Anda di halaman 1dari 3

Idea kreatif guna kelapa tua

NUR ALINA HASSAN | | 25 Jun 2019

Zainal menunjukkan hiasan bonsai kelapa yang telah berusia lebih setahun dan akar kukuh. (Kanan:
Hiasan bonsai kelapa yang telah berusia lebih setahun dan akar kukuh.)

BAKRI - Lazimnya buah kelapa yang sudah tua akan ditanam untuk dijadikan benih kelapa baru selain
sabutnya dimanfaatkan khususnya bagi projek kitar semula dan bahan api.

Berbeza pula bagi pesara polis, Zainal Ahmad, 61, yang menghasilkan bonsai kelapa menggunakan
kelapa tua bagi hiasan tanaman dan kediaman.

Zainal berkata, hasil kraftangan itu kini menjadi rutin hariannya apabila kebanyakan masa tertumpu
dengan gubahan itu setelah mempelajarinya sejak Ogos lalu.

Menurutnya, ilmu itu diperoleh daripada abangnya, Mashud Ahmad, 67, yang mempelajari secara
sendiri di internet.

"Sebaik bersara Ogos lalu, saya mencari satu aktiviti yang boleh dilakukan pada masa lapang sebelum
tertarik dengan bonsai kelapa setelah melihatkan hasil itu di kediaman abang di Kluang.

“Boleh dikatakan hiasan ini masih janggal di Malaysia kerana ia belum begitu popular. Pembuatannya
bukanlah sukar namun sangat remeh dan memerlukan tempoh masa panjang. Perkembangannya juga
harus dipantau setiap masa sebelum ia benar-benar kukuh.

“Mungkin itu menyebabkan hiasan ini tidak dimanfaatkan oleh mereka yang lain kerana penjagaannya
sangat rapi. Bagaimanapun ini semua bukanlah penghalang untuk saya kerana sebaik melihatkan
hasilnya yang cantik ia memberikan kepuasan berganda kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Ambil masa lebih sebulan

Menceritakan proses pembuatan bonsai kelapa, Zainal berkata, tiada jenis buah kelapa khas diperlukan
selain buah yang tidak bertunas untuk tujuan tumbesaran.

“Melalui buah kelapa yang telah tua ini, kita hanya bukakan kulit dan sabut hingga tempurung ini licin.
Gosokkan dengan kertas pasir dan sebolehnya kita cat tempurung kelapa bagi mengelakkan ia pecah jika
cuaca terlalu panas.

“Proses ini memakan masa beberapa jam sahaja. Dan selepas licin, kita tanam tempurung di tanah untuk
proses pertumbuhan tunas dan akar. Kedudukan ketika tanam adalah bergantung kepada kita sama ada
nak lihat tunas tumbuh menegak atau condong itu terpulang kepada kreativiti,” katanya.

Bapa kepada empat anak ini berkata, pertumbuhan akar memakan masa selama sebulan sebelum
menjalani proses terakhir iaitu memindahkan tanaman tempurung di dalam takungan air bagi
memastikan akar dan tunas kukuh. “Ketika tunas mulai tumbuh, waktu itu kita harus pantau
perkembangannya bagi mengelakkan ia menjadi besar.

“Selepas semuanya selesai, barulah tempurung ini dihiaskan di pasu kecil dengan sedikit tanah. Pastikan
tanah sentiasa bersuhu lembab, jika mulai kering siramkan sedikit air. Dalam seminggu sekali harus
dibersihkan tunasnya dan periksa suhu tanah,” katanya.

Hasil 50 biji bonsai kelapa

Meskipun baru lagi berjinak dalam kraftangan ini namun Zainal sudah menghasilkan lebih 50 biji bonsai
kelapa yang memenuhi sudut kediamannya sama ada di dalam dan laman luar.

“Ada juga tetamu yang datang berminat nak beli bonsai ini namun saya belum bercadang untuk jual
kerana masih lagi belajar. Sejak Ogos hingga sekarang, hampir 10 tempurung pernah rosak ketika
membuat proses tanaman.
“Namun kini perhiasan ini dah mulai sebati dengan diri saya. Cuma bila ada yang berminat nak beli saya
letakkan syarat agar mereka sediakan sendiri buah kelapa tua. Pernah juga terlintas nak jadikan hasil
seni ini sebagai pendapatan sampingan namun mungkin akan dilaksanakan pada masa akan datang,”
katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/34245/EDISI/Johor/Idea-kreatif-guna-kelapa-


tua

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Anda mungkin juga menyukai