Anda di halaman 1dari 5

Petua mudah masak gulai belitung

Oleh Pak Nuri

KALI ini, penulis mengemukakan petua yang agak istimewa iaitu bagaimana hendak
menghidangkan lauk ikan belitung. Semoga dengan petua ini, makan belitung akan mengisi
senarai makanan istimewa tempatan.

Spesies ini dianggap antara ikan paling laju berenang di permukaan air laut. Ia juga
dianggap memiliki warna paling cantik iaitu hijau kekuningan namun mempunyai wajah
muka paling hodoh (dempak) serta kulit paling liat dan tebal.

Masyarakat tempatan di Malaysia kurang gemar untuk menjadikan ikan belitung sebagai
lauk makanan kerana kulitnya sangat tebal dan liat. Namun kebelakangan ini, ikan
berkenaan sudah mula digemari dengan dihidangkan dalam pelbagai jenis masakan atau
menu seperti goreng taucu, masak lemak kuning pekat bersama belimbing, kari atau asam
pedas.

Pertama, potong kulitnya daripada kepala hingga ke ekor dengan pisau yang tajam supaya
isi (daging) ikan berkenaan tidak rosak berbanding jika kita menggunakan pisau tumpul.
Lakukan potongan ini pada kedua-dua belah badan ikan pada keadaan memanjang hingga
ke paras tulang tengah. Ini menjadikan daging ikan belitung cuma tinggal dagingnya tanpa
tulang.

Kemudian kedua-dua keping daging ini anda basuh bersih dengan air asam dan garam
sedikit untuk menghilang baunya. Selepas itu, airnya dituskan dalam tapis jarang manakala
kepala dan tulang tengahnya anda boleh basuh dan kepalanya dibelah dua taburkan garam
untuk dijemur pada terik panas mata hari.

Dagingnya yang sudah tus, anda tabur dengan serbuk kunyit dan sedikit garam. Kemudian
ia dipanggang setengah masak atau digoreng dengan minyak yang banyak. Selepas itu,
barulah potong daging ini dengan hati-hati supaya dagingnya tidak rosak atau pecah.
Sesudah itu boleh reka jenis masakan yang anda gemari dengan menggunakan ramuan
biasa.

Jika anda mahukan meratah dagingnya saja dengan campuran air asam atau kicap dengan
cili merah serta bawang, anda kena tentukan daging ikan belitung itu masak sepenuhnya
sama ada dipanggang atau digoreng.

Dengan menikmati menu cara ini, pasti anda akan mencari ikan belitung walau di mana saja.

Bagi tulang dan kepala yang sudah menjadi ikan kering, anda boleh cuba dengan masakan
lemak kuning bersama terung panjang dan belimbing atau kari pekat mamak. Caranya
memasaknya sama dengan menu masakan ikan talang atau kurau kering.

Harap dapat gunakan petua ini untuk spesies ikan belitung - Insya-Allah anda akan
menggigit tangan bukan lagi jari...
Tip Akuarium: Najis, urin jadi racun ikan
Oleh Helmi Hamzah

PENJAGAAN akuarium perlu diberi perhatian oleh pemiliknya untuk memastikan tahap
kebersihan yang berkekalan serta mengelakkan air daripada dicemari bakteria.

Antara aspek penjagaan yang perlu diberi perhatian ialah pemberian makanan yang tidak
berlebihan iaitu satu atau dua kali hari pada kadar yang mencukupi supaya air tidak cepat
kotor akibat baki makanan yang gagal dihabiskan ikan selain najis akibat makan berlebihan.

Sekiranya ada tanda ikan tidak normal atau sakit seperti berenang dalam keadaan luar
biasa, kecederaan, berubah warna, sisiknya tanggal atau kembang, ikan itu perlu diasingkan
dan diberi rawatan.

Kegagalan mengasingkan ikan itu akan menyebabkan penyakit berkenaan berjangkit pada
ikan lain. Ini kerana penyakit berkenaan mampu merebak cepat dan boleh menyebabkan
keseluruhan air akuarium tercemar dengan bakteria atau virus.

Perlu diingat, ikan yang mati di dalam akuarium perlu dibuang secepat mungkin untuk
mengelakkan daripada berlaku jangkitan dan kualiti air juga perlu sentiasa dipantau
termasuk tahap pH.

Tahap pH air atau kadar kemasaman air boleh diukur pada nilai 1 hingga 14. Nilai 1 ialah
paling masam dan nilai 14 adalah keadaan yang paling alkali. pH air akuarium yang paling
sesuai ialah 6.5 hingga 7.5 iaitu neutral.

Untuk menentukan nilai pH, anda boleh menggunakan kertas litmus. Tahap pH air perlu
dipastikan dari masa ke semasa untuk mengelakkan ia terlalu berasid.

Ikan dapat hidup dengan baik pada suhu sekitar 26 darjah Celcius hingga 27 darjah Celcius.
Suhu yang terlalu tinggi atau terlalu rendah boleh menyebabkan ikan mati. Suhu yang sejuk
di bawah 26 darjah Celcius menyebabkan ikan mudah dijangkiti penyakit.

Biasanya keadaan suhu dan iklim di negara kita tidak memerlukan alat pemanas kerana
tiada musim sejuk. Suhu bilik adalah cukup sesuai untuk ikan hidup dengan baik. Tetapi
anda harus memberi perhatian dengan ikan yang dipelihara di pejabat berhawa dingin yang
membunuh ikan kesayangan.

Bahan beracun yang wujud di dalam air ialah amonia dan nitrat. Ia terhasil daripada proses
perkumuhan ikan yang dipelihara iaitu bahan buangan urin dan najis. Oleh kerana sistem
tangki kita adalah sistem yang seimbang, bahan beracun ini tidak akan memberi kesan
kepada kehidupan ikan kerana ia telah ditukar kepada bahan makanan dan baja berguna
untuk tumbuhan akuatik di dalam akuarium.

Proses penukaran bahan beracun amonia dan nitrat kepada baja dilakukan oleh tindakan
bakteria di dalam penapis pasir di dasar akuarium.
Tali, pelampung jadi rakan bila memancing
PERNAH atau tidak pemancing memikirkan keselamatan diri atau rakan ketika berada
dalam bot? Ini terutama ketika berlaku kecemasan seperti pemancing tercampak ke laut
atau terjatuh dalam sungai mahu pun tasik. Perkara perlu difikirkan ialah alat bantuan untuk
menyelamatkan mangsa yang terjatuh ketika keadaan laut berarus deras dan gelombang
besar.

Jaket keselamatan perlu dipakai sentiasa. Tali temali berserta dengan pelampung bulat
seperti tayar kereta dicat putih (supaya mudah dilihat) perlu ada di bahagian belakang dan
kiri kanan bot sebagai langkah berjaga-jaga. Semua peralatan ini perlu disediakan oleh
tekong bot atau pemancing sendiri yang membuat persediaan dengan kerjasama semua
rakan pancing.

Mungkin pemancing atau tekong jarang memikirkan pentingnya peralatan keselamatan ini.
Mungkin kerana ia jarang-jarang digunakan atau kejadian kecemasan yang meragut nyawa
pemancing tidak pernah berlaku. Tetapi kita harus memikirkan keselamatan yang lebih jauh
ibarat ‘menyediakan payung sebelum hujan’ atau beringat sebelum terkena.

Tekong Pak Wan Embung dari Terengganu, menceritakan kejadian pemancing terjatuh dari
bot ketika memancing di perairan Pulau Redang. Mangsa berjaya diselamatkan oleh tali
pelampung yang dicampak pada mangsa oleh seorang rakan pancing yang berada di
belakang bot. Peristiwa ini bukan saja menyelamatkan satu nyawa daripada terkorban di laut
tetapi memberi kesedaran bahawa sesuatu boleh berlaku dalam sekelip mata dan tindakan
segera perlu dilakukan melalui peralatan keselamatan yang sudah disediakan dalam bot.

Justeru, atas rasa pentingnya ada peralatan tali dan pelampung dalam bot sebagai langkah
berjaga-jaga untuk keselamatan maka Pak Nuri mengajak supaya semua pemancing dan
tekong bot menjadikan peralatan ini sebagai perkara wajib ada atau satu petua yang mesti
diamalkan pada setiap kali turun memancing.

Kita tidak mahu dua nyawa akan terkorban dalam satu masa apabila seorang rakan turut
lemas ketika mahu menyelamatkan satu nyawa yang menjadi mangsa jatuh ke laut. Ingat,
laut tidak dapat menjanjikan sesuatu yang baik pada bila-bila masa kecuali jika ada langkah
terbaik dapat dilakukan.

Justeru tali dan pelampung perlu dijadikan rakan paling setia buat pemancing ketika berada
di laut.

Nasi dalam upih ada khasiatnya


SEGMEN kali ini masih lagi mengamalkan petua yang diambil daripada beberapa nelayan
veteran melalui pengalaman yang ada hubung kait dengan laut, tasik mahu pun sungai.

Banyak petua atau amalan yang boleh diguna pakai walau pun kita sudah berada dalam
zaman teknologi yang mendorong pelbagai perubahan dan penggunaan peralatan canggih
seperti alat pengesan GPS dan sonar, joran pancing berjenama serta kekili mewah yang
menjadi keperluan asas bagi pemancing hari ini.

Tidak ada salahnya pemancing sekarang mengimbau zaman silam ketika nelayan
menggunakan koyan (tali pancing dipegang dan tidak menggunakan joran) serta bekalan
nasi yang dibungkus dengan upih (bahagian dalam pelepah pinang), gulai cuma ikan goreng
berlada serta air kopi o dalam tarmos.

Pak Nuri terus terpanggil mengisi halaman kali ini dengan pengalaman lama yang harus
diketahui generasi pemancing muda hari ini supaya dapat merasakan pahit getir nelayan
atau pemancing terdahulu mengisi cara hidup sebagai pelaut yang serba kekurangan.
Namun mereka tetap berjaya menyara keluarga besar yang hari ini sudah memegang
jawatan tinggi dalam kerajaan atau swasta.

Berbekal nasi yang dibungkus dalam upih dari rumah, kita akan dapat merasakan betapa
lazat dengan padatnya nasi berkenaan yang sudah sebati bagaikan nasi himpit dengan lauk
ikan goreng berlada serta kopi o panas. Pastinya anda pemancing muda hari ini dapat
merasakan satu kelainan atau meneruskan cara begini pada setiap kali turun memancing
kerana pada hakikatnya ada kebaikan dari segi jimat masa memasak, membawa bekalan
mentah dari darat, tenaga memasak serta kerenah lain. Manakala membawa bekalan dari
rumah bagi setiap seorang pemancing dapat menjimatkan belanja malah hidangan dapat di
nikmati bersama.

Di laut, kita tidak perlu makan daripada jenis yang mewah dan terpaksa memasak berkali-
kali. Ini kerana tujuan ke laut ialah untuk memancing serta mendapat tangkapan ikan yang
lumayan. Justeru, kita kenalah berjaga bukan mengambil peluang untuk tidur yang panjang
atau makan secara berlebihan.

Pak Nuri sendiri dapat merasakan tentu ada perubahan yang bakal dirasakan jika
pemancing dapat menggunakan cara tradisi lama pada satu trip memancing akan datang.
Kita cuba dulu dan tentunya ada perubahan yang dapat dirasakan. Tetapi lakukan
sepenuhnya daripada bekalan nasi yang dibawa dalam upih atau daun pisang, gulai ikan
goreng berlada, kopi O panas dan air sejuk (air jerang) sehingga rokok daun nipah dan tali
pancing menggunakan koyan.

Air masin ubat penyakit kulit


Oleh Nuri Angkasa

PAK NURI terpanggil untuk bertanya pelaut veteran di Dungun, Terengganu baru-baru ini
mengenai peranan air laut yang dianggap dapat membantu menghilangkan gatal atau kudis
pada kulit. Tok Embong, 92, anak kelahiran Dungun adalah seorang nelayan paling disegani
oleh nelayan setempat ketika zaman mudanya. Beliau mengakui bahawa peranan air laut
yang sangat berguna untuk kulit manusia tetapi kena tahu menggunakannya.

Orang lama yang masih sihat itu berkata, air masin di tengah laut saja yang mengandungi
khasiat garam yang baik lagi berkesan untuk digunakan. Penyakit kulit seperti gatal, kudis
atau lain-lain penyakit kulit boleh menggunakan air masin pilihan di tengah laut yang bersih.
Air itu dibasuh pada kulit atau bahagian kudis yang sudah dibersihkan terlebih dulu. Air
masin yang sudah disimbah kepada kulit hendaklah dibiarkan hingga kering supaya
garamnya meresapkan pada kulit atau kudis.

Kulit anda akan terasa kering dan bergaram. Dan, garam inilah yang memainkan peranan
sebagai penawar atau ubat pada penyakit berkenaan. Sebaik kering dan bergaram di kulit,
anda hendaklah membiarkannya untuk beberapa waktu supaya meresap dalam kulit.
Jangan gunakan air laut di kuala sungai atau pinggir kerana air itu kotor. Malah kandungan
garamnya agak kecil untuk dijadikan ubat. Pun begitu, Tok Embong tidak melarang jika kita
mandi dengan air laut tetapi selepas itu segera membilasnya dengan air tawar. Ini juga ada
baiknya dari segi ketahanan kulit dan kesegaran badan ketika berada di laut.

Jangan sekali-kali air masin laut yang sudah memutih menjadi garam digunakan untuk
dimasuk dalam gulai, kerana masin garam ini bukan untuk digunakan dalam makanan.

Bagi Pak Nuri, amalan baik yang diguna pakai oleh Tok Embong berhubung dengan air
masih di tengah laut boleh dijadikan petua yang perlu diamalkan sebagai satu ikhtiar
mengubati penyakit kulit.

Apa pun ubat dari hospital dan klinik masih perlu digunakan. Cuma air masin di laut sebagai
satu ikhtiar sampingan ketika kita berada di laut.

Anda mungkin juga menyukai