Anda di halaman 1dari 16

10 Apakah yang dimaksudkan dengan konsep pasukan kerja, kepentingan,

ciri-ciri pasukan kerja yang aktif dan berkesan. Bagaimanakah anda sebagai
pengurus dapat membina pasukan yang aktif dan berkesan di sekolah anda.

Pendahuluan

Perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang dalam sesebuah organisasi adalah sangat
dituntut oleh pelanggan dan pihak-pihak yang berkepentingan terhadap organisasi
berkenaan khususnya dalam era globalisasi yang serba mencabar dan memerlukan
komitmen serta daya kerja yang tinggi untuk memberi impak yang lebih berkesan. Dalam
konteks pengurusan organisasi seperti sekolah, pasukan kerja diberi kuasa dan
tanggungjawab untuk menyelesaikan sebarang masalah yang berlaku dalam organisasi
dan membuat keputusan tertentu terhadap organisasi bagi mencapai matlamat yang
hendak dicapai oleh organisasi tersebut. Oleh itu, kerja berpasukan adalah sangat penting
untuk mencapai kejayaan sesebuah organisasi selaras dengan visi, misi dan matlamat
organisasi yang berkenaan.

Konsep Pasukan Kerja

Kamus Dewan Edisi ke-4 mentakrifkan pasukan sebagai sekumpulan orang atau
sekelompok. Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 juga mentakrifkan kerja sebagai usaha
yang bertujuan untuk menghasilkan, menyelesaikan dan menyediakan sesuatu. Oleh itu,
berdasarkan takrifkan daripada kamus dewan tersebut dapatlah ditakrifkan bahawa
pasukan kerja adalah sekumpulan orang yang berkerjasama dan berusaha untuk
menghasilkan, menyelesaikan dan menyediakan sesuatu sesuai dengan tujuan organisasi
tersebut.

Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom (2006) pula mentakrifkan dalam sesebuah struktur
organisasi seperti sekolah hendaklah mempunyai struktur organisasi yang jelas dan
membekalkan sumber manusia yang mencukupi. Oleh itu, pemimpin hendaklah menyusun
dan membahagikan tugas dan kerja dalam kalangan orang bawahannya. Pemimpin
hendaklah membimbing dan sentiasa memandu orang bawahan melalui kerjasama dan
semangat bekerja secara berpasukan. Dengan itu, semua pihak yang terlibat hendaklah
melibatkan diri dengan sepenuh hati dan secara bersungguh-sungguh mengikut tugas
serta peranan yang telah diamanahkan kepada mereka bagi meningkatkan prestasi
akademik dan kokurikulum di sekolah.

Menurut Greenbery dan Baron dalam modul yang disediakan Universiti Malaysia Sabah
untuk pelajar Program Pensiswazahan Guru menyatakan pasukan adalah satu kumpulan
yang keahliannya memiliki kemahiran yang saling bergantung dan komited terhadap
tujuan bersama atau matlamat kerja. Dalam modul berkenaan juga dinyatakan bahawa
Karl dan Carol menyatakan bahawa pasukan kerja sebagai satu kumpulan kerja yang
terdiri daripada individu-individu yang bekerjasama untuk mencapai sesuatu matlamat.

Berdasarkan takrifan yang diberikan di atas dapatlah disimpulkan bahawa pasukan kerja
adalah suatu kumpulan yang setiap anggota dalam kumuplan berkenaan memiliki
kemahiran-kemahiran yang tertentu dan saling bergantung antara satu dengan lain untuk
sama-sama berkerja dalam sesuatu organisasi dan komited terhadap tujuan bersama bagi
mencapai visi, misi dan matlamat yang telah ditetapkan organisasi berkenaan.

Kepentingan Pasukan Kerja

Untuk mecapai sesuatu matlamat sesebuah organisasi adalah tidak mungkin sekiranya
dalam organisasi berkenaan hanya seorang individu sahaja yang menjalankan
tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Sudah pasti hasilnya tidak akan sebaik kerja
yang dijalankan secara berpasukan. Dalam era globalisasi adalah kurang efektif jika
anggota pasukan dalam sesebuah organisasi tidak dapat berkerjasama untuk mencapai
matlamat organisasi tersebut. Akan berlakulah kepincangan dan ketirisan dalam
pengurusan organisasi berkenaan dan pastinya kesan kepada tidak ada semangat kerja
pasukan akan menyebabkan organisai berkenaan akan dilihat sebagai gagal dan tidak
berjaya dalam mencapai matlamatnya.
Maka untuk mencapai visi, misi dan matlamat sesebuah organisasi semua anggota dalam
organisasi berkenaan hendaklah sama-sama berkejasama tanpa sebarang prejudis. Dalam
pengurusan sekolah contohnya, jika guru-guru mata pelajaran dalam sekolah berkenaan
tidak menjalankan tugas dan amanah yang diberikan untuk menyampaikan ilmu kepada
murid sudah pastilah murid-murid tidak akan memperoleh ilmu yang diharapkan daripada
seorang guru. Akibatnya murid-murid ini akan tercicir arus pendidikan dan akan
memberikan kesan yang negatif terhadap sekolah tersebut. Semua guru dalam sekolah
berkenaan akan dilihat sebagai tidak efektif dan gagal dalam menunaikan tanggungjawab
dan amanah yang diberikan. Jelaslah berdasarkan contoh ini akan pentingnya pasukan
kerja dalam sesebuah organisasi.

Antara kepentingan pasukan kerja terhadap sesebuah organisasi adalah untuk melahirkan
organisasi yang berkualiti. Dalam negara kita terdapat badan yang bertanggungjawab
untuk memberi penarafan terhadap kualiti organisasi berkenaan dalam pelbagai sudut.
Dengan adanya penarafan seperti ini maka organisasi berkenaan akan sentiasa berada
dalam tahap yang terbaik dan cemerlang serta sentiasa memberikan perkhidmatan yang
berkualiti. Contoh penarafan tersebut ialah MS ISO. Organisasi yang berkualiti akan
sentiasa menjadi contoh teladan kepada organisasi lain. Yang pasti organisasi yang
berkualiti akan dianggotai oleh individu-individu yang berkualiti dan diketuai oleh seorang
individu yang jelas akan visi, misi dan matlamat organisasi tersebut. Pendek kata, pasukan
kerja yang berkualiti dalam sesebuah organisasi akan menjadikan organisasi tersebut
sentiasa cemerlang.

Selain itu, kepentingan pasukan kerja dalam sesebuah organisasi adalah pasukan kerja
tersebut akan menjadi pemangkin dalam melaksanakan perubahan dalam sesebuah
organisasi. Setiap perubahan yang hendak dilaksanakan dalam sesebuah organisasi akan
menjadi tanggungjawab setiap anggota dalam organsasi tersebut. Semua anggota akan
bersama-sama untuk melakukan perubahan terhadap organsisasi tersebut sesuai dengan
visi, misi dan matlamat yang telah ditentukan. Contohnya, dalam pengurusan sekolah
apabila berlaku perubahan dalam kurikulum sudah pasti semua anggota dalam sekolah
berkenaan akan sama-sama untuk memantapkan diri sesuai dengan perubahan kurikulum
tersebut. Seperti yang diwara-warakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sejak
beberapa tahun yang lepas akan perubahan kurikulum daripada KBSR kepada KSSR.
Untuk memenuhi keperluan perubahan kurikulum tersebut pelaksana di peringkat sekolah
telah diberi pendedahan yang sepatutnya oleh pegawai yang bertanggungjawab dalam
kementerian. Kumpulan pelaksana di peringkat sekolah iaitu para guru setelah medapat
pendedahan terhadap perubahan kurikulum tersebut sudah pasti akan
mengimplemtasikan hasil dapatan mereka agar proses penyampaian menjadi lebih
berkesan. Dengan itu, matlamat yang hendak dicapai akan menjadi kenyataan dan
organisasi akan menjadi lebih berkesan.

Kepentingan lain pasukan kerja adalah dapat meningkatkan integriti dan potensi diri
seseorang individu yang terlibat dalam organisasi tersebut. Dalam Kamus Dewan edisi ke-
4 integriti ditakrifkan sebagai kejujuran dan keadaan yang sempurna. Dengan semangat
kerja berpasukan yang diterapkan dalam sesebuah organisasi, potensi setiap individu
yang terlibat akan dapat dikembangkan dan ditingkatkan. Bakat-bakat yang terpendam
dalam diri individu berkenaan akan dapat dicungkil dan dapat diadaptasikan dalam usaha
mencapai matlamat organsasi. Pahrol Mohamad Juoi (2010) menyatakan kecemerlangan
seseorang ditentukan oleh faktor-faktor ilmu, kemahiran, matlamat dan sikap. Dengan
sikap yang betul, seseorang akan berusaha menambah kekurangan ilmu, maklumat dan
kemahirannya. Tetapi sekiranya sikap tidak betul maka ilmu, kemahiran dan maklumat
yang tinggi melangit juga tidak akan berguna. Dato Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah (2006)
memberikan petua-petua untuk menjadikan seseorang individu itu menjadi cemerlang.
Antaranya ialah individu tersebut hendaklah patuh akan perintah Allah, mempunyai
matlamat yang jelas, kerja yang berkualiti, bermotivasi dan positif. Oleh itu, jika individu
yang cemerlang dalam organisasi dapat ditingkatkan potensi dirinya pasti akan
meningkatkan lagi kualiti organisasi tersebut.

Maka dengan itu pasuka kerja yang efektif akan berupaya menjadikan keadaan berbeza
dan berubah. Gabungan kemahiran teknikal dan kepimpinan yang berkesan dapat
membawa kejayaan kepada pasukan kerja. Oleh itu, individu-individu yang terlibat dalam
pasukan kerja tersebut mestilah bersatu dan berkerjsama menggembleng tenaga agar
sentiasa dapat meningkatkan produktiviti organisasi tersebut.
Sesebuah organisasi yang mengabaikan pasukan kerja dalam organisasi akan
menyebabkan organisasi tersebut tidak efektif dan tidak akan mencapai matlamat yang
telah ditetapkan. Lazimnya organisasi yang tidak mempraktikkan pasukan kerja akan
sukar untuk mencapai visi yang diimpikan. Banyak contoh organsasi dalam negara kita
yang gagal untuk mencapai visi dan misi mereka kerana kurang berkesan dalam
pengurusan pasukan kerjanya. Contoh yang paling jelas lihat sahaja sekolah-sekolah yang
berprestasi rendah. Jika diamati dengan jelas sekolah-sekolah berkenaan berprestasi
rendah kerana pasuka kerja yang tidak efektif ditambah lagi dengan kepimpinan yang
tidak berkesan.

Pasukan kerja juga akan menjadikan sesebuah organisasi nampak lemah jika sekiranya
individu-individu dalam pasukan tidak berkerjasama dan bersikap individualistik. Sikap
individualistik inilah yang akan membantutkan struktur organisasi berkenaan. Individu
inilah juga akan menyebabkan organisasi menjadi tidak berkesan dan sudah pasti akan
menjejaskan organisasi dan menjadi liabiliti terhadap pasukan kerja.

Selain itu, pasukan kerja juga akan nampak lemah sekiranya organisasi tersebut
mengamalkan autonomi profesional. Ini kerana wujudnya autonomi ini akan
membataskan cara kerja pasukan kerja. Autonomi ini jugalah yang akan menghalang
individu-individu dalam pasukan kerja daripada menunjukkan semangat kerja berpasukan
yang tinggi.

Pasukan kerja juga akan menjadi komunikasi yang berkesan dalam organisasi berkenaan.
Ini kerana komunikasi yang berkesan dalam pasukan akan menyebabkan sebarang
perkara dalam diatasi dengan baik setelah melalui perbincangan.

Selain itu, pasukan kerja juga akan menjadikan sesbuah organisasi itu menjadi lebih
produktif dan efesien. Hasil yang dicapai dengan wujudkan pasukan kerja yang baik akan
menjadi lebih baik dan meningkat. Oleh itu, setiap individu dalam organisasi akan menjadi
lebih bersemangat dan seronok dalam menjalankan tugas yang diberikan kepada mereka.
Ciri-ciri Pasukan Kerja Yang Aktif dan Berkesan

Khuzaimah Sulaiman (2012) merupakan seorang pengetua cemerlang menggariskan


beberapa perkara yang menjadikan organisasi yang dipimpinnya menjadi cemerlang dan
efektif. Antara yang beliau nukilkan dalam tulisannya ialah berwawasan, motivator,
sumber inspirasi, tegas, kerja kuat, membina budaya kerja sepasukan, teliti, menjana
kecemerlangan, membimbing, mesra dan mudah didekati.

Rusydi Ramli Al-Jauhari (2012) menggariskan bagaimana Rasulullah SAW membentuk


pasukan kerja semasa zamannya. Dalam tulisannya Rusydi Ramli al- Jauhari menyatakan
bahawa pasukan kerja yang sempurna dapat dibentuk dengan adanya musyawarah, taat
akan perintah Allah, taat kepada pemimpin, mendengar arahan pemimpin, jelas akan
matlamat dan tujuan organisasi serta strategi yang betul. Lihat sahaja semasa
peperangan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan pengikut apabila mereka sentiasa
mencapai kemenangan yang akhirnya membawa kejayaan yang cemerlang kepada Islam
secara keseluruhannya. Kesan daripadanya masih dapat dirasai sehingga sekarang.

James Ang Jit Eng (2009) menyatakan beberapa amalan kepimpinan instruksional yang
unggul di sekolahyang memberi kesan yang baik kepada pasukan kerja. Antaranya ialah
memfokuskan tahap pembelajaran murid yang tinggi, menyediakan sumber berupa masa
dan bahan, menggunakan data pencapaian murid, mengiktiraf pencapaian murid,
memantau dan memberi maklum balas tentang pengajaran guru, menghormati
kewibawaan guru, melindungi masa pembelajaran, menyokong usaha tambahan guru,
menyediakan peluang dan aktiviti pembangunan professional guru, memudahcarakan
perbincangan tentang isu-isu instruksional, menjadi contoh teladan, dan menwujudkan
budaya penambahbaikkan berterusan.

Sementara itu, Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom (2006) menyatakan antara ciri-ciri
pasukan kerja ialah komunikasi yang berkesan, budaya kerja yang cemerlang, pengurusan
yang cekap, dan kepimpinan yang baik.
Hal ini dapat juga kita perhatikan melalui James Ang Jit Eng (2007) menyatakan bahawa
pengurusan sekolah yang berkesan dipengaruhi beberapa faktor antaranya iaitu
kepimpinan profesioanl, perkongsian wawasan dan matlamat, persekitaran pembelajaran,
tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran, pengajaran yang bermatlamat,
meletakkan harapanyang tinggi, peneguhan yang posotif, pemantauan kemajuan, hak
dan tanggungjawab murid, permuafakatan rumah dengan sekolah dan organisasi
pembelajaran. Jika dikaitkan dengan pasukan kerja yang terbentuk dalam sekolah semua
faktor-faktor tesebut saling berkait antara satu dengan lain. Sebarang kecacatan yang
berlaku dalam pasuka kerja akan menyebabkan pasukan kerja tersebut tidak mantap dan
perlu dibaiki struktur organisasinya.

Dale Carnegie (1997) menggariskan bagaimana sikap pemimpin dalam mempengaruhi


sikap dan tingkah laku pasukan kerjanya. Antaranya Dale Carnegie mencadangkan
bahawa pemimpin hendaklah memulakan dengan pujian dan penghargaan yang ikhlas,
memberikan perhatian dengan secara tidak langsung terhadap kesalahan seseorang,
utarakan kesalahan sendiri dahulu sebelum mengkritik orang bawahan, mengajukan
pertanyaan dan bukannya perintah secara langsung, menyelamatkan maruah diri orang
lain, memberikan pujian terhadap sedikit kemajuan dan setiap kemajuan, berikan orang
bawahan reputasi yang baik tentang kebolehannya, berikan galakan dan menjadikan
seseorang itu gembira apabila melakukan sesuatu yang dinginkan pemimpin.

Dr. Danial Zainal Abidin (2006) menggariskan 7 Formula Individu Cemerlang antaranya
iaitu mengenali kehebatan dan potensi diri, meledakkan takwa, melonjakkan ilmu, hidup
bermatlamat dan berwawasan, memelihara amanah, berfikiran positif dan menyantuni
manusia. 7 Formula individu Cemerlang ini jika sekiranya dapat diaplikasikan oleh setiap
individu dalam sesebuah pasukan kerja maka pasukan kerja tersebut akan lebih
cemerlang dan menjadi contoh teladan kepada pasukan kerja yang lain. Yang pastinya
pasukan kerja tersebut akan menjadi lebih sempurna dan misi, visi dan matlamat
organisasi berkenaan akan sentiasa tercapai.

Adalah tidak mustahil untuk menghasilkan pasukan kerja yang aktif dan berkesan
berdasarkan kepada ciri-ciri yang disebutkan di atas. Yang penting individu yang
menganggotai pasukan kerja tersebut hendaklah cemerlang, gemilang dan terbilang
terlebih dahulu.

Berdasarkan kepada ciri-ciri individu dan pasukan kerja tersebut dapatlah kita
menggariskan ciri-ciri pasukan kerja yang aktif dan berkesan sebagai berikut:-

1. Setiap anggota pasukan kerja hendaklah sentiasa bertakwa dan ingat akan Allah
SWT. Jika setiap anggota pasukan kerja sentiasa bertakwa dan mengingati Allah
SWT sudah pasti anggota pasukan kerja tersebut akan lebih bertanggungjawab
dan menjalankan amanah yang diberikan kepada mereka. Dengan mengingati
Allah Taala akan dapat menanamkan sikap positif dalam diri, istiqamah dalam
hidup, berkualiti secara holistik, menilai sebelum dinilai, mengabaikan
pemeliharaan kualiti dunia dan akhirat. Ini kerana setiap individu dalam pasukan
kerja tersebut adalah pemimpin. Oleh itu, dengan adanya individu seperti ini maka
pasukan kerja akan menjadi lebih terpimpin.

2. Pasukan kerja juga hendaklah mengenal pasti kehebatan dan potensi diri mereka.
Ini kerana setiap anggota dalam pasukan kerja tersebut memiliki kehebatan dan
kepakaran-kepakaran yang tertentu yang saling berkait dalam usaha untuk
memantapdan memaju organsisasi tersebut. Dengan kepakaran setiap anggota
tersebut maka potensi diri akan dapat dikembangkan selaras dengan pemintaan
dan keperluan organisasi tersebut.

3. Pasukan kerja juga hendaklah mengutamakan ilmu. Dengan ilmu yang dimiliki oleh
setiap individu maka organisasi akan menjadi lebih berkesan. Ilmu yang dimiliki
oleh setiap individu akan dapat digunakan dan diaplikasikan untuk kepentingan
organisasi pasukan kerja tersebut. Dengan adanya ilmu juga kepakaran-kepakaran
pasukan kerja akan dapat ditingkatkan dan kuasa mencipta teknologi akan dapat
direalisasikan.

4. Pasukan kerja juga hendaklah mempunyai matlamat yang jelas dan berwawasan.
Setiap anggota dalam pasukan kerja hendaklah tahu dengan jelas dan faham akan
matlamat yang hendak dicapai oleh pasukan dan organisasi yang dianggotainya.
Matlamat yang jelas dan wawasan yang mampu digapai akan memastikan pasukan
kerja tersebut dapat merealisasikan harapan yang ditetapkan dalam tempoh yang
ditetapkan. Dengan itu, pemimpin dalam pasukan kerja tersebut hendaklah
sentiasa peka dan mampu untuk merancang berdasarkan kepada keutamaan dan
matlamat pasukan kerja. Dengan erti kata yang lain, pasukan kerja hendaklah
mempunyai perancangan yang strategik dan futuristik.

5. Pasukan kerja juga hendaklah sentiasa memelihara amanah yang diberikan


kepada mereka. Amanah tersebut hendaklah sentiasa dijaga dengan rapi dan
menjadi asas dalam membina kegemilangan pasukan kerja. Amanah yang
dimaksudkan di sini termasuklah jujur dalam melaksanakan tugasan yang
diberikan, berintegriti, menjaga masa, budaya kerja yang cemerlang, dan taat
kepada pemimpin yang baik.

6. Pasukan kerja yang berkesan dan aktif juga hendaklah mempunyai ciri-ciri
berfikiran positif. Anggota pasukan kerja perlu sentiasa berfikiran positif dan
matang dalam bertindak. Sudah pasti dalam pasukan kerja itu terdapat individu
yang berbeza latar belakangnya dan norma hidup juga pastinya sedikit berlainan.
Oleh itu,setiap anggota pasukakerja hendaklah sentiasa berfikiran positif, tidak
berprasangka buruk, sabar dalam setiap tugasan yang dilaksanakan oleh pasukan
serta cekal dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang. Selain itu, sikap
seperti dalam lagu Bangau oh Bangau juga hendaklah dijauhi dan dielakkan
sepenuhnya. Sikap sentiasa menyalahkan orang lain tidakakan membantu
organisasi menjadi lebih cemerlang dan berkesan.

7. Anggota dalam pasukan kerja yang dibentuk juga perlu sentiasa menyantuni rakan
sepasukan yang lain. Budaya kerja yang baik,saling hormat antara rakan
sepasukan kerja, dan pemimpin sangat memainkan peranan yang penting dalam
pasukan kerja agar pasukan kerja itu menjadi aktif dan berkesan. Maknanya
pemimpin pasukan kerja hendaklah seorang yang mahir dalam pengurusan
organisasi dan sumber manusia. Pemimpin hendaklah tahu cara menangani
anggota pasukan kerja yang menghadapi sedikit masalah. Pemimpin juga mestilah
pandai untuk memotivasikan pasuka kerjanya supaya sentiasa berkesan dan aktif.
Selain itu, pemimpin juga hendaklah mewujudkan komunikasi yang berkesan
dalam pasukan kerjanya. Tanpa komunikasi yang berkesan pasukan kerja tersebut
tidak akan dapat melaksanakan tugasan dengan baik. Akibatnya visi,misi dn
matlamat yang hendaklah dicapai tidak akan digapai. Pemimpin juga hendaklah
menjadi pendengar yang baik, mewujudkan pasukan kerja yang sentiasa bersatu
teguh dan sentiasa berpadu tenaga untuk merealisasikan hasrat dan cita-cita
organisasi tersebut.

Sebagai Pengurus di Sekolah: Bagaimana untuk Membina Pasukan Yang Aktif


dan Berkesan

Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom (2006) mencadangkan beberapa tindakan yang perlu
diambil oleh pengurusan, antaranya ialah pentadbir hendaklah mewujudkan persekitaran
pembelajaran yang baik kerana ini boleh memotivasikan semua warga sekolah, semua
guru hendaklah dilibatkan dalam setiap aktiviti yang dirancang, guru-guru hendaklah
sentiasa dimotivasikan dan mempunyai disiplin yang tinggi, pentadbir dan guru-guru
hendaklah sentiasa peka, pentadbir hendklah bertindak sebagai pembimbing dan
pendorong yang berhemah, pemimpin juga hendaklah sentiasa memastikan standard dn
kualiti pengajaran guru sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

Khuzaimah binti Sulaiman (2012) pula menyatakan bahawa untuk mewujudkan guru yang
aktif dan berkesan antaranya ialah berwawasan, motivator, sumber inspirasi, tegas, kerja
kuat, membina budaya kerja berpasukan, teliti, menjana kecemerlangan, membimbing,
mesra dan mudah didekati.

Dapatlah dikatakan di sini bahawa sebagai pengurus di sekolah antara perkara yang perlu
ada pada pengurus sekolah untuk membina pasukan kerja yang aktif dan berkesan ialah
berwawasan. Pengurus di sekolah hendaklah mempunyai wawasan yang jelas dan mampu
di capai oleh pasukan kerjanya. Visi, misi dan matlamat yang hendak di capai perlu jelas
dan dijelaskan secara terperinci kepada pasukan kerja dalam sekolah. Pasukan kerja juga
hendaklah memaham dengan jelas akan matlamat dan wawasan yang digariskan dan
memberi kerjasama serta sokongan padu untuk mencapai wawasan tersebut. Wawasan
tersebut juga perlu dikongsi dan dihayati seluruh warga sekolah termasuklah ibu bapa.
Visi bukan hanya untuk di pamerkan di dinding atapun di catat dalam buku. Ia perlu
gerakan dan tindakan supaya hasilnya dapat dinikmati seluruh warga sekolah. Ini kerana
pengurus yang tidak ada wawasan ibarat sebuah kapl yang tidak ada nakhodanya.
Sekolah berkenaan terumbang-ambing dalam arus pendidikan kerana tidak wawasan dan
matlamat yang jelas.

Pengurus juga hendaklah menjadi seorang motivator. Ini kerana motivasi sangat penting
bagi semua orang sama ada orang tua mahupun orang muda, lebih-lebih lagi anak-anak
murid di sekolah. Kata-kata ataupun ungkapan yang ikhlas yang terbit dari hati akan
sampai ke hati. Pasti akan menyetuh hati dan meninggalkan kesan yang mendalam.
Apabila pasukan kerja bermotivasi akan menjadikan merekaseorang yang ceria, riang dan
gembira. Justeru, sebagai seorang pengurus di sekolah hendaklah menjadi seorang
motivator yang berkesan dengan memiliki motivasi yang tinggi bagi menggerakan budaya
kerja yang cemerlang kepada pasukan kerja.

Setiap organisasi pasti akan ada kekurangannya, pasti akan ada kelemahannya. Bagi
mengubati kekurangan dan kelemahan ini pengurus di sekolah hendaklah menjadi sumber
inspirasi. Ibarat seorang doktor yang mengubati pesakitnya. Sudah pasti doktor tersebut
akan mencari punca dan sebab kepada penyakit itu sebelum memulakan rawatan itu.
Rawatan penyakit dengan hanya melihat dari luaan semata-mata, sukar untuk
disembuhkan sepenuhnya. Sekiranya sembuh hanya akan memakan masa yang singkat.
Oleh itu, pengurus di sekolah hendaklah menjadi sumber inspirasi kepada pasukan
sekerjanya.

Sebagai pengurus juga hendaklah memiliki sifat tegas. Kita akan dapat yang kita taja
sekiranya kita taja persahabatan, sebaliknya jika kita taja permusuhan maka kita akan
mendapat musuh. Oleh itu, pengurus di sekolah mestilah tegas yang bertempat dalam
menguruskan pasukan kerjanya. Tegas yang dimaksudkan di sini termasuklah mengambil
kira semua perkara dalam mengambil sesuatu tindakan.
Kerja kuat juga merupakan salah satu untuk meningkatkan pasukan kerja yang aktif dan
berkesan. Pengurus perlu bersama-sama dengan orang yang dipimpinnya bergerak
menjayakan misi organisasi. Pencapaian cemerlang organisasi adalah hasil kerjasama
padu seluruh warganya. Oleh itu, pengurus organisasi perlu meyakinkan ahli
organisasinya dengan kemampuan masing-masing. Dalam setiap misi yang hendaklah di
capai hendaklah setiap ahli organisasi tidak lupa akan Allah Yang Maha Berkuasa.

Selain itu, pengurus organisasi di sekolah juga hendaklah seorang yang kreatf dan inovatif.
Idea kreatif bukan semata-ata mencipta, tetapi juga menyelesaikan masalah yang
dihadapi. Idea kreatif boleh lahir melalui pemerhatian, penelitian, perbincangan,
menganalisis pengalaman orang lain, ataupun ketika berhadapan dengan masalah.
Sementara, inovasi pula akan dapat merangsang kita berfikir dan bertindak membuat tau
mencipta sesuatu yang belum pernah dilakukan ataudicipta oleh orang lain. Inovasi di
sekolah tidak memerlukan perbelanjaan yang besar, tetapi yang penting mendatangkan
faedah dan berkesan kepada warganya.

Untuk membina pasukan kerja yang aktif dan berkesan, pengurus organisasi juga
hendaklah seorang yang teliti dalam melakukan sesuatu berkeperihatinan yang tinggi dan
bertimbang rasa serta adil. Teliti bukan sahaja akan dapat menghasilkan kerja yang
bermutu tinggi tetapi juga boleh meningkatkan tahap kesabaran seseorang. Selain itu,
dengan keprihatinan yang tinggi akan dapat meningkatkan kualiti kerja seseorang. Kita
boleh mengambil contoh daripada sikap Rasulullah SAW semasa perang Khandak apabila
Rasulullah bersama-sama orang bawahannya menggali parit. Sikap bertimbang rasa dan
adil juga akan mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam sesebuah organisasi.
Dengan itu, pasukan kerja akan dapat bekerja dengan baik dan dalam keadaan yang
selesa dan tenang.

Pengurus organisasi di sekolah juga hendaklah seorang peneraju kecemerlangan dan


mengaplikasikan Kaizen dalam organisasinya. Pemimpin yang bersemangat akan
melahirkan pengikut yang bersemangat. Pemimpin dan pengikut yang bersama-sama
bergerak ke hadapan pasti akan dapat menyerlahkan kegemilangan sesebuah organisasi.
Budaya Kaizen perlu ada dalam sebuah organisasi, iaitu menambah baik apa yang ada
dari semasa ke semasa. Penambahbaikan tidak boleh mengikut musim tetapi hendaklah
dilaksanakan atau dijalankan sepanjang masa tanpa mengira waktu dan masa.

Pasukan kerja yang aktif dan berkesan juga dapat dibina jika pengurus sekolah
mempraktikkan budaya menghargai, memberi peluang yang sama rata kepada orang
bawahan dan mesra bekerja dalam satu pasukan. Setiap yang kita lakukan atau katakan
semuanya diperhatikan dan dianalisis oleh orang sekeliling. Oleh itu, setiap anggota dalam
pasukan hendaklah sentiasa melakukan yang terbaik. Budaya kerja berpasukan juga
hendaklah sentiasa kelihatan mesra dan mudah untuk didekati. Ini adalah kunci untuk
menambat hati orang bawahan untuk sama-sama bekerja dalam usaha memajukan
organisasi.

Seorang pengurus di sekolah juga dapat membina pasukan kerja yang aktif dan berkesan
dengan adanya prinsip yang kuat dan ghairah untuk melakukan yang terbaik. Setiap
pengurus yang memimpin sesebuah organisasi hendaklah mempunyai prinsip yang dapt
mendorong ke arah kejayaan organisasi tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Sesungguhnya dalamjasad manusia itu ada
seketul daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila ia rosak maka
rosaklah seluruh jasad, seketul daging itu adalah hati. Hadis Riwayat Ahmad.

Niat terletak dalam hati. Ikhlas juga terbit daripada hati. Oleh itu, seorang pengurus atau
pemimpin atau sesiapa sahaja perlu membetulkan niat supaya benar-benar ikhlas
dalammelakukan sesuatu. Keghairahan untuk melakukan sesuatu yang terbaik juga
datangnya daripada hati. Walau siapa pun kita, kita perlu mendidik hati supaya sentiasa
baik dan yang terbaik. Orang yang berniat baik dan ikhlas melakukan tugas kerap
mendapat laluan mudah. Maka, pengurus yang baik akan dapat membina pasukan yang
baik dan berkesan.

Antara lain yang dapt dilakukan oleh seorang pengurus organsisasi di sekolah bagi
membina pasukan kerja yang aktif dan berkesan ialah dengan sifat bersungguh-sungguh.
Sebgai pemimpin, kita perlu dilihat bersungguh-sungguh oleh orang bawahan. Ini kerana
pemimpin yang bersungguh-sungguh pasti akan berjaya menambat hati pengikutnya dan
tanpa dipaksa. Pengikut akan tertarik dan seterusnya turut sama bersungguh-sungguh
seperti pemimpin mereka. Dengan itu, harapan untuk mencapai visi, misi dan matlamat
organisasi akan dapat dicapai dan dipenuhi.

Penutup

Dengan adanya pasukan kerja yang aktif dan berkesan matlamat yang hendak dicapai
oleh sesebuah organisasi akan dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan. Semangat,
kerjasama dan komitmen yang tinggi setiap anggota dalam pasukan kerja akan
menambahbaik dan meninggikan nilai dan martabat organisasi tersebut. Setiap individu
dalam pasukan kerja hendaklah sentiasa bersatu padu dalam usaha untuk mencapai
visi,misi dan matlamat organisasi.
Bibliografi

Abd. Hakim Mohad(2004). Konsep Kepimpinan dalam Peradaban Islam. Kota Kinabalu.
Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Sabah Malaysia.
Dale Carnegie(1997). Bagaimana Hendak Mendapatkan Kawan dan Mempengaruhi
Seseorang. Selangor. Whosale-Mart Business Point Sdn. Bhd.
Dato Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah et.al(2006). Menorobos Sempadan Diri. Kuala Lumpur.
Telaga Biru Sdn. Bhd.
Dr. Danial Zainal Abidin(2004). 7 Formula Individu Ceemerlang. Kuala Lumpur. PTS
Publishing & Distributors Sdn. Bhd.
Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom(2006). Kepimpinan Instructional. Putrajaya. Jemaah
Nazir Sekolah.
James Ang Jit Eng(2007). Pengurusan Disiplin Murid. Kuala Lumpur. PTS Profesional
Publishing Sdn. Bhd.
James Ang Jit Eng et.al(2009). Kepimpinan Instruksional. Kuala Lumpur. PTS Profesional
Publishing Sdn. Bhd.
Kamus Dewan Edisi ke-4(2005) Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khuzaimah Sulaiman(2012). Serlahkan Aura Guru Super. Kuala Lumpur. PTS Profesional
Publishing Sdn. Bhd.
Pahrol Mohamad Juoi(2010). Mukmin Profesional- Celik Mata Hati. Shah Alam. Fitrah
Perkasa
Rusydi Ramli Al-Jauhari(2012). Biografi Agung Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam. Shah
Alam. Mustread Sdn. Bhd.
Isi Kandungan

Pendahuluan 1

Konsep Pasukan Kerja 1

Kepentingan Pasukan Kerja 2

Ciri-ciri Pasukan Kerja 6

Peranan Pengurus Membina Pasukan Kerja Aktif dan Berkesan 10

Penutup 14

Bibliografi 15

Anda mungkin juga menyukai