Anda di halaman 1dari 9

Cabaran dan kaedah penggunaan Internet secara bijaksana

MOHAMAD SUANDI HASAN


7 Okt 2009
CABARAN DAN KAEDAH PENGGUNAAN INTERNET SECARA BIJAKSANA

Internet  telah membawa revolusi baru di dalam dunia komunikasi pada hari ini. Internet yang
lebih integrasi mempunyai kemampuan penyiaran ke seluruh dunia,memiliki diseminasi
maklumat, dan sebagai media untuk berinteraksi dan berkolaborasi.Internet telah membawa
banyak perubahan di dalam kehidupan masyarakat pada hari ini.
 

Internet sememangnya mempunyai banyak faedah kepada manusia  baik di dalam kehidupan
seharian seperti  penyebaran maklumat, memperolehi akses kepada sesuatu , kemudahan
berkomunikasi menggunakan e-mel,  chatting sehinggalah kepada kegunaan perniagaan seperti
e-perdagangan, perbankan dan juga pembelajaran dalam talian. Apatah lagi dengan adanya
kemudahan jalur lebar 24 jam yang sudah boleh dilanggan dan diperolehi di banyak lokasi di
negara beserta dengan usaha pihak kerajaan yang sedang berusaha untuk meluaskan lagi liputan
jalur lebar ke seluruh negara, maka penggunaan internet menjadi  lebih meluas dan sangat
penting.
 

Sungguhpun demikian, disebalik kegunaannya yang pelbagai, tidak dinafikan masih terdapat
juga  keburukan sekiranya penggunaan internet disalahgunakan oleh masyarakat kita pada hari
ini. Justeru, masyarakat  perlu bijak untuk menilai dan menentukan yang terbaik supaya mereka
memperolehi faedah dari kemudahan yang ada.
 

Bermula pada tahun 1962 di Amerika Syarikat di mana Jabatan Pertahanan Amerika
memutuskan untuk menghubungkan sejumlah komputer sehingga memberntuk jaringan.
Program yang dikenali sebagai ARPANET ini adalah untuk mengelakkan pemusatan
informasi di satu titik yang mudah dimusnahkan apabila terjadinya peperangan. Dengan cara itu,
apabila satu bahagian di jaringan terputus, maka jalur yang melalui jaringan tersebut dapat
dipindahkan ke saluran yang lain. Perkembangan internet diteruskan untuk menghubungkan
Universiti-universiti di Amerika Syarikat bagi tujuan penyelidikan dan pertukaran maklumat.
Aplikasi mel elektronik atau e-mel yang digunakan secara meluas sekarang telah dicipta pada
tahun 1972 oleh Ray Tomlinson. Internet seterusnya berkembang sehingga membentuk
rangkaian yang dikenali sebagai world wide web atau www pada tahun 1990. Sistem www ini
membolehkan suara, gambar, muzik dan filem diletakkan ke dalam rangkain internet yang
menjadikannya lebih menarik.
 

Di Malaysia, Internet telah diperkenalkan secara komersial dengan pelancaran jaring yang
dikendalikan oleh MIMOS Berhad pada tahun 1991 selepas penyelidikan dijalankan oleh
universiti tempatan. Kini, jarring dan TMnet adalah merupakan syarikat pembekal perkhidmatan
internet (ISP) yang terkenal di kalangan pengguna biasa selain daripada pengguna syarikat yang
turut ditawarkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi tempatan.
 

Melalui internet, maklumat akan dapat disebarkan dengan lebih cepat. Pengguna hanya


perlu memasukkan maklumat yang ingin disebarkan ke dalam laman web yang tertentu ataupun
menghantar e-mel melalui alamat e-mel yang diperolehi. Pengguna yg lain boleh mengakses
laman web berkenaan apabila beliau melawati laman web tersebut manakala penerima e-
mel akan memperolehi maklumat berkenaan dengan serta merta . Selain dari itu, penyebaran
maklumat melalui internet ini adalah tanpa melibatkan sebarang kos yang mana akan lebih
menguntungkan pengguna. Pengguna hanya perlu mempunyai kemudahan komputer dan akses
kepada internet dan ianya boleh dilakukan di mana-mana jua.
 

Dengan adanya teknologi yang canggih seperti internet, maka apa jua maklumat yang ingin
diketahui akan dapat diperolehi. Sumber maklumat berada di hujung jari pengguna, apa yang
diperlukan hanyalah mengakses kepada laman web berkenaan ataupun melalui enjin pencari
seperti  yahoo, google dan sebagainya.
Internet membolehkan pengguna hari ini berhubung dengan sesiapa saja di mana jua mereka
berada. Kalau suatu masa dahulu seseorang perlu mengirim surat untuk berhubung, ianya
mengambil masa yang agak lama untuk maklumat tersebut diterima oleh penerima surat
berkenaan. Tetapi apa yang berlaku pada hari ini, maklumat tersebut akan diterima secara serta
merta dan tindakan yang segera dapat diambil terhadap maklumat tersebut. Ini akan
mempercepatkan proses sesuatu pekerjaan dan seterusnya perkhidmatan di dalam sesuatu
syarikat/gensi dapat dipertingkatkan.
 

Dengan adanya kemudahan internet yang menyediakan pelbagai portal social networking juga
membolehkan kita semua berhubung dengan keluarga, saudara mara dan rakan taulan tidak kira
di mana mereka berada. Melalui laman ini juga, kita dapat berhubung semula dengan rakan
sekolah atau teman sepermainan yang sudah berpuluh tahun tidak diketahui di mana berada
sebelum ini. Ini merupakan satu cara bagi mengeratkan hubungan silaturrahim sesama insan.
 

Internet telah memberi perubahan yang amat ketara kepada para pelajar yang menggunakan
kaedah pembelajaran secara jarak jauh di mana mereka tidak perlu lagi menghadiri kelas di
kampus. Sebaliknya apa yang perlu mereka lakukan hanyalah mengikuti modul-modul yang
tertentu secara “on-line” melalui kemudahan pembelajaran dalam talian. Ini tentunya
memberi kesan yang amat baik kepada para pelajar yang rata-ratanya bekerja samada di sektor
awam ataupun swasta di mana ianya menjimatkan kos, masa dan tenaga mereka. Maka tumpuan
yang lebih dapat diberikan kepada pekerjaan seharian dan juga semasa mengikuti pembelajaran
“on-line”.
 

Melalui kemudahan internet juga, pelbagai urusniaga dapat dijalankan secara on-line. Ini
termasuklah urusan transaksi bank, pembayaran, penghantaran wang, pembelian melalui internet,
tempahan hotel, tiket penerbangan, maklumat tukaran asing dan sebagainya. Pengguna dapat
menggunakan semua kemudahan tersebut tanpa perlu keluar rumah, mencari tempat letak kereta,
beratur di kaunter dan lain-lain lagi yang akan menjimatkan kos, tenaga dan masa mereka.
 
Kerajaan Malaysia juga telah mengaplikasikan pelbagai kaedah melalui internet yang mana
dengan kaedah-kaedah tersebut dapat mempercepatkan urusan dan seterusnya mempertingkatkan
perkhidmatan di sektor awam. Sebagai contoh penggunaan e-perolehan di jabatan kerajaan
berupaya mempercepatkan urusan perolehan leh Jabaan dan agensiKerajaan. Ia juga
memperlihatkan integriti di sektor awam. Begitu juga dengan perkhidmatan e-aduan yang
diperkenalkan di semua kementerian dan jabatan, ia memberi kebebasan kepada orang awam
untuk membuat sebarang komen dan aduan terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh
kakitangan kerajaan. Ini membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin dengan rakyat di mana
ketidakpuashatian rakyat akan diambil perhatian dan ditangani dengan sebaik mungkin
bersesuaian dengan moto “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.”
 

Orang ramai pada hari ini boleh menjadikan rumah sebagai tempat untuk bekerja di mana dengan
kemudahan internet, setiap pekerjaan yang dilakukan hanya dilakukan di rumah. Selain dari
menjimatkan masa dan kos, bekerja dari rumah juga membolehkan orang ramai terutamanya
wanita yang bekerja memperuntukkan lebih masa untuk keluarga. Anak-anak juga dapat di jaga
sendiri oleh mereka tanpa perlu dihantar ke taman asuhan.
 

Sebagai pengguna yang bijak, kita seharusnya pantas menyedari tentang kewujudan kesan-kesan
negatif, di sebalik kebaikan daripada penggunaan internet. Seperti juga di alam nyata, alam siber
juga boleh mengundang bahaya kepada penggunanya, sekiranya tidak digunakan dengan
bijaksana dan berhati-hati.
 

Antara ciri internet ialah ia agak mudah memberikan perlindungan kepada identiti penggunanya.
Dalam konteks jenayah, ia memberikan kelebihan kepada pelakunya dalam melaksanakan niat
jahat mereka. Contohnya, pendaftaran emel yang sangat mudah membolehkan sesiapa sahaja
menggunakannya untuk apa jua tujuan seperti penyamaran dan penipuan. Ini termasuklah
melalui penghantaran e-mel palsu dengan tujuan untuk menipu penerimanya. Perbuatan ini turut
dikenali sebagai Nigerian Scam. Pada masa ini, sebilangan besar pengguna internet yang
mempunyai akaun e-mel tidak terlepas daripada menerima e-mel scam dan mereka yang berada
di belakang perbuatan ini nampaknya seolah-olah tidak pernah mengenal penat dalam mencari
mangsa mereka. Biasanya penghantar e-mel ini akan menyamar sebagai seseorang yang
mempunyai wang yang banyak dan memerlukan pertolongan daripada penerima e-mel. Penerima
e-mel ditawarkan peluang berkongsi wang tersebut, dengan mengikuti syarat-syarat yang
ditentukan, antaranya perlu mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan oleh
penghantar e-mel. Walaupun kes-kes ini pernah dibongkar oleh pihak berkuasa dan media,
namun masih ada pihak yang tertipu dengan e-mel tersebut.
 

Menurut pihak CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), jenayah siber di Malaysia telah naik
100% pada tahun 2008, berbanding tahun sebelumnya. Sebanyak 2,123 aduan jenayah maya
diterima oleh Cybersecurity pada tahun 2008, meningkat 1,085 berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity, Leftenan Kolonel (B) Husin Jazri, peningkatan
itu merupakan fenomena biasa berikutan perkembangan mendadak pengguna Internet setiap
tahun. Walau bagaimanapun massalah ini seharusnya tidak boleh di pandang ringan dan
memerlukan kerjasama daripada semua pihak.
 
Internet juga memberikan akses yang kelihatan tanpa sempadan terhadap elemen-elemen negatif
lain. Antara yang paling membimbangkan ialah akses kepada bahan-bahan lucah seperti gambar
dan video. Masalah berkaitan bahan-bahan lucah ini diketahui umum telah membarah sejak dari
zaman sebelum era internet lagi. Bermula dengan majalah dan penerbitan bahan lucah bercetak,
seterusnya ke era video lucah dan yang terkini, bahan lucah dalam format High-Definition (HD)
yang boleh diperolehi di internet. Kecanggihan teknologi maklumat dewasa ini juga
memungkinkan bahan-bahan ini turut diedar melalui e-mel dan ini memberikan cabaran kepada
pihak berkuasa dalam melaksanakan pencegahan. Perkembangan ini amat membimbangkan
kerana bahan-bahan lucah sebegini boleh memberikan kesan yang negatif seperti meransang
seseorang untuk melakukan serangan seksual. Ia juga boleh membantut perkembangan kanak-
kanak dan remaja yang mempunyai akses kepada bahan-bahan sebegini kerana mereka akan
menjadi khayal dan sukar untuk menumpukan perhatian.
 
Masalah juga boleh timbul daripada penyalahgunaan internet melalui isu hakcipta. Teknologi
maklumat yang semakin berkembang saban hari membolehkan karya-karya kreatif seperti
artikel, audio, video dan sebagainya kelihatan bebas untuk disalin, dimuat turun dan disebar
tanpa had. Perkara ini sukar berlaku pada era sebelumnya. Ini menafikan hak pemilik karya-
karya kreatif tersebut. Tindakan penguatkuasaan bagi membanteras masalah ini kelihatan sukar,
antaranya kerana elemen internet yang merentas sempadan fizikal negara. Ini akan melibatkan
negara lain yang mungkin mempunyai dasar berkaitan internet yang berbeza berbanding negara
kita.
 

Seperti mana dunia nyata, lambakan maklumat tanpa had dan tanpa saringan membuatkan
maklumat yang sahih bercampur gaul dengan maklumat yang tidak berkredibiliti. Tanpa ilmu
dan pengetahuan yang utuh, sukar bagi pengguna internet untuk membezakan maklumat yang
benar dan yang sebaliknya. Contohnya, laman web Wikipedia yang sering menjadi rujukan ramai
pengguna internet sebenarnya mempunyai sistem muatnaik maklumat yang agak longgar, yang
mana sesiapa sahaja boleh meletakkan artikel atau bahan-bahan di laman web tersebut. Ini
menjadikan maklumat di laman web itu bercampur gaul dan agak kurang kebolehpercayaannya.
Penggunaan e-mel untuk memajukan maklumat tertentu juga boleh dijadikan contoh yang baik
dalam konteks ini. Maklumat yang di bawa melalui e-mel ini kadangkala dihantar sahaja oleh
pengirim tanpa membuat penilaian dan pengesahan sama ada maklumat tersebut benar atau
sebaliknya. Jika maklumat tersebut merupakan fitnah, tentunya ia akan membawa kesan negatif
dalam masa yang singkat.
 

Bagi mengekang penularan masalah berkaitan internet, kerajaan telah mengambil langkah awal
dengan mewujudkan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM98) yang dilancarkan pada tahun
1998. Akta ini memberikan kuasa kepada agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan
terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di internet.
 
Walaupun subseksyen 3(3) AKM 1998 pula menetapkan ”Tiada apa-apa jua dalam Akta ini
boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet”. Jaminan ini juga diberikan oleh
Kerajaan kepada syarikat-syarikat bertaraf Multimedia Super Corridor (MSC) menerusi Bill of
Guarantee, ini tidak bermakna kebebasan mutlak diberi kepada pengguna Internet untuk
menerbitkan kandungan yang menyalahi undang-undang. Dalam hubungan ini prinsip ”perkara
yang dianggap sebagai jenayah di alam nyata, adalah dianggap sebagai jenayah di alam
maya” adalah terpakai. Dalam hubungan ini seksyen 263 (2) yang menyentuh mengenai
kewajipan am pemegang lesen di bawah AKM98 menyatakan ”Seorang pemegang lesen
hendaklah dengan sedaya upayanya mencegah kemudahan rangkaian yang dipunyai atau
diberikan olehnya atau perkhidmatan rangkaian, perkhidmatan aplikasi atau perkhidmatan
aplikasi kandungan yang diberikan olehnya daripada digunakan dalam, atau berhubung dengan,
perlakuan apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang Malaysia”. Melalui
peruntukan ini Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
boleh meminta ISP untuk menyekat capaian ke sesuatu laman web yang didapai melakukan
kesalahan di bawah mana-mana undang-undang Malaysia. Tindakan ini tidak boleh dianggap
sebagai menapis Intertnet.
 
Seksyen 211 dan 233 AKM 1998 pula ada memperuntukkan larangan bagi pemberian kandungan
jelik dan kesalahan kepada sesiapa yang menyalahgunakan perkhidmatan aplikasi kandungan
iaitu dengan sengaja membuat inisiatif penghayatan komunikasi yang berbentuk lucah, sumbang,
palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai,
mengugut atau mengganggu orang lain.
 
Walaupun terdapat undang-undang yang boleh digunakan untuk mengawal selia internet, kaedah
pendidikan dan penerapan kesedaran masih perlu dan diyakini amat berkesan sekiranya ia
dilaksanakan dengan baik. Di negara kita, pihak Cybersecurity Malaysia ada memberikan
banyak input dan panduan menggunaan Internet. Antaranya melalui laman web esecurity.org.my.
Panduan penggunaan Internet juga boleh didapati di www.ipositif.gov.my.CMCF (The
Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia) juga telah menghasilkan The
Malaysian Communications and Multimedia Content Code bagi menjadi panduan penyedia
perkhidmatan dalam industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
 
Orang ramai perlu menanam kesedaran yang tinggi terhadap keselamatan siber bagi
mengelakkan mereka terjebak dengan pelbagai masalah. kerajaan mendapati masih terdapat
orang ramai yang mendedahkan maklumat-maklumat peribadi kepada orang lain menerusi
Internet. Seseorang sepatutnya tidak memberikan maklumat peribadi kepada orang lain sama ada
yang rapat atau yang tidak dikenali sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesan buruknya.
 
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga telah melakukan usaha untuk
menerapkan kesedaran ini dan turut disasarkan kepada pengguna kecil. Antara panduan yang
digariskan melalui program i-Positif adalah seperti berikut:
 

i) Melayari laman web yang berfaedah dan positif seperti laman pendidikan, sukan dan
permainan;
ii) Memberitahu keluarga sekiranya adik menerima mesej atau imej tidak bermoral dan negatif
yang boleh menyebabkan adik berasa tidak selesa dan terancam;
iii) Adik-adik juga bertindak bijak sekiranya tidak mendedahkan maklumat peribadi seperti
gambar peribadi, alamat rumah, nombor telefon, ataupun alamat dan lokasi sekolah kepada
kenalan siber adik-adik;
iv) Mendapatkan izin ibu bapa sebelum adik-adik berjumpa dengan rakan siber. Pertemuan
perlulah dilakukan di tempat awam, dan minta seorang dewasa menemani adik-adik;
v) Mendapatkan izin ibu-bapa sebelum adik-adik menyalin atau menghantar sebarang fail;
vi) Adik perlu berbincang dengan ibu bapa untuk menetapkan waktu, tempoh dan laman yang
sesuai dilayari. Dengan cara ini, adik-adik dapat membahagi masa di antara menyiapkan kerja-
kerja sekolah dan membantu ibu bapa membuat kerja rumah; dan
vii) Jangan beri atau dedahkan kata laluan internet adik (walaupun kepada rakan karib adik)
kecuali keluarga adik.
 

Sebagai pengguna, kita harus sedar dan berwaspada terhadap kesan-kesan negatif penggunaan
Internet. Seperti juga di alam nyata, alam siber juga mengundang bahaya yang boleh membawa
kesan negatif. Kita harus mengambil langkah berhemah dan berhati-hati untuk mengawal
penggunaan Internet sama ada di pejabat dan rumah serta untuk anak-anak kita. Sebagai ibu
bapa, kita haruslah mengetahui laman web yang dilayari oleh anak-anak kita dan memastikan
bahan atau maklumat yang terdapat di laman web tersebut adalah berfaedah dan bukan
mengundang masalah di kemudian hari. Laman web yang mempunyai unsur tidak baik seperti
laman web lucah, kegiatan anti-kerajaan dan berunsur sesat patut dihindari oleh  kita apatah lagi
untuk anak-anak yang masih belum boleh menilai baik buruk maklumat tersebut.
 

Menyedari bahawa pengguna di alam siber juga terdiri dari mereka yang mempunyai peribadi
yang baik dan juga tidak baik, maka pengguna haruslah bijak menapis apa jua maklumat yang
diberikan di internet. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai semua maklumat
yang dipaparkan sebaliknya perlu selidik terlebih dahulu tentang kesahihan maklumat tersebut.
Komunikasi melalui beberapa laman sembang yang terdapat di internet juga boleh mengundang
bahaya di mana seseorang boleh dihamburkan dengan kata-kata dan janji-janji yang manis.
Terdapat juga kes mereka yang telah ditipu dengan puluhan ribu ringgit hanya disebabkan oleh
tertawan dan tergoda dengan janji-janji manis yang telah diberikan. Oleh yang demikian,
pengguna haruslah bijak dalam menangani dan menepis segala kemungkinan negatif yang timbul
daripada kemudahan yang diperolehi di internet.
 

Sebagai kesimpulan tidak dinafikan internet telah membawa perubahan yang besar dan amat ketara
kepada kehidupan masyarakat kita pada hari ini. Faedah-faedah yang diperolehi dari internet telah
memberi kemudahan kepada orang ramai di mana segala urusan seharian apabila dilakukan melalui
internet dapat memberi penjimatan samada dari segi kos, masa dan juga tenaga. Walaupun demikian,
keburukan yang terdapat di internet juga tidak boleh disangkal. Dalam melayari internet, pengguna
haruslah bijak dalam menangani masalah yang akan timbul sekiranya penggunaan internet tidak
dilakukan dengan cara yang betul. Oleh yang demikian, penggunaan internet secara bijaksana dan
berhemah patut ditekankan kepada setiap pengguna supaya apa yang akan mereka perolehi dari internet
adalah sesuatu yang positif, bukan negatif.

From--http://malaysiaaktif.com/article.php?aid=4561

Anda mungkin juga menyukai