Anda di halaman 1dari 8

Topikȱ X Disiplin-

9 disiplin dalam
Sains Sosial

HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Memerihalkan pelbagai disiplin dalam sains sosial;
2. Menjelaskan persamaan dan perbezaan antara disiplin dalam sains
sosial; dan
3. Menghuraikan kaedah dan matlamat pelbagai disiplin dalam sains
sosial.

X PENGENALAN
Topik ini memerihalkan pelbagai disiplin dalam bidang sains sosial secara
umum. Sains bermaksud ilmu tersebut telah diperolehi dengan menggunakan
kaedah saintifik, iaitu satu badan ilmu tentang fenomena yang wujud telah diuji
kaji, dibuktikan dan diterima sebagai suatu hakikat apabila terdapat kenyataan
atau kebenaran. Segala ilmu yang diperolehi dengan cara itu, disusun dengan
teliti supaya ia dapat menimbulkan prinsip-prinsip atau teori-teori tentang
sesuatu fenomena yang dapat diterima sebagai sah dan kemudian digunakan
untuk dikaji oleh generasi akan datang. Sains merupakan satu cara mendedah
atau menerangkan masalah kepada manusia, juga menginterpretasikannya dan
hasil daripada interpretasi tersebut dibuat satu ramalan. Setelah ramalan
disahkan benar, barulah ia dianggap sebagai satu teori yang sah dan dapat
digunakan untuk mengkaji manusia. Dalam topik ini kita akan mengupas
beberapa disiplin utama dalam bidang sains sosial serta menjelaskan kaedah dan
matlamatnya.
82 X TOPIK 9 DISIPLIN-DISIPLIN DALAM SAINS SOSIAL

AKTIVITI 9.1

Sila senaraikan beberapa disiplin sains sosial yang anda dengar


atau pelajari. Bandingkan pandangan anda dengan penjelasan
mengenai disiplin utama dalam sains sosial seperti yang akan
dibincangkan dalam bahagian 9.1.

9.1 DISIPLIN UTAMA DALAM SAINS SOSIAL


Sains sosial ialah disiplin ilmu yang memerihalkan tentang kemasyarakatan
dalam konteks sosialnya atau mempelajari kehidupan sosial seperti mempelajari
pola tingkah laku yang lazim ada pada kelompok manusia. Terdapat beberapa
disiplin utama dalam sains sosial yang penting dan perlu kita berikan tumpuan
kerana perkembangan disiplinnya yang pesat dalam tradisi ilmu
kemasyarakatan dan kemanusiaan. Di antaranya adalah:

(a) Disiplin Sejarah


Disiplin sejarah memberi tumpuan kepada peristiwa yang berlaku dalam
kehidupan manusia pada masa lampau. Ahli sejarah amat menekankan
kepada fakta apabila menjelaskan sesuatu peristiwa yang memberikan
kesan kepada manusia, masyarakat dan perkembangan sesebuah negara.
Secara ringkas, ahli sejarah memberi tumpuan sejarah lampau.

(b) Disiplin Sains Politik


Disiplin sains politik pula mengkaji tentang tingkah laku manusia. Ahli
disiplin sains politik lebih memberi tumpuan kepada kajian tentang kuasa,
proses politik, di mana keputusan sosial dibuat, parti politik, tingkah laku
politik individu dan kelompok serta pemerintahan negara. Dengan kata
lain, sains politik bukan sahaja mengkaji cara manusia diperintah, tetapi
cara alat-alat pemerintahan digunakan untuk menyelesaikan masalah yang
dihadapi oleh masyarakat umum turut dikaji.

(c) Disiplin Ekonomi


Disiplin ekonomi pula memberi tumpuan kepada tema pengeluaran,
taburan dan penggunaan sumber dalam sesebuah masyarakat. Dari
perspektif sosial, ahli ekonomi hanya berminat tentang tingkah laku
masyarakat yang dihasilkan oleh sesuatu usaha anggota masyarakatnya
yang menggunakan kemudahan dalam mencapai tujuan tertentu secara
rasional.
TOPIK 9 DISIPLIN-DISIPLIN DALAM SAINS SOSIAL W 83

(d) Disiplin Antropologi


Disiplin antropologi ialah kajian tentang manusia dan segala aspek
kehidupan mereka. Ia juga hampir sama dengan bidang sosiologi tetapi apa
yang menjadi tumpuan ahli antropologi ialah mengkaji masyarakat
primitif, manakala ahli sosiologi pula mengkaji tentang masyarakat moden
khususnya yang tinggal di kawasan bandar. Kaedah yang digunakan oleh
ahli antropologi juga adalah berbeza dengan kaedah yang digunakan oleh
ahli sosiologi. Misalnya, ahli antropologi cuba mencari pola yang luar biasa
dalam kebudayaan masyarakat yang dikaji seperti amalan ritual dan
perkahwinan dalam sesebuah masyarakat.

(e) Disiplin Sosiologi


Jika dibandingkan dengan bidang lain dalam sains sosial, bidang sosiologi
adalah paling luas skop kajiannya. Penekanan disiplin sosiologi lebih
kepada perhubungan antara manusia dan kelompok serta juga dalam
kalangan institusi masyarakat. Bahan kajian utama ialah masyarakat
manusia, iaitu mengenali pola dan susunan masyarakat, proses bagaimana
manusia berkembang dan berubah, bagaimana pola dan proses tersebut
memberi kesan pada tingkah laku individu dan kelompok.

(f) Disiplin Psikologi


Disiplin psikologi umumnya didefinisikan sebagai sains yang mengkaji
proses mental dan tingkah laku manusia. Psikologi dianggap sebagai satu
sains kerana ilmu-ilmu dalam bidang ini diperoleh melalui prosedur-
prosedur yang sistematik, seperti melalui pemerhatian yang terkawal.
Proses mental pula merupakan aktiviti yang berlaku di dalam minda
manusia dan tidak dapat diperhatikan. Proses mental termasuk:
 Pemikiran (ingatan, fikiran, persepsi, pentaakulan, penilaian,
pembentukan imej dan kepercayaan)
 Emosi (sedih, gembira, risau)
 Perasaan (benci, suka)
 Motif (niat atau hasrat)

Walaupun proses mental tidak dapat dilihat kerana bersifat peribadi, ia


boleh disimpulkan melalui tingkah laku. Sementara itu, tingkah laku
merupakan kesemua tindakan atau perbuatan yang dapat dilihat.
Misalnya, salah satu sub disiplin psikologi ialah psikologi sosial. Psikologi
sosial mengkaji pengaruh persekitaran terhadap proses mental dan tingkah
laku. Secara ringkas, ahli psikologi mengkaji perkembangan manusia
secara individu.
84 X TOPIK 9 DISIPLIN-DISIPLIN DALAM SAINS SOSIAL

(g) Disiplin Linguistik


Disiplin linguistik ialah salah satu disiplin utama ilmu sains sosial yang
meneliti, menghurai dan menjelaskan perilaku bahasa dan hubungannya
dengan masyarakat. Bahasa merupakan suatu entiti yang hidup dan
berkembang seiring dengan kemajuan peradaban manusia. Justeru itu,
bahasa perlu terus dikaji, dianalisis, dihurai, dirancang, dibina dan
dimasyarakatkan, dan ini hanya dapat dilakukan melalui disiplin linguistik.
Pendek kata, linguistik ialah kajian saintifik tentang bahasa manusia.

(h) Disiplin Geografi


Disiplin geografi merupakan kajian tentang lokasi dan variasi ruang dalam
fenomena manusia dan fizikal di bumi. Minat ahli geografi terutamanya
tertumpu pada analisis variasi ruang tentang taburan, komposisi dan
migrasi dan pertumbuhan penduduk, dan tentang cara bagaimana perkara-
perkara tersebut ada hubungannya dengan keadaan tempat. Ahli geografi
zaman dahulu hanya mengkaji pola taburan penduduk sebagai suatu
fenomena yang agak statik, dengan menghubungkannya terutama kepada
pola persekitaran fizikal. Ahli geografi juga perlu melihat bagaimana
penduduk mempengaruhi pola geografi.

(i) Disiplin Komunikasi


Disiplin komunikasi kini semakin popular dan diberikan perhatian dalam
bidang sains sosial semasa. Komunikasi ialah sejenis proses pemindahan
maklumat melalui sistem simbol yang sama. Komunikasi bermaksud „satu
proses perpindahan maklumat, perasaan, idea dan fikiran seseorang
individu kepada individu atau sekumpulan individu yang lain.‰

9.2 PERSAMAAN DAN PERBEZAAN ANTARA


DISIPLIN
Ilmu sains sosial ialah satu bentuk pengkajian tentang kelompok manusia di
dalam sesuatu masyarakat. Namun tidak ada sesiapa pun yang akan dapat
mempelajari hal ehwal manusia dan hubungannya dengan masyarakat
keseluruhannya. Sains sosial merupakan satu bidang pengkajian yang begitu
luas dan juga kompleks. Oleh itu, kita perlu membuat pembahagian kepada
beberapa cabang atau untuk pengkajian yang lebih kecil.

Pembahagian kepada unit atau disiplin inilah yang kita sebut sebagai disiplin
sejarah, sains politik, ekonomi, antropologi, sosiologi, psikologi, linguistik,
geografi dan komunikasi. Pembahagian ini didasarkan kepada bagaimana cara
manusia berinteraksi antara satu sama lain. Contohnya, jika manusia berinteraksi
melalui proses jual beli, maka dapat kita golongkan corak pengkajiannya dalam
TOPIK 9 DISIPLIN-DISIPLIN DALAM SAINS SOSIAL W 85

disiplin ekonomi. Jika manusia itu berinteraksi melalui proses perebutan kuasa
dan kewibawaan, maka dapatlah kita golongkan corak pengkajiannya ke dalam
disiplin sains politik. Begitulah seterusnya bagi disiplin-disiplin yang lain. Bagi
setiap disiplin itu pula, ia mempunyai asal usul dan sejarahnya tersendiri,
mempunyai bahan-bahan dan minatnya yang tersendiri (perkembangannya)
serta teknik penyelidikannya yang tersendiri (Rohana Yusof, 1996).

Perlu dijelaskan di sini bahawa dalam kebanyakan disiplin sains sosial, disiplin
sosiologi adalah paling luas skop kajian dan kepentingannya. Keadaan ini
berlaku kerana penekanan dan tumpuan utama dalam sosiologi adalah tentang
perhubungan antara manusia dan kelompok serta dalam kalangan institusi
masyarakat terutama institusi sosial. Justeru, bahan kajian utama dalam disiplin
sosiologi ialah masyarakat manusia, iaitu pola dan susunan struktur masyarakat,
proses bagaimana sesuatu masyarakat berkembang dan berubah, dan bagaimana
pola dan proses tersebut memberi kesan kepada tingkah laku individu dan
kelompok. Dengan kata lain, disiplin sosiologi sebenarnya dapat dibezakan
daripada disiplin-disiplin lain dalam sains sosial ini secara keseluruhannya.
Secara ringkas, ahli sosiologi memberi banyak tumpuan kepada tingkah laku
kelompok dan kurang kepada tingkah laku individu seperti apa yang menjadi
minat dan tumpuan ahli psikologi.

Walaupun wujudnya perbezaan yang jelas antara disiplin sains sosial, perlu juga
diperhatikan bagaimana pula hubungan disiplin sosiologi yang dikatakan satu
skop kajian yang luas dengan disiplin-disiplin yang lain. Keadaan ini turut
diperjelaskan oleh Ronald C. Federico dalam bukunya Sociology (1979). Menurut
beliau, setiap disiplin dalam sains sosial memberi tumpuan kepada aspek kajian
yang bersifat sosial dan mempunyai ciri-ciri sosiologi. Contohnya, seperti
dijelaskan tadi, disiplin ekonomi memberi tumpuan kepada pengeluaran dan
agihan barangan dan perkhidmatan dalam dan antara masyarakat. Apakah
hubung kaitnya dengan disiplin sosiologi? Apa yang dapat dilihat ialah dua
faktor yang sama pada dua disiplin ini, iaitu faktor pengeluaran dan pengagihan
sumber mempunyai kaitan dengan konsep stratifikasi sosial.

Jelas sekali disiplin sosiologi menggunakan konsep ekonomi untuk memahami


stratifikasi sosial dan konflik sosial. Begitu juga dengan disiplin sains politik
yang memberi tumpuan kepada pengkajian struktur dan agihan kuasa serta
autoriti dalam masyarakat. Misalnya, apakah hubung kaitnya disiplin sains
politik dengan sosiologi? Apa yang dapat dilihat ialah peri pentingnya dalam
dua disiplin ini ialah konsep kuasa dan autoriti. Contohnya, disiplin sosiologi
juga menggunakan „kuasa‰ dan „autoriti‰ untuk memahami lencongan, kawalan
sosial dan stratifikasi sosial.
86 X TOPIK 9 DISIPLIN-DISIPLIN DALAM SAINS SOSIAL

Pada umumnya disiplin sains sosial memberi tumpuan kepada pengkajian


tentang pelbagai aspek perhubungan antara individu dan masyarakat. Individu
itu adalah sebahagian daripada masyarakat. Semua disiplin dalam bidang sains
sosial ini mempercayai bahawa memang terdapat ketetapan dalam kehidupan
sosial yang perlu diteliti dan mempunyai sebab-musabab yang perlu diterokai
dan mengambil pendekatan yang berbeza serta menggunakan kaedah yang
berbeza untuk menerokainya daripada proses kehidupan sosial yang kompleks.

Jadi jelas kepada kita yang bidang sains sosial adalah luas dan merangkumi
bidang-bidang seperti dinyatakan tadi (sejarah, sains politik, ekonomi,
antropologi, sosiologi, psikologi, linguistik, geografi dan komunikasi). Semua
disiplin ini jika diteliti dengan lebih dekat sebenarnya menitikberatkan perkara
yang sama, iaitu tentang tingkah laku manusia. Pada asasnya memang setiap
ahli sains sosial cuba memahami tingkah laku manusia, tetapi setiap disiplin
memberi penekanan kepada aspek yang berlainan kepada tingkah laku tersebut.

9.3 KAEDAH DAN MATLAMAT PELBAGAI


DISIPLIN
Bahagian ini meninjau matlamat beberapa disiplin sains sosial secara umum.
Sebagaimana yang akan kita lihat, setiap disiplin sains sosial mempunyai teknik
yang berbeza dalam kajiannya dan setiap satunya mempunyai kekurangan dan
kelebihannya. Namun, untuk tujuan pembelajaran ini kita hanya memberi
tumpuan kepada matlamat dan kaedah beberapa disiplin sains sosial seperti
sejarah, antropologi, sosiologi dan psikologi.

Disiplin sejarah memberi tumpuan kepada peristiwa yang berlaku dalam


kehidupan manusia pada masa lampau. Bagi ahli sejarah, matlamat utama
penyelidikan mereka ialah untuk mendapatkan fakta yang sahih, benar dan
boleh dipercayai tentang sesuatu peristiwa yang pernah berlaku.

Penulisan sejarah memerlukan beberapa sumber dan pelbagai ilmu


pengetahuan. Satu daripada sumber sejarah ialah catatan. Berbeza dengan fakta,
catatan adalah sesuatu yang memberi maklumat, biasanya dalam bentuk huraian
dan penerangan. Catatan mengenai sesuatu peristiwa dilakukan melalui
pendengaran, pemerhatian, perasaan atau pengalaman. Malah cara mencatat dan
medianya juga berbeza, sama ada dibuat di atas daun, kulit haiwan dan kulit
kayu. Kebenaran catatan tertakluk kepada kajian-kajian selanjutnya. Oleh itu,
perbezaan catatan dan fakta ialah dari segi darjah kebenarannya. Sesuatu fakta
itu mungkin berasal dari catatan, tetapi ia tidak semestinya fakta kerana
kebenaran catatan tersebut masih boleh dipersoalkan.
TOPIK 9 DISIPLIN-DISIPLIN DALAM SAINS SOSIAL W 87

Ahli sejarah lebih cenderung menjalankan kajian arkib untuk mendapatkan


pelbagai bahan sejarah. Penyelidikan arkib biasanya menggunakan maklumat
yang telah sedia ada seperti laporan, dokumen, fail, rekod, pita rakaman (sejarah
lisan), gambar dan sebagainya. Di Malaysia, Arkib Negara yang menyimpan
pelbagai koleksi dan jenis maklumat untuk tujuan rujukan. Pelbagai maklumat
atau bahan sekunder juga boleh didapati di muzium dan perpustakaan.

Disiplin antropologi mengkaji manusia dan segala aspek kehidupan atau budaya
mereka. Ahli antropologi sosial misalnya lebih berminat dengan sifat dan evolusi
agama, keluarga dan kekerabatan. Kajian antropologi mengenai agama dapat
dianggap sebagai pusat atau tumpuan dalam antropologi sosial. Hal ini tentu
saja kerana sebahagian besar tokoh dalam perkembangan sejarah teori
antropologi sosial seperti Durkheim, Radcliffe-Brown dan Malinowski telah
membicarakan hubungan kepercayaan agama dengan struktur sosial. Secara
ringkas, ahli antropologi sosial dan budaya berminat untuk mempelajari proses
perubahan alamiah pada masyarakat. Dalam antropologi, bahan untuk
mempelajari kebudayaan, masyarakat dan manusia dikumpul oleh ahli
antropologi melalui kaedah etnografi.

Disiplin sosiologi memberikan tumpuan kepada masyarakat dan hubungan


sosialnya. Perspektif sosiologi melihat tingkah laku sosial, khususnya dalam
masyarakat moden. Kebanyakan ahli sosiologi lebih cenderung dengan kaedah
tinjauan (survey) dalam penyelidikan mereka. Dalam kaedah tinjauan ini
penyelidikan menyediakan soal selidik untuk mengumpulkan data.

Ahli psikologi pula lebih cenderung menggunakan kaedah eksperimen. Prosedur


ini melibatkan satu manipulasi dan pengawalan secara aktif pada faktor-faktor
yang dikaji agar kesimpulan mengenai sesuatu perhubungan sebab-akibat boleh
diperoleh. Antara kaedah-kaedah tersebut ialah eksperimen makmal,
eksperimen lapangan dan eksperimen semula jadi.

AKTIVITI 9.2

Pada pandangan anda apakah disiplin sains sosial yang lebih


relevan dalam mengkaji proses perubahan masyarakat? Sila
berikan hujah anda berdasarkan isu sosial yang berlaku dalam
kalangan golongan belia di Malaysia.
88 X TOPIK 9 DISIPLIN-DISIPLIN DALAM SAINS SOSIAL

 Sains sosial adalah suatu bidang ilmu yang mengkaji tentang segala aspek
perubahan manusia, masyarakat dan kebudayaan.

 Bidang sains sosial adalah luas dan merangkumi semua disiplin yang cuba
memahami tingkah laku manusia, tetapi setiap disiplin memberi penekanan
pada aspek yang berlainan kepada tingkah laku tersebut.

 Memahami kaedah dan matlamat dalam sesuatu disiplin sains sosial cukup
penting untuk memandu penyelidikan kita agar lebih sistematik.

 Seseorang pengkaji sains sosial perlu memilih kaedah kajian yang sesuai
meneroka permasalahan kajian mereka secara kritis dan rasional.

Antropologi Linguistik
Arkib Psikologi
Ekonomi Sains Politik
Eksperimen Sains Sosial
Fakta Sejarah
Geografi Sosiologi
Komunikasi Tinjauan

Ismail Yusoff. (2001). Pengenalan sains sosial. Sintok: Penerbit Universiti Utara
Malaysia.

Noran Fauziah Yaakub. (1987). Pengantar sosiologi. Petaling Jaya: Penerbit Fajar
Bakti.

Qasim Ahmad. (2000). Karya sejarah: Pendekatan dan persoalan. Edisi Kedua.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rohana Yusof. (1996). Asas sains sosial dari perspektif sosiologi. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai