Anda di halaman 1dari 4

GEOGRAFI TINGKATAN 2 (Nota 19)

BAB 6: TELEKOMUNIKASI DI MALAYSIA

Kebaikan Internet

1. Perkongsian Maklumat
Pelbagai maklumat dapat dikongsi dan diperoleh dengan hanya melayari Internet
tanpa dikenakan sebarang bayaran dan had masa. Maklumat yang diperoleh bukan
sahaja dalam bentuk teks tetapi juga dalam bentuk grafik. Pelayar sesawang hanya
perlu menggunakan enjin carian untuk mendapatkan maklumat yang mereka inginkan
sama ada digunakan untuk pembelajaran, kajian, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Di Internet, terdapat banyak enjin carian
dan google.com, search.com dan yahoo.com adalah beberapa contoh enjin carian yang
lazim digunakan.

2. Alat Komunikasi
Internet telah dijadikan sebagai platform untuk berkomunikasi. Internet merupakan
alat komunikasi yang amat mudah dan tanpa memerlukan kos yang tinggi.
Penggunaan messenger seperti Yahoo, Skype, Gtalk dan Hotmail telah memudahkan
lagi komunikasi antara pelbagai pihak dan penggunaanya amat meluas. Selain
berkomunikasi dengan menggunakan teks, penggunaannya telah dipertingkatkan lagi
dengan penggunaan suara dan video yang membolehkan kita berkomunikasi dengan
menggunakan suara sambil melihat wajah masing- masing hanya dengan
menggunakan Internet. Alat komunikasi ini juga amat berguna kepada syarikat-
syarikat yang mempunyai cawangan di serata dunia. Komunikasi antara setiap
cawangan seluruh dunia dapat dijalankan hanya menggunakan video
conferencing atau Teleconference.

3. Jimatkan Kos dan Masa


Penggunaan Internet ini secara tidak langsung telah menjimatkan kos seperti kos
panggilan telefon dan kos pengangkutan. Bagi penjimatan kos panggilan misalnya,
kebiasaannya kos panggilan ke antarabangsa dengan menggunakan telefon analog
amat mahal jika dibandingkan dengan penggunaan skype yang tidak mengenakan
sebarang caj. Manakala penggunaan Voice Over Internet Protocol (VOIP) ternyata caj
yang dikenakan jauh lebih murah berbanding dengan kos panggilan biasa. Penjimatan
kos pengangkutan ketara dapat dilihat di syarikat-syarikat besar yang mempunyai
cawangan di seluruh dunia. Mesyuarat atau perbincangan dapat dilakukan hanya
dengan menggunakan video conference atau teleconference. Mereka tidak perlu
mengembara ke serata tempat untuk bermesyuarat.

4. Berita Terkini
Penggunaan Internet telah memudahkan berita terkini disampaikan dengan cepat.
Kebanyakan surat khabar mempunyai laman web sendiri seperti The Star dan CNN.
Laman web ini sentiasa dikemas kini dan memaparkan berita terkini yang berlaku di
seluruh dunia.

5. Promosi
Internet dijadikan alat untuk mengiklan produk untuk sesebuah syarikat. Internet
bukan sahaja murah malah lebih berkesan kerana boleh diakses di seluruh dunia.
Terdapat syarikat yang menawarkan program berkembar yang amat berkesan dan
murah untuk mengiklankan produk sesebuah syarikat atau orang perseorangan.

6. Hiburan
Terdapat pelbagai bentuk hiburan boleh dinikmati hanya dengan melayari Internet.
Kita boleh menonton secara dalam talian dengan hanya melayari pelbagai laman web
yang menyediakan perkhidmatan tersebut
seperti http://www.youtube.com dan http://www.mysoju.com. Selain itu, terdapat juga
permainan (games) yang boleh dimainkan secara dalam talian bersama-sama
dengan gamers dari serata dunia. Melalui Internet terdapat juga hiburan lain seperti
mendengar muzik dan berinteraksi dengan kawan-kawan baharu di alam maya.

7. Pendidikan Secara Dalam Talian


Pada masa kini, terdapat banyak universiti yang telah menawarkan pendidikan secara
jarak jauh yang memerlukan perkhidmatan Internet. Pelajar tidak perlu menghadiri
kuliah secara fizikal kerana kuliah dilakukan secara dalam talian dan pelajar hanya
mengaktifkan video conference untuk menghadiri kuliah. Nota pembelajaran boleh
dimuat turun secara dalam talian, kuliah boleh direkodkan dan pelajar boleh
mendengar kuliah tersebut secara berulangkali. Di samping itu, keputusan
peperiksaan juga boleh diperoleh secara dalam talian.
8. Perkhidmatan
Pada masa kini, syarikat-syarikat seperti syarikat perbankan, penerbangan, bas, hotel
dan agensi pelancongan menawarkan perkhidmatan secara atas talian bagi
memudahkan pengguna. Contohnya, Maybank2u menawarkan perkhidmatan
perbankan secara atas talian dan para pemegang akaun Maybank boleh menggunakan
perkhidmatan yang ditawarkan tanpa memerlukan caj yang berlebihan. Begitu juga
dengan syarikat penerbangan, para pengguna boleh menempah tiket penerbangan
secara atas talian pada bila-bila masa.

9. Sosial
Laman sosial ialah alat untuk berkongsi dan berhubung dengan sesiapa sahaja di
seluruh dunia secara maya. Antara laman sosial yang popular
ialah Facebook, Twitter, Google+ dan Instagram. Melalui laman sosial, pengguna
dapat berhubung dengan rakan-rakan lama, mewujudkan kumpulan-kumpulan
pengguna daripada minat dan hobi yang sama dan mengemas kini aktiviti-aktiviti
semasa dengan cepat dan berkesan.

Keburukan Internet
1. Ketidaktepatan Maklumat
Terdapat banyak maklumat yang boleh kita peroleh daripada Internet. Namun
demikian, adakah semua maklumat tersebut tepat? Bagaimana kita hendak
memastikan sama ada maklumat yang kita terima itu tepat ataupun tidak? Hal ini
memang boleh mengelirukan malah memberi impak yang besar kepada sesetengah
pihak. Terdapat pelbagai golongan yang menggunakan Internet dan menyebarkan
maklumat mengikut kepentingan diri masing-masing. Ada yang menggunakan
Internet untuk menabur fitnah bagi tujuan menjatuhkan pihak tertentu. Oleh yang
demikian, kita mestilah bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat yang diterima.

2. Virus/Malware/Worm/Trojan
Internet merupakan salah satu sumber yang digunakan untuk menyebarkan
segala virus, malware, worm atau trojan. Pengguna Internet perlu mempunyai
pengetahuan tentang serangan virus, malware, worm atau trojan untuk memastikan
komputer yang digunakan selamat daripada serangan virus dan data selamat daripada
diceroboh. Kekurangan ilmu pengetahuan tentang cara- cara menghindari komputer
kita daripada serangan virus akan memudahkan komputer tersebut
diceroboh. Virus, malware, wormatau trojan ini bukan sahaja menyerang sebuah
komputer malah boleh menyerang komputer yang terdapat dalam rangkaian yang
sama. Serangan ini akan menyebabkan kerosakan kepada sistem komputer seterusnya
akan menganggu prestasi komputer dan juga rangkaian.

3. Bahan-Bahan yang Tidak Bermoral


Pada masa kini, terdapat banyak bahan-bahan yang tidak bermoral seperti gambar-
gambar dan video-video yang tidak sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak dan
remaja. Bahan-bahan ini memberi impak yang tidak baik kepada masyarakat secara
umumnya. Bahan-bahan begitu mudah didapati di Internet. Ibu bapa hendaklah
memantau laman-laman web yang diakses oleh anak-anak mereka dan sekiranya
perlu, perisian penapisan Internet seperti Norton Family, DNS
Angel, Bitdefender, Parental Controls, Family Safety dan lain-lain perlulah dipasang
di komputer yang digunakan oleh anak-anak mereka. Hal ini bagi memudahkan ibu
bapa untuk memantau laman-laman web yang diakses oleh anak-anak mereka.

4. Isu Keselamatan
Pernahkah kita terfikir maklumat peribadi kita yang terdapat di bank, sekolah,
universiti, jabatan-jabatan kerajaan selamat daripada diakses oleh pihak-pihak yang
tidak bertanggungjawab? Bagaimanakah tahap keselamatan yang terdapat di dalam
pelayan-pelayan yang menyimpan data-data kita? Pelayan yang mudah digodam oleh
para penggodam boleh menyebabkan segala maklumat peribadi dan data-data sulit
jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Tahap keselamatan dalam
mengakses ke pelayan dan sistem sekuriti rangkaian haruslah dipertingkatkan serta
dikemaskini dari semasa ke semasa.

5. Pembaziran Masa dan Melalaikan


Pembaziran masa berlaku sekiranya terlampau lama bermain permainan dalam talian,
sembang maya dan melayari laman-laman yang tidak berfaedah. Aktiviti- aktiviti ini
boleh dilakukan tetapi masa yang diperuntukkan mestilah dihadkan. Laman
sosial facebooksahaja mempunyai pelbagai aplikasi yang boleh diguna seperti
permainan dan sembang maya. Sesetengah syarikat menyekat akses ke laman tersebut
kerana boleh mengurangkan produktiviti pekerja terhadap kerja mereka.

Anda mungkin juga menyukai