Anda di halaman 1dari 2

KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA

Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak zaman
dahulu lagi. Dalam mendepani era globalisasi ini,kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam
pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan kepada seseorang. Lantaran itu, Sekolah Berasrama
Penuh (SBP) misalnya, memberikan peluang kepada para pelajar untuk mempelajari lima bahasa
antarabangsa iaitu, bahasa Peranchis, Jerman, Jepun, Cina dan Arab melalui pembelajaran bahasa
antarabangsa. Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa, agak sukar
seseorang untuk berkomunikasi khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Oleh itu, banyak
kepentingan akan diperoleh oleh seseorang dengan menguasai pelbagai bahasa lain selain bahasa
ibunda.
Kebaikan pertama menguasai pelbagai bahasa ialah seseorang lebih mudah untuk
berhubung atau berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini demikian kerana seseorang akan lebih
berkeyakinan untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja. Sebagai contoh, dengan menguasai bahasa
Inggeris, seseorang boleh memberitahu tempat-tempat menarik serta keistimewaan yang terdapat
di negara kita kepada pelancong yang datang ke negara kita. Faedah daripada itu, para pelancong
berasa lebih dihargai malah akan lebih tertarik untuk berkunjung ke negara kita. Seseorang juga
akan lebih memahami psikologi serta penutur jati individu tertentu. Sebaliknya, tanpa menguasai
pelbagai bahasa seseorang sukar untuk menolong walaupun masih mempunyai niat untuk
membantu. Impak daripada itu, para pelancong akan berfikiran negatif dan berkemungkinan
menganggap kita tidak peramah dan bersikap sombong. Jelas bahawa, dengan menguasai pelbagai
kita mudah berkomunikasi dengan lebih berkesan untuk bertukar fikiran serta maklumat antara
satu sama lain.
Selain itu, dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh
ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini
ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia.
Dengan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan seseorang akan lebih dihormati, dipandang tinggi
serta tidak dianggap bagai katak di bawah tempurung. Sebagai contoh, untuk meningkatkan
pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang wajib menguasai bahasa Arab yang merupakan
bahasa kitab suci Al-Quran. Sementara itu, bagi golongan pelajar mereka lebih mudah untuk
membuat rujukan sama ada melalui buku-buku atau Internet. Kemahiran menguasai bahasa
Inggeris misalnya, sering kali menjadi halangan kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian
tinggi untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti. Tegasnya, memiliki
kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis
adalah amat perlu sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia membangunkan modal insan di negara
ini.
Seterusnya, seseorang lebih mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi, baik di pusat pengajian tinggi awam atau swasta. Tambahan lagi kemampuan menguasai
dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa menjadi semakin penting sekiranya seseorang hendak
melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hal ini demikian kerana hampir semua pusat pengajian
tinggi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan

pembelajaran kerana kekuatannya sebagai bahasa komunikasi masyarakat dunia. Hal ini
dikukuhkan lagi apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran di negara-negara maju seperti
Jepun dan Peranchis yang menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa pengantar
utama. Tamsilnya, untuk melanjutkan pelajaran di negeri matahari terbit, Jepun pelajar perlulah
mengikuti kurusus untuk menguasai bahasa Jepun terlebih dahulu sebagai pakej untuk terpilih
untuk mengikuti pengajian di sana. Jelas terbukti bahawa penguasaan pelbagai bahasa
memberikan kemudahan kepada setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi di samping mudah untuk memahami budaya dan gaya hidup sesuatu masyarakat yang
ditemui.
Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang
lebih mudah untuk memperoleh peluang pekerjaan. Hal ini disebabkan seseorang pekerja yang
berkemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa dianggap mempunyai banyak kelebihan serta
keistimewaan kerana mampu bertutur dengan pelbagai pihak. Sebagai contoh, di Malaysia
seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin memiliki ciriciri pekerja yang digemari dan disukai majikan kerana masyarakat majmuk yang terdapat di
negara kita. Di samping itu, dengan menguasai pelbagai bahasa membolehkan seseorang itu,
menceburkan diri dalam bidang penterjemahan atau jurubahasa dalam bidang kehakiman dan juga
sektor pelancongan. Bidang terjemahan dikatakan mempunyai masa depan yang cerah kerana
mempunyai permintaan yang tinggi. Begitu juga dalam bidang pelancongan yang amat
memerlukan khidmat pemandu pelancong asing yang boleh menguasai bahasa asing.
Sesungguhnya, penguasaan pelbagai bahasa dan kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria
dan pertimbangan utama majikan dalam memilih ciri pekerja yang berkualiti.
Intihanya, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan subjek bahasa
tambahan di peringkat sekolah perlulah dipuji bagi memperkasakan lagi modal insan yang bakal
dilahirkan. Oleh itu, semua pihak khususnya ibu bapa bukan sahaja perlu menerimanya secara
positif malahan memberikan sokongan tanpa wujud perasaan berbelah bahagi. Semua individu
khususnya golongan pelajar perlulah merebut peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan kerana
kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa akan memberikan nilai tambah sekali gus menyediakan
masyarakat yang mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi untuk bersaing di peringkat
global. Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang hanya
memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai pelbagai bahasa yang pastinya memberikan
kelebihan kepada kita kelak.

Anda mungkin juga menyukai