Anda di halaman 1dari 3

Mohd Azri Abd Razak

2012769249 / FF224
Film Theory and Appreciation / CTS 463
September 2013

Ulasan filem Perempuan, Isteri dan Jalang

Para tetamu berbondong-bondong hadir bersama keluarga masing-masing ke majlis


meraikan pasangan pengantin. Ada yang berpayung, ada yang berlenggang dan ada yang
membawa cenderahati sebagai tanda ucapan tahniah atas perkahwinan yang bakal berlangsung
itu. Sementara di bawah khemah kecil dibina pentas yang menjadi tempat kugiran memainkan
muzik, menghiburkan para tetamu yang sedang menjamu selera atau berbual tentang perkaraperkara yang dapat mengisi waktu itu. Kalangan kanak-kanak, ada yang memerhatikan kugiran
bermain muzik, ada yang berjoget mendengar rentak yang menghiburkan, ada yang menarik upih
pinang, ada yang berkejar-kejaran sehingga mengganggu tukang masak dan tukang saji di majlis
keraian itu. Setelah itu dipaparkan pula seorang ibu yang memarahi anaknya kerana mahu
membuang air ketika waktu yang sibuk itu, dan ianya diperpanjangkan dengan adegan kanakkanak tersebut lari melalui bawah rumah meninggalkan ibunya yang terus berleter. Adegan ini
membawa kepada paparan tangga yang tersandar pada tingkap yang terbuka, yang mana secara
simbolik memperlihatkan apa yang bakal berlaku selepas itu paluan kompang yang seakan
meraikan keresahan orang-orang di keraian itu kerana kehilangan si pengantin perempuan yang
bakal bernikah. Dan pengantin lelaki berpeluh, marah!

Perenggan di atas merupakan babak awal dalam Perempuan, Isteri dan Jalang (1993)
yang dibikin oleh U-Wei Haji Saari. Angkara ini menyebabkan si pengantin lelaki - Amir
(lakonan Nasir Bilal Khan) menyimpan dendam, lalu menjejaki Zaleha (lakonan Sofea Jane)
yang lari bernikah dengan lelaki lain di Golok. Maruahnya yang tercalar dek majlis perkahwinan
yang terbatal itu menjadikan Amir hilang pertimbangan sehingga di hadapan Zaleha sendiri dia
mengacukan pistol, lalu membunuh Jalil lelaki lain yang dipilih Zaleha untuk menjadi
pasangan hidupnya. Tidak puas sekadar itu, setelah diludahnya muka Zaleha, Amir menjual
Zaleha kepada Som Chai selama enam bulan menjadi pelacur, yang mana telah merubah
identiti Zaleha sebelum ini.
Setelah enam bulan, Amir mengambil semula Zaleha lalu dibawanya pulang ke Malaysia.
Bagaimanapun ketika di dalam perjalanan pulang, ketika mereka bermalam di sebuah hotel,
mereka ditangkap khalwat, yang mana telah memaksa Amir memperisterikan Zaleha. Tekanan
ke atas Zaleha tidak terhenti sekadar itu. Melalui struktur naratif yang berbentuk linear ini, watak
Amir berterusan menyinggung dan menghentam Zaleha biarpun telah diperisteri dan dibawa
pulang ke rumahnya. Sikap keras Amir yang berterusan membuatkan Zaleha memperlakukan
amalan penunduk ke atasnya.
Zaleha dan apa yang telah dialaminya pada masa silam, tentang perubahan identitinya,
menjadi perkara yang mengusutkan kampung yang didiaminya. Merubah sikap perempuanperempuan kampung tentang gaya pakaian dan tingkah laku orang-orang perempuan di
kampung itu. Jalang yang dimaksudkan oleh tajuk filem ini, tidak lebih tidak adalah gambaran
setelah perubahan identiti yang dimainkan oleh Zaleha, pengaruh yang dibawanya, dan
penyerahan tubuhnya demi maksud yang diinginkan (terhadap Tapa dan Majid).

Perempuan, Isteri dan Jalang tidak sekadar dikuatkan dengan lakonan beremosi watak
Amir dan aksi berahi Zaleha dalam naratifnya, bahkan dengan simbolisme-simbolisme yang
diperlihatkan oleh U-Wei. Dalam menyampaikan perihal berkelamin yang menjadi kepantangan
masyarakat melayu, U-Wei memaparkan syot satu demi satu nat-nat yang mengikat tayar pikap
milik Amir yang pancit dilonggarkan olehnya, sebagai simbolik terhadap permulaan perihal itu
antara Zaleha dengan Tapa. Di bawah hujan yang mencurah, tubuh Zaleha dihimpit oleh Tapa
dengan bersandarkan pokok getah. Berganti tayar baharu, nat-nat yang mengikat tayar pikap itu
diketatkan semula oleh Amir yang keletihan. Syot air yang menitik melalui liang-liang torehan
pokok getah mengakhiri babak itu. Dan ia cukup untuk menyampaikan apa yang terjadi di antara
Zaleha dan Tapa, pemuda bodoh-bodoh alang itu. Tentang hal ini juga, antara Minah dan Bakri,
diperlihatkan melalui syot lembu yang menjadi korban untuk orang kenamaan yang akan
mengunjungi kampung mereka.
Secara keseluruhan, apa yang dipaparkan dalam Perempuan, Isteri dan Jalang adalah apa
yang dialami oleh masyarakat sehari-hari. Naskah realisme yang digarap U-Wei ini benar-benar
memuaskan. Dari hal perkahwinan yang terbantut sehinggalah hal pasangan kekasih yang
berkahwin di Golok. Seterusnya tentang perihal kesatuan orang-orang kampung, baik untuk
perkara positif mahupun negatif. Dalam hal bermesyuarat, bergotong royong menyambut
ketibaan orang kenamaan mahupun dengan tindakan keras bagi mengajar pemandu lori dan
kelindannya yang mengganggu isteri orang. Konflik-konflik dalam naratif filem ini mewujudkan
emosi yang merasionalkan tragedi di dalam filem bergenre drama ini.

Anda mungkin juga menyukai