Anda di halaman 1dari 18

Tulisan telah diterbitkan dalam Mohamed Anwar Omar Din. 2004.

Dinamika Bangsa Melayu


Menonggah Arus Globalisasi. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Penerbitan buku ini hanya beberapa bulan sebelum YB Dato’ Mohd. Najib Tun Abdul Razak
mengungkapkan perkataan “glokal.”

Noel Kashf

Universiti Kebangsaan Malaysia

Emel: noelkashf_ukm@yahoo.com

KONSEP GLOBAL, GLOKAL dan WATAN

Pengenalan

Sejak kebelakangan ini orang lebih lunak menyebut ‘globalisasi’ untuk mengungkapkan hampir
apa sahaja yang berlaku pada era kontemporer ini. Istilah-istilah lain seperti modenisasi, modeniti
dan internasionalisasi misalnya hampir pupus  seolah-olah tidak pernah wujud  sedangkan
konsep-konsep ini amat penting difahami untuk memahami pengertian globalisasi itu sendiri.
Selain itu, dua istilah penting yang masih belum wujud dalam perbendaharaan Melayu iaitu
glokalisasi (global + lokal) dan pewataniahan. Ketiadaan istilah-istilah ini menimbulkan beberapa
implikasi praktis dan teoritis dalam memperkatakan dinamika bangsa Melayu.

Ketiadaan istilah glokalisasi dan pewataniahan itu barangkali antara sebab utama
timbulnya kekeliruan dalam diskusi mengenai globalisasi. Ramai juru bicara memberi penjelasan
yang menyeleweng daripada konsep globalisasi yang sebenar. Misalnya, ramai juru bicara
beranggapan globalisasi adalah “projek Barat” yang membawa “hegemonik Barat” ke seluruh
dunia. Sering disebutkan bahawa glonbalisasi meninggalkan kesan keseragaman (homogeneous),
penunggalan (single), pensejajaran (alignment) dan standardisasi sejagat walhal fenomena seperti
ini sebenarnya dibawa oleh kolonialisasi, modenisasi, modeniti dan internasionalisasi. Dalam
banyak keadaan, apa yang sering disebut sebagai globalisasi oleh pelbagai pihak itu bukannya
globalisasi tetapi sebenarnya lebih cocok disebutkan sebagai “proses modenisasi dan
internasionalisasi atau adakalanya ‘kolonialisasi’ yang belum selesai.”

Selain itu, ramai pula yang menanggapi globalisasi itu suatu proses yang hanya dilakukan
oleh agen-agen luaran atau ‘dari atas ke bawah’ dan pihak-pihak di peringkat dalaman ― seperti
negara, masyarakat dan individu ― dilihat seolah-olah bersifat defensif, rapuh dan menjadi
‘mangsa’nya. Kefahaman seperti inilah menjadi sebahagian sebab isu-isu yang timbul pada era
kontemporer ini tidak dapat digarap dan dianalisiskan secara lebih jitu.

Sebagaimana akan dijelaskan nanti, realiti pada era kontemporer ini agak berbeza
daripada era-era sebelumnya. Sekiranya difahami pengertiannya yang sebenar (yakni konsepnya
sebagaimana diguna pakai oleh tokoh-tokoh penganjurnya), globalisasi memberi ruang dan
peluang kepada sesuatu bangsa untuk memain peranan dan sekali gus melangsungkan
dinamikanya. Ini kerana proses ini mencairkan struktur yang dibina oleh kolonialisasi,
modenisasi, modeniti dan internasionalisasi. Lebih penting lagi ia mengikhtiraf ‘kelainan.’
Makalah ini tidak berniat untuk memperkatakan tentang kesan positif atau negatif globalisasi itu.
Apa yang ingin diketengahkan ialah, sama ada kita suka atau tidak suka, ia adalah suatu realiti
dalam siri babakan perubahan zaman dan akan terus berlaku, dan tidak ada siapa yang boleh
mengelak daripadanya. Kedinamika sesuatu bangsa amat bergantung kepada bagaimana bangsa
itu mampu dan bersedia berdepan dan menanganinya dengan cara yang wajar.

Makalah ini berusaha menjelaskan konsep globalisasi dan glokalisasi sebagaimana


dianjurkan oleh tokoh penganjurnya dan bagaimana ia diguna pakai dalam wahana ilmiah. Di
samping itu, akan diajukan konsep pewataniahan. Untuk memungkinkan konsep-konsep ini
difahami dengan lebih jitu akan dijelaskan latar belakang kemunculan setiap satunya. Satu
penjelasan yang agak lanjut tentang konsep globalisasi penting dilakukan kerana ia memberi asas
untuk memahami konsep glokalisasi dan pewataniahan.

Glokalisasi dan pewataniahan merupakan dua konsep penting untuk dijadikan kerangka
analitikal atau ‘alat analisis’ mengenai dinamika pada era globalisasi itu. Ia wujud bersama (co-
presence) dengan proses globalisasi itu sendiri. Oleh itu, secara praktisnya, ketiadaan konsep-
konsep ini mungkin menyebabkan sesuatu bangsa itu tidak mempunyai ‘konsep memandu’
(guidance concept) untuk melaksanakan pembangunan mapan, komprehensif dan substantif
berasaskan acuan sendiri pada era ini.

Tujuan makalah inilah adalah untuk mengenengahkan konsep pewataniahan supaya ia


menjadi 'urusan semua orang.' Sebenarnya konsep ini telah wujud dalam minda orang Melayu
tetapi selama ini ia berupa suatu konsep yang tidak bernama. Pengungkapan dan penghayatan
konsep ini harus dijadikan agenda besar dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan
bangsa Melayu khususnya dan negara ini amnya. Ia bukannya suatu mitos, tetapi sesuatu yang
wujud secara konkrit dan sangat bersifat mandatori untuk membolehkan bangsa Melayu
melangsungkan dinamikanya pada landasan yang mapan (sustainable). Konsep ini boleh
dicerakin dalam medan diskusi yang luas tetapi makalah ini hanya mengaitkannya dengan Dasar
Ekonomi Baru (DEB) sebagai latar empiris. Ini kerana terdapat tanda-tanda Dasar ini berupa
blue-print yang sudah wujud untuk melaksanakan proses pewataniahan itu.

Konsep Globalisasi

Di mana-mana pun pengucapan globalisasi adalah satu fenomena baharu tetapi agak cepat
merebak.1 Perkataan ini muncul sebagai satu istilah dengan konsep tersendiri hanya pada tahun
1985, dan agak menarik disebutkan walaupun pada hari ini istilah tersebut lebih banyak
digunakan dalam arena ekonomi dan politik namun ia digagaskan oleh seorang ahli sosiologi-
agama bernama Roland Robertson (Waters 1995: 2-3). Berasaskan semakan perpustakaan yang
telah dilakukannya, Waters (1995: 3) mengisytiharkan: “The key figure in the formation and
specification of the concept of globalization is Robertson.” Penggagasan konsep ini terjadi
apabila Robertson menerbitkan sebuah makalah berjudul ‘‘The Relativization of Societies:
Modern Religion and Globalization” (1985 dalam T. Robbins, W. Shepherd and J. McBride
(eds.), Cult, Culture and the Law, Chicago: Scholars).

Menurut Robertson (1985: 8) “Sebagai satu konsep globalisasi merujuk kepada dua
perkara iaitu ‘pemampatan dunia’ dan ‘intensifikasi’ kesedaran manusia tentang dunia sebagai
satu keseluruhan” — Globalization as a concept refers both to the compression of the world and
the intensification of consciousness of the world as a whole.

Sejak terbitnya tulisan Roberton itu, pemakaian istilah globalisasi berkembang dengan
begitu cepat dalam pelbagai bidang, meliputi arena ekonomi, politik, teknologi maklumat

1
Di dunia Barat perkataan ‘global’ telah lama dipakai, dapat dikesan sejak tahun 1676 (lihat dalam Merriam
Webster's Collegiate Dictionary, 1996: 496). Dalam kamus lama bahasa Inggeris ia bermaksud spherical (Ibid.);
dirujuk sebagai satu kata sifat, dan sekiranya dialih bahasa ke bahasa Melayu ia bermaksud ‘bersifat spera.’ Pada awal
1960-an timbul ungkapan ‘global village’ (perkampungan sejagat) yang digagaskan oleh Marshall MacLuham (1960
dan 1964). Walau bagaimanapun, ungkapan ini tidaklah menjelaskan konsep globalisasi dalam pengertian yang sebenar
kerana intinya adalah modenisasi (Waters 1995: 2).
perkomputeran internet (ICT), sosial, kebudayaan, perhubungan antarabangsa, ketenteraan,
jenayah, wabak penyakit, alam sekitar dan lain-lainya. Berasaskan lebih daripada 100 bahan
tulisan yang telah disemak, antara definisi-definisi globalisasi dalam arena sosiobudaya, ekonomi
dan politik adalah seperti berikut.

Dalam arena sosiobudaya, menurut Waters (1995: 3) “Globalisasi adalah satu proses
sosial yang mana kekangan geografi ke atas hal-ehwal kemasyarakatan dan budaya menyurut dan
manusia semakin sedar bahawa kekangan tersebut semakin surut” — Globalization is a social
process in which the constraints of geography on social and cultural arrangement recede and in
which people become increasingly aware that they are receding.

Dalam arena ekonomi, menurut Tonelson (1997: 353) “Globalisasi adalah keadaan
semakin meningkatnya integrasi pasaran antarabangsa yang dibawa oleh kepesatan pengaliran
barangan, perkhidmatan, modal, maklumat dan ada kalanya manusia di serata dunia” —
Globalization is the increasing integration of international markets being brought about by
rapidly expanding worldwide flows of goods, services, capital, information, and sometimes
people. Menurut Keller dan Pauly (1997: 371) “Globalisasi adalah keadaan di mana modal dan
teknologi yang berada di bawah kawalan syarikat-syarikat multinasional mengalir dengan bebas
melintasi sempadan-sempadan negara” — Globalization is that both capital and technology
harnessed by multinationals are flowing more freely across national borders.

Dalam arena politik, menurut McGrew (1992: 23) “Globalisasi merujuk kepada
kepelbagaian rangkaian dan saling-berhubungan antara negara-negara dan masyarakat-
masyarakat yang membina sistem dunia moden” — Globalization refers to the multiplicity of
linkages and interconnections between the states and societies which make up the modern world
system. Menurut Mittelman (1994: 7) “Globalisasi adalah satu transformasi sejarah yang
mengembang dan memperderaskan interaksi merentasi masa dan ruang dengan implikasi
mendalam daripada segi perhubungan pertukaran kuasa, di samping menambah daya keupayaan
komuniti untuk menentukan nasib sendiri” — Globalization means a historical transformation,
extending and accelerating interactions across time and space, with profound implications in
terms of changing power relations, as well as for the capacity of a community to determine its
own fate.

Demikianlah antara definisi-definisi globalisasi dalam arena-arena yang dilihat dari


pelbagai perspektif. Pemaparan di atas memberi gambaran bahawa globalisasi tidak hanya berkait
dengan ekonomi semata-mata, tetapi juga melibatkan juga arena sosial, kebudayaan dan politik.
Selain itu, konsep globalisasi melampaui pandangan umum yang hanya mengaitkannya dengan
“teknologi maklumat perkomputeran internet (ICT)” atau konsep “perkampungan sejagat” dan
“dunia tanpa sempadan.”

Konsep globalisasi akan dapat difahami dengan lebih mantap lagi sekiranya dilihat
faktor-faktor atau latar belakang yang membawa kemunculannya pada pertengahan dekad 1980-
an itu. Banyak faktor yang mendorong kemunculannya tetapi menurut Mitchell (1992) dan
Tonelson (1997) faktor serta mertanya adalah tindakan Kongres Amerika Syarikat di bawah
pimpinan Pentadbiran Presiden Reagen menjalankan Dasar Neo-Liberalisasi. Tujuan Kongres
tersebut menggubal Dasar itu adalah untuk mengelakkan kemelesetan ekonomi yang telah
melanda seluruh dunia pada masa itu daripada melanda negara berkenaan. Pelaksanaan Dasar
tersebut dilakukan melalui tindakan Liberalisasi, Deregularisasi dan Penswastaan. Tindakan ini
telah membolehkan pelabur Amerika Syarikat melabur lebih banyak ke luar negaranya. Tindakan
yang sama telah dilakukan oleh Pentadbiran Margaret Thatcher di United Kingdom.

Sebenarnya pada yang sama kerajaan Malaysia turut melakukan globalisasi ― yakni
mengadakan Liberalisasi, Deregularisasi dan Penswastaan ― dengan menuruti model
Pentadbiran Reagan di Amerika Syarikat dan Margaret Thatcher di United Kingdom itu. K.S.
Jomo (1990: 204) mencatatkan:
Some such policy initiative had less to do with ‘looking East’ than other
influences on policy-making. For instance, while the Japanese developed viable
economic enterprises in the nineteenthe century only to pass them over to the
private sector, the more immidiate inspiration for ‘privatisation’ in Malaysia
appears to be dismantling of the public sector in the West, indentified with
‘Reaganomics’ and ‘Thatcherism.’

Catatan yang sama dibuat oleh Anuwar Ali (1995: 29-30) dan Ishak Shari (1998: 48).
Mereka menyatakan pengenalan globalisasi ke dalam ekonomi di Malaysia itu sebagai tindakan
yang diasaskan kepada Pemikiran Neo-Liberal. Tindakan ini dilakukan melalui penggubalan Akta
Penggalakan Pelaburan 1986 yang membawa unsur-unsur Liberalisasi, Deregularisasi dan
Penswastaan. Misalnya, Ishak Shari mencatatkan:

Pemikiran Neo-liberal inilah yang telah diterima oleh pemerintah di Malaysia sejak
pertengahan 1980-an, yang membawa kepada perubahan radikal kepada teras dasar
pembangunan negara dengan pengenalan dan pengukuhan dasar Liberalisasi, Deregulasi
dan Penswastaan dan seterusnya menjadikan sektor swasta sebagai sebahagian enjin
utama pertumbuhan ekonomi negara selepas 1990 (Ishak Shari 1998: 48).

***

Tindakan politik yang dilakukan oleh Pentadbiran Presiden Reagen dan Pentadbiran Margaret
Thatcher tadi telah mendorong berlakunya perlumbaan secara besar-besaran di kalangan syarikat
korporat multinasional dan transnasional (MNC & TNC) milik Amerika Syarikat dan United
Kingdom dalam kegiatan internasionalisasi. Perkembangan ini meninggalkan impak yang besar
ke atas ‘Order Baharu Ekonomi Antarabangsa.’ Ia menjadi enjin atau pendorong (prime mover)
berlakunya perubahan struktural dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sejagat, baik politik,
sosial, budaya mahupun aspek-aspek keagamaan — atau ringkasnya ‘tamadun dunia’ amnnya.

Dalam suasana itulah Robertson menggagaskan konsep globalisasi seperti telah diberikan
di awal tadi. Latar belakang suasana tersebut dan hubungannya dengan pengasasan konsep
globalisasi dijelaskan oleh beliau seperti berikut:

With the rapid growth of various supra-national and transnational organizations,


movement and institutions (such as global capitalism and the global media
system) the boundaries between societies have become more porous because
they are much subject to ‘interference’ and ‘constraint’ from outside. On the
other hand, internal societal affairs are themselves increasing complicated and
oriented to outside by a variety of factors, including greater consciousness
(which may well be grossly misinformed) of other societies, allegiance to groups
within other societies (much but certainly not all of that occasioned by
diasporation), economic penetration and the ‘internationalization’ of national
economies (Robertson, 1992: 5).

In the second half of the 1980’s ‘globalization’ — and its problematic variant,
‘internationalization’ — became a commonly used term in intellectual, business,
media and other circles, in the process acquiring a number of meanings, with
varying degrees of procession. I deal here with relatively recent aspects of
globalization, although I want to emphasize as strongly as possible that in doing
so I am not suggesting for a moment that moves and thrusts in the direction of
global unicity are unique to relatively recent history. I also argue that
globalization is intimately related to modernity, and modernization, as well as to
postmodernity and postmodernization — in so far as the latter pair of motifs have
definite analytical purchase (Robertson 1992: 8).

Dengan berlatarbelakangkan situasi tersebut, Robertson melihat globalisasi adalah


berakar umbi dari modenisasi, modeniti dan internasionalisasi. (Dan ia mempunyai kaitan dengan
pascamodeniti dan pascamodenisasi). Walaupun secara instrinsiknya kemunculan globalisasi
berkait dengan tindakan politik di Amerika Syarikat dan United Kingdom namun menurut
Robertson itu hanya katalisnya. Beliau menegaskan bahawa globalisasi muncul dari
pengembangan modenisasi, modeniti dan internasionalisasi yang telah mencapai kemuncaknya
pada 1970-an. Sehubungan itu, beliau menambah satu lagi definisi globalisasi iaitu:

Globalization is an enlargement of modernity, from society to the world. It is


modernity on the global scale ― (Terjemahan: Globalisasi adalah pembesaran
modeniti, dari masyarakat kepada pentas dunia. Ia adalah modeniti yang
berskela global) (Robertson 1992: 142).

Konsep yang diajukan oleh Robertson ini selari dengan pandangan Serge Latouche
(1996). Latouche menyatakan globalisasi terbentuk ekoran daripada modenisasi yang pada
mulanya berasal dari Barat tetapi kini “telah kehilangan tuan” (masterless modernity) dan ia
menjadi milik manusia sejagat.

I analyze the west as a sort of megamachine that has now become anonymous,
deterritorialized and uprooted from its historical and geographically origin. The
‘West’ has no longer means Europe, either geographically or historically; it is no
longer even a collection of beliefs shared by a group of people scattered over the
earth. I see it as a machine, impersonal, soulless, and nowadays masterless,
which has impressed mankind into it service. The ‘West’ has lost its specific
mooring in any cultural-geographical location and has become something of an
abstract generator of cultural practices (Latouche (1996: XII, 3).

Berdasarkan pemikiran Robertson dan Latouche serta huraian-huraian seperti diberikan


di atas dapat dirumuskan bahawa terdapat tiga kata kunci apabila memperkatakan tentang
globalisasi iaitu:

(1) Globalisasi adalah pengembangan modenisasi, modeniti dan internasionalisasi

(2) Globalisasi dilakukan oleh semua pihak secara suka rela. Maksudnya ia bukan sahaja
dilakukan oleh para ‘aktor’ atau agen-agen luar tetapi juga oleh pihak-pihak dalaman di
peringkat negara termasuk oleh kerajaan, masyarakat dan individu

(3) Globalisasi berupa proses membuka ruang dan masa yang selama ini mengikat manusia
kepada sesuatu struktur

Tiga ciri ini agak berbeza daripada tanggapan yang diberikan oleh kebanyakan diskusi
lazim. Kebanyakan diskusi tidak mengambil kira peranan negara/kerajaan, masyarakat dan
individu di peringkat dalaman/lokal dalam proses globalisasi; dan melihat globalisasi itu seolah-
olah suatu proses yang hanya dilakukan oleh pihak-pihak di peringkat ‘atasan.’

Apa yang ingin ditekankan di sini (dan ini akan dijelaskan nanti) ialah semasa berlakunya
globalisasi itu berlaku juga beberapa proses lain di peringkat negara dan masyarakat. Proses di
peringkat dalaman itu secara amnya dinamakan ‘glokalisasi’ (global + lokal). Dalam masyarakat
Jepun proses tersebut dinamakan dochakuka. Dalam masyarakat Melayu ia dapat dinamakan
sebagai ‘pewataniahan.’
Konsep Glokal (global + lokal)

Ramai pemerhati tidak menyedari bahawa semasa berlakunya globalisasi itu berlaku juga satu
lagi proses yang dinamakan ‘glokalisasi.’ Dengan perkataan lain, proses globalisasi ‘wujud
bersama’ (co-presence) dengan proses di peringkat dalaman. Sebenarnya senario ini tidak sukar
ditanggapi sekiranya difahami tiga kata kunci mengenai globalisasi yang telah digariskan di atas
tadi.

Glokalisasi adalah konsep yang juga digagaskan oleh Robertson. Beliau


menghubungkaitkannya dengan perkataan Jepun dochakuka. Menurut beliau istilah ini telah
menjadi sebutan di kalangan ahli-ahli ekonomi Jepun pada dekad 1980-an.

The word “glocalization,” which is usually rendered in Japanese — and excuse my pronunciation
— as dochakuka. This is a word, incidently, which has played an increasingly important part in my
own writings, recently, about globalization. Because “glocalization” means the simultaneity — the
co-presence — of both universalizing and particularizing tendencies (Robertson, 1997).

Perkataan glokalisasi itu membawa beberapa pengertian. Dalam pengertian asalnya ia


bermaksud “living on one’s own land” (Robertson 1995: 28). Ia juga membawa maksud
“pengubahsuaian teknik pertanian supaya sesuai dengan situasi lokal.” Walau bagaimanapun,
Robertson mengambil makna istilah tersebut dari konsep yang agak kontemporari iaitu seperti
mana digunakan oleh ahli peniaga Jepun yang secara intinya merujuk kepada strategi pemasaran-
mikro (“micro-marketing strategy”) iaitu “the tailoring and advertising of goods and services on a
global or near-global basis to increasing differentiated local and particular markets” (Robertson
1995: 28).

Secara ringkasnya, berasaskan strategi pemasaran-mikro Jepun itu, glokalisasi


bermaksud “mengambil unsur-unsur global menjadi lokal” dan pada masa yang sama
“menjadikan unsur-unsur lokal menjadi unsur-unsur global” — Particularization of universalism
dan Universalization of particularism. Konsep ini mengimbangkan paradigme beracuan
‘dalaman’ dengan ‘luaran’ sehingga menjadi suatu perhubungan yang harmomis.

Robertson memberi contoh khusus mengenai konsep ini iaitu dengan merujuk kepada apa
yang berlaku di Russia dan Jepun. Menurut beliau, Peter the Great di Rusia dan Meiji di Jepun
telah berjaya ‘meminjam’ dari tamadun Barat tetapi pada masa yang sama mereka mengukuhkan
asas-asas tamadun dalaman mereka. Sejarah membuktikan tindakan kedua-dua tokoh ini telah
menjadi salah satu titik anjakan (mile stone) dalam persejarahan tamadun moden dunia. Rusia
menjadi (atau pernah menjadi) salah sebuah kuasa utama politik-ekonomi dunia. Dan Jepun
masih menjadi salah sebuah kuasa ekonomi-industri pada masa ini.

Robertson lebih memberi tumpuan terhadap ‘peristiwa bersejarah’ dalam modenisasi


yang dilakukan oleh elit Meiji (1876). Beliau menjelaskan kedudukan konsep glokalisasi dalam
konteks masyarakat Jepun itu seperti berikut:

Sejak sekian lama Jepun terkenal sebagai bangsa yang ‘berjaya’ mengempar-gempurkan
sejarah mereka dan mengungkapkan identiti mereka sebagai begitu kental. ‘Intipati’
bentuknya diperoleh dari pelbagai budaya, terutamanya dari tamadun China. Walau
bagaimanapun, elit baharu pemerintahan Meiji begitu tegas dan amat cermat untuk
membangunkan semula identiti dan tradisi Jepun. Pada tahun 1878, seorang pakar
perubatan German mencatatkan kenyataan elit Meiji yang menyatakan “Jepun tidak
mempunyai sejarah. Sejarah kami bermula pada hari ini.” Keazaman mereka yang
begitu mendalam itu akhirnya terjelma dalam bentuk ‘pengeluaran’ pada akhir zaman
pemerintahan Meiji yang amat mempertahankan nostalgia hal-hal begini. Sistem
imperial itu menjadikan Shinto sebagai agama peribumi, etika Samurai dan nilai (etos)
Confucian dijadikan ‘bahagian yang terpenting’ dalam pembinaan ‘kebangsaan’ Jepun
dan ia diperkukuhkan sehingga menjadikan Jepun satu bangsa yang benar-benar ‘unik’
untuk menghadapi dunia luar2 (Robertson 1992: 150).

Kenyataan ini cukup mengesankan. Ia mungkin berbeza dari tanggapan umum yang
selami ini beranggapan faktor kejayaan Jepun dalam industri dan pengeluaran hanya terdiri
daripada faktor-faktor ekonomi, kepandaian mereka dalam teknologi dan bekerja kuat semata-
mata. Kejayaan elit Meiji mengubah keadaan dari “Jepun tidak mempunyai sejarah” kepada
“Jepun menjadi sebuah negara industri gergasi” sebahagian besarnya didorong oleh faktor-faktor
kebudayaan. Ini termasuk unsur-unsur nostalgia yang dianggap remeh temeh atau ‘gangguan’
dalam pengajian ekonomi dan pembangunan. Ungkapan “sejarah kami bermula pada hari ini”
merujuk kepada keadaan Jepun pada sekitar 1876 — suatu era Pembaharuan Meiji menjalankan
dasar buka pintu dan mengambil Barat sebagai model pembangunannya. Elit Meiji begitu
nostalgia terhadap unsur-unsur wataniah seperti agama dan budaya nenek moyang. Shinto
dijadikan agama rasmi, etika Samurai dan etos Confucian diperkukuh, dihayati dan diamalkan
sebagai ‘inti kebangsaan’ dalam dinamikanya. Ini sekali gus menjadi ‘benteng pertahanan’
terhadap cabaran luar iaitu negara Barat yang pernah menjadi kiblatnya. Terbukti sejak beberapa
dekad yang lalu Jepun telah berjaya masuk ke dalam lingkaran global dan menjadi salah satu
aktornya.

PEMBINAAN MELAYU Berasaskan Pewataniahan

Sekiranya pertengahan dekad 1980-an merupakan era kemunculan globalisasi, pada masa yang
sama di Malaysia muncul Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa, penggubalan Dasar
Penerapan Nilai-Nilai Islam, penerapan nilai-nilai murni dalam kurikulum pendidikan negara,
bercambah pesatnya pusat-pusat rawatan Islam dan pusat-pusat pendidikan Islam dan sebagainya.
Dan kecenderungan ke arah melahirkan generasi Islam begitu tinggi, misalnya, menurut rekod
Kementerian Pendidikan Malaysia (1986) sejak awal dekad 1980-an, 80% ibu bapa Melayu
menghantar anak mereka untuk pendidikan pra-sekolah ke pusat-pusat pendidikan Islam seperti
TASKI, PASTI dan beratus-ratus pusat sedemikian yang dianjurkan oleh pihak-pihak swasta dan
persendirian setiap tahun.

Senario empiris ini membayangkan semasa berlakunya globalisasi itu, berlaku juga
kegiatan dalaman yang aktif di peringkat lokal/negara di Malaysia. Secara lebih tuntas, proses
globalisasi itu berkembang bersama (co-presence) dengan proses Islamisasi. Dengan darjah-
darjah tertentu, bolehlah dikatakan bahawa berlaku juga proses glokalisasi atau dochakuka di
negara ini. Dalam konteks bangsa Melayu proses tersebut dapat dinamakan sebagai
‘pewataniahan.’3
2
Kenyataan asal Robertson dalam bahasa Inggeris: “Japan had, of course, for long been ‘successful’ in manipulating its
own history and of expressing its substantive identity, its ‘essence,’ in forms of drawn from other cultures, most
importantly China. But the new Meiji elite’s were particularly explicit about and adept at reconstructing Japanese
identity and tradition. R. J. Smith (1983) quotes an unnamed Japanese who remarked to a German physician in 1876
that “Japan has no history. Our history begins today.” That proclivity eventuated in the production by the end of the
Meiji period of a highly serviceable nostalgia about such matters as the imperial system, Shinto to as a native-national
religion, the Samurai ethic and the Confucian ethos as a way of consolidating Japan’s national essence and
strengthening it, as an entirely unique society, against to outside world” (Robertson 1992: 150).

3
Penulis makalah ini sedar akan adanya istilah ‘pembumiputeraan’ dan ‘pemperibumian.’ Walau bagaimanapun,
penulis berpendapat istilah ‘pewataniahan’ lebih afdal digunakan dalam konteks Melayu kerana beberapa sebab seperti
berikut. Penggunaan istilah ‘pembumiputeraan’ akan menimbulkan masalah pentafsiran dari segi undang-undang
kerana dalam Perlembangaan Persekutuan Malaysia (pasal 161A [6] [7]) disebut secara tuntas istilah ‘bumiputera’
merujuk hanya kepada penduduk asli di Sabah dan Sarawak. Walaupun mungkin ada pengkaji boleh menafikan
pernyataan dalam dokumen perundangan ini dengan mengajukan hujah-hujah etnografi, antropologi dan kebudayaan
Istilah pewataniahan adalah kata terbitan dari perkataan watan (bahasa Arab) yang
bermaksud ‘tanah air’ atau ‘tanah tumpah darah.’ Pengertian pewataniahan lebih berkait dengan
konsep ‘wataniah’ ( ‫ )ﺔﻳﺒطو‬iaitu kata sifat bagi watan itu. Dalam beberapa buah kamus (seperti
yang disusun oleh Cowan 1976 dan Hava 1982) dijelaskan:

Watani (‫ )ﻰﺒطو‬home, native, indigenous, domestic, patriotic, national, nationalistic,


patriot, ‫ تﺎﻋﻭﻧﺼﻤ ﺔﻳﺒطو‬domestic product, product of the country.

Wataniya (‫ )ﺔﻳﺒطو‬nationalism, national sentiment, patriotism.

Sehubungan itu, dapat dirumuskan bahawa konsep wataniah mengandungi elemen-


elemen seperti berikut: tanah air (home), anak watan, pengeluaran domestik dan pengeluaran
negara. Sehubungan itu, konsep pewataniahan merujuk kepada ‘sentimen menyintai’ tanah air,
anak watan, pengeluaran domestik dan pengeluaran negara. Sekiranya diperhatikan konsep ini
mirip konsep dochakuka di Jepun atau glokalisasi yang digagaskan oleh Robertson. (Sila
bandingkan keterangan ini dengan gagasan Robertson di atas).

‘Sentimen’ dalam konsep pewataniahan itu adalah berkait dengan semangat patriotisme
atau nasionalisme. Ia dimanifestasikan dalam bentuk proses ― yakni melalui gerakan,
pemupukan kesedaran dan semangat serta tindakan ― untuk mempertahan, memberi nilai,
menghayati, memberi tempat dan fungsi terhadap segala unsur wataniah itu.

Dalam pada itu, harus ditekankan bahawa konsep patriotisme dan nasionalisme dan
hubunganya dengan pengertian ‘pewataniahan Melayu’ itu agak berbeza daripada konsep
patriotisme atau nasionalisme Barat. Ia juga berbeza daripada apa yang sering diungkapkan dalam
perbicaraan konvensional atau siaran media massa arus perdana Malaysia. Dilihat dari sudut
mana sekalipun, baik etno-linguistik, sejarah-peradaban, perundangan mahupun ‘kesedaran
umum’ (general consciouness), unsur paling integral dalam semangat patriotisme Melayu adalah
Islam.4 Dalam banyak keadaan, ia hampir sinonim dengan proses Islamisasi.

yang sahih (sekiranya ada), namun lantaran Perlembagaan Persekutuan Malaysia itu mempunyai kuasa ultra-vires—
yakni kedudukan tertinggi, tidak ada kuasa yang dapat mengatasinya — maka adalah lebih baik istilah ini (bumiputera)
tidak digunakan bagi orang Melayu khususnya di Semenanjung untuk mengelakkan pertikaian yang berakhir dengan
keputusan ‘mahkamah yang lebih betul.’
Penggunaan istilah ‘pemperibumian’ pula dianggap akan menyempitkan konsep patriotisme Melayu kerana
istilah ‘peribumi’ itu sendiri bermaksud ‘penduduk asli’ (Kamus Dewan, 1994: 1018) yang bersifat kewilayahan dan
etnisiti. Di Semenanjung Malaysia terdapat peribumi Melayu Kelantan, peribumi Melayu Terengganu, peribumi
Melayu Kedah, peribumi Melayu Pahang, di samping ada kelompok-kelompok sub-etnik Jawa, Bugis, Minangkabau,
Rawa, Mandailing, Banjar dan Aceh di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Selangor yang dikategorikan
sebagai peribumi Melayu. Selain itu, penyebutan ‘peribumi’ mudah memaut ungkapan peribumi Melayu di peringkat
serantau (Alam Melayu), misalnya peribumi Melayu di selatan Thailand, peribumi Melayu Brunei, peribumi Melayu di
Riau, peribumi Melayu di Sumatera (seperti Siak, Aru, Palembang, Medan) dan sebagainya sehingga tidak terhitung
banyaknya. Oleh itu, penggunaan istilah ini membawa risiko misalnya apabila diucapkan “menyintai unsur-unsur
peribumi” akan segera membayangkan makna menyintai sub-etnik secara berpuak-puak atau mengikut wilayah
tertentu.
Berasaskan kedudukan inilah yang menyebabkan istilah pewataniahan difikirkan lebih afdal digunakan.
Secara lebih tuntas, istilah ‘pewataniahan Melayu’ lebih afdal digunakan kerana tidak membawa makna yang berpihak
kepada mana-mana sub-etnik atau wilayah tetapi merangkumi pelbagai golongan yang (1) beragama Islam, (2)
berbahasa Melayu, (3) mengamalkan adat istiadat Melayu, dan (4) mengaku dirinya Melayu.
4
Untuk memahami kedudukan Islam dalam patriotisme Melayu itu perlulah difahami kedudukan ‘tanah air’ atau
‘negara’ (state) dan sifat bangsa Melayu itu sendiri. Fakta-fakta sejarah menunjukkan faktor yang mendorong semangat
patriotisme Melayu (khususnya di Semenanjung Malaysia) tidaklah begitu diawali oleh persoalan menyintai tanah air
atau negara. Ini kerana bagi orang Melayu tidak timbul isu untuk menerima hakikat bahawa mereka menyintai ‘tanah
air’ mereka ini. Tidak timbul isu sama ada mereka mempunyai pilihan atau tidak mempunyai pilihan untuk berperasaan
cintakan negara kerana negara ini adalah tanah air milik serta tempat tumpah darah nenek moyang mereka, dan akan
terus menjadi milik dan tanah tumpah darah mereka dan generasi mereka akan datang.
Persoalan patriotisme Melayu dikatakan diawali oleh Islam kerana Islamlah yang menjadi angkubah tetap
(dependence variabel) di dasar pelbagai unsur yang mendorong semangat menyintai dan mempertahankan tanah air,
bangsa dan segala unsur Melayu itu. Misalnya, satu hakikat yang bersifat tajalli ― suatu realiti yang tidak perlu
Perhubungan antara bangsa Melayu dengan Islam dapat dilihat pada tiga peringkat
utama. Pertama di peringkat individu, keluarga dan komuniti di mana Islam didakap kejap
(embrace) sebagai ‘satu agama.’ Sekiranya sejarah telah membuktikan begitu ramai manusia
telah mengadai nyawa demi mempertahan fahaman, ideologi (seperti Komunisme, Konfusiusme
dan Demokrasi) atau tanah air maka demikianlah juga anak watan Melayu dalam
mempertahankan agamanya iaitu Islam.

Kedua, di peringkat negara di mana Islam didakap sebagai penanda jati diri; untuk
membezakan ‘kami’ dari ‘orang lain’ (‘Us’ from ‘Others’). Sekiranya Islam dicabut dari roh dan
jasab Melayu, dan sekiranya unsur-unsur luar (seperti fahaman, bahasa dan kebudayaan asing)
diambil sebagai asas pembangunan Melayu maka dengan sendirinya bangsa Melayu akan hilang
di muka bumi ini. Sekiranya ini berlaku mungkin akan wujud hanya puak-puak peribumi Melayu
dalam kelompok-kelompok etnik (ethnies) atau wilayah-wilayah mikroskopik tertentu. Senario
yang sama dapat dibayangkan sekiranya Islam dicabut dari bahasa dan kebudayaan Melayu, akan
hilanglah unsur-unsur asasi jati diri Melayunya.

Ketiga, di peringkat global di mana Islam didakap oleh anak watan Melayu sebagai asas
pembentukan komuniti global atau ummah sejagat. Ini kerana Islamlah kuasa yang telah
mengangkat Melayu ke permukaan pentas dunia sebagai suatu bangsa. Pada masa lalu proses ini
berlaku setelah anak watan Melayu diterima sebagai ‘ahli’ dan diberi saluran (access) untuk
melakukan perhubungan dengan pusat-pusat tamadun dunia seperti di Tanah Arab, Mesir, Turki
dan India. Pada masa ini anak watan Melayu telah menjadi ‘ahli komuniti global’ berasaskan
kesatuan keagamaan merentasi etnik, puak dan nasionaliti. 5

Demikianlah antara ciri-ciri umum bangsa Melayu. Dapat dirumuskan bahawa unsur inti
glokalisasi atau dochakuka bagi bangsa Melayu ialah Islam. Sensitiviti mereka terhadap Islam
begitu tinggi, melampaui sempadan etnik dan politik-negara. Misalnya, sesuatu pandangan dan
tindakan itu tidaklah dianggap pro-Melayu sekiranya tidak pro-Islam, apatah lagi sekiranya
pandangan dan tindakan itu menyangkahi dengan Islam pastilah dianggap menentang Melayu.
Malah pandangan yang bersikap berkecuali (absence) terhadap Islam sekalipun diterima oleh
orang Melayu dengan penuh prejudis, dibaluti perasaan ‘perkauman.’ Tidak timbul isu fanatik
atau sederhana dalam keagamaan kerana ‘kesedaran’ begini merupakan ‘sifat jadi’ ( the nature)
bagi orang Melayu.

Pernyataan ini menjelaskan sendiri (speaks by itself) kenapakah dinamika pembangunan


Melayu mesti dilangsungkan berasaskan Islam, bahasa Melayu dan warisan (terutamanya nilai)
kemelayuan. Berasaskan realiti empiris itu, ungkapan ‘pewataniahan Melayu’ boleh dirujuk
sebagai gerakan dan pemupukan semangat dan kesedaran untuk mempertahan, menerap,
menghayati, menghargai, meyakini, memberi nilai dan kedudukan tinggi, memartabatkan,
menyintai, merealisasi, mengamalkan unsur-unsur yang dimiliki oleh bangsa Melayu terutamanya
Islam, bahasa Melayu dan warisan serantau berteraskan Islam.

dibuktikan kebenarannya (axiom) ― ialah anggota bangsa Melayu terdiri daripada peribumi Melayu Kelantan,
peribumi Melayu Terengganu, peribumi Melayu Kedah, peribumi Melayu Pahang. Selain itu, sebahagian daripada
mereka berasal dari wilayah serantau terutamanya dari Indonesia seperti orang Jawa, Bugis-Makassar, Minangkabau,
Rawa, Mandailing, Banjar, Aceh dan sebagainya—yang umumnya tinggal di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak
dan Selangor. Ada juga dari peribumi Melayu dari selatan Thailand. Dalam pada itu, sebahagian daripada anggota
Melayu terdiri daripada keturunan Arab, India-Muslim dan beberapa bangsa lain.
Jelasnya anggota bangsa Melayu adalah bersifat poligenesis iaitu tidak dari permulaan yang sama. Secara
amnya terdapat tiga unsur yang menjadi tali pengikat pelbagai puak dari pelbagai wilayah itu sebagai satu bangsa iaitu
(1) Islam, (2) bahasa Melayu dan (3) warisan serantau yang dikategorikan sebagai kebudayaan Melayu (lihat A.Aziz
Deraman 2000). Sungguhpun begitu, di antara unsur-unsur ini, Islamlah yang menjadi unsur paling asasi dan
berkekalan dipertahankan mati-matian.
5
Ciri-ciri asas ‘komuniti global Islam’ itu secara amnya dalam konteks global dapat diungkapkan dengan
kenyataan Ernest Gellner (1997: 86): "Islam has its Umma, the charismatic community of the faithful, but
that is not an ethnic group, even if it has a deep affinity for one culture, in as God speaks Arabic."
Senario empiris seperti digambarkan membawa implikasi besar secara teoritis dan
praktis. Bangsa Melayu adalah suatu ‘jenis’ bangsa yang sifat jadinya (it is by nature)
mempertahankan nilai (yakni berteraskan Islam). Nilai tersebut merupakan satu-satunya wahana
untuk memungkinkan kelangsungan-hidup (survival) Melayu sebagai satu entiti di peringkat
nasional dan juga global. Sehubungan itu, proses pewataniahan cara begini merupakan satu-
satunya pilihan sekiranya bangsa Melayu mahu menjadi satu bangsa yang maju, khususnya dalam
era globalisasi ini.

Realiti Dinamika Bangsa Melayu Secara Retrospektif

Untuk memperkatakan tentang dinamika sesuatu bangsa adalah lebih wajar dikenal pasti terlebih
dahulu realiti atau kedudukan bangsa itu dalam pelbagai bidang. Penelitian secara semiotis
tentang realiti bangsa Melayu kontemporer seharusnya melibatkan sudut pandangan ekonomi,
politik dan sosio-budaya. Walau bagaimanapun, dalam ruang makalah yang terbatas ini
barangkali agak memadai dilihat dari sudut sosioekonomi. Lagi pun aspek ini mempunyai impak
ke atas aspek-aspek lain.

Seseorang pengkaji mungkin boleh menyimpulkan bahawa orang Melayu di Malaysia


mempunyai segala ‘peralatan’ untuk memungkinkan mereka menjadi satu bangsa yang maju dan
dinamik. Mereka memiliki 'tanah air' sendiri dan mendominasi kuasa politik negara; dan
mempunyai tempat untuk mengadu nasib dan mendapat bantuan sekiranya menghadapi
kesukaran iaitu negara/kerajaan. Mereka dijamin secara perundangan untuk diberikan bantuan
dan subsidi oleh pihak negara menerusi peruntukan khas dalam Perlembagaan Persekutuan
Malaysia [Perkara 153] yang menjamin hak-hak istimewa mereka.

Soalnya, adakah orang Melayu benar-benar maju (dalam ekonomi)? Kita memerlukan
krikteria untuk menjustifikasikan kedudukan ini. Untuk lebih praktikal ― dan inilah lazimnya
dilakukan oleh pelbagai pihak ― barangkali dinamika bangsa Melayu dalam bidang ekonomi
boleh diukur berdasarkan krikteria berikut: (1) memiliki ikuiti yang besar, (2) jumlah yang besar
dalam pemilikan dan pengurusan keusahawanan (entrepreneurship), (3) memiliki dan menjadi
pemain dalam rangkaian perdagangan domestik dan global, (4) memiliki harta tanah di kawasan
strategis dan bernilai ekonomi ― seperti bangunan kedai, pejabat dan tanah di bandar, (5)
menikmati pengagihan kekayaan secara sama rata (melalui pembangunan wilayah yang seimbang
dan sosial merentasi lapisan masyarakat) sehingga tidak ada orang Melayu yang hidup dalam
kemiskinan; dan semua orang Melayu kaya belaka dan boleh menentukan keadaan.

Adakah krikteria ini telah dicapai oleh orang Melayu sejak lebih 40 tahun merdeka?
Tidak. Barangkali seseorang pengkaji boleh memaparkan angka-angka dan jadual-jadual yang
menelan berpuluh-puluh halaman untuk menjelaskan keterbelakangan orang Melayu dalam sosio-
ekonomi. Agak memadai sekiranya kedudukan orang Melayu itu digambarkan dengan angka 20.6
peratus ekuiti mereka pada tahun 1990 dan menurun kepada lebih kurang 17 peratus pada tahun
2002. Pemilikan ini pula adalah dalam bentuk perbadanan atau badan berkanun. Kedudukan
ekonomi orang Melayu memadai juga digambarkan dengan ucapan-ucapan PM Malaysia (ke-4)
yang menyebut “Satu-satunya kegagalan saya selama memegang jawatan Perdana Menteri (lebih
20 tahun) ialah tidak dapat mengubah sikap orang Melayu supaya menjadi maju.”

Lebih lanjut kita juga perlu meneliti senario berikut: (1) pemilikan tanah strategi dan
bernilai ekonomi di kawasan bandar telah dimiliki (secara undang-undang) oleh kaum Cina sejak
lebih dari satu kurun, (2) sektor pembekalan, pemborongan dan pembinaan hampir
keseluruhannya didominasi oleh kaum Cina, (3) orang Melayu masih tidak mempunyai ‘struktur
asas perekonomian’ dan rangkaian perdagangan antarabangsa dan domestik yang besar dan
kukuh, dan (4) orang Melayu tidak mempunyai golongan pengusaha dan kapitalis yang cukup
besar dan kukuh.
Inilah sebahagian daripada realiti bangsa Melayu. Apa pun fakta yang boleh diajukan
namun secara bandingannya bangsa Melayu masih naif dalam bidang ekonomi. Ini fakta yang
diketahui umum, dan dimasukkan dalam kurikulum pendidikan nasional.

Bagaimanakah caranya untuk membolehkan bangsa Melayu menjadi dinamik dalam


ekonomi? Apakah prasyarat yang perlu dipenuhi? Tentu sahaja jawapannya terletak pada tangan
orang Melayu itu sendiri. Menjadi semacam satu norma, hampir semua juru cakap menuding jari
kepada ‘sikap’ sebagai faktor keterbelakangan orang Melayu itu dan memberi gambaran seolah-
olah orang Melayu ‘dilahirkan’ (born to-be) dengan ‘sikap tidak membangunkan’ seperti
pemalas, pasif, menyerah kepada nasib, PhD (‘perasaan hasrat dengki’), ingin mendapat
keuntungan segera tanpa berusaha dan tidak amanah.

Inilah gambaran stereotaip yang telah dan sedang disinonimkan dengan bangsa Melayu
hinggakan sering disebutkan oleh pelbagai pihak sebagai "budaya Melayu." Agak ironisnya
pemberian label begini turut dilakukan oleh sesetengah pemimpin Melayu. Tidak ada siapa yang
boleh membuat kepastian sama ada orang Melayu berkenaan sebenarnya juga tergolong sebagai
salah seorang yang "berbudaya" demikian atau tidak. Sememangnya agak mudah untuk sesiapa
menyebut "sikap" dan "budaya" walaupun tidak benar-benar dimengertikan maksud istilah itu
dan realiti bangsa Melayu — kerana barangkali itulah cara paling cepat dilakukan untuk memberi
jawapannya.

Tetapi pernahkah kita bertanya: Adakah sesuatu sikap itu menjadi ‘penyebab’ (cause)
ataupun adakah ia (sikap itu sendiri) ‘ditimbulkan’ atau ‘diakibatkan’ (effect) oleh sebab-sebab
lain?6 Secara psikologisnya ‘sikap’ tidaklah timbul dari kekosongan. Ia diterbitkan oleh sesuatu
keadaan tertentu. Maksudnya, pasti ada sebab-musabab (cause and effect) yang menyebabkan
timbulnya sesuatu sikap itu sama ada yang digolongkan sebagai "positif" mahupun "negatif."
Hanya pada tahap kemudian mungkin sikap itu menjadi penyebab (cause) tetapi pasti ada
puncanya.

Perlu juga dipertanyakan: Adakah sebegitu mudah untuk sesuatu bangsa itu mengubah
sikap mereka tanpa adanya sesuatu peristiwa (eventual aspect), ideologi, gerakan dan situasi
kondusif yang mendorong mereka? Penting juga dipertanyakan adakah benar ‘sikap’ merupakan
satu-satunya faktor yang boleh mendinamikkan sesuatu bangsa itu? Sehubungan itu, adakah
memadai dengan hanya mengubah sikap bangsa Melayu boleh maju dalam masa segera?

Sekiranya diperhatikan realiti pemilikan kaum Cina dalam esset perbandaran dan
dominasi mereka dalam ekonomi amnya seperti digambarkan di atas yang diabsahkan kejap
secara perundangan maka adalah tidak mungkin, malah hampir mustahil, bagi orang Melayu
dapat menjadi bangsa yang dinamik (key players) dalam arus pembangunan dan dapat berdiri
sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang sudah maju (berasaskan
krikteria yang digariskan tadi) baik pada masa kontemporer dan juga pada masa mendatang. Ini
kerana — walapun dilaung-laungkan "Malaysia Boleh" — sebenarnya bangsa Melayu tidak
mempunyai foundasi, ruang, setting, saluran, mekanisme, situasi kondusif, prasyarat dan ‘alat’
untuk itu iaitu pemilikan tanah strategi dan bernilai ekonomi di bandar, penguasaan sektor
perbandaran, penguasaan dalam sektor pembekalan dan pemborongan serta pembinaan,
kewujudan ‘struktur asas perekonomian’ dan rangkaian perdagangan antarabangsa dan domestik
yang besar dan kukuh, dan golongan pengusaha dan kapitalis yang cukup besar dan kukuh.

6
Orang Melayu menghadapi masalah untuk menjelaskan mengenai sikap pada peringkat konsepnya lagi. Ini kerana
dalam bahasa Melayu tidak ada pemakaian ungkapan ‘cause and effect’ secara meluas seperti mana dalam bahasa
Inggeris. Dengan itu, agak sukar untuk menimbulkan persoalan seperti dalam Inggeris “is attitude the cause or the
effect of something?”
Dalam keadaan seperti ini adakah wajar orang Melayu mendakwa diri mereka mampu
menjadi bangsa yang dinamik? Barangkali satu jawapan yang agak 'bertimbang rasa' boleh
diajukan ialah "orang Melayu masih memerlukan masa ― sekiranya masa menyebelahi mereka
― untuk membolehkan mereka menjadi bangsa yang dinamik dalam ekonomi." Orang Melayu
mengalami "kecacatan faktor-faktor ekonomi" dan ‘ketempangan struktural’ (structural lags) dari
medan ekonomi. Permasalahan 'sikap' negatif adalah timbul daripada situ. Dan sekiranya mereka
dapat mengubah sikap sekalipun namun sekiranya kecacatan dan ketempangan struktural itu
masih wujud secara berkekalan maka mereka masih tidak dapat menjadi bangsa yang diidam-
idamkan itu.

Bahan-bahan empiris menunjukkan sejarah menjadi faktor penyebab orang Melayu


mengalami kecatan dan ketempangan. Antaranya, orang Melayu tidak berupaya menyerap masuk
(penetrate) dan menjadi pemain ke dalam kegiatan urban dan tidak mempunyai harta tanah di
bandar kerana semasa sistem laissez-faire diperkenalkan dan pusat bandar dibangunkan oleh
penjajah (sejak awal kurun ke-19) mereka tidak dilibatkan. Mereka juga ‘tidak benarkan masuk’
(inaccessible) oleh kaum Cina. Sistem feudal Melayu sendiri dan amalan Dasar Pecah dan
Perintah oleh penjajah British tidak menyediakan asas dan tidak memberi peluang kepada orang
Melayu mencipta golongan pengusaha atau kapitalis dan golongan menengah Melayu (lihat juga
makalah Affiffuddin Hj. Omar).

Selepas merdeka, semasa bangsa Melayu mulai sedar akan nasib bangsanya —
terutamanya para pemimpin yang bersemangat negarawan tulen seperti Tun Razak dan Tun
Ismail — hampir seluruh sistem ekonomi negara sudah pun dikuasai oleh orang-orang asing. Di
samping syarikat-syarikat besar dikuasai oleh pelabur asing (yang sebahagiannya berakar dari era
kolonial), harta tanah bandar, kegiatan urbanisasi dan ekonomi amnya pula adalah di bawah
pegangan kaum Cina. Struktur atau kedudukan bangsa Melayu agak teranjak sedikit apabila para
negarawan Melayu tadi menggubal dan melaksanakan Dasar Eknomi Baru (DEB). Walau
bagaimanapun, proses untuk menstruktur semula tahap sosioekonomi di bawah DEB itu tidak
dapat dilakukan melalui proses 'penyerapan' orang Melayu ke dalam ruang yang sedia ada (yang
didominasi oleh kaum Cina) itu tetapi dengan mengadakan foundasi, ruang, setting, saluran,
mekanisme, situasi kondusif dan ‘peralatan’ baharu di luar ruang tersebut (Penjelasan diberikan
di bawah nanti). Ini kerana seperti telah dinyatakan kedudukan bangsa-bangsa Cina dalam ruang
yang sedia ada itu diabsahkan oleh undang-undang. Crouch (1996: 203) menyebut "It needed to
reduce the foreign share in economy to achieve its domestic restructuring aims — in particular, to
increase the share for bumiputeras without imposing unbearable strains on Chinese business. The
dynamism of the economy depended on continuing foreign investment. The government's
industrialization plans required foreign technology and expertise while its program to increase
manufacturing exports benefited form foreign companies' access to markets. Further, foreign
investment help to make up a shortfall in domestic investment due to reluctance of Chinese
business to invest during the NEP." Aspek perundangan hanyalah 'pelengkap' kepada bangsa Cina
untuk tidak memberi peluang kepada orang Melayu kerana mereka sememangnya terkenal
sebagai satu 'jenis' bangsa yang begitu bersifat primordial dan mengutamakan puak sendiri.

Ketempangan struktural bagi orang Melayu itu berterusan sehingga kini. Walaupun era
globalisasi ini sering disebut oleh pelbagai pihak sebagai era mencairnya struktur ruang dan masa
namun batas perkauman Cina begitu tebal dan kukuh. Crouch (1996: 203) usaha yang dijalankan
oleh pihak kerajaan untuk membolehkan orang Melayu terlibat dalam ekonomi seperti berikut:
"In its approach to foreign capital, therefore, the Malaysian government was careful to avoid any
suggestion of nationalization. Rather, it emphasized local participation through the purchase of
share and the establishment of joint ventures."

Inilah imej dan dilema dalam dinamika bangsa Melayu. Terdapat keadaan di mana
kerajaan sendiri menjalankan tindakan yang mengenepikan kepentingan dan semangat
kenegaraan untuk mendinamikkan mereka. Apakah alternatif lain yang boleh dijalankan?
Bagaimanakah kecacatan dan ketempangan struktural itu dapat dicairkan? Bahagian berikut akan
cuba menjelaskannya.

Blue-Print Pembinaan Melayu Glokal

Sekiranya dibuka mata hati secara saksama akan didapati orang Melayu bukanlah dari 'jenis' baka
yang lemah. Misalnya, selepas mendapat kemerdekaan dan dilaksanakan Dasar Ekonomi Baru
(pada awal 1970-an) sudah ramai anak Melayu yang menjadi ahli profesional, doktor dan
pengusaha walhal ibu bapa mereka masih dalam keadaan kekampungan dan buta huruf. Ertinya
hanya dalam satu generasi orang Melayu berupaya mengubah nasib mereka. Namun persoalan
dinamika sesuatu bangsa bukanlah mengenai kemajuan seorang dua individu tetapi persoalan
kolektif. Ia melibatkan persoalan masyarakat massa. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi
dilema Melayu itu?
Sebenarnya formula untuk menyelesaikan kenaifan ekonomi bangsa Melayu itu tersirat
dalam konsep pewataniahan seperti telah dijelaskan di atas tadi. Konsep ini perlu dicerakin dan
dihayati.
Seperti telah dinyatkan pewataniahan amat menekankan faktor tanah (watan) ― sesuatu
yang hampir dilupakan oleh pelbagai pihak, termasuk pihak penggubal dasar dan perancang
pembangunan negara dan negeri sejak muncul kosa kata ‘globalisasi.’ Di samping itu, konsep ini
juga menekankan faktor ‘sentimen’ iaitu perasaan menyintai tanah air, anak watan, pengeluaran
domestik dan pengeluaran negara dengan mendalam. Ia boleh disamakan dengan perasaan
nostalgia di kalangan elit Meiji.
Sehubungan itu, secara praktisnya, berasaskan konsep pewataniahan, langkah pertama
untuk mendinamikkan ekonomi bangsa Melayu ialah melakukan reformasi tanah. Antara
tindakan perlu dilakukan segera ialah merombakkan struktural demografi dan pemilikan sektor
perbandaran. Oleh kerana bandar-bandar yang sedia ada telah dihak-milikkan secara undang-
undang oleh bangsa-bangsa bukan-Melayu maka bandar-bandar baharu haruslah dicipta, dan
kemudiannya diisi oleh orang Melayu. Sebenarnya langkah ini telah pun dilakukan oleh Tun
Abdul Razak melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di mana bandar-bandar seperti
Bandar Muazam Shah dan Bandar Jengka Pusat telah tercipta.
Sesungguhnya, blue print untuk memajukan bangsa Melayu berasaskan konsep
pewataniahan itu telah ada iaitu DEB itu sendiri. Pada asasnya Dasar ini amat menekankan
Pembangunan Luar Bandar dan ini sekali gus menekankan pembangunan orang Melayu. Pada
masa yang sama ia berusaha memberi ruang/peluang kepada orang Melayu menyerap masuk ke
dalam sektor bandar dan juga dalam keusahawanan. Ia diasaskan kepada ‘sentimen’ bangsa
Melayu yang sangat kuat ― yang ditafsirkan oleh kaum-kaum lain sebagai ‘perkauman.’ Orang
Melayu sudah mempunyai dokumen perundangan untuk melakukan pewataniahan secara sah di
sisi negara kerana ia digazetkan melalui proses karbinet.
Secara tersuratnya tujuan utama DEB ialah untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan
sosial nasional supaya semua kaum dapat sama-sama menikmati kemakmuran negara dan
keadilan sosial dengan berusaha memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi yang wujud di
antara kaum dan wilayah luar bandar dan bandar. 7 Untuk itu diletakkan matlamat supaya orang
Melayu mencapai 30 peratus hak milik ekuiti dalam jangka masa 20 tahun dari 1970 hingga
1990 yang dijalankan menerusi empat Rancangan Lima Tahun Malaysia (RM2, RM3, RM4 dan
RM5).
Antara program-program reformasi tanah oleh DEB adalah seperti berikut: (1)
memodenkan kehidupan masyarakat luar bandar dengan mewujudkan pusat pertumbuhan
ekonomi melalui pembukaan tanah secara besar-besaran dan bersepadu seperti FELDA (seluruh
negara), KEJORA (Johor), DARA (Pahang), KETENGAH (Terengganu) dan KESEDAR
7
Strategi pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru adalah menerusi serampang dua mata iaitu: (1) Membasmi kemiskinan
tanpa mengira kaum dengan memperbaiki keadaan ekonomi, kemudahan asas dan taraf hidup rakyat di luar bandar
dan bandar, dan (2) Menyusun semula masyarakat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan
kaum mengikut fungsi ekonomi.
(Kelantan); (2) membina bandar baharu dan petempatan penduduk di kawasan yang
mempunyai potensi pembangunan; dan (3) memberi peruntukan kewangan yang besar ke
kawasan yang lebih mundur.
Selanjutnya, untuk membolehkan orang Melayu menyerap ke dalam sektor perbandaran
dan dapat menjalankan keusahawanan, DEB menubuhkan agensi-agensi seperti : (1) PERNAS,
penyertaan dalam perniagaan dan perdagangan, (2) UDA, merancang pembangunan bandar
dengan membina bangunan kedai dan perumahan baharu, (3) Permodalan Nasional Bhd. (PNB),
untuk menguruskan ASN dan ASB dan keusahawanan-keusahawanan lain.
Dasar ini tidak mengenepikan kepentingan pertanian dengan meneruskan peranan (1)
RISDA, memberi bantuan kepada pekebun kecil menanam semula getah, (2) Lembaga
Pertubuhan Peladang (LPP), memberi nasihat dan menubuhkan persatuan peladang dalam bidang
perkebunan.
Untuk membolehkan orang Melayu terlibat dalam perindustrian, dalam DEB (1)
menubuhkan HICOM, perusahaan berat yang berasaskan pelaburan yang banyak, teknologi
tinggi dan penggunaan pekerja yang mahir. HICOM mengendalikan kilang simen Kedah
Cement Sdn. Bhd. dan kilang besi baja PERWAJA, (2) PETRONAS, carigali, mengeluar dan
menguruskan petroleum, (3) membuka kawasan perusahaan baharu seperti di Senawang, Skudai,
Bintulu, Menggatal dan Likas, (4) menubuh, memperbaharui dan mempertingkatkan
keusahawanan dan mutu dalam sektor pembuatan/industri tempatan untuk eksport, (5)
menubuhkan kawasan perdagangan bebas seperti di Bayan Lepas dan Sungai Way.
Dalam pada itu, DEB tidak mengabaikan pendidikan dan kedudukan bahasa Melayu.
Dalam tempuh pelaksanaannya, antaranya, ditubuhkan ITM (kini UiTM), UKM, UTM, USM dan
UPM untuk memberi peluang orang Melayu dalam pendidikan tinggi. Penubuhan UKM dijadikan
simbol kemuncak pencapaian perjuangan bahasa dan kebudayaan Melayu; menjadi bukti bahawa
orang Melayu mempunyai keupayaan menubuh dan menjalankan pusat pendidikan tinggi dengan
menggunakan unsur-unsur wataniah sendiri.
Demikianlah antara langkah-langkah yang telah dijalankan dalam DEB untuk mengatasi
‘kerencatan struktural’ (structural lags) bangsa Melayu dalam ekonomi seperti disebutkan di atas.
Sekiranya diteliti, Dasar ini, sama ada dilakukan secara atau tidak sedar, membawa prinsip-
prinsip pewataniahan. Sesungguhnya DEB sangat perlu dihidupsubur dan dilaksanakan semula.
Para penyelidik seharusnya membuka lembaran baharu dengan mengadakan kajian dan diskusi
secara besar-besaran mengenai hal ini. Makalah ini tidak mempunyai cukup ruang untuk
memperkatakan tentang perkara yang amat inti ini. Penulisnya mengharapkan akan ada pihak
yang sudi mendalami perhubungan antara DEB dengan konsep pewataniahan itu. Tugas ini
seharusnya dijadikan satu agenda besar dalam pembangunan negara.

PEMBINAAN MELAYU GLOKAL: GAGASAN PRAGMATIS

Apa perlunya dinamika bangsa Melayu itu diasaskan kepada kecintaan, penghayatan dan amalan
Islam, bahasa Melayu dan warisan (terutamanya nilai) kemelayuan? Adakah manusia sejagat
tidak mempunyai pilihan lagi selain daripada harus mengambil segala unsur dari Barat sekiranya
mahu menjadi maju? Barangkali inilah antara predicament yang dihadapi oleh sesuatu bangsa
dalam menghadapi arus globalisasi.
Sekiranya difahami ciri-ciri bangsa yang teori maju dalam pengeluaran dan teknologi
seperti Jepun, Jerman, United Kingdom, Perancis dan Amerika Syarikat maka tidaklah perlu lagi
dijelaskan dengan panjang lebar betapa perlunya unsur-unsur wataniah. Ia amat penting kerana
menjadi asas kebangkitan semangat patriotisme yang menjadi nadi dinamika mereka. Aspek-
aspek lain seperti kepandaian, ketinggian teknologi, modal, kemahiran perhubungan antarabangsa
dan sebagainya memang penting tetapi ia datang kemudian. Tidak ada gunanya mempunyai
segala aspek mekanistik tersebut sekiranya sesuatu bangsa itu tidak menyintai, berasa bangga dan
memberi nilai dan fungsi terhadap unsur-unsur wataniahnya kerana segala kepandaian dan
teknologi itu mungkin akan diselewengkan untuk tujuan peribadi, termasuk menjualnya kepada
orang asing atau pihak musuh.
Islam menjadi ‘sesuatu yang diperlukan’ dalam dinamika Melayu kerana orang Melayu
mempunyai beberapa ciri kesedaran yang agak khas terhadap negara. Memang orang Melayu
akan mempertahankan negara apabila ada pihak musuh yang ingin menceroboh negara ini. Tetapi
dalam keadaan ketiadaan musuh atau ancaman luar, kesedaran mereka terhadap kecintaan
terhadap negara menjadi kabur. Ini kerana walaupun negara ini dianggap tanah tumpah mereka
tetapi tidak semestinya kawasan tanah menjadi milik mereka. Di kawasan-kawasan bandar dan
estat mereka adalah ‘bangsa penumpang.’ Selain itu, orang Melayu tidak dibenarkan menyintai
unsur-unsur lain melampaui kecintaan mereka terhadap Tuhan (Allah swt). Ini merupakan pokok
asasi ajaran Islam yang dianuti mereka. Dalam situasi itu, pembangunan yang diasaskan kepada
Islam mempunyai beberapa kelebihan atau ‘nilai-tambah’ (added-value). Konsep ‘balasan baik
dan buruk’ dalam keagamaan akan menjanakan manusia pekerja yang jujur, amanah dan ikhlas.
Seseorang itu akan sentiasa sedar adanya Kuasa Maha Berkuasa sedang memerhatikan setiap
detik tingkah lakunya.
Bolehkah kemajuan sesuatu bangsa itu dilakukan dengan menggunakan bahasa anak
watan lain? Dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka pada tahun 1995, penulis makalah ini memberi jawapan dengannya soalan: “pernahkah
wujud suatu bangsa di dunia ini pada zaman mana sekalipun, baik pada zaman sejarah mahupun
zaman kini, menjadi maju dengan menggunakan bahasa orang lain? Tidak pernah!” Pernyataan
ini diasaskan kepada fenomena empiris seperti di India, Filipina dan negara-negara di Afrika
yang menjadikan bahasa Barat (seperti Inggeris, Perancis, Jerman) sebagai bahasa utama tetapi
tidaklah menjadi maju semaju bangsa Jepun, Korea Selatan dan Taiwan yang menggunakan
bahasa mereka sendiri.8 (Mohamed Anwar Omar Din 1995: Lihat juga makalah Abdullah Hassan,
Hassan Ahmad dan Ainon Mohamad dalam buku ini).
Untuk memahami tesis ini perlulah terlebih difahami sifat jadi bahasa itu sendiri. Harus
diingatkan bahawa penggunaan bahasa tidaklah boleh dilihat secara mekanitis sebagai alat
komunikasi semata-mata kerana bahasa itu adalah sesuatu yang bersifat mujarab; menjerab dan
mempunyai kuasa keajaiban tersendiri. Misalnya, seseorang itu boleh menangis hiba, marah,
mengamuk, menjadi berengus atau bersemangat hanya dengan kata-kata. Sehubungan itu,
susunan kata-kata bahasa ibunda bagi sesuatu bangsa itu akan menimbulkan semangat patriotisme
yang lebih waja dalam melangsungkan dinamika bangsanya.
Sekiranya difahami konsep globalisasi dan realiti di sebaliknya (lihat keterangan di
awal makalah ini), secara bandingannya era globalisasi ini menyediakan peluang yang tidak
pernah diberikan oleh era-era sebelumnya kepada anak watan untuk melakukan pewataniahan.
Sebenarnya apa yang dikatakan “projek Barat” itu berakar dari proses kolonialisasi, modenisasi,
modeniti dan internasionalisasi. Sebaliknya, seperti mana telah dijelaskan, globalisasi
menimbulkan situasi perhubungan yang bersifat multileteral, interaktif dan memberi peluang
kepada unsur-unsur watan berperanan. Proses ini juga mengikhtiraf ‘kelainan.’
Oleh itu, sekiranya tidak berlaku gerakan untuk memupuk semangat dan kesedaran
menyintai dan memberi fungsi seluas-luas dan sedalam-dalamnya terhadap unsur-unsur wataniah
pada era ini maka tidak ada pihak lain yang harus dipersalahkan selain anak watan itu sendiri.
Tesis ini dapat difahami sekiranya apa yang dikatakan globalisasi itu dilihat dari dimensi watan
seperti mana tergarap dalam keterangan yang diberikan oleh Robertson dan Latouche di atas.
Dari dimensi ini globalisasi dilihat sebagai proses yang terbina dari pengembangan modeniti dari
watan ke skela dunia. Dalam kerangka pembukaan struktur modeniti itu para pelaku bukan lagi
terdiri daripada Barat semata-mata.
Selain itu, harus juga difikirkan bahawa unsur-unsur wataniah Melayu — yakni Islam,
bahasa dan kebudayaan serta kedaulatan dan maruah bangsa Melayu ― sepatutnya sudah hilang
pada era kolonialisasi, modeniti, modenisasi, modenisme dan eksploitasi media massa yang
bersifat hegemonik sedang bermaharajalela lagi. Namun agak ironisnya, unsur-unsur ini masih
utuh. Islam masih menjadi agama dan angkubah tetap (dependence variable) dalam penentuan
jati diri Melayu. Malah apa yang terzahir Islamisasi ‘bukanlah hanya satu episod’ dalam sejarah
tetapi satu ‘proses hidup’ yang terus berlaku sehingga kini. Sehubungan itu, dapat dihujahkan
8
Penjelasan yang amat menarik tentang kedudukan bahasa ibunda sebagai wahana penting dalam pembangunan
dijelaskan oleh makalah-makalah yang disusun oleh Asraf (1995). Agak anehnya, walaupun diterbitkan pada tahun
1995, terdapat fakta mengenai tahun 1997 dalam buku ini.
bahawa sekiranya pada era yang dicirikan oleh hegemonik Barat itupun unsur-unsur wataniah
Melayu boleh melangsungkan hayatnya (survive) maka apatah lagi pada era globalisasi yang
memberi peluang dan mengikhtiraf kelainan ini.
Contoh-contoh di Malaysia membayangkan faktor ‘kekuatan semangat’ (will power)
individu terutamanya pemimpin tertinggi politik amat asasi sifatnya untuk memungkinkan
berlakunya sesuatu reformasi, termasuk dalam merealisasikan pewataniahan Melayu itu.
Sebenarnya faktor kepimpinan itu bukanlah sesuatu yang unik bagi bangsa Melayu. Fenomena ini
dapat dilihat di Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat, Eropah dan di mana-mana.
Malah faktor kepimpinan tokoh juga menjadi penentu dalam reformasi yang berlaku di negara-
negara maju di Barat seperti di Amerika Syarikat, England, Jerman, Perancis dan sebagainya.
Malah, lebih jauh lagi, kemunculan globalisasi suatu gelombang besar melanda seluruh pada hari
ini sekalipun dilakukan oleh beberapa individu dalam pentadbiran Reagan. Dalam peristiwa
September Hitam 1997, hanya seorang individu, bernama George Soros, dapat memusnahkan
ekonomi serantau di Asia, termasuk Korea Selatan, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan
Malaysia. Dan individu ini pernah memusnahkah ekonomi Perancis dan England sebelumnya.
Jadi adakah terlalu sukar bagi seorang pemimpin untuk melakukan reformasi dan
merealisasi pewataniahan Melayu di sebuah negara yang secara bandingannya agak kecil seperti
Malaysia ini? Faktor kepimpinan politik menjadi ‘penentu’ bagi orang Melayu kerana sifat
kebergantungan mereka kepada seseorang pemimpin politik yang menguasai tampok pentadbiran
negara begitu tinggi. Sifat-sifat tersebut mungkin kerana tradisi penaungan (patronage) masih
berlangsung (Nordin Selat 1978). Atau mungkin fenomena ini timbul dari gejala pemberian
subsidi dan bantuan oleh agensi-agensi kerajaan. Atau mungkin kerana tahap pembangunan anak
watan Melayu secara keseluruhannya masih muda dan masih tidak mempunyai struktur asas yang
kukuh sehingga menyebabkan mereka amat bergantung kepada kerajaan. Pokoknya will power
seseorang pemimpin politik yang menguasai pentadbiran dan sumber dana berada pada
kedudukan yang amat strategis, baik dari segi mekanisme mahupun dari segi moral, untuk
melakukan reformasi termasuk dalam proses pewataniahan unsur-unsur asasi Melayu dalam
agenda pembangunan negara.

Kesimpulan

Sekiranya difahami pengertiannya yang sebenar, di sebalik proses globalisasi itu tersirat kegiatan
dalaman yang begitu aktif di peringkat lokal atau negara. Berdasarkan keterangan-keterangan
yang telah diberikan di atas, adalah satu kesilapan yang agak fundamental untuk beranggapan
semasa berlakunya proses globalisasi itu pihak-pihak dalaman itu begitu pasif, hanya menerima
sahaja tekanan dari luar. Senario empiris menunjukkan entiti dalaman turut memain peranan sama
dalam proses tersebut. Ini kerana globalisasi memberi ruang, peluang dan potensi kepada pihak-
pihak dalaman untuk terlibat dalam kegiatan tersebut. Oleh itu, dalam penyelidikan tentang
globalisasi tidak bermakna penelitian terhadap apa yang berlaku di peringkat lokal dan situasi
sesuatu bangsa tidak relevan.
Berasaskan senario empris juga dapatlah dihujahkan bahawa penelitian mengenai
globalisasi menuntut kerangka analitikal semiotis iaitu penggabungan aspek-aspek kebudayaan
bersama-sama dengan aspek ekonomi dan politik. Ketiga-tiga aspek ini harus digabung secara
persepadu dan harmonis. Ini kerana globalisasi dan order dunia tidaklah berkembang dari asas
ekonomi dan politik semata-mata. Malah, seperti terbukti di Jepun dan di Malaysia kebudayaan
telah memain peranan untuk menentukan ciri-ciri ekonomi dan politik di peringkat global dan
peringkat lokal. Jelasnya pemandangan yang meletakkan faktor-faktor ekonomi dan politik
semata-mata sebagai angkubah akan gagal. Dalam pada itu, pemandangan yang hanya
meletakkan kebudayaan semata-mata sebagai angkubah juga akan gagal untuk menangani realiti
masa kini.
Harus ditegaskan bahawa proses pembangunan, kedinamika dan kemajuan watan Melayu
harus bermula dari seorang pemimpin politik yang menyintai unsur-unsur wataniah Melayu.
Kecintaan itu harus dibuktikan kerana pembuktian adalah proses patriotisme itu sendiri. Kayu
ukur ialah: seseorang itu tidak dapat menyintai watannya sepenuhnya tanpa menyintai unsur-
unsur yang dimiliki oleh watan tersebut. Dan tidak ada contoh di mana-mana sekalipun, baik
dalam sejarah mahupun masa kini, yang menunjukkan sesuatu bangsa dapat maju dalam
pengertian yang substantif, mengakar dengan mantap, tanpa menyintai unsur-unsur wataniahnya.
Tidakkah kecintaan begini, beriring dengan tindakan, gerakan dan kesedaran secara serius dan
berterusan, dinamakan perjuangan bersifat patriotisme yang merupakan tulang belakang
kedinamika sesuatu bangsa itu? Inilah isu asasi untuk menanggapi makna pewataniahan dan
hubungannya dengan dinamika Melayu dalam menunggah arus globalisasi. Intinya adalah
menyintai unsur-unsur wataniah kerana hanya kecintaan ini baharulah timbul will power dan
sekali gus political will untuk memajukan watannya baik dari segi ekonomi, politik mahupun
sosiobudaya. Unsur-unsur wataniah Melayu yang asasi ialah Islam, diikuti bahasa Melayu dan
warisan serantau yang telah diterima sebagai kebudayaan Melayu. Hanya will power dan political
will yang berisikan unsur-unsur wataniah inilah yang akan memungkinkan watan Melayu
menunggah arus perubahan zaman, yang kini dinamakan era globalisasi, dengan beracuan sendiri.
Inilah pilihan yang ada pada bangsa Melayu.

Bibliografi

A. Aziz Deraman. 2000. Tamadun Melayu dan pembinaan bangsa Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Anuwar Ali, Nor Aini Hj. Idris dan Hasnah Ali. 1998. Pensejagatan dan pembangunan industri
di Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Anuwar Ali. 1995. Globalisasi pembangunan industri dan peranan pemerintah di Malaysia.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Anwar Ibrahim. 1996. The Asian Renaissance. Singapore & Kuala Lumpur: Times Book
International.
Asraf. (penyusun dan pengedit). 1995. Manfestasi budaya: pupus bahasa pupuslah bangsa.Kuala
Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia (@ Dewan Bahasa dan Pustaka).
Berita Minggu, 24 Ogos 2003
Brookfield, H. 1994. Transformation with industrialization in Peninsular Malaysia. Kuala
Lumpur: Oxford University Press.
Cowan, J. M. (ed) 1976. The Hans Wehr Dictionary of Modern Writtn Arabic. Ithaca: Spoken
Language Services, Inc.
Drucker, P. F. 1995 (dari terbitan asal 1993). Masyarakat Pasca Kapitalis. Terjemahan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (Judul asal Post Capitalist Society, terbitan
Butterworth Heinemann).
Fukuyama, Francis. 1992. The End of History and the Last Man. New York: Free Press.
Gellner, E. 1997. Nationalism. London: Weidenfeld & Nicolson.
Giddens, A. 1990. The Consequences of Modernity. Stanford: Stanford University Press.
Hava, J.G. 1982. Al-Faraid Arabic-English Dictionary. Beirut: Daripada el-Mashreq.
Hungtinton, S.P. 1995. The clash of civilization and remaking of world order. London: Simon &
Schuster.
Ishak Shaari. 1999. Bumi semua manusia: menangani ketidaksetaraan ekonomi dalam arus
globalisasi. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jomo, K.S. 1990. Growth and structural Shange in the Malaysian Economy, London: Macmillan.
Kamus Dewan, 1994.
Kamus Komputer (http://dbp.gov.my/dbp98/ist2000.htm)
Kamus Melayu-Inggeris Dewan, 2000.
Karliner, J. 1997. The Corporat Planet: Ecology and Politics in the Age of Globalization. San
Francisco: Sierra Club Books.
Keller, W. W. and L.W. Pauly. 1997, Globalization at bay. Current History, November.
Latouche, S. 1996. The Westernization of the world. Cambridge: Polity Press.
Mahathir Mohamad. 2000. Globalisation, Smart Partnership and Government — Selected
Speeches by Dr. Mahathir Mohamad. Diedit oleh Hashim Makaruddin. Kuala Lumpur”
Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd.
Mahathir Mohamad. 1970-1977. The Malay Dilemma. Kuala Lumpur: Federal Publishing.
McGrew, A. 1992. Global Politics. Cambridge: Polity Press.
McLuhan, Marshall. 1964. The Printed Word: Architect of Nationalism. Dalam Understanding
Media. Mentor/Penguin.
Merriam Webster's Collegiate Dictionary, 1996
Mitchell, J. 1992. The Nature and Government of Global Economy. Dalam A. McGrew, P.G.
Lewis et.al (eds.). Global Politics. Cambridge: Polity Press.
Mittelman, J. H. 1994. The globalization challenge: surviving at the margin. Third World
Quarterly, 15 (3).
Nordin Selat. 1978. Renungan. Kuala Lumpur: Utusan Pulications and Distributions Sdn. Bhd.
Ohmae, Kenichi. 1990. The Borderless World. New York: HarperCollins.
Ohmae, Kenichi. 1996. The End of the Nation State: The Rise and Fall of Regional Economies.
New York, London: Free Press Paperbacks, Simon & Schuster Inc.
Perlembangaan Persekutuan Malaysia.
Ritzer, G. 1998. The MacDonaldization thesis. London: Sage Publication Ltd.
Robertson, R. 1990. Modernization, Globalization and the Problem of Culture in World-Systems
Theory. Brookfield: Vermont.
Robertson, R. 1992. Globalization Social Theory and Global Culture. London: Sage.
Robertson, R. 1995. Glocalization: time-space and homogeneity-heterogeneity. Dalam Mike
Featherstone, Scott Lash and Roland Robertson (eds.). Global modernities. London:
Sage.
Robertson, R. 1997. Comments on the ‘Global Triad’ and ‘Glocalization.’ Dalam Inoue Nobutaka
(ed.), Globalization and Indigenous Culture. Institute for Japanese Culture and
Classics, Kokugakuin University.
Rosenau, J. 1990. Turbulence in World Politics: A Theory of Change and Continuity. Princeton:
New Jersey: Princeton University Press.
Senu Abdul Rahman (ed.). 1974. Revolusi Mental. Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Malaysia.
Siddiq Fadhil. 1998. Masyarakat madani: menghayati cita-cita sosial keislaman dan
kemalaysiaan. Dalam Masyarakat madani: satu tinjauan awal. Kuala Lumpur: Institusi
Strategi Pembangunan Malaysia (Minds).
Strange, S. 1997. The erosion of the state. Current History. November.
Tengku Azzman Shariffaddeen. 1998. Teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembentukan
masyarakat madani. Dalam Masyarakat madani: satu tinjauan awal. Kuala Lumpur:
Institusi Strategi Pembangunan Malaysia (Minds).
Tonelson, A. 1997. Globalization: the great American non-debate. Current History, November.
Utusan Malaysia, 26 Ogos 2003.
Wan Mohd. Noor Wan Daud. 1991. Penjelasan budaya ilmu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Waters, M. 1996. Globalization: Key Ideas. London and New York: Routledge.

Mahathir Mohamad. 1997. A speech delivered at the 2 nd Canada-Malaysia Business Leaders


Dialoges in Otawa, Canada, on November. Dalam Hashim Makaruddin. 2000. Globalisation,
Smart Partnership and Government — Selected Speeches by Dr. Mahathir Mohamad. Kuala
Lumpur: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai