setinggi dua meter. Mereka masih berlabuh di unjam
kerana ikan selar bermusim dan peluang ini tidak mahu dilepaskan.

Mereka menggunakan teknik pancing apollo dalam keadaan yang kurang selesa namun
seorang daripada mereka berdiri di kawasan tepi bot walaupun ditegur tekong. Akhirnya,
beliau tidak dapat mengawal keseimbangan diri kerana bot dilambung ombak lalu
tercampak ke laut. Bagaimanapun, mangsa dapat diselamatkan oleh tekong.

“Saya terpaksa terjun untuk menyelamatkan pemancing berkenaan,” kata Pak Ali sambil
menggeleng-gelengkan kepala.

Justeru, daripada pengalaman pahit dan keadaan berbahaya itu maka ia perlu dijadikan
satu iktibar bahawa memancing dalam keadaan berdiri ketika laut bergelora perlu
mengambil kira keselamatan diri sebelum terjadi sesuatu yang boleh mengorbankan
nyawa.

Apa yang terbaik pada pandangan Pak Nuri jika keadaan laut tidak mengizinkan tetapi
terpaksa memancing juga, maka langkah terbaik yang boleh kita melakukan ialah
memancing dalam keadaan duduk (walaupun tidak selesa). Namun itu lebih baik
daripada menerima padah yang lebih buruk atau berdiri dengan mengikat badan pada
tiang yang kukuh dengan tali yang juga kuat. Sebaik-baiknya, anda gunakan tali
pinggang dengan kain getah yang kukuh.
Apa pun ini satu langkah keselamatan atau ikhtiar yang boleh diguna pakai jika hasrat
untuk terus memancing dalam keadaan laut yang bergelora. Tetapi, nasihat tekong perlu
dipatuhi kerana dia lebih arif dan waras dalam detik-detik cemas begitu.

Sebagai petua atau amalan, memancing dalam keadaan berdiri membuka ruang yang
lebih luas kepada risiko terhumban ke laut berbanding memancing dalam keadaan
duduk.

Pak Nuri ingin mengingatkan kepada pemancing laut supaya mengutamakan


keselamatan diri daripada mendapat keselesaan atau terlalu teruja untuk mendapatkan
habuan. Cara lebih selamat dan ini pasti langkah bijak ialah bot pergi berlindung di balik
pulau atau masuk ke muara ketika laut bergelora. Ingat, nyawa tidak ada tukar gantinya.

Zikir dalam bot bawa ketenangan


Oleh Nuri Angkasa

ADA beberapa petua Pak Nuri yang perlu diulang semula untuk memantapkan lagi
keyakinan mengenai berkesan segala amalan yang diguna pakai terutama ketika berada
di laut yang tiada penghujung mata memandang atau dikelilingi pulau yang wujud
beratus juta tahun sekali gus tentu ada menyimpan misteri tersendiri atau dihuni
penghuni yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Daripada beberapa petua yang Pak Nuri nyatakan sebelum ini dalam halaman ini,
mungkin masih ada yang tertinggal. Justeru dalam halaman kali ini Pak Nuri masih
mengaitkan adanya pantang larang yang perlu diambil kira ketika di laut, bekas lombong
di tengah belukar, tasik di belantara mahupun di kuala sungai apabila tibanya waktu
senja (antara waktu siang bertukar pada malam).

Pada waktu begini, kita kena lebih berhati-hati supaya tidak banyak (kalau boleh jangan
sekali-kali) bersiul, menjerit atau menyanyi dengan suara yang lantang kerana laut yang
dihuni oleh makhluk halus dan berkeliaran pada waktu begini. Tindakan kita berkeliaran
dan bersuka-suka dikhuatiri akan mendorong makhluk itu mengusik kita yang tidak
menyedari kedatangan mereka.

Langkah terbaik pada waktu begini ialah memperbanyakkan berzikir atau berehat
dengan membaca ayat suci al-Quran. Yang pasti, jangan lupa menunaikan solat wajib
lima waktu. Lakukan ini untuk beberapa waktu setelah menjelang malam. Kemudian,
kita boleh meneruskan aktiviti memancing dengan selesa. Namun dengan tidak bersiul,
menjerit atau menyanyi dengan melepaskan suara yang kuat dibimbangkan akan
mengundang bahaya tidak diundang atau tidak diduga daripada pihak kedua itu.

Namun dalam apa juga yang kita lakukan terutama pada waktu malam atau di tempat
yang dapat dirasakan berlainan, anda perlu melakukan zikir dan ini boleh dizahirkan
dengan suara dengan kuat.

Pernah berlaku ketika melakukan zikir begini dapat diikuti oleh suara kedua yang tidak
dapat dilihat wajah nyatanya. Cuma suara saja yang dapat didengar mengikut suara
zikir kita, demikian cerita seorang tekong dari Parit Unas, Muar ketika penulis bertanya
mengenai makhluk halus yang boleh mengikut bacaan ayat suci itu.
Beliau tidak menolak mungkin adanya makhluk meniru mengikut bacaan kita mahu pun
berzikir bersama tetapi cuma beberapa saat saja atau pada ayat-ayat tertentu saja.
Justeru, kita harus mengalahkan suara kedua itu supaya kita menang dan suara kedua
hilang kerana dengan kekalahan.

Justeru, berzikirlah dengan pelbagai lagu atau irama kerana berzikir itu adalah
ketenangan selain mendapat pahala.

Rahsia air jerang berkhasiat tinggi


KALI ini Pak Nuri mahu memetik petua amalan seorang tua nelayan yang hingga hari ini
masih berupaya mendayung sampan berulang alik mencari rezeki di togok (kelong) di
perairan Parit Jawa, Muar, Johor.

Usia beliau kini menjangkau 86 tahun. Warga tua ini yang banyak menimba ilmu dari
laut sejak kecil, masih meneruskan kegemaran mengisi masa lapang di laut. Walaupun
kerja ini kurang disenangi isteri dan anak-anaknya tetapi beliau merasakan laut banyak
memberi ketenangan kepada jiwanya.

Dikenali sebagai Pak Mion, beliau mengamalkan meminum air jerang (air panas yang
disejukkan pada kadar sederhana).

“Pakcik minum seawal pagi. Sebelum membasuh muka, air panas mati (jerang) diminum
segelas besar selepas membaca selawat. Lakukan (teguk) dengan satu nafas jika
terdaya,” kata Pak Mion sambil tersenyum dengan menampakkan barisan giginya yang
masih kukuh berbaris dalam mulutnya.

Di samping itu, beliau turut melakukan senaman kecil di halaman rumah sebaik selesai
menunaikan solat subuh. Beliau menghirup udara pagi yang pasti menyegar dan
melapangkan dada.

“Udara pagi sebelum terbit mata hari adalah baik untuk kita. Kita membuat senaman
supaya badan dapat mengeluarkan peluh dan bila berpeluh pasti badan sihat,” katanya
lagi sambil mengingatkan supaya kita tidak memaksa diri untuk melakukan senaman
yang berat.

“Cukup hanya mengeluarkan peluh dengan menggerak-gerak otot yang bekerja untuk
beberapa minit saja. Selepas itu, kita berehatlah,” katanya dengan nada selamba tetapi
penuh dengan pengajaran.

Justeru, melalui petua tradisi ini, Pak Nuri menyeru kepada semua kaki pancing supaya
dapat mengamalkan senaman ringan ini di mana saja kita berada terutama ketika
berada dalam bot dan dilakukan seawal pagi - itu pasti lebih mujarab!

Di samping itu, kita perlu mengamalkan minum air masak pada setiap waktu. Lagi
banyak kita minum, lebih baik untuk kesihatan dalam perut dan kesihatan
keseluruhannya.

Dalam apa pun tindakan apa dilakukan oleh kaki pancing, jangan sekali-kali lupa atau
lengah mengambil air minum yang banyak (air jerang). Tetapi awas - anda tidak
mengamalkan meminum air yang dicampur dengan ketul ais. Air batu sebenarnya cuma
dapat memberikan kelegaan daripada panas tekak untuk seketika. Tetapi ia tidak
mendatangkan kebaikan kepada kesihatan yang berkekalan berbanding dengan air
masak.

Pak Mion masih terus mengamalkan air masak atau air suam hingga hari ini yang
membolehkan masih kelihatan sihat hingga mencecah usia 86 tahun. Kenapa kita tidak?

Pemancing perlu bekas umpan kecil sendiri


Oleh Nuri Angkasa

PETUA untuk memastikan ikan atau sotong umpan sentiasa berada dalam keadaan
segar jika tidak diletakkan dalam keadaan hidup dalam satu tempat khas yang ada
oksigen; tentunya bahan umpan itu dimasukkan dalam peti sejuk. Yang sebaik-baiknya
peti sejuk itu tidak kerap atau sewenang-wenangnya dibuka bagi memastikan tahap
sejuknya berterusan.

Langkah terbaik ialah pemancing boleh mengambil beberapa ekor sotong dan ikan
(jenis selayang atau selar) dimasukkan dalam bekas umpan. Bekas yang sebaik-
baiknya ialah yang kecil kerana saiz ini mampu mengekalkan tahap sejuknya.

Bekas umpan ini elok tidak dikongsi. Kerana cara ini juga boleh mengelakkan
ketidakselesaan memancing terutama ketika hendak menukar umpan. Justeru, adalah
baik untuk tidak mengganggu rakan pancing yang lain dengan memiliki bekas umpan
sendiri. Cuma ais mestilah sentiasa berada pada tahap sejuk.

Satu perkara yang perlu diambil ingatan ialah umpan antara sotong dan ikan hendaklah
diasingkan. Ini kerana kita tidak mahu kesan bau ini bersatu. Kelak ia akan menjejaskan
minat spesies ikan karang di dasar laut.

Namun dalam apa juga keadaan, umpan paling baik dan digemari oleh semua spesies
ikan ialah umpan hidup yang tentunya boleh dipancing dari unjam manakala sotong
dicandat atau disauk pada waktu malam bulan gelap.

Umpan hidup seperti ini dijamin dapat memberi kejutan pada bila-bila masa saja apabila
dilabuhkan. Namun begitu, harapan ini tidak semestinya menjadi kenyataan jika labuhan
itu tidak mengena pada terumbu atau lubuk karang yang ada ikan. Untuk memastikan
sasaran terbaik, sudah pastinya anda memerlukan alat pengesan.

Apa pun, langkah terbaik bagi mengekalkan tahap umpan sentiasa segar, peti sejuk
hendaklah digunakan dan sotong atau ikan hendaklah dilambakkan dalam peti sejuk
umpan dan kemudian ditutup dengan guni basah.

Oleh yang demikian, adalah baik jika pemancing mempunyai satu bekas umpan sendiri
bagi menjimatkan masa memancing dan anda tidak berebut umpan. Cuma, anda tidak
terlalu banyak mengambil umpan dari tong umpan utama. Kerana jika umpan diambil
berulang kali dari tong utama, maka ini dibimbangi akan terjejas mutu dagingnya kerana
tahap sejuknya tidak lagi maksimum.
Diharapkan petua kali ini menjadi dengan syarat setiap kaki pancing membawa tong
kecil sendiri.

Anda mungkin juga menyukai