Anda di halaman 1dari 2

Kisah Raja Bersiong

Salam Sejahtera dan salam 1 Malaysia kepada barisan Hakim yang arif lagi bijaksana,
guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Dengarlah cerita saya pada hari ini yang bertajuk
Raja Bersiong.

Pada zaman dahulu, negeri kedah diperintah oleh seorang raja yang adil. Seluruh rakyat
taat dan setia akan baginda dan permaisurinya. Baginda berdua tinggal di sebuah istana
yang indah.

Di dalam istana, terdapat ramai pembesar dan panglima. Mereka menjalankan tugas
masing-masing. Di istana itu juga terdapat hulubalang, dayang-dayang dan tukang masak.

Pada suatu hari, baginda telah pergi ke tempat memasak. Baginda meminta tukang masak
menyediakan makanan yang lazat-lazat untuk baginda.

Setelah baginda pergi dari situ, ketua tukang masak itu pun menyediakan pelbagai jenis
makanan yang lazat. Tentu baginda akan berselera menjamah makanan pada hari itu.

Tanpa diduga, semasa memotong sayur, tiba-tiba jari ketua tukang masak itu terkena
pisau. Jari ketua tukang masak itu pun luka dan berdarah. Namun, dia merahsiakan
perkara itu.

Lauk yang dimasak itu bercampur dengan darah. Ketua tukang masak sedar akan hal itu.
Baginda raja tidak mengetahui apa yang berlaku.

Setelah makanan siap, baginda raja pun menjamah makanan tersebut. Baginda merasakan
bahawa masakan pada hari itu lebih sedap dan lazat. Baginda memuji ketua tukang masak
itu.
Esoknya, ketua tukang masak terpaksa memasak untuk baginda lagi. Namun,
masakannya tidak seenak semalam. Bagina raja menjadi murka.

''Kenapa hari ini masakan kamu tak sedap?" tanya baginda kepada ketua tukang masak.

Ketua tukang masak benar-benar berasa cemas. "Kalau masakan kamu tak sedap lagi,
beta akan hukum kamu!" titah baginda dengan murka.

Ketua tukang masak itu menggigil ketakutan. Ketua tukang masak berfikir, mengapa
masakannya pada hari itu tidak sedap.

"Mungkin kerana tidak bercampur dengan darah," katanya dalam hati. Ketua tukang
masak tidak mahu baginda murka lagi. Kali ini, masakannya dicampur dengan darah
jarinya yang luka.

"Tentu baginda akan lebih berselera kali ini," kata ketua tukang masak dalam hatinya.
Baginda amat gembira dan memuji keenakan makanan pada hari itu. Rupa-rupanya,
baginda telah ketagih makanan bercampur darah. Namun, tiada sesiapa yang tahu akan
hal sebenarnya.

Oleh sebab baginda ketagihkan darah, akhirnya gigi baginda ditumbuhi siong. Lama-
kelamaan siong itu semakin panjang dan tajam. Baginda mula berasa malu.

Pada suatu malam, baginda ketagihkan darah. Baginda terus menangkap seorang lelaki
lalu menghisap darah pada tengkuk lelaki itu.

Perbuatan baginda itu dilihat oleh beberapa orang yang berada di tempat itu. Mereka
benar-benar terkejut. "Raja hisap darah! Raja hisap darah!" jerit mereka yang ternampak
baginda sedang menghisap darah lelaki itu.

Jeritan itu membuatkan semakin ramai rakyst baginda mengetahui akan perbuatan raja
mereka yang ketagih darah. Baginda berasa amat malu akan perkara itu. Akhirnya,
baginda pun melarikan diri ke dalam hutan.

Semenjak hari itu, rakyat negeri Kedah berasa sedih kerana raja mereka mempunyai
siong yang panjang.

Hai kawan-kawan,
Dari cerita yang saya sampaikan tadi, dapatlah kita semua teladan bahawa janganlah kita
menjadi pemimpin yang zalim. Kita mestilah juga mempunyai sifat belas kasihan kepada
orang lain.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai