Anda di halaman 1dari 3

SEJARAH hubungan bahasa Arab dengan bahasa Melayu boleh dikatakan telah bermula sejak

kedatangan agama Islam. Parameswara ialah Sultan Melaka yang pertama memeluk agama Islam dan
menukar namanya kepada Sultan Muhammad Shah. Perkataan sultan untuk gelaran raja adalah
berasal daripada bahasa Arab.

Ini bermakna pengaruh bahasa Arab telah mula menyerap masuk ke dalam kehidupan raja-raja Melayu
pada abad ke-15. Seterusnya masyarakat Melayu ketika itu telah mengubah nama-nama anak mereka
yang kebiasaannya diambil daripada nama bunga, buah-buahan atau benda-benda di sekeliling mereka
dengan menggantikannya kepada nama yang berunsur Arab.

Bahasa Arab mula dikenali di rantau Asia Timur semenjak terjalinnya hubungan awal antara
Semenanjung Tanah Arab dan Asia Timur pada abad ke-4. Sebagai bahasa al-Quran dan al-Hadis, bahasa
Arab datang ke kepulauan Melayu seiring dengan kedatangan Islam pada abad ke-13.

Sejak agama Islam mula sampai ke kepulauan Melayu, bahasa Arab telah mendapat perhatian.
Umumnya bahasa tersebut telah diterima sebagai bahasa rujukan utama dalam hal-hal yang berkaitan
dengan agama Islam. Pada era permulaan penubuhan sekolah-sekolah pondok dan pembukaan sekolah-
sekolah Agama-Arab yang berlaku sehingga awal tahun 1970-an, bahasa Arab didapati dijadikan unsur
penting dalam pembinaan kurikulum di sekolah-sekolah berkenaan.

Walau bagaimanapun, masyarakat awam seolah-olah tidak mengambil berat perkembangan yang
berlaku dan pihak yang terlibat secara langsung dengan pendidikan bahasa Arab beranggapan ia tidak
perlu didedahkan kepada masyarakat umum. Sikap sedemikian menyebabkan bahasa Arab pada era
tersebut tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Perkembangan dakwah Islamiah yang mula menyerlah pada awal tahun 1970-an telah memperkenalkan
kepentingan bahasa Arab. Umat Islam di Malaysia, khasnya mereka yang mendapat pendidikan di Timur
Tengah dan di Barat, mula membuat penilaian baru terhadap konsep dan fungsi bahasa tersebut.

Mereka mula memperjuangkan kepentingan dan penggunaan bahasa Arab yang bersifat ilmiah dan
sebagai salah satu bahasa komunikasi antarabangsa menerusi ucapan dan penulisan. Perkembangan ini
akhirnya mendorong pihak yang bertanggungjawab dalam pendidikan negara mengiktiraf bahasa Arab
sebagai satu bidang utama yang seharusnya diberi perhatian serius dalam sistem pendidikan negara.

Pedagang
Menurut J. Anthony, kedatangan para pedagang Arab ke Asia Tenggara yang berperanan sebagai
mubaligh Islam secara evolusi telah menyerapkan perkataan-perkataan Arab ke dalam bahasa Melayu
seperti perkataan-perkataan yang terdapat pada hari ini. Pertembungan antara dua bahasa dan dua
budaya yang berbeza itu telah mencetuskan proses akulturasi.

Pada kebiasaannya bangsa yang memiliki kebudayaan yang lebih maju mempengaruhi bangsa yang
memiliki kebudayaan yang sederhana. Bangsa yang memiliki kebudayaan yang sederhana dengan rela
hati menyesuaikan diri dan menerima kebudayaan bangsa yang lebih maju.

Bahasa Arab melalui tulisan Arab telah mengagungkan bahasa Melayu bukan hanya menjadi bahasa
kebangsaan Malaysia tetapi juga sebagai bahasa utama yang digunakan oleh lebih 250 juta orang di
kepulauan Melayu terutamanya di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thai, selatan Filipina,
Vietnam, Laos dan Kemboja.

Peranan bahasa Arab dalam perkembangan bahasa dan kesusasteraan terutamanya dalam aspek
kebahasaan, perbendaharaan kata, struktur ayat, aliran pemikiran, huruf dan kesusasteraan akan terus
dikenang. Di samping itu, perbendaharaan kata bahasa Arab juga telah termaktub dalam institusi
terpenting negara seperti Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, Dewan Rakyat, Majlis Agama Islam
Negeri-Negeri dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Bahasa Melayu yang menggunakan aksara Arab sebagai tulisan rasmi ketika itu berjaya meletakkan
status bahasa Melayu sebagai Lingua Franca . Bahasa Melayu dapat mengeratkan jalan bagi
pertumbuhan dan perkembangan bahasa dan kesusasteraan di kepulauan Melayu. Selain itu ia berhasil
menjalin persaudaraan di Nusantara yang akhirnya turut berperanan dalam memperjuangkan
kemerdekaan tanah air seperti yang berlaku di Indonesia pada tahun 1945 dan di Malaysia pada tahun
1957.

Majoriti umat Islam di Malaysia tetap memerlukan bahasa Arab yang juga bahasa al-Quran dan al-Hadis
kerana ia adalah rujukan utama dalam semua bidang kehidupan seharian selain untuk keperluan ibadah
khusus. Perkembangan bahasa Arab di negara ini diyakini akan lebih maju berdasarkan keadaan
masyarakat masa kini yang cenderung ke arah keagamaan.

Secara umumnya kedatangan Islam dengan perantaraan bahasa Arab telah memainkan peranan penting
dalam perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Ini kerana bahasa Arab adalah bahasa yang
terawal diperkenalkan kepada bangsa Melayu secara rasmi berbanding bahasa-bahasa lain seperti
bahasa Portugis, bahasa Belanda, bahasa Inggeris dan bahasa Jepun.
Ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu mudah menerima sesuatu perbendaharaan kata bahasa
lain. Sehubungan itu kita berasa yakin bahawa pelajar Melayu dapat menerima kemasukan
perbendaharaan kata bahasa Arab dengan mudah dalam proses pembelajaran di sekolah sekiranya
mereka diberi pendedahan tentang kata pinjaman bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa Arab.

Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Aga
ma&pg=ba_03.htm#ixzz4uuyDAEJg

Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai