Anda di halaman 1dari 6

1

BEBERAPA ASPEK PERBINCANGAN TENTANG


SUMBER TEMPATAN BAGI ZAMAN PRA
KESULTANAN JOHOR*

Sebenarnya kekalahan/kejatuhan bandar Melaka ke tangan Portugis pada 1511, bukanlah bererti keseluruhan

tanah jajahan takluk Empayar Melayu Melaka dapat pula dikuasainya. Malah Tun Seri Lanang (Sulalatus

Salatin, 1612) tatakala mencatatkan perbahasan antara pegawai-pegawai Kampar dengan sultan mereka, iaitu

Sultan Abdullah (menantu Sultan Mahmud?) yang berura-ura hendak berbaik-baik dan menyebelahi

Portugis/Feringgi, menyebut para pegawai itu sebagai berkata, “Pada perasaan patik sekalian, jalan yang mana

duli tuanku hendak mufarik dengan paduka ayahanda? Kerana patik sekalian dengar, sebuah anak sungai pun

tiada terambil oleh Feringgi; sekaliannya mengadap paduka ayahanda ke Bintan.” Kenyataan ini

menjelaskan bahawa Sultan Mahmud masih sultan, atau Yang Dipertuan bagi sebuah empayar Melayu

dengan pelbagai jajahan takluknya, termasuklah Johor. Kenyataan ini juga melambangkan bahawa Johor,

ataupun beberapa bahagian daerahnya, dalam era sejarah, pernah menjadi sebahagian daripada Empayar

Melayu Melaka yang agung itu. Oleh kerana itu bukanlah merupakan satu kejanggalan sejarah, apabila

Melaka alah (1511) raja-raja Melaka dan pengiring-pengiring telah berundur ke Johor (Batu Hampar, Ulu

Muar, Pagoh, Bentayan), kemudian melalui Penarikan mereka ke Pahang. Selepas itu mereka ke Kopak

(Bentan) dan setelah Kopak diserang, dibakar serta dimusnahkan Portugis, mereka pindah pula ke Kampar,

Sumatera. Setelah Sultan Mahmud mangkat di Kampar pada T.M. 1528 dan permaisuri baginda lebih awal

sedikit dari tarikh tersebut, putera gahara baginda, iaitu Raja Ali yang telah ditabalkan sebagai Sultan

Alauddin Riayat Syah telah “keluar” dari Kampar, pergi ke Pahang dan akhirnya membuat atau membuka

kerajaan/negeri di Kuala Johor. Ini berlaku kira-kira dua tahun selepas kemangkatan ayahanda baginda, iaitu

kira-kira T.M. 1529/1530. Walau bagaimanapun menurut R.O. Winstedt lagi, Valentyn menyebut bahawa

selepas kekalahan Melaka kepada pihak Portugis Sultan Mahmud telah berundur ke bahagian timur-laut

Ujong Tanah, membuat kota di situ dan menamakannya Johor. Pandangan ini hampir sama dengan yang

diutarakan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis yang mengatakan bahawa setelah Melaka alah, Sultan

Mahmud dan rombongan telah berundur ke Hulu Muar, lalu ke Penarikan, berjalan ke Hulu Pahang dan terus

ke Pahang. Maka tiada berapa lama baginda itu di Pahang pindahlah pula ke Johor lalu membuat negeri di situ

Walau bagaimanapun, Raja Ali Haji mengatakan bahawa “… pada zaman Johor pula keturunan raja-raja

Melayu itu iaitu: yang pertama Sultan Alauddin Riayat Syah, iaitu putera Sultan Mahmud yang tersebut itu.
2
Sulalatus Salatin versi Raffles pula menyebut tentang adanya Sayong sebelum Sultan Alauddin membuat

negeri di Kuala Johor itu dan baginda hanya “kembali ke Ujong Tanah, bersemayam di Pekan Tua dan

membuat kota di tebing sungai Johor ke hulu Sungai Telor,” iaitu selepas perkahwinan baginda dengan puteri

Kesuma Dewi di Pahang.

Apa yang dapat dirumuskan daripada catatan-catatan di atas itu ialah bahawa Johor sebagai pewaris

Empayar Melayu Melaka, telah didirikan sebagai tampok atau pusat pemerintahan atau kekuasaan Melayu

yang berwibawa sekitar dekad ketiga atau keempat abad kelima belas Masehi itu. Ini meninggalkan ruang

waktu yang sangat pendek bagi era yang disebut sebagai pra-Kesultanan Johor itu; jikalau pun tempoh ini

wujud, maka perkiraannya bermula dari T.M. 1511 dan berakhir pada T.M. 1530an apabila sultan Alauddin

dan zuriat-zuriat baginda menetap di Johor. Akan kerajaan/kesultanan Johor itu, mengikut Muhammad Said

Sulaiman, “… pada zaman dahulu suatu kerajaan yang besar dalam Tanah Melayu. Maka bolehlah dikatakan

pemerintahan Johor pada masa itu hingga meliputi separuh Tanah Besar Melayu, ialah sebelah

baratnya sampai ke Melaka dan Selangor, sebelah utaranya sampai ke Pahang dan Terengganu, sebelah Timur

sampai ke Pulau Tioman dan Pulau-pulau Tujuh dan sebelah selatannya hingga ke Pulau Riau.

Jika ditinjau daripada sudut sumber-sumber tempatan, maka jelas keadaannya tidaklah begitu

memberangsangkan. Antara yang dapat dikesan yang memuatkan pelbagai peristiwa bagi tempoh tersebut

ialah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) itu sendiri, khususnya dari detik sultan Mahmud berlepas diri atau

berundur (hlm. 270) hingga ke saat, “sebermula Sultan Alaud-`Din Riayat Syah pun kararlah baginda kerajaan

di negeri Johor.” Sungguhpun ada sumber-sumber tempatan lain tentang negeri Johor atau yang ada kaitan

dengannya seperti Hikayat Negeri Johor, Peringatan Sejarah Negeri Johor, Tuhfat al-Nafis, Salasilah

Melayu dan Bugis dan Sekalian Raja-Raja-nya, Hikayat Johor, Tawarikh Johor dan Sejarah Johor, namun

karya-karya ini tidaklah begitu memberatkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam zaman atau tempoh yang

dianggap sebagai “pra-kesultanan Johor” itu kecualilah Sejarah Johor oleh Haji Buyong Adil. Namun amnya

sumber-sumber atau karya-karya pensejarahan tersebut merujuk kepada Sulalatus Salatin, khususnya pada

bahagian yang memuatkan pelbagai peristiwa yang berkaitan dengan tempoh tersebut. Apakah peristiwa-

peristiwanya?
3

Selain daripada menceritakan tentang kekalahan Melaka dan pengunduran mereka ke Bentan melalui

hulu Muar,

Penarikan, Pahang dan Johor, dimuatkan juga peristiwa pembunuhan “secara senyap-senyap” akan Sultan

Ahmad atas perintah ayahandanya sendiri, iaitu Sultan Mahmud. Kemudian baginda mengangkat Raja

Muzaffar sebagai Tengku Mahkota dan seterusnya membuat negeri di Kopak, berpindah dari Bukit Batu

Pelabuhan. Tetapi kedudukan Raja Muzaffar juga kemudiannya telah ditarik balik iaitu setelah Tun Fatimah,

permaisuri baginda melahirkan seorang putera yang diberi nama Raja Ali timang-timangnya Raja Kecil Besar

dan kemudiannya bergelar Sultan Alauddin Riayat Syah (II). Seterusnya disebut juga langkah-langkah yang

diambil oleh Raja Kampar, iaitu Raja Abdullah menantu Sultan Mahmud yang ingin berbaik-baik dengan

Portugis dengan harapan pihak Portugis akan menyerahkan Melaka dan segala jajahan takluknya kepadanya.

Tetapi pihak Portugis yang diketuai kaptan Nor telah menangkapnya dan setelah sampai ke Melaka dihantar

pula ke Goa.

Seterusnya dicatatkan juga tentang beberapa perlantikan baru untuk mengisi jawatan-jawatan yang

telah kosong akibat peperangan dengan Portugis dan pergerakan berundur itu. Upacara ini dilakukan setelah

Sultan Mahmud menetapkan pusat negeri/kerajaannya yang baru, iaitu di Kopak, Bentan. Misalnya, Tun

Khoja Ahmad, anak bekas bendahara tepok (Lubuk Batu) telah dilantik menjadi bendahara, bergelar Paduka

Raja. Tun Abu Ishak, dijadikan Perdana Menteri, bergelar Seri Amar Bangsa. Tun Hamzah, anak Seri Nara

Diraja yang selamat tetapi terkena parang dalam tragedi pembunuhan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir,

dijadikan Penghulu Bendahari bergelar Seri Nara Diraja juga. “Ialah yang sangat dikasihi sultan tiada

bandingnya zaman itu.”. Tun Mai Ulat Bulu, tokoh yang terkenal dengan pertelagahannya dengan gurunya

Makhdum Sadar Jahan, berhubung dengan pengajian dan sebutan perkataan dalam bahasa Melayu oleh

gurunya itu, dikekalkan sebagai Temenggung dengan gelaran Seri Udani. Kemudian setelah Laksamana

Khoja Hassan, yang turut terlibat dalam gerakan fitnah yang mengakibatkan terbunuhnya Bendahari Tun

Mutahir itu, mati “dengan percintaannya,” Sultan Mahmud telah melantik Hang Nadim, menantu Hang Tuah,
4
menjadi Laksamana. Beliau itulah yang “sangat masyhur gagah berani dalam peperangan, yang

bertimbakan darah tiga puluh dua kali …”

Sultan Mahmud bersemayam di Kopak (Bentan) selama kira-kira 13 tahun (T.M. 1513-1526), iaitu

sebelum Kopak itu dapat dikalahkan oleh pihak Portugis selepas empat kali serangan (T.M. 1521, 1523, 1524

dan 1526). Setelah Kopak (Bentan) alah dan dibinasakan oleh Portugis, Sultan Mahmud dan pengikut-

pengikut berundur dan bersemayam di Kampar. Di situ, Tun Fatimah telah meninggal dunia, Bendahara Tun

Khoja Ahmad juga meninggal dunia dan kemudian, pada T.M. 1528, Sultan Mahmud juga telah mangkat.

Sultan Mahmud telah digantikan oleh puteranya yang bertakhta dengan gelaran Sultan Alauddin

Riayat Syah (1528-1564) yang telah keluar dari Kampar dan akhirnya membuat negeri dan berkerajaan di

Johor (Pekan Tua). Ini menampakkan bahawa bagindalah sultan Johor yang pertama, iaitu seperti yang

disebutkan di dalam Tuhfat-al-Nafis itu. Bagaimanapun Hj Buyong Adil, beranggapan bahawa Sultan

Mahmud, Raja Melaka yang terpaksa berundur akibat serangan Portugis itu adalah Sultan Johor yang

pertama kerana baginda telah menjadikan Pagoh sebagai tapak pemerintahannya selepas Melaka. Namun itu

hanyalah kedudukan sementara sebelum baginda berpindah ke Kapok (Bentan) dan kemudian Kampar.

Satu perkara yang tidak begitu banyak dicatatkan di bahagian “pra-kesultanan Johor” dalam Sulalatus

Salatin itu ialah peperangan antara Sultan Mahmud dan orang-orang Portugis itu selepas kejatuhan Melaka

itu. Suasana permusuhan itu memang ada digambarkan, malah kekejaman pihak Portugis dalam melakukan

serangan ke atas orang-orang Melayu dan keberanian serta kegagahan orang-orang Melayu dalam

mempertahankan negerinya ataupun melakukan serangan ke atas Melaka juga ada dinyatakan di sana sini.

Misalnya, kekejaman pihak Portugis dalam serangan mereka terhadap Kopak; mereka menyerang, membakar

dan sudah tentulah membunuh, iaitu bermula dari Bengkalis, kemudian Pulau Bulang, seterusnya ‘kota kara”

dan akhir sekali Kopak. Namun

jika dihetong, hanya dua peperangan sahaja disebut iaitu perang Pagoh dan perang Kopak itu. Serangan pihak

Sultan Mahmud ke atas Portugis di Melaka hampir tiada disebutkan kecuali dengan memberi imbasan bersabit

dengan ketokohan dan kehandalan Hang Nadim tadi.


5

Pada hakikatnya dalam era tersebut peperangan di antara orang Melayu dan Portugis berlaku terus

menerus. Di satu pihak, iaitu pihak Melayu, mereka terus menerus memerangi Portugis kerana ingin

merampas semula kotaraya Melaka dari kekuasaan Portugis lantas dengan itu akan dapat menempatkan

semula pusat pemerintahan/pentadbiran empayar tersebut di situ. Pihak Portugis pula sentiasa memerangi

orang Melayu kerana ingin mengekal serta mengukuhkan kedudukan mereka di sebuah pelabuhan yang

menurut pandangan mereka sangat mewah dan strategik. Oleh yang demikian tidaklah hairan jika Sultan

Mahmud dan pengikut-pengikut baginda telah melakukan tidak kurang daripada lima kali serangan ke atas

orang-orang Portugis di Melaka (T.M. 1512, 1516, 1519, 1521). Usaha baginda diteruskan pula oleh

puteranya ialah Alauddin Riayat Syah, antaranya telah melancarkan serangan terbesar ke atas Portugis di

Melaka pada T.M. 1551. Dengan bantuan perahu dan askar dari Perak, Pahang dan Japara, terdiri dari 200

buah perahu dan 5,000 perajurit, baginda telah mengepung Melaka selama tiga bulan.

Di pihak Portugis pula mereka telah memerangi pihak Sultan Mahmud sejumlah tidak kurang dari

sepuluh kali, iaitu Bertam (Sept. 1511), Pagoh (Disember 1511), Pagoh (Julai/Ogos 1512), Pagoh (1519),

Pagoh (1520), Bentan (1521), Bentan (1523), Bentan (1524), Bengkalis (Okt. 1526), Pulau Bulang (Nov?

1526), Kota Kara, Bentan (Nov.? 1521), Kopak, Bentan (Dis? 1526); Pekan Tua (Jun 1535), Sayung (1536).

Dan sesungguhnya permusuhan dan peperangan itu berterusan pula hingga ke zaman pemerintahan Sultan Ali

Jalla Abdul Jalil Syah II (1586-1567, 1589).

Sebagai kesimpulan, era yang dianggap sebagai “era pra-kesultanan Johor” itu suatu tempoh yang

sangat mencabar bagi Sultan Mahmud dan pembesar-pembesar baginda; malah bagi sebuah empayar Melayu

yang pusat kerajaan/ pentadbirannya kini sudah ditawan dan diduduki. Pada mulanya orang-orang

Melayu/Melaka menduga pihak Portugis akan meninggalkan kota Melaka setelah mereka selesai merampas,

merompak, menyamun dan membunuh di situ terutamanya terhadap orang-orang Melayu dan mereka yang

beragama Islam. Oleh kerana itulah Sultan Mahmud hanya berundur ke Batu Hampar dan Sultan Ahmad ke

Bertam - kedua-duanya
6
terletak tidaklah begitu jauh dari bandar Melaka. Dengan firasat yang demikian, mereka tidak

menjangka, malah tidak berhajat, untuk “membuka” atau menjadikan Johor sebagai pusat pemerintahan yang

baru menggantikan kota Melaka. Tetapi anggapan mereka tidak tepat kerana pihak Portugis ingin menetap di

Melaka. Oleh itu pihak Sultan Mahmud terpaksa memikirkan strategi alternatif bagi mengekalkan

kekuasaannya, keutuhan politik empayarnya dan juga kemasyhuran serta kemewahan perdagangan yang

pernah dinikmatinya di Melaka dahulu. Perpindahan baginda beserta pengikut-pengikut dari Melaka ke

Pahang, Johor, Bentan dan akhirnya ke Kampar, di samping berundur demi keselamatan dari pihak yang

datang menyerang bertubi-tubi, adalah juga mencari tapak atau “negeri’ bagi menggantikan kota Melaka itu.

Walaupun terpaksa berundur, tetapi hakikatnya baginda masih raja/sultan bagi empayar yang agung

itu. Pengunduran itu, walaupun dijangkakan sementara sahaja, membawa juga bersamanya segala adat

istiadat, cara berkerajaan dan berpolitik, sistem kemasyarakatan yang terkenal berkelas atau “berbangsa-

bangsa” itu, kegiatan ekonomi, sikap atau psikologi kepahlawanan, pengorbanan, setiakawan dan sindir-

menyindir apatah lagi agama Islam yang telah terbentuk di sepanjang kelangsungan Empayar Melaka itu.

Semua itu adalah khazanah dan warisan yang akan ditempatkan dan disuburkan semula di sebuah kesultanan

“baru” yang merupakan waris kepada Melaka. Dari satu segi era itu adalah suatu tempoh peralihan, bukan

sahaja dari segi perubahan tapak atau pusat pemerintahan, tetapi juga dari segi usaha menunuju ke arah

pemantapan semula kesultanan Melayu di tapak yang baru itu. Dan salah satu unsur yang faktor yang

berupaya serta mewajarkan pemantapan semula itu ialah raja/sultan itu sendiri. Oleh itu benar dan nampaklah

kebijaksanaan Seri Nara Diraja, Tun Hamzah, apabila beliau meminta Sultan Mahmud berundur dari Kopak

dan mengatakan, “… hanya pada kali ini tiadalah Duli Yang Dipertuan patik beri mati dengan negeri Kopak

ini …”. Sedangkan sebelum itu, Sultan Mahmud sudah bersedia memimpin bala tenteranya dan berkorban

untuk mempertahankan negerinya, “… kerana istiadat raja-raja itu, negeri alah rajanya mati.”

Anda mungkin juga menyukai