Anda di halaman 1dari 8

1.

0 PENGENALAN

16 September 1963 merupakan tarikh yang amat penting buat negara. Hal ini demikian kerana,
pada tarikh inilah cadangan gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman,
mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama direalisasikan secara rasmi. Dalam konteks
ini, gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh beliau menggabungkan Persekutuan Tanah
Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam satu unit politik yang dikenali sebagai
Persekutuan Malaysia. Mohd Isa (2002) menyatakan bahawa Tunku Abdul Rahman
mengusulkan cadangan ini dalam ucapannya pada 27 Mei 1961 kepada Persatuan Wartawan
Asing, di Singapura dan disambut baik oleh beberapa orang tokoh seperti Lee Kuan Yew
(Ketua Menteri Singapura) dan Harold Mac Millan (Perdana Menteri Britain).

Menurut Mohd Ayop (2016), gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku didorong oleh
beberapa faktor merangkumi aspek politik, sosial dan ekonomi. Dari aspek politik, gagasan
tersebut adalah bertujuan untuk menyekat ideologi komunis yang semakin memuncak di
Singapura, Sabah dan Sarawak. Manakala, faktor ekonomi pula merujuk kepada tujuan
memperluas pasaran serta mewujudkan kerjasama serantau dalam bidang ekonomi.
Seterusnya, faktor sosial pula adalah untuk mengimbangi komposisi kaum, mewujudkan
perpaduan kaum, memajukan negeri yang belum membangun, khususnya Sabah dan Sarawak
serta melahirkan satu bangsa yang kaya warisan kebudayaan. Bukan itu sahaja, gagasan
Malaysia juga bertujuan untuk menyegerakan kemerdekaan Singapura, Sabah dan Sarawak.

Gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku telah menerima berbagai-bagai reaksi. Ada
yang positif dan tidak kurang juga reaksi negatif. Gagasan Malaysia juga tidak lari daripada
menimbulkan pelbagai isu lebih-lebih lagi di Sabah dan Sarawak. Justeru, penulisan ini akan
membahaskan dengan lebih teliti dan kritis tentang isu-isu berkaitan penyertaan Sabah dan
Sarawak dalam Malaysia. Sekiranya, isu-isu ini diteliti dan diamati serta diambil iktibar, nescaya
Malaysia yang terbentuk sehingga ke hari ini akan kekal sejahtera dan makmur sampai bila-bila.

2.0 ISU-ISU BERKAITAN PENYERTAAN SABAH DALAM MALAYSIA

Penyertaan Sabah ke dalam Malaysia telah membangkitkan berbagai-bagai isu dan reaksi.
Gabungan Sabah ke dalam Malaysia tidak berlaku secara paksa namun telah melalui suatu
proses perbincangan dan penyiasatan yang teliti dan panjang. Antara isu yang berbangkit
semasa Sabah menyertai Malaysia adalah kemunculan parti-parti politik yang membangkang

1
pelaksanaan gagasan, penubuhan Suruhanjaya Cobbold dan syarat-syarat yang dikenakan
oleh Sabah sebelum menyertai Malaysia.

2.1 Parti-parti yang Membangkang Pelaksanaan Gagasan

Reaksi segera yang timbul di Sabah begitu juga di Sarawak selepas cadangan pembentukan
Malaysia diumumkan adalah ke arah menolak cadangan tersebut kerana kedua-dua negeri ini
masih ingin kekal di bawah pemerintahan British dan mereka belum mempunyai keyakinan
untuk membentuk pemerintahan sendiri. Berikutan itu, telah muncul beberapa parti politik di
Sabah yang membangkang pelaksanaan gagasan tersebut.

Salah sebuah parti politik yang secara lantang membantah pelaksanaan gagasan Malaysia
adalah Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) dibawah pimpinan Donald
Stephens. Menurut Sheela (1993), dengan kesedaran politik baharu dan keinginan yang
berkobar-kobar untuk merdeka, UNKO menganggap rancangan Malaysia sebagai suatu bentuk
penjajahan baharu, iaitu sebagai satu helah Tanah Melayu untuk meluaskan kuasa dan
menggantikan penjajahan British. Parti ini bimbang segala jawatan pentadbiran di Sabah akan
diambil alih dan diisi oleh orang-orang Melayu dari Semenanjung. Bahkan UNKO juga telah
bergabung dengan beberapa buah parti politik di Sarawak bagi membantah gagasan Malaysia
dengan membentuk Barisan Bersatu (United Front).

Bagi menyelesaikan isu ini, British telah menjemput beberapa wakil daripada Barisan Bersatu
untuk menghadiri persidangan Persatuan Parlimen Komanwel kelapan di Singapura. Donald
Stephen merupakan salah seorang wakil yang hadir. Mohd Noor (1997) menyatakan bahawa
persidangan tersebut telah berjaya mengubah fikiran Donald Stephen dan beliau akhirnya
menyokong gagasan Malaysia demi kebaikan penduduk Sabah sendiri terutamanya bagi orang
Kadazan.

Berikutan itu, Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia (MSCC) telah ditubuhkan pada 23
Julai 1961 dengan tujuan untuk mengumpul dan membandingkan buah fikiran serta pendapat-
pendapat berkenaan pembentukan Malaysia di wilayah-wilayah yang terlibat. Penubuhan ini
dianggotai oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Donald
Stephen telah dilantik menjadi pengerusi bagi jawatankuasa ini. Kassim (2002) menyatakan
bahawa jawatankuasa ini juga berperanan dalam menyebarkan keterangan mengenai kebaikan
penubuhan Malaysia di samping menyegerakan kesedaran ke arah pembentukan Malaysia.

2
Dapatlah dirumuskan bahawa idea gagasan Malaysia pada mulanya, telah menimbulkan reaksi
negatif daripada parti-parti politik di Sabah. Namun dengan adanya penubuhan MSCC,
pandangan negatif ini beransur-ansur beralih menjadi positif. Akhirnya, kesemua parti politik di
Sabah menyokong penyertaan Sabah ke dalam Malaysia.

2.2 Pungutan Suara yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold

Hasil perundingan MSCC mencadangkan supaya ditubuhkan suatu suruhanjaya bagi


memantau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap penubuhan Malaysia. ()
menyatakan bahawa pada 17 Januari 1962, telah ditubuhkan sebuah suruhanjaya yang dikenali
sebagai Suruhanjaya Cobbold bagi menyiasat pendapat dan pandangan rakyat di Borneo Utara
dan Sarawak berhubung gagasan Malaysia.

Selain meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak, Suruhanjaya Cobbold juga berperanan
membuat syor-syor perlembagaan setelah mengadakan lawatan di 35 buat tempat di sekitar
Borneo Utara dan Sarawak termasuk kawasan-kawasan pedalaman yang melibatkan 50
perjumpaan dengan sejumlah 4000 orang. Menurut Abdul Aziz (2008), segala perkara
berbangkit semasa perjumpaan dan perbincangan dengan ketua-ketua kaum dan pertubuhan
dan melalui surat serta memorandum yang diterima, telah menghasilkan input-input yang
berguna untuk perhatian dan penelitian suruhanjaya.

Hasil siasatan mereka dimuatkan dalam sebuah dokumen yang dikenali sebagai Penyata
Cobbold (lampiran 2). Menurut Fatihah (2017), hasil tinjauan dan siasatan mendapati bahawa
majoriti rakyat Sabah dan Sarawak iaitu sebanyak 80% menyokong penubuhan Malaysia.
Dalam penyata tersebut juga telah dimuatkan syor-syor Perlembagaan Malaysia. Antara
perkara penting yang dikemukakan dalam syor tersebut adalah jaminan kedudukan istimewa
kaum peribumi Sabah dan Sarawak serta kuasa imigresen kedua-dua negeri tersebut.

Setelah selesai pengumuman Penyata Cobbold pada 1 Ogos 1962, kerajaan British dan
kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengeluarkan satu kenyataan bersama yang
menyatakan bahawa kedua-dua pihak menerima hampir kesemua syor-syor yang dikemukakan
oleh Suruhanjaya Cobbold.

Dapatlah dirumuskan bahawa Suruhanjaya Cobbold merupakan pemudahcara dalam


menyelesaikan isu-isu yang timbul semasa penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia.
Kewujudan suruhanjaya ini juga merupakan bukti bahawa majoriti penduduk Sabah dan
Sarawak bersetuju dengan gagasan Malaysia.

3
2.3 Syarat yang dikenakan oleh Sabah sebelum menyertai Malaysia : Perkara 20

Berikutan dengan cadangan penubuhan Malaysia, parti-parti politik di Sabah telah mengadakan
pertemuan bagi membincangkan mengenai kedudukan Sabah. Menurut Fuziah dan Ruslan
(2001), Parti UNKO, USNO, Democratic and United Party (DUP) dan UNPMO telah merangka
14 perkara yang perlu dipatuhi sekiranya cadangan Malaysia diteruskan. Senarai ini
kemudiannya menjadi 20 perkara yang menjadi asas dalam perbincangan membabitkan wakil-
wakil Sabah dengan Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK). Dalam konteks ini, JAK merupakan
suatu jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan perlembagaan yang berkaitan
dengan penyertaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan persekutuan Malaysia. Dalam hal
ini Sabah telah mengemukakan 20 perkara yang diyakini akan melindungi hak dan kepentingan
Sabah.

Syarat-syarat yang dinyatakan oleh pihak Sabah telah disatukan dibawah satu memorandum
yang dikenali sebagai Perkara 20 (lampiran 1). Antara isu hangat yang diketengahkan dalam
memorandum tersebut adalah mengenai bahasa dan agama rasmi yang diguna pakai di
Sabah. Menurut Mohd. Azrone dan Norhafzan (2018), dalam Perkara 1 dan 2, dinyatakan
bahawa Sabah menuntut agar tidak ditetapkan agama rasmi di negeri tersebut manakala dari
aspek bahasa rasmi pula, bahasa yang digunakan adalah bahasa Inggeris. Fasal-fasal ini
membuktikan bahawa Sabah mempunyai pendirian sendiri dalam menentukan agama dan
bahasa rasmi negeri. Faktor signifikan Sabah berpendirian demikian adalah demi menjaga
kemakmuran rakyat yang berbilang kaum di negeri tersebut.

Isu hangat seterusnya yang diketengahkan dalam memorandum Perkara 20 adalah mengenai
Perkara 8 yang mendesak agar proses melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan
awam dipercepatkan. Fasal ini penting demi kelangsungan proses pemborneonisasian di negeri
tersebut. Dalam erti kata lain, tuntutan dalam Perkara 8 penting bagi memastikan pentadbiran-
pentadbiran di negeri tersebut ditadbir oleh orang tempatan sendiri dan bukannya pihak luar.
Bukan itu sahaja, langkah ini juga penting bagi melindungi negeri daripada dijajah secara
senyap oleh pihak luar.

Banyak lagi tuntutan-tuntutan lain yang dinyatakan dalam Perkara 20 seperti kuasa imigresen,
hak-hak istimewa anak pribumi Sabah dan kewangan negeri. Menurut Mohammad Idris et al
(1995), tuntutan ini kemudiannya menjadi asas kepada pembentukan perlembagaan Malaysia
yang baru. Dokumen inilah yang menjadi pelindung kepada kepentingan Sabah sebelum

4
menyertai Malaysia. Jelaslah bahawa Sabah mempunyai pendirian sendiri sebelum menyertai
Malaysia.

2.4 Rumusan

Dapatlah dirumuskan bahawa penyertaan Sabah ke dalam Malaysia telah membangkitkan


berbagai-bagai reaksi dan isu. Namun kesemua isu dan reaksi negatif ini akhirnya berjaya
diselesaikan dengan cara yang bijak dan tidak bersifat berat sebelah. Sekiranya, hak-hak dan
kepentingan Sabah sentiasa dipelihara dan dilindungi, nescaya Sabah akan terus makmur dan
maju di dalam Malaysia.

3.0 ISU-ISU BERKAITAN PENYERTAAN SARAWAK DALAM MALAYSIA

Sama seperti Sabah, penyertaan Sarawak ke dalam Malaysia juga telah mengundang
berbagai-bagai isu dan reaksi. Pada mulanya, reaksi yang diterima adalah berbentuk negatif
kerana Sarawak lebih selesa berada di bawah pemerintahan British dan belum mempunyai
keyakinan untuk membentuk pemerintahan sendiri. Namun isu ini akhirnya berjaya ditangkis
secara bijak oleh pihak kerajaan persekutuan dan British.

3.1 Parti Politik yang Membantah dan Menyokong Pelaksanaan Gagasan Malaysia

Pengumuman gagasan Malaysia telah menimbulkan berbagai-bagai reaksi daripada parti-parti


politik di Sarawak. Dalam konteks ini, terdapat 2 buah parti politik yang wujud di Sarawak
sebelum pengumuman gagasan Malaysia, iaitu parti Sarawak United People’s Party (SUPP) di
bawah pimpinan Ong Kee Hui dan Parti Negara Sarawak (PANAS) di bawah pimpinan Dato’
Bandar Abang Haji Mustapha. Namun kedua-dua parti ini mempunyai pandangan yang berbeza
mengenai gagasan Malaysia. SUPP menolak sekeras-kerasnya penubuhan Malaysia manakala
PANAS pula merupakan parti terawal yang menyokong gagasan Malaysia.

Parti-parti politik yang muncul setelah itu adalah seperti Sarawak National Party (SNAP) di
bawah pimpinan Stephen Kalong Ningkan dan parti Rakyat Jati Sarawak (BARJASA). Parti
seterusnya adalah Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) di bawah pimpinan Temenggung
Jugah dan Sarawak Chinese Association (SCA).

Pada peringkat awal, cadangan penubuhan Malaysia kurang mendapat sokongan daripada
parti-parti di Sarawak. Tentangan paling hebat datang daripada SUPP yang beranggapan
bahawa gagasan Malaysia merupakan suatu bentuk penjajahan baru dan bimbang Sarawak
akan dikuasai oleh Persekutuan Tanah Melayu. Malah SUPP telah pun bergabung dengan Parti

5
Rakyat dari Brunei dan UNKO dari Sabah bagi membentuk Barisan Bersatu yang bertujuan
untuk menolak secara lantang penubuhan Malaysia. Mohd. Noor (1979) menyatakan bahawa
SNAP, PESAKA dan BARJASA juga turut menolak gagasan Malaysia pada awalnya kerana
parti-parti ini mahukan kemerdekaan terlebih dahulu dan bimbang kaum peribumi akan
kehilangan identiti.

Namun selepas lawatan Tunku Abdul Rahman pada Jun 1961 ke Sarawak, pada bulan Oktober
1962, kesemua parti politik Sarawak kecuali SUPP telah bersetuju untuk bergabung bagi
membentuk Parti Perikatan Sarawak. Menurut Mohd Isa (2002), Parti Perikatan Sarawak telah
berjuang ke arah menyokong Sarawak menyertai Malaysia dan berusaha menyekat pengaruh
SUPP. Namun akhirnya SUPP bertukar fikiran setelah Barisan Bersatu dijemput untuk
menyertai persidangan Persatuan Parlimen Komanwel kelapan di Singapura.

Dapatlah dirumuskan bahawa cadangan penubuhan Malaysia telah menimbulkan berbagai-


bagai reaksi daripada parti politik di Sarawak. Walaupun pada awalnya kebanyakan parti
menolak penubuhan Malaysia, namun setelah ditimbang tara dengan teliti, akhirnya kesemua
parti bersetuju untuk menyertai Malaysia.

3.2 Pungutan Suara yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold

Sama seperti yang berlaku ke atas Sabah, Suruhanjaya Cobbold juga telah datang ke Sarawak
untuk meninjau pandangan rakyat Sarawak mengenai cadangan penubuhan Malaysia. Menurut
sheela (1993), suruhanjaya ini telah mengadakan berpuluh-puluh perjumpaan dengan orang
ramai dan telah menerima sebanyak 2,200 memorandum. Memorandum-memorandum tersebut
telah diteliti dan dijadikan input berguna dalam membina syor-syor perlembagaan. Suruhanjaya
Cobbold bukan sahaja berperanan dalam meninjau pendapat rakyat, malah suruhanjaya ini
juga berperanan dalam membuat syor-syor perlembagaan.

Laporan tinjauan telah dimuatkan dalam satu dokumen yang dikenali sebagai Penyata Cobbold.
Dalam konteks ini, menurut Kassim (2002), hasil tinjauan mendapati bahawa majoriti rakyat
Sarawak bersetuju terhadap cadangan penubuhan Malaysia. Syor-syor perlembagaan juga
telah dimuatkan dalam Penyata Cobbold. Antara perkara yang disentuh dalam syor-syor
tersebut adalah seperti kuasa autonomi ke atas kawalan imigresen, pemborneosasian dan hak
istimewa pribumi Sarawak.

6
Jelaslah bahawa Suruhanjaya Cobbold memainkan peranan yang amat penting dalam proses
pembentukan Malaysia. Penyata Cobbold merupakan bukti bahawa majoriti rakyat Sarawak
bersetuju untuk berada dalam Malaysia.

3.3 Syarat yang dikenakan oleh Sarawak sebelum menyertai Malaysia : Perjanjian 18
Perkara

Sama seperti Sabah, Sarawak juga telah menetapkan beberapa syarat sebelum menyertai
Malaysia. Syarat-syarat tersebut telah dimuatkan dalam sebuah dokumen yang dikenali sebagai
Perjanjian 18 Perkara (rujuk Lampiran 3). Menurut Mohd. Noor (1979), Perjanjian 18 Perkara
dijadikan sebagai salah satu asas dalam pembentukan Perlembagaan Malaysia bersama-sama
dengan Perkara 20 dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Badan yang
bertanggungjawab dalam mengkaji peruntukan perlembagaan yang berkaitan dengan
penyertaan Sabah dan Sarawak adalah JAK.

Antara tuntutan hangat yang diusulkan dalam Perjanjian 18 Perkara adalah kuasa autonomi ke
atas kawalan imigresen. Abdul Aziz (2008) menyatakan bahawa dalam Perkara 6, Sarawak
menuntut agar diberikan kuasa untuk mengawal kemasukan penduduk Tanah Melayu ke dalam
Sarawak. Sabah juga menuntut hal yang sama. Kuasa imigresen ini membuktikan bahawa
Sarawak dan Sabah tidak mahu orang-orang di Tanah Melayu masuk sewenang-wenangnya ke
dalam negeri mereka. Selain itu, dalam memorandum ini juga telah dinyatakan tuntutan hak
istimewa peribumi Sarawak, hak pemisah, agama, bahasa dan banyak lagi.

Dapatlah dirumuskan bahawa Sarawak juga sama seperti Sabah yang mempunyai pendirian
yang tersendiri sebelum menyertai Malaysia. Syarat-syarat yang dinyatakan ini haruslah
dihormati demi menjaga kemakmuran Malaysia dan kemajuan Sarawak dalam Malaysia.

3.4 Rumusan

Dapatlah disimpulkan bahawa penyertaan Sarawak ke dalam Malaysia telah mengundang


berbagai-bagai reaksi dan isu sama seperti Sabah. Walaupun reaksi yang diterima pada
peringkat awal berbentuk negatif namun setelah diteliti dan dipantau, Sarawak akhirnya
bersetuju dengan cadangan penubuhan Malaysia. Sekiranya Perjanjian Perkara 18 yang
dinyatakan oleh Sarawak dipelihara dan dihormati, nescaya Sarawak akan sentiasa makmur
dan maju dalam Malaysia.

7
4.0 PENUTUP

Secara keseluruhannya, penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia telah


menimbulkan berbagai-bagai reaksi dan isu baik daripada pihak parti politik mahupun rakyat.
Dapat disimpulkan bahawa pada peringkat awal, sambutan yang diterima agak tidak
memberansangkan kerana kedua-dua negeri masih ingin berada di bawah pemerintahan dan
belum bersedia membentuk pemerintahan sendiri. Namun setelah tertubuhnya badan-badan
seperti MSCC, Suruhanjaya Cobbold dan JAK, kedua-dua negeri ini kemudiannya menyatakan
persetujuan dan sokongan dalam gagasan Malaysia.

Akhir kata, semua pihak baik daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah mahupun Sarawak
hendaklah sentiasa menjaga hubungan baik sesama sendiri. Isu-isu yang pernah berlaku
haruslah dijadikan teladan dan berusaha untuk tidak mengulangi kembali isu tersebut demi
menjaga kemakmuran negara. Syarat-syarat yang pernah diusulkan juga haruslah sentiasa
dihormati dan dilindungi. Sekiranya semua pihak saling menghormati dan melindungi hak
masing-masing, nescaya aspirasi kerajaan untuk melahirkan sebuah negara yang sentiasa
aman dan makmur akan dapat diimplimentasikan.

Anda mungkin juga menyukai