Anda di halaman 1dari 2

Anak Derhaka

“Hei perempuan tua, beraninya engkau membuang batu permata aku yang sangat bernilai. Dasar orang
tua miskin tidak kenal intan permata.”

Para hadirin sekalian,

Begitulah biadap dan sombongnya seorang anak terhadap ibunya dalam kisah “Anak Derhaka” yang bakal saya
_______________________ ceritakan pada pagi yang bahagia ini.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang saya hormati para hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang
setia pada detik hitungannya, Guru Besar, Penolong Kanan-Penolong Kanan, guru-guru dan rakan-rakan sekalian.
Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia saya ucapkan.

Pada zaman dahulu kala, di sebuah kampung yang terpencil terdapat sebuah keluarga yang miskin. Di dalam
keluarga tersebut tinggallah Pak Jabit, Mak Umpit dan anak tunggal mereka yang bernama Seman. Seman
seorang pemuda yang pemuda yang cacat. Rupanya hodoh dan kulitnya berbelang-belang. Seman sering
dicemuh dan dihina kerana rupanya yang hodoh. Namun begitu,Pak Jabit dan Mak Umpit sangat sayang
kepadanya. Kehidupan mereka sehari-harian boleh disamakan dengan kais pagi makan pagi, kais petang makan
petang.

Di dalam kampung itu, penduduk kampung sering melihat Puteri Bunian. Puteri Bunian itu sangat cantik bagai
bulan dipagar bintang. Puteri Bunian akan muncul dan berdiri di atas sebuah batu leper. Batu leper itu terletak
di dalam hutan. Justeru, tiada orang yang berani untuk menghampiri kawasan itu.

Pada suatu hari, Seman keluar mencari kayu api di dalam hutan. Tiba-tiba, dia tersesat jalan. Dia cuba
mencarijalan pulang. Namun begitu, tidak ditemui lagi jalan kembali. Semakin lama Seman berjalan, semakin
jauh dia ke dalam hutan. Tanpa Seman sedari, dia tiba di kawasan batu leper itu.

“Mana pula jalan keluar ini?” kata Seman dengan cemas

“Sudah beberapa kali aku berpusing-pusing di sini, masih belum jumpa juga jalan pulang. Ah, letihnya
aku!” rungut Seman.

Kemudian Seman pun tertidur di atas batu leper itu. Dia tidak tahu bahawa dia tertidur di tempat Puteri
Bunian menjelma. Tidak lama kemudian, Seman terjaga dari tidur. Dia berasa terkejut berada di dalam sebuah
istana.

“Aku berada di mana? Bukankah aku tidur di dalam hutan?” tanya Seman kepada dayang-dayang istana
tersebut.

“Kanda berada di dalam istana adinda. Kanda sudah menjadi suami adinda,” kata Puteri Bunian.

Seman terkejut beruk mendengar perkhabaran daripada Puteri Bunian namun dia tetap gembira dapat hidup
bersama Puteri Bunian. Seman dan Puteri Bunian hidup bahagia di istana. Puteri Bunian telah menjadikan
Seman seorang pemuda yang tampan. Tiada lagi belang-belang pada badannya. Seman bersyukur atas
perubahan yang berlaku ke atas dirinya. Dia berasa sangat gembira dapat berkahwin dengan Puteri Bunian.

Setelah lama berada di istana Puteri Bunian, Seman teringat akan kedua-dua ibu bapanya. Suatu hari, dia
hanya duduk termenung sahaja.

“Apakah yang terjadi kepada kedua-dua ibu bapaku di kampung? Aku sangat rindu kepada kedua ibu
bapaku” kata Seman.
Anak Derhaka

Akibat terlalu rindu kepada ibu bapanya, Seman memberitahu hasratnya kepada isterinya. Puteri Bunian
mencadangkan Seman balik berjumpa ibu dan bapanya.

“Kanda pulanglah bertemu ibu dan bapa kanda. Kalau perlu bantuan, gosoklah batu ini. Akan tetapi,
jangan sekali-kali kanda menderhaka kepada ibu bapa kanda kerana nanti buruk padahnya,” kata Puteri Bunian.

Seman diberikan sebutir batu permata. Puteri Bunian juga menasihatinya supaya tidak menderhaka kepada
kedua orang tuanya. Seman berjanji kepada Puteri Bunian yang dia tidak akan menderhaka kepada kedua ibu
bapanya.

Setibanya di kampung, Seman disambut dengan gembira oleh kedua-dua ibu bapanya. Ibu bapa Seman sangat
merindui anak mereka itu. Pak Jabit dan Mak Umpit memeluk erat anak mereka. Kini rindu mereka sudah
terubat. Oleh kerana terlalu gembira di atas kepulangan Seman, ibu bapa Seman hendak mengadakan kenduri
tetapi tiada makanan dan pinggan mangkuk yang boleh digunakan. Tiba-tiba Seman teringat akan batu permata
yang telah diberi oleh isterinya, Puteri Bunian. Dia ingin menggunakan batu permata untuk mendapatkan
makanan bagi kenduri yang akan diadakan.

“Ibu, ada ternampak batu permata yang saya simpan di dalam bungkusan kain?” tanya Seman kepada
ibunya.

“Oh, bungkusan itu sudah ibu buang. Ibu ingatkan itu hanyalah guli biasa Seman,” jawab ibunya serba-
salah.

“Hei perempuan tua, beraninya engkau membuang batu permata aku yang sangat bernilai. Dasar orang
tua miskin tidak kenal intan permata.”

Seman memarahi ibunya dengan kasar. Dia sudah lupa akan setiap pesan Puteri Bunian kepadanya. Mak Umpit
menangis teresak-esak setelah dimarahi Seman. Pak Jabit juga turut dimarahinya.

Tiba-tiba, Seman terasa tubuhnya menjadi sangat panas. Tidak disangka-sangka, Seman bertukar menjadi
hodoh semula. Puteri Bunian menarik kembali segala pemberiannya kepada Seman. Rupa-rupanya Puteri Bunian
telah menyumpah Seman menjadi begitu jika dia menderhaka kepada kedua ibu bapanya.

Seman tidak dapat berjumpa dengan Puteri Bunian lagi. Dia berasa menyesal kerana telah kehilangan segala
kurnian yang diperoleh. Itulah kata orang terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Dia
akhirnya menyesal kerana melanggar janji untuk tidak derhaka kepada kedua ibu bapanya.

Para hadirin sekalian;

Itulah balasannya kepada anak yang tidak mengenang budi dan dan menderhaka kepada kedua orang tuanya
yang telah bersusah payah mendidik dan membesar dari kecil hingga ke dewasa.

Terang bulan di malam sepi,


Cahaya memancar ke pohon kelapa,
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada kedua ibu dan bapa.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai