Anda di halaman 1dari 5

http://hasnulhadiahmad.

com/keajaiban-hadis-lalat-mendahului-kajian-saintifik/

Keajaiban Hadis Lalat Mendahului Kajian Saintifik


by HASNUL HADI AHMAD on JANUARY 20, 2012

Keajaiban Hadis Lalat Mendahului Kajian Saintifik


Pernahkah anda mendengar Hadith Rasulullah SAW mengenai Lalat,di dalam
sebuah hadith Baginda SAW menjelaskan bahwa jika ada lalat yang jatuh ke dalam
minuman, kita hendaklah mencelupkan lalat tersebut sepenuhnya ke dalam
minuman kemudian membuangnya, kerana diantara salah satu sayapnya
mempunyai racun dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penawar.
Hadis Lalat Dan Sains
Mengikut riwayat Bukhari dari Abu Hurairah, nabi bersabda, “Apabila lalat
terjatuh ke dalam bekas minum salah seorang antara kamu, celuplah
dan kemudian buanglah lalat itu kerana pada sebelah sayapnya
mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai
penyakit.” Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibn
Majah. Benarkah pada lalat terdapat punca-punca penyakit serta penawar?
Lalat memang dikenali di seluruh dunia. Pada tahun 1964, ahli-ahli sains mengenal
pasti 80,000 spesies lalat di seluruh dunia. Lalat rumah dikenali sebagai Musca
domestica. Lalat ini mudah ditemui di mana-mana termasuk di kepulauan Arab.
Luther West dalam buku The Housefly – Its Natural History, Medical Importance,
And Control, terbitan New York pada tahun 1951, menyatakan lalat jenis Musca
domestica banyak terdapat di kawasan Timur Tengah. Justeru, apabila nabi bersabda
tentang lalat, besar kemungkinan baginda sedang menceritakan tentang lalat dari
jenis ini.

Lalat buah atau fruit-flies yang kadang kala dikenali juga sebagai lalat arak atau wine
flies serta lalat cuka atau vinegar flies, juga banyak terdapat di Timur Tengah. Jenis
yang agak terkenal daripada kumpulan ini ialah yang bernama Drosophila
melanogaster. Kajian di dalam bidang entomologi mendapati lalat jenis ini jinak
dengan manusia dan sering terdapat di kawasan buah-buahan yang banyak berlaku
proses fermentasi. Justeru, arak merupakan tarikan kepada lalat jenis ini. Di samping
itu ia juga menyukai suhu yang tinggi seperti yang disebutkan oleh Harold Oldroyd
dalam buku The Natural History of Flies. Mekah dan Madinah mempunyai suhu yang
tinggi. Persekitarannya subur dengan pohon-pohon kurma dan anggur dan kedua-
dua ini digunakan untuk membuat arak. Minuman arak, apatah lagi di zaman
jahiliah, merupakan budaya hidup orang-orang Arab. Tidak akan meriah sesuatu
majlis tanpanya. Orang Arab begitu memuja arak hinggakan bahasa arab mempunyai
lebih kurang 250 kalimat yang melambangkan arak. Hal ini disebutkan dalam Tafsir
al-Azhar oleh Hamka. Ketika Islam datang arak belum diharamkan. Islam hanya
mengharamkannya selepas berlakunya hijrah ke Madinah dan selepas diwajibkan
ibadah solat. Justeru, persekitaran yang seperti ini yang kaya dengan arak cukup
sesuai untuk pembiakan lalat Drosophila melanogaster.

Apa yang signifikan ialah, lalat daripada kedua-dua jenis ini, iaitu Musca domestica
dan Drosophila melanogaster (terutamanya Drosophila melanogaster), menjadi
bahan kajian utama para ahli sains pada hari ini bertujuan untuk mengenali
penyakit-penyakit manusia serta penawar baginya. Justeru, fokus nabi tentang lalat
dalam konteks penyakit dan penawar, amat relevan dengan isu kesihatan dan
perubatan pada hari ini.

Lalat dan Penyakit


Sabda nabi yang bermaksud, “Pada sebelah sayapnya mengandungi
penyakit,” adalah satu pernyataan umum yang menunjukkan lalat merupakan agen
pembawa penyakit kepada manusia. Ia juga mengisyaratkan bahawa lalat
mengandungi banyak kuman yang memudaratkan. Sabda nabi ini hanya dapat
difahami pada abad-abad terkemudian. Pada tahun 1577, Mercurialis melontarkan
pandangan tentang kemungkinan lalat merupakan serangga pembawa penyakit
kepada manusia, tetapi pendapat ini tidak dapat dikukuhkan dengan bukti. Hanya
pada abad kesembilan belas sahaja kajian yang mendalam dilakukan untuk
mengesahkan perkara ini, contohnya, kajian yang dilakukan oleh Profesor J. Leidy
pada tahun 1871. Beliau yang merupakan seorang pakar dalam bidang ilmu serangga
atau entomologist mendapati lalat adalah pembawa pelbagai kuman kepada manusia.
Pada tahun 1929, H.Y. Yao, I.C. Yuan dan D. Huie mengkaji lalat-lalat di Beijing dan
mendapati luarannya mengandungi lebih kurang 3,683,000 kuman bakteria dan
dalamannya mengandungi 6-8 kali ganda kuman berbanding luarannya. Hal ini
disebutkan dalam buku Insect Immunology oleh Edward A. Steinhaus terbitan New
York.
Pada tahun 1912, risalah pendidikan kesihatan di Amerika memperkenalkan lalat
sebagai ‘serangga paling berbahaya yang pernah dikenali manusia selama ini’. Lalat
dikenal pasti sebagai agen pembawa penyakit demam kepialu, taun, cirit birit, sakit
mata, dan banyak lagi.

Lalat Memiliki Penawar


Sabda nabi, “Dan pada sebelah sayap (lalat) ada penawar,” menunjukkan,
walaupun lalat ialah agen pembawa kuman serta penyakit, namun tubuh lalat yang
sama juga memiliki penawar serta bahan anti kuman yang bermanfaat bagi manusia.
Hal ini disahkan oleh para saintis pada abad ke-20. Sebagai contoh, Shope pada
tahun 1927, dan Glaser 1938, mendapati ada kuman-kuman virus dalam badan lalat
yang berfungsi membunuh kuman-kuman bakteria. Kajian ke atas lalat rumah Musca
domestica menunjukkan, ia mengandungi virus bacteriophage yang mampu
membunuh kuman-kuman Staphylococcus muscae, Escherichia coli, Salmonella
paratyphi dan Eberthella typhosa yang menjadi penyebab kepada penyakit cirit birit
dan demam kepialu. Inilah penemuan virus bacteriophage yang pertama di dalam
serangga dan ia merangsang kepada penemuan-penemuan yang lain.

Sebelum itu, pada tahun 1926, J.I. Duncan menemui bahan-bahan aktif pembunuh
bakteria di dalam usus lalat rumah. Pada tahun 1939 pula, Lal, Ghosal dan Mukherji
mendapati lalat mampu mengubah kuman taun vibrio cholera kepada bentuk yang
lain yang tidak berbahaya. Penemuan-penemuan ini dilaporkan dalam buku The
Housefly – Its Natural History, Medical Importance, And Control oleh Luther West.

Penemuan sains pada abad ke-20 juga menyedarkan manusia tentang betapa
benarnya sabda nabi yang bermaksud, “Celuplah lalat itu kerana pada
sebelah sayapnya mengandungi penawar.” Pusingan hidup lalat bermula
dengan telur. Telur menetas dan mengeluarkan larva, kemudiannya berubah kepada
pupa dan kemudian barulah menjadi lalat dewasa. Semua ini adalah proses yang
perlu dilalui oleh seekor lalat. Lalat di dalam bentuk larva (maggots) amat
bermanfaat pada manusia.
Sebagai contoh, M.A. Stewart, pada tahun 1934, mendapati lalat berbentuk larva,
ketika ‘dicelupkan’ ke dalam luka-luka, mengeluarkan bahan ammonia dan kalsium
karbonat yang menjadikan luka itu alkali. Di dalam keadaan ini kuman-kuman dapat
dibunuh di samping meredakan bengkak serta mencegah kematian sel-sel. Di
samping itu larva-larva ini berperanan menelan kuman-kuman bakteria dan
membunuhnya. S.W. Simmons pada tahun 1935 pula mendapati, lendir yang
dikeluarkan oleh larva mampu membunuh kuman-kuman bahaya seperti
Staphylococcus aureus, Haemolytic streptococci dan Clostridium welchii. Tambahan
daripada itu, pada tahun yang sama, W. Robinson mendapati larva juga
mengeluarkan allantoin. Allantoin merupakan bahan protein yang membantu
pertumbuhan sel-sel. Penemuan-penemuan ini dilaporkan dalam buku Insect
Immunology karangan Edward Steinhaus.

Penemuan-penemuan ini menjadikan larva lalat begitu popular digunakan bagi


merawat luka-luka terutamanya pada tahun 1930-an. Walau bagaimanpun
popularitinya mula menurun selepas penemuan ubat-ubat antibiotik. Baru-baru ini,
bermula tahun 1982, penggunaan larva menjadi popular semula berdasarkan kajian-
kajian saintifik terkini. Hal ini dilaporkan oleh Fakulti Perubatan Universiti Indiana
di www.soundmedicine.iu.edu.

Sebagai contoh, ia dicadang untuk digunakan bagi merawat luka disebabkan kencing
manis. Hal ini dilaporkan dalam jurnal Diabetes Health terbitan Mac 1995. Antara
institusi perubatan yang telah menggunakan pendekatan ini ialah Long Beach
Veterans Affairs Medical Center. Di Belanda pula pakar-pakar perubatan melaporkan
mereka berjaya merawat sebelas kes luka yang teruk dengan menggunakan larva
lalat. Kaedah ini berjaya mengawal infeksi kuman dan menyelamatkan kes-kes ini
dari pembedahan amputasi. Hal ini dilaporkan dalam jurnal Clinical Infectious
Diseases.

Kuasa penawar yang ada pada lalat memang menakjubkan. Dalam sebuah buku
karangan Dr. Ghyath Hasan al-Ahmad bertajuk al-Tibb al-Nabawi fi Daw al-Ilm al-
Hadith (Prophetic Medicine in the Light of Modern Science) terbitan tahun 1955,
dilaporkan tentang satu eksperimen yang dilakukan oleh Dr. Nabîh Da’ish di
Universiti Raja Abdul Aziz di Riyadh. Beliau menyediakan sepuluh kultur bakteria
(bacterial cultures) dan dimasukkan seekor lalat ke dalamnya tanpa dicelupkan lalat
itu ke dalam kultur. Beliau kemudiannya menyediakan 10 lagi kultur bakteria dan
dimasukkan serta dicelupkan lalat ke dalamnya sebanyak sekali. Selepas itu
disediakan pula lagi 10 kultur bakteria dan pada kali ini lalat dicelupkan ke dalam
kultur sebanyak dua kali. Perbuatan ini disusuli dengan penyediaan 10 lagi kultur
bakteria dan lalat dicelupkan ke dalamnya sebanyak tiga kali. Dr. Nabîh Da’ish
mendapati kuman terus hidup dan membiak dalam kultur yang pertama yang
mengandungi lalat yang tidak dicelup. Dalam kultur yang kedua kuman-kuman tidak
mampu membiak malah sebahagiannya terbunuh dan aktiviti antikuman ini
meningkat dalam kultur ketiga dan keempat. Penemuan ini menunjukkan
pengeluaran bahan antikuman tertentu oleh lalat ada perkaitan dengan perbuatan
mencelup lalat ke dalam cecair. Ia selari dengan sabda nabi yang disebutkan sebelum
ini. (Untuk perincian sila baca buku ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’
karangan Dr. Danial bin Zainal Abidin, terbitan PTS Publication).
Nukilan: Dr. Danial bin Zainal Abidin

Wallahu’alam….

Anda mungkin juga menyukai