Anda di halaman 1dari 4

LEKSIKON PEMIKIRAN NAZEKA KANASIDENA (Edisi 145)

KAPITALISME, EKO-PELANCONGAN DAN SUMBER LAUT DI SEMPORNA :


ANTARA KEUNTUNGAN EKONOMI DAN KELESTARIAN SUMBER ALAM - Apa
sikap kita?

Bismillahirrahmanirrahiim

Saya sudah pandai berenang dan menyelam sejak umur 7 tahun. Itu sudah jadi kelaziman
anak-anak Sama Kuvang yang bergelumang dengan laut sejak lahir hingga ke akhir hayat.
Laut, ombak, arus, pulau, beting, teluk, ikan dan segala biota sejak dari penyu, umang
sampai kepada ‘holoturian’, ‘beche-der-mer’ dan ‘Unduk-unduk’ adalah permainan Sama
Kuvang sejak zaman dahulukala.

Sebagai generasi yang lahir 7 tahun selepas kemerdekaan Semporna, Sabah melalui
Malaysia, saya bersyukur berkesempatan merasa zaman gemilang kekayaan, ketenangan,
kemakmuran dan kehaibatan pulau-pulau serta kehidupan Sama Bahari di pantai timur
Sabah. Tidak dapat dinafikan, Semporna memang kaya dan malah sebenarnya tersangat
kaya sebagai wahana bangsa bahari ini bermewah-mewah dengan sumber lautnya. Dengan
terumbu karang, pulau-pulau dan biota laut yang tak terpermanai, wilayah ini yang
bersambung dengan laut Sulu dan Laut Selebes telah menjadi pusat permastautinan Sama
Kuvang. Dari sinilah produk maritim itu memenuhi keperluan dan permintaan China dan
Eropah dan itu juga puncanya penjajah berusaha menguasai monopoli perdagangan produk
maritim ini.

Dalam hal ini, seorang pengkaji dan sejarawan pernah berkata:

“In 1885 the Omadal district, situated in souteast corner of Darvel Bay, was of extreme
importance to the Chartered Company because of its geographical proximity to Dutch
territory, its sizeable population, and its abundant marine produce...The location of
Kampung Omadal, at the edge of the sea on the needle of sand, was highly significant
because it reflected the atmosphere of lawlessness which existed among Bajau and Sulu in
the bay.”

Sebagai penyelam dan pemanah ikan (SPEARO) amatur, saya sudah berkeliling pulau-pulau
di Semporna ini dan melihat sendiri kualiti batu karang dan air lautnya. Adalah
dimaklumkan bahawa DUKACITA kualiti dan kelestarian batu karang di Semporna sebagai
habitat hidupan marin sedang mengalami kemusnahan meskipun lautnya CRYSTAL
CLEAR. Adalah juga dimaklumkan pemusnahan itu sudah berlaku sejak zaman bahari lagi
ketika produk maritim menjadi barangan paling dikehendaki oleh para pedagang China dan
Eropah.

Kegiatan pemusnahan habitat dan sumber laut oleh Sama-Bajau ini bukan sahaja berlaku di
Malaysia malah sehingga ke GREAT BARRIER REEF AUSTRALIA! Aktiviti maritim ini
tidak dapat dipisahkan daripada Sama-Bajau kerana itulah sumber kehidupan mereka sejak
turun temurun. Cuma ketumpatan dan tinggi rendah pemusnahan habitat laut itu dipengaruhi
oleh zaman dan persekitaran.

Pemusnahan batu karang menjadi lebih teruk dengan terciptanya BOM IKAN, SIANIDA,
CECAIR SUJUM dan seumpamanya. Ini tentulah berbeza dengan kaedah tradisional seperti
menggunakan racun alam semulajadi contohnya LAGHTANG dan AKAR TUBA’. Apabila
pukat tunda diperkenalkan, keadaan menjadi lebih trajis. Lebih banyak batu karang
dimusnahkan manakala ikan-ikan kecil dan besar dikaut habis terutama di musim bertelur.
Akibatnya rantaian makanan telah terganggu malah di sesetengah kawasan ianya terputus
dan punah. Ini ditandai oleh penghijrahan burung bangau, kedidi dan camar hitam ke
kawasan lain.

Dahulu, pulau Bohe’ Dulang, Bud Gaya, Tataghan dan Sallakan merupakan pusat pertemuan
segala jenis ikan pari khususnya SANGA’. Rannawan, Si Amil, Mabbul dan Si Paran pula
merupakan laluan penghijrah ikan besar seperti KAHUMBU (ikan paus), UBBUNG (ikan
lumba-lumba), SANGA’ (Manta Ray) dan burung-burung camar (MANUK-MANUK
POTE’AN) penghijrah dari Siberia. Dugong atau dikenal sebagai DUYUNG di kalangan
penduduk tempatan turut menjadikan pantai timur pulau Borneo Utara ini sebagai pusat
pertemuan mereka. KALITAN dengan segala jenis bentuk dan marganya turut menjadikan
Semporna sebagai laluan mereka khususnya di perairan Si Paran. Demikian juga ratusan
ribu obor-obor dari segala jenis, saiz dan warnanya pernah memenuhi lautan Semporna.

Sotong kurita besar dikenal oleh penduduk tempatan sebagai KALOKA’ yang saiz
tentakelnya sebesar besen juga pernah dilaporkan hidup di Si paran dan kemudian
menghilang. Penyu dari segala jenisnya ribuan tahun menjadikan pulau-pulau di Semporna
sebagai pusat pembiakan. Sesungguhnya, aktiviti maritim pernah memberi pulangan
sehingga bertan-tan kepada penduduk tempatan dengan segala kaedah dan modus
operandinya.

Sejarah mencatatkan bahawa ketika Jepun menjadikan pulau Si Amil pusat pengeluaran
ikan tin untuk tujuan peperangan maka bermulalah pemusnahan hidupan laut. Di darat pula,
Inggeris melalui Syarikat Berpiagam Borneo Utara telah meranapkan hutan-hutan dara. Si
Paran (Sipadan) yang kaya dengan biota laut itu tidak terlepas dari aniaya tangan kotor
manusia. Pulau Manampilik yang terkenal dengan TAMBOLAN BANAK (ikan belanak
dikelong) sudah tiada lagi. Begitu juga Pulau Umaral yang terkenal dengan TAMBOLAN
BAWIS yang sudah pupus. Rannawan, Si Amil, Kapallai (ketika masih berbentuk pulau)
dan terumbu LEGETAN pula terkenal dengan TAMBOLAN TAMBAN, TULAI,
LANGOHAN, MAHUMATA, MANGALI, MAMONGKOK, INGGATAN, ANDUHAU
dan seumpamanya. Semua itu sudah tidak ada lagi.

Aktiviti pemusnahan alam semulajadi di Semporna berkait rapat dengan permintaan


semakin besar dari masyarakat antarabangsa. Timun laut dari segala jenis dan saiznya
sudah hampir pupus. Penyu dari segala jenisnya terancam oleh segala jenis pukat dan
apungan plastik di lautan yang disangka obor-obor. Semua ini berlaku sejak tahun 1900 lagi
sehingga kini. Bayangkanlah bagaimana teruknya pemusnahan itu.

Ketika penulis menyelam dari kawasan TELUK DARVEL, Aral, Battik Kulambu, Mabbul,
Timba-Timba, Umaral, Kulapuan, Mataking, Sibu’un, Legetan, Kapallai sampailah ke
Siparan dan Rannawan, terumbu karangnya telah banyak yang musnah.

Adalah dipastikan semua ini berpunca dari kedangkalan pemahaman, kecetekan ilmu,
ketiadaan kesedaran dan sikap masyarakat sendiri yang terlalu dipacu oleh keperluan
ekonomi. Permintaan antarabangsa yang terus meningkat menjadikan penduduk tempatan
menjadi gila dan berlumba-lumba mengaut keuntungan sehingga tiada usaha melestarikan
kekayaan flora, fauna dan biota laut di Semporna. Para pemimpin pula seakan membiarkan
perkara itu dan tiada usaha memberi kesedaran secara efektif terhadap aktiviti pemusnahan
sumber laut ini.

Terbaru, sudah ada perniagaan menjual BATU KARANG HIDUP untuk dieksport ke luar
negara. Tidak pasti bagaimana karang laut itu boleh dieksport ke luar negara sedangkan
ketika penulis melawat ke China terdapat larangan membawa masuk hidupan laut ini.
Sebelum itu penduduk tempatan menerima padah apabila mereka hanya mampu membeli
ikan dari kelas kambing atau paling rendah grednya seperti BASSUNG, TAMARUNG,
TAMBAN, TULAI, KOBAL-KOBAL, SOBAD dan seumpamanya manakala ikan-ikan
berkualiti seperti SUNU’, LANGKAWIT, PEHAKAN, KATUMBANG, ANUPIN, RAING
KEYAT, KA’ULANG, KAMUN dan segala jenis moluska itu (kering, basah, mati atau
hidup) dikotakkan dan dieksport ke luar negeri. Beberapa tahun dahulu pernah ada industri
mengeksport ikan-ikan eksotik untuk para pemburu dan penggila AKUARIUM MARIN.
Semua ini menjadikan SEMPORNA sebagai wadah utama untuk SUPPLIER.

Antara KAPITALIS, GLOBALISASI, ZAMAN ICT dan kekayaan MARIN di Semporna,


penduduk tempatan sebenarnya sedang terhimpit. Boom eko-pelancongan dengan kehadiran
ramai pelancong dari China, Taiwan, Jepun, Korea, Hong Kong dan Macau memanglah
membawa keuntungan besar kepada pendapatan negara. Namun berapa ramai penduduk
tempatan menikmatinya? Tanyalah siapa pemilik hotel-hotel, pusat pelancongan dan
pengendali pakej pelancongan itu serta restoran-restoran SEAFOOD itu.

Orang Pala’uh atau Bajau Laut pula tidak ketinggalan menceburkan diri dalam industri
sangat menguntungkan ini dan sebenarnya mereka telah lama menjadi pembekal utama.
Namun kesedaran untuk melestarikan alam semulajadi di kalangan mereka sangatlah
rendah. Mereka menggerodok apa sahaja, memusnahkan apa saja dan melakukan apa saja
untuk mendapatkan hasil laut yang besar asalkan mendapat keuntungan lumayan.

Kita jauh berbeza dengan negara-negara seperti Finland, Norway, Kanada, Jepun dan
Amerika Syarikat tentang melestarikan sumber alam ini. Mereka sangat menjaga kekayaan
semulajadi itu tapi di Semporna semua itu dimusnahkan demi mengaut keuntungan lebih.
Mereka tidak menangkap ikan di musim ikan bertelur tapi di Semporna telur penyu dan
telur ikan menjadi menu utama dalam hidangan harian. Persoalannya, patutkah kerajaan,
para pemimpin dan rakyat membiarkan perkara ini berlarutan tanpa ada penguatkuasaan
undang-undang, peraturan dan ketegasan demi kelestarian sumber alam? Di mana sikap
EMPATHY kita untuk menjaga hak, maruah dan kekayaan tanahair kita sendiri? Atau
mungkinkah penduduk di Semporna sudah menjadi APATHY terhadap gejala pemusnahan
alam semulajadi ini kerana mahu hidup mahu kaya dan mahu senang lenang? Tepuk dada
tanyalah selera.

Nazeka Kanasidena
Pasar Malam Simporna
05.10. 2019

Anda mungkin juga menyukai