Anda di halaman 1dari 6

FAKULTI EKONOMI DAN PENGURUSAN

EPPA4123 – TEORI DAN AMALAN PERAKAUNAN

SEMESTER 2 2017/2018

TUGASAN :

PENULISAN INDIVIDU

DISEDIAKAN UNTUK :

DR. AZLINA AHMAD

( Set 2 )

DISEDIAKAN OLEH :

NUR IZATI BINTI SHAIPPUDDIN

A148253
SOALAN 4

Pelaporan Kelestarian merupakan satu bentuk pelaporan yang masih bersifat sukarela di
Malaysia. Terangkan apa yang dimaksudkan sebagai pelaporan sukarela dan jelaskan insentif
pelaporan oleh syarikat dengan mengaitkannya kepada SATU (1) teori perakaunan yang
bersesuaian.

Pelaporan Kelestarian

Kelestarian bermaksud pembangunan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa


menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri. Ini
bermaksud organisasi perlulah memastikan setiap pembangunan atau aktiviti yang dijalankan
tidak akan menjejaskan ekonomi, alam sekitar dan sosial yang juga tidak akan mengancam
keperluan generasi akan datang. Kelestarian juga penting untuk memastikan apa yang
dijalankan oleh organisasi dapat memberi manfaat kepada ramai pihak, menyumbang kepada
teras pembangunan ekonomi dan sosial di samping dapat memastikan kelestarian alam sekitar
dijaga dengan baik.

Pelaporan Kelestarian bermaksud laporan yang dikeluarkan oleh sesebuah organisasi


mengenai kesan terhadap ekonomi, alam sekitar dan sosial disebabkan oleh aktiviti organisasi
tersebut. Pelaporan Kelestarian menekankan konteks ekonomi, alam sekitar dan sosial.
Pelaporan Kelestarian ini pada asasnya adalah untuk mendedahkan mengenai kesan daripada
aktiviti yang dijalankan sama ada kesan positif atau kesan negatif. Pelaporan Kelestarian
boleh dilaporkan dengan cara “stand-alone report” atau menjadi sebahagian daripada Laporan
Tahunan.

Apa yang dimaksudkan dengan kelestarian ekonomi adalah keupayaan organisasi


untuk terus beroperasi pada tahap ekonomi yang efektif dalam jangka masa panjang. Apabila
organisasi berada dalam keadaan ekonomi yang efektif atau stabil, organisasi mampu
menyediakan peluang pekerjaan yang mana akan membantu taraf hidup individu atau
masyarakat tersebut. Namun begitu, organisasi tidak boleh mengabaikan alam sekitar dalam
usaha untuk meningkatkan ekonomi. Organisasi perlu memastikan perkembangan ekonomi
yang baik tidak menjejaskan alam sekitar seperti berlaku pencemaran udara atau perubahan
iklim.

1
Bagi konteks kelestarian alam sekitar pula, organisasi perlulah berupaya untuk terus
beroperasi dengan cara yang tidak akan menjejaskan ekosistem dan alam sekitar. Sesetengah
aktiviti organisasi boleh menjejaskan alam sekitar seperti pencemaran air, udara dan juga
penipisan lapisan ozon. Melalui Laporan Kelestarian, pihak berkepentingan boleh menilai
sama ada organisasi tersebut menjaga kelestarian alam sekitar atau tidak. Organisasi juga akan
menjelaskan di dalam Laporan Kelestarian aktiviti yang telah dijalankan oleh mereka untuk
memastikan kelestarian alam sekitar.

Kelestarian sosial pula bermaksud keupayaan organisasi untuk terus beroperasi dengan
cara yang memenuhi norma dan keperluan sosial dan dapat diterima oleh masyarakat. Sosial
ini juga termasuklah hubungan antara organisasi dengan pekerja, masyarakat, media,
pengguna dan pihak berkepentingan lain. Organisasi perlu menyesuaikan aktiviti mereka
dengan norma masyarakat di mana organisasi beroperasi bagi memastikan kelestarian sosial
dipenuhi. Organisasi juga perlu memastikan masyarakat menerima dan percaya kepada
aktiviti yang dijalankan. Melalui Pelaporan Kelestarian, pihak berkepentingan termasuk
masyarakat boleh melihat sama ada aktiviti yang dijalankan oleh organisasi tersebut
bercanggah atau tidak dengan norma masyarakat setempat.

Kepentingan Pelaporan Kelestarian

Pelaporan Kelestarian semestinya mempunyai banyak kepentingan dan kelebihan yang


menjadi keutamaan untuk organisasi menyediakan laporan tersebut. Antaranya kepentingan
Pelaporan Kelestarian adalah meningkatkan pengurusan risiko. Pelaporan Kelestarian boleh
menjadi pemangkin untuk mendorong organisasi untuk menilai risiko ekonomi, alam sekitar
dan sosial yang mungkin memberi kesan kepada organisasi. Kepentingan seterusnya ialah
mempromosikan inovasi dan menarik pelanggan baru. Apabila organisasi membuat
pertimbangan atau penilaian terhadap kelestarian organisasi, organisasi dapat mengenal pasti
peluang dan keupayaan untuk melakukan inovasi terhadap produk atau perkhidmatan yang
ditawarkan. Sebagai contoh, The Body Shop telah membuat inovasi bagi beg kertas mereka
dengan menggunakan bahan bukan fosil dan juga botol mereka diperbuat daripada 25% bahan
kitar semula.

Pelaporan Kelestarian juga dapat menjamin modal organisasi disebabkan oleh


kebanyakan pelabur sudah mula mempertimbangkan faktor kelestarian dalam membuat
keputusan untuk melabur. Kepentingan seterusnya ialah Pelaporan Kelestarian dapat
meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos. Apabila aktiviti kelestarian yang

2
melibatkan pekerja dijalankan seperti program kesihatan, keselamatan dan menawarkan lebih
banyak manfaat kepada pekerja, organisasi dapat meningkatkan tarikan untuk merekrut
pekerja yang berkualiti dan mengekalkan pekerja sedia ada. Mempunyai pekerja yang
kompeten dapat meningkatkan produktiviti organisasi seterusnya dapat mengoptimumkan
kos. Seterusnya ialah meningkatkan nilai jenama dan reputasi organisasi. Jika organisasi
mementingkan dan menjaga kelestarian ekonomi, alam sekitar dan sosial, ini akan
meningkatkan impak yang baik terhadap jenama dan reputasi organisasi.

Pelaporan Sukarela

Terdapat dua kategori bagi pendedahan korporat iaitu pendedahan mandatori dan
pendedahan sukarela. Pendedahan mandatori adalah terdiri daripada maklumat yang
didedahkan untuk memenuhi kehendak undang-undang dan peraturan. Manakala pendedahan
sukarela adalah mana-mana maklumat yang didedahkan sebagai tambahan kepada
pendedahan madatori. Meek et al (1995: 555) mendefinasikan Pelaporan Sukarela sebagai
“pilihan bebas bagi pihak pengurusan untuk menyediakan maklumat perakaunan dan
maklumat lain yang dianggap relevan dengan keperluan keputusan pengguna Laporan
Tahunan”. Apabila sesebuah organisasi menyediakan pelaporan sukarela, ini menunjukkan
organisasi tersebut dalam keadaan yang baik kerana mereka mendedahkan maklumat yang
lebih banyak daripada yang diwajibkan undang-undang. Oleh itu, banyak organisasi
menyediakan laporan sukarela bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti organisasi
mereka.

Organisasi di seluruh dunia perlu terlibat dalam Pelaporan Kelestarian yang mana akan
bertindak sebagai medium dalam menyampaikan prestasi kelestarian antara pihak
berkepentingan dengan organisasi (GRI, 2013). Trend Pelaporan Kelestarian boleh dilihat di
seluruh dunia termasuk Malaysia sejak tahun 2007 dan semua syarikat tersenarai di Bursa
Malaysia perlu mendedahkan amalan kelestarian mereka di dalam laporan tahunan syarikat.
Walaubagaimanapun, Pelaporan Kelestarian masih lagi menjadi pelaporan sukarela kerana
syarikat yang tidak tersenarai di Bursa Malaysia tidak diwajibkan untuk menyediakan
Pelaporan Kelestarian. Pelaporan Kelestarian di Malaysia juga masih rendah dan berkembang
pada kadar yang rendah berbanding negara lain. Salah satu sebab mengapa Pelaporan
Kelestarian masih menjadi pelaporan sukarela adalah kerana kurang pendedahan mengenai
tanggungjawab alam sekitar dan sosial dan juga organisasi merasakan pendedahan mengenai
kelestarian tidak memberikan faedah yang ketara.

3
Teori Legitimasi

Teori legitimasi mencadangkan tujuan sesebuah organisasi melaporkan maklumat


alam sekitar adalah bagi memenuhi tuntutan masyarakat (Cormier et al. 2004). Gray et al.
(1996) mendefinisikan teori legitimasi sebagai keadaan yang mana operasi organisasi boleh
diteruskan sekiranya masyarakat berpendapat organisasi tersebut beroperasi pada sistem nilai
yang sama dengan sistem nilai masyarakat. Ini bermakna, organisasi perlu memastikan
bahawa aktiviti organisasi selari dengan kehendak masyarakat atau kehendak pihak
berkepentingan bagi memastikan organisasi dapat terus beroperasi dengan baik. Oleh itu, idea
tentang teori legitimasi menyerupai kontrak sosial antara organisasi dengan masyarakat
(Magness, 2006). Oleh kerana teori legitimasi ini adalah berdasarkan persepsi masyarakat,
pihak pengurusan perlu mendedahkan maklumat tersebut yang akan mengubah pendapat
pengguna luaran tentang organisasi mereka (Cormier & Gordon, 2001). Legitimisasi boleh
berlaku melalui pendedahan mandatori – pendedahan yang disediakan dalam penyata
kewangan kerana peraturan dan juga melalui pendedahan sukarela yang disediakan di
bahagian lain dalam laporan tahunan ( Magness, 2006; Lightstone & Driscoll, 2008).

Terdapat dua faktor mengapa organisasi membuat Pelaporan Kelestarian. Pertamanya


adalah untuk memastikan organisasi dapat terus beroperasi. Apabila organisasi menjalankan
aktiviti yang bersesuaian dengan norma dan kepercayaan masyarakat dimana organisasi
beroperasi, maka wujudlah persetujuan atau keharmonian antara organisasi dengan
masyarakat. Ini adalah bertepatan dengan teori legitimasi, organisasi perlu mendapat
kepercayaan dan pandangan yang positif daripada masyarakat untuk memastikan organisasi
dapat terus beroperasi. Sebagai contoh, IKEA mempunyai banyak cawangan di seluruh dunia
dan setiap cawangan perlu disesuaikan dengan cara hidup dan budaya di negara tersebut. Bagi
IKEA di Malaysia, IKEA tidak boleh menghidang menu makanan yang tidak halal kerana
bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia. Oleh itu, IKEA perlu memahami dan
mengkaji budaya dan norma di setiap negara bagi memastikan IKEA mendapat sokongan
daripada masyarakat dan dapat meneruskan operasinya. Oleh sebab itu, Pelaporan Kelestarian
adalah sangat penting kerana pihak berkepentingan dapat melihat dan menilai tahap
kelestarian ekonomi, alam sekitar dan sosial melalui pelaporan tersebut. Pelaporan tersebut
adalah penting untuk memastikan masyarakat tahu tentang tanggungjawab yang telah
dijalankan oleh organisasi seterusnya dapat meningkatkan sokongan daripada masyarakat.

4
Seterusnya ialah penyediaan Pelaporan Kelestarian dapat memastikan sesebuah
organisasi tersebut kekal sah. Teori legitimasi adalah berkaitan dengan kontrak sosial, oleh itu
organisasi perlu sentiasa mendapat penerimaan dan sokongan sosial daripada pihak
berkepentingan. Pelaporan Kelestarian yang disediakan oleh organisasi memainkan peranan
penting kerana apa yang dilaporkan memberikan pengaruh terhadap pandangan pihak
berkepentingan. Apabila berlaku sesuatu diluar kawalan organisasi yang akan menjejaskan
nama baik organisasi, organisasi perlu melakukan tindakan yang boleh mengembalikan nama
baik mereka. Contohnya, isu status halal Cadbury di Malaysia telah mendapat perhatian ramai
pihak terutamanya pengguna tentang isu tersebut. Pelbagai cara telah dilakukan oleh Nestle
untuk mengembalikan kepercayaan pengguna. Aktiviti yang dijalankan untuk mengembalikan
kepercayaan pengguna telah dilaporkan didalam Pelaporan Kelestarian bagi meyampaikan
kepada semua pihak. Disini jelas menunjukkan penerimaan dan sokongan daripada
masyarakat adalah penting selari dengan teori legitimasi.

Kesimpulannya, Pelaporan Kelestarian adalah sangat penting untuk mendapatkan


penerimaan dan kepercayaan pihak berkepentingan. Aktiviti yang dijalankan oleh organisasi
perlulah selari dengan norma dan kepercayaan masyarakat bagi memastikan organisasi dapat
terus kekal beroperasi. Organisasi juga perlu sentiasa memastikan aktiviti mereka lestari dari
segi ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Anda mungkin juga menyukai