Anda di halaman 1dari 2

https://eniaga.awal.

my/blogs/kesihatan/bahaya-lalat

Bahaya Lalat

1. Apakah lalat?
Lalat adalah serangga kecil yang mempunyai sayap dan mampu terbang
dengan pantas. Ia sangat sensitif kepada pergerakan, justeru amat sukar
ditangkap tanpa menggunakan alatan khas. Lalat mempunyai deria hidu
yang tajam. Ia mampu bertelur dalam jumlah yang banyak. Kitar hidupnya
pendek iaitu kira-kira 20 hingga 30 hari dengan empat peringkat
perkembangan bermula dengan telur, berengga, pupa dan lalat dewasa.
Terdapat puluhan ribu spesies lalat di dunia, tetapi hanya sebahagian kecil
yang berbahaya kepada manusia. Spesies yang biasa dijumpai di kawasan
kediaman manusia adalah lalat rumah atau nama saintifiknya Musca
domestica. Ia mempunyai mata berwarna merah dan badan berwarna
kelabu. Terdapat empat jalur hitam pada bahagian atas dadanya yang
memudahkan pengenalpastian spesies.

2. Kenapa lalat bahaya?


Lalat adalah serangga berbahaya kerana ia suka hinggap dan membiak di
tempat kotor dan busuk seperti longkang tersumbat, timbunan sampah,
najis dan bangkai haiwan. Akibatnya, kuman seperti virus, bakteria atau
parasit yang berada pada najis atau tempat kotor tersebut akan menempel
pada kaki atau bulu-bulu halus pada badan lalat. Apabila hinggap pada
makanan yang terdedah, kuman-kuman ini akan dipindahkan ke makanan
tersebut dan menyebabkannya tercemar. Apabila seseorang termakan
makanan yang telah tercemar dengan kuman, maka kuman akan masuk ke
dalam sistem penghadaman. Kuman yang berkembang dalam badan akan
menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit perut, muntah, demam, cirit-
birit dan najis berdarah. Masalah kesihatan lain yang boleh berlaku
terutama kepada kanak-kanak adalah seperti kekurangan zat, anaemia
(kekurangan darah merah) dan tumbesaran terbantut. Antara penyakit
bawaan lalat adalah seperti kolera, demam kepialu (tifoid) dan jangkitan
cacing seperti cacing cambuk, cacing gelang dan cacing pita.

3. Bagaimana menghindari penyakit bawaan lalat?


Prihatin terhadap persekitaran dalam dan luar rumah adalah kunci utama
untuk mencegah diri anda dan keluarga daripada dijangkiti penyakit
bawaan lalat. Di bawah adalah langkah-langkah mudah yang boleh diikuti:
1. Tutup makanan dengan menggunakan tudung saji. Bau makanan
yang kuat boleh menarik lalat masuk ke dalam rumah.
2. Buang makanan sekiranya terdapat telur lalat padanya. Kehadiran
telur lalat menunjukkan lalat telah hinggap pada makanan.
3. Jangan biarkan sisa makanan ditinggalkan pada pinggan atau dalam
singki.
4. Pastikan sisa makanan dan sampah di buang dalam tong sampah
yang bertutup rapi.
5. Boleh menggunakan perangkap lalat atau alat pembunuh lalat
elektrik untuk mengurangkan jumlah lalat di rumah.
6. Gunakan pelindung jaring pada tingkap untuk mengelakkan
kemasukan lalat.
7. Pastikan kawasan keliling rumah bersih daripada kotoran yang
menjadi tempat pembiakan lalat.
8. Bersihkan najis haiwan peliharaan dengan segera.
9. Elakkan makan di restoran yang tidak bersih dan menyajikan
makanan yang terdedah.

Tahukah Anda?

1. Lalat betina mampu bertelur sehingga 600 biji sepanjang hayatnya.


2. Lalat rumah mampu terbang lebih 30 kilometer untuk mencari
makanan.
3. Lalat tidak mempunyai gigi, tetapi mempunyai belalai (probosis) untuk
menyedut cairan makanan.
4. Lalat mempunyai sepasang mata kompaun dengan setiap satunya
mempunyai ribuan lensa kecil.
5. Terdapat lebih 100 patogen direkodkan daripada lalat rumah dengan
65 daripadanya boleh ditularkan kepada manusia.

Arti

Anda mungkin juga menyukai