Anda di halaman 1dari 2

Kebaikan Menguasai Pelbagai Bahasa

Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak zaman dahulu lagi. Dalam
mendepani era globalisasi ini,kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan suatu
kelebihan kepada seseorang. Lantaran itu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya, memberikan peluang kepada
para pelajar untuk mempelajari lima bahasa antarabangsa iaitu, bahasa Peranchis, Jerman, Jepun, Cina dan Arab
melalui pembelajaran bahasa antarabangsa. Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa,
agak sukar seseorang untuk berkomunikasi khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Oleh itu, banyak
kepentingan akan diperoleh oleh seseorang dengan menguasai pelbagai bahasa lain selain bahasa ibunda.

Kebaikan pertama menguasai pelbagai bahasa ialah seseorang lebih mudah untuk berhubung atau
berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini demikian kerana seseorang akan lebih berkeyakinan untuk bersemuka
dengan sesiapa sahaja. Sebagai contoh, dengan menguasai bahasa Inggeris, seseorang boleh memberitahu tempat-
tempat menarik serta keistimewaan yang terdapat di negara kita kepada pelancong yang datang ke negara kita.
Faedah daripada itu, para pelancong berasa lebih dihargai malah akan lebih tertarik untuk berkunjung ke negara
kita. Seseorang juga akan lebih memahami psikologi serta penutur jati individu tertentu. Sebaliknya, tanpa
menguasai pelbagai bahasa seseorang sukar untuk menolong walaupun masih mempunyai niat untuk membantu.
Impak daripada itu, para pelancong akan berfikiran negatif dan berkemungkinan menganggap kita tidak peramah
dan bersikap sombong. Jelas bahawa, dengan menguasai pelbagai kita mudah berkomunikasi dengan lebih berkesan
untuk bertukar fikiran serta maklumat antara satu sama lain.

Selain itu, dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh ilmu pengetahuan.
Hal ini demikian kerana pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini ditulis dalam pelbagai bahasa,
khususnya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia. Dengan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan
seseorang akan lebih dihormati, dipandang tinggi serta tidak dianggap bagai katak di bawah tempurung. Sebagai
contoh, untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang wajib menguasai bahasa Arab yang
merupakan bahasa kitab suci Al-Quran. Sementara itu, bagi golongan pelajar mereka lebih mudah untuk membuat
rujukan sama ada melalui buku-buku atau Internet. Kemahiran menguasai bahasa Inggeris misalnya, sering kali
menjadi halangan kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian tinggi untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah
yang berkualiti. Tegasnya, memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca
atau menulis adalah amat perlu sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia membangunkan modal insan di negara ini.

Seterusnya, seseorang lebih mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, baik di pusat
pengajian tinggi awam atau swasta. Tambahan lagi kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai
bahasa menjadi semakin penting sekiranya seseorang hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hal ini demikian
kerana hampir semua pusat pengajian tinggi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam
pengajaran dan pembelajaran kerana kekuatannya sebagai bahasa komunikasi masyarakat dunia. Hal ini dikukuhkan
lagi apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran di negara-negara maju seperti Jepun dan Peranchis yang
menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa pengantar utama. Tamsilnya, untuk melanjutkan
pelajaran di negeri matahari terbit, Jepun pelajar perlulah mengikuti kurusus untuk menguasai bahasa Jepun terlebih
dahulu sebagai pakej untuk terpilih untuk mengikuti pengajian di sana. Jelas terbukti bahawa penguasaan pelbagai
bahasa memberikan kemudahan kepada setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di
samping mudah untuk memahami budaya dan gaya hidup sesuatu masyarakat yang ditemui.

Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk
memperoleh peluang pekerjaan. Hal ini disebabkan seseorang pekerja yang berkemahiran bertutur dalam pelbagai
bahasa dianggap mempunyai banyak kelebihan serta keistimewaan kerana mampu bertutur dengan pelbagai pihak.
Sebagai contoh, di Malaysia seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin
memiliki ciri-ciri pekerja yang digemari dan disukai majikan kerana masyarakat majmuk yang terdapat di negara kita.
Di samping itu, dengan menguasai pelbagai bahasa membolehkan seseorang itu, menceburkan diri dalam bidang
penterjemahan atau jurubahasa dalam bidang kehakiman dan juga sektor pelancongan. Bidang terjemahan
dikatakan mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai permintaan yang tinggi. Begitu juga dalam bidang
pelancongan yang amat memerlukan khidmat pemandu pelancong asing yang boleh menguasai bahasa asing.
Sesungguhnya, penguasaan pelbagai bahasa dan kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria dan pertimbangan
utama majikan dalam memilih ciri pekerja yang berkualiti.

Intihanya, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan subjek bahasa tambahan di peringkat
sekolah perlulah dipuji bagi memperkasakan lagi modal insan yang bakal dilahirkan. Oleh itu, semua pihak khususnya
ibu bapa bukan sahaja perlu menerimanya secara positif malahan memberikan sokongan tanpa wujud perasaan
berbelah bahagi. Semua individu khususnya golongan pelajar perlulah merebut peluang yang disediakan oleh pihak
kerajaan kerana kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa akan memberikan nilai tambah sekali gus menyediakan
masyarakat yang mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi untuk bersaing di peringkat global. Justeru, tepuk
dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai
pelbagai bahasa yang pastinya memberikan kelebihan kepada kita kelak.

Anda mungkin juga menyukai