Anda di halaman 1dari 2

Ketua Kelas Perlu Tegas Tapi Lembut

Oleh Noor Azlina Zainudin Berita Harian - 26/03/02


Selain pengawas, ketua kelas juga memainkan peranan penting dalam usaha memastikan murid
mematuhi disiplin dan peraturan yang ditetapkan, terutama ketika berada di dalam kelas dan kawasan
sekolah.

Ketua kelas lazimnya dilantik oleh guru dan rakan sekelas berdasarkan kemampuannya memikul
tanggungjawab untuk mengawal murid lain dalam sesebuah kelas agar proses pengajaran dan
pembelajaran berjalan dengan sempurna.

Antara tugas dan peranan ketua kelas ialah mengetuai murid ketika menjalankan sebarang aktiviti
dalam kelas, mengawal disiplin murid ketika ketiadaan guru, menyelia kebersihan serta keceriaan kelas
serta membantu guru mengedar dan memungut buku latihan.

Sungguhpun demikian, ramai murid yang masih belum jelas dengan peranan sebenar ketua kelas. Malah,
ada yang enggan mematuhi arahan yang diberikan oleh ketua kelas dengan alasan sebaya dan berada
dalam kelas yang sama.

Tanggapan itu perlu dikikis kerana ketua kelas membuat teguran dan mengeluarkan arahan yang
diamanahkan oleh guru bagi memastikan peraturan sekolah dipatuhi sepenuhnya.

Bagaimanapun, ketua kelas perlu membuat teguran secara lembut tetapi tegas dan tidak menggunakan
perkataan yang boleh menyakitkan hati atau menyinggung perasaan murid lain.

Andai kata ada murid yang enggan mematuhi arahan, ketua kelas perlu melaporkannya kepada guru
supaya tindakan selanjutnya boleh diambil.

Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh murid semasa ketiadaan guru di dalam kelas ialah membuat
bising, keluar kelas sesuka hati, menconteng papan hitam, membuang sampah merata-rata dan bermain
sesama sendiri.

Oleh itu, mengawal kelas dan memastikan murid lain tidak melakukan pelbagai kesalahan adalah antara
peranan atau tanggungjawab yang perlu dijalankan oleh ketua kelas.

Selain itu, ketua kelas juga perlu memastikan murid menjalankan tugas membersih dan menjaga
kebersihan kelas setiap hari bukan sahaja sebelum kelas bermula, malah sepanjang waktu persekolahan.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih, Encik Ahmad Fuad Said, berkata lazimnya ketua kelas
dilantik secara undian di dalam kelas.

Katanya, murid dalam sesebuah kelas dipertanggungjawabkan memilih ketua masing-masing dan
bukannya guru. Ini kerana selalunya murid sesebuah kelas itu lebih tahu siapa di kalangan mereka yang
jujur dan boleh menjalankan tugas dengan baik.

“Saya memberi tempoh percubaan selama dua minggu selepas proses pengundian itu untuk memastikan
murid yang dilantik sebagai ketua kelas benar-benar berwibawa dan mampu menjalankan tugasnya
dengan sempurna.

“Jika tidak, proses pengundian perlu dijalankan semula untuk memilih murid lain yang lebih layak,”
katanya.

Encik Ahmad Fuad berkata, ketua kelas yang dipilih perlu memiliki tahap disiplin yang tinggi dan sedia
menerima tugas yang diamanahkan kepadanya.

Sementara itu, Ketua Kelas Tahun Lima Amanah, SK Jalan Gurney (2), Noor Hamizah Ahmad,
berpendapat ketua kelas perlu bersikap tegas, agak garang dan berdisiplin sesuai dengan tugas mereka
sebagai pembantu guru.

“Tugas sebagai ketua kelas amat menyeronokkan kerana saya dapat menjadi ketua kepada murid lain
yang sebaya dan memberi arahan kepada mereka untuk melaksanakan sesuatu tugasan yang
diamanahkan oleh guru.

“Bagaimanapun, ada juga murid yang suka melawan dan tidak mahu mendengar arahan yang saya
berikan.

Dalam kes begini, saya akan menulis nama murid terbabit dan kesalahan yang dilakukan. Setelah itu
saya laporkan kepada guru kelas, Puan Arni Ahmad,” katanya.

Anda mungkin juga menyukai