Anda di halaman 1dari 22

KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA

Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak zaman dahulu
lagi. Dalam mendepani era globalisasi ini,kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam
pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan kepada seseorang. Lantaran itu, Sekolah Berasrama
Penuh (SBP) misalnya, memberikan peluang kepada para pelajar untuk mempelajari lima
bahasa antarabangsa iaitu, bahasa Peranchis, Jerman, Jepun, Cina dan Arab melalui pembelajaran
bahasa antarabangsa. Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa, agak
sukar seseorang untuk berkomunikasi khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Oleh
itu, banyak kepentingan akan diperoleh oleh seseorang dengan menguasai pelbagai bahasa lain
selain bahasa ibunda.

Kebaikan pertama menguasai pelbagai bahasa ialah seseorang lebih mudah untuk berhubung
atau berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini demikian kerana seseorang akan lebih
berkeyakinan untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja. Sebagai contoh, dengan menguasai
bahasa Inggeris, seseorang boleh memberitahu tempat-tempat menarik serta keistimewaan yang
terdapat di negara kita kepada pelancong yang datang ke negara kita. Faedah daripada itu, para
pelancong berasa lebih dihargai malah akan lebih tertarik untuk berkunjung ke negara kita.
Seseorang juga akan lebih memahami psikologi serta penutur jati individu tertentu. Sebaliknya,
tanpa menguasai pelbagai bahasa seseorang sukar untuk menolong walaupun masih mempunyai
niat untuk membantu. Impak daripada itu, para pelancong akan berfikiran negatif dan
berkemungkinan menganggap kita tidak peramah dan bersikap sombong. Jelas bahawa, dengan
menguasai pelbagai kita mudah berkomunikasi dengan lebih berkesan untuk bertukar fikiran
serta maklumat antara satu sama lain.

Selain itu, dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh ilmu
pengetahuan. Hal ini demikian kerana pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini
ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia.
Dengan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan seseorang akan lebih dihormati, dipandang
tinggi serta tidak dianggap bagai katak di bawah tempurung. Sebagai contoh, untuk
meningkatkan pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang wajib menguasai bahasa Arab
yang merupakan bahasa kitab suci Al-Quran. Sementara itu, bagi golongan pelajar mereka lebih
mudah untuk membuat rujukan sama ada melalui buku-buku atau Internet. Kemahiran
menguasai bahasa Inggeris misalnya, sering kali menjadi halangan kepada pelajar Bumiputera di
pusat pengajian tinggi untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti. Tegasnya,
memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau
menulis adalah amat perlu sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia membangunkan modal insan
di negara ini.

Seterusnya, seseorang lebih mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,
baik di pusat pengajian tinggi awam atau swasta. Tambahan lagi kemampuan menguasai dan
berkomunikasi dalam pelbagai bahasa menjadi semakin penting sekiranya seseorang hendak
melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hal ini demikian kerana hampir semua pusat pengajian
tinggi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan
pembelajaran kerana kekuatannya sebagai bahasa komunikasi masyarakat dunia. Hal ini
dikukuhkan lagi apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran di negara-negara maju seperti

1
Jepun dan Peranchis yang menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa pengantar
utama. Tamsilnya, untuk melanjutkan pelajaran di negeri matahari terbit, Jepun pelajar perlulah
mengikuti kurusus untuk menguasai bahasa Jepun terlebih dahulu sebagai pakej untuk terpilih
untuk mengikuti pengajian di sana. Jelas terbukti bahawa penguasaan pelbagai bahasa
memberikan kemudahan kepada setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang
lebih tinggi di samping mudah untuk memahami budaya dan gaya hidup sesuatu masyarakat
yang ditemui.

Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih
mudah untuk memperoleh peluang pekerjaan. Hal ini disebabkan seseorang pekerja yang
berkemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa dianggap mempunyai banyak kelebihan serta
keistimewaan kerana mampu bertutur dengan pelbagai pihak. Sebagai contoh, di Malaysia
seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin memiliki
ciri-ciri pekerja yang digemari dan disukai majikan kerana masyarakat majmuk yang terdapat di
negara kita. Di samping itu, dengan menguasai pelbagai bahasa membolehkan seseorang itu,
menceburkan diri dalam bidang penterjemahan atau jurubahasa dalam bidang kehakiman dan
juga sektor pelancongan. Bidang terjemahan dikatakan mempunyai masa depan yang cerah
kerana mempunyai permintaan yang tinggi. Begitu juga dalam bidang pelancongan yang amat
memerlukan khidmat pemandu pelancong asing yang boleh menguasai bahasa asing.
Sesungguhnya, penguasaan pelbagai bahasa dan kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria
dan pertimbangan utama majikan dalam memilih ciri pekerja yang berkualiti.

Intihanya, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan subjek bahasa tambahan


di peringkat sekolah perlulah dipuji bagi memperkasakan lagi modal insan yang bakal dilahirkan.
Oleh itu, semua pihak khususnya ibu bapa bukan sahaja perlu menerimanya secara positif
malahan memberikan sokongan tanpa wujud perasaan berbelah bahagi. Semua individu
khususnya golongan pelajar perlulah merebut peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan
kerana kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa akan memberikan nilai tambah sekali gus
menyediakan masyarakat yang mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi untuk bersaing
di peringkat global. Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang
hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai pelbagai bahasa yang pastinya
memberikan kelebihan kepada kita kelak.

2
LANGKAH-LANGKAH MENINGKATKAN MUTU SUKAN NEGARA
Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia kepada
pasukan Singapura serta tumbangnya jagoan badminton negara Datuk Lee Chong Wei, dalam
Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan
Malaysia semakin merudum. Hal ini belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras yang
lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara
ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan
pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita
hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran jaguh kampung,
ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa-
apapun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk
meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak
jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia,
kebanyakan persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-
persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara sebulat
suara ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan
meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan
program pembangunan sukan dan atlet telah dianaktirikan. Kedangkalan pengetahuan tentang
bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan
pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad
Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam
persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang
berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya
memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta
beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, persis kata pujangga, hanya jauhari
yang mengenal manikam.

Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi
nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing. Kerajaan melalui Kementerian
Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup untuk menyokong program-program
pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut
Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti
kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini,
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sabri Chik pernah menegur tentang cara pemakanan para
pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap
tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara
lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-
program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan
para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) hanya bergantung kepada gandingan emas, Koo Ken Kiat dan Tan
Boon Heong, serta Datuk Lee Chong Wei. Misi pencarian pelapis baru masih lagi gagal. Namun
begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan

3
penggemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya sinar di hujung terowong dapat
dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.

Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan
antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha
memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri dalam situasi pertandingan yang
sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang
mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain
sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan
secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan
mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian jaguh badminton negara
Datuk Lee Chong Wei dan ratu squasy negara, Datuk Nicole Ann David sehingga membolehkan
mereka berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada
penyertaan yang aktif dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa
kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, ibarat
melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya, menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama
ada dalam kalangan atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.

Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlulah berperanan mencungkil


bakat-bakat muda daripada peringkat sekolah lagi. Kita sedia maklum bahawa para pelajar
di seluruh negara begitu ramai yang mempunyai bakat yang terpendam dalam bidang sukan.
Buktinya semasa kejohanan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, kita
dapati ramai pelapis muda yang berbakat dan berpotensi. Namun bakat mereka tenggelam begitu
sahaja setelah tamat zaman persekolahan. Oleh hal yang demikian pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia perlu berkerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta badan-badan sukan
untuk menggilap bakat-bakat muda ini hingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Penubuhan sekolah-sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Sultan Abdul Jalil, Sekolah Sukan
Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar dan merupakan satu alternatif bijak agar kita
tidak ketandusan pelapis dalam bidang sukan negara pada masa akan datang.

Pengambilan jurulatih serta pemain import juga merupakan suatu usaha yang positif ke
arah meningkatkan mutu sukan negara. Hal ini demikian kerana para atlet serta ahli sukan
mendapat bimbingan serta tunjuk ajar berterusan daripada jurulatih yang berwibawa. Para
pemain dapat didedahkan dengan teknik, serta kemahiran bertaraf dunia agar pemain kita dapat
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pemain-pemain di peringkat dunia. Selain itu,
para pemain juga akan mendapat rakan pelatih atau sparing partner yang bertaraf dunia.
Dengan pendedahan serta latihan intensif ini sudah pasti para atlet mampu bersaing atau
bertanding di peringkat antarabangsa. Tindakan FAM untuk mengambil pemain-pemain import
semula dalam Liga Bola Sepak Malaysia merupakan usaha serampang dua mata,iaitu untuk
meningkatkan mutu sukan negara serta menyemarakkan sokongan peminat sukan kepada
pasukan pilihan mereka. Jelaslah bahawa pengambilan jurulatih dan pemain import bukan sahaja
meningkatkan prestasi atlet atau ahli sukan, malahan dapat meningkatkan imej negara di mata
dunia.

Konklusinya, kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan kerana hal
ini sedikit banyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan

4
usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh empat tahun, seharusnya
telah mematangkan prestasi kita dalam bidang sukan. Tiada salahnya untuk kita belajar dengan
negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri
dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga
bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak bagai aur dengan tebing, misi untuk
melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia
2014 akan menjadi kenyataan. Peribahasa Melayu ada menyatakan pengayuh sudah ada di
tangan, perahu sudah ada di air, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta
rakyat Malaysia. Semoga slogan, Majulah Sukan Untuk Negaradapat diimplementasikan.

USAHA-USAHA INDIVIDU (ANDA) MEMUPUK AMALAN MEMBACA


Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja hilang
keyakinan diri dan ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti
berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah remaja lebih gemar melakukan aktiviti
yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam
sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh mereka lakukan
khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan menghubungkan antara manusia
dengan segala ilmu pengetahuan.Namun begitu, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya
membaca dua buah buku setahun berbanding bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun.
Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara kata yang buruk dibuang dengan
runding, yang baik ditarik dengan muafakat untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar
membaca. Oleh itu, sebagai seorang pelajar dan remaja, kita perlulah mencari inisiatif dan cara
yang efektif untuk menjadikan amalan membaca itu amalan hidup.

Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup ialah, saya perlulah rajin
pergi ke perpustakaan. Marcapada, Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan malah di
negara ini terdapat pelbagai jenis perpustakaan, tamsilnya perpustakaan sekolah, perpustakaan
awam dan perpustakaan bergerak. Di perpustakaan yang dikunjungi, saya dapat membaca dan
meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya akan sentiasa
berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca walaupun memaklumi bahawa perpustakaan
yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat
diteroka. Walaupun sekadar membaca sebuah buku seminggu, dapat saya rasakan ilmu yang
diperoleh amat besar nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan lawatan sambil belajar
ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain
dapat menyemai minat membaca dalam diri, saya juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang
terdapat di situ bertepatan dengan kata peribahasasambil menyelam minum air. Ternyata pasti,
dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya akan sentiasa terdorong untuk menjadikan
membaca sebagai amalan hidup.

Peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, amat
bersesuaian untuk saya jadikan pegangan dalam usaha memupuk amalan membaca. Kata-kata
hikmat di atas akan diperjelaskan serta dibahaskan dari perspektif menyediakan sudut bacaan di
rumah atau bilik sendiri. Suka saya tegaskan bahawa perubahan diri sendiri merupakan cara yang
paling proaktif dan mujarab untuk menjadikan membaca sebagai amalan dalam kehidupan. Demi
memupuk budaya membaca dalam jiwa saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau
perpustakaan mini di rumah untuk kegunaan semua ahli keluarga. Situasi ini akan menggalakkan

5
serta mendorong kami sekeluarga supaya berjinak-jinak dengan bidang ilmu supaya amalan
membaca diterapkan dalam minda setiap anggota keluarga. Sementalahan itu, saya perlu
membeli pelbagai judul buku yang menarik dan sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan
budaya bed story sebelum tidur. Neville Black, seorang ahli falsafah Barat, berpendapat
bahawa ilmu pengetahuan adalah aset yang paling dominan sekiranya kita ingin bersaing dengan
pihak lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan
membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda kelas
pertama. Berdasarkan perbincangan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk amalan
membaca dalam diri sekali gus menjadi suri teladan kepada adik-adik saya.

Selain itu, saya juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan
Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam
kuantiti yang banyak. Melalui program ini, saya perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan dalam buku NILAM. Pelajar yang
membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak,
emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat
yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam program ini juga terdapat
tahap Rakan Pembaca. Rakan Pembaca berfungsi untuk menarik minat pelajar lain dan
seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka. Kesannya pelajar lain juga akan turut sama
menjadikan amalan membaca sebagai satu keperluan dalam hidup mereka. Apa yang pasti,
segala keinginan untuk meningkatkan jumlah bahan bacaan yang dibaca perlu lahir daripada diri
saya tanpa wujud paksaan daripada pihak lain. Dalam hal ini, saya amat berpegang kepada ayat
al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, sekiranya
seseorang itu sendiri tidak mahu mengubahnya.

Sementara itu, saya juga boleh pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini kerana,
saya akan mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku yang dianjurkan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan. Dalam pameran-
pameran seperti inilah saya dapat membeli buku dengan harga yang murah dan berpatutan dan
membaca buku secara percuma di tempat-tempat yang disediakan di pameran tersebut. Terdapat
juga ruang-ruang khas yang disediakan di sudut maklumat di pameran atau ekspo tersebut
mengenai sinopsisi buku-buku yang dijual. Dengan ini, saya dapat membaca secara ringkas
tentang buku-buku tersebut sebelum membuat pilihan untuk membelinya. Justeru, saya bukan
sahaja dapat membaca secara percuma, malah dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga. Dengan
mengunjungi pameran-pameran, ekspo atau kedai buku, saya akan mengenali lebih ramai rakan
yang berkongsi minat yang sama iaitu membaca. Peribahasajauh perjalanan luas
pemandangan amat bersesuaian dengan perkara dan situasi yang saya bincangkan di atas.

Seterusnya, saya juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan. Buku-buku atau
majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga bercorak santai
seperti Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi. Di manakah saya boleh mendapatkan buku atau
majalah tersebut? Saya boleh melanggannya melalui internet atau meminta bantuan guru di
sekolah untuk melanggannya. Impaknya, saya akan sentiasa membaca pada setiap masa,
menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada
setiap bulan. Dalam hal ini, saya akan menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa
dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya

6
puisinya, Profesor Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis novel
tersohor, Sharifah Abu Salem. Apabila saya menjadikan mereka sebagai idola, saya akan sentiasa
terdorong untuk melanggan pelagai buku di pasaran sekali gus menjadikan membaca sebagai
rutin hidup saya.

Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang mengecapi perkembangan dan
kemajuan dengan menongkah arus globalisasi, liberalisasi dan duniawi yang melanda seantero
dunia. Oleh hal yang demikian, untuk meneruskan perjuangan kita merealisasikan hasrat
membentuk negara pembaca teras negara maju. Saya juga berperanan penting dalam menyahut
cabaran negara supaya menjadi seorang rakyat yang minat membaca. Pada dasarnya, media
massa sebagai arus perdana yang berpengaruh sama ada media cetak atau media elektronik
sentiasa mengadakan pertandingan atau aktiviti malahan kempen kesedaran di seluruh pelosok
negara untuk memupuk minat membaca dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, saya perlu
menyertai aktiviti seperti sayembara, menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk menanam
tabiat membaca. Tidak ketinggalan juga, saya dapat mengajak rakan-rakan sebaya ataupun ahli
keluarga untuk menyertai kempen Amalan Membaca Nadi Ilmu Pengetahuan bersama-sama.
Hal ini diibaratkan sambil menyelam minum air dan serampang dua mata kerana dapat
menjalinkan hubungan silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.

Konklusinya, remaja perlulah berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini
kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara
kerana bertepatan dengan kata-kata pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah
dibiarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara yang sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa
remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang
teguh dan jitu dengan sloganMembaca Jambatan Ilmu dan Rakyat Membaca, Bangsa
Berjaya seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato Seri Najib bin Abdul Razak.
Generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan
Malaysia sebuah negara maju dalam tempoh lapan tahun mendatang.

USAHA- USAHA MEMPOPULARKAN PUISI TRADISIONAL DALAM KALANGAN


MASYARAKAT

Selari dengan maksud peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, kini Malaysia sedang
bergerak seiring dengan arus globalisasi yang membawa kepada kemajuan pembangunan dan
perubahan besar dalam masyarakat. Rentetan dengan perkembangan tersebut, masyarakat hari ini
lebih terdedah kepada alam siber sehingga memberikan kesan kepada komunikasi serta cara
berinteraksi dalam masyarakat. Lantaran itu juga, masyarakat seakan-akan lupa akan pelbagai
puisi tradisional yang merupakan warisan pusaka masyarakat silam. Sebagi contoh, amalan
berpantun mula dianggap remeh, dipandang enteng serta mula disisihkan daripada arus perdana
kehidupan masyarakat. Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu mencari
pendekatan yang pragmatik lagi efektif bagi mempopularkan puisi tradisional bersesuaian
dengan kata peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Prakarsa yang
berkesan untuk mempopularkan puisi tradisional patut diusahakan secara bersungguh-sungguh
bagi memastikan genre tersebut tidak terkubur begitu sahaja.

7
Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan dan
mempopularkan puisi tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak
mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak
yang sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan puisi tradisional kepada anak-anak mereka
sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mereka boleh
membelikan anak-anak, buku-buku berkaitan puisi tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang
tahun ataupun sebagai hadiah kerana cemerlang dalam akademik di sekolah. Sebagai contoh, ibu
bapa boleh menganjurkan pertandingan melafazkan pantun melalui program tertentu seperti Hari
Keluarga bagi menghidupkan lagi budaya berpantun dalam kehidupan harian. Inisiatif ini dapat
memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk cuba
mencipta pantun atau melafazkan pantun. Jelaslah bahawa melalui usaha tersebut secara tidak
langsung akan mempopularkan genre puisi tradisional ini serta mengeratkan lagi hubungan
silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil menyelam minum air.

Selain itu, usaha pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia yang memasukkan
puisi tradisional dalam Komsas Bahasa Melayu di sekolah perlu dipuji. Rentetan daripada itu,
pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab atau persatuan yang memberi penekanan kepada
pelbagai puisi tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan Budaya Bangsa, pelajar
boleh belajar tentang cara mencipta dan melafazkan pantun, bersyair serta berseloka. Setelah
mengetahui secara mendalam tentang pelbagai puisi tradisional, pelajar akan lebih rasa berminat
untuk mempersembahkannya. Usaha menanam minat puisi tradisonal terhadap generasi muda
penting kerana mereka merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa
serta mewarnai masyarakat masa hadapan. Penglibatan pelajar secara langsung dalam pelbagai
puisi tradisional nescaya dapat mempopularkan genre tersebut di Malaysia daripada membiarkan
seni budaya kita terus pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak
kenal maka tak cinta, maka komitmen pihak sekolah amat dituntut, agar putera-puteri yang
sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan puisi tradisional di samping
mengukuhkan kecintaan mereka terhadap budaya bangsa.

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai puisi tradisional merupakan satu kaedah
yang ampuh untuk mempopularkan genre tersebut di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan
oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan secara terancang dan berkesan
dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak
media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan puisi
tradisional di negara kita. Selain memperkenalkan sejarah dan cara melafazkan sesuatu puisi
tradisional, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan
memelihara puisi tradisional kepada masyarakat. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena
kempen tersebut, seperti peraduan mencipta dan melafazkan pantun, syair, gurindam dan
seloka. Melalui proses tersebut, genre-genre tersebut boleh menjadi lebih popular di merata
tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan
kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti puisi tradisional semakin
popular khususnya kepada generasi baru.

Pertukaran budaya dengan negara-negara jiran misalnya, melalui ASEAN merupakan inisiatif
lain yang boleh dilakukan bagi mempopularkan puisi tradisional. Hal ini demikian kerana
terdapat banyak persamaan budaya dalam kalangan penduduk negara ASEAN seperti Malaysia,

8
Singapura, Indonesia dan Brunei yang boleh dikongsi bersama. Apabila program tersebut
dilaksanakan maka pelajar dari negara-negara Asean dan Negara luar yang lain yang datang ke
Malaysia, akan berpeluang mengenali lebih lanjut tentang puisi tradisional. Apabila mereka
pulang ke negara mereka kelak,mereka akan mempraktikkan dengan rakan-rakan serta ahli
keluarga mereka. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama Malaysia akan masyhur di
persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana rakyat Malaysia masih
memiliki pelbagai puisi tradisional walaupun menghadapi arus kemodenan. Hal ini penting agar
puisi tradisional tetap kekal terpelihara seperti kata peribahasa tak lapuk dek hujan,tak lekang
dek panas. Perkara yang sama berlaku apabila pelancong asing melancong ke Malaysia dan
menginap di desa-desa. Mereka akan diperdengarkan pelbagai jenis puisi tradisional yang penuh
keunikan. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus
berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas
bahawa, pertukaran budaya antara negara mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan
mempopularkan puisi tradisional kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang
agak praktikal untuk mempopularkan puisi tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui
pertandingan tersebut, semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman
dan mengukuhkan ukhuwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah manusia,
segelintir masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu. Agensi-agensi
kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan
sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan melafazkan puisi
tradisional di peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam
konteks ini, contoh yang terbaik ialah Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian
Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka yang menawarkan Piala Sirih
Pulang ke Gagang dapat mencungkil bakat dan kreativiti pelajar dalam mencipta dan melafazkan
pantun.Terbukti di sini, penganjuran pertandingan sebegini berjaya memperkenalkan puisi
tradisional dalam kalangan masyarakat sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada
pelancong dalam dan luar negara.

Kesimpulannya, semua bangsa tidak sepatutnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk
puisi tradisional lenyap ditelan zaman kerana warisan tersebut adalah khazanah dunia yang
begitu tinggi nilainya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah ke arah negara maju pada
tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang mengabaikan
peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap pelbagai pihak tetap teguh
memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar
meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Oleh itu,
setiap anak watan di bumi tercinta ini perlu menyahut cabaran dan mempunyai semangat habis
kapak berganti beliung untuk merealisasikan impian tersebut.

USAHA- USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Bertepatan dengan peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Malaysia kini berhadapan
dengan arus globalisasi dan modenisasi yang membawa kepada pembangunan yang pesat.
Berkait rapat dengan perkembangan tersebut, generasi muda hari ini lebih terdedah kepada alam
siber dan permainan komputer sehingga melupakan permainan tradisional yang merupakan

9
warisan pusaka sejak duhulu lagi. Lantaran itu, permainan tradisional turut dipandang enteng
serta mula tersisih daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Sebagai individu, adakah kita
sanggup membiarkan khazanah budaya bangsa kita lenyap begitu sahaja dek peredaran zaman
yang berlaku? Mahukah kita membiarkan anak watan berterusan meminggirkan budaya
mereka? Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu mencari pendekatan
yang pragmatik bagi meninggikan martabat permainan tradisional di negara kita bersesuaian
dengan kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Prakarsa yang berkesan untuk
mempopularkan permainan tradisional ini patut diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi
mengangkat status permainan tradisional di nusa tercinta ini.

Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan serta
mempopularkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak
mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak
yang sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan permainan tradisional kepada anak-anak
mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya bagi
tujuan memupuk minat bermain permainan tradisional. Mereka boleh membelikan anak-anak
mereka permainan tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang tahun ataupun sebagai hadiah
kerana pencapaian cemerlang dalam akademik di sekolah. Ibu bapa juga boleh menganjurkan
pertandingan permainan tradisional melalui Hari Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan
secara bersendirian atau bersama dengan rakan-rakan sekerja. Inisiatif ini dapat memberikan
peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk mencuba bermain
permainan tradisional seperti congkak, menaikkan layang-layang dan bermain gasing. Jelas
bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan sesuatu permainan
tradisional serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata
peribahasa sambil menyelam minum air.

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia mestilah menjadikan
permainan tradisional sebagai satu daripada kegiatan kokurikulum di sekolah. Rentetan daripada
itu, pihak sekolah hendaklah digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan yang bercirikan
permainan tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan permainan tradisional seperti
Kelab Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara membuat, cara bermain dan mengetahui
syarat-syarat bermain sesuatu permainan tradisional. Setelah mengetahui secara mendalam
sesuatu permainan itu, pelajar akan berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional
tersebut. Usaha menanam minat terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar
tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan,
justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional nescaya dapat
mempopularkan permainan tersebut di Malaysia daripada pupus dan lenyap begitu sahaja.
Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka iltizam pihak sekolah amat
dituntut agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif
mempopularkan permainan tradisional di samping mengurangkan sedikit tekanan menghadapi
peperiksaan.

10
Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai permainan tradisional merupakan satu
kaedah yang ampuh untuk mempopularkan permainan tradisional di negara kita. Kempen ini
perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan berkesan
dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak
media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan permainan
tradisional di negara kita seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan
sejarah dan cara bermain, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan
kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus
dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan mengarang, pameran, peraduan melukius
poster dan lain-lain lagi. Melalui proses tersebut, permainan tradisional boleh menjadi lebih
popular di merata-rata tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata.
Jelas bahawa dengan kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti
permainan tradisional menjadi semakin popular khususnya kepada generasi baru.

Pertukaran budaya dengan negara luar merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi
mempopularkan permainan tradisional. Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari
luar negara yang datang ke Malaysia akan berpeluang bermain pelbagai permainan tradisional di
sini. Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak, mereka akan mengajar rakan-rakan dan ahli
keluarga permainan yang pernah mereka mainkan di sini. Usaha ini secara tidak langsung
membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh
berbangga kerana Malaysia masih mempunyai permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan,
tak lekang dek panas. Perkara yang sama boleh dilakukan oleh agensi pelancongan yang
bertindak sebagai medium penyebar maklumat untuk memperkenalkan permainan tradisional
kepada pelancong asing. Lantaran itu, agensi pelancongan boleh mengurus aktiviti seperti
bermain gasing, galah panjang dan teng-teng di tempat penginapan pelancong asing. Diharapkan
langkah ini akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara
yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran budaya antara
negara dan peranan agensi pelancongan mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan
mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat luar.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang
agak praktikal untuk mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat di Malaysia.
Melalui pertandingan yang diadakan semua pihak yang mengambil bahagian akan saling
bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai
fitrah manusia, segelintir masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu.
Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh
bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan
pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke
peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah penganjuran Festival
Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor oleh kerajaan negeri Johor dengan
kerjasama pelbagai badan korporat. Berdasarkan rekod yang ada, pertandingan layang-layang
tersebut berjaya menarik peminat-peminat permainan layang-layang dari seluruh dunia untuk
turut mengambil bahagian. Terbukti di sini, penganjuran pelbagai pertandingan berjaya

11
memperkenalkan permainan tradisional sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada
pelancong dalam dan luar negara.

Konklusinya, semua etnik tidak sewajarnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk
permainan tradisional terus lenyap di muka bumi kerana warisan tersebut ialah khazanah dunia
yang tidak ternilai harganya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah serta bersedia
melakukan pecutan akhir ke arah negara maju pada tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi
seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usul dengan mengabaikan peninggalan
warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap semua pihak tetap teguh memelihara khazanah
budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa
yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Suka ditegaskan di sini bahawa setiap
anak watan Malaysia perlu menyahut cabaran dan menghadapi semangat habis kapak berganti
beliung untuk merealisasikan impian negara tercinta ke arah Menjana Transformasi Rakyat
Cemerlang. Malaysia Boleh!

CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN

Teruja kenari di tepi pulasan,


Pegun nak dara gemersik suara:
Remaja kini tinggi wawasan,
Tonggak kejayaan aspirasi negara.

Pantun di atas jelas menunjukkan bahawa remaja kini merupakan tunjang kecemerlangan
sesebuah negara. Mereka merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan pada
masa akan datang. Sayang dan malang sekali, remaja hari ini tidak sedar akan obligasi yang
terbeban di bahu mereka itu. Realitinya, Malaysia memerlukan lebih ramai remaja berwawasan
yang mampu mendukung aspirasi negara.

Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan tentang ciri-ciri remaja berwawasan yang
diperlukan di negara Malaysia. Remaja berwawasan dan mempunyai akhlak yang mulia boleh
dicontohi. Selaras dengan cogan kata, budi bahasa budaya kita, remaja perlulah mempunyai nilai
moral yang tinggi. Mereka hendaklah mengamalkan amalan bersopan santun ketika
bertutur,berjalan, makan dan minum serta cara berpakaian. Mereka juga mestilah menghormati
orang yang lebih tua daripada mereka dengan bertutur dengan nada yang rendah dan
membongkokkan badan apabila berjalan di hadapan mereka. Selain itu, remaja yang berwawasan
juga sentiasa membantu rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan,bak kata
peribahasa, berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.Perintah agama juga tidak pernah dilupakan
oleh remaja berwawasan kerana segala kejayaan bermula apabila kita taat kepada perintah
agama. Dengan ini jelaslah bahawa, berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja
berwawasan.

Melihat daripada perspektif yang lain, seorang remaja yang berwawasan mestilah mempunyai
pengetahuan yang tinggi. Cogan kata ,membaca jambatan ilmu, kerana ilmu hanya didapati
melalui pembacaan bahan ilmiah. Remaja yang berwawasan sentiasa menelaah buku untuk
mendapatkan ilmu. Kita sedia maklum bahawa remaja adalah pewaris tampuk pemerintahan

12
negara dan dengan adanya ilmu di dada, mereka pasti dapat menangani segala onak dan duri
yang bakal didepani oleh negara kelak. Seterusnya, renaja berwawasan yang berilmu
pengetahuan tidak akan mudah terpedaya dengan tipu helah anasir-anasir mazmumah yang
sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan anak bangsa ,ibarat duri dalam daging. Sudah
terang lagi bersuluh, dengan mempunyai ilmu pengetahuan, remaja mampu menjadi remaja
berwawasan dan negara dapat melahirkan golongan inteligesia yang mampu menggalas aspirasi
negara.

Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kriteria remaja berwawasan seterusnya ialah
seseorang yang gigih berusaha dan berani mendepani cabaran. Peribahasa yang bulat tidak
datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang ,perlulah disemat di dalam diri setiap
remaja .Remaja yang berwawasan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kejayaan dan tidak
bersikap pesimistik.Tamsilnya, mereka tidak akan berputus-asa apabila tidak mendapat
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya mereka menjadikan perkara tersebut
sebagai permulaan sesuatu kejayaan, bak kata Adelucia Longbotton, satu pintu akan tertutup,
pintu yang lain akan terbuka. Namun, kadang-kadang kita melihat dan menyesali pintu yang
tertutup itu terlalu lama sehingga terlupa untuk melihat pintu yang telah terbuka. Remaja
berwawasan juga tidak pernah mengeluh untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana hendak
seribu daya,tak hendak seribu dalih. Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa, remaja
berwawasan sentiasa gigih berusaha.

Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah
mencapai angka lima puluh lima tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah
menanam semangat patriotik di dalam diri kerana George Santayana pernah berkata, manusia
yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Semangat sayang akan negara dapat
menyelamatkan tanah tumpah darah ini daripada dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja
berwawasan tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk penjajahan sama ada dari segi
mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh dengan
budaya barat yang berbeza sama sekali dengan budaya timur yang kita amalkan selama ini.
Jelaslah bahawa,semangat patriotik yang tinggi merupakan ciri remaja berwawasan yang diidam-
idamkan oleh negara.

Akhirulkalam ,ciri-ciri remaja berwawasan ini mampu dicapai oleh setiap remaja kerana ia
merupakan aspek-aspek yang sememangnya sudah diterapkan di dalam diri setiap warganegara
Malaysia tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas. Dengan ini,
diharapkan bahawa cita-cita negara untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 dan
dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara atas angin yang moden tidak
menjadi seperti angan-angan Mat Jenin.

PERANAN KELUARGA DALAM MENGATASI MASALAH PERLUMBAAN HARAM


DALAM KALANGAN REMAJA/MAT REMPIT

Mat Rempit merupakan mereka yang terlibat dalam perlumbaan haram di jalan-jalan raya dengan
menunggang motosikal. Kebanyakan mereka berusia antara 15 hingga 30 tahun. Sesetengah
daripada mereka masih berada di alam persekolahan. Mereka gemar menunggang motosikal
secara sendirian dan ada juga yang melakukannya secara berkumpulan. Terdapat sesetengah

13
daripada mereka yang tidak memiliki lesen memandu. Mereka menjadikan jalan raya sebagai
gelanggang tempat berlumba motosikal. Sekiranya tidak ditangani, masalah ini sangat
membahayakan pengguna-pengguna jalan raya. Oleh itu, keluarga memainkan peranan yang
sangat penting dalam mengatasi masalah perlumbaan haram ini.

Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka dengan memberikan didikan agama dan moral.
Hal ini demikian kerana semua agama seperti Islam, Buddha, Keristian dan Hindu meminta
penganutnya sentiasa melakukan kebaikan. Menurut ajaran Islam, setiap perbuatan yang baik itu
akan dibalas dengan kebaikan, iaitu diberikan pahala, manakala perbuatan yang jahat pula akan
dibalas dengan kejahatan juga, iaitu dosa. Dengan ajaran yang demikian, anak-anak remaja tidak
akan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang mengajak mereka melibatkan diri dengan
perlumbaan haram. Natijahnya, ajaran agama merupakan senjata yang paling ampuh untuk
mengatasi masalah perlumbaan haram dalam kalangan remaja.

Selain itu, ibu bapa mestilah sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Antara lain, ibu
bapa hendaklah sentiasa mengambil tahu tentang rakan anak-anak dan tempat mereka berada.
Anak-anak tidak seharusnya diberikan keizinan untuk keluar rumah tanpa sebarang tujuan. Hal
ini demikian kerana mereka selalu berlumba haram pada malam minggu atau cuti umum. Jika
ibu bapa membiarkan anak-anak keluar rumah sesuka hati, mereka boleh terlibat dengan
perlumbaan haram. Oleh itu, ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui tempat anak-anak mereka
pergi dan kawan-kawan mereka. Lebih jauh lagi, ibu bapa juga hendaklah mengenali rakan anak-
anak mereka.

Di samping itu, ibu bapa juga tidak sewajarnya membenarkan anak-anak di bawah umur
menunggung motosikal. Demikian juga halnya dengan anak-anak yang tidak memiliki lesen
memandu, mereka hendaklah dilarang sama sekali untuk menunggang motosikal. Perbuatan
tersebut adalah salah di sisi undang-undang. Sekiranya ditahan atau ditangkap oleh pihak polis
atau pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan, mereka boleh didenda. Sekiranya mereka terlibat
dalam kemalangan jalan raya, kejadian tersebut akan mendatangkan kesusahan kepada mereka,
termasuk juga pihak ibu bapa. Masalah yang dialami oleh ibu bapa akan bertimpa-timpa, bagai
sudah jatuh ditimpa tangga.

Setiap ahli keluarga hendaklah sayang-menyayangi antara satu sama lain. Perasaan dan nilai
kasih sayang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Perasaan tersebut boleh menyebabkan
setiap ahli keluarga merasakan diri masing-masing amat dihargai. Perkara yang lebih penting lagi
ialah kasih sayang tersebut dapat mengelakkan anak-anak remaja daripada terlibat dengan
perlumbaan haram. Dengan hal yang demikian, anak-anak akan berasa disayangi dan tidak
dibenci oleh ahli keluarga masing-masing. Mereka akan berasa bahagia kerana keluarga
memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, bertepatan dengan kata peribahasa bagai
menatang minyak yang penuh.

Dari sudut yang lain pula, abang dan kakak mestilah membantu mengawasi tingkah laku adik-
adik mereka. Abang dan kakak perlu menjadi mata dan telinga kepada ibu bapa. Jika ada perkara
yang negatif berlaku pada adik-beradik, abang dan kakak hendaklah mengambil tahu dan
menasihati mereka. Abang dan kakak juga tidak sewajarnya merahsiakan perkara yang negatif
tersebut daripada pengetahuan ibu bapa. Dalam hal ini, mereka hendaklah berkongsi masalah

14
dengan ibu bapa, termasuklah penglibatan adik-adik mereka dengan masalah perlumbaan haram.
Dengan hal yang demikian, masalah perlumbaan motosikal haram dalam kalangan remaja dapat
diatasi.

Kesimpulannya, peranan keluarga sangat penting dalam mengatasi masalah perlumbaan haram
dalam kalangan anak-anak muda. Anak-anak hendaklah mendengar nasihat ibu bapa supaya
mereka tidak terlibat dengan perlumbaan haram. Orang yang berlumba haram, banyak yang
cedera parah dan meninggal dunia. Oleh itu, kita hendaklah bertindak mengatasi masalah ini,
seperti yang terungkap dalam peribahasa cegah sebelum parah.

PERANAN IBU BAPA MEMUPUK SEMANGAT CINTA AKAN NEGARA DALAM


KALANGAN ANAK-ANAK

Pada era pascaperindustrian dan globalisasi yang serba mencabar akal dan minda, Malaysia telah
menjadi sebuah negara yang sedang membangun di mata dunia selepas kemerdekaan yang
disambut pada tanggal 31 Ogos 1957. Kini, Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
dengan negara gergasi di pentas antarabangsa. Bertitik tolak daripada itu, semangat cinta akan
negara perlu ada dalam diri setiap masyarakat bagi menghargai jasa tokoh-tokoh pejuang
kemerdekaan yang bertungkus lumus dalam mempertahankan negara yang berdaulat ini. Oleh
itu, keluarga perlu memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memupuk semangat cinta
akan negara dalam diri anak-anak mereka.

Pada realiti, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu perlu mengambil inisiatif utama dengan
membawa anak-anak mereka ke tempat bersejarah seperti muzium. Di Malaysia, terdapat
sebuah muzium iaitu Muzium Negara yang mempunyai pelbagai khazanah orang pada zaman
dahulu, pakaian istana, keris-keris yang digunakan oleh tokoh terdahulu untuk menentang
penjajah luar. Anak-anak bukan sahaja dapat mengenali tokoh-tokoh terdahulu malah
menerapkan semangat keberanian perwira-perwira negara yang mengamalkan peribahasa biar
putih tulang, jangan putih mata dalam mempertahankan negara suatu ketika dulu. Salah satu
tempat bersejarah yang tersohor ialah Melaka yang lebih dikenali sebagai Negeri Bersejarah. Di
Melaka, ibu bapa boleh menunjukkan tempat atau bangunan yang dibina oleh negara luar yang
pernah menjajah negara kita seperti bangunan Stadhyus. Oleh itu, bolehlah kita akui bahawa
semangat cinta akan negara dapat disemai melalui lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang
banyak terdapat di Malaysia.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, langkah yang seterusnya ialah
ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Berdasarkan peribahasa, Bapa Borek,
Anak Rintik, ibu bapa perlu menjadi ikon kepada anak-anak dalam menerapkan semangat cinta
akan negara. Dalam konteks ini, ibu bapa tidak sewajarnya menunjukkan etika yang
bertentangan dengan semangat patriotisme itu sendiri. Kita boleh ambil contoh perlakuan yang
pernah menjadi isu suatu ketika dahulu iaitu seorang warga Malaysia yang mempersendakan
lagu Negaraku malah ada yang berani memijak bendera Jalur Gemilang. Ibu bapa perlu
menunjukkan semangat cinta akan negara melalui kibaran Jalur Gemilang dengan bangga untuk
diteladani oleh anak-anak. Secara tidak langsung, perbuatan ini akan menjadi ikutan kerana
mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dengan cara ini juga, anak-anak akan sedar betapa
pentingnya semangat patriotisme ini. Tambahan pula, ibu bapa boleh bercerita tentang

15
perjuangan tokoh-tokoh tanah air yang berjuang hingga titisan darah yang terakhir demi
mempertahankan negara yang tercinta daripada ancaman penjajah. Tegasnya, peribahasa
melentur buluh biarlah dari rebungnya perlu dijadikan azimat oleh ibu bapa untuk melentur
anak-anak mereka menjadi seorang yang mempunyai semangat patriotisme sejak kecil lagi.

Selain itu, pada masa ini ramai ibu bapa yang membimbing anak-anak mereka dalam menguasai
subjek Sejarah. Bagi segelintir pelajar, subjek Sejarah amat sukar dikuasai kerana banyak fakta
yang perlu dihafal dan diingati. Tambahan pula, mereka tidak pernah merasai keperitan tokoh-
tokoh terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan tanah air yang bertuah ini. Oleh itu, ibu
bapa tidak boleh memberi tekanan kepada anak-anak dengan memaksa dan memarahi mereka
jika gagal dalam subjek sejarah. Hal ini kerana, anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang
perlu mencorakkannya dengan menerapkan semangat cinta akan negara. Bertitik tolak daripada
itu, ibu bapa perlu menyokong anak-anak mereka agar mereka tidak berasa tertekan malah
semangat bersemangat dalam mempelajari subjek Sejarah. Selain itu, ibu bapa boleh
menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen untuk menguasai subjek Sejarah demi
meningkatkan prestasi anak dalam subjek tersebut. Rentetan itu, penguasaan dalam subjek ini
akan membibitkan rasa cinta terhadap subjek Sejarah seterusnya melahirkan kecintaan terhadap
negara.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkataan di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan
dalam memupuk masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan tanah air. Pepohon pokok
tidak akan berliuk lentuk jikalau tiada angin yang meniupnya oleh itu, ibu bapa
bertanggungjawab memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak. Sebenarnya,
anak-anak merupakan tonggak utama dalam menjayakan visi kudsi Wawasan 2020 pada masa
hadapan. Kita mengakui hakikat bahawa uslub ini perlu dilakukan dan boleh dimulakan dengan
langkah-langkah yang telah disarankan di atas. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat
memupuk malah menguatkan semangat cinta akan tanah air dalam diri mereka. Nescaya,
semangat patriotisme yang telah sebati dalam diri anak-anak akan dapat melahirkan generasi
muda yang mantap jati diri.

PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK BUDAYA ILMU DALAM DIRI ANAK-ANAK

Budaya ilmu sangat penting kepada masyarakat di negara kita. Hal ini kerana budaya ilmu dapat
memberi sumbangan kepada semua pihak. Sebagai contoh, budaya ilmu dapat menjadikan
seseorang yang bijak dan dapat memajukan negara. Sekiranya budaya ilmu itu tidak
diamalkan,masyarakat tidak dapat melahirkan seorang pemimpin. Oleh itu, ibu bapa perlulah
mendidik anak-anak agar mengamalkan budaya ilmu.

Peranan yang pertama ialah ibu bapa hendaklah menjadi contoh kepada anak-anak. Hal ini
kerana, anak-anak akan menjadikan ibu bapa sebagai idola. Sekiranya ibu bapa membaca buku
bersama-sama anak-anak, mereka dapat meminati budaya ilmu.Oleh itu, ibu bapa haruslah
menjadi idola kepada anak-anak.

Peranan yang kedua ialah ibu bapa haruslah menyuruh anak-anak untuk menyertai lawatan
sambil belajar.Hal ini kerana, ilmu yang diperoleh melalui pemerhatian dan pengalaman akan
diingati sampai bila-bila. Selain itu, mereka akan mendapat pengalaman. Contohnya, dengan

16
mengikuti lawatan ke universiti, mereka akan dapat pengetahuan dan menghilangkan tekanan
sewaktu belajar.sekiranya mereka tidak mengikuti lawatan ini, mereka dapat ilmu dan
pengalaman. Oleh itu, ibu bapa haruslah menyuruh anak-anak untuk mengikuti lawatan sambil
belajar.

Peranan yang ketiga ialah ibu bapa haruslah mengajar dan membantu anak-anak untuk menjawab
latihan kerja sekolah dan untuk selesaikan masalah. Hal ini kerana, ibu bapa lebih mengetahui
dan mempunyai banyak ilmu.selain itu, keputusan peperiksaan anak-anak dapat dibaiki.
Contohnya, ibu bapa hendaklah membantu anak-anak ketika mereka membuat kerja rumah.
Sekiranya ibu bapa tidak menolong, anak-anak akan terbiar dan tidak dapat menyiapkan kerja
rumah yang diberikan. Oleh itu, ibu bapa haruslah mengajar dan membantu anak-anak dalam
menyelesaikan masalah.

Kesimpulannya, peranan ibu bapa sangat penting untuk mendidik anak-anak agar mereka suka
akan budaya ilmu. Bak kata peribahasa kalau hendak melentur buluh biarlah dari
rebungnya.Oleh itu, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak dengan budaya ilmu supaya mereka
cemerlang, gemilang dan terbilang.

PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG

Dewasa ini, semakin hari, semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat semakin terhakis
ditelan arus pemodenan dan kemajuan negara. Hal ini terbukti apabila saban hari kita
dihidangkan dengan pelbagai kejadian jenayah seperti kes pembunuhan, ragut, rogol serta kes
pembuangan bayi yang tidak berdosa. Kejadian-kejadian tersebut sekali gus memadamkan
semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat antaranya sikap mengambil berat, prihatin dan
saling-menghormati dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat penyayang hanya
dapat dibentuk melalui persaan saling-menyayangi dan menghormati sesama ahli keluarga yang
merupakan asas kepada pembentukan masyarakat. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam
melahirkan individu yang penyayang sekali gus mewujudkan masyarakat yang penyayang di
nusa tercinta ini.

Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Kehidupan
anak-anak harus diisi dengan kasih sayang oleh ibu bapa dengan menyemai sikap penyayang
dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak kecil akan lebih mudah terlaksana malah akan
terus sebati dalam diri anak-anak apabila mereka dewasa. Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa amat
penting dalam tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa harus sentiasa berada di
samping anak-anak semasa mereka dalam kekecewaan seperti gagal dalam peperiksaan untuk
menenangkan hati dan sanubari mereka. Sekiranya, hal ini diberikan perhatian oleh ibu bapa
maka anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang mereka alami akan dapat diselesaikan
melalui pertolongan ahli keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia melapangkan waktu untuk
mencurahkan kasih sayang kepada anak kerana ibu bapa merupakan insan terhampir dengan diri
anak-anak.

Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan masyarakat yang penyayang di negara
kita. Hal ini demikian kerana tidak ada agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang mengajar

17
penganutnya bersikap kasar dan ganas kepada individu lain apatah lagi dalam kalangan ahli
keluarga sendiri. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka
mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh amalan yang boleh diajar
kepada anak-anak adalah menunaikan solat fardhu, membaca Al-Quran dan berzikir. Bagi
penganut-penganut agama lain, ibu bapa perlu selalu mengajak anak-anak mereka ke rumah
ibadat. Ibu bapa juga boleh menceritakan pada anak-anak, kisah teladan akan kebaikan
mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan hatta bersikap kasih sayang kepada binatang.
Amalan-amalan ini akan melembutkan hati dan mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-
anak yang bersahsiah mulia. Sifat ini akan menjadi darah daging dalam diri anak-anak dan
mendorong mereka untuk berperi laku baik seterusnya sentiasa menyayangi keluarga. Oleh itu,
tidak dapat dinafikan lagi didikan agama yang secukupnya amat penting dalam melahirkan
individu penyayang.

Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak
mereka. Ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dan tidak bersikap
seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Hal ini demikian menunjukkan keperibadian
anak-anak mencerminkan perwatakan ibu bapa mereka. Banyak nilai baik yang boleh
ditunjukkan kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa mengamalkan semangat kejiranan
yang tinggi. Antaranya, mereka perlu melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong, menziarahi
jiran yang sakit serta dilanda musibah. Ibu bapa janganlah sekali-kali menunjukkkan sikap zalim
dan menindas atau menipu orang lain khususnya di hadapan anak-anak. Nilai-nilai baik ini akan
menjadi ikutan kepada anak-anak. Jelas bahawa, semangat hormat-menghormati, bekerjasama
dan saling-membantu dalam masyarakat akhirnya membentuk sifat penyayang dalam diri anak-
anak yang juga merupakan ahli masyarakat.

Seterusnya, keadaan keluarga yang stabil dari segi fizikal dan rohani juga amat perlu bagi
melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa mempunyai peranan besar
dalam membentuk keluarga yang stabil. Keluarga yang stabil dari segi fizikal ialah keluarga
cukup dari segi kewangan serta mampu menyediakan segala kemudahan dan keperluan hidup
berumah tangga. Manakala keluarga yang stabil dari segi rohani ialah keluarga yang saling-
menyayangi , hormat-menghormati serta saling-membantu. Sekiranya kedua-duanya dapat
dipenuhi oleh ibu bapa maka anak-anak akan hidup dalam keadaan tenang dan harmonis tanpa
mengalami sebarang tekanan. Mereka akan lebih terpaut hati untuk berkongsi masalah dengan
ibu bapa berbanding menceritakan masalah yang dihadapi dengan rakan yang kurang dikenali
hati budinya. Di samping itu juga, ibu bapa harus memastikan hubungan kekeluargaan sesama
ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang. Hubungan yang renggang dalam
kalangan ahli keluarga menyebabkan anak-anak akan mencari kasih sayang di luar rumah yang
akhirnya akan menjahanam dan memusnahkan kehidupan mereka.

Masyarakat penyayang juga dapat dilahirkan melalui hubungan baik dengan masyarakat
sekeliling. Ibu bapa harus mendekatkan anak-anak dengan masyarakat setempat bagi
mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajak anak-
anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau
atau masjid. Ibu bapa juga perlu memberikan kesedaran kepada anak-anak mereka akan peri
pentingnya nilai kasih sayang dalam kehidupan khususnya semasa berinteraksi dengan
masyarakat pelbagai kaum. Dengan menjadikan negara-negara lain sebagai contoh dan teladan

18
seperti perang saudara yang berlaku di Somalia ditambah lagi dengan kebuluran yang berlaku,
anak-anak dapat diajar tentang kepentingan amalan kasih sayang. Melalui kasih sayanglah
pelbagai bantuan dihulurkan oleh masyarakat antarabangsa kepada negara-negara yang ditimpa
bencana seperti bencana Tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini. Jelas bahawa, hubungan
silaturahim yang erat dapat melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang.

Konklusinya, ibu bapa berperanan besar dalam melahirkan individu dan sekali gus masyarakat
yang penyayang di negara kita. Oleh itu, ibu bapa harus meningkatkan peranan mereka
semaksimum mungkin, namun dalam masa yang sama tidak mengamalkan sikap pilih
bulu antara anak-anak. Apa yang diharapkan oleh semua orang ialah amalan kasih sayang yang
berjaya dipraktikkkan akan mampu mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Ingatlah!, individu
yang penyayang akan mewujudkan keluarga cemerlang seterusnya melahirkan masyarakat serta
bangsa yang terbilang.

LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU ORANG KELAINAN UPAYA (OKU)


Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan orang yang kurang bernasib baik. Mereka dilahirkan
dalam keadaan cacat. Ada juga yang menjadi cacat akibat mengalami kemalangan yang
menjejaskan anggota badan. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana
kekurangan yang dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat
pelbagai pihak yang perlu memainkan peranan untuk membantu Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak mereka supaya menghormati serta tidak memandang
hina OKU. Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan mahu dihargai, disayangi
dan dihormati oleh masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya tidak memandang
sebelah mata terhadap OKU. Mereka juga dilarang mentertawakan OKU akibat kecacatan yang
mereka alami ketika berhadapan dengan mereka. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak
supaya menghormati OKU.

Selain itu, pihak kerajaan hendaklah menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan
kemahiran kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana pendidikan dan kemahiran sangat
penting demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas
amat wajar diberiakan pujian. Jelaslah bahawa pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam
membantu OKU sebagaimana slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato
Seri Najib bin Tun Abdul Razak ,Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan OKU menjalani
kehidupan yang lebih baik. Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan tidak
menganggap OKU sebagai beban. Sebagai contoh, usaha murni pengusaha pusat beli-belah yang
menyediakan kemudahan untuk golongan OKU seperti lorong khas, tandas dan tempat letak
kenderaan amat dihargai. Sikap pihak swasta yang menunjukkan keperihatinan dan menunaikan
tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini perlu dicontohi.

Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan
maklumat tentang peluang pendidikan dan kerjaya bagi OKU. Setiap maklumat mestilah
disampaikan dan disebarkan oleh pihak media massa kepada orang ramai. Kempen Masyarakat
Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media

19
massa. Maklumat tersebut boleh disalurkan melalui iklan, kempen dan melalui drama. Kesannya,
orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU secara telus. Jelaslah, nasib OKU akan
terbela dengan adanya peranan media massa.

Setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap individu
mempunyai tangungjawab masing-masing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu golongan
OKU semasa melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan sebarang bantuan. Hal
ini bertepatan dengan maksud peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Pendek kata, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan
ini.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai pihak perlu memainkan peranan
untuk membantu OKU. Semua pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU.

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN KEPADA MASYARAKAT

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan
hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai.
Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar
ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu
sama lain. Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang
menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini
dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan usaha telah
dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana
semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota


masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota
masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti
kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan
komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan .
Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna
kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk
dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk
ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan
melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969
menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan
musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat
kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain.
Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial
masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama

20
dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat
yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan
melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat.
SloganNegara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat
sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan
secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana
yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok
tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya,
kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-
taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak
mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh
anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting
bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai
kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu
seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang
harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah
satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang
harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara . Melalui hubungan
kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat
diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena
ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk
Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia
membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur
Gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat
Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi
melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.

Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum
juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke
negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai
seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya,
perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika
musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah
Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum
di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar,
produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga
dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka
sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan
membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.

Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya
masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar

21
sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting
dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya
cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing
pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan
berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak
jagat.
emerlang berdakan Modul Jawakhir oleh Panel Perunding Bahasa Melayu Jabatan Pelajaran
Negeri Johor (JPNJ)

22

Anda mungkin juga menyukai