Anda di halaman 1dari 3

Minda Sejarah: Ciri-ciri Guru Sejarah Cemerlang

Salam perjuangan buat semua guru Sejarah yang dihormati lagi disegani meski di manapun
kalian semua sedang berkhidmat kini demi membangun jiwa anak bangsa agar menjadi insan
terpimpin dan memimpin peradaban ke mercu kegemilangan.

Pada kali ini Minda Sejarah akan berkongsi satu tajuk penting ke arah merealisasikan matlamat
melahirkan ciri-ciri guru sejarah yang berkesan.

Apakah rasionalnya guru sejarah perlu mempunyai ciri-ciri cemerlang? Jawapannya adalah
sangat mudah iaitu seorang murid akan lebih cemerlang jika dibimbing oleh seorang guru yang
cemerlang.

Tidaklah bermakna penulis merupakan pencinta dan pembimbing sejarah yang berkesan
apatah lagi cemerlang, namun sekadar berkongsi serba sedikit pengalaman diri dan rakan-
rakan guru sejarah lain yang telah mencipta kecemerlangan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran mereka.

Guru sejarah berkesan memiliki ciri-ciri personal, profesional, sosial dan interpersonal yang
unggul. Selain daripada mendapat latihan yang baik dan berpengalaman dalam mata pelajaran
sejarah, guru sejarah berkesan juga mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam
merancang kurikulum, mengurus kurikulum dan melaksanakan kurikulum sejarah dengan
berkesan dalam pelan tindakan organisasi pembelajaran di sekolah. Pada umumnya seorang
guru sejarah berkesan mempunyai ciri-ciri berikut :

(1) Dapat mengembangkan stail, kaedah, pendekatan, strategi pengajaran yang berkesan bagi
mencorakkan pembelajaran yang bermakna, memupuk minat dan mengembangkan potensi
murid-murid.

(2) Dapat menyusun dan merancang pembelajaran yang mencabar kebolehan murid ke arah
pengembangan pemikiran dan menggalakkan murid berfikir secara kritis, analitikal dan kreatif.

(3) Dapat mencorakkan situasi pembelajaran yang menarik dan menjadikan mata pelajaran
sejarah relevan, penting dan berguna kepada pembangunan dan perkembangan diri murid.

(4) Mempunyai kebolehan istimewa seperti kebolehan bercerita, berlakon, daya imaginasi,
kemahiran berkomunikasi, berjenaka, daya intelektual yang tinggi, disegani dan dihormati
murid.

(5) Mempunyai personaliti yang disenangi oleh murid, menjadi pendorong dan 'role model'
kepada para pelajar.

(6) Mengamalkan pembelajaran aktif (active learning), mendorong penglibatan aktif murid dan
memberi peluang yang luas kepada murid mengembangkan kebolehan dan potensi mereka.

(7) Kreatif dan inovatif, khususnya dari segi pengajaran, pembelajaran, personaliti dan
penggunaan pelbagai inivasi media dan teknologi pembelajaran.

(8) Patriotik dan 'Cinta Tuhan', iaitu satu kualiti kebolehan guru sejarah membangkitkan
semangat, memupuk kesedaran, menyuburkan idealisme, dan membina wawasan bersama
dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah di bilik darjah.

(9) Mempunyai kewibawaan dan karisma sebagai guru dan pemimpin pendidikan yang
berkesan dalam pengajaran mata pelajaran sejarah.

(10) Menonjolkan ciri-ciri personal yang berkesan seperti ikhlas, mesra, penyayang, ceria,
tenang, berfikiran positif dan terbuka, bijak, bertimbang rasa, bermotivasi tinggi, mempunyai
wawasan dan inspirasi serta berkebolehan menjana perubahan dan kemajuan diri murid.

(11) Mempunyai kebolehan berhujjah, kemampuan menjana dan mencetuskan pemikiran aras
tinggi, berpengetahuan yang luas, dedikasi terhadap tugas pengajaran, minat dan dorongan
profesional bagi memaju dan meningkatkan kualiti pengajaran, semangat berusaha menjadikan
diri cemerlang dan pakar bidang yang diajar serta sentiasa berusaha memajukan diri dalam
profesion perguruan yang diceburi.

Tuntasnya, kegagalan dan keengganan guru sejarah mengekalkan sifat-sifat guru sejarah yang
berkesan, cemerlang dan bermotivasi tinggi boleh memberi impak yang buruk kepada
kemajuan dan perubahan pendidikan yang perlu berlaku di peringkat sekolah.

Perlaksanaan kurikulum sejarah di sekolah mungkin tidak berlaku secara dinamik dan progresif
sekiranya kurang kesediaan dalam kalangan guru sejarah bagi melaksanakan pembaharuan,
selaras dengan perkembangan arus pendidikan semasa.

Faktor-faktor penentu seperti perubahan sikap guru, penguasaan aplikasi inovasi dan teknologi
maklumat, latihan dalam pengurusan dan perlaksanaan, memperkenalkan teknik dan strategi
baru yang efektif dan mampu dilaksanakan, pemberian insentif kepada guru, pembentukan
'teamwork' dalam organisasi sekolah dan sebagainya perlu diambilkira dalam perlaksanaan
pembaharuan dan perubahan ke arah merealisaikan lebih ramai guru sejarah yang mempunyai
ciri-ciri guru sejarah cemerlang.

Anda mungkin juga menyukai