Peranan Guru Sebagai Pembina Modal Insan

Anda mungkin juga menyukai

Anda di halaman 1dari 6

PERANAN GURU SEBAGAI PEMBINA MODAL INSAN

Guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya

saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat . Pelajar-pelajar

akan menjadi warganegara yang berfikiran global dengan tidak mengesampingkan ciri-ciri

tempatan justeru mampu bersaing dengan kepesatan dan ‘kesesakan’ dunia luar. Kecekapan dan

keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang

berjaya.Mereka yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat

kurang menghargai watak yang berbudi luhur." Justeru, kualiti pendidik atau guru menjadi

pemangkin kepada usaha membina generasi modal insan bertaraf dunia.

Malah, aspek melahirkan modal insan yang berkualiti itu menjadi agenda teras dalam

RMK 9 dan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Hal itu menunjukkan betapa

seriusnya negara dalam merencanakan barisan pelapis kepemimpinan dan warga kerja yang

mampu menjana pembangunan negara ke arah pencapaian Wawasan 2020.

Peranan dan cabaran golongan pendidik pada masa mutakhir ini semakin ‘diasak’ dengan

pelbagai isu yang diberikan penekanan dan perhatian wajar. Antaranya ialah gejala kes

pelanggaran disiplin seperti ponteng sekolah, kejadian buli khususnya di asrama, biadab terhadap

guru, perbuatan vandalisme yang menjijikkan mata memandang, memeras ugut pelajar junior,

bergaduh dalam kawasan sekolah dan terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Semua isu

ini perlu ditangani secara berkesan oleh sekolah kerana jika dibiarkan berterusan akan menjadi

wabak yang membarah dalam kalangan anak muda kita.


Dengan demikian, peranan dan tanggungjawab semua guru mesti menjurus kepada

pembinaan sahsiah pelajar yang murni dan bukan setakat menjadi penyampai ilmu pengetahuan

saja. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah mengatakan, ‘guru bukan saja

bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi bertanggungjawab

juga kepada pembentukan peribadi murid iaitu nilai hidup yang dipegang dan budaya yang

diterima olehnya.’ (Petikan ucapan beliau pada Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di

Ipoh pada 16 Mei 2000 ). Jadi, di sini jelas menunjukkan kepada kita memang menjadi

tanggungjawab teras seseorang guru itu membentuk jati diri anak muridnya dengan keluhuran

budi pekerti yang tinggi dan terpuji.

Khidmat guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan saja dapat melahirkan generasi yang

bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara, malah membuka peluang kepada guru meraih

keberkatan Tuhan. Tugas guru adalah amanah yang datang dengan tanggungjawab serta beban

berat kerana tidak dinafikan mendidik pelajar daripada usia lima tahun (prasekolah) bukan

mudah serta memerlukan kesabaran tinggi. Harapan menggunung diletak pada bahu guru sering

kali menimbulkan dilema kerana hakikat mendidik pelajar bukan hanya tanggungjawab guru,

sebaliknya perlu mendapat sokongan ibu bapa yang menjadi guru di rumah.

Sebenarnya, teras utama dalam aspek pendidikan adalah untuk membimbing dan

memberi pendidikan akhlak murni. Jadi, dalam apa jua mata pelajaran yang diajar oleh seseorang

guru, penerapan nilai murni itu tidak boleh diabaikan. Ini yang dikatakan ‘nilai merentas

kurikulum’. Malah, seseorang guru sepatutnya memahami dan menghayati sedalam-dalamnya

tafsiran Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan

di negara kita selama ini. FPK antara lain menyatakan, ‘Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha
berterusan ke arah mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu

untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan

jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,

berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan

diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’

Jika diteliti secara mendalam inti pati FPK itu, memang sudah lengkap dan tepat dalam usaha

membina generasi warganegara yang seimbang dan mampu menjana keperkasaan tamadun

bangsa serta negara.

Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman yang juga Presiden Himpunan Lepasan Institusi

Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) menggariskan beberapa peranan yang

dipertanggungjawabkan kepada seseorang guru dalam merealisasikan FPK itu. Antaranya ialah

guru bertindak sebagai pendakwah. Ini bermaksud guru bukan saja memainkan peranan sebagai

pengajar, tetapi seharusnya mendidik anak didiknya dengan nilai akhlak mulia. Guru juga

pendidik yang mendidik anak murid secara seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan

emosi. Menurut beliau lagi, seseorang guru adalah pemimpin. Ertinya memimpin dan memandu

pelajar menjalankan sesuatu tugasan dengan betul dan berkesan. Seterusnya guru adalah pekerja

yang mematuhi segala etika profesion ke arah membina anak muridnya menepati acuan

sebagaimana yang termaktub dalam FPK.

Guru juga boleh dianggap sebagai seorang pengusaha. Dengan itu untuk memenuhi ciri

pengusaha yang dinamik, guru perlu mempunyai kemahiran dan sentiasa berupaya berfikir

secara inovatif dan kreatif. Contohnya, bagaimana seseorang guru itu berupaya menarik
perhatian pelajar agar sentiasa menerapkan disiplin diri yang unggul dan mematuhi ajaran

agama. Selain itu, seseorang guru juga mesti bersikap profesional dalam bekerja dengan

menunjuk contoh yang baik dan memiliki sahsiah diri yang terpuji. Ini penting kerana guru akan

menjadi perhatian pelajar dan akan diikuti. Jangan pula seperti ‘ketam mengajar anaknya

berjalan betul.’

Selain itu, menurut Dr Abdullah Sudin, seseorang guru mesti menjadi seorang pengikut

yang baik. Ini bermaksud guru itu seharusnya taat dan mematuhi arahan ketua dalam

melaksanakan sebarang tugasan dengan bersedia berkorban masa dan tenaga semaksimum boleh.

Seterusnya guru juga berperanan sebagai seorang pejuang. Apakah maksud pejuang di sini?

Tentulah perjuangan dalam menyempurnakan amanah negara dalam memberi pendidikan kepada

anak bangsa dengan semangat waja dan tanpa putus asa. Seseorang pejuang sudah tentu tidak

boleh berputus asa apabila berhadapan dengan kesulitan. Begitulah dengan guru. Apapun

cabaran dan kekangannya, tugas dan amanah mesti diteruskan dengan efektif. Pejuang juga mesti

ikhlas dalam perjuangannya. Demikianlah juga dengan guru, mereka seharusnya ikhlas dalam

melaksanakan tugas mendidik anak bangsa.

Tanggungjawab dan peranan guru tidak dapat dipertikaikan biarpun kadangkala mereka

dipersalahkan apabila berlaku kes keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Kecekapan dan

keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang

berjaya. Guru mempunyai peranan dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan

integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

‘Guru perlu menanamkan niat mereka mengajar demi menyelamatkan anak muridnya

daripada kesengsaraan di akhirat kelak.’ Hakikatnya seseorang guru sewajarnya mesti sedar dan
insaf bahawa di bahu mereka terletaknya amanah Tuhan dan harapan negara dalam membina

generasi insan yang berwibawa, berintelek tinggi, berakhlak mulia serta bersahsiah ‘towering

personality.’ Ingatlah pendidik akan pesanan yang pernah diluahkan oleh Beecher, ‘kanak-kanak

adalah umpama simen basah dan setiap orang yang jatuh ke atasnya akan memberi kesan

kepadanya.’ Demikian juga guru seharusnya menghayati kata-kata daripada Mann Horace ini,

‘seseorang guru yang mengajar tanpa cuba menimbulkan dan menghidupkan keinginan serta

semangat belajar dalam kalangan muridnya seperti orang yang menempa besi yang dingin.’

Bagi guru atau pendidik, mereka tidak pernah mengharapkan hadiah bertimbun setiap

kali sambutan Hari Guru kerana harapan mereka biar anak didik menjadi insan berilmu dan

berguna, seterusnya menyumbang khidmat bakti kepada negara. Guru mengerti usaha mendidik

dan membangunkan insan bukan mudah. Meskipun begitu, semangat mereka tidak pernah luntur

malah terus berusaha menyusun langkah meneruskan perjuangan demi memikul amanah Tuhan.

Demikianlah antara peranan guru ketika ini. Mereka bukan saja menjadi contoh terbaik kepada

masyarakat, bahkan peranan mereka lebih terbukti apabila negara kita berjaya melahirkan

sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.


Rumusan

Sekiranya dilihat dari segi sistem yang telah disediakan dan dilaksanakan selama ini,

terdapat usaha yang gigih untuk memperbaikinya dari semasa ke semasa. Sekiranya ditinjau

secara halus dari segi hasil dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, seharusnya ia mampu

mengeluarkan pelajar yang berilmu, bermoral (akhlak), beradab dan bersopan, seorang individu

yang boleh menjadi warganegara yang cukup baik. Namun terdapat pelbagai masalah moral,

disiplin dan kelemahan akademik dalam kalangan sebilangan besar pelajar Melayu, terutamanya

dari luar bandar. Kesimpulannya, jelas terbukti bahawa sekiranya setiap pendidik berpegang

kepada FPK dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab profesional mereka, sudah pasti

matlamat dasar pendidikan negara akan menjadi satu kenyataan, dan bukan hanya satu impian

sahaja.

Anda mungkin juga menyukai