Anda di halaman 1dari 17

KERUNTUHAN AKHLAK MASA KINI DAN CARA

MENGATASINYA
1.0 PENDAHULUAN
Dewasa ini, isu-isu keruntuhan akhlak sering dipaparkan di dada-dada akhbar, di
corong-corong radio, di kaca televisyen-televisyen, malah di media elektronik
juga turut membincangkan tentang isu yang sama. Keruntuhan akhlak yang
berlaku telah mengundang pelbagai salah laku jenayah seperti zina, rogol,
minum arak, mencuri dan sebagainya. Sangat menyedihkan apabila kita
dimaklumkan bahawa jenayah juvana semakin meningkat, ada di antara pelajar
yang masih belum menamatkan pengajian telah pun menggugurkan anak luar
nikah, gejala dadah yang semakin menjadi-jadi dan lain-lain berita yang amat
mendukacitakan dan menghiris jiwa. Masalah sosial ini nampaknya semakin
serius dari semasa ke semasa. Justeru, ia memerlukan perhatian dan tindakan
segera daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada individu, keluarga,
masyarakat dan negara bagi menangani masalah ini daripada terus merebak.
Sekiranya dibiarkan, ia akan memusnahkan seterusnya menghancurkan bangsa
dan negara. Sebenarnya tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan,
sebaliknya semua masalah ada jalan penyelesaiannya bergantung kepada cara
kita menangani masalah tersebut dengan serius.
Menangani masalah keruntuhan akhlak merupakan perkara yang seharusnya
diberi perhatian secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh. Usaha perlu
dilakukan agar masyarakat kita kembali menghayati dan mempraktikkan akhlak
yang mulia dalam kehidupan seharian mereka. Semua pihak harus memainkan
peranan masing-masing supaya gejala ini tidak berterusan berleluasa seterusnya
merosakkan bangsa dan negara.

2.0 DEFINISI
2.1 Keruntuhan
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2000: 1160), keruntuhan membawa
maksud perihal runtuh, kejatuhan, kerosakan, kerobohan dan kerosakan.
Kamus Za'ba (2000: 982) mendefinisikan keruntuhan sebagai kerosakan dan
kejatuhan. Definisi ini hampir sama dengan definisi Kamus Dewan di atas.
Keruntuhan yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah keruntuhan akhlak masa
kini. Keruntuhan akhlak yang dimaksudkan juga meliputi rosaknya akhlak
seseorang apabila mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang menyimpang
daripada ajaran agama Islam dan budaya masyarakat Timur seperti terlibat
dengan seks bebas, berkhalwat,bersekududukan, lari dari rumah, penagihan
dadah dan minum minuman keras, melepak, lumba haram dan penglibatan
individu dalam jenayah seperti mencuri, merompak, merogol, meliwat
dan membunuh.

2.2 Akhlak
Akhlak dari segi bahasa didefinisikan sebagai moral, tabiat, perangai, budi, adab,
sifat semulajadi, maruah, watak, amalan agama atau rupa batin seseorang.
Akhlak berasal dari bahasa Arab iaitu 'khuluqun' yang bererti budi pekerti,
perangai, tingkah laku atau tabiat.
Definisi ilmu akhlak menurut Prof. Omar Al Toumy Al Syaibani, ilmu yang
mengkaji tentang hakikat perbuatan berakhlak, sifat kebaikan, kejahatan,
kebenaran, kewajipan, kebahagiaan, hukum dan tanggungjawab akhlak, motif
kelakuan dan asas-asas teori gagasan akhlak.
Prof. Dr. Ahmad Amin dalam bukunya Al- Akhlaq merumuskan pengertian
akhlak sebagai suatu ilmu yang menjelaskan erti baik dan buruk, menerangkan
apa yang seharusnya dilakukan oleh sesetengah manusia kepada yang lainnya,
menyatakan tujuan yang harus dituju oleh manusia dalam perbuatan mereka dan
menunjukkan jalan untuk melakukan apa yang harus diperbuat.
Manakala menurut Dr. Miqdad Yalchin pula akhlak ialah Prinsip-prinsip dan
dasar atau kaedah yang ditentukan oleh wahyu untuk mengatur tingkah laku
manusia dalam kehidupannya. Ia membentuk dan menentukan hubungan
dengan orang lain agar misi kehidupan manusia terlaksana dengan sempurna.
Ibn Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan akhlak itu sebagai
keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran
penilitian.
Imam Ghazali radiAllahu anhu mengatakan akhlak ialah suatu keadaan yang
tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang
tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu
baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang
mulia. Sebaliknya, apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak
yang buruk.

2.3 Akhlak Menurut Islam


Islam mempunyai dua sumber iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi
pegangan dalam menentukan segala urusan dunia dan akhirat. Kedua-dua
sumber itu jugalah yang menjadi sumber akhlak Islamiyyah. Prinsip-prinsip dan
kaedah ilmu akhlak Islam semuanya didasarkan kepada wahyu yang bersifat
mutlak dan tepat neraca timbangannya.
Apabila melihat perbahasan bidang akhlak Islamiyyah sebagai satu ilmu
berdasarkan kepada dua sumber yang mutlak ini, dapatlah dirumuskan definisi
akhlak seperti berikut: Satu ilmu yang membahaskan tata nilai, hukum-hukum
dan prinsip-prinsip tertentu bagi mengenalpasti sifat-sifat keutamaan untuk
dihayati dan diamalkan dan mengenalpasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi
dengan tujuan membersihkan jiwa berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai
keredhaan Allah (ridwaanullah).
Secara keseluruhannya dapatlah kita rumuskan bahawa akhlak sebagai satu
sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia
dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada
prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah.
Dengan kata lain, akhlak ialah suatu sistem yang menilai perbuatan zahir dan
batin manusia baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi
hidup antara manusia dengan Allah manusia sesame manusia, manusia dengan
haiwan, malaikat, jin dan juga dengan alam semesta.

3.0 GEJALA KERUNTUHAN AKHLAK


Isu keruntuhan akhlak bukan lagi suatu yang asing untuk diperkatakan. Ia
menular di segenap lapisan masyarakat, tidak kira tua atau muda, beragama
Islam atau bukan Islam, lelaki atau perempuan, yang pasti ianya akan menjadi
satu bencana yang amat dahsyat jika tidak dibendung dengan segera.
Di antara gejala keruntuhan akhlak tersebut ialah perbuatan maksiat seperti
khalwat, zina dan sumbang mahram, minum arak, penggunaan pil khayal, judi,
pembuangan bayi, mat rempit dan penagihan dadah yang seperti tiada
kesudahannya. Gejala keruntuhan akhlak ini akan dibincangkan dengan lebih
lanjut di dalam ulasan yang seterusnya.
3.1 Seks Bebas
Hubungan seks yang melibatkan pasangan yang tiada ikatan perkahwinan atau
zina tergolong di dalam perbuatan keji yang melanggar hukum agama. Malah,
islam memandang berat terhadap kesalahan zina kerana ianya bukan sahaja
boleh mendatangkan mudarat kepada pelakunya malah kepada masyarakat.
Selain perkataan seks bebas, sumbang mahram, zina dan liwat, semuanya
membawa maksud hubungan seksual yg ditegah oleh hukum syarak.
Pakar psikologi dan sosiologi berpendapat, punca keruntuhan nilai kehidupan
manusia berpunca daripada perlakuan seks bebas tanpa ikatan yang sah. Islam
sendiri melarang keras zina mahupun seks bebas berdasarkan firman Allah yang
bermaksud:
"Wahai orang-orang Islam, takutilah zina, maka padanya ada 6 perkara buruk, 3
di dunia dan 3 di akhirat. Adapun yang di dunia adalah: Hilang seri pada wajah,
pendek umur dan sentiasa miskin... Adapun di akhirat, mendapat kemurkaan
Allah SWT, buruk perkiraan di padang Mahsyar dan mendapat azab neraka"
Kita tidak boleh membenarkan masalah ini terus berleluasa. Semakin ramai
pasangan berani melakukn aksi yang terlampau malah menjijikkan di kawasan
umum. Mereka sudah berani bercumbu di taman-taman, di dalam kenderaan
awam, di pawagam malah di mana-mana sahaja yang mereka kehendaki tanpa
perasaan segan dan silu. Muda mudi kini juga semakin bebas bergaul tanpa
menghiraukan teguran dan nasihat daripada pelbagai pihak termasuk ibu dan
bapa mereka sendiri.

3.2 Pembuangan Bayi


Fenomena pembuangan bayi yang melanda menjadi semakin membimbangkan.
Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan di kalangan masyarakat,
khususnya golongan remaja. Acap kali isu ini kita lihat dan terpampang di dada-
dada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan disiarkan di kaca
televisyen.
Masalah pembuangan bayi bukanlah merupakan satu perkara yang baru berlaku
di negara ini. Sejak zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika ini
telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta kanak-kanak perempuan atas
faktor keagamaan masyarakat pada masa itu. Khalifah Umar Al-Khattab juga
pernah melakukannya semasa beliau masih belum menganut agama Islam.
Akan tetapi, gejala pembuangan bayi pada masa kini begitu berbeza senarionya
memandangkan pembuangan bayi ini dilakukan atas desakan hawa nafsu
manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan hasil daripada
pergaulan bebas masyarakat pada hari ini. Perasaan malu, sedih, buntu setelah
terlanjur dan mengandung anak di luar nikah, maka pengguguran serta
pembuangan bayi menjadi jalan pintas untuk menutup segala keaiban yang telah
dilakukan. Kini, gejala pembuangan bayi diperkatakan semula berikutan semakin
ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata-rata
tempat.

3.3 Rasuah
Rasuah dilihat semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat pada masa kini. Ia
dilihat sebagai masalah keruntuhan akhlak yang semakin hari semakin parah.
Setiap hari ada sahaja berita yang melaporkan tentang gejala rasuah ini.
Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab iaitu I-risywah. Di dalam Al-
Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan
jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Dalam Al-Quran
sendiri telah mendefinisikan perkataan rasuah ini adalah berkaitan dengan
sesuatu yang tidak baik dan dilaknat.
Secara amnya, rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh
seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah bagi
kepentingan dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa,
dia tidak akan memperolehi kehendaknya itu. Ini bermaksud, kuasa yang
diberikan kepadanya akan disalahgunakan untuk kebaikan dirinya sendiri.
Mereka juga akan lebih cenderung bersikap pilih kasih dan bermuka-muka dalam
setiap tindakan bagi mengelak daripada perbuatannya diketahui umum.
Dari segi undang-undang di Malaysia, segala perkataan yang membawa maksud
kepada memberi dan menerima suapan adalah sebahagian daripada perbuatan
dan kesalahan jenayah rasuah. Kes-kes rasuah biasanya membabitkan pihak-
pihak yang mempunyai kuasa untuk menentukan atau meluluskan sesuatu
perkara. Masalah rasuah pada masa kini sememangnya semakin menjadi-jadi.
Banyak kes-kes yang dilaporkan membabitkan rasuah. Masalah ini jika tidak
dibendung dengan segera boleh mendatangkan mudarat kepada bangsa dan
negara.

3.4 Penagihan Dadah


Ancaman penagihan dadah masih kekal sebagai musuh utama pada masa kini.
Gejala penagihan dadah ini adalah antara gejala sosial yang semakin berleluasa
dan melibatkan ramai pihak terutamanya golongan remaja.
Dadah dapat diistilahkan sebagai sejenis bahan yang
mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi rohani
(mental), jasmani (fizikal) dan emosi serta tingkah laku pengguna apabila
menggunakannya. Antara jenis dadah yang dikenalpasti ialah heroin, morfin,
ganja, kokain, kanabis dan sebagainya.

3.5 Bunuh Diri


Bunuh diri secara umumnya merujuk kepada perbuatan yang dilakukan oleh
seseorang untuk melakukan sesuatu yang boleh menamatkan riwayat hidupnya.
Antaranya termasuklah perbuatan menikam diri sendiri dengan senjata tajam,
menembak diri sendiri menggunakan senjata api, menggantung diri, meminum
racun, terjun dari tempat yang tinggi dan sebagainya. Mereka yang bertindak
membunuh diri lazimnya berasa hidup mereka tidak berguna lagi sebaliknya
lebih mendatangkan penderitaan. Terdapat juga orang yang bertindak
sedemikian merasa disisihkan, sunyi dan tidak dipedulikan, serta berasa kecewa
dan dirundung masalah kemurungan.
Sesungguhnya Allah SWT melarang manusia berbunuh-bunuhan sesama
sendiri, apatah lagi membunuh diri sendiri. Ini menunjukkan betapa Allah SWT
menghargai jiwa manusia. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-
Nya:
Yang bermaksud: Janganlah kamu sekalian berbunuh-bunuhan sesama
sendiri. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengasihani kamu.( S. An-Nisaa:
29).
Berdasarkan pengertian ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa perbuatan
membunuh jiwa termasuk dalam dosa besar yang bakal menerima azab yang
dahsyat. Ini sejajar dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT menerusi
firman-Nya:
Yang bermaksud: Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan
sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal di dalamnya, dan Allah
SWT murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab
seksa yang besar. (S. An-Nisaa: 93).3
Dalam erti kata yang lain, sama ada berbunuh-bunuhan sesama sendiri atau
membunuh diri sendiri seperti terjun dari tempat yang tinggi, menggantung diri,
meminum racun, mencederakan diri sendiri dengan senjata yang berbahaya dan
sebagainya adalah perbuatan mungkar yang menzalimi diri sendiri. Maka, walau
apa pun alasan dan cara seseorang itu membunuh diri adalah haram hukumnya,
dan pelakunya akan kekal di dalam neraka. Ini bertepatan dengan sebuah Hadith
daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: Barang siapa yang
membunuh dirinya dengan besi, maka tangannya akan menusuk besi itu ke
perutnya di neraka jahanam dan kekal di dalamnya. Barang siapa yang
meminum racun untuk membunuh dirinya, maka dia meneguk racun itu di
neraka jahanam dan kekal di dalamnya. Dan barang siapa yang menjatuhkan
dirinya dari gunung untuk membunuh dirinya di neraka jahanam dan kekal di
dalamnya. (HR Bukhari dan Muslim).
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sendiri pada suatu ketika enggan
menyembahyangkan jenazah seorang lelaki Muslim yang mati membunuh diri
menggunakan anak panah.
Daripada Jabir Bin SamurahRA, katanya: Didatangkan kepada Rasulullah SAW
satu jenazah seorang pemuda yang mati dengan cara memanahkan dirinya
sendiri, lalu Baginda tidak menyembahyangkan jenazah itu. (HR Muslim).
Ini menunjukkan betapa hinanya perbuatan bunuh diri itu di sisi Islam. Ini dengan
sendirinya mengisyaratkan bahawa perbuatan yang terkutuk itu perlu dibendung
dan dicegah dengan segala cara yang ada bagi mengelakkannya terus menular
dalam masyarakat.
4.0 FAKTOR-FAKTOR KERUNTUHAN AKHLAK
Saban hari isu-isu keruntuhan akhlak terutamanya yang membabitkan gadis
remaja hangat diperkatakan. Secara tidak langsung, isu ini turut
menggambarkan bahawa gadis remaja kini semakin agresif, berani, dan liar.
Banyak kajian akademik telah dibuat oleh mereka yang pakar dan terlibat secara
langsung dengan isu-isu remaja ini, secara langsung dan tidak langsung seperti
pihak kementerian, jabatan, agensi, persatuan dan NGO, pihak cerdik pandai,
orang perseorangan dan lain-lain. Daripada kajian yang telah dijalankan didapati
masalah remaja ini mempunyai hubungan kait yang luas dengan masyarakat,
keluarga, pengetahuan agama, tahap pendidikan, suasana rumah, pengaruh
luar, media, hiburan, jati diri, rakan-rakan dan lain-lain. Apabila masalah
keruntuhan remaja dibincangkan, soalan yang biasa ditanya ialah siapa yang
harus dipersalahkan dan mengapa perkara ini berlaku?

4.1 Perasaan Ingin Tahu dan Ingin Mencuba


Remaja ialah mereka yang berumur 18 tahun ke bawah. Pada peringkat usia ini,
mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat tinggi. Justeru, apa-apa
sahaja perkara baru yang terjadi di sekeliling mereka akan mengundang
perasaan ingin tahu di kalangan mereka, ianya secara tidak langsung akan
membuatkan mereka terdorong untuk mencuba dan melakukan perkara tersebut.
Perasaan ingin tahu dan berani mencuba sesuatu yang baru adalah baik untuk
remaja, namun apa yang menimbulkan masalah apabila mereka tiada guide line
dari orang-orang yang sepatutnya, seperti para ibu bapa, keluarga, jiran dan
sebagainya. Jadi, perasaan ingin tahu remaja akan mendorong mereka
melakukan apa yang ingin mereka lakukan tanpa memikirkan baik atau buruknya
perkara tersebut.

4.2 Pengaruh Rakan Sebaya


Kawan-kawan menjadi orang yang paling rapat. Kawan yang baik boleh
membimbing kepada kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan
mempengaruhi kepada perkara-perkara yang buruk. Selain itu, sikap remaja
turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah
mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan
mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut
apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Pada usia yang masih mentah
mereka lupa bahawa kawan juga kadangkala boleh makan kawan.

4.3 Pengaruh Media Massa


Media massa juga menjadi penyumbang kepada berlakunya keruntuhan akhlak
di kalangan remaja pada hari ini. Tidak semua yang dipaparkan di media massa
itu memberikan kesan yang buruk. Namun, ada segelintir program-program dan
drama-drama yang memaparkan pergaulan bebas di kalangan remaja, program-
program realiti televisyen, serta rancangan-rancangan yang bersifat hiburan
semata-mata mempengaruhi para remaja dengan perkara yang kurang baik.
Umpamanya corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai ketimuran, cara
berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara budaya
Barat. Terdapat juga unsur-unsur lucah dan mengghairahkan yang boleh didapati
dengan mudah di pasaran sama ada dalam bentuk bercetak, CD, atau lain-lain.
Tambahan pula, di zaman dunia tanpa batasan ini segala informasi boleh
didapati dengan mudah hanya dengan melayari internet. Tidak dinafikan internet
ini ada kebaikannya tetapi tidak kurang juga banyak keburukannya. Aktiviti
penggunaannya tanpa pemantauan boleh mengundang padah.

4.4 Sikap Keluarga


Dalam hal ini keluarga juga ada kalanya menjadi pendorong bertambahnya
keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Walaupun tidak berlaku kepada semua
keluarga, tetapi keluarga yang mengamalkan sikap terlalu mengongkong atau
terlalu memberikan kebebasan kepada para remaja boleh menjadi penyumpang
kepada wujudnya masalah ini. Mereka menjadi ahli keluarga yang hanya hidup
tetapi tidak dipedulikan dan tidak diberi input kerohanian, kesedaran, nilai-nilai
mulia dan keagamaan yang cukup. Keluarga yang terlalu mengongkong ialah
keluarga yang mengamalkan sikap terlalu tertutup. Maksudnya, keluarga itu
seolah-olah telah menetapkan satu undang-undang atau peraturan yang perlu
diikuti oleh setiap ahli keluarga tanpa kompromi. Keadaan ini boleh
menyebabkan jiwa remaja memberontak dan jika mempunyai peluang untuk
keluar dari keadaan itu mereka akan melakukan apa sahaja yang terlintas di
fikiran mereka tanpa berfikir panjang.
Manakala keluarga yang terlalu memberikan kebebasan pula biasanya bersikap
terbuka yang keterlaluan. Di dalam keluarga sebegini, tiada satu peraturan pun
atau ketetapan khusus yang diamalkan. Keadaan ini juga tidak baik kerana para
remaja perlukan sesuatu yang boleh dijadikan panduan untuk menjalani
kehidupan mereka. Tanpa panduan, belum tentu mereka dapat melalui
kehidupan ini dengan sebaik mungkin seterusnya mengakibatkan mereka mudah
terjerumus ke arah pelbagai keruntuhan akhlak.

4.5 Kurang Didikan Agama


Iman dan takwa yang jitu itu adalah pengikat yang berfungsi bagi menghalang
seseorang daripada melakukan tingkah laku yang berlaku di luar batasan syarak.
Pendidikan agama mempunyai fungsi yang sangat penting sebagai pelindung diri
daripada terjerumus kepada pelbagai gejala keruntuhan akhlak. Ibu bapa
sewajarnya memberikan didikan agama yang sepenuhnya kepada anak-anak
mereka sejak mereka masih kecil. Ini bagi memberikan anak-anak mereka
pengetahuan yang jelas tentang hal-hal berkaitan agama, tentang halal dan
haram. Bak kata pepatah melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya..,
maksudnya mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

4.6 Ekonomi
Ekonomi juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada
keruntuhan akhlak. Manusia pada hari ini adalah manusia yang terlalu mengejar
kebendaan di dalam arus kepesatan ekonomi sehingga melupakan
tanggungjawab-tanggungjawabnya yang lain. Tangungjawab yang dimaksudkan
adalah tanggungjawab kepada Allah, tanggungjawab kepada keluarga,
tanggungjawab kepada alam semesta dan tanggungjawab kepada diri sendiri.
Disebabkan faktor inilah terjadinya masalah pengabaian kasih saying kepada
anak, kepada ibu bapa, dan kepada masyarakat. Anak yang terabai akan lebih
mudah terjebak kepada pelbagai masalah keruntuhan akhlak seperti
penyalahgunaan dadah, minum arak, zina, merompak, berjudi, lumba haram dan
lain-lain lagi.
5.0 KESAN-KESAN KERUNTUHAN AKHLAK
Keruntuhan akhlak pada masa kini akan mendatangkan impak yang sangat
besar kepada masyarakat. Akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi
seseorang individu. Sekiranya individu tersebut mempunyai akhlak yang buruk,
secara otomatik peribadi individu itu juga turut terjejas. Individu yang mempunyai
akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga,
masyarakat dan negara.

5.1 Kesan Kepada Individu


Akhlak merupakan cermin dan peribadi seseorang individu. Oleh itu, akhlak
sangat penting dalam kehidupan seharian seseorang individu. Individu yang
mempunyai akhlak yang baik akan dipandang mulia dan tinggi, manakala
individu yang tidak mempunyai akhlak yang baik akan dipandang serong dan
dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Akhlak yang baik seharusnya dihiasi
dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Namun begitu, kebanyakan
remaja pada hari ini, terutamanya remaja muslim, mempunyai akhlak yang
begitu memalukan agama, bangsa dan negara. Banyak kejadian seperti
pembuangan bayi, zina, perjudian, budaya homoseksual, penagihan dadah dan
sebagainya dilakukan oleh remaja muslim pada hari ini yang kebanyakannya
berpaksikan dan bertunjangkan nafsu dan amalan yang dipengaruhi oleh
budaya-budaya Barat dan asasnya mungkin berpunca daripada kurangnya
pegangan agama dalam diri mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa kesan
keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang mendalam pada diri individu.

5.2 Kesan Kepada Keluarga


Keluarga memainkan peranan yang penting kerana dari institusi kekeluargaanlah
kebahagian dan keharmonian sesuatu masyarakat itu bermula. Keruntuhan
institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagian dan
keharmonian dalam sesuatu masyarakat. Akhlak yang baik dan mulia datangnya
daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Benarlah
katakata hikmah yang menyatakan bahawa rumah itu adalah akar segala-
galanya Oleh sebab itu, keruntuhan akhlak akan menyebabkan dan
memberikan kesan yang besar ke atas kebahagian dan keharmonian sesuatu
institusi kekeluargaan itu.
Antara kesan yang akan berlaku terhadap institusi kekeluargaan ialah:
Keruntuhan institusi kekeluargaan akan berlaku. Akhlak yang baik datangnya
daripada keluarga yang harmoni dan bahagia.
Akibat wujudnya ketidakharmonian dalam keluarga, mungkin akan mendorong
kepada wujudnya penceraian.
Masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara. Anak anak akan
hilang tempat bergantung dan bermanja.
Wujudnya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan
dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan lain-lain lagi.

5.3 Kesan Kepada Masyarakat


Keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang amat besar dalam masyarakat.
Jatuh bangunnya sesuatu negara, agama dan bangsa dapat dilihat dari segi
akhlak dalam masyarakat itu sendiri. Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari ini
sangat membimbangkan. Budaya kuning dan pengaruh budaya Barat mudah
meresap masuk dan menjadi ikutan para remaja hari ini. Seandainya masalah ini
tidak dibendung dengan segera oleh pihakpihak tertentu terutamanya pihak
kerajaan dan juga pihakpihak yang berwajib, maka tidak hairanlah pada masa
akan datang masyarakat kita akan hancur dan akhlak remajaremaja Islam
terutamanya akan rosak dan binasa. Oleh sebab itu, pihakpihak atau anasir luar
akan cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan bangsa kita sendiri.
Namun begitu, kesan yang paling ketara yang dapat dilihat sekiranya akhlak
remaja pada hari ini tidak dikawal ialah:
Masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan
tidak bersatu-padu.
Perasaan buruk dan prasangka pasti akan wujud dalam masyarakat. Sifat
saling curiga-mencurigai akan bertakhta di hati masyarakat.
Wujudnya pergaduhan dalam masyarakat. Isu-isu perkauman akan wujud
seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum.
Kadar jenayah di kalangan masyarakat juga akan turut meningkat di mana
masalah ini akan menyebabkan kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja
semakin meningkat.
Keharmonian dalam masyarakat sukar untuk diwujudkan.

5.4 Kesan Kepada Negara


Tidak dapat dinafikan bahawa keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang
sangat besar kepada negara. Jatuh dan bangunnya sesebuah negara dan
masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu
sekarang. Tidak dapat dinafikan lagi, akhlak remaja pada waktu ini berada pada
tahap yang membimbangkan. Semua pihak terutamanya kerajaan, badan-badan
NGO, dan juga masyarakat itu sendiri harus berganding bahu untuk menangani
gejala keruntuhan akhlak dalam masyarakat.
Antara kesan yang akan berlaku ialah:
Negara akan kehilangan generasi dan kepimpinan pada masa
hadapan.
Kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan ekonomi
negara juga sukar untuk berkembang kerana wujudnya gejala sosial dan
keruntuhan akhlak yang tinggi di kalangan masyarakat.
Kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan
gejala sosial dan keruntuhan akhlak.
Perbelanjaan kerajaan juga akan turut meningkat akibat berlakunya
peningkatan kadar jenayah.
Anasir-anasir luar akan mudah meresap masuk ke dalam negara seandainya
generasi pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka.
Sekiranya akhlak remaja pada hari ini terutamanya akhlak remaja Islam hancur
dan rosak, maka bangsa lain akan memandang serong terhadap agama yang
kita anuti.
6.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KERUNTUHAN AKHLAK MASA KINI
Gejala keruntuhan akhlak pada masa kini berada pada tahap yang amat
membimbangkan. Masalah ini jika tidak dibendung dengan segera akan
mendatangkan kemudaratan kepada individu, keluarga, bangsa dan
negara. Menangani masalah keruntuhan akhlak merupakan perkara yang
seharusnya diberi perhatian secara bersungguh-sungguh. Usaha perlu dilakukan
agar masyarakat kita kembali menghayati dan mempraktikkan akhlak yang mulia
dalam kehidupan seharian mereka.
Kita jangan mudah menuding jari ke arah sesiapa dengan menyalahkan pihak-
pihak tertentu sahaja dalam menangani masalah keruntuhan akhlak yang
berlaku pada hari ini. Sebaliknya, semua pihak bertanggungjawab untuk kembali
kepada Islam dan mencari penyelesaiannya kerana setiap orang akan
dipersoalkan oleh Allah di Akhirat kelak sama ada mereka telah menunaikan
amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka atau pun tidak.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: Setiap daripada kamu adalah pemimpin,
dan kamu bertanggungjawab terhadap sesiapa yang berada di bawah pimpinan
kamu.
Tanggungjawab untuk menangani masalah keruntuhan akhlak ini adalah
tanggungjawab semua meliputi setiap individu, keluarga, masyarakat dan
negara. Individu yang mukallaf (akil baligh) mesti berusaha untuk mewujudkan
akhlak mulia dalam diri. Ini dapat dihasilkan sekiranya dia memahami tuntutan
berakhlak mulia dalam Islam.

6.1 Peranan Individu


Langkah yang paling penting dan paling utama ialah mendekatkan diri kepada
Allah SWT melalui perbanyakkan solat, berzikir dan membaca Al-Quran. Dengan
cara ini individu akan merasa rendah diri dan menimbulkan keinsafan dalam diri
individu tersebut. Apabila individu merasa lebih dekat dengan Allah SWT, secara
tidak langsung mereka akan sentiasa cuba untuk mengelakkan diri daripada
melakukan sebarang kemungkaran.
Individu disarankan supaya tidak segan silu untuk berkongsi masalah dengan
keluarga, rakan-rakan dan pihak kaunseling. Dengan cara ini mungkin dapat
meringankan masalah atau beban yang mereka alami. Individu juga boleh
meminta dorongan daripada keluarga atau orang-orang yang terdekat dengan
mereka.
Pergaulan dengan masyarakat sekeliling boleh meningkatkan keyakinan diri
individu di samping merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain. Ia juga
boleh menimbulkan rasa kasih sayang serta saling memahami perasaan sesama
mereka.
Individu perlu menetapkan target atau membina azam untuk mencapai
kehidupan yang lebih berkualiti. Azam yang dibina dapat menguatkan semangat
individu untuk terus melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Individu juga
perlu sentiasa yakin bahawa azam yang dibina itu akan tercapai dengan
cemerlang ke arah pembentukan diri yang lebih berdisiplin.
Amalan cara hidup yang sihat juga dapat menghindari diri daripada terjebak
kepada gejala keruntuhan akhlak. Lakukan aktiviti sihat seperti beriadah
bersama keluarga dan rakan-rakan. Lakukan senaman secara sistematik.
Amalan pemakanan yang sihat boleh menjamin fizikal dan mental yang
berkualiti, seterusnya dapat menghindari diri daripada gejala negative seperti
penagihan dadah, minum arak, seks bebas dan sebagainya.

6.2 Peranan Keluarga


Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik akhlak anak-anak.
Anak-anak perlu dididik sejak mereka kecil lagi. Bak kata pepatah melayu,
melentur rebung biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa perlu menjadi contoh
yang baik kepada anak-anak mereka. Ibu bapa juga perlu memberikan anak-
anak mereka didikan agama yang sempurna bagi mengelakkan mereka terjebak
kepada gejala-gejala negatif seperti pengaruh black metal, punk,
penyalahgunaan dadah, pembuangan bayi dan lain-lain lagi.
Ibu bapa berperanan untuk membentuk generasi muda sekarang supaya mereka
tidak terjebak kepada gejala negatif yang boleh mendatangkan kemudaratan
yang serius kepada mereka dan institusi kekeluargaan. Ibu bapa juga perlu
menerapkan nilai-nilai murni dan etika untuk menguruskan masa dengan baik.
Mereka harus memberikan perangsang dan galakan yang berterusan kepada
anak-anak untuk berjaya.
Ibu bapa yang prihatin akan menyekat kebebasan anak-anak mereka dalam
pergaulan, dalam erti kata lain menetapkan batas-batas pergaulan untuk anak-
anak mereka. Namun demikian, perlu diselitkan toleransi supaya anak-anak tidak
merasa tertekan atau dikongkong. Ibu bapa perlu meluangkan banyak masa
untuk anak-anak supaya mereka rasa diambil berat dan disayangi di samping
dapat merasai indahnya nikmat berkeluarga. Ibu bapa harus sentiasa berada di
sisi anak-anak apabila mereka berada dalam kesusahan dan menjadi rakan
pendengar yang setia dan sentiasa bersedia untuk berkongsi masalah yang
anak-anak hadapi.

6.3 Peranan Masyarakat


Masyarakat juga mempunyai peranannya yang tersendiri dalam membendung
permasalahan akhlak di sesebuah negara. Sewajarnya masyarakat tidak
bersikap sambil lewa dan tidak ambil peduli dengan membiarkan pihak yang
terlibat terus terumbang-ambing sebaliknya berusaha untuk menangani masalah
ini. Bantuan yang perlu dihulurkan bukan setakat berbentuk material, tetapi lebih
kepada spiritual dengan memberi semangat dan tunjuk ajar yang terbaik bagi
mereka yang bermasalah.

6.4 Institusi Pendidikan


Sekolah juga memainkan peranan yang tersendiri dalam membendung masalah
keruntuhan akhlak ini bermula dari peringkat pra-sekolah, sekolah rendah,
sekolah menengah, dan pengajian tinggi sama ada awam ataupun swasta.
Tanggungjawab seorang pendidik bukan sahaja sekadar menyampaikan ilmu
pelajaran tetapi lebih kepada menyemaikan nilai-nilai murni dan mendorong
penghayatan kepada semangat Islam dalam erti kata yang sebenar. Maka,
sebagai langkah pertama, wajar dimulakan dengan contoh dan teladan yang baik
di kalangan para pemimpin masyarakat di negara kita.
7.0 KESIMPULAN
Keruntuhan akhlak masa kini semakin membimbangkan, terutamanya apabila
ianya banyak melanda muda-mudi yang bakal menjadi pewaris dan harapan
bangsa pada masa hadapan yang boleh merencatkan kecemerlangan negara.
Malahan, jika masalah ini tidak ditangani dengan segera dan bijaksana beserta
perancangan yang teliti pastinya akan mengancam keselamatan negara kerana
elemen-elemen keruntuhan akhlak ini boleh menjerumuskan seseorang itu ke
lembah kehancuran. Kecemerlangan yang dilaungkan dan digembar-gemburkan
ketika ini tidak memberi apa-apa makna sekiranya akhlak rakyat tidak seiring
dengan agenda untuk mencemerlangkan bangsa dan negara. Inilah antara yang
menjadi isu dan cabaran pemimpin dan semua pihak yang terbesar dalam
menentukan negara dan rakyat benar-benar mencapai kecemerlangan.

Anda mungkin juga menyukai