Anda di halaman 1dari 3

“FAHAMI KONSEP FESYEN MUSLIMAH”

Pada hari ini, masyarakat kita semakin terdedah dengan kepelbagian pemikiran, budaya dan
ekspresi diri termasuk dalam fesyen. Pelbagai idea datang bagi mengembangkan cara
berpakaian dan industri fesyen wanita muslimah turut menerima tempiasnya.
Industri fesyen muslimah semasa semakin berkembang sehingga mempengaruhi penampilan
menerusi pemakaian hijab mahupun pakaian itu sendiri.
Hana Tajima, Dian Pelangi, dan Dino Tokio, merupakan antara nama besar dalam dunia
fesyen muslimah di peringkat antarabangsa. Malah tidak dinafikan ada sesetengahnya
menjadi trendsetter atau pencetus fesyen muslimah hari ini terutama dari aspek pengayaan
hijab yang menjadi ikutan di seluruh dunia.
Sungguhpun begitu, menutup aurat bukan sekadar berhijab atau bertudung, malah
merangkumi seluruh anggota tubuh badan dari rambut hinggalah ke hujung kaki.
Perkara ini haruslah dimbil kira secara keseluruhan kerana menutup aurat itu sebahagian
daripada syariat Islam.
Persoalannya di sini, adakah imej bertudung ini hanya sekadar berfesyen kerana mengikut
trend semasa atau memang mahu menunaikan perkara yang wajib sebagai seorang muslimah?
Kurang kefahaman terhadap konsep busana muslimah membuat sesetengah individu menjadi
'mangsa fesyen.
Inilah juga yang dialami beberapa selebriti tempatan baru-baru ini yang berhijrah
mengenakan tudung tetapi pakaian yang dikenakan tidak selari dengan penghijrahan tersebut
sehingga mencetus kontroversi.
Jika kita imbau pada era 80-an dahulu, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan hijrah bukan
sekadar pada pemakaian tudung, tetapi turut mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya
hidup.
Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, hijrah boleh berlaku dalam
bentuk yang lebih mudah.
Sekadar mengenakan tudung di atas kepala tanpa menjaga etika pemakaian cara Islam yang
betul sudah dianggap memadai.
Tempiasnya kepada aliran fesyen busana muslimah juga bukan sedikit, malah sekarang ini
kita dapat lihat di mana-mana sahaja kaum muslimah kita berbusana dengan gaya moden.
Dengan menutup kepala, berbaju ketat dan berseluar ketat (legging) juga dianggap sebagai
busana muslimah. Malah pelbagai fesyen busana muslimah yang tampak ranggi, berwarna-
warni, up-to-date dan glamor juga mudah kita dapati di mana-mana.
Ia seolah-olah tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung
atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri.
Malah perkembangan fesyen ini sehingga sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan
fesyen di peringkat nasional dan antarabangsa.
Pereka Fesyen
Apa pun perkembangan fesyen muslimah menjadi pilihan terbaik bagi wanita Islam yang
ingin menutup aurat mereka dengan gaya yang moden dan menawan.
Pereka busana muslimah juga perlu mengembangkan idea mereka dengan bukan hanya
mereka pakaian yang bercirikan Islam, tetapi juga dapat diterima semua.
Pemilik bersama butik Women of Jannah (WOJ), Jida Zulkifli berkata, pereka busana
muslimah perlu bertanggungjawab dalam setiap rekaan mereka kerana apa yang
dipersembahkan akan diikuti oleh masyarakat.
“ Tiada masalah buat kami untuk mereka apa sahaja bentuk pakaian untuk tujuan peribadi si
pemakai. Bagaimanapun, perkara itu akan jatuh salah sekiranya pereka meletakkan rekaan
yang tidak sesuai dipakai di khalayak ramai, seperti di pertunjukan fesyen kerana akan
menggalakkan masyarakat berpakaian tersebut di luar," katanya ketika ditemui di butik WOJ,
The Curve, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Beliau yang sudah lama berkecimpung dalam bidang fesyen muslimah menegaskan, selain
menjual produk, tugas seseorang pereka termasuklah mendidik masyarakat tentang cara
sebenar berpakaian menurut Islam.
“ Sebagai pengusaha, ini merupakan tanggungjawab saya untuk menawarkan koleksi pakaian
yang patuh syariah dan bukan sekadar fesyen semata-mata. Saya merasakan penutupan aurat
perlu dititikberatkan dahulu.
“ Disebabkan saya mereka sendiri pakaian di bawah jenama saya, NainiKifli, setiap kali
sebelum mereka pakaian akan timbul pelbagai persoalan seperti adakah kain yang digunakan
ini jarang, tidak melekat, dan bagaimana pula dengan lekuk ketiak atau potongan pada
badan," katanya,
Menurut Jida, dalam setiap rekaan perlu mengutamakan aspek aurat yang perlu ditutup
dengan sempurna, justeru dia memilih fabrik yang tidak melekap pada badan untuk memberi
hasil terbaik kepada pengguna.
Setiap rekaan akan dilonggarkan di sesetengah bahagian seperti ketiak, punggung, dada,
pinggang dan melabuhkan sedikit di bahagian lengan, tetapi dalam masa yang mempunyai
flow supaya mereka yang menutup aurat ni masih dapat berfesyen.
“ Kami di WOJ akan memastikan setiap pemilihan dari segi jenis fabrik, rekaan dan
potongan akan menepati kehendak syariat dan terletak cantik pada tubuh si pemakai,"
katanya,
Jida menambah, kebanyakan pereka busana muslimah mengutamakan fabrik lycra yang
mempunyai berat yang sesuai supaya tidak terlalu melekat di badan pemakai,
Jika menggunakan fabrik syifon, dia akan memastikan setiap rekaannya itu disertai dengan
lapisan kain atau lining kerana tidak mahu menggalakkan pelanggan memakai pakaian inner
kerana ia agak melekat di badan.
Secara umumnya, pembabitan pereka fesyen busana muslimah dalam menyediakan pakaian
adalah termasuk dalam fardu kifayah dan adalah lebih baik sekiranya mereka berusaha
mengelakkan diri daripada menyediakan pakaian dan fesyen yang mendedahkan aurat.
Perlu juga usaha-usaha untuk menjelaskan dengan tepat konsep aurat dan pakaian mengikut
landasan Islam kepada masyarakat bagi mengelakkan berlaku salah faham atau pertikaian.
Model Busana Muslimah
Bagi model, Nur Baizura Basri, 24, dia tidak akan menolak pelawaan untuk memperaga
fesyen sekiranya syarat pakaian yang diperagakan itu adalah busana muslimah dan menepati
ciri-ciri pakaian wanita Islam.
Apabila ditanya apakah cabaran yang dihadapi jika pemilik butik mahukan dia memakai
pakaian yang tidak menepati syarat pakaian muslimah, Baizura berkata, dia akan
memberitahu secara baik bahawa dia tidak boleh memakai pakaian tersebut dan meminta agar
ditukar.
“ Sebelum menerima apa-apa tawaran, biasanya saya akan pastikan dahulu bahawa baju yang
akan diperagakan nanti tidak ketat, tidak jarang, dan hijabnya adalah di bawah paras dada,"
ujar model busana muslimah ini.
Menurut Baizura, walaupun terdapat pelbagai fesyen yang kadangkala tidak masuk akal
untuk diperagakan oleh model muslimah, mereka perlu bijak untuk memperagakannya.
“ Sebagai contoh, menggayakan fesyen ‘ turban’ boleh menampakkan susuk dada dan
telinga si pemakai, tetapi sebenarnya boleh dipakai tanpa mendedahkan aurat dengan
menggayakan bersama selendang atau hoodie. Begitu juga dengan inner neck. Untuk
penggambaran inner neck, saya akan mengenakan bersama baju yang longgar dan menutup
dada," ulasnya.
Dia tidak menafikan bahawa lambakan butik-butik busana muslimah yang ada di Malaysia
kebanyakannya tidak mematuhi syariat Islam.
Katanya, pasaran di Malaysia pada masa kini menunjukkan busana muslimah mempunyai
pasaran yang tinggi'dan semua pereka berlumba-lumba untuk mempersembahkan rekaan
mereka sehingga mengabaikan matlamat sebenar tuntutan berpakaian cara Islam.
“ Tidak salah jika kita ingin mengikut trend samasa, tetapi haruslah patuh syariat. Bagi saya,
tuntutan berfesyen terpulang kepada si pemakai, kerana mereka lebih tahu sama ada pakaian
itu sekadar berfesyen atau sebaliknya,"katanya. - NURSYAMIMI SAIDI
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Feminin/20140430/fe_02/Fahami-konsep-fesyen-
muslimah.

Anda mungkin juga menyukai