Anda di halaman 1dari 4

DRAMA BUKAN GILA - SHARIF SHAARY (T5)

SINOPSIS

Drama ini berkisar tentang Azmir yang sedang dirawat di wad sakit jiwa Hospital Besar .
Sewaktu di wad tersebut,Azmir telah berkhayal akan kehadiran kekasihnya,iaitu Ani. Azmir
telah meminta Ani membawa dia keluar tetapi Ani memberitahu dia bahawa mereka bahagia
di tempat itu.
Kemudian, Azmir berkhayal lagi tentang kehadiran ayahnya. Beliau bertanyakan khabar
Azmir tetapi Azmir memanggil Ani untuk mengusir ayahnya. Ayahnya mengatakan bahawa
beliau sayang akan Azmir tetapi Azmir mengatakan bahawa ayahnya berbohong lalu berlaku
pertelingkahan antara Azmir dengan ayahnya sehingga munculnya khayalan tentang Pak Haji
datang dan memberikan salam. Azmir bertengkar pula dengan Pak Haji tentang namanya dan
sikap manusia yang dikatakan oleh Azmir bercakap lain tetapi berbuat lain.
Ani muncul semula. Azmir bertanya tentang sebab Ani masih di sisinya. Sewaktu itu,
Azmir dan Ani bercakap tentang cinta mereka dan makna cinta. Azmir mengatakan bahawa
cinta Ani masih bersifat luaran.
Setelah itu, Azmir dikunjungi oleh doktor. Setelah memeriksa Azmir, doktor
membenarkan Azmir bersiar-siar di luar. Kesempatan itu diambil oleh Azmir untuk keluar dari
wad Hospital Besar. Akhirnya, Azmir tiba di lokasi sekumpulan pelakon drama yang sedang
berlatih drama bertajuk Sasau. Azmir mengatakan bahawa pelakon-pelakon drama Sasau itu
sesat. Malah, Azmir memberikan pendapatnya tentang sistem dalam kehidupan, iaitu sistem
prorakyat.
Sewaktu Azmir memberikan pendapatnya tentang sistem tersebut kepada para
pelakon yang berlatih itu, kepalanya berasa sakit. Setelah reda sakitnya, Azmir memberitahu
pelakon-pelakon tersebut bahawa syarahanya dan penyakitnya adalah betul. Azmir juga
menjelaskan bahawa dia datang untuk membetulkan pelakon-pelakon itu bahawa tidak ada
yang sasau tetapi yang ada ialah ketidakbenaran, kepalsuan, dan kepura-puraan. Azmir juga
ditanya tentang gila. Sebaliknya, Azmir menjelaskan bahawa bukan gila tetapi suatu
penderitaan yang tidak tertanggung. Kemudian, Azmir menghantuk-hantukkan kepalanya
sehingga berdarah. Azmir menjelaskan bahawa tindakannya menghantukkan kepala itu
adalah bukan kerana gila tetapi akibat menderita suatu kesakitan yang tidak tertanggung dan
tidak terucap dengan kata-kata.
Kemudian,doktor datang dan menjelaskan kedudukan sebenar Azmir. Doktor membawa
Azmir pulang ke wad sakit jiwa semula. Setelah itu, keadaan Azmir begitu sejak tingkatan
enam dan semakin teruk ketika di universiti. Arif menasihati ibu bapa Azmir agar bersama-
sama membantu Azmir. Arif memberitahu ibu bapa Azmir bahawa Azmir memerlukan kasih
sayang, semangat dan perangsang, bukannya cemuhan dan penghinaan. Pelakon II
memberitahu ibu bapa Azmir bahawa dia melihat Azmir sedang menghadapi suatu
penderitaan yang tidak tertanggung. Arif menasihati ibu bapa Azmir agar segera mengunjungi
Azmir sebelum terlambat.
Di wad pesakit jiwa, Azmir berkhayal dan mengimbas kembali tentang kisah cintanya
dengan Ani dan kisah hidupnya. Ketika dia sedang berkhayal,dia menjadi lemah dan rebah ke
lantai. Ani yang berada di rumah telah membaca berita tentang kematian Azmir seorang diri
di wad. Kematiannya dikatakan berpunca daripada penyakit barah otak. Berita itu
membuatkan Ani berasa bersalah dan berasa dirinya bersikap kejam terhadap Azmir.
TEMA
 Setiap orang mempunyai prinsip hidup dan ideologi yang berbeza yang boleh mempengaruhi
tindakan/cara hidup.

PERSOALAN
1. Perbezaan pemikirandan tindakan menyebabkan seseorang itu dianggap
janggal oleh masyarakat sekeliling.
Contoh: Azmir dianggap gila kerana mempunyai pandangan yang berbeza
tentang hidup (cinta, sifat kemanusiaan, prinsip hidup) berbanding
orang lain.
2. Kepentingan cinta dan kasih sayang
Contoh: Cinta dan kasih sayang amat penting bagi menjamin kebahagiaan.
3. Rencah kehidupan
Contoh: hidup ini ibarat roda yang berputar, ada suka dan dukanya.
4. Dunia ini ibarat pentas lakonan
Contoh: dalam kehidupan di dunia ini, manusia ialah pelakonnya yang
membawa pelbagai watak.
5. Sokongan daripada ahli keluarga terdekat boleh memberi kekuatan dalam
menghadapi cabaran hidup.
Contoh: Azmir menanggung cabaran hidup tanpa sokongan ibu bapa dan
kekasih hati.
6. Keprihatinan perlu ada dalam diri setiap manusia.
Contoh:Tindakan para pelakon yang mengunjungi rumah Azmir untuk
mengetahui latar belakang hidup Amir

WATAK UTAMA DAN PERWATAKAN

Watak Utama: Azmir


1. Azmir diletakkan di wad sakit jiwa kerana keluarganya menyangka bahawa dia tidak
siuman akibat sering terguling-guling dan menghantukkan kepada ke lantai.
2. Dia suka berfalsafah dan bersyarah.
3. Dia bijak kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan memberi pendapat
yang bernas.
4. Menghidap penyakit barah yang kronik.
5. Seorang yang berbudi bahasa kerana menyatakan penghargaan kepada mereka yang
berjasa dalam membangunkan negara.
6. Seorang yang petah berkata-kata apabila menyuarakan pendapat.
7. Seorang yang bijak menyatakan pendapat sewaktu menyertai drama ‘Sasau’ secara
spontan.
8. Azmir seorang yang optimis kerana tidak mudah melatah apabila disoal para pelakon
drama sebaliknya menerangkannya dengan baik.
Watak Sampingan dan Perwatakan

Bapa
1. Bapa kepada Azmir
2. Seorang yang penyayang kerana sering menziarahi Azmir.
3. Namun, dia kurang memberikan perhatian dan kasih sayang serta sokongan kepada
Azmir kerana tidak tahu anaknya menghidap penyakit barah otak.
Ibu
1. Ibu kepada Azmir
2. Dia tidak prihatin terhadap anaknya.
3. Mengambil mudah tentang perubahan sikap Azmir dan menyangka anaknya itu sengaja
buat-buat gila.
4. Mudah putus asa kerana menyatakan ketidaksanggupannya menjaga Azmir yang sengaja
berbuat gila.
5. Mudah percaya tuduhan orang yang menyatakan Azmir menjadi Orang Putih.
Arif
1. Pengarah drama ‘Sasau’.
2. Seorang yang rasional iaitu tidak mudah menerima komentar pelakon tentang Azmir.
3. Mudah bersimpati – bersimpati terhadap Azmir yang padanya sedang menderita
bukannya gila seperti dakwaan doktor.
4. Seorang yang prihatin – berusaha menjejaki keluarga Azmir untuk mengetahui
kedudukan sebenar Azmir yang dikatakan gila.
Ani
1. Kekasih Azmir.
2. Tidak setia kerana meninggalkan Azmir yang disangkanya gila tanpa usul periksa.
3. Menyedari kesilapannya, namun telah terlambat kerana Azmir telah meninggal dunia.

TEKNIK PLOT

1.Teknik diolog
 perbualan antara Azmir and ayahnya di wad pesakit jiwa.
2.Teknik pemerian
 pengarang memerihalkan keadaan Azmir.
3.Teknik monolog
 Azmir bercakap bersendirian seolah-olah ani ada bersamanya.
4.Teknik monolog dalaman
 Azmir menggungkapkan rasa terima khasih dalam hatinya.
5.Teknik kejutan
 pembaca dikejutkan dengan berita kematian Azmir akibat menghidap penyakit barah otak.
6.Teknik imbas kembali
 ibu Azmir menceritakan kehidupan Azmir kepada rakan-rakan sebelum memasuki wad
pesakit jiwa.
PENGAJARAN
1. Kita hendaklah sentiasa prihatin terhadap nasib orang lain supaya kita dapat membantu mereka.
Contohnya, Arif prihatin terhadap nasib Azmir dan telah menasihati ibu Azmir agar segera melawat
Azmir di wad pesakit jiwa sebelum terlambat.

2. Kita hendaklah setia kepada pasangan supaya kita tidak melakukan perbuatan khianat.
Contohnya, Azmir setia terhadap Ani yang telah meninggalkannya setelah Ani beranggapan bahawa
Azmir gila.

3. Kita mestilah bersikap baik hati kepada orang lain.


Contohnya, doktor bersikap baik hati terhadap Azmir dengan membenarkan Azmir bersiar-siar di
kawasan hospital.

4. Kita hendaklah menghargai jasa orang lain supaya orang tersebut tidak berasa dipinggirkan.
Contohnya, Azmir menghargai jasa-jasa petani, nelayan, dan buruh yang menyumbang kepada
kesejahteraan hidup.

5. Kita haruslah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anak-anak.Contohnya, bapa
Azmir menziarahi Azmir walaupun anaknya itu dikatakan gila.

Anda mungkin juga menyukai