Anda di halaman 1dari 2

REMAJA LARI DARI RUMAH

Mutakhir ini, kes remaja lari dari rumah merupakan sesuatu yang lumrah dalam kalangan
masyarakat kita. Hampir setiap hari sekiranya kita meneliti akhbar, pasti akan ada laporan yang
menyentuh akan hal tersebut. Adakalanya kes tersebut dapat diselesaikan melalui siasatan polis dan
ada juga yang terbiar begitu sahaja. Umum mengetahui, remaja merupakan individu yang berumur
antara 10 tahun hingga 24 tahun. Remaja mudah memberontak sekiranya kehendak mereka tidak
dipenuhi sepenuhnya. Jadi, punca yang menyebabkannya haruslah dikenal pasti secepat mungkin
supaya masalah ini tidak berlarutan. Remaja merupakan waris bangsa, oleh itu mereka haruslah
diberikan perhatian sewajarnya agar tidak terjebak dalam kes tersebut.

Antara faktor yang menyebabkan remaja lari dari rumah ialah longgarnya hubungan
kekeluargaan. Masyarakat kita kini lebih bersifat materialistik. Kebanyakan ibu bapa sibuk dengan
kerjaya sehingga tidak mempunyai masa untuk bersama anak-anak. Ibu bapa pergi kerja pada awal
pagi sebelum anak-anak bangun tidur dan apabila pulang dari kerja, anak-anak sudahpun tidur.
Maka keadaan ini menyebabkan anak-anak tidak sempat bersama-sama ibu bapa mereka.
Akibatnya, interaksi dan komunikasi sesama keluarga menjadi renggang maka anak-anak terabai.
Keadaan ini menyebabkan anak-anak yang ketagih kasih sayang mengalami perasaan kecewa dan
tekanan jiwa. Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak mula membenci ibu bapa dan keluarga
serta sering bertindak meninggalkan keluarga mereka.

Keruntuhan institusi keluarga akibat pertelingkahan antara ibu bapa juga menyebabkan anak-anak
lari dari rumah. Ketiadaan persefahaman dan kurangnya kemahiran mengurus rumah tangga dalam
kalangan suami isteri sering menyebabkan konflik dan keretakan rumah tangga. Akibatnya,
keharmonian dan kestabilan keluarga terjejas. Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak menjadi
bosan dan menanggung penderitaan jiwa lalu bertindak memberontak dengan melarikan diri dari
rumah.

Selain itu, terjebak dalam sesuatu kes jenayah juga boleh mendorong seseorang remaja itu lari dari
rumah. Terdapat juga remaja lari dari rumah kerana malu dan takut diketahui oleh keluarga apabila
terlibat dalam kegiatan salah laku yang serius. Hal ini demikian biasanya berlaku dalam kalangan
gadis. Gadis remaja yang suka berpelesiran mudah ditipu oleh pihak tertentu yang suka mengambil
kesempatan, misalnya mereka melibatkan seseorang gadis dalam kancah maksiat seperti pelacuran.
Apabila mereka terlanjur dan bimbang tidak diterima lagi oleh keluarga, mereka melarikan diri dari
rumah. Namun begitu, adakalanya kes tersebut dapat dikesan oleh pihak berkuasa dan dikembalikan
ke pangkal jalan. Paling mengejutkan, mengikut statistik orang hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM),
ada kes mengikut teman lelaki membabitkan remaja perempuan seawal usia 10 tahun, manakala
peringkat umur 14 dan 17 tahun adalah paling ramai terbabit iaitu 4,097 orang. Perkembangan ini
amat membimbangkan kerana pada usia masih mentah, golongan terbabit sebenarnya berisiko
tinggi menjadi mangsa jenayah kekerasan, sama ada dirogol, dilacurkan atau dibunuh.

Selain itu ada juga golongan remaja yang melarikan diri lari dari rumah kerana mengikut kekasih.
Dunia remaja penuh dengan emosi dan ramai antara remaja kini terlalu mengikut perasaan. Akibat
perhubungan bebas antara lelaki dengan perempuan, ramai antara mereka menjalani alam
percintaan pada usia yang terlalu muda. Masalah akan timbul apabila hubungan tidak direstui oleh
ibu bapa. Untuk menghadapi masalah ini, mereka mengambil jalan mudah, iaitu lari dari rumah. Di
samping itu, ada juga gadis lari dari rumah kerana terpengaruh dengan janji manis pasangan yang
sebenarnya ingin memperdayakan mereka.

Kurang didikan agama juga boleh menyebabkan seseorang remaja itu tidak dapat bertindak
secara rasional apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Pendidikan agama dapat dijadikan
benteng yang kukuh untuk menahan seseorang daripada melakukan perkara yang tidak baik. Walau
bagaimanapun, ramai antara ibu bapa kini tidak memberikan perhatian sewajarnya terhadap hal ini.
Remaja yang kurang berpendidikan agama mudah mengikut perasaan serta kurang kesedaran
terhadap peranan dan tanggungjawab mereka kepada ibu bapa dan keluarga. Mereka mudah
terikut-ikut dengan keadaan persekitaran yang tidak sihat dan terjebak dalam gejala sosial,
termasuklah melarikan diri dari rumah apabila timbul sesuatu masalah yang dianggap
membebankan.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga mempengaruhi remaja lari dari rumah. Lazimnya mereka
lebih banyak bergaul dengan rakan sebaya berbanding dengan ibu bapa dan adik-beradik sendiri.
Oleh itu, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap mereka. Para remaja yang
melarikan diri dari rumah berasa lebih bebas dan menyeronokkan kerana tidak lagi diawasi oleh ibu
bapa. Sesetengah rakan sebaya pula sanggup mencabar rakannya yang lain agar melakukan sesuatu
dan jika remaja itu tidak menyahut cabaran tersebut, mereka akan disingkirkan atau tidak diiktiraf
sebagai anggota kumpulan mereka. Keadaan ini tentunya akan memburukkan lagi keadaan,
terutamanya bagi remaja yang memang bermasalah.

Bagi mengatasi masalah ini, peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian
yang serius terhadap anak-anak mereka. Pergerakan anak-anak haruslah sentiasa di pantau serta
memastikan anak-anak mereka bergaul dengan rakan yang mempunyai kedudukan moral yang baik.
Pihak sekolah haruslah mengenal pasti pelajar yang bermasalah dengan memberikan bimbingan
kaunseling. Bimbingan kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja
mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang
berkelayakan dan berpengalaman dilantikan dalam memantapkan perlaksaan dan keberkesanan
kaunseling tersebut. Oleh itu, remaja yang bermasalah akan dapat mengawal emosi setelah diberi
bimbingan tersebut.

Remaja ialah aset yang amat berharga bagi negara dan kepada merekalah yang akan mencorak
masa depan negara pada masa akan datang. Remaja juga tanggungjawab meneruskan
kesinambungan tradisi budaya dan bangsa. Sekiranya ramai antara mereka terlibat dengan gejala
sosial, maka terjejaslah maruah negara. Oleh itu, ibu bapa mestilah memberikan pendidikan yang
secukupnya kepada anak-anak di samping menunjukkan kasih sayang dan perhatian yang
sewajarnya agar mereka merasakan kehadiran mereka diterima dan dihargai oleh ibu bapa. Dalam
pada itu, remaja juga mestilah tahu akan tanggungjawab mereka. Mereka tidak seharusnya terlalu
mengikut perasaan, sebaliknya perlu memahami kedudukan ibu bapa dan keluarga.

Anda mungkin juga menyukai