Anda di halaman 1dari 4

HURAIKAN EMPAT (4 KEPENTINGAN KOMUNIKASI KEPADA SESEBUAH

PERNIAGAAN.

HURAIKAN EMPAT (4) KEPENTINGAN KOMUNIKASI KEPADA SESEBUAH


PERNIAGAAN.

Pengenalan

Komunikasi merupakan suatu elemen penting dalam kehidupan manusia. Setiap manusia
akan berkomunikasi atau berinteraksi sama ada dengan ibu bapa, keluarga, kawan-kawan,
masyarakat, rakan sepejabat dan sebagainya. Sebagaimana isi dan kuku, komunikasi dalam
sesebuah perniagaan juga tidak dapat dipisahkan. Saodah, Narimah dan Mohd Yusof (2003)
menerangkan komunikasi merupakan suatu yang asas seperti mana keperluan kita untuk
makanan, tempat tinggal dan pakaian. Kakitangan sesebuah perniagaan akan berkomunikasi
sama ada antara rakan sepejabat atau dengan pihak atasan untuk melancarkan tugas harian
mereka. Kebiasaannya ia melibatkan proses pertukaran dan koordinasi maklumat. Justeru itu,
komunikasi merupakan sebahagian daripada elemen penting dalam menentukan kecekapan
dan kemajuan sesebuah entiti perniagaan.

Definisi komunikasi organisasi

Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mentakrifkan komunikasi sebagai perhubungan sama
ada secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan sebagainya. Manakala
menurut Bovee dan Thill (2000), komunikasi merupakan proses penghantaran dan
penerimaan maklumat. Secara umumnya, komunikasi ialah proses perpindahan maklumat,
idea dan sikap daripada seseorang kepada seseorang (Emery, Ault & Agee,1965).
Komunikasi menjadi paling berkesan apabila individu yang berinteraksi atau berkomunikasi
dapat berkongsi kefahaman, merangsang pihak lain dan bertindak balas serta menggalakkan
pihak lain untuk terus berfikir.
Saodah, Narimah dan Mohd Yusof (2003) juga mentakrifkan organisasi atau sesebuah
perniagaan mengandungi sekumpulan individu yang saling bekerjasama untuk mencapai
suatu matlamat yang telah dipersetujui bersama. Contohnya, organisasi seperti Bank
Simpanan Nasional (BSN) mempunyai misi dan visi yang telah ditentukan dan perlu dicapai
oleh setiap warga BSN.

Manakala Goldhaber (1993) mendefinisikan komunikasi perniagaan sebagai satu proses


pembentukan dan pertukaran mesej antara jaringan hubungan yang saling bergantungan
untuk menangani persekitaran yang tidak menentu. Ringkasnya, komunikasi perniagaan
adalah salah satu kaedah untuk mengurus dan mengarahkan warga organisasi di sesebuah
perniagaan supaya terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sesebuah perniagaan.

Kepentingan komunikasi perniagaan

Kepentingan komunikasi terhadap sesebuah perniagaan dapat dipecahkan kepada empat


kategori utama iaitu hubungan dalaman organisasi, perhubungan antara individu dalam
perniagaan, hubungan dengan pihak luar dan sebagai alat penyaluran maklumat.

Kepentingan utama komunikasi terhadap sesebuah perniagaan ialah ianya penting dalam
menjaga hubungan dalaman sesebuah entiti perniagaan. Sebagaimana yang dijelaskan
sebelum ini, sesebuah entiti perniagaan atau organisasi mempunyai misi dan visi yang telah
ditetapkan. Setiap warga perniagaan perlu sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat
organisasi mereka. Bertitik tolak daripada itu komunikasi memainkan peranan penting dalam
menjalinkan hubungan baik pihak atasan dengan pihak subordinat. Pada hari ini, kecanggihan
teknologi membolehkan proses pengarahan untuk melaksanakan sesuatu tugas dapat
dikeluarkan dalam pelbagai bentuk sama ada memo, surat, e-mail, telefon dan sebagainya.
Pihak pengurusan perlu bijak menggunakan komunikasi yang bersesuaian agar situasi
konduksif dapat diwujudkan dalam permis mereka dan secara tidak lansung dapat
meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti perniagaan mereka.

Selain itu kepentingan komunikasi juga ialah sebagai alat perhubungan antara individu dalam
perniagaan. Menurut Mohd Fadzilah Kamsah dan Md. Yadi Said (2005), komunikasi yang
terdapat dalam perniagaan bukan semata-mata untuk menjalankan tugas dan aktiviti yang
telah ditentukan oleh pihak pengurusan sahaja tetapi komunikasi juga dibentuk untuk
mewujudkan jaringan perhubungan antara rakan sekerja dan juga pihak atasan. Komunikasi
yang terjalin antara individu dalam sesebuah perniagaan melibatkan hubungan secara formal
dan juga bukan formal. Kedua-dua hubungan tersebut perlu seimbang bagi mewujudkan
suasana kerja yang harmoni, tanpa tekanan dan tanpa sebarang konflik peribadi. Contohnya,
kakitangan kaunter BSN mampu menyerap tekanan kerja dan menghalang konflik dalaman
kerana mereka sentiasa didedahkan mengenai kemahiran berkomunikasi. Seterusnya
implikasi dari interaksi yang seimbang ialah ia memberi kepuasan dan keseronokan bekerja
di kalangan individu dalam perniagaan tersebut disamping mengukuhkan semangat kecintaan
terhadap entiti perniagaan mereka.

Kepentingan komunikasi yang ketiga ialah mengenai hubungan dengan pihak luar.
Kepentingan komunikasi perniagaan bukan sahaja tertakluk kepada warga kerja di dalam
sesebuah organisasi tertentu sahaja malah ianya juga penting dalam menjaga hubungan baik
sesebuah perniagaan dengan pihak luar seperti agensi-agensi kerajaan, masyarakat umum,
pembekal, media dan para pelanggan secara konsisten. Ini kerana sesebuah entiti perniagaan
akan diadili melalui komunikasi lisan dan bukan lisan oleh pihak luar khasnya, para
pelanggan mereka. Teori ini disokong oleh sarjana (Joseph Lark dan Harry Hont) melalui
Teori Tingkap Johari dan idea Imam Al-Ghazali (Saodah, Narimah dan Mohd Yusof, 2003).
Imam Al-Ghazali menyatakan tidak semua perkara yang pemimpin tahu diketahui oleh
pengikut, begitu juga sebaliknya. Secara tidak langsungnya, pembinaan imej melalui
komunikasi tanpa lisan dan lisan boleh memperbaiki kekurangan lahiriah dan batiniah.
Contohnya program Karnival TV3 SureHeboh yang terbukti berjaya mendekatkan
masyarakat umum dengan pihak pengurusan TV3. Oleh itu, peranan komunikasi dalam
sesebuah perniagaan bukan sahaja berorientasikan keuntungan malah ianya juga penting
dalam menjaga hubungan sesebuah entiti perniagaan dengan pihak luar atas dasar memenuhi
tanggungjawab sosial.

Keempat komunikasi sebagai alat penyaluran maklumat. Lazimnya sesebuah perniagaan


menjadikan komunikasi sebagai satu mekanisma untuk menyalurkan maklumat kepada
masyarakat umum dan juga kepada warga organisasi mereka. Pihak pengurusan
menggunakan saluran komunikasi untuk menyampaikan maklumat sama ada melalui medium
komunikasi khasnya kepada kakitangan mereka dari pelbagai latar jawatan. Komunikasi
berkesan mampu bertindak sebagai anjakan paradigma dan penggerak kepada motivasi para
pekerja untuk meningkatkan produktiviti syarikat. Media baru seperti komputer dan internet
menjadi medium utama pilihan pihak pengurusan untuk menyampaikan segala informasi
kepada pekerja mereka. Selain itu ia juga dapat menangani sebarang bentuk konflik yang
wujud dalam sesebuah perniagaan. Justeru bagi memastikan semua keputusan pengurusan
dilaksanakan dengan berkesan teknologi komunikasi pada hari ini di lihat sebagai tidak
bergerak secara sendiri kerana perkembangan teknologi komunikasi yang tidak terbendung.
Justeru teknologi komunikasi turut membantu dalam menjalankan urusan kepemimpinan
antaranya ialah faks, telefon, komputer, e-mail, memo dan lain-lain lagi. Masalah jarak tidak
lagi wujud pada hari ini kerana pemimpin boleh berhubung atau berkomunikasi dengan
pengikutnya tanpa mengira di mana ia berada. Selain itu organisasi juga mempelbagaikan
bentuk komunikasi mereka dengan masyarakat umum seperti melalui iklan sama ada di
media elektronik atau media cetak.

Kesimpulan

Komunikasi perniagaan merupakan nadi utama dalam memastikan kejayaan sesebuah entiti
perniagaan mencapai matlamat mereka. Komunikasi merupakan wadah utama yang
menghubungkan sesebuah perniagaan dengan masyarakat umum. Malah komunikasi yang
berkesan membolehkan setiap kakitangan di sesebuah entiti perniagaan menguruskan
perniagaan mereka dengan lebih cekap dan tersusun. Oleh yang demikian, secara tidak
langsung ia berupaya memberi pulangan keuntungan kepada entiti perniagaan tersebut.
Ringkasnya komunikasi yang efektif memberi implikasi positif kepada organisasi dan para
pelanggan mereka.

Anda mungkin juga menyukai