Anda di halaman 1dari 4

ISU penyalahgunaan dadah dalam kalangan atlet bukanlah suatu

perkara baharu. Ia bermula sejak zaman 60-an lagi apabila atlet


Jerman Timur didapati mengambilnya. Sejak itu bermulalah era para
atlet dunia mengambil kesempatan menggunakan dadah bagi
memenangi pertandingan.

Pada 1976, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah


membuat keputusan melarang penggunaan steroid dalam kalangan
atlet. Pada 1990, Kongres Olimpik telah memperkukuhkan Akta
Penyalahgunaan Dadah dengan mengklasifikasikan anabolik steroid
sebagai bahan terlarang. Pada 1999, IOC menubuhkan Agensi Anti-
Doping Sedunia bagi menghadapi isu dadah dalam kalangan atlet
dunia.

Atlet negara kita juga tidak terlepas daripada perbuatan mengambil


dadah dan kebanyakannya telah dikenakan hukuman oleh pihak
berwajib sukan. Banyak sebab kenapa ada atlet berani mengambil
dadah walaupun sedar atau mengetahui ia salah dari segi undang-
undang sukan.

Ada juga yang mengambilnya tanpa sedar. Kadang kala ia


dirancang oleh jurulatih yang inginkan anak didiknya menang dan
menjuarai sesuatu pertandingan. Jurulatih sebegini biasanya mahu
mendapat tempias - dikenali, menjadi rebutan atlet lain untuk
berlatih di bawahnya dan juga memperoleh imbuhan lebih baik.

Sifat tamak atlet dan jurulatih yang inginkan kemenangan dengan


cara apa sekali pun `menghalalkan penyalahgunaan dadah itu.
Falsafah yang dihayati dan diikuti ialah matlamat menghalalkan
cara.

Dengan memperoleh kemenangan, maka sudah tentu atlet tersebut


akan mendapat habuan yang lumayan, menjadi popular dan diminati
ramai. Sebenarnya cara meraih kemenangan sedemikian adalah
tidak bermoral, tidak adil dan boleh diklasifikasikan sebagai suatu
bentuk penipuan.

Penipuan pengambilan dadah oleh atlet telah menyebabkan dunia


olahraga berada dalam keadaan membimbangkan dan tergugat.
Pelari 800 meter, Lynsey Sharp dari Britain menganggap doping
dalam olahraga merupakan suatu masalah besar. Ramai atlet
ditangkap kerana disyaki mengambil dadah tetapi kebanyakannya
terlepas daripada hukuman.

Sehingga kini, terdapat 240 atlet lelaki dan wanita dari 52 negara
dilarang terlibat dengan sukan masing-masing. Lima negara teratas
dengan bilangan atlet paling ramai tidak dibenarkan mengambil
bahagian dalam sukan kerana terlibat dengan dadah adalah India
51 orang, Rusia 38 orang, Kenya 13 orang, Amerika Syarikat 12
orang dan Britain empat orang.

Sukan profesional kerap dikaitkan dengan pengambilan dadah. Jika


tertangkap dan sabit hukuman kerana mengambil dadah, seorang
atlet boleh dilarang mengambil bahagian dalam sukan diceburi
sampai ke tahap seumur hidup. Tetapi kenapa masih ada lagi atlet
yang berani melakukan perbuatan mengambil dadah yang dilarang?

Jawapannya terkandung dalam apa yang disifatkan oleh ranting


Matematik sebagai teori permainan (game theory). Ia dikaitkan
dengan konflik minat di antara pihak yang mengetahui keutamaan
diri masing-masing tetapi bukan hasrat atau keputusan sebenar.
Ianya kemudian menjurus kepada tindakan terbaik diambil bagi
seorang pemain yang rasional.

Apabila seseorang atlet itu bertanding, sebenarnya ia tertakluk


kepada peraturan sukan itu sendiri dan atlet berkenaan sepatutnya
patuh kepada undang-undang dan peraturan permainan sesuatu
sukan itu. Lebih-lebih lagi dalam sukan bertaraf Olimpik, Asia dan
Komanwel, kesemua atlet yang bertanding akan berikrar untuk
mengambil bahagian dengan penuh semangat kesukanan.

Ada bezanya antara semangat kesukanan dengan semangat


permainan. Yang benar-benar dituntut dan seharusnya dijadikan
landasan oleh semua atlet ketika bertanding ialah semangat
kesukanan. Maka akhirnya, lafaz sekadar tinggal lafaz sahaja -
manis di mulut tetapi dari segi tuntutan moral dan komitmen jauh
sama sekali.

Kalau diamati dan dikaji bersukan menjurus kepada tuntutan prinsip


moral itu sendiri iaitu ingin melahirkan ahli sukan yang hebat,
berjaya dan penuh dengan sifat jujur, berani dan bermoral.
Persoalan di sini adakah prinsip moral telah dinodai?
Menjadi seorang atlet dikaitkan dengan prinsip moral. Apabila
seseorang bersetuju bersaing dalam pertandingan, ia seharusnya
setuju mengikuti dan mengamalkan semua prinsip moral setiap
masa.

Prinsip moral meliputi mematuhi peraturan pertandingan seperti


tidak mengambil dadah, tidak bergaduh dalam pertandingan, tidak
bermain kasar, tidak mencaci pihak lawan dan pelbagai lagi
perbuatan yang tidak bermoral.

Seorang atlet mempunyai tanggungjawab besar iaitu untuk dirinya,


keluarga, rakan-rakan, organisasi, masyarakat dan negara.
Tanggungjawab memang agak berat tetapi kalau dipikul dengan
penuh kesedaran, sudah tentu ia mampu dilaksanakan dengan baik
dan berkesan.

Secara hakiki, nilai moral bertanggungjawab ke atas semua gelagat


dalam dunia sukan. Peranan peraturan spesifik sukan seharusnya
dapat membantu dan menjadi panduan kepada atlet yang
bertanding.

Semangat kesukanan perlu dititikberatkan setiap masa yang


meliputi fair play, kesihatan, kecemerlangan prestasi, sahsiah dan
pendidikan, kerja berpasukan, dedikasi dan komitmen, hormat
kepada peraturan dan undang-undang, hormat kepada diri dan para
peserta.

Setakat ini pihak WADA (Badan Pencegahan Dadah Dunia Sukan)


telah secara proaktif mengekang masalah pengambilan dadah di
kalangan atlet dunia daripada berleluasa tetapi masih banyak yang
perlu dilakukan oleh badan itu dan badan-badan sukan seluruh
dunia yang lain bagi mengatasinya.

Daripada 267,000 ujian dadah yang dilakukan di seluruh dunia pada


2013, cuma 1.19 peratus sahaja yang didapati positif dan 0.57
peratus masih memerlukan siasatan dan ujian selanjutnya.

Bagi mengatasi masalah pengambilan dadah di kalangan atlet untuk


jangka panjang, pelbagai pihak harus memainkan peranan yang
serius. Ini termasuklah memberi pendidikan awal kepada atlet dari
peringkat sekolah tentang bahaya pengambilan dadah dan kesan
pada kesihatan, keluarga dan masyarakat. Persatuan sukan, ibu
bapa, agensi kerajaan dan masyarakat juga boleh membantu bagi
mengatasi masalah ini.

Anda mungkin juga menyukai