Anda di halaman 1dari 36

HALAMAN PENGAKUAN Kami akui karya ini adalah hasil kerja kami sendiri kecuali nukilan dan ringkasan

n yang tiap tiap satunya telah kami jelaskan sumbernya .

Tandatangan Nama Penulis Tarikh

Tandatangan Nama Penulis Tarikh

Tandatangan Nama Penulis Tarikh

SEKAPUR SIREH... Assalamualaikum, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya dapat kami menyiapkan tugasan Kerja Kursus Berasakan Ilmu (KKBI) Projek Geografi Persekitaran (PSS 3104) dengan jayanya. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih ditujukan khas untuk pensyarah tersayang, Puan Anisah Bt Harun dan Cik Nur Hijrah Bt Zakaria . Tanpa bimbingan mereka, tidak mungkin kami dapat menyiapkan tugasan ini mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Sesungguhnya segala tunjuk ajar dan bimbingan yang diperolehi sepanjang menyiapkan tugasan ini amatlah berharga serta akan dipraktikkan pada masa hadapan. Ucapan jutaan terima kasih ditujukan kepada pemandu pelancong yang banyak memberikan informasi yang diperlukan mengenai kawasan kajian serta sabar melayani setiap pertanyaan yang diajukan oleh kami. Ribuan terima kasih turut ditujukan kepada semua responden yang sudi memberikan kerjasama yang baik sama ada ketika ditemubual atau ketika menjawab borang soal selidik. Tidak ketinggalan kepada semua ahli kumpulan, ucapan tahniah dan syabas kerana telah berjaya menyelesaikan tugasan ini dengan jayanya. Buat ibu bapa yang kami sayangi, terima kasih di atas bantuan kewangan serta tidak jemu memberikan sokongan moral agar kami berjaya menyiapkan tugasan ini. Selain itu, terima kasih kepada rakan- rakan dari unit PISMP Kajian Sosial Semester Dua yang sudi berkongsi pandangan dan melontarkan idea yang bernas disaat kami ketandusan idea. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara tidak langsung dalam menjayakan proses menyiapkan kerja kursus ini. Semoga Allah memberkati mereka.

PERKARA

MUKA SURAT

1.0 PENDAHULUAN 2.0 KAEDAH MENGUMPUL MAKLUMAT 3.0 KONSEP BUDAYA 3.1 3.2 3.3 3.4 3.5 Budaya Menghargai masa Budaya mematuhi peraturan Budaya Gotong-royong Budaya berpakaian Budaya Seni Tari dan Alat Muzik

1 2 3 4 5 6 7 7 9 9 11 12 12 13 14 15 33

4.0 SUMNER MENGAPLIKASIKAN BUDAYA 4.1 buku teks 4.2 Information Communication Technology (ICT) 4.3 Bahan bantu mengajar 4.4 Projek kewarganegaraan 5.0 NILAI-NILAI MURNI DALAM USAHA MEREALISASIKAN PERPADUAN 6.0 RUMUSAN 7.0 BIBLIOGRAFI LAMPIRAN

1.0 PENDAHULUAN

1.1

LATAR BELAKANG PULAU LANGKAWI

Langkawi merupakan salah satu daerah di negeri Kedah. Langkawi adalah suatu gugusan pulau dimana Langkawi merupakan pulau yang terbesar. Dikelilingi oleh 99 buah pulau, Langkawi yang terletak di utara Selat Melaka dan selatan Laut Andaman hanyalah 30 km daripada persisir pantai utara Malaysia. Langkawi berada di kedudukan 6 21 U 99 48 T (Rajah 1). Bukan itu sahaja, Langkawi juga hanyalah beberapa kilometer sahaja daripada sempadan Thailand iaitu Ko Tarutoa. Bandar utama bagi pulau ini adalah Kuah. Titik tertinggi Langkawi adalah di Gunung Raya iaitu mencapai ketinggian 890 m daripada aras laut. Kepulauan ini merangkumi jumlah kawasan darat sebanyak 478.5 km2. Langkawi kini dikenali sebagai Langkawi Geopark.

Rajah 1 : Kedudukan Langkawi dalam Malaysia Nama Langkawi diambil daripada perkataan bahasa Melayu iaitu helang. Langkawi suatu ketika dahulu merupakan tempat tinggal sejumlah burung helang kawi. Kawi bererti merah hati. Ini kerana helang di sana berwarna merah hati dan berkepala putih. Kawi juga bermaksud tulisan Kawi yang digunakan oleh masyarakat tradisional Hindu Jawa. Kawi juga merujuk kepada sejenis batu iaitu Batu Kawi. Batu Kawi dikatakan terdapat di Langkawi. Patung Helang yang terdapat di Dataran Helang juga berdiri di atas Batu Kawi (Rajah 2). Menurut Tun Mohamed Zahir dalam bukunya The Legends of Langkawi, nama Langkawi terhasil daripada gabungan bahasa Sanskrit iaitu Langka yang membawa maksud keindahan dan Wi yang bererti tidak terkira.

Rajah 2 : Dataran Lang Kegiatan ekonomi di Langkawi suatu ketika dahulu adalah berasaskan agro seperti penanaman padi dan getah serta perikanan. Kini kegiatan ekonomi telah dipelopori oleh ekonomi berasaskan pelancongan seperti pemandu pelancong, perniagaan dan seni kraf tangan. Bagi menaikkan taraf Langkawi di mata dunia, Wilayah Koridor Ekonomi Utara (NCER) sedang berusaha untuk menarik minat hotel dan resort bertaraf dunia untuk melabur di pulau tersebut. Menurut Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada tahun 2010, bilangan pelancong yang datang ke Langkawi semakin meningkat dari 2.3 juta orang pada tahun 2008 ke 2.38 juta orang pada tahun 2009. Kepulauan Langkawi boleh dihubungkan melalui pengangkutan air dan udara. Dari jeti Kuah, terdapat kemudahan feri berkelajuan tinggi yang menghubungkan Satun yang terletak di selatan Thailand, Pulau Pinang, Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Kapal Star Cruise juga boleh berlabuh di pelabuhan Awana Porto Malai yang berada di sebelah barat pulau. Pengangkutan udara pula dihubungkan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Singapura, Hong Kong, Guangzhou dan Phuket (Rajah 3). 1.2 LATAR BELAKANG KAWASAN KAJIAN

1.2.1 Latar Belakang Pekan Kuah

Rajah 3 : Peta Pekan Kuah Pekan Kuah merupakan pekan utama di Pulau Langkawi. Pekan ini yang terletak di tenggara Pulau Langkawi menjadi pintu masuk utama untuk ke Pulau Langkawi. Nama 'Kuah' berasal daripada sebuah cerita dongeng mengenai pergaduhan di antara dua ekor gergasi yang mengakibatkan sebelanga gulai tertumpah di kawasan tersebut. Sempena dengan peristiwa itu, tempat tersebut kemudiannya dinamakan 'Kuah'. Pada waktu dahulu, Pekan Kuah hanya merupakan sebuah pekan kecil tetapi kini Pekan Kuah menjadi sebuah pusat bandar yang maju dengan pelbagai kemudahan tempat penginapan dan perniagaan.

1.2.2 Latar Belakang Kilim Karst Geoforest Park

Rajah 4 : Peta Kilim Karst Geoforest Park Kilim Karst Geoforest Park memaparkan landskap batu kapur di bahagian timur Pulau Langkawi dan pulau-pulau kecil di sekitarnya. Landskap ini merupakan antara landskap yang terindah di dunia. Tarikan hidupan liar seperti burung dan sistem gua yang terdapat disini merujuk kepada cerita-cerita dongeng dan mistik seperti burung Helang, Gua Cerita dan Sang Kelembai yang terjadi di Pulau Langkawi. Antara gua yang terdapat disini ialah Gua Kelawar. Gua Kelawar terletak di Timur Laut Pulau Langkawi, iaitu kira-kira 10 minit berkereta dari Pekan Kuah. Gua ini terletak di kaki bukit Kilim yang dikelilingi hutan paya bakau. Kerajaan negeri Kedah telah membina beberapa titi batu di dalam gua ini bagi memudahkan pelancong untuk meneroka kawasan gua.

1.2.3 Latar Belakang Kereta Kabel Langkawi

Rajah 5 : Kereta kabel Kereta kabel Langkawi terletak di Gunung Machincang iaitu di bahagian barat laut Pulau Langkawi. Kereta kabel ini mula dibina dari April 2001 hingga Ogos 2004 dan mula dibuka untuk orang ramai pada 27 Februari 2005. Di sini, pengunjung boleh menikmati keindahan alam semulajadi Pulau Langkawi melalui Langkawi Sky Bridge. Langkawi Sky Bridge mempunyai kepanjangan 125 meter dan berada pada ketinggian 700 meter dari paras laut. 1.3 KEGIATAN EKONOMI DI LANGKAWI Kegiatan ekonomi merupakan penyumbang terbesar dalam pembangunan sesebuah negara. Pulau Langkawi terkenal dengan pelbagai kegiatan ekonomi. Antara kegiatan ekonomi yang terdapat di Langkawi ialah perikanan pinggir pantai, perikanan akuakultur, perniagaan gedung dan runcit, pengangkuta air serta pengangkutan darat. Sektor pelancongan pula menjadi nadi kepada kegiatan ekonomi yang lain.

2.0 KAEDAH MENGUMPUL MAKLUMAT


Sepanjang melaksanakan Kerja Kursus Berasaskan Ilmu (KKBI) bagi subjek Geografi Persekitaran (PSS3104) terdapat beberapa kaedah mengumpul maklumat yang telah digunakan bagi melengkapkan kerja kursus subjek ini. Antara kaedah yang digunakan ialah :

2.1

RUJUKAN PERPUSTAKAAN Setelah diamanahkan untuk menyempurnakan kerja kursus ini, kami telah

membuat beberapa rujukan di Perpustakaan Ibnu Sina bagi mendapatkan maklumat mengenai kegiatan ekonomi pelancongan secara umum. Perbincangan bersama rakan sekelas juga turut diadakan di Perpustakaan Ibnu Sina. 2.2 EKSPLORASI INTERNET Pelbagai maklumat dapat diperoleh apabila melayari internet. Bagi

menyelesaikan tugasan ini, kami mencari maklumat tambahan mengenai latar belakang serta ciri-ciri kawasan kajian. Melalui kemudahan internet yang disediakan, segala

maklumat yang diperlukan dapat diakses dengan segera. Contohnya dengan melayari laman web Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pelbagai maklumat mengenai kegiatan pelancongan di kawasan kajian dapat diperoleh. 2.3 PEMERHATIAN Kaedah pemerhatian dilakukan secara langsung untuk memperolehi data secara first hand. Pemerhatian dilakukan di kawasan kajian iaitu di Pekan Kuah, Kilim Geopark dan di Kereta Kabel Langkawi. Bagi memudahkan data dianalisis, borang pemerhatian disediakan untuk merekod perkara-perkara yang berkaitan dengan tajuk kajian. Antara item yang terdapat dalam borang pemerhatian di Pekan Kuah ialah mengenai jenis pengangkutan dan penginapan yang disediakan. 2.4 PERBINCANGAN Berdasarkan tajuk tugasan, perbincangan bersama dengan ahli kumpulan amat penting. Hal ini kerana, semasa perbincangan dijalankan, data dan maklumat yang telah diperoleh akan diproses dan dibincangkan bersama-sama. Selain itu, idea-idea daripada rakan juga dapat diketahui.Perbincangan turut diadakan bersama dengan pensyarah pembimbing. Melalui perbincangan kumpulan, pelbagai input berguna akan diperoleh untuk dijadikan bahan rujukan dalam proses menyiapkan kerja kursus. Antara

perkara yang dibincangkan ialah mengenai cadangan yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah yang berlaku dalam sektor pelancongan di kawasan kajian dan potensi aktiviti pelancongan pada masa hadapan. 2.5 TEMUBUAL Kaedah temubual merupakan instrumen yang paling utama digunakan untuk memperolehi maklumat. Sepanjang melaksanakan kajian lapangan di kawasan kajian, ahli kumpulan telah menemubual orang sumber, pelancong asing dan tempatan serta mendapat kerjasama masyarakat setempat dalam usaha untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Antara soalan yang dikemukakan kepada responden termasuklah mengenai kawasan tumpuan pelancong, masalah yang dihadapi oleh sektor pelancongan, serta kepentingan aktiviti pelancongan. 2.6 SOAL SELIDIK Instrumen soal selidik turut membantu menambahkan info yang diperlukan bagi menyelesaikan kerja kursus subjek ini. Borang soal selidik diedarkan kepada responden untuk menjawab soalan berkenaan tugasan kerja kursus. Antara soalan yang terdapat dalam borang soal selidik tersebut ialah mengenai tahap kebersihan di kawasan kajian serta penilaian terhadap kemudahan-kemudahan yang disediakan di sana.

3.0 DAPATAN KAJIAN

3.1

CIRI-CIRI KEGIATAN PELANCONGAN Terdapat beberapa faktor yang menarik perhatian pelancong untuk datang ke

Pulau Langkawi. Antaranya adalah faktor alam semulajadi, sejarah/lagenda/mitos, zon bebas cukai ,budaya serta kemudahan penginapan dan pengangkutan. Salah satu tarikan utama pelancong adalah alam semulajadi. Pulau Langkawi merupakan sebuah pulau yang dianggap sebagai syurga tropika. Mekar dengan

tumbuhan khatulistiwa dan didiami oleh habitat yang terpelihara, Pulau Langkawi tidak ada tolok bandingnya dengan kepulauan lain di Asia Tenggara. Dikelilingi oleh 99 buah pulau lain, Langkawi telah wujud sejak 500 juta tahun dahulu. Pulau ini terdiri daripada rangkaian batu batan yang unik serta meransang minat dan minda para pengunjung. Gua-guanya pula dihiasi indah dengan rangkaian stalakit dan stalagmit yang mempunyai pelbagai bentuk dan saiz. Pantai-pantai yang bersih, cuaca yang terang dan ceria sesuai untuk pencinta alam menikmati keindahan laut dan menjalankan aktiviti sukan berasaskan air. Pengiktirafan Langkawi oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) pada 1 Jun 2007 sebagai Geotaman Langkawi menambah minat pelancong untuk melancong ke Pulau Langkawi. Geo mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud kajian berkaitan dengan bumi manakala taman bermaksud tempat bersiar-siar. Geotaman mengikut Kamus Dewan adalah tempat bersiar-siar yang berkaitan dengan bumi. Mengikut LADA, Geotaman memberi definisi yang lebih meluas. Ia merujuk kepada sesuatu kawasan, tidak kira kecil atau besar yang mempunyai unsur-unsur seperti sejarah batu, foramsi menarik pelbagai jenis batu serta landskap unik dan indah. Ia menarik dan penting dari sudut pandangan para akademik, menarik dan mempesonakan dari sudut pandangan awam. Apa yang terdapat di dalamnya mempunyai nilai warisan yang boleh dihayati dan wajar dipelihara, meliputi biodiversiti iaitu flora, faunadan kegiatan ekonomi setempat. Menurut Abberley dan Malvern Hills Geopark pada tahun 2006, geotaman merupakan satu kaedah bagi melindungi kawasan yang mempunyai kepentingan geologi di peringkat tempatan, negara dan antarabangsa. UNESCO pula mentakrifkan geotaman dengan lebih meluas dimana ia tidak tertakluk kepada geologi ataupun batuan sahaja tetapi meliputi kegiatan masyarakat yang berlaku didalamnya melibatkan aktiviti ekonomi khususnya yang berkaitan dengan pelancongan. Terdapat tiga komponen utama dalam geotaman iaitu konservasi, pembangunan pelancongan dan pembangunan sosioekonomi. Konservasi bermaksud memelihara warisan bernilai dalam geotaman. Komponen ini merangkumi aspek konservasi warisan geo, konservasi kepelbagaian geologi dan warisan kebudayaan. Pembangunan pelancongan pula melibatkan aktiviti menggiatkan ekonomi setempat khususnya dalam aktiviti pelancongan di geotaman. Antara prasarana pelancongan yang dibangunkan

adalah hotel/resort, pameran/pendidikan, penyelidikan/rekreasi dan kesedaran awam. Akhir sekali, pembangunan sosioekonomi adalah cara menggalakkan penyertaan masyarakat dalam geotaman termasuk dalam bidang perniagaan dan kebudayaan. Pembangunan sosioekonomi dijalankan dengan menggiatkan aktiviti-aktiviti ekonomi, menambahkan bilangan penglibatan pendududuk tempatan dan juga mempelbagaikan peluang-peluang baru kepada penduduk setempat. Secara keseluruhanya, Geotaman Langkawi mempunyai kawasan seluas 478 kilometer persegi yang meliputi keseluruhan gugusan pulaunya. Kawasan geotaman ini meliputi keseluruhan ciri-ciri fizikal, hutan dan petempatan penduduk. Tarikan utama Geotaman Langkawi adalah formasi batuan tertua, nilai geologinya yang tinggi, struktur utama dan sokongan, pasir dan persisiran pantai serta pelancongan pendidikan. Terdapat tiga kawasan di kepulauan Langkawi yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai Geotaman Langkawi iaitu The Machinchang Cambrian Geoforest Park, Kilim Karst Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park. (Rajah )

Rajah 6 : Kawasan Geotaman Langkawi The Machinchang Cambrian Geoforest Park mempunyai formasi batuan tertua di Pulau Langkawi yang dikenali sebagai Formasi Machinchang. Formasi ini sudah berusia antara 450 juta tahun hingga 550 juta tahun. Walaupun telah berusia jutaan tahun, formasi ini masih lagi kukuh. Ini dibuktikan melalui ketahanan formasi ini menghadapi cuaca tropika. Formasi ini turut menjadi bukti bahawa Malaysia dan Asia Tenggara telah wujud sejak jutaan tahun lalu. Formasi ini terletak di bahagian barat

kepulauan Langkawi dan terdiri daripada jujukan batuan klastik iaitu selang lapis batu lodak, batu pasir dan konglomerat. Lapisan batu pasir merupakan jujukan paling dominan yang membentuk Formasi Machinchang. Batuan ini sangat tahan dengan proses luluhawa dan membentuk tanah tinggi pergunungan Machinchang. Terdapat beberapa keajaiban alam semulajadi yang terbentuk akibat proses geologi seperti Pantai Pasir Tengkorak, Pulau Anak Datai dan landskap indah sepanjang Banjaran Machinchang. (Rajah dan Rajah) Tumbuh-tumbuhan di puncak Gunung Machinchang adlah unik kerana hampir kesemua pokok adalah pendek dan renek. Secara keseluruhannya, terdapat 60 jenis pokok daripada 40 spesis yang berlainan dilaporkan terdapat di gunung ini. Antara pokok yang menarik adalah Eurycoma Longifolia (Tongkat Ali), Syzigium Attenuatum (Kelat Bukit), Tagraea Elliptica (Tembusu Bukit) dan Globba Fragilis (Tepus Tanah). Puncak Gunung Machinchang boleh dinaiki menggunakan kemudahan kereta kabel yang telah disediakan.

Rajah 7 : Struktur batuan di Pantai Machincang Pasir Tengkorak

Rajah 8 : Puncak Gunung

Kawasan geotaman seterusnya pula dikenali sebagai Kilim Karst Geoforest Park. Geotaman ini mempunyai formasi batu kapur tertua iaitu Formasi Setul. Kawasan geotaman ini menengahkan landskap batuan kapur yang menakjubkan serta mempunyai pelbagai bentuk dan saiz. (Rajah) Formasi Setul secara dominannya terdiri daripada dua jenis batu kapur iaitu batu kapur yang sangat keras, berwarna gelap dan berpelapisan tebal dan juga batu kapur yang telah terhablur semula menjadi marmar. Selain daripada itu, di dalam formasi ini juga terdapat unit klastik yang terdiri daripada syal, batu lumpur, batu lodak, batu pasir dan rijang. Tersingkap di bahagian timur Pulau

Langkawi, formasi ini meliputi beberapa kawasan iaitu Tanjung Sabong di bahagian utara, Tanjung Ru, Pulau Langgun, Kilim, Pulau Timun, Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting di bahagian selatan. Tarikan utama pelancongan di geotaman ini adalah hidupan liar, sistem gua, tasik air tawar dan ekosistem. Kepelbagaian fauna di geotaman ini dibuktikan melalui penemuan 44 spesis mamalia, 23 jenis katak, 5 jenis penyu, 17 jenis cicak, 33 jenis ular, 238 spesis burung, 129 spesis hidupan marin, 7 jenis ikan tembakul dan 55 spesis plankton. Antara haiwan yang menarik minat pelancong adalah monyet pemakan ketam, Macaca fascicularis dengan kebolehannya untuk menyelam dan berenang dengan cekap semasa menangkap ketam. Terdapat tiga jenis ekosistem di geotaman ini iaitu hutan paya bakau, tumbuhan yang hidup di batu kapur dan tumbuhan yang hidup dataran lumpur dan pantai. Flora di kawasan goetaman ini mewakili 53% spesis kayu bakau di Malaysia dan 48% spesis kayu bakau di dunia.

Rajah 9: Batu kapur yang berbagai saiz dan bentuk

Rajah 10: Monyet Pemakan Ketam, Macaca fascicularis

Akhir sekali adalah Dayang Bunting Marbel Geoforest Park. Geotaman ini merupakan campuran antara marmar Formasi Chuping dan juga batu kapur Formasi Setul. Geotaman ini mempunyai keistimewaan tersendiri dan agak berlainan jika dibandingkan dengan geotaman yang lain sebagai contoh Gua Pasir Dagang. Gua ini terletak di Tasik Dayang Bunting dan panjangnya cuma 100 meter. Gua ini dipenuhi dengan pelbagai bentuk stalaktit dan stalagmit. Dindingnya pula dipenuhi oleh marmar semulajadi. Tarikan utama geotaman ini adalah Tasik Dayang Bunting. (Rajah) Tasik ini

merupakan tasik air tawar yang terhasil daripada runtuhan dinding gua. Hutan paya bakau yang subur sepanjang Selat Dayang Bunting menghiasi geotaman ini. Bukan itu sahaja, geotaman ini dilatari dengan gabungan batu marmar dan granit membentuk seorang wanita yang sedang mengandung. (Rajah)

Rajah 11: Tasik Dayang Bunting dari atas

Rajah 12: Gambaran wanita sedang mengandung

Daya penarik yang seterusnya adalah sejarah/lagenda/mitos. Terdapat beberapa tempat di Pulau Langkawi yang memegang cerita tertentu. Antara tempat yang terkenal dengan ceritanya adalah Makam Mahsuri, Tasik Dayang Bunting dan Galeria Perdana. Makam Mahsuri merupakan makam peringatan atas pengorbanan Mahsuri yang telah dituduh melakukan perkara sumbang. Menurut lagenda, darah putih mengalir keluar dari tubuh Mahsuri apabila ditikam dan pada saat ajalnya, beliau telah bersumpah bahawa Langkawi tidak akan maju selama tujuh keturunan. Galeria Perdana pula menempatkan hadiah dan anugerah yang dihadiahkan kepada mantan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Galeri ini merupakan tinggalan sejarah yang berharga pada negara. Seterusnya, faktor yang menarik kedatangan pelancong ke Pulau Langkawi adalah kawasan membeli-belah zon bebas cukai iaitu Pekan Kuah. Pekan Kuah merupakan pusat kepada Kepulauan Langkawi. Dahulunya, Kuah hanya merupakan sebuah pekan kecil tetapi kini merupakan pusat Bandar yang begitu maju dengan pelbagai kemudahan penginapan dan perniagaan. Pekan ini tidak sesibuk Bandarbandar besar yang lain seperti Kuala Lumpur ataupun Johor Bahru. Kuah kini merupakan pusat membeli-belah bebas cukai dengan berbagai barangan yang

bermutu. Restoran-restoran sekitar Pekan Kuah pula menghidangkan pelbagai jenis makanan laut yang segar. Antara barangan bebas cukai yang terdapat di Pulau Langkawi adalah pinggan mangkuk, coklat, kain batik, rokok dan arak. Bukan itu sahaja, kedatangan pelancong ke Langkawi juga adalah atas faktor budaya. Kepulauan Langkawi penuh dengan keunikan dan kepelbagaian budaya. Sesetengah pelancong tidak kira tempatan atau asing berminat untuk mengetahui serta mempelajari cara hidup yang diamalkan sejak turun temurun di Langkawi. Antara destinasi yang banyak mempamerkan warisan kebudayaan Langkawi adalah Kampung Air Hangat. Kompleks moden ini dihiasi dengan tiga tingkat pancutan air panas dan mural dari batu sungai sepanjang 18 meter. Demontrasi kraft tangan tempatan dan tarian kebudayaan juga diadakan setiap hari. Bukan itu sahaja, pameran dan jualan kraftangan tradisional juga diadakan khas untuk peminat kraftangan. Akhir sekali, kemudahan pengangkutan dan penginapan yang pelbagai dan mudah juga menjadi tarikan untuk pelancong datang ke Pulau Langkawi. Darjah ketersampaian yang tinggi ke Pulau Langkawi memudahkan pelancong untuk keluar masuk ke pulau. Bukan itu sahaja, kemudahan awam seperti kereta sewa amat mudah didapati di sekitar Langkawi. Bagi aspek penginapan pula, terdapat pelbagai jenis penginapan yang disediakan seperti hotel, inn, apartment, chalet dan lain-lain. Pelancong boleh memilih penginapan mengikut citarasa sama ada di tepi pantai atau di tengah bandar.

3.2

LATAR BELAKANG RESPONDEN Sepanjang melaksanakan Kerja Kursus Berasaskan Ilmu (KKBI) bagi subjek

Geografi Persekitaran (PSS3104) terdapat beberapa responden yang telah ditemubual bagi mendapatkan maklumat untuk melengkapkan kerja kursus subjek ini. Antara responden tersebut ialah :

Foto 1 : Encik Ruslan bin Akib Encik Ruslan bin Akib merupakan antara responden yang banyak menyumbang maklumat kepada kumpulan kami. Beliau berumur dalam lingkungan 42 tahun. Beliau bekerja sebagai pemandu pelancong dan pada masa yang sama turut berkhidmat sebagai pemandu bas untuk Mahsuri Travel Agency. Oleh sebab beliau merupakan pemandu pelancong, banyak informasi mengenai Kilim Geopark yang diceritakan kepada kami. Di samping itu, kami turut menemuramah beliau untuk memperolehi maklumat mengenai masalah dan kepentingan aktiviti pelancongan .

Foto 2 : Puan Ishan bt Ab Hamid Puan Ishan bt Hamid merupakan penjaga kaunter tiket di Gua Kelawar yang berusia 49 tahun. Antara soalan yang dikemukakan kepada beliau ialah mengenai musim kedatangan pelancong serta cadangan penambahbaikan yang boleh

dilaksanakan di Gua Kelawar. Antara cadangan penambahbaikan yang dikemukakan responden ialah menambah panjang laluan bertiti serta waktu melawat.

Foto 3 : Puan Fadzillah Responden kumpulan kami yang berikutnya ialah Puan Fadzillah. Beliau berusia 34 tahun dan bekerja sebagai pembantu tadbir di Persatuan Nelayan Kuala Langkawi. Puan Fadzillah merupakan penduduk tempatan. Antara perkara yang menjadi isu temubual ialah mengenai potensi masa depan kegiatan pelancongan di Langkawi serta kepentingan aktiviti pelancongan. 3.3 KEPENTINGAN KEGIATAN PELANCONGAN DI LANGKAWI Pelancongan adalah nadi utama sektor ekonomi di Langkawi. Malah, pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan begitu menitikberatkan program pembangunan ekonomi kegiatan pelancongan. Hal ini kerana sektor pelancongan di Langkawi mempunyai banyak kepentingannya tersendiri. Antara kepentingan kegiatan pelancongan ialah memperkenalkan Langkawi ke serata dunia. Langkawi mula mendapat status pulau bebas cukai pada tahun 1987. Melalui pengisytiharaan status tersebut, saban tahun kedatangan pelancong ke Langkawi kian bertambah. Kita sedia maklum, kawasan kajian mempunyai pelbagai tempat menarik misalnya Sky Bridge dan Cable Car yang terus mendapat tempat di hati pelancong, baik pelancong tempatan mahupun pelancong asing. Kedatangan pelancong asing menambahkan lagi peluang untuk Langkawi terkenal sebagai destinasi pilihan pelancong bertaraf antarabangsa. Seterusnya kepentingan pelancongan ialah meningkatkan ekonomi negara. Melalui aktiviti pelancongan, berlakunya pengaliran mata wang asing ke dalam negara.

Hal ini kerana berlakunya pertukaran mata wang asing kepada Ringgit Malaysia (RM) apabila pelancong luar negara mahu membeli belah di kawasan kajian. Pelancong tempatan juga gemar berbelanja sekaligus menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Pertumbuhan ekonomi yang rancak dapat membantu menjana pembangunan di Langkawi. Melalui kegiatan pelancongan, akan berlakunya penambahbaikan infrastruktur serta penyediaan kemudahan yang berkualiti kepada para pelancong serta penduduk tempatan. Perkembangan pesat aktiviti pelancongan di Langkawi menyebabkan seluruh kawasan berpotensi untuk dibangunkan. Oleh itu, kebanyakan tempat di kawasan kajian telah menerima kemudahan-kemudahan seperti bekalan air, bekalan elektrik, telekomunikasi serta pembinaan jalan raya. Penambahbaikan infrastruktur serta penyediaan kemudahan yang berkualiti dapat memudahkan urusan pelancong dan penduduk tempatan. Aktiviti pelancongan penting untuk memastikan pemeliharaan kawasan

semulajadi. Alam semulajadi merupakan satu aset yang digunakan bagi menarik kedatangan pelancong untuk melihat keindahan alam serta memberi peluang kepada mereka merasai pengalaman baru. Penubuhan kawasan yang dilindungi (protected area) contohnya Kilim Geopark secara tidak langsung dapat memastikan kawasan yang kaya dengan biodiversiti geologi, flora dan fauna dapat dipelihara untuk tatapan generasi akan datang dan pelancong. Kepentingan pelancongan yang berikutnya ialah menyediakan peluang

pekerjaan. Pembukaan kawasan yang berpotensi untuk menjadi tarikan pelancong akan menyediakan segenap peluang pekerjaan buat penduduk. Misalnya penduduk tempatan berpeluang untuk bekerja sebagai pemandu pelancong, pemandu bot serta pengusaha kedai makan. Pembukaan rumah-rumah penginapan, hotel-hotel dan pusat membeli belah di sekitar kawasan tersebut dapat memberi peluang pekerjaan pada penganggur. Jesteru itu, kadar pengangguran dalam negara dapat dikurangkan dan guna tenaga dapat ditingkatkan. 3.4 MASALAH SEKTOR PELANCONGAN

Terdapat beberapa masalah yang timbul hasil daripada sektor pelancongan. Menurut kajian yang dijalankan di Pulau Langkawi, antara masalah yang ditimbulkan oleh sektor pelancongan ialah masalah pengangkutan, masalah kebersihan, masalah penularan wabak penyakit, masalah layanan dan servis, masalah pencemaran budaya, dan masalah komunikasi. Masalah pengangkutan di Pulau Langkawi ialah masalah kekurangan jumlah pengangkutan yang disediakan pada waktu musim kemuncak. Sewaktu musim cuti sekolah atau musim acara bertema berlangsung, pengangkutan yang disediakan adalah terhad dan tidak mencukupi. Untuk ke Pulau Langkawi pada waktu-waktu sebegini, pengunjung perlu menempah kenderaan untuk disewa setahun lebih awal bagi mengelakkan berlaku ketiadaan kenderaan untuk disewa. Bagi pengangkutan air, di kawasan pelancongan Kilim Karst Geoforest Park, berlaku kekurangan bot apabila waktu kemuncak. Menurut responden, bot untuk membawa pelancong mengelilingi kawasan Kilim Karst Geoforest Park tidak mencukupi terutamanya pada waktu pagi. Pelancong yang datang untuk menikmati keindahan batu kapur dan alam semulajadi di situ terpaksa menunggu giliran untuk menaiki bot. Masalah kebersihan yang paling utama berlaku di Pulau Langkawi adalah masalah pembuangan sampah. Menurut responden yang merupakan penduduk tempatan di situ, satu perseratus pelancong yang datang ke Pulau Langkawi membuang sampah merata-merata. Kebersihan kurang dipraktikkan oleh pelancong sama ada pelancong tempatan atau luar negara. Sampah yang dibuang menyebabkan berlakunya longkang tersumbat, sekaligus mengganggu sistem saliran dan

mencemarkan pemandangan indah di Pulau Langkawi. Masalah seterusnya ialah masalah penularan wabak penyakit. Masalah penularan wabak penyakit berlaku apabila pelancong asing yang datang ke Pulau Langkawi membawa wabak penyakit seperti Sindrom Akut Pernafasan Teruk (SARS) dan influenza A (H1N1). Sebagai contoh, pada April 2010 wabak influenza A (H1N1) telah tersebar dengan meluas apabila pelancong negara berisiko datang melancong di

Pulau Langkawi. Banyak sekolah terpaksa ditutup dan dikuarantin berikutan masalah penularan wabak penyakit tersebut. Selain itu, masalah pelancongan yang berlaku di Langkawi ialah masalah layanan dan servis kepada pengunjung. Walaupun diseru oleh kerajaan agar memberikan layanan baik kepada pengunjung, masih terdapat masyarakat di Pulau Langkawi terutamanya golongan muda yang bekerja di premis perniagaan gagal berbuat demikian. Bagi bahagian penginapan, kadang kala pengusaha resort dan chalet mengambil kesempatan ke atas pelancong dengan mengenakan caj yang tidak relevan. Setelah membayar caj yang dikenakan, pelancong tidak menikmati servis yang sepatutnya diterima. Pencemaran budaya juga merupakan antara masalah yang berlaku di Pulau Langkawi berikutan perkembangan sektor pelancongan. Seperti yang kita ketahui, Pulau Langkawi merupakan pulau bebas cukai. Arak yang dijual di sana sangat murah dan mudah didapati. Budaya minum arak tidak lagi menjadi perkara asing bagi golongan anak-anak muda di sana. Masalah ini berlaku dalam kalangan penduduk tempatan. Pendedahan dan penyerapan budaya barat terhadap sosio budaya penduduk tempatan berlaku dengan pantas. Budaya lain yang ditiru penduduk tempatan termasuklah cara berpakaian, pergaulan bebas, dan sebagainya. Budaya baru ini dibawa masuk oleh pelancong asing terutama dari Eropah dan Amerika Syarikat. Seterusnya masalah komunikasi. Masalah komunikasi sering berlaku di antara penduduk tempatan dan pelancong asing. Apabila pelancong asing datang ke Pulau Langkawi, mereka kebanyakannya tidak tahu berbahasa melayu dan tidak fasih berbahasa Inggeris terutamanya bagi pelancong Thailand. Begitu juga bagi penduduk tempatan di Pulau Langkawi. Kebanyakan penduduk tempatan Pulau Langkawi tidak fasih berbahasa Inggeris. Masalah komunikasi berlaku apabila mereka saling tidak memahami. 3.5 LANGKAH PENYELESAIAN

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dengan masalah yang terdapat dalam sektor pelancongan. Seperti yang kita ketahui, pengangkutan amat penting untuk kemudahan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain. Mempunyai pengangkutan untuk kegunaan harian di Pulau Langkawi sudah tentu menjadi satu kemestian bagi setiap pelancong. Langkah penyelesaian bagi masalah pengangkutan yang terhad di Langkawi ialah pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan pengangkutan awam agar sektor pelancongan Pulau Langkawi tidak terjejas akibat daripada masalah kemudahan pengangkutan yang dihadapi. Dengan adanya kemudahan pengangkutan yang mencukupi, hasrat pelancong untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik di Pulau Langkawi akan tercapai. Langkah penyelesaian bagi masalah pembuangan sampah ialah melalui perlaksanaan kempen kesedaran secara menyeluruh sama ada kepada penduduk tempatan atau pelancong yang datang ke Pulau Langkawi. Antara perkara yang boleh dijalankan ialah dengan mengedarkan bahan risalah, mengadakan ceramah atau forum tentang kebersihan alam sekitar, serta kem kesedaran kebersihan alam sekitar. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita perlu sedar akan perkaraperkara yang boleh mempengaruhi kedatangan pelancong. Pemeliharaan kebersihan wajib disemai dalam diri setiap insan. Langkah lain bagi pemeliharaan kebersihan di Pulau Langkawi ialah dengan menguatkuasakan undang-undang. Pembuang sampah akan dikenakan tindakan dan hukuman yang berat sama ada melibatkan penduduk tempatan mahupun pelancong. Bagi masalah penularan wabak penyakit, pihak kerajaan perlu prihatin akan wabak penyakit yang sentiasa berleluasa. Setiap pelancong yang masuk ke dalam negara perlu mengadakan ujian saringan penyakit terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia. Hal ini sangat penting kerana pelancong asing yang datang ke negara kita pada kebiasaannya akan berisiko untuk membawa pelbagai wabak penyakit yang merbahaya. Masalah sikap anak muda di Pulau Langkawi yang memberikan layanan kurang mesra boleh diubah berpandukan aduan daripada pelancong. Walaupun perkara ini

tidak melibatkan keseluruhan penduduk Pulau Langkawi, namun perkara ini memberikan impak yang besar kepada sektor pelancongan. Staf-staf muda yang terlibat dengan pelbagai sektor di Pulau Langkawi seharusnya diberi latihan khusus mengenai khidmat layanan dan servis. Masalah ini dapat diatasi jika mereka mempunyai kesedaran sivik dalam diri masing- masing dan berusaha untuk mengubah sikap diri sendiri. Selain itu, bagi masalah pencemaran budaya, pihak kerajaan harus mengadakan kempen bagi menyemai kembali budaya melayu dalam kalangan remaja di Pulau Langkawi. Bagi remaja yang bermasalah dalam penglibatan dengan masalah budaya, mereka perlu dihantar bagi menghadiri kem-kem agama bagi membangkitkan kembali semangat sebagai seorang islam dan menyemai kembali nilai-nilai ketimuran dalam diri mereka. Bagi yang bukan islam, mereka boleh diberi kaunseling sesuai dengan masalah yang dilakukan. Masalah terakhir ialah masalah komunikasi. Pihak kerajaan boleh mengadakan kursus-kursus bahasa lain seperti kursus Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab agar tidak berlaku sebarang masalah komunikasi dengan pelancong yang datang dari luar negara. Kursus-kursus ini harus terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira sektor yang diceburi mereka.

3.6

KESAN KEGIATAN PELANCONGAN KEPADA ALAM SEKITAR Aktiviti pelancongan membawa banyak kesan kepada alam sekitar sama ada

dari sudut positif atau negatif. Antara kesan positif aktiviti pelancongan kepada alam sekitar adalah melindungi khazanah alam dan menyediakan habitat untuk fauna.

Manakala kesan negatif pula adalah pencemaran dan hakisan, gangguan ekologi serta gangguan kepada sistem gua. Alam semulajadi merupakan salah satu aset penting kepada sesebuah negara. Keindahan alam semulajadi dapat menarik perhatian pelancong untuk melihat keindahan, keunikan dan merasai pengalaman baru. Kesedaran terhadap kepentingan untuk memelihara alam semulajadi di pelbagai peringkat seperti kerajaan, swasta dan rakyat untuk jaminan masa depan telah menyebabkan penubuhan beberapa kawasan yang dilindungi (protected area). Bukan itu sahaja, dengan adanya kawasan ini proses pemuliharaan dan pemeliharaan alam semulajadi dapat dijalankan secara berterusan. Penubuhan kawasan yang dilindungi melalui geotaman merupakan salah satu pendekatan bagi memastikan kawasan yang kaya dengan biodiversiti geologi, flora dan fauna serta warisan kebudayaan penduduk dipelihara untuk generasi masa hadapan dan tatapan pelancong. Antara contoh kawasan yang dilindungi adalah Kilim Karst Geoforest Park. Pelancongan berasaskan alam semulajadi juga membantu menyediakan habitat untuk fauna. Dewasa ini, kebanyakan hutan ditebang untuk tujuan pembangunan. Hal ini menyebabkan fauna kehilangan habitat semulajadinya dan mula menggangu petempatan penduduk sekitar. Dengan adanya penubuhan kawasan yang dilindungi seperti geotaman dan taman negara, secara langsung telah menyediakan habitat yang sesuai kepada fauna. Habitat yang sesuai dapat menjamin pembiakan pelbagai spesis fauna. Antara habitat yang terdapat di geotaman Langkawi adalah hutan paya bakau dan hutan dara. Bukan itu sahaja, dengan adanya pelbagai spesis fauna, siratan makanan yang sedia ada tidak putus. Ini kerana fauna di sana saling melengkapi antara satu sama lain daripada pengeluar hinggalah pengurai. Antara contoh fauna yang terdapat di geotaman Langkawi adalah monyet berkaca mata (Trachypithecus Obscurus) dan monyet pemakan ketam (Macaca Fascicularis). Seterusnya, aktiviti pelancongan telah menyebabkan berlakunya pencemaran dan hakisan. Pencemaran di kawasan geotaman yang paling ketara berlaku adalah pembuangan sampah merata-rata. Perkara ini berlaku disebabkan oleh sikap tidak

bertanggungjawab segelintir pelancong. Mengikut responden, 1 daripada 100 orang pelancong yang memasuki kawasan geotaman akan membawa masalah. Sesetengah sampah yang dibuang adalah tidak mudah reput dan sukar dilupuskan seperti plastik. Penggunaan plastik telah meningkatkan jumlah sampah terkumpul tahunan. Jika hal ini berlarutan, kawasan geotaman Langkawi akan terjejas dengan sampah sarap yang banyak. Hakisan di kawasan geotaman Langkawi pula berlaku disebabkan oleh ombak yang terhasil dari bot. Hakisan ini membentuk gua-gua di sekitar batu kapur. Jika perkara ini berlarutan, mungkin akan berlakunya runtuhan batu kapur disebabkan oleh hakisan. Selain itu, pelancongan juga membawa kesan yang buruk kepada ekologi. Antara masalah yang dihadapi tumpahan minyak, pencemaran atau sisa kumbahan dan haiwan tidak berdikari. Masalah tumpahan minyak di sekitar geotaman akan mengakibatkan cahaya terhalang untuk masuk ke dalam air. Ini akan menyebabkan pembiakan plankton terhenti. Ikan-ikan tidak mempunyai makanan seterusnya akan mengakibatkan kepupusan spesis. Pencemaran dan pembuangan sisa kumbahan akan menyebabkan serangga penjana terumbu karang iaitu polyps mati. Jesteru itu, penambahan terumbu karang tidak dapat dilakukan. Haiwan di kawasan geotaman Langkawi tidak lagi berdikari untuk mencari makan. Ini disebabkan oleh tindakan pelancong yang sering memberi makan kepada fauna tertentu. Sebagai contoh aktiviti Eagle Feeding di Kilim Karst Geoforest Park menyebabkan burung helang tidak lagi berburu sebaliknya hanya menunggu diberi makan. Akhir sekali, aktiviti pelancongan di kawasan geotaman Langkawi telah menyebabkan gangguan kepada sistem gua. Seperti yang kita ketahui, stalaktit dan stalagmit mengambil masa yang lama untuk tumbuh. Namun disebabkan oleh sikap segelintir pelancong yang tidak bertanggungjawab, stalaktit dan stalagmit kerap dirosakkan untuk dijadikan sebagai kenangan atau cenderamata. Bukan itu sahaja, kemasukan pelancong yang berterusan ke dalam gua menyebabkan suhu gua berubah. Apabila suhu gua berubah, proses pertumbuhan stalaktit dan stalagmit juga akan terganggu disebabkan oleh suhu yang tidak sesuai.

3.7

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN DAN LANGKAH MENGATASI KESAN PELANCONGAN KEPADA ALAM SEKITAR Terdapat beberapa cadangan penambahbaikan dan langkah mengatasi kesan

pelancongan kepada alam sekitar. Antaranya ialah dengan mengekalkan status dan pengiktirafan geotaman, tidak melakukan pembangunan yang boleh merosakkan alam sekitar, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan dan kesedaran serta pencegahan dan pengawalan. Langkah penambahbaikan yang pertama adalah dengan mengekalkan status dan pengiktirafan Langkawi sebagai geotaman. Khazanah alam semulajadi dapat dilindungi dengan adanya pengiktirafan tersebut. Baru-baru ini, Langkawi telah dinilai semula sebagai geotaman oleh pihak UNESCO selama empat hari bermula 25 Julai 2011 hingga 28 Julai 2011. Penilaian semula geotaman Langkawi ini merupakan salah satu cara bagi memastikan proses pemuliharaan dan pemeliharaan flora dan fauna di sekitar geotaman sentiasa berterusan. Dengan adanya status geotaman, kawasan geotaman Langkawi dianggap sebagai kawasan yang dilindungi. Sebarang

pembangunan yang boleh mengganggu gugat alam sekitar adalah satu kesalahan jika dilakukan. Penambahbaikan seterusnya adalah dengan memastikan tidak melakukan pembangunan yang boleh merosakkan alam sekitar supaya habitat fauna sentiasa diindungi. Sebarang pembangunan di kawasan geotaman tidak digalakkan kerana boleh mengganggu ekosistem di sana. Sebagai contoh, tinggalan jambatan yang hendak dibina di sungai Kilim telah mengganggu ekosistem dan perjalanan bot di sepanjang sungai tersebut. Selain itu, setiap pembangunan yang dijalankan hendaklah diselia dan dipantau dengan ketat. Pihak berkuasa hendaklah memantau pembangunan yang dijalankan. Sebagai contoh, jika terdapat pembangunan resort di kawasan berhampiran geotaman, pastikan sisa dan sampah tidak dibuang merata-rata atau dibuang ke dalam sungai Kilim. Penguatkuasaan undang-undang juga merupakan salah satu langkah untuk mengatasi masalah pencemaran dan hakisan di geotaman. Antara undang-undang

yang boleh dikuatkuasakan adalah seperti Akta Warisan Kebangsaan (AMK), 2005 (Akta 645). Akta ini menyatakan bahawa menyediakan peruntukan bagi pemuliharaan dan pemeliharaan Warisan Kebangsaan, warisan semulajadi, warisan kebudyaan ketara dan tidak ketara, warisan kebudayaan di bawah air, harta karun dan perkaraperkara yang berkaitan. Mengikut temubual yang telah dijalankan, denda akan dikenakan sebanyak 10 ribu hingga 100 ribu bagi setiap batang pokok yang ditebang oleh pembalak di dalam kawasan geotaman Langkawi. Bukan itu sahaja, aspek pendidikan dan kesedaran dapat membantu mengatasi masalah gangguan ekologi dan pencemaran. Pendidikan alam sekitar hendaklah dipupuk di bangku sekolah lagi supaya dapat membentuk individu yang cintakan alam semulajadi. Kempen-kempen kesedaran boleh dijalankan di sekitar Langkawi. Antara kempen yang dijalankan adalah seperti program Hari Alam Sekitar Sedunia, Kempen Alam Sekitar dan Kempen Buku Hijau. Dengan andanya kempen-kempen seperti ini, orang awam seperti penduduk tempatan dan pelancong akan lebih sedar dan peka dengan kepentingan menjaga alam sekitar. Selain itu, media masa seperti televisyen, majalah, surat khabar dan radio juga boleh memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat mengenai penjagaan terhadap alam sekitar. Akhir sekali adalah melakukan pencegahan dan pengawalan bagi

mengurangkan gangguan kepada sistem gua. Pihak geotaman boleh mengawal bilangan pelancong yang masuk melawat gua dalam satu masa seperti Gua Kelawar dan Gua Cerita. Pengawalan terhadap bilangan pelancong yang melawat gua dalam satu masa akan memastikan suhu gua tidak berubah bagi menjamin pertumbuhan stalaktit dan stalagmit. Selain itu, langkah pencegahan juga perlu diambil kira dalam memastikan sistem gua tidak terganggu. Pihak geotaman hendaklah meletakkan beberapa peraturan semasa berada di dalam gua. Antara peraturan yang terdapat sebelum memasuki Gua Kelawar adalah tidak membuat bising, tidak merokok, tidak membuang sampah merata-rata dan tidak menangkap gambar serta hanya meggunakan lampu suluh yang diberikan. Ini adlah untuk memastikan ekosistem gua tersebut supaya tidak terganggu.

3.8

POTENSI KEGIATAN PELANCONGAN DI LANGKAWI Secara umumnya, kegiatan pelancongan di Langkawi mempunyai potensi untuk

berkembang secara positif. Kehadiran pelancong kian bertambah tahun demi tahun. Hal ini terbukti apabila statistik kedatangan pelancong pada tahun 1986 menunjukkan hanya 209673 orang pelancong yang mengunjungi Langkawi, tetapi setelah Langkawi diisytiharkan pulau bebas cukai, kedatangan pelancong meningkat secara ketara dimana statistik pada tahun 2007 menunjukkan seramai 2334794 orang pelancong mengunjungi pulau tersebut. Pada masa hadapan, lebih banyak kawasan tarikan pelancong akan

dibangunkan. Misalnya program homestay di Pulau Tuba berpotensi untuk dimajukan sekaligus menjadi kawasan tarikan pelancong. Walaupun aktiviti pelancongan berkembang pesat pada masa hadapan, tetapi pada yang sama, keindahan alam semulajadi tetap dikekalkan. Hal ini kerana alam semulajadi adalah antara faktor penarik pelancong datang ke Langkawi, misalnya di Kilim Geopark. Pada masa akan datang, kegiatan ekonomi pelancongan akan menjadi nadi penggerak ekonomi lain, contohnya aktiviti perniagaan runcit dan borong. Antara faktor penyebab kepada aktiviti pelancongan di Langkawi berkembang positif ialah kerana dasar governan. Sebagai contoh,pengisytiharaan Langkawi sebagai pulau bebas cukai telah diuar-uarkan sekaligus menarik minat pelancong untuk melancong Malah aktiviti pelancongan akan berkembang secara positif kerana faktor bentuk muka bumi yang unik. Selain itu, aktiviti pelancongan berkembang positif pada masa akan datang disebabkan adanya program pembangunan terancang oleh pihak berkuasa iaitu Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA). Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihak LADA ketika ini sedang menjalankan kajian bagi membangunkan Langkawi Tourism Blueprint untuk tahun 2011 sehingga 2015. Program ini dirancang bagi memastikan Langkawi menjadi Global Top 10 Island dan Eco-Adventure Destination pada tahun 2015. Pada masa akan datang juga, aktiviti pelancongan berkembang secara positif kerana Langkawi akan menjadi pusat perkembangan ekonomi.

Aktiviti pelancongan perniagaan di Pekan Kuah akan terus mendapat sambutan pelancong kerana di situ merupakan pusat tumpuan untuk membeli belah. Pada masa hadapan, kemungkinan akan berlakunya penambahbaikan infrastruktur. Malah, wujudnya pembinaan kemudahan awam yang lebih kondusif serta mesra pengguna. Mesra pengguna membawa maksud kemudahan yang disediakan turut dapat digunakan oleh orang kelainan upaya (OKU). Penambahan pusat membeli belah di Pekan Kuah akan membolehkan pelancong membuat pilihan terbaik untuk berbelanja. Kilim Geopark akan terus berpotensi menjadi lokasi pilihan pelancong kerana di sana merupakan lokasi pemeliharaan alam semulajadi. Kilim Geopark juga akan menjadi produk pelancongan alternatif sekaligus menarik minat pelancong untuk melancong ke Langkawi. Pada masa akan datang, aktiviti pelancongan di Kilim Geopark dapat meningkatkan pembangunan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi Langkawi. Bukan itu sahaja, Kilim Geopark turut berpotensi sebagai medium pelancongan yang akan mempromosikan Langkawi sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa. Seterusnya adalah potensi pelancongan reakreasi iaitu di Kareta Kabel, Langkawi. Kebanyakan pengunjung memilih Kereta Kabel sebagai destinasi tarikan utama pelancongan mereka. Oleh sebab kawasan tersebut ialah kawasan utama

tarikan pelancong, maka pada masa akan datang, kereta kabel Langkawi tetap akan dikunjungi oleh pengunjung, terutamanya golongan yang menggemari aktiviti rekreasi serta pelancong-pelancong yang ingin merakamkan memori manis berada di bumi Langkawi Permata Kedah. 4.0 KESIMPULAN Bagi melengkapkan tugasan Kerja Kursus Berasaskan Ilmu ( KKBI ) untuk subjek Geografi Persekitaran, unit Pengajian Sosial telah melakukan tinjauan terhadap kegiatan ekonomi di Pulau Langkawi. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, pelbagai maklumat dan pengetahuan baru telah diperoleh. Tugasan seperti ini dapat meningkatkan

kecekapan guru pelatih mengurus dan menjalankan kerja luar malah dapat menggalakkan kemahiran mengumpul data secara first hand. Tuntutan tugasan memerlukan kami menghuraikan mengenai kegiatan ekonomi pelancongan di kawasan kajian. Perkara-perkara yang menjadi dapatan kajian termasuklah mengenai ciri-ciri pelancongan, kepentingan, masalah yang dihadapi oleh sektor pelancongan,langkah mengatasi serta kesan kegiatan pelancongan terhadap alam sekitar. Antara perkara yang dapat disimpulkan ialah mengenai kepentingan sektor pelancongan, misalnya menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan ekonomi negara. Di samping itu, dapat juga dirumuskan bahawa sektor pelancongan di Langkawi menghadapi masalah dari segi pengangkutan, pencemaran budaya, kebersihan dan masalah komunikasi. Namun, terdapat beberapa cadangan untuk mengatasi masalahmasah tersebut, misalnya kursus menguasai bahasa asing serta kempen kebersihan. Aktiviti pelancongan juga mendatangkan kesan positif dan negatif terhadap alam sekitar. Kesan positif tersebut ialah melindungi khazanah alam,manakala kesan negatif terhadap alam sekitar ialah berlakunya gangguan ekologi dan hakisan. Untuk mengatasi kesan negatif aktiviti pelancongan terhadap alam sekitar di kawasan kajian, status Geotaman perlu dikekalkan serta melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dengan lebih terperinci. Pendidikan juga menjadi medium untuk menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Tuntasnya, aktiviti pelancongan di Langkawi akan berkembang secara positif dengan kehadiran pelancong yang semakin bertambah saban tahun. Lebih banyak kawasan tarikan pelancong akan dibangunkan tetapi pada yang sama keindahan alam semulajadi tetap dikekalkan. 5.0 BIBLIOGRAFI

Hj. Rusly Musa dan Hjh. Nurashikin Abdullah. 2006. Masalah yang Ditimbulkan oleh Sektor Pelancongan Terhadap Persekitaran fizikal. Longman. Petaling Jaya

Selangor. Hj. Rusly Musa dan Hjh. Nurashikin Abdullah. 2006. Masalah yang Ditimbulkan Sektor Pelancongan terhadap Persekitaran Manusia. Longman. Petaling Jaya Selangor. Johan Affendi Ibrahim, Mohamad Zaki Ahmad. Penubuhan Geotaman Langkawi dan Kesan-kesannya kepada industri pelancongan. Diakses pada 4 Ogos 2011 di http://sssums.files.wordpress.com/2007/09/penubuhan-geotaman-langkawi kesan-kepada-industri-pelancongan.pdf Muslim Abdul Razak. Sedia kerjasama majukan Langkawi. Diakses pada 3 Ogos 2011 http://wartakedah.net/index.php?option=com_content&view=article&id=1104%3A sedia-kerjasama-dengan-pihak-luar-majukanlangkawi&catid=36%3Aberita&Itemid=67&lang=ms Tiada nama penulis. Apa itu Geopark?. Diakses pada 3 Ogos 2011 http://www.lada.gov.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=44&I temid=171

Tiada nama penulis. Kepentingan Pelancongan. Diakses pada 23 Februari 2010 di http://galusbm1.blogspot.com/2008/10/kepentingan-sektor-pelancongan.html, Tiada Penulis. Kepentingan Pelancongan. Diakses pada 2 Ogos 2011 di http://www.sabah.net.my/juipri/pelancong.html Tiada nama penulis. Malaysia Tourism. Diakses pada 19 Julai 2011 di

http://www.motour.gov.my/en/ministry profile/division--unit/malaysia-tourism center.html Tiada nama penulis. 2008. Pengembaraan Meneroka Alam, Tourism Malaysia. Tiada nama penulis. Pengenalan Kepada Bisnes Pelancongan. Diakses pada 3 Ogos 2011 di http://www.pts.com.my Tiada nama penulis. Visa of Arrival. Diakses pada 22 Julai 2011 di http://www.malaysiavacationguide.com/malaysia-visa.html Visitors Guide to Malaysia. (1997). Kuala Lumpur: Tourism Publications Corp. Sdn.Bhd.

LAMPIRAN

Anda mungkin juga menyukai