Anda di halaman 1dari 4

Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani - Guru Agama Sultan Kedah

Oleh Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah


PENGENALAN awal gerangan orang yang bernama Tuan Syeikh Abdul Jalil al-
Mahdani hanyalah daripada satu sumber sahaja, iaitu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah
karya Muhammad Hassan bin Kerani Muhammad Arshad dalam bentuk tulisan
Melayu/Jawi, yang kemudian ditransliterasikan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka pada 1968.
Oleh sebab ulama ini dinyatakan dalam buku yang tersebut adalah ayah atau orang tua
kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, sedangkan dalam beberapa maklumat
yang lain ayah atau orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Syeikh
Abdullah, dan yang lain pula menyebut bernama Syeikh Abdur Rahman, maka
penelitian dan kajian yang lebih kemas perlu dilakukan.
Namun begitu, penulis pernah membuat bahasan terawal mengenai hal ini, dan dapat
diperhatikan dalam buku penulis berjudul Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama
Shufi Dan Jihad Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur
1996, hlm: 1-5).
ASAL USUL DAN KEDATANGAN KE NUSANTARA
Nama lengkap beliau ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh
Ahmad al-Mahdani. Berasal dari San’a, Yaman. Nama-nama lain untuk personaliti ini
ialah Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman belum dibicarakan di sini,
selanjutnya dibahas di bawah judul Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani.
Tersebut kisah seorang Arab penyebar Islam yang berasal dari San’a, Yemen. Nama
beliau ialah Tuan Syeikh Abdul Jalil bin Tuan Syeikh Abdul Wahhab bin Tuan Syeikh
Ahmad al-Mahdani. Kurang jelas tahun kedatangannya ke Palembang, Indonesia
namun dikatakan bahawa setelah enam bulan beliau berada di Palembang, beliau
berangkat ke Tanah Jawa bersama muridnya, Tengku Muhammad Jiwa keturunan
Sultan Kedah.
Beliau menyebar Islam di Pulau Jawa tidak lama, lalu berangkat pula ke India.
Muridnya yang berasal dari Kedah itu juga mengikut beliau ke India. Oleh kerana Tuan
Syeikh Abdul Jalil tidak mengetahui bahawa muridnya yang setia itu seorang anak raja,
maka seolah-olah Tengku Muhammad Jiwa itu adalah sebagai khadamnya. Namun
demikian, muridnya itu sangat pandai menyembunyikan kebangsawanannya. Bahawa
dia sentiasa tawaduk kepada Syeikh Abdul Jalil itu.
Syeikh Abdul Jalil dan muridnya itu sentiasa berpindah-pindah tempat di negeri India
itu, barangkali sangat banyak kota dan kampung menjadi tempat kegiatan dakwah yang
beliau rintis, sehinggakan di negeri India beliau mendapat seorang murid yang setia
seperti Tengku Muhammad Jiwa, nama pemuda itu Hapisap.
Setelah sekian lama Tengku Muhammad Jiwa menjadi muridnya, namun Tengku
Muhammad Jiwa tetap menyembunyikan dirinya sebagai seorang putera raja Kedah.
Pada satu ketika Tengku Muhammad Jiwa menceritakan kepada gurunya Syeikh Abdul
Jalil al-Mahdani dan sahabatnya Hapisap bahawa Kedah satu negeri besar juga, rajanya
seorang Islam bernama Sultan Abdullah. Tengku Muhammad Jiwa mengatakan bahawa
adalah patut Tuan Syeikh dan Hapisap berlayar ke sebelah sana.
Ajakan Tengku Muhammad Jiwa itu tiada lain, melainkan didorong oleh kerinduan
beliau kepada sanak keluarga, rasa cinta kepada tanah air dan utamanya, ingin
menyebar agama Islam lebih luas lagi.
Dari segi hubungan sanak-saudara, ia teringatkan hadis-hadis tentang suatu kewajipan
menghubungi silaturahim yang telah terputus, antaranya dengan sanak-saudara di
Kedah itu. Ditinjau dari segi cinta kepada tanah air, ia tiada lupa bahawa, mencintai
tanah air itu adalah sebahagian daripada iman (hadis Nabi Muhammad s.a.w.).
Ampuh dan kukuh
Lebih dari segala itu adalah menyebarkan Islam, bahawa ia berasaskan kewajipan
menyebarkan ilmu pengetahuan Islam, kerana ilmu yang dikuasainya sangat banyak
dan mendalam yang diterimanya dari Syeikh Abdul Jalil Mahdani itu. Bahawa ia
bercita-cita membina Islam di Kedah yang telah kuat berpegang dengan dasar-dasar
Islam sejak lama itu lebih ampuh dan kukuh asas Islamnya pada masanya, dan masa-
masa mendatang kemudian daripadanya.
Pada tahun itu juga (1122 H bersamaan 1710 M), Syeikh Abdul Jalil Mahdani berkenan
memenuhi ajakan muridnya itu, maka berangkatlah mereka bertiga dengan sebuah
kapal yang berasal dari sebuah pelabuhan Arab (berbangsa Maskat) yang kebetulan
singgah di India untuk menuju ke Tenggara. Dalam pelayaran itu mereka singgah di
pelabuhan Murgi/Murgui di negeri Burma.
Kejadian di Negeri Kedah pula pada masa keberangkatan Tengku Muhammad Jiwa,
bahawa ayah Tengku Muhammad Jiwa, Sultan Abdullah al-Muazzam Shah mangkat
pada 13 Jamadilakhir 1118 H/1706 M. Baginda diganti oleh puteranya, Tengku Ahmad
Tajuddin Halim Syah. Baginda mangkat pula. Oleh kerana Tengku Ahmad Tajuddin
tidak meninggalkan putera mahupun puteri, maka timbullah masalah tentang pengganti
baginda sebagai Sultan Kedah.
Maka, para pembesar Kedah sepakat untuk mencari Tengku Muhammad Jiwa, kerana
enam tahun lamanya meninggalkan Kedah tanpa memberi berita sesuatu apa pun juga.
Dato’ Kema Jaya berangkat mencari berita ke arah jurusan Sumatera dan Jawa. Dato’
Indera Mambang menuju ke arah jurusan India dan Burma. Dato’ Seri Indera Mambang
berhasil menemui Tengku Muhammad Jiwa, yang kebetulan kapal layar kedua-dua
pihak itu berlabuh di pelabuhan negeri Burma.
Pada mulanya Dato’ Seri Indera Mambang tidak mengenali Tengku Muhammad Jiwa
kerana pakaian yang telah berubah, mungkin kerana menurut model India tidak
mengikut model pakaian Melayu Kedah dan parasnya juga telah berubah. Tetapi
Tengku Muhammad Jiwa masih mengenali Dato’ Seri Indera Mambang.
Setelah diketahui oleh Tengku Muhammad Jiwa bahawa ayahandanya telah mangkat,
demikian juga saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin, lalu ia menangis. Maka barulah
diketahui oleh Tuan Syeikh Abdul Jalil bahawa Tengku Muhammad Jiwa itu adalah
seorang putera Sultan Kedah sendiri.
Tengku Muhammad Jiwa menjawab pertanyaan gurunya tentang dirinya semuanya
menggunakan bahasa Arab, memang tidak sia-sialah dia belajar selama ini, bahawa ia
fasih berkata-kata dalam bahasa Islam yang tercinta itu. Akhirnya semua mereka
berangkat menuju ke Kedah.
DILANTIK SEBAGAI MUFTI
Tengku Muhammad Jiwa dilantik menjadi Sultan Kedah menggantikan saudaranya
Tengku Ahmad Tajuddin. Ketika beliau ditabalkan menjadi Sultan, gurunya Syeikh
Abdul Jalil al-Mahdani telah membaca doa untuk baginda. Pada suatu hari, pada suatu
permusyawaratan, Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata: “Hamba persilakan
mamak-mamak dan guru hamba kerana hamba hendak bermuafakat hendak memberi
pangkat kepada Hapisap iaitu menjadi kadi menggantikan kadi yang telah kembali ke
rahmatullah Taala itu”. Maka dijawab sekalian menteri dan Tuan Syeikh, “Benar seperti
titah itu”.
Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata pula, “Hamba harap guru hamba menjadi
mufti di dalam negeri Kedah ini.”
Tidak berapa lama setelah pengangkatan tersebut, Tengku Muhammad Jiwa berusaha
pula menjodohkan tuan gurunya, Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dengan perempuan di
lingkungan istana, bernama Wan Zainab binti Dato’ Seri Maharaja Putra Dewa.
KETURUNAN
Setelah beberapa bulan perkahwinan Tuan Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Wan
Zainab, tiba-tiba datang seorang muridnya dari Palembang bernama Raden Siran.
Muridnya itu mengajak gurunya ziarah ke Palembang kerana murid-muridnya di
Palembang sangat rindu kepada beliau.
Di Palembang, Raden Siran berusaha mencarikan isteri untuk gurunya itu, maka
terjadilah perkahwinan antara Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Raden Ranti/Rantai.
Hasil perkahwinan Raden Ranti dengan Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani itu,
mereka memperoleh seorang anak, Abdus Shamad. Dialah yang dikenal sebagai Syeikh
Abdus Shamad al-Falimbani seorang ulama sufi Asia Tenggara yang terkenal dengan
karyanya yang terkemuka, Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin yang biografinya akan
diperkenalkan kemudian.
Menerusi perkahwinan Syeikh Abdul Jalil dengan Wan Zainab di Kedah pula, beliau
mendapat dua orang anak iaitu Wan Abdul Qadir yang menjadi Mufti Kerajaan Kedah
dan Wan Abdullah yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa di Kedah.
Ada pun Syeikh Abdus Shamad Palembang itu, maklumat keturunannya hanya
diketahui seorang anaknya bernama Fathimah. Mengenai kedua-dua anaknya yang di
Kedah, keturunan selanjutnya belum dapat dikesan.
WAFAT
Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah. Penulis
pernah sampai ke makam itu membuat penyelidikan dalam tahun 1992, memperoleh
catatan bahawa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani meninggal dunia tahun 1196 H/1782 M.
Kawasan makam sangat luas, sekali-sekali ada orang datang berziarah kerana
membayar nazar.
Penulis diberitahu oleh salah seorang penunggu makam bahawa orang-orang India
datang ke tempat itu setahun sekali, secara beramai-ramai kerana membuat kenduri dan
menyampaikan nazar.
Siapa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani
- Ayah kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani
- Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh
Ahmad al-Mahdani.
- Berasal dari San'a, Yemen.
- Nama-nama lainnya ialah; Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman.
- Berkahwin dengan Wan Zainab (Kedah) dan Raden Ranti/Rantai (Palembang).
- Meninggal dunia pada 1196 H/1782 M.
- Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah.

Anda mungkin juga menyukai