Anda di halaman 1dari 5

TEMU DUGA

Syarikat Perumahan Nasional Berhad


Jawatan: Eksekutif Pemasaran

Pengerusi : Assalamualaikum dan selamat pagi. Sila duduk.

Calon : Waalaikumussalam, terima kasih.

Pengerusi : Saya Puan Aqilah binti Mohamat Saman, Pengurus Syarikat Perumahan Nasional
Berhad akan mempengerusikan sesi temu duga pada pagi ini. Di sebelah kanan
saya, Encik Syahrul Aman bin Ismail, Pegawai Bahagian Sumber Manusia, juga
merupakan panel temu duga untuk pagi ini. Terima kasih kepada calon kerana sudi
hadir. Bagaimana perjalanan kalian ke sini?

Cik Marjan : Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja.

Cik Syakirah : Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Walaupun keadaan lalu lintas agak sesak
di Kuala Lumpur ini dengan izin Allah saya berjaya sampai di sini.

Pengerusi : Baiklah, jika begitu boleh saya mulakan sesi temu duga kita pada pagi ini? Cik
Marjan, boleh anda ceritakan serba sedikit tentang diri anda?

Cik Marjan : Saya Marjan binti Azmi, berasal dari Tumpat, Kelantan. Saya merupakan graduan
dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dalam bidang Ijazah Sarjana
Muda Pengurusan Perniagaan dari tahun 2010 sehingga 2014. Sebelum ini saya
banyak terlibat dalam program di universiti terutamanya dalam bidang
keusahawanan seperti menjadi Penolong Pengurus Program Karnival
Keusahawanan Muda, menganjurkan Jualan Garaj di kolej kediaman dan
menghadiri lawatan perniagaan ke China yang dianjurkan oleh universiti saya pada
tahun 2012. Menerusi penglibatan ini, selain mendapat kenalan baru saya juga
memperoleh input berguna yang dapat dimanfaatkan ketika bekerja seperti teknik
komunikasi yang baik.

Pengerusi : Baiklah, seterusnya Cik Syakirah, sila perkenalkan diri anda.

Cik Syakirah : Assalamualaikum. Saya Syakirah binti Diauddin, berasal dari Kuala Kangsar,
Perak. Saya merupakan graduan pengkhususan dalam bidang pemasaran dan minor
dalam bidang senibina di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dari tahun 2010
sehingga 2014. Saya pernah berkhidmat sebagai seorang kerani di syarikat swasta,
M&A Enterprise pada tahun 2014 sejurus saya menamatkan pengajian saya di
peringkat ijazah sarjana muda.
Pengerusi : Baiklah, tahniah saya ucapkan kepada Cik Marjan dan Cik Syakirah kerana
berjaya tersenarai sebagai calon untuk jawatan eksekutif pemasaran di syarikat
kami. Cik Marjan, sila terangkan mengapa anda memilih untuk memohon jawatan
ini?

Cik Marjan : Saya memilih untuk memohon jawatan ini kerana bersesuaian dengan kelayakan
dan minat saya. Seperti yang saya katakan, saya merupakan graduan dalam bidang
Pengurusan Perniagaan. Sepanjang tempoh saya bergelar pelajar banyak
perkongsian ilmu yang telah saya peroleh berkaitan dengan jawatan ini. Minat saya
dalam pemasaran bermula ketika saya menyertai Persatuan Usahawan Muda di
peringkat sekolah menengah selama dua tahun dan seterusnya saya meneruskan
penglibatan saya dalam kelab usahawan di peringkat universiti selama empat tahun.

Pengerusi : Baiklah, bagaimana pula Cik Syakirah, kenapa anda memohon jawatan ini dan
mengapakah anda meninggalkan pekerjaan terakhir anda?

Cik Syakirah : Saya memohon jawatan ini kerana saya mempunyai minat yang mendalam dalam
sektor pemasaran. Seperti yang telah saya nyatakan, saya merupakan graduan
dalam bidang pemasaran dan senibina. Selari dengan pengkhususan syarikat ini
dimana produknya berasaskan senibina rumah. Mengenai sebab saya meninggalkan
pekerjaan terakhir saya, saya berhenti kerana saya sememangnya merancang untuk
bekerja di M&A Enterprise hanyalah untuk mencari pengalaman bekerja. Selain
itu, tugas saya sangat terikat dan berulang pada setiap hari. Saya merasakan tidak
selesa dengan keadaan ini kerana saya mempunyai sifat yang suka akan cabaran.
Jadi dengan peluang pekerjaan yang baru ini, saya ingin keluar dari zon selesa dan
mencabar diri saya untuk melakukan sesuatu yang baharu dalam bidang ini.

Pengerusi : Bagus, kami sememangnya mencari pekerja yang suka akan cabaran. Baiklah,
seterusnya saya serahkan sesi temu duga kepada Encik Syahrul untuk bertanyakan
dengan lebih lanjut. Silakan.

Encik Syahrul : Assalamualaikum. Tahniah kepada kalian berdua atas tersenarai dalam panggilan
temu duga pada pagi ini. Cik Marjan, boleh ceritakan secara ringkas apa yang anda
tahu mengenai syarikat SPNB?

Cik Marjan : SPNB, merupakan sebuah syarikat perumahan yang berasaskan rumah mampu
milik bagi rakyat Malaysia. Di bawah SPNB, terdapat beberapa subsidiari iaitu
SPNB Aspirasi, SPNB Idaman, SPNB Mesra, SPNB Edar dan SPNB Dana. Setiap
subsidiari ini mempunyai peranan masing-masing dalam mencapai matlamat
penubuhan SPNB secara keseluruhan. Sebagai contoh, Perumahan SPNB Aspirasi
merupakan pelan perumahan yang menumpukan dalam membangunkan kediaman
komersial dan membawa keuntungan yang setara dengan pemaju yang lain.
Syarikat ini mempunyai puluhan pejabat cawangan di serata Malaysia dan boleh
dikatakan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu pejabat cawangan.

Encik Syahrul : Baiklah, seterusnya Cik Syakirah?

Cik Syakirah : SPNB merupakan sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan
(MOF Inc.). Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) ditubuhkan pada 21 Ogos
1997 demi memastikan penyediaan rumah mampu milik berkualiti dan mampan
kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Objektif Perumahan Negara.
SPNB dipertanggungjawabkan untuk membina rumah yang mampu dimiliki dan
selesa untuk didiami melalui beberapa program seperti Rumah Mampu Milik
(RMM) dan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR). Ini selari dengan visi dan misi
syarikat ini iaitu berhasrat melaksanakan pembangunan perumahan mampu milik
yang mampan serta menepati kepuasan pelanggan melalui budaya kerja cemerlang
serta menjadi pemaju yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap tanggungjawab
sosial.

Encik Syahrul : Berdasarkan visi dan misi yang Cik Syakirah nyatakan sebentar tadi, boleh cik
terangkan lagi bagaimana SPNB ini dapat bersaing dengan syarikat-syarikat
pemaju yang lain?

Cik Syakirah : Sebagai sebuah syarikat yang bernaung dibawah Kementerian Kewangan
Malaysia, SPNB mempunyai satu kelebihan berbanding syarikat-syarikat pemaju
yang lain. Hal ini kerana SPNB sendiri mendapat dana yang diperuntukkan oleh
Kerajaan Malaysia melalui peruntukan bajet pada setiap tahun. Melalui
pengetahuan saya, dalam Bajet 2016 pada baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak telah memperuntukkan sebanyak RM4.1B bagi membina
rumah rakyat. Ini termasuk 10,000 unit rumah mesra rakyat yang akan dijalankan
oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) ini sendiri dengan pemberian
subsidi RM20,000 bagi setiap unit rumah dengan peruntukan RM200 juta. Dengan
penekanan dan dorongan daripada pihak kerajaan ini, saya yakin bahawa SPNB
mampu menjadi salah sebuah syarikat yang diyakini oleh masyarakat Malaysia.

Encik Syahrul : Cik Marjan, seperti yang cik tahu mengenai keadaan ekonomi Malaysia yang
sedikit merundum pada masa kini, diikuti dengan kejatuhan nilai mata wang
Malaysia sedikit sebanyak menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat.
Bagaimanakah SPNB dapat membantu rakyat Malaysia dalam masalah ini?

Cik Marjan : Pada pendapat saya, melalui program-program pelan perumahan yang sedia ada
ini sendiri sudah cukup bagi meringankan beban rakyat Malaysia untuk memiliki
rumah. Cuma, SPNB perlu meningkatkan lagi kaedah pemasaran bagi menwar-
warkan pelan perumahan yang telah disediakan ini.
Encik Syahrul : Kaedah pemasaran?

Cik Marjan : Ya, syarikat ini memerlukan kaedah pemasaran yang lebih mantap. Jujur saya
katakan bahawa masih ramai yang tidak mengetahui akan syarikat ini walaupun
syarikat ini berada dibawah naungan kerajaan kita sendiri. Mereka tahu bahawa
kerajaan ada menyediakan peruntukan untuk perumahan, namun mereka tidak tahu
bagaimana untuk memohon bantuan itu.

Encik Syahrul : Jadi, kaedah yang bagaimana patut diambil?

Cik Marjan : Pada pendapat saya, kita boleh melantik ketua-ketua setiap adun bagi meninjau
keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan perumahan. Saya percaya dengan
cara ini, kita dapat memperkenalkan program pelan perumahan yang telah kita
sediakan.

Encik Syahrul : Nampaknya anda berdua sangat arif tentang perihal syarikat kami ini. Namun
begitu, sekiranya kalian diberi peluang untuk berkhidmat di syarikat ini, nyatakan
kepada saya Cik Syakirah mengapa kami harus menerima cik sebagai pekerja
kami?

Cik Syakirah : Saya percaya dengan tampuk kekuatan diri dan kepakaran saya dalam bidang
pemasaran. Saya berkeyakinan bahawa saya mampu memajukan syarikat ini
dengan keunikan cara saya bekerja. Apa yang paling penting, saya berjanji bahawa
saya akan bekerja keras dan tidak akan menghampakan pihak encik sekiranya saya
diterima bekerja di sini.

Encik Syahrul : Bagi Cik Marjan, apa yang membuatkan anda yakin bahawa anda layak diterima
menjadi sebahagian daripada syarikat ini?

Cik Marjan : Saya berpendapat bahawa saya mempunyai kelayakan dan kemahiran yang
diperlukan oleh syarikat. Saya juga dengan mudah akan menyesuaikan diri dengan
tugas-tugas yang akan diberikan oleh syarikat. Kemampuan saya berurusan dan
berkomunikasi dengan baik sudah pasti akan menjadi nilai tambah kepada syarikat
encik ketika harus berhadapan dengan pelanggan.

Pengerusi : Baiklah, selesai sudah semua soalan yang ingin kami ajukan kepada Cik Syakirah
dan Cik Marjan. Sekarang saya buka peluang kepada anda berdua pula untuk
bertanya soalan kepada pihak kami. Kita mulakan dengan Cik Syakirah, silakan.

Cik Syakirah : Terima kasih Puan kerana memberi peluang kepada saya untuk bertanya. Saya
ingin bertanya, apakah faedah-faedah yang ditawarkan SPNB kepada pekerja
mereka sebagai penghargaan mereka terhadap sumbangan yang diberikan oleh
pihak pekerja?
Pengerusi : SPNB menawarkan pelbagai faedah kepada pekerja syarikat ini. Antaranya ialah
insurans kemalangan, faedah perubatan, kemudahan pinjaman dan waktu kerja
anjal. Selain itu, SPNB juga akan memberikan bonus tahunan kepada pekerjanya
berdasarkan keuntungan tahunan syarikat. Untuk pekerja yang menunjukkan
prestasi yang cemerlang, SPNB akan memberi anugerah khas kepada mereka
sebagai tanda penghargaan di atas jasa mereka kepada syarikat. Anugerah pekerja
cemerlang ini akan diberikan ketika majlis makan malam tahunan syarikat. Di
samping itu, syarikat juga banyak menganjurkan program tahunan untuk para
pekerja antaranya Hari Keluarga, Majlis Sambutan Aidilfitri dan Hari Sukan.
Baiklah Cik Marjan, ada apa-apa soalan yang anda ingin ajukan?

Cik Marjan : Terima kasih Puan. Saya ingin bertanya sekiranya terdapat pekerja syarikat ini
yang ingin menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi, adakah
syarikat ini membenarkan pekerja tersebut untuk menyambung pekerjaannya
semula selepas tamat pengajian?

Pengerusi : SPNB adalah sebuah syarikat yang mengutamakan keperluan pekerjanya. Ada
beberapa jenis cuti yang ditawarkan kepada pekerja antaranya cuti belajar, cuti
kerana isteri bersalin dan cuti tanpa gaji kerana menguruskan krisis peribadi. Oleh
itu, pekerja yang ingin menyambung pelajaran boleh memohon cuti belajar dan
pekerja tersebut boleh menyambung semula khidmatnya di syarikat ini selepas
tamat pengajian. Syarikat juga akan mempertimbangkan semula jawatan yang
sesuai kepada pekerja tersebut berdasarkan kelayakan yang dimilikinya tetapi ia
tertakluk kepada kekosongan jawatan.

Baiklah, kita sudah sampai ke penghujung sesi temu duga kita pada pagi ini. Terima
kasih atas kerjasama yang diberikan. Maklum balas mengenai temu duga ini akan
kami maklumkan terus melalui e-mel yang telah anda nyatakan dalam dokumen ini.
Assalamualaikum dan semoga kita dapat berjumpa lagi.

Calon : Waalaikumussalam. Sama-sama.

Anda mungkin juga menyukai