Anda di halaman 1dari 4

PENGURUSAN SUMBER MANUSIA

Sumber manusia ditakrifkan sebagai sekumpulan kakitangan dan pekerja yang


berkhidmat dalam sesebuah organisasi. Tidak mungkin sesebuah organisasi boleh wujud tanpa
sumber manusia yang membantu atau mengendalikannya. Walaupun perniagaan lain sekalipun
memerlukan kerjasama dari sumber manusia dari luar atau rakan-rakan perniagaan lain untuk
wujud.
Tujuan diwujudkan pengurusan sumber manusia adalah untuk memastikan bahawa
manusia yang diambil bekerja oleh organisasi digunakan dengan cekap dan berkesan dan mereka
berupaya menyumbang kepada pencapaian matlamat organisasi. Dahulu, sumber manusia
dikenali sebagai kos kepada organisasi kerana perlu dibayar gaji, diberi berbagai bentuk faedah
dan cuti, bonus dan faedah kesihatan. Kini, mereka dikenali pula sebagai aset kepada
organisasi. Pada hakikatnya, manusia adalah nadi utama dalam sesebuah organisasi agar ia dapat
bergerak dengan lancar. Anjakan paradigma inilah yang mencetuskan betapa pentingnya
sesebuah organisasi menghargai hasil kerja yang berkualiti yang ditunjukkan oleh kakitangan
dan pekerja mereka. Pengurusan tertinggi organisasi juga memastikan tenaga kerja yang
menerajui organisasi mereka mampu memanifestasikan misi, objektif dan saranan korporat,
dengan kata lain making things happen. Oleh itu, pengurusan sumber manusia perlu untuk
menentukan pencapaian objektif dan matlamat organisasi.
Pengurusan sumber manusia merupakan satu bahagian dalam pengurusan yang
mempunyai hubungan yang rapat sesama individu. Di samping itu juga, ia menumpukan
terhadap pencapaian dan kehendak serta keperluan kepada pelanggan, di mana ia boleh
membantu organisasi memberi kepuasan kepada keperluan luaran pelanggan. Pengurusan
sumber manusia merupakan aspek penting dalam strategi pembangunan sumber manusia yang
merupakan kunci kepada kejayaan organisasi. Pekerja merupakan harta yang penting dan
berharga berbanding dengan sumber lain dalam organisasi.

DEFINISI PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
Menurut Bohlander et al (2001), pengurusan sumber manusia merangkumi penggabungan
semua tenaga kerja yang pelbagai untuk mencapai matlamat bersama. Manakala Ivencevich
(2001) pula mentakrifkan pengurusan sumber manusia sebagai fungsi yang dilaksanakan dalam
organisasi bagi membantu memudahkan penggunaan sumber manusia secara berkesan untuk
mencapai matlamat organisasi dan individu.
Di samping itu, terdapat berbagai perspektif terhadap fokus pengurusan sumber manusia iaitu:
1. Pengurusan sumber manusia dianggap pengurusan manusia yang mengurus pekerja
sebagai aktiviti langsung dan interpersonal.
2. Pengurusan sumber manusia sebagai pengurusan personalia yang memberi penekanan
kepada kemahiran teknikal untuk penilaian, pemilihan, latihan dan sebagainya.
3. Pengurusan sumber manusia sebagai pengurusan strategik yang menekankan pekerja
sebagai harta dalam sesebuah organisasi.
Pengurusan sumber manusia merujuk kepada amalan, dasar dan sistem yang mempengaruhi
tingkahlaku, sikap dan prestasi pekerja. Antara amalan-amalan pengurusan sumber manusia
termasuk menentukan keperluan sumber manusia (perancangan sumber manusia), menarik
pekerja yang berkelayakan (perekrutan), memilih pekerja (pemilihan), mengajar pekerja
bagaimana untuk melaksanakan kerja dan menyediakan mereka untuk masa depan (latihan dan
pengembangan), memberi ganjaran kepada pekerja (pampasan), menilai prestasi pekerja
(penilaian prestasi), dan membentuk persekitaran kerja yang positif dan harmoni (perhubungan
pekerja), Noe et al. (2000).
Amalan pengurusan sumber manusia yang berkesan perlu dibentuk dan digunakan untuk
membantu mencapai matlamat dan objektif perniagaan dan organisasi. Menurut Tsui dan Gomez
Meija (1998), Danaley dan Huselid (1996) amalan pengurusan sumber manusia yang berkesan
perlu dikaitkan dengan prestasi organisasi di mana ia boleh mempengaruhi kepuasan pekerja dan
pelanggan, inovasi, produktiviti dan juga pembangunan reputasi yang baik di kalangan
organisasi lain.
FUNGSI PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
Fungsi pengurusan sumber manusia merujuk kepada tugas dan kerja yang dilakukan oleh
organisasi yang kecil atau besar dalam usaha untuk memberi dan menyelaras sumber manusia.
Fungsi-fungsi ini meliputi pelbagai aktiviti yang memberi signifikan kepada semua bahagian
dalam organisasi. Byres dan Rue (1998) telah mengenalpasti enam fungsi pengurusan sumber
manusia iaitu:

1. Perancangan Sumber Manusia.
2. Pembangunan Sumber Manusia.
3. Pampasan dan Kemudahan.
4. Keselamatan dan Kesihatan.
5. Perhubungan Industri.
6. Penyelidikan Sumber Manusia
Jadual : Fungsi dan aktiviti yang dijalankan oleh Jabatan Sumber Manusia.

Fungsi

Aktiviti
Perancangan dan Perekrutan Temuduga, perekrutan, ujian
Latihan dan Pembangunan Orientasi, kemahiran, latihan, pendidikan, peningkatan
produktiviti, pembangunan dan laluan kerjaya
Pampasan Mentadbir gaji dan upah, penyediaan faedah dan elaun, bonus,
penghargaan dan pujian, pampasan eksekutif, penilaian
pekerjaan, struktur pampasan
Prestasi Mengurus prestasi, membentuk piawaian prestasi, tindakan
pembetulan, kaedah penilaian, temubual prestasi
Kemudahan Insurans, pengurusan cuti, pelan persaraan, pembahagian
keuntungan
Perkhidmatan Pekerja Program bantuan pekerja, pemindahan kerja, perkhidmatan
Rekod peribadi Sistem maklumat, rekod tentang pekerja
Pekerja dan Hubungan
Komuniti/ Masyarakat
Kajian sikap, hubungan pekerja, pematuhan peraturan dan
polisi, disiplin, undang-undang buruh
Keselamatan dan kesihatan Pembentukan polisi, pemantauan pelaksanaan polisi,
penguatkuasaan, pengawasan keselamatan, latihan
keselamatan, ujian kesihatan, penyediaan peralatan
perlindungan peribadi
Perancangan strategik Pengurusan sumber manusia antarabangsa, ramalan
perancangan, gabungan dan perolehan

Berdasarkan aktiviti di atas, maka prinsip pengurusan sumber manusia boleh dirumuskan seperti
berikut:

1. Untuk membekalkan pekerja kepada organisasi, iaitu dengan jumlah yang cukup,
mempunyai kemahiran yang sesuai dan pada masa yang sesuai. Proses ini meliputi
perancangan, perekrutan, pemilihan, orientasi dan perancangan berterusan.
2. Untuk membantu meningkatkan kelayakan dan kemahiran pekerja dengan
menyediakan program-program latihan dan pengembangan, bantuan pendidikan,
pertukaran dan pengurusan kerjaya.
3. Untuk memotivasikan pekerja bagi meningkatkan keberkesanan melalui program
insentif, penilaian prestasi, kualiti kerja dan program pembangunan organisasi.
4. Untuk memastikan pekerja yang berkebolehan kekal dan setia kepada organisasi
melalui program seperti pampasan dan kemudahan, ganjaran, kenaikan pangkat,
perhubungan majikan dan pekerja, dan program bantuan pekerja.
5. Untuk memberhentikan pekerjaan dalam suasana yang konsisten dengan matlamat
organisasi, di samping tidak merendahkan martabat pekerja tersebut di mata pekerja lain.

Pengurusan Sumber Manusia dalam Pendidikan
Pengurusan sumber manusia ialah integrasi dan koordinasi sumber manusia untuk bergerak
secara efektif ke arah matlamat yang diingini dalam sesebuah organisasi (Zaidatol & Foo Say
Fooi, 2007). Dalam merancang keberkesanan pengurusan di sekolah, Blandford (2009, 2009b)
menekankan untuk menjadikan sesebuah sekolah sebagai sebuah sekolah yang berkesan adalah
penting pengurusan sumber dirancang dengan teliti. Yahaya dan Hair, (2008) juga melihat modal
insan sebagai faktor penentu kejayaan organisasi. Melalui pembelajaran berterusan, pekerja
dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran bekerja serta kemahiran mengadaptasi situasi baru.
Impaknya, individu berupaya memperbaiki mutu kerja, meningkatkan semangat kerja kumpulan
dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti produk dan prestasi organisasi. Justeru,
latihan berterusan memungkinkan para pekerja mencapai prestasi kerja yang cemerlang dan
mengurangkan ketidakpuasan, rungutan, ketidakhadiran dan jadual gantian pekerja.
Sumber manusia dalam sesebuah organisasi merupakan aset yang perlu ditadbir dengan
sistematik agar dapat membekalkan organisasi dengan tenaga kerja yang cekap. Oleh itu,
pengurusan sumber manusia pada amnya menjalankan fungsi seperti penganalisisan organisasi,
perkembangan dan pembangunan organisasi, perancangan personal, peningkatan mutu tenaga
manusia dan latihan, pembayaran upah dan gaji, perhubungan industri, kebajikan pekerja,
komunikasi dalam organisasi, disiplin dan sistem maklumat dan rekod personel. Walau
bagaimanapun, dalam mengurus sumber manusia, faktor kepuasan pekerja perlu dijadikan
sebagai matlamat utama. Banyak kajian menunjukkan keuntungan, pengeluaran, disiplin pekerja
dan kepuasan pelanggan berhubung rapat dengan kepuasan bekerja staf. Kepuasan merangsang
staf menyumbangkan perkhidmatan terbaik yang menghasilkan kepuasan kepada pelanggan dan
akhirnya akan memberi impak positif kepada pencapaian organisasi (Hooi Lai Wan, 2008).
Jackson dan rakan-rakan (2009) mengatakan, untuk mencapai matlamat pengurusan sumber
manusia berkesan, pentadbir perlu memastikan 5 tema berhubung dasar dan amalan dilaksana
dengan baik iaitu mengurus (i) pasukan kerja, (ii) kepelbagaian, (iii) globalisasi, (iv) etika, dan
(v) penilaian. Ramai orang yang mempercayai bahawa struktur organisasi yang berasaskan
pasukan kerja dapat menghasilkan potensi cemerlang berhubung peningkatan inovasi kualiti dan
kepantasan bekerja. Latar belakang pekerja yang berbeza dari segi jantina, nilai peribadi, budaya,
agama, orientasi seks, status perkahwinan, keluarga, umur dan lain-lain memerlukan
kebijaksanaan pentadbir mengurus semuanya dengan pendekatan yang berbeza.

Anda mungkin juga menyukai