Anda di halaman 1dari 4

PEMILIHAN BAHASA

Pemilihan bahasa terjadi apabila terdapat lebih daripada satu bahasa atau kelainan
bahasa dalam sesuatu komuniti. Anggota komuniti terpaksa memilih bahasa yang
mana patut digunakan.

Pemilihan bahasa boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk berdasarkan bahasa itu
sendiri atau berdasarkan domain. Berdasarkan bahasa itu sendiri, terdapat dua jenis
pemilihan bahasa, yang pertama, seseorang yang mengetahui lebih daripada satu
bahasa dan memilih untuk menggunakan salah satu bahasa secara keseluruhan, dan
yang kedua pula, seseorang itu memilih ssalah satu bahasa tetapi menggunakan juga
unsur daripada bahasa yang lagi satu. Dengan perkataan lain, berlaku tukar ganti kod.
Berdasarkan domain pula, seseorang itu memilih satu bahasa untuk digunakan dalam
sesuatu domain dan dalam domain yang lain penutur tersebut memilih menggunakan
bahasa yang lain.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan penutur membuat pemilihan. Faktor pertama
yang menyebabkan pemilihan adalah domain, iaitu pemilihan bahasa disebabkan
tempat, tajuk dan peserta. Komuniti dwibahasa akan memilih bahasa berdasarkan
domain-domain yang telah dibentuk. Pengkaji yang mempelopori kaedah ini ialah
Fishman (1964) dan diikuti oleh beberapa orang pengkaji lain seperti Greenfield(1972)
yang mengkaji bentuk pemilihan bahasa komuniti Puerto rico di Amerika Syarikat,
Parasher (1980) yang mengkaji pemilihan bahasa di India serta beberapa orang
pengkaji yang lain.

Dalam kajian-kajian yang telah dijalankan didapati sesuatu bahasa itu digunakan
dalam sesuatu domain. Pemilihan sesuatu bahasan untuk digunakan dalam sesuatu
domain ini menyebabkan berlakunya diglosia di dalam komuniti yang dwibahasa.
Kadangkala berlaku juga keadaan di mana terdapat domain yang menggunakan lebih
daripada satu bahasa. Kajian Nor Hisham Osman (1991) menunjukkan dalam domain
keagamaan, tiga bahasa atau kelainan bahasa digunakan, iaitu bahasa Arab, bahasa
Melayu Standard dan kelainan ibunda.

Hasil dari kajian ini, penduduk di kawasan kajian menggunakan bahasa ibunda dalam
semua domain rendah, manakala bahasa atau dialek negeri pula digunakan dalam
semua domain, sama ada tinggi atau rendah. Bahasa Melayu standard pula hanya
digunakan dalam domain tinggi sahaja dan dalam semua bentuk tulisan. Penggunaan
bahasa di dalam komuniti ini juga didapati bersifat diglosik.
Faktor kedua yang menyebabkan pemilihan bahasa adalah situasi yang bertindan.
Herman (1968) telah melakukan penyelidikan pemilihan bahasa menggunakan
pendekatan psikologi dan beliau mendapati pemilihan bahasa adalah disebabkan oleh
adanya situasi yang bertindan. Dalam komuniti yang dwibahasa, anggota komuniti
akan memilih salah satu bahasa berdasarkan keadaan. Ada kalanya mereka
menggunakan bahasa x dan ada kalanya mereka menggunakan bahasa y. pemilihan
bahasa mana yang patut digunakan adalah ditentukan oleh keperluan individu,
keadaan latar belakang dan keadaan yang akan dihadapi seterusnya.

Lambert (1967) telah melihat dwibahasa dari sudut sosio-psikologi. Menurut beliau,
pemilihan bahasa dalam komuniti berorientasikan instrumental dan integratif.
Lambert berpendapat bahawa sikap penutur terhadap bahasa yang dipelajarinya
mempengaruhi kejayaan mempelajari bahasa yang baru tersebut. Dalam mempelajari
bahasa dengan motivasi instrumental, bahasa tersebut dianggap sebagai alat untuk
mencapai sesuatu. Pencapaian linguistik mempunyai nilai yang tinggi seperti untuk
lulus dalam peperiksaan, untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, meningkat dalam
pekerjaan seperti naik pangkat serta gaji dan sebagainya.

Motivasi intergratif pula adalah apabila seseorang itu mempelajari bahasa sesuatu
komuniti yang lain dengan tujuan untuk mendalami kebudayaan komuniti tersebut.
Untuk mempelajari kebudayaan komuniti atau kumpulan sosial yang lain, seseorang
itu harus mampu menerima beberapa perlakuan kumpulan sosial tersebut yang
merupakan ciri ahli kumpulan sosial tersebut. Perlakuan ini termasuklah perlakuan
bahasa mereka. Seseorang itu mempunya sikap yang begitu positif terhadap budaya
dan bahasa baru yang dipelajarinya seolah-olah ingin menjadi anggota komuniti atau
kumpulan sosial tersebut.

Faktor yang seterusnya adalah penyesuaian, Giles (1977) telah mengkaji pemilihan
bahasa dengan menggunakan Teori Penyesuaian (accommodation theory). menurut
beliau, penutur yang dwibahasa akan menyesuaikan bahasanya dengan orang yang
dilawan bercakap. Namun begitu, penyesuaian tidaklah berlaku setiap masa. Pihak
yang menyesuaikan bahasa dengan orang yang dilawan bercakap adalah golongan
yang kurang dominan, manakala kumpulan yang dominan akan mempertahankan
bahasa atau kelainan mereka.

Kedominan sesuatu bahasa itu disebabkan oleh dua faktor utama, iaitu bilangan
penutur dan status (Nor Hisham Osman 1994:22). bahasa yang lebih ramai
penuturnya serta merupakan golongan majoriti merupakan bahasa yang dominan.
Selain daripada itu, bahasa yang digunakan oleh golongan yang berstatus tinggi
(walaupun jumlah penuturnya sedikit) juga merupakan bahasa yang dominan kerana
bahasa tersebut merupakan simbol prestij. Golongan yang berstatus rendah akan cuba
menyesuaikan pertuturannya apabila bercakap dengan golongan yang berstatus lebih
tinggi.

Pemilihan bahasa juga boleh berlaku disebabkan rangkaian sosial (social networks).
Gal (1979) telah melihat pemilihan bahasa berdasarkan rangkaian sosial ini dalam
kajian beliau terhadap komuniti Oberwart yang dwibahasa di Austria. Dalam kajian
ini, beliau mendapati umur dan status sosial penutur dan orang yang dilawan bertutur
memainkan peranan yang penting dalam memilih bahasa yang mana patut digunakan
dalam sesuatu perbualan.

Asmah Haji Omar pula menyatakan pemilihan bahasa boleh disebabkan oleh dasar
kerajaan. Dalam kajian beliau terhadap komuniti pelbagai bahasa di Kuala Lumpur,
beliau mendapati penduduk bandaraya ini adalah bersifat pelbagai bahasa. Bahasa
Melyu digunakan dalam situasi rasmi selaras dengan dasar kerajaan yyang
meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Komuniti
pelbagai bahasa di Kuala Lumpur dapat menguasai bahasa Melayu melalui
pendidikan secara formal di sekolah. Bahasa Melayu mula diajar dan digunakan
sebagai bahasa pengantar di sekolah sejak Laporan Rahman Talib 1960. pada tahun
1971 pula, Dasar Pelajaran Kebangsaan telah dilaksanakan dan dengan itu semua
sekolah Inggeris menggunakan bahsa Melayu sebagai bahasa pengantar. Manakala
sekolah Cina dan Tamil pula diwajibkan mengajar bahasa Melayu sebagai
matapelajaran. Semua institusi pengajian tinggi diwajibkan menggunakan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa Inggeris pula diajar sebagai
matapelajaran wajib.

Walaupun pengunaan bahasa Melau dilaksanakan, bahasa ibunda pula tiidak


dilupakan. Terdapat sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa
ibunda dan di sekolah kebangsaan pula, bahasa ibunda diajar jika ada pelajar yang
memohon untuk mengambil matapelajaran bahasa ibunda. Bahasa Inggeris pula diajar
sebagai matapelajaran wajib. Keadaan ini menyebabkan komuniti menjadi pelbagai
bahasa dan pemilihan bahasa mana yang patut digunakan bergantung juga pada dasar
kerajaan selain daripada faktor-faktor yang telah diberikan sebelum ini.

Selain itu, Asmah Hj. Omar (1992:94) juga menyatakan bahawa pemilihan bahasa
dalam komuniti pelbagai bahasa didorong oleh faktor keselesaan (comfortability).
Dalam kajian beliau terhadap tipologi status dan peranan bahasa Inggeris di Malaysia,
beliau mendapati faktor keselesaan ini merupakan faktor utama dalam pemilihan
bahasa. Sebagai contoh, Bahasa Malaysia merupakan bahasa rasmi di Malaysia tetapi
bahasa Inggeris tetap digunakan dalam urusan rasmi seperti dalam
mesyuarat-mesyuarat jawatan kuasa di jabatan-jabatan kerajaan. Minit mesyuarat
ditulis dalam bahasa Melaysia tetapi pengendalian mesyuarat selalunya dalam bentuk
dwibahasa. Penggunaan bahasa Inggeris ini(walaupun di dalam situasi yang
sepatutnya menggunakan bahasa Malaysia) adalah disebabkan oleh keselesaan
penuturnya dengan bahasa Malaysia yang banyak halangan sosiolinguistik
terutamanya dalam kata sapaan.

Keselesaan pegawai tinggi kerajaa juga disebabkan oleh latar belakang pendidikan.
Mereka ini kebanyakannya berpendidikan Inggeris dan dengan itu mereka lebih selesa
menggunakan bahasa Inggeris dala situasi formal kerana sudah menjadi kebiasaan
semasa bersekolah dan ketika menuntut di institusi pengajian tinggi.

Secara keseluruhannya, berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan oleh


beberapa orang sarjana, didapati ada lima faktor utama pemilihan bahasa di kalangan
komuniti dwibahasa dan pelbagai bahasa. Faktor-faktor tersebut adalah domain,
situasi bertindan, motivasi instrumental dan integratif, penyesuaian, rangkaian
sosial, dasar kerajaan dan keselesaan. Faktor-faktor ini mnyebabkan komuniti akan
melakukan pemilihan bahasa dan pemilihan bahasa ini akan mengakibatkan
berlakunya penyisihan bahasa dan pemilihan kepada bahasa yang lain. Penyisihan
penggunaan bahasa kepada bahasa yang lain mungkin menyebabkan kepupusan
kepada bahasa yang terdahulu tadi. Proses ini seterusnya akan mengakibatkan
berlakunya keadaan ekabahasa dalam komuniti yang sebelumnya bersifat dwibahasa
atau pelbagai bahasa.

Anda mungkin juga menyukai