Anda di halaman 1dari 9

“MEMACU KECEMERLANGAN UMMAH WASATIYYAH”

(17 November 2017M / 28 Safar 1439H)

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,


Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi
sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT
dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan ini mendapat
keberkatan di dunia dan di akhirat. Khutbah hari ini akan membicarakan tajuk:
“Memacu Kecemerlangan Ummah Wasatiyyah”.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,


Dewasa ini ramai pihak mula berminat dengan konsep kesederhanaan atau
wasatiyyah. Dalam Islam, konsep ini adalah satu sistem hidup yang sempurna
meletakkan nilai kesederhanaan di tempat yang sangat istimewa. Justeru, Islam

1
menjunjung tinggi konsep wasatiyyah dan menjadikannya sebagai salah satu
ciri asas ajarannya.
Menurut Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi, kesederhanaan itu adalah ciri
utama wawasan peradaban Islam yang ingin dilahirkan. Ciri-ciri khas seperti
sederhana, seimbang, adil dan pertengahan adalah berasaskan kepada firman
Allah SWT dalam Surah al Baqarah ayat 143:

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan
lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada
umat manusia”.

Dalam konteks negara hari ini, konsep wasatiyyah menjadi suatu dasar
yang penting dalam mewujudkan keseimbangan dari segi membina perpaduan
yang lebih harmoni. Sejak diangkat menjadi salah satu Dasar Negara pada 21
Oktober 2016 lalu, Dasar Wasatiyyah Negara (DWN) diyakini dapat membantu
masyarakat memupuk sifat kesederhanaan, pertengahan, kesimbangan, keadilan
dan kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,


Sebagai masyarakat, kita perlu sensitif dengan isu dan cabaran yang
membelenggu umat di seluruh dunia lebih-lebih lagi di negara ini. Kita perlu
bimbang kerana fahaman radikal dan sempit serta pendekatan ekstrem, taksub
dalam isu-isu tertentu yang menjurus kepada perpecahan dan menganggu
keharmonian masyarakat dan negara semakin berkembang.
Ketika ini, ada di kalangan negara Islam yang berhadapan dengan iklim
ekonomi yang cukup getir dan ada yang berdepan dengan dugaan politik yang
tidak menentu. Lantas, uslub yang terbaik ialah mengamalkan wasatiyyah
sebagai solusi. Dalam hal ini, kita hendaklah terus istiqamah melakukan perkara
tersebut dan apabila kita kaitkan dengan Maqasid Syariah yakni menjaga
agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, maka Malaysia berada di landasan
yang benar.

2
Realitinya, muslim yang sederhana adalah muslim yang komited dan
berpegang teguh dengan prinsip-prinsip agama dan tidak melampau. Muslim
yang sederhana dan muslim yang ekstrem sangat berbeza dari sudut penunaian
sesuatu tanggungjawab, sikap dan tahap pengamalan Islam, kefahaman dan
interpretasi ajaran agama, serta pendekatan hubungan kemanusiaan dalam
mengajak orang lain kepada kebenaran. Firman Allah SWT dalam Surah Al
Maaidah ayat 77:

Maksudnya: “Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui


dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut
hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan
banyak manusia, dan mereka (kini) telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.”

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,


Majoriti manusia sememangnya sukakan sikap kesederhanaan. Sifat
kesederhanaan merentasi agama, bangsa, budaya, lokasi, masa, warna kulit dan
peringkat umur manusia. Namun demikian, neraca kesederhanaan dalam Islam
bukanlah sesuatu yang subjektif dan ditentukan oleh akal manusia semata-mata.
Kesederhanaan dalam Islam adalah bertunjangkan ajarannya yang perlu
mematuhi prinsip-prinsip tertentu dan bukan mengaitkannya secara lepas bebas.
Untuk itu, al Quran dan as Sunnah dijadikan sebagai petanda aras (benchmark)
yang standard dan mematuhi semua kriteria asas iaitu akidah (prinsip tauhid),
syariah (maqasid syariyyah) dan akhlak.
Sebaliknya pelampauan akan berlaku sekiranya seseorang itu
meninggalkan perintah agama atau melakukan sesuatu larangannya.
Kesederhanaan dalam Islam tidak boleh dan tidak akan dicapai dengan
meninggalkan ajaran Islam yang telah thabit secara qat’ie seperti bersolat,
berpuasa dan menutup aurat. Firman Allah SWT dalam Surah al Hasyr ayat 7:

3
Maksudnya: “Apa jua yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka
terimalah ia, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah
larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah
amatlah berat azab seksa-Nya.”

Oleh itu, untuk memahami kesederhanaan dalam Islam, seseorang itu


perlulah memahami tasawwur Islam yang menyeluruh dan tepat. Di samping
itu, dia juga perlu memahami hikmah di sebalik ajaran Islam dan maqasid di
sebalik syariat Islam.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,


Dalam mendepani kebimbangan ini, maka kerajaan telah memberi perhatian
yang cukup serius dalam membendung segala anasir jahat yang boleh mengugat
keharmonian rakyat dan negara dengan memperkenalkan pendekatan yang
dilihat amat tepat dengan situasi semasa. Pendekatan wasatiyyah adalah jalan
terbaik dalam merungkai kemelut ini kerana wasatiyyah adalah tonggak utama
yang mendasari prinsip Maqasid Syar’iyah, Fiqh Awlawiyat dan Hikmah.
Apa yang menariknya, prinsip-prinsip inilah yang menjadi amalan
Rasulullah SAW sewaktu menerajui negara Madinah. Sejarah menyaksikan
bahawa dalam setiap aspek sama ada dakwah, pentadbiran negara, kehakiman,
hubungan diplomatik mahupun amalan adat resam dan kebudayaan, Rasulullah
SAW tidak menunjukkan sikap berat sebelah, melampau atau ekstrem.
Pendekatan yang diambil serta dilaksanakan oleh Rasulullah SAW adalah
pendekatan wasatiyyah atau jalan tengah kerana hanya dengan jalan ini Islam
dapat diterima oleh semua pihak tanpa mengira kaum, suku kaum, kabilah dan
sebagainya. Natijahnya, kesatuan ummah dan perpaduan masyarakat berbilang
kaum dan kepercayaan dapat ditegakkan di Madinah sesudah hijrah Nabi SAW
dan para sahabat dari Mekah ke Madinah.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,


Di kesempatan ini, khatib menyeru sidang jemaah sekalian, marilah kita
bersama-sama menetapkan diri untuk berubah dan memulakan tugas membina
kemajuan ummah dengan menjadikan wasatiyyah sebagai prinsip untuk
4
memburu kebahagiaan di dunia dan di akhirat secara berimbang ke arah
mencapai kemenangan yang hakiki. Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib
ingin mengajak sidang jemaah sekalian menghayati tiga rumusan utama iaitu:
Pertama: Umat Islam adalah umat pengimbang, pembimbing dan teladan
kepada manusia sejagat.
Kedua: Wasatiyyah lebih mudah dihayati dan direalisasikan dalam
masyarakat kerana ia berpaksikan kepada kesederhanaan,
keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan.
Ketiga: Setiap Muslim hendaklah berusaha mencapai kebaikan di dunia
dan akhirat dengan sempurna pada tahap yang seimbang.

Maksudnya: “ Dan tuntutlah dengan harta yang Allah kurniakan kepadamu


akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari
dunia; dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik
kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi;
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah
al Qasas:77)

5
KHUTBAH KEDUA

6
7
Ya Allah, kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan Mu, negara
kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan.
Tanamkanlah rasa kasih sayang dan kekalkanlah perpaduan di kalangan kami.
Semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, sejahtera dan selamat
sepanjang zaman.

8
9

Anda mungkin juga menyukai